"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, September 12, 2009

Bimbang warisi kanser kelenjar prostat

Tanya Doktor

Bersama Pakar Urologi Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras.sazree@bharian.com.my


SAYA seorang lelaki berusia 42 tahun. Ayah saya baru disahkan mengidap kanser kelenjar prostat yang sudah merebak ke tulang. Soalan saya, apakah risiko untuk saya menghidapi masalah sama? Apakah tanda-tanda kanser kelenjar prostat? Adakah cara untuk mengesan kanser ini pada peringkat awal dan apakah rawatan yang ada untuk penyakit ini? Aziz,

Subang Jaya, Selangor. RISIKO untuk saudara menghidap kanser kelenjar prostat adalah dua kali ganda lebih tinggi dari lelaki lain. Ini kerana kanser kelenjar prostat mempunyai kaitan genetik yang rapat. Bukan saja saudara, malah adik beradik lelaki dan adik beradik lelaki ayah saudara juga mempunyai risiko sama. Kanser kelenjar prostat ini boleh dikesan awal dengan cara saringan ujian darah PSA (prostate spesific antigen). Oleh kerana ayah saudara menghidap kanser kelenjar prostat, saudara perlu menjalani ujian PSA apabila umur saudara mencecah 45 tahun.


Untuk lelaki yang tidak tergolong di dalam kumpulan risiko tinggi, mereka boleh mula menjalani ujian PSA selepas berumur 50 tahun dan ujian ini perlu dijalani setiap tahun. Tahap PSA yang normal secara am kurang daripada 4 ng/dl. Jika seseorang didapati mempunyai tahap PSA lebih dari 4 ng/dl, pakar urologi akan menyarankan supaya ujian trans rectal prostate biopsy (TRUS) dikendalikan.


Ujian ini dilakukan melalui lubang dubur di mana tisu kelenjar prostat akan diambil dengan bantuan alat ultra sound. Ujian ini penting untuk memastikan kehadiran kanser dan tahap kanser kelenjar prostat. Tiada tanda khusus untuk kanser kelenjar prostat. Ia sama seperti tanda penyumbatan saluran kencing akibat pembesaran kelenjar prostat. Ini termasuk aliran kencing perlahan; air kencing yang meleleh selepas kencing; terpaksa tunggu lama untuk air kencing keluar; meneran untuk mengeluarkan air kencing dan kerap ke tandas pada waktu malam.

Pada tahap lewat pula, pesakit akan mengalami sakit di bahagian tulang terutama tulang belakang. Pemeriksaan fizikal juga boleh mengesan kanser kelenjar prostat.
Melalui pemeriksaan ini, doktor akan memasukkan jari ke dalam lubang dubur bagi memeriksa bentuk dan kekerasan kelenjar prostat. Namun begitu, sekiranya kanser dapat dikesan dengan jari, kemungkinan besar ia sudah mencapai tahap yang lewat. Ada pelbagai cara untuk merawat kanser kelenjar prostat.

Jika dapat dikesan pada tahap awal, pembedahan radical prostatectony boleh dilakukan. Pembedahan ini membabitkan pembuangan kelenjar prostat. Selain dari itu, kanser di tahap awal boleh dirawat dengan cara bracytherapy. Dengan cara ini, butiran-butiran radioaktif akan dimasukkan ke dalam kelenjar prostat dan melalui kaedah rawatan ini, kelenjar prostat tidak dibuang.


Kanser prostat pada tahap lewat pula dirawat secara manipulasi hormon. Ini kerana kanser kelenjar prostat memerlukan hormon testostorone untuk merebak. Oleh itu, ubat yang dipanggil anti androgen akan diberi untuk menurunkan paras testostorone dalam badan dan seterusnya mengawal dari kelenjar prostat ini merebak. Ubat ini boleh didapati dalam bentuk tablet atau suntikan. Paras hormon testostorone juga boleh diturunkan dengan cara pembedahan. Pembedahan ini membabitkan pembuangan kedua-dua buah zakar.


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Tanyadoktor/20090523093957/Article/

No comments: