"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Monday, February 1, 2010

Model survival kanser

Siapa bilang apabila disahkan menghidap penyakit kanser anda perlu berduka dan berendam air mata tanpa henti. Theobroma Chocolate Lounge dan Yayasan Pink Ribbon Deeds (Pride) punya cara sendiri untuk menaikkan semangat pesakit payu dara.


DIA melangkah dengan penuh bergaya. Wajahnya yang comel dan saiz badan yang kecil molek membuatkan lagaknya seperti model remaja. Tanpa menunjukkan sebarang reaksi kekok, dia mengatur langkah di pentas mini peraga di ruang Theobroma Chocolate Lounge, sambil menggayakan seluar denim paras lutut dengan baju T belang rona merah jambu.

Sesekali dia memberikan pose kepada kumpulan jurufoto dengan diiringi kuntuman senyuman manis. Gaya dan penampilannya itu mengundang sorakan dan tepukan gemuruh daripada para tetamu yang hadir.

Masing-masing kelihatan begitu teruja melihat pertunjukan fesyen jenama Bontton, B.U.M Equipment, Diesel dan Unionbay yang digayakan oleh Fithrahana Baharuddin serta rakan-rakan senasibnya.

Itulah tarikan yang dipamerkan oleh Fithrahana atau mesra membahasakan dirinya Rahana. Bagi mereka yang tidak mengenali anak kelahiran Kuala Lumpur itu, pasti tidak menyangka bahawa usianya kini sudah menginjak 27 tahun.

Paling mengejutkan perwatakannya yang ceria dan segar langsung tidak menunjukkan bahawa Rahana sedang bergelut dengan penyakit yang paling digeruni kaum wanita iaitu barah payu dara.

Pada tahun 2003 statistik menunjukkan sebanyak 3,738 kes baru kanser payu dara di negara ini. Bahkan, 31 peratus pesakit kanser wanita terdiri daripada pesakit kanser payu dara.

Sementara itu, di peringkat dunia pula seramai 1.05 juta wanita menghidap kanser payu dara setiap tahun.

"Sebelum ini apabila membaca artikel di majalah atau akhbar mengenai penyakit kanser payu dara akan terbit rasa kasihan dalam diri saya. Saya sentiasa berdoa semoga dijauhkan penyakit yang boleh membawa maut ini.

"Namun apakan daya, pada tahun lepas saya disahkan menghidap penyakit barah payu dara peringkat kedua. Sebaik saja doktor mengeluarkan laporan fikiran saya jadi buntu. Tak tahu nak buat apa. Perasaan bercampur baur," luah Rahana ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.


Bicara Rahana, ketika sedang mandi dia mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena pada tubuhnya. Dia mendapati terdapat ketulan kecil di bahagian payu dara. Enggan memikirkan perkara negatif, Rahana membiarkan seketika ketulan itu tanpa merujuk kepada doktor memandangkan pada waktu itu dia terlalu sibuk dengan tugas sebagai Eksekutif Kewangan di AmInvestment Bank, Kuala Lumpur. Namun sebulan kemudian atas nasihat suami, dia pergi mendapatkan rawatan di hospital.

Bagi mendapatkan kepastian lanjut mengenai ketulan tersebut, Rahana menjalani pembedahan. Ketulan yang telah dikeluarkan itu dihantar ke makmal untuk diuji.

"Menerusi hasil ujian saya disahkan menghidap kanser payu dara. Pada peringkat awal, kehidupan saya bagaikan tidak tentu arah. Namun berkat dorongan suami, keluarga dan kumpulan sokongan saya bangkit untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

"Jika sewaktu sihat saya gemar menyolek dan bergaya, amalan yang sama saya praktik sehingga kini. Ingat, jangan biarkan kesakitan itu membuatkan kita terus lemah dan tampil dengan penampilan yang kusam," saran Rahana kepada golongan wanita yang turut menghidap kanser payu dara.

Sementara itu, Yasogee Pechumuthu, 46, yang disahkan menghidap kanser yang sama pada September 2006 mengakui pernah melalui beberapa fasa rawatan yang disifatkan terlalu menyakitkan.

Proses kemoterapi, pembedahan dan terlantar selama beberapa bulan di hospital, kemudian perlahan-lahan menjadi pembakar untuknya berdiri semula. Jelas ibu kepada tiga cahaya mata itu, semakin lama menangis semakin lemah tubuh badannya.

Kasihan melihat anak-anaknya yang masih memerlukan tumpuan dan kasih sayang, Yasogee berusaha untuk sihat dan menjalani kehidupan yang ceria. Seiring dengan kerjaya seorang guru di salah sebuah sekolah menengah, Yasogee ingin menunjukkan contoh kepada pelajar kesayangan.

"Sekali gagal tidak bererti kita gagal selamanya. Begitu juga dengan kesakitan yang dialami. Jangan biarkan penyakit itu menjadikan kita individu yang lemah sehingga menyekat kita menjalani kehidupan yang gembira," katanya pada Majlis Sepetang anjuran Theobroma Chocolate Lounge dan Yayasan Pink Ribbon Deeds (Pride).

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0201&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

No comments: