"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Tuesday, January 22, 2008

MUDARAT AIR BANJIR

RUAM, demam, sakit perut, muntah dan cirit-birit merupakan gejala jangkitan bakteria dan virus daripada air banjir.

BANJIR sudah menjadi antara ‘acara’ tahunan beberapa kawasan di Malaysia sementara beberapa kawasan lain mula dilanda banjir akibat perubahan iklim dunia.
Mungkin kejadian banjir yang paling mudah diingati adalah banjir di Semenanjung Malaysia dan Sabah tahun lalu yang membunuh lebih 10 orang penduduk serta banjir besar New Orleans, Louisiana, Amerika Syarikat yang menyebabkan lebih 1,800 terbunuh.
Namun bukan angka kematian dan kerugian yang menjadi masalah utama banjir. Keutamaan sepatutnya diberikan kepada pencegahan kematian dan penularan penyakit, terutamanya melindungi kanak-kanak bukan sahaja daripada arus deras banjir malahan pelbagai jenis kuman dan haiwan berbisa yang di bawa air banjir.
Banjir terburuk dalam sejarah 100 tahun negara ini dicatatkan antara 19 Disember 2006 hingga 11 Januari 2007, dengan kerugian mencecah RM1.5 bilion sementara RM6 bilion lagi diperlukan untuk pelan tebatan banjir jangka panjang.
Paling teruk dilanda banjir ketika itu merupakan negeri Johor yang mencatatkan lebih 10 kematian dalam dua gelombang besar banjir yang melanda sehinggakan lebih 150,000 penduduknya dipindahkan pada kedua-dua gelombang tersebut.
Kedua-dua gelombang banjir yang dikaitkan dengan perubahan iklim dunia, pemendapan sungai dan kegagalan sistem perparitan berfungsi itu menjadi bencana paling teruk dalam sejarah dengan jumlah kerugian nyawa serta harta yang besar.
Kawasan yang berhampiran dengan laut juga berisiko dilanda banjir akibat air pasang ketika bulan penuh atau akibat taufan yang membawa awan hujan ke kawasan pesisir pantai.
Faktor sebegini selalunya sukar diatasi dalam jangka pendek kerana adalah sifat semula jadi alam sekitar.
Bagaimanapun, faktor manusia sememangnya menambah kepada kesan banjir. Ini jelas terbukti akibat kerja pembersihan hutan dan pembalakan berhampiran hulu sungai menyebabkan hakisan bumi yang membawa tanah ke dalam sungai.
Pokok berfungsi menahan ‘hentaman’ air hujan ke atas muka bumi dan menyerap air berlebihan selain akar tumbuhan menjalar seperti rumput memegang permukaan bumi daripada terhakis.
Akibat ketiadaan benteng semula jadi, kejadian tanah runtuh kerap berlaku setiap kali hujan, menjadikan sungai mendap serta semakin cetek dan tidak dapat menampung jumlah air yang banyak.
Selain itu, terdapat juga syarikat atau individu yang membina penempatan di kawasan rendah, terutamanya berhampiran sungai, tanpa memikirkan kemungkinan air melimpahi tebing sungai dan menyebabkan banjir.
Walaupun secara logiknya perkara ini sepatutnya tidak berlaku, ada yang lebih mementingkan keuntungan daripada keselamatan orang ramai yang membeli kediaman di kawasan yang sepatutnya menjadi ‘lembah’ takungan air ini.
Gelombang banjir
Gelombang atau banjir berulang adalah antara sifat banjir yang sering berlaku. Dalam gelombang banjir, gelombang kedua selalunya menyusul tidak lama selepas gelombang pertama mula surut (antara satu hingga dua minggu selepas gelombang pertama melanda).
Masalah dalam sifat gelombang ini adalah caranya mengancam nyawa dan menjejaskan kesihatan mangsa banjir adalah berbeza.
Gelombang pertama selalunya membawa arus air kuat melalui kawasan kediaman, menenggelamkan segalanya sedalam mungkin dan secepat mungkin. Ketika ini ramai yang mati lemas dibawa arus akibat terjatuh ke dalam arus deras atau ketika mandi air banjir.
Jangkitan penyakit tidak banyak berlaku kerana gelombang pertama selalunya membawa air yang lebih bersih daripada air gelombang kedua sementara arus deras mengelakkan kuman daripada bertakung dan merebak.
Menurut Pakar Perubatan dan Pakar Buah Pinggang Hospital Pantai Indah, Kuala Lumpur, Dr. Lim Chin Seng, gelombang kedua membawa lebih banyak masalah terutamanya penularan penyakit berjangkit.
“Gelombang pertama akan menyebarkan semua sampah yang terkumpul di samping turut membunuh pokok dan haiwan. Sampah bertaburan, bangkai yang reput dan pokok mati kemudian menjadi makanan kepada kuman membiak yang akan merebak di dalam air gelombang banjir kedua,” katanya.
Kata beliau, gelombang kedua menyaksikan banyak penyakit berjangkit merebak di kalangan mangsa banjir yang menyentuh atau bermain di dalam air banjir.
Tambahnya, kuman punca penyakit ini juga akan mudah merebak di kawasan pemindahan jika tahap kebersihan tidak dijaga.
Masalah utama ketika gelombang kedua adalah ketiadaan tempat membuang sampah dan najis yang bersesuaian.
Tindakan membuang sampah atau najis ke dalam air banjir pula hanya akan menyebarkan penyakit kepada orang lain yang mengharungi limpahan air tersebut.
Selain itu, ketika banjir, banyak haiwan meninggalkan sarang mereka dan melarikan diri ke kawasan lebih tinggi bagi mengelakkan air banjir. Haiwan berbisa seperti lipan dan ular boleh membawa ancaman kepada mangsa yang berkumpul di tempat tinggi.
Selain itu, tikus dan lipas juga akan melarikan diri ke tanah tinggi dan mungkin akan menyebarkan pelbagai jenis penyakit lain lagi.
Disebabkan pelbagai bentuk bahaya air banjir ini, Dr. Lim menasihatkan mangsa banjir yang tersentuh air banjir supaya membasuh tangan sebelum dan selepas makan dan jangan sesekali menyentuh muka.
Mencuci tangan dengan hanya menggunakan air sahaja dapat mengurangkan berkali-kali ganda risiko jangkitan kuman.
Adalah lebih baik lagi jika dapat membasuh tangan dengan sabun terutamanya ketika waktu makan, ke tandas atau menguruskan sampah.
Kuman bukan sahaja dapat memasuki salur penghadaman melalui mulut malahan boleh menyerang salur pernafasan melalui hidung, menjangkiti mata, sinus dan kulit.
Kawasan sekitar rumah juga perlu dicuci secepat mungkin selepas banjir surut bagi mengelakkan pembiakan kuman dan nyamuk yang boleh menyebarkan penyakit seperti denggi dan malaria pula.
Elakkan daripada memakan makanan mentah termasuk ulam dan buah yang tidak dibasuh serta makanan yang terjatuh ke dalam air banjir, walaupun dibungkus plastik kerana kuman boleh disebarkan ke atas makanan dari permukaan bungkusan berkenaan ketika anda membukanya.
Buang semua makanan yang tidak pasti sudah tercemar atau tidak (kecuali terpaksa) sementara makanan dalam tin adalah yang paling selamat kerana tin boleh dibasuh dengan elok sebelum dibuka dan tidak mudah bocor.
Mangsa banjir juga perlu berhati-hati dengan makanan di dalam peti sejuk terutamanya jika bekalan elektrik terputus.
Kuman seperti Salmonella dan E. coli mudah mencemari makanan di dalam peti sejuk yang tidak berfungsi.
Buang makanan di dalam ruang atas peti sejuk kerana makanan yang disimpan di situ hanya dapat bertahan antara dua dan empat jam sahaja.
Makanan di dalam bahagian sejuk beku pula dapat bertahan antara setengah hari sehingga 24 jam.
Makanan beku masih boleh dimakan jika terdapat peralatan dan air bersih untuk memasak.
Kerajaan telah menyediakan pelbagai jenis kemudahan dan keperluan asas untuk mangsa banjir terutamanya bagi mengesan jangkitan kuman dan memberikan rawatan sewajarnya.
Namun, masalah dari segi bilangan doktor yang dapat memberikan ubat, khususnya kepada pesakit kronik, memerlukan perhatian teliti.
Selain kanak-kanak dan warga emas, pesakit kronik yang menghidap penyakit kencing manis, masalah jantung, darah tinggi, lelah dan masalah buah pinggang memerlukan ubat dan rawatan khas.
Pesakit kronik biasanya memerlukan ubat dengan preskripsi yang tidak dapat diberikan di pusat pemindahan tanpa kebenaran doktor.
Selain itu, pusat rawatan seperti pusat dialisis juga perlu mengambil berat situasi pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis kira-kira tiga kali setiap minggu.
Pesakit buah pinggang yang terperangkap dan tidak dapat menerima rawatan sewajarnya mungkin maut akibat pengumpulan toksin di dalam badan.
Golongan kurang upaya juga perlu diberi perhatian kerana memerlukan bantuan jika perlu dipindahkan di samping memerlukan ubat-ubat tertentu.
Banjir sememangnya menjadi cabaran untuk mangsa dan juga pihak berkuasa.
Namun, semua pihak perlu bekerjasama bagi mengelakkan masalah kesihatan di ketika bantuan amat sukar untuk disampaikan dengan segera.
Oleh itu, jangan ‘cari penyakit’ dengan bermain air banjir dan patuhi arahan pihak kesihatan di tempat anda.
Elakkan air banjir
Jangkitan kuman daripada air banjir atau makanan dan air tercemar adalah sesuatu yang dihadapi mangsa banjir semasa dan selepas banjir surut.
Kesan jangkitan kuman boleh menjadi amat teruk jika tidak diberikan rawatan awal terutamanya kanak-kanak, warga emas dan pesakit kronik yang paling berisiko dan mudah dijangkiti kuman.
Dr. Lim menjelaskan kebersihan sumber air juga menjadi faktor penentu berapa lama mangsa banjir dapat bertahan.
“Walaupun rumah dikelilingi banjir, mangsa banjir tidak boleh menggunakan air yang kotor itu.
“Mereka memerlukan air bersih dan selalunya air paip juga tidak dapat dibekalkan ketika banjir,” ujarnya.
Menurut beliau, walaupun air paip dapat dibekalkan, mangsa banjir menghadapi risiko air paip tercemar akibat paip pecah atau pusat takungan air dicemari air banjir.
Tegasnya, air botol adalah yang paling elok untuk kegunaan mangsa bagi mencuci tangan, minum dan memasak.
Mencuci tangan diutamakan kerana tangan yang pernah menyentuh air banjir akan dipenuhi dengan bermacam jenis kuman yang dapat dipindahkan ke air atau makanan bersih.
Air botol juga dapat menyelesaikan masalah mangsa banjir yang berhadapan dengan kesukaran mendapatkan bekas simpanan air yang bersih atau tidak mempunyai bekalan elektrik dan gas untuk memasak air.
Penduduk pedalaman yang menggunakan perigi pula akan menghadapi masalah lebih besar daripada pengguna air paip.
Memandangkan air perigi tidak boleh digunakan ketika dan selepas banjir, penduduk pedalaman akan terputus bekalan air bersih dan akan memerlukan bantuan segera.
Air perigi akan dicemari air banjir melalui cara melimpah masuk atau meresap melalui tanah terus ke dalam perigi.
Apa dalam air banjir?
Secara asasnya, kebanyakan orang mengetahui air banjir itu dipenuhi pelbagai jenis bentuk kotoran dan kuman.
Namun, ada yang memilih untuk tidak mempedulikannya sementara ada juga yang tidak mempunyai pilihan selain mengharunginya.
Bermacam-macam kuman boleh ditemui di dalam air banjir terutamanya kuman yang boleh menyebabkan jangkitan terhadap sistem penghadaman; melalui mulut, luka pada kulit dan mata.
Paling utama bagi setiap mangsa banjir adalah untuk memahami punca jangkitan dan gejala jangkitan kuman supaya boleh mendapatkan rawatan awal serta mengelakkan penyebaran kuman kepada orang lain.
Kebanyakan kuman air banjir menyerang sistem penghadaman dan menunjukkan gejala yang hampir serupa seperti demam, sakit perut, muntah, cirit-birit dan ruam.
Perkara yang paling membimbangkan dalam kesemua jangkitan ini adalah kemungkinan membawa maut jika tidak dirawat dengan segera akibat badan kehilangan air atau kerosakan pada organ seperti buah pinggang dan hati.
* Taun (kolera) adalah penyakit biasa di musim banjir.
Penyakit ini berpunca daripada jangkitan bakteria Vibrio cholerae (V. choreae) melalui air dan makanan tercemar yang menyebabkan pesakit mengalami gejala muntah dan cirit-birit.
Kematian boleh berlaku jika pesakit tidak minum atau diberikan air dan garam galian secukupnya bagi menggantikan air yang hilang ketika muntah atau cirit.
Jangkitan V. choreae dapat dikenali melalui najis yang kelihatan seperti air kanji ketika memasak nasi sementara penggunaan antibiotik selalunya berkesan untuk merawat pesakit.
* Bakteria Escherichia coli (E. coli) boleh menyebabkan cirit-birit berdarah (disentri) akibat keracunan makanan.
Walaupun bakteria ini hidup secara normal di dalam usus individu yang sihat, tekanan dan jangkitan kuman lain ketika banjir mungkin melemahkan sistem pertahanan badan sehingga memungkinkan ‘sahabat’ manusia ini menjadi musuh.
Gejala sakit perut dan cirit-birit akibat jangkitan E. coli dapat dirawat menggunakan antibiotik biasa.
* Koronavirus juga boleh menyebabkan disentri tetapi tiada rawatan khusus untuk jangkitan virus ini.
Selain itu, beberapa spesies bakteria jenis Shigella dan ameba Entamoeba histolytica juga boleh menyebabkan disentri.
Antibiotik dapat digunakan untuk membunuh bakteria sahaja tetapi untuk ameba beberapa jenis ubat parasit diperlukan untuk rawatan.
* Demam kepialu (tifoid) merupakan antara yang paling kerap berlaku di kalangan mangsa banjir akibat jangkitan bakteria Salmonella typhi (S. typhi).
Salmonella memang terkenal dan sering dikaitkan dengan masalah keracunan makanan.
Bakteria ini disebarkan melalui najis pesakit dan tangan pembawa yang mencemarkan bekalan air atau makanan.
Pembawa S. typhi selalunya tidak menunjukkan gejala demam kepialu kerana badannya dapat menentang jangkitan bakteria itu tetapi tidak dapat membunuhnya.
Pesakit demam kepialu akan mengalami sakit perut yang teruk, cirit-birit dan demam panas yang akan berlanjutan sehingga empat minggu.
Dalam keadaan yang parah atau tidak dirawat dengan segera, pesakit mungkin mula meracau, pengsan, koma dan mungkin meninggal dunia akibat kekurangan air di dalam badan.
* Hepatitits A adalah antara virus yang dapat menyerang sistem penghadaman melalui jangkitan daripada makanan dan air tercemar.
Seperti juga virus Hepatitis B dan C, virus ini menyebabkan kerosakan hati sehinggakan kulit pesakit kelihatan agak kekuningan.
Seperti penyakit lain yang menglibatkan kerosakan hati, pesakit akan mula hilang selera makan akibat hati tidak dapat membersihkan toksin daripada badan.
Penyakit ini tidak mempunyai ubat khusus dan pesakit selalunya dinasihatkan berehat, minum air secukupnya dan menjaga pemakanan.
* Rotavirus A adalah satu lagi virus yang menjangkiti usus manusia ketika musim banjir.
Walaupun kebiasaannya lebih mudah menjangkiti kanak-kanak, virus ini juga dapat menyerang golongan dewasa yang mengharungi air banjir dan menyebabkan cirit-birit yang teruk.
Pesakit selalunya pulih sendiri dengan meminum banyak air bagi membolehkan sistem imun badan menapis virus tersebut daripada dalam badan.
Terdapat vaksin yang dikeluarkan sejak 1998 bagi mengurangkan masalah cirit-birit bagi kanak-kanak yang dijangkiti virus ini tetapi vaksin berkenaan perlu diberikan sebelum virus itu menjangkiti pesakit melalui air banjir.
* Leptrospirosis merupakan sejenis penyakit bawaan tikus melalui air kencing dan najisnya yang menyebarkan bakteria dari genus Leptospira (spesies icterohaemorrhagiae, canicola, pomona, grippotyphosa, atau bratislava).
Selain tikus, bakteria ini juga boleh disebarkan anjing, rusa, arnab, lembu dan kambing yang telah dijangkiti. Terdapat pelbagai bentuk gejala penyakit ini tetapi pesakit juga mungkin langsung tidak menunjukkan sebarang gejala.
Gejala selalunya bermula seperti selesema (demam, sakit kepala, sakit otot, muntah dan badan terketar-ketar).
Pesakit kemudiannya akan kelihatan semakin baik sebelum timbul gejala lain seperti meningitis, kerosakan hati dan kerosakan buah pinggang.
Penyakit ini juga sering disalah diagnosis berikutan terdapat banyak gejala dan tempoh eraman antara empat hingga 14 hari di mana pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala jangkitan.

No comments: