"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, April 10, 2010

Kematian Page yang perlahan

MARGARET PAGE, 60, dari Wellington, New Zealand, sudah 20 tahun menderita akibat pendarahan pada otak. Bermula dari 2006, wanita yang menghadapi kesukaran untuk bergerak dan bertutur itu meneruskan hidup dengan sokongan dan bantuan kakitangan rumah jagaan St. John of God Wellington setelah suaminya tidak lagi dapat menyuapnya makanan atau memandikannya.

Sebelum itu, Page aktif melakukan selam skuba, berkayak dan mengajar kanak-kanak seni mempertahankan diri karate. Penderitaannya itu bagaimanapun berakhir pada 30 Mac lalu.

Namun, kematiannya menimbulkan kontroversi di seluruh New Zealand apabila wanita itu memilih untuk menamatkan hayatnya dengan tidak mengambil sebarang makanan atau minuman sehingga ke akhir nyawanya.

Nazak

Akibatnya, 16 hari terakhir Page diisi dengan kesakitan yang tidak mampu dibayangkan. Malah, seminggu terakhir ketika Page berada dalam keadaan nazak, keluarga dan kakitangan pusat jagaan itu terpaksa berdepan dengan tekanan emosi yang tinggi kerana terpaksa menyaksikan kemerosotan kesihatan dan fizikal tubuh yang berlaku amat perlahan itu.

Nur Umaisarah Sameaun, 23, atau Umai, yang pernah tersesat di dalam hutan tebal Gunung Tahan selama 19 hari dari 7 hingga 26 Februari 2008 ketika menyertai Ekspedisi Komander Kesatria anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis, mungkin lebih memahami situasi yang dihadapi Page.

“Sehingga hari kedua tersesat, saya masih mempunyai bekalan makanan. Itu pun sekadar sepeket kecil bijirin dan coklat. Tetapi apabila masuk hari ketiga setelah makanan habis, perut mula terasa lapar, pedih dan menyengat.

“Saya tidak ada pilihan selain minum air sungai. Saya minum hingga kenyang,” kenang pelajar Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor, itu.

Sukar, kata Umai, untuknya menerima keadaan itu kerana beliau seorang yang kuat makan.

“Tetapi selepas seminggu berada dalam keadaan itu, perut saya berasa lali. Setiap kali perut berasa pedih kerana lapar, saya akan minum air atau tidur untuk melupakan rasa lapar itu.

Tidur

“Apabila bangun daripada tidur, rasa lapar itu kembali terasa tetapi sudah berkurangan,” dedahnya yang mengenyangkan perut sehingga 16 hari dengan air sungai semata-mata.

Susulan daripada kejadian itu, Umai kehilangan berat badan sebanyak 14 kilogram dan hilang selera makan selain keseluruhan badan berasa lemah sehingga menyebabkannya ‘malas’ bergerak.

“Tak tahu kenapa selera makan saya menurun. Sekarang saya boleh bertahan agak lama tanpa makanan berbanding kebiasaan,” ujarnya.

Menurut Profesor Madya Dr. Ida Normiha Hilmi dari Unit Endoskopi Jabatan Gasteroenterologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), keadaan itu berlaku kerana penurunan kadar metabolik dalam tubuh.

“Dalam keadaan kebuluran, apabila simpanan glikogen dalam karbohidrat yang menjadi pembekal tenaga utama tubuh kehabisan, dua keadaan berlaku pada tubuh.

“Pertama, pemecahan atau peleraian lemak yang terkumpul di dalam tubuh untuk menggantikan peranan glikogen dalam karbohidrat, dan kedua, kadar metabolik tubuh menurun untuk menyimpan tenaga.

“Jadi, apabila kadar metabolik atau pembakaran kalori menurun, tubuh tidak merasakan perlu untuk makan seperti sebelum ini.

“Tetapi dalam keadaan ini, sekiranya seseorang itu mengekalkan kuantiti pengambilan makanannya seperti sediakala, dia berisiko untuk menghidap obesiti kerana kadar pembakaran kalori tidak selaras dengan kadar ambilan makanan,” jelas Ida.

Seseorang itu akan dapat bertahan lebih lama dalam keadaan kebuluran sekiranya dia memiliki lebih banyak lemak.

“Tempoh sebenar seseorang itu dapat bertahan dalam keadaan kebulur bergantung kepada beberapa faktor termasuk jumlah lemak yang tersimpan di dalam badan, mempunyai komplikasi lain seperti lemah jantung atau bengkak hati dan tahap kesihatan tubuh,” terangnya.

Ketika merujuk Umai yang bertahan sehingga lebih 16 hari tanpa makanan, Ida membuat kesimpulan bahawa pelajar itu sebelum itu berada dalam kesihatan fizikal yang baik dan cukup nutrien.

“Lama juga dia bertahan tanpa makanan kerana air sebenarnya tidak dapat menggantikan keperluan nutrien tubuh yang hilang.

“Dia juga mengambil masa yang agak singkat untuk beradaptasi. Ada kes mogok lapar di Ireland yang dapat bertahan sehingga berbulan lamanya. Jadi tempoh sebenar seseorang itu dapat bertahan dengan kebuluran tidak tetap,” komen Ida.

Protein organ

Komplikasi sebenar, katanya, hanya bermula sebaik sahaja kesemua lemak sudah habis digunakan. Selepas itu tenaga akan diperoleh daripada protein yang membentuk otot dan organ dalaman tubuh.

“Otak dan jantung mungkin menjadi antara organ terakhir yang akan dileraikan untuk mendapatkan tenaga kerana organ-organ itu penting untuk memastikan seseorang itu terus hidup,” ujarnya.

Pilihan Page untuk tidak makan atau minum, menurut Ida, mungkin cara untuk mati yang paling perlahan.

“Tetapi ia tidak semestinya yang paling menyakitkan kerana seseorang itu tidak akan menyedari bila lemaknya sudah kehabisan atau bila sel-sel organnya sedang terlerai, melainkan dia mempunyai komplikasi dalaman seperti masalah jantung,” tambah Ida.

Pensyarah Perubatan Gastroenterologi dan Hepatologi Pe diatrik, PPUM, Dr. Chai Pei Fan, pula berkata, kebuluran yang dialami kanak-kanak berbanding orang dewasa hampir sama.

“Bagaimanapun kanak-kanak lebih cepat menunjukkan simptom kebuluran seperti tidak sedarkan diri, sawan, kembung, kulit menjadi kering, dan suhu badan menurun kerana simpanan tenaga mereka kurang berbanding golongan dewasa.

“Bayi yang baru dilahirkan, contohnya, hanya mempunyai simpanan tenaga yang dapat bertahan untuk 24 jam sebelum masuk ke fasa anabolik di mana tenaga diperoleh daripada lemak dalam badan,” kata Chai.

No comments: