"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Friday, September 25, 2009

35 juta hidap Alzheimer

WASHINGTON 21 Sept. - Lebih 35 juta penduduk di seluruh dunia dijangka menghidap penyakit Alzheimer atau bentuk demensia (kemerosotan keupayaan mental) yang lain pada 2010, dan hanya sebilangan kecil akan mendapat sebarang jenis rawatan.

Masalah itu bertambah buruk, terutamanya di negara berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak memiliki banyak kemudahan untuk mendiagnosis atau membantu pesakit demensia, menurut Alzheimer's Disease International, sebuah pertubuhan yang menaungi persatuan Alzheimer di seluruh dunia, dalam satu laporan hari ini.


"Laporan ini dan semua kajian terdahulu menunjukkan bilangan penduduk yang menghidapi demensia dijangka bertambah pada kadar yang mencemaskan.


"Kira-kira 35.6 juta penduduk di seluruh dunia akan menghidap demensia pada 2010. Bilangan ini dianggarkan bertambah hampir sekali ganda setiap 20 tahun, kepada 65.7 juta pada 2030 dan 115.4 juta pada 2050," menurut pertubuhan tersebut.


Sebahagian besar pertambahan itu jelas berpunca daripada peningkatan bilangan penghidap demensia di negara berpendapatan rendah dan sederhana.


Tidak banyak rawatan disediakan untuk penyakit Alzheimer yang menjadi punca utama demensia, dan demensia bentuk lain seperti demensia vaskular yang disebabkan saluran darah tersumbat di dalam otak.


Ubat-ubatan boleh meredakan sebahagian simptom buat beberapa waktu tetapi pesakit hilang daya ingatan, keupayaan untuk mengharungi dan memahami dunia ini, dan untuk menjaga diri sendiri. Tidak ada ubat untuk menyembuhkan penyakit ini.


"Kos penjagaan pesakit demensia semakin meningkat di negara berpendapatan rendah dan sederhana," menurut laporan itu.


Ia memetik satu kajian oleh Institut Karolinska pada 2005 yang menganggarkan demensia menyebabkan ekonomi global menanggung kos sebanyak AS$315 bilion (RM1.10 trilion) setahun, iaitu sebanyak AS$227 bilion (RM795 bilion) bagi negara-negara kaya dan AS$88 bilion (RM308 bilion) bagi negara berpendapatan rendah dan sederhana. - Reuters


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm

No comments: