"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Thursday, October 1, 2009

Diabetes punca utama buta


Kemungkinan pesakit jadi buta adalah 25 kali ganda berbanding orang sihat



PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan seorang penduduk dunia akan menjadi buta setiap lima saat. Manakala seorang kanak-kanak pula akan menjadi buta setiap minit. Anggaran ini selari dengan sejumlah 7 juta orang menjadi buta setiap tahun.



Jumlah itu menjadikan 180 juta orang di seluruh dunia berhadapan dengan ketidakupayaan penglihatan. Daripada jumlah itu 40 hingga 45 juta mereka buta. Angka ini dijangka meningkat seiring dengan pertumbuhan populasi warga tua yang akan bertambah dua kali ganda menjelang 2020.

Presiden Persatuan Oftalmologi Malaysia dan Ketua Jabatan Oftalmologi, Pusat Perubatan Prince Court Kuala Lumpur, Prof Che Muhaya Mohamad, berkata daripada jumlah keseluruhan masalah kebutaan, 75 peratus boleh dielakkan.



Misalnya, hampir 153 juta kes kerosakan penglihatan sebenarnya disebabkan kesilapan refraktif yang tidak dibetulkan. Bagi kebanyakan kes, penglihatan normal dapat dikembalikan dengan pemakaian cermin mata.



“Begitupun, bukan semua kes boleh ditangani dengan mudah. Mata, seperti juga organ tubuh yang lain turut terjejas dengan faktor penuaan dan perubahan gaya hidup,” katanya.


Katanya, peningkatan populasi warga emas sebenarnya mendedahkan kepada risiko masalah penglihatan jika tiada pelan tindakan utama yang efektif. Tanpa pelan itu juga, dianggarkan 76 juta orang akan menjadi buta pada tahun 2020.



“Walaupun 80 peratus mereka yang berhadapan masalah ini berusia 50 tahun ke atas, suku daripada kes ini boleh dicegah, dirawat atau disembuhkan. Peningkatan usia tidak bermakna anda akan kehilangan penglihatan,”


“Ia dapat dicegah dengan melakukan saringan mata apabila seseorang berumur 40 tahun ke atas. Mereka yang menghidap penyakit kencing manis harus berjumpa pakar mata sekurang kurangnya setahun sekali,” katanya.


Di Malaysia bagaimanapun, kebanyakan punca masalah kebutaan adalah diabetes. Lebih malang, mereka yang terjejas dengan masalah itu dalam lingkungan usia produktif.


“Sehingga kini kencing manis adalah penyebab utama kebutaan baru di negara maju dan membangun. Kemungkinan seseorang pesakit kencing manis menjadi buta adalah 25 kali ganda dibandingkan orang yang sihat.



Namun, ia boleh dielakkan jika dikesan dan dirawat pada peringkat awal,” katanya. Risiko kebutaan akibat diabetes sangat besar di Malaysia jika diukur pada jumlah penghidapnya. Pada 2006, jumlah pesakit diabetes meningkat kepada 14.5 peratus berbanding 8.5 peratus 10 tahun sebelumnya.



Manakala impak terbesar diabetes adalah pada kesihatan saraf (58 peratus) dan kesihatan mata (53 peratus). Prof Che Muhaya berkata, hampir 14 peratus pesakit diabetes akan mengalami komplikasi pada mata, lima tahun selepas didiagnos dengan diabetes.



Walaupun impak diabetes pada mata begitu besar, hanya lima ke 20 peratus pesakit saja yang menjalani pemeriksaan mata. Mereka yang menjalani pemeriksaan mata ini juga tidak menjalaninya secara berkala menyebabkan risiko kebutaan terhadap mereka sangat besar.



Fakta yang agak membimbangkan ini jelas Prof Che Muhaya dibuktikan melalui kajian pada tahun 2020. Kajian di tujuh hospital di tujuh negeri mendapati, 38 peratus dari 6288 pesakit kencing manis sebenarnya penghidap diabetes tanpa mereka sedari.



“Jika fakta ini diunjurkan kepada semua pesakit kencing manis yang berjumlah hampir 3.7 juta (14.5 peratus daripada 26 juta rakyat Malaysia) maka 38 peratus sebenarnya menghidap diabetes yang berisiko menyebabkan kebutaan tanpa mereka sedari,” katanya.



Pemeriksaan mata berkala penting bagi pesakit diabetes kerana jika dikesan pada peringkat awal, ia boleh dirawat sama ada melalui rawatan laser atau pembedahan. “Oleh kerana impak negatif ini maka kebutaan disebabkan kencing manis harus dicegah seberapa segera.



Ini dapat dilakukan dengan menentukan semua pesakit kencing manis menjalani pemeriksaan mata berkala oleh doktor mata. Dengan mengesan masalah mata mereka di peringkat awal, rawatan dapat diberikan sebelum berlaku kebutaan,” katanya.




INFO: Mesej utama Hari Penglihatan Sedunia


1.Sebanyak 75% kebutaan dapat dielakkan


2.Populasi sedunia meningkat kepada umur lebih tua.


3.Risiko bagi katarak, glaukoma, retinopati diabetes, degenerasi makular, dan sebagainya meningkat dengan peningkatan usia


4.Sejumlah 80 peratus mereka yang buta berumur 50 tahun ke atas

5. Mata yang sihat dapat membantu penuaan yang aktif, di mana ia akan membantu mereka yang berumur hidup lebih lama


6.Tindakan yang tepat dapat mengekalkan penglihatan, jadi pastikan mata anda diperiksa secara berkala sekurang-kurangnya setahun sekali jika anda berumur 40 tahun ke atas.

No comments: