"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, March 6, 2010

Ekstrak habatussauda dalam produk kesihatan

SEJAK dahulu, tumbuhan habatussauda atau nama saintifiknya Nigella sativa telah terkenal dengan pelbagai khasiat yang baik untuk kesihatan manusia.

Dikenali sebagai jintan hitam oleh penduduk negara ini, penanamannya banyak dijalankan di kawasan Mediterranean yang mempunyai iklim gurun.

Ia termasuk di Sri Lanka, Sudan, Iran, Yaman, Itali, Greece dan juga India.

Mengambil peluang memperluaskan kajian dan penyelidikan mengenai tumbuhan itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru telah memperkenalkan produk makanan tambahan berasaskannya.

Dikenali sebagai Fraksi Kaya Timokuinon (TQRF), ia merupakan produk nutraseutikal yang diekstrak daripada biji habatussauda.

Ekstrak tersebut mengandungi bahan bioaktif Timokuinon (TQ) yang kaya dengan agen antioksida.

Menurut penyelidiknya, Prof. Dr. Maznah Ismail, TQRF mempunyai keupayaan melindungi dan merawat penyakit berkaitan penuaan, kardiovaskular dan juga kanser.

''Kepelbagaian penyakit ini sebenarnya disebabkan oleh tekanan oksidatif yang berlaku dalam badan manusia kesan penyebaran radikal bebas.

''Kebanyakan radikal bebas terhasil daripada faktor pemakanan, aktiviti, pengambilan ubat-ubatan dan ia juga boleh berlaku secara natural.

''Jadi, pengambilan bahan antioksida akan dapat membantu mengurangkan serta mencegah tekanan oksidatif ini,'' katanya pada sidang akhbar majlis promosi produk penyelidikan UPM di Serdang baru-baru ini.

Kajian penghasilan TQRF telah dijalankan di bawah Laboratori Bioubatan Molekul, Institut Biosains UPM bermula daripada tahun 2005 hingga 2008.

Seramai tiga orang penyelidik telah terlibat dalam kajian yang dibiayai sepenuhnya oleh geran daripada pihak UPM bernilai RM283,000.

TQRF dihasilkan daripada sumber biji habatussauda yang di ambil dari Yaman dan Iran.

Makanan tambahan yang ditawarkan dalam bentuk minyak, emulsi dan gel lembut itu mempunyai kelebihan dijalankan menerusi kajian secara saintifik.

Sasaran penggunanya pula adalah daripada kalangan golongan tua serta individu berisiko mendapat penyakit kardiovaskular.

Melihat kepada proses penyelidikan TQRF, biji habatussauda diekstrak menggunakan mesin khas yang dikenali sebagai Supercritical Fluid Extraction (SFE).

Teknologi SFE mempunyai kelebihan mampu menghasilkan lebih 50 peratus kandungan minyak iaitu lapan hingga 10 kali ganda lebih sebatian antioksida yang tinggi.

''Aktiviti mengekstrak menggunakan SFE ini dibuat dengan suhu terkawal dan tertutup untuk mengelak kemasukan oksigen yang boleh menyebabkan bahan TQ meruap.

''Jadi, SFE boleh dianggap sebagai teknologi hijau yang menyumbang kepada penjagaan alam sekitar kerana menukar karbon dioksida kepada oksigen untuk kegunaan organisma hidup,'' jelasnya.

Melalui sistem SFE juga, kandungan bahan TQ juga boleh ditentukan mengikut parameter yang telah dipatenkan.

Untuk skala makmal, mesin SFE mampu menjalankan proses mengekstrak dengan kapasiti satu liter pada satu-satu masa.

Setakat ini, pihak UPM telah menjalankan projek perintis bagi implementasi SFE bersama Perbadanan Kemajuan Teknologi Malaysia (MTDC) dengan kapasiti dan skala yang lebih besar.

Untuk TQRF pula, produk yang berada di bawah kajian pra-klinikal itu telah dipatenkan dan bakal dipasarkan secara komersial tidak lama lagi.

Pihak UPM bersedia untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan dan juga antarabangsa dalam membantu memperluaskan pasaran produk tersebut.

Ketika ini, kajian TQRF turut dijalankan secara klinikal bagi kegunaan di kalangan wanita yang telah menopaus pula.

No comments: