"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Sunday, October 18, 2009

Masalah perut buncit


Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

norlaila@hmetro.com.my


DALAM bab jaga badan, wanita memang lebih ghairah dan bersungguh-sungguh, tidak kira berapa pun usia mereka. Berbeza dengan lelaki, terutama yang berkahwin dan ada anak, selagi mereka selesa walaupun berat badan serta saiz pinggang makin bertambah, soal menjaga badan tidak menjadi keutamaan.

Boleh dikatakan setiap wanita cemburu melihat wanita lain yang dapat mengekalkan kelangsingan badan meskipun tiga empat kali melahirkan anak.

Si suami pula bangga memiliki isteri yang cantik bergaya. Malah, mereka menjadi antara pengkritik utama apabila badan isteri makin membesar.

Tidak salah rasanya jika lelaki meniru sedikit tabiat wanita yang cemburu melihat kecantikan badan orang lain. Perasaan ini sedikit sebanyak boleh menjadi penggerak kepada seseorang untuk menjaga badan melalui kawalan pemakanan dan bersenam, iaitu cara yang jauh lebih baik berbanding pengambilan produk mengurangkan berat badan.


Usaha ke arah ini secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan tahap kesihatan seseorang. Pakar perubatan di seluruh dunia sependapat bahawa pada semua peringkat umur (termasuk remaja) wanita secara umumnya lebih sihat berbanding lelaki.
Kajian di Amerika Syarikat mendapati daripada 15 punca utama kematian, lelaki mendahului wanita kecuali bagi penyakit Alzheimer (nyanyuk).

Perkara ini mungkin juga disebabkan lelaki tidak sempat mencapai tahap umur untuk mendapat Alzheimer kerana rata-rata lelaki mati lima tahun lebih awal daripada wanita!

Antara ancaman kesihatan utama dialami sekarang ialah penyakit gaya hidup disebabkan terlebih makan dan kurang bersenam.

Bagi wanita, meskipun jarang bersenam, mereka lebih banyak bergerak ketika melakukan kerja rumah, kata Ketua Program Pendidikan Jasmani, Jabatan Kesihatan Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ani Mazlina Dewi Mohamed.

“Sikap lelaki yang lebih banyak berehat turut menyumbang kepada masalah perut buncit, terutama yang berkahwin. Perut buncit adalah petanda awal tahap kepada banyak risiko kesihatan kerana lemak yang terkumpul pada pinggang boleh menjejaskan fungsi organ di perut,” katanya.

Malah, lemak di pinggang yang juga dipanggil lemak viseral dikaitkan dengan masalah kolesterol tinggi, trigliserida tinggi, tekanan darah tinggi dan terlalu banyak insulin. Pakar perubatan juga menggelarnya ‘lemak pembunuh’.

Lemak di pinggang lebih berbahaya berbanding tempat lain kerana ia meningkatkan risiko untuk mendapat:
• Penyakit jantung
• Kencing manis
• Sindrom metabolik
• Masalah pundi kencing
• Tekanan darah tinggi
• Kanser usus

Bagi wanita yang ada suami begini, mereka perlu menjadi penggerak dengan mengajak suami melakukan aktiviti cergas. Malah, mereka boleh menggunakan anak sebagai ‘umpan’ untuk bersenam atau setidak-tidaknya berjalan di sekitar taman perumahan.

“Ada kala lelaki, terutama jenis pasif, malu hendak berjoging sendirian. Jika ini masalahnya, ajak anak dan isteri menemani anda.

“Ramai cepat bosan apabila bersenam seorang diri dan akibatnya mereka berhenti melakukan senaman sebelum hasilnya boleh dilihat.

“Selain itu isteri dan anak boleh merangsang semangat suami untuk bersenam dengan memberi kasut atau pakaian sukan, raket, keahlian pusat kesihatan (gimnasium) atau peralatan senaman kepadanya sempena Hari Bapa.

“Ia lebih praktikal berbanding memberi jam tangan, minyak wangi atau tali leher. Malah, secara tidak langsung ia memberitahu suami bahawa keluarga mahukan dia lebih sihat,” katanya.

Ani Mazlina berkata, sampai masa lelaki harus berkongsi tanggung jawab dalam memastikan kesihatan diri dan keluarga.

Jika susah bersenam sendirian, anda boleh memilih aktiviti cergas yang boleh dilakukan bersama keluarga seperti bermain badminton, berbasikal, berenang atau berjalan cepat di sekitar kawasan perumahan.

Jika tidak sempat melakukan aktiviti ini pada waktu petang, anda boleh kunjungi pusat permainan yang dibuka hingga larut malam seperti gelanggang futsal atau bowling.

Tidak kira apa aktiviti dipilih, ia seharusnya menyeronokkan, memberi kesan positif kepada kesihatan (fizikal dan mental) serta dapat mengeratkan hubungan keluarga.

Ancaman kesihatan pada lelaki

Tidak kira di negara manapun, wanita memberi lebih keutamaan kepada kesihatan suami dan anak. Meskipun diberi lebih perhatian, lelaki meletakkan kesihatan diri di tempat terakhir.

Ramai menganggap, selagi boleh berfungsi dan ada sifat kelelakian, lelaki berasakan mereka cukup sihat hinggalah dibuktikan sebaliknya.

Kenapa lelaki boleh mati cepat? Lelaki sebenarnya cukup liat berjumpa doktor dan biasanya apabila penyakit dikesan, keadaan mereka serius.

Malah, jika anda perhatikan peserta seminar atau forum kesihatan (percuma atau berbayar) kebanyakannya adalah wanita.

Berasa sihat tidak bermakna anda benar-benar sihat. Bagi lelaki, enam jenis penyakit menanti sebaik anda melangkah umur 40 tahun jika anda masih meneruskan gaya hidup dan tabiat pemakanan kurang sihat. Enam penyakit ini adalah penyakit lazim dan boleh dielak.
• Penyakit kardiovaskular — Penyakit jantung adalah pembunuh utama di dunia. Risiko lelaki mendapat penyakit jantung lebih tinggi berbanding wanita. Bagi wanita, risiko ini sama dengan lelaki selepas mereka menopaus.

Penyakit jantung disebabkan pengumpulan plak dalam salur darah dan proses ini berlaku sejak kita kecil. Ini sebabnya ada pakar menyarankan kita menjalani pemeriksaan kolesterol seawal umur 25 tahun bagi setiap lima tahun.

Kekerapan pemeriksaan ini bertambah apabila usia meningkat. Lelaki pada umumnya perlu berusaha lebih keras untuk mencegah penyakit jantung dan strok.

Jika paras kolesterol anda tinggi, anda perlu bersenam 30 minit sehari sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Bagaimanapun, saranan terbaru ialah bersenam sekurang-kurangnya lima hari seminggu. Jika merokok, anda mesti berhenti bagi memudahkan kawalan kolesterol dan mengurangkan risiko serangan jantung.
• Kanser paru-paru — Penyakit ini disumbangkan khusus (90 peratus) oleh asap rokok. Jika anda merokok, segera berhenti. Jika sukar melakukannya sendiri, dapatkan bantuan doktor dari mana-mana klinik berhenti merokok.

Kanser paru-paru merebak cepat dan keadaan biasanya serius sebelum menunjukkan gejala. Sedihnya, sehingga kini peratus kejayaan rawatan yang ada kini masih rendah.
• Kanser prostat — Ini penyakit khas untuk lelaki, terutama selepas berusia 50 tahun. Prostat adalah kelenjar berbentuk kacang walnut yang terletak di belakang zakar, ia berfungsi menghasilkan cecair untuk ejakulasi.

Kanser prostat sangat lazim di kalangan lelaki. Bagaimanapun, berita baiknya, ia jarang menyebabkan kematian kerana kanser ini tumbuh dengan perlahan dan bersifat benigna (tidak merebak).
• Kemurungan dan bunuh diri — Meskipun tiada data khas jumlah lelaki murung di negara kita, semakin ramai mengalami masalah ini. Malah sama seperti wanita, lelaki yang dilanda kemurungan ada kecenderungan atau setidak-tidaknya pernah terfikir untuk membunuh diri.

Fitrah lelaki yang lebih suka menyimpan masalah turut menyumbang kepada perkara ini. Apabila tertekan, lelaki tidak menangis atau sedih, sebaliknya menjadi pemarah atau bertindak agresif. Kajian mendapati walaupun lebih ramai wanita cuba membunuh diri, lelaki murung berjaya melaksanakan misi ini.

Jadi jika anda berasa murung, jangan pendam. Meluahkan masalah dan tekanan bukan menunjukkan anda lemah, sebaliknya ia tanda anda masih boleh berfikir secara rasional dan sayangkan keluarga.
• Kencing manis — Ini antara ancaman besar di negara kita kerana semakin ramai golongan muda menghidap kencing manis. Gula berlebihan dalam badan ibarat racun kerana ia merosakkan salur darah dan saraf, terutama pada kaki.

Kencing manis juga boleh menjadi perangsang kepada pelbagai penyakit kronik lain seperti serangan jantung, strok, kegagalan buah pinggang, kebutaan dan pemotongan kaki (yang diakibatkan gangren iaitu kematian sel kerana tidak menerima bekalan oksigen dan nutrien).
• Mati pucuk — Pakar urologi berkata, mati pucuk atau erektil disfungsi (ED) boleh dijadikan petunjuk utama kepada pelbagai masalah kesihatan lain seperti kencing manis, kemurungan dan sakit jantung.

Mengalami ED bermakna aliran darah di seluruh badan kurang lancar dan kini ia dianggap petanda awal untuk sakit jantung.

Dua pertiga daripada lelaki berumur 70 tahun ke atas ada masalah ini dan hampir 40 peratus lelaki dalam lingkungan usia 40 tahun mengalami ED.

Lelaki yang ada masalah ED bukan saja kurang minat terhadap seks, malah kebanyakannya dilanda kemurungan sehingga menjejaskan kualiti hidup.

Ani Mazlina berkata, semua masalah kesihatan di atas boleh dicegah; kaedah pencegahan terbaik dan murah ialah melalui senaman, menjaga pemakanan serta belajar menangani tekanan.

Panduan untuk cergas

“Jangan ambil jalan mudah untuk kurus dengan menggunakan produk yang tiada kajian saintifik serta tidak diketahui kandungannya.

“Walaupun pengguna boleh melihat perubahan dengan cepat, produk mengandungi bahan terlarang boleh memberi kesan terhadap hati, jantung dan buah pinggang.

“Kita tidak akan dapat lihat perubahan mendadak dengan bersenam. Proses membakar lemak dan membentuk otot mengambil masa.

“Kebanyakan orang berhenti bersenam dan hilang semangat kerana kecewa apabila tidak melihat perubahan fizikal, sama ada bentuk atau berat badan.

“Perubahan fizikal ini boleh dilihat jika anda melakukan senaman dengan betul. Senaman anda perlu ada beberapa komponen iaitu ketahanan, kekuatan dan keanjalan.

“Anda juga perlu melakukan senaman aerobik (dilakukan tanpa henti selama 20 hingga 30 minit) untuk meningkatkan kekuatan jantung,” katanya.

Meskipun kita tidak melihat perubahan fizikal, badan kita sebenarnya mendapat kesan positif daripada senaman dilakukan.

Ini termasuk pemecahan lemak, otot menjadi lebih kuat dan anjal, tekanan darah dan paras gula dalam darah menurun, keseimbangan badan meningkat dan fikiran berasa lebih tenang.

“Senaman yang dibuat pula mesti ada peningkatan daripada segi masa dan halangan; bukan sebaliknya. Ramai orang mahu kesan cepat dengan melakukan senaman selama mungkin pada kali pertama. Akibatnya mereka berasa sakit badan dan berhenti bersenam.

“Jika minggu pertama anda berjoging selama 20 minit setiap hari, tingkatkan kepada 30 atau 40 minit pada minggu kedua.

“Hanya dengan cara ini anda boleh melihat perubahan diharapkan. Jangan bandingkan diri anda dengan orang lain. Lakukan senaman mengikut kemampuan masing-masing.

“Selain itu, ajak anak bersenam bersama. Berdasarkan pemerhatian saya, hampir 50 peratus kanak-kanak sekolah rendah di negara kita ada masalah berat badan berlebihan kerana tidak diajar kepentingan senaman.

“Lebih menyedihkan, ada sekolah menggunakan waktu pendidikan jasmani untuk mata pelajaran lain,” katanya.

Menurut Ani Mazlina, ada banyak cara untuk meningkatkan aktiviti fizikal, sama ada di rumah atau pusat beli-belah. Antaranya ialah:
• Ajak anak berjalan di kawasan perumahan pada waktu pagi atau petang; sekurang-kurangnya 20 minit sehari.
• Lakukan kerja rumah bersama-sama, termasuk mencuci kereta atau membersihkan halaman.
• Temani anak bermain di taman permainan, dan manfaatkan waktu ini dengan berjalan mengelilingi taman berkenaan beberapa kali.
• Turun naik tangga di rumah beberapa kali sehari. Tingkatkan kekerapan selepas beberapa sesi.
• Gunakan tangga apabila mengunjungi pusat beli-belah.
• l Sertai program sukan di tempat anda.
• Ketika menonton televisyen, anda boleh melakukan banyak senaman seperti berjalan setempat, tekan tubi, bangun tubi, berbaring sambil membuat pergerakan seperti mengayuh basikal atau mengangkat dumbel.

“Kalau anda tiada masa untuk bersenam selama 30 minit pada satu masa, pecahkan ia kepada beberapa sesi. Badan kita ada ‘memori’ untuk menyimpan jumlah senaman yang kita lakukan pada satu hari.

“Jadi kita masih mendapat manfaatnya walaupun senaman itu dilakukan dalam tempoh singkat,” katanya.

Walaupun tujuan utama anda bersenam adalah untuk mendapat bentuk badan menarik, bagi lelaki, terutama yang berdepan isu ED, anda mendapat manfaat tambahan kerana senaman melancarkan aliran darah, sekali gus membantu mengurangkan masalah anda!



Cara tingkat aktiviti fizikal

> Ajak anak berjalan di kawasan perumahan pada waktu pagi atau petang.

> Lakukan kerja rumah bersama-sama.

> Temani anak bermain di taman permainan, dan manfaatkan waktu ini dengan berjalan mengelilingi taman berkenaan beberapa kali.

> Turun naik tangga di rumah beberapa kali sehari. Tingkatkan kekerapan selepas beberapa sesi.

> Gunakan tangga apabila mengunjungi pusat beli-belah.

> Sertai program sukan di tempat anda.

> Ketika menonton televisyen, anda boleh melakukan banyak senaman.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Sihat/20090622092820/Article/index_html

No comments: