"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, April 2, 2011

HRT tangani gejala menopaus



Wanita yang sedang melalui fasa menopaus masih boleh menjalani hidup dengan ceria. - Gambar hiasan


SETIAP wanita akan melalui fasa 'putus haid' atau menopaus. Usia biasa wanita memasuki fasa peralihan ini ialah sekitar 50 tahun.

Namun ia juga boleh berlaku kira-kira 10 tahun lebih awal yang disebut sebagai pra-menopaus khususnya di kalangan wanita yang mempunyai sejarah keluarga menopaus awal.

Apabila seseorang wanita menghampiri putus haid, kitaran haidnya akan menjadi tidak stabil di mana kadang-kadang ia berlaku terlalu kerap atau terlalu jarang.

Ia akan diiringi dengan simptomsimptom lain seperti kesakitan sendi, hilang tumpuan, sakit kepala, kemerahan muka, tiada keinginan untuk seks dan pelbagai lagi jenis penyakit sehingga boleh mengganggu kehidupan seharian.

Sebagai wanita mereka seharusnya peka dan mengambil berat akan tanda-tanda awal menopaus.
Tanda-tanda ini amat penting agar gejala-gejala akibat daripada perubahan hormon dan fizikal yang terpaksa ditanggung seseorang wanita dapat diatasi.

Banyak tanda-tanda awal yang akan dialami seseorang wanita dalam proses pra-menopaus.
Hakikatnya, kira-kira 80 peratus daripada wanita menopaus akan mengalami gejala seperti panas, berpeluh malam dan palpitasi (gejala vasomotor).

Sekarang ini, keperitan yang dirasai ketika pra-menopaus itu dapat dikawal dan diatasi sepenuhnya melalui kaedah Terapi Penggantian Hormon (HRT).

Selaras dengan itu, dalam usaha perubatan moden bagi meningkatkan mutu kesihatan wanita, Kolej Obsetrik & Ginekologi, Akademi Perubatan Malaysia (COGAMM) telah menyediakan garis panduan amalan klinikal pertama mengenai Terapi Hormon Semasa Menopaus di kalangan wanita Malaysia.

Inisiatif COGAMM itu membabitkan projek menerbitkan buku garis panduan untuk rujukan kepada semua pakar obsetrik dan ginekologi dalam mengurangkan sebarang kekaburan tentang HRT.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Garis Panduan Amalan Klinikal, Dr. Ong Hean Choon, HRT merupakan pilihan paling berkesan untuk menangani gejala menopaus.

Melalui rawatan HRT, ia membantu mengurangkan kesakitan dan sekali gus mengurangkan simptom menopaus.

"Ia sepatutnya menjadi sebahagian daripada pendekatan menyeluruh untuk menguruskan menopaus," katanya
ketika ditemui pada Bengkel Menopaus yang diadakan di Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya, rawatan HRT terbahagi kepada dua jenis iaitu Terapi Estrogen dan Terapi Estrogen Progestin.
"Melalui kaedah ini, setiap wanita memerlukan terapi atau dos yang berlainan, kesemua itu bergantung kepada nasihat doktor dan pakar.

"Antara hormon boleh didapati seperti berbentuk pil, krim, suntikan, tampalan dan juga memasukkan alat viginal,'' ujarnya lagi.

Malah tegasnya, terdapat banyak data klinikal yang membuktikan bahawa HRT yang dimulakan di peringkat awal adalah berkesan dan selamat.

Kata beliau lagi, apabila seseorang menghampiri tempoh menopaus, keadaan dirinya menjadi lemah.
Simptom tersebut berlaku akibat perubahan tahap estrogen dalam badan daripada tinggi menjadi rendah.

Tegas Dr. Hean Choon lagi, melalui kaedah HRT ia berkesan untuk mengawal sakit kepala dan simptom akibat daripada kekurangan estrogen.

Selain itu, melalui rawatan HRT juga pesakit sebenarnya mampu mendapat perlindungan tulang daripada reput dan rosak secara perlahan-lahan.

"Apabila usia meningkat, perlindungan daripada kereputan tulang (osteoporosis) menjadi semakin penting. Banyak kejadian tulang patah yang berbahaya dapat dielakkan dengan meneruskan HRT.

"HRT jangka panjang juga boleh mengembalikan perlindungan yang diberikan oleh estrogen sebelum menopaus, iaitu daripada kemusnahan pembuluh darah yang membawa darah ke jantung, otak dan organ-organ lain,'' ujarnya.



http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

No comments: