"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Monday, February 1, 2010

Terapi air panas

Pusat rekreasi tawar kemudahan rawatan penyakit kulit, sakit sendi

SEMAKIN malam semakin 'panas', orang ramai mula berkumpul, mencari tempat dan kedudukan untuk berehat sambil menikmati khasiat air panas semula jadi di Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong, Baling, Kedah.

Usah dibicarakan khasiatnya, kerana semua sudah sedia maklum, sumber air panas semula jadi di Mukim Siong, Baling sememangnya cukup serasi dan sinonim dengan rawatan penyakit kulit, gatal bahkan boleh membantu perjalanan sistem darah serta sakit sendi.




Tidak hairanlah, pusat rekreasi ini menjadi tumpuan kira-kira 30,000 pengunjung setiap tahun dan semakin bertambah pada musim cuti sekolah atau cuti umum.

Suhu di kolam mandian mencecah 40 darjah Celsius, agak panas sekiranya menjejakkan kaki ke dalam kolam pada waktu siang. Waktu paling sesuai ialah pada sebelah malam hingga ke pagi kerana ia dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk lampu limpah.

Tidak hairanlah, waktu kemuncak iaitu paling ramai pengunjung ialah antara jam 10 malam hingga 2 pagi terutama pada hujung minggu.


Kolam utama pula mencecah suhu 60 darjah Celsius dan airnya dialirkan ke tiga kolam mandian bersebelahan yang dibina mengikut keperluan pengunjung iaitu kolam untuk dewasa, kanak-kanak dan kolam khas wanita yang dilindungi dinding konkrit.

Bagaimanapun, kolam utama itu dipagar bagi mengelakkan kanak-kanak terjun ke dalam kolam tetapi pengunjung masih boleh mencecahkan kaki ke dalam kolam utama bagi merasai sendiri kehangatannya. Beroperasi 24 jam sehari, pusat itu sememangnya menjadi tumpuan ramai dengan bayaran semurah RM4 untuk dewasa dan RM2 untuk kanak-kanak dengan kemudahan mandi tanpa had masa.

Pusat di bawah kelolaan Majlis Daerah Baling (MDB) itu turut dilengkapi kemudahan penginapan mengikut kemampuan. Jika datang berkumpulan, misalnya bagi pelajar, mereka boleh memilih dormitori (asrama) yang boleh memuatkan 10 orang.

Dilengkapi dengan sistem penghawa dingin dan televisyen siaran berbayar, bilik itu cukup sesuai untuk rombongan kerana ada lapan bilik saiz sama yang boleh disewa pada bila-bila masa.

Bagi yang inginkan hak eksklusif, mereka boleh menyewa chalet VVIP yang dibina menghadap anak sungai, juga bersebelahan kolam mandian utama. Soal keselamatan memang dititik beratkan MDB kerana kawasan itu dilitupi pagar khas dan cuma terdapat satu pintu masuk utama yang dikawal.

Ketika wakil Berita Minggu meninjau kawasan itu, ada sekumpulan 30 pelajar British Malaysia Institute yang baru tiba menaiki bas rombongan khas. Mereka adalah pelajar yang menggelarkan diri mereka ‘Outdoor BMI’ yang baru saja menamatkan ekspedisi Gunung Bintang di Kulim.

Di situlah mereka melepaskan penat lelah mendaki dan meredah hutan kerana air panas asli itu mampu meredakan sakit badan, sengal sendi dan beristirehat sehari sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

Wakil mereka, Muhamad Ridwan Ali, 24, berkata dia sudah tiga kali mengunjungi pusat mandian itu dan tidak pernah melepaskan peluang menikmati kemudahan di situ setiap kali datang ke Kedah.

“Kawasan ini sangat selesa, aman. Kali terakhir saya datang ke sini pada dua tahun lalu, sekarang landskapnya banyak berubah, lebih cantik dan banyak kemudahan baru. Kemudahan di chalet juga sudah di naik taraf, cukup sesuai untuk berehat,” katanya.

Ketika ini MDB sedang giat menaik taraf kemudahan dan kelengkapan bertujuan menambah keselesaan pengunjung.

Penolong Pegawai Tadbir Bahagian Pelancongan dan Rekreasi, MDB, Afif Shaari, berkata mereka menerima peruntukkan baru sebanyak RM5 juta daripada Kementerian Pelancongan bagi kerja pengubahsuaian dan penambahan kemudahan baru.

“MDB akan membina tiga lagi kolam baru dan sebuah kafeteria akan dibina di depan kolam. Pengunjung boleh menikmati makanan di situ tanpa perlu keluar kawasan untuk makan. Ini menjadikan suasana lebih santai dan menarik.

“Tandas awam baru juga akan dibina menggantikan kemudahan sedia ada serta gerai cenderahati. Kami percaya, kemudahan baru ini mampu menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.

Pusat itu sebenarnya menjadi tarikan pelbagai peringkat usia, ada yang datang bersama keluarga, membawa anak isteri, lengkap dengan bekalan makanan, ada yang membawa buaian bayi dan digantung pada tiang laluan pejalan kaki berbumbung.

Sekumpulan anak muda bermotosikal juga berkumpul di situ, mereka berbual dan makan sebelum menikmati mandian air panas. Kelihatan juga sekumpulan wanita berusia berkumpul di satu sudut, walaupun tidak mandi, cukup sekadar bertenggek di tepi tebing kolam memanaskan kaki.

Bagi penggemar aktiviti lasak, mereka boleh menikmati aktiviti berjalan di hutan yang memakan masa 45 minit perjalanan meredah laluan bukit sekitar pusat rekreasi.


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Bmdua/20100124085347/Article/

No comments: