"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Wednesday, May 26, 2021

Hari Kiamat

 ☆Tadabbur Kalamullah 13 Syawwal 1442H☆


إِنَّ السَّاعَةَ آتِيَةٌ أَكَادُ أُخْفِيهَا لِتُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍ بِمَا تَسْعَىٰ


“Sesungguhnya hari Kiamat itu tetap akan datang (yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya) supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang dia usahakan” [Surah ThaHa 15]


#Kiamat tetap akan berlaku. Cuma masa dan waktunya disembunyikan dan hanya diketahui oleh Allah swt sahaja. 


#Namun begitu, tanda-tanda akan berlakunya kiamat didedahkan di dalam hadis Nabi saw agar kita sentiasa bersedia menghadapinya dengan taubat dan bersegera melakukan amal soleh.


#Daripada Sayidina Huzaifah bin Asid r.a bahawa Nabi saw di dalam bilik dan kami berada di bawahnya. Maka Nabi saw bertanya: "Apa yang kamu bincangkan?" Mereka menjawab: "Perihal as-Sa’ah (hari Kiamat)". Lalu Nabi saw bersabda:


إنَّ السَّاعَةَ لَا تَكُونُ حَتَّى تَكُونَ عَشْرُ آيَاتٍ: خَسْفٌ بِالْمَشْرِقِ، وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ، وَخَسْفٌ فِي جَزِيرَةِ الْعَرَبِ وَالدُّخَانُ وَالدَّجَّالُ، وَدَابَّةُ الْأَرْضِ، وَيَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ، وَطُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَنَارٌ تَخْرُجُ مِنْ قُعْرَةِ عَدَنٍ تَرْحَلُ النَّاسَ


“Sesungguhnya hari Kiamat tidak akan berlaku sehingga berlaku sepuluh tanda ini iaitu gerhana di Timur, gerhana di Barat, gerhana di rantau Arab, asap, Dajjal, Dabbah yang melata di bumi (sejenis haiwan), Ya’juj dan Ma’juj, terbit matahari dari Barat, api yang keluar dari lembah Aden yang akan mengiringi manusia" (HR Muslim)


#Daripada Sayidina Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi saw bersabda:


بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ سِتًّا: الدَّجَّالَ، وَالدُّخَانَ، وَدَابَّةَ الْأَرْضِ، وَطُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَأَمْرَ الْعَامَّةِ، وَخُوَيْصَّةَ أَحَدِكُمْ


“Bersegeralah dalam beramal sebelum datang enam perkara: Dajjal, Asap, Dabbah yang melata di bumi, terbit matahari dari Barat, urusan umum (Kiamat) dan perkara khusus daripada kalangan kamu (kematian)” (HR Muslim)


#Berkata Syeikh al-Mubarakfuri rahimahullah: "Ketahuilah bahawa riwayat-riwayat ini (berkaitan tanda-tanda besar Kiamat) telah menjadi perselisihan pada susunan tanda-tanda yang sepuluh (tanda besar Kiamat). Untuk itu, telah berselisih para ahli ilmu dalam menentukan susunannya. Telah dikatakan bahawasanya tanda besar Kiamat yang pertama adalah Asap, kemudian keluarnya Dajjal, kemudian turunnya Nabi Isa, kemudian keluarnya Ya’juj dan Ma’juj, kemudian keluarnya al-Dabbah, kemudian terbit matahari dari Barat kerana orang kafir memasuki Islam pada zaman Nabi Isa sehingga dakwah ini menjadi satu” (Lihat: Tuhfah al-Ahwazi)


#Al-Hafiz Imam Ibnu Kathir berpendapat keluarnya binatang dari perut bumi merupakan tanda hari Kiamat yang pertama kali terjadi. 


#Pendapat yang agak kuat ialah pendapat al-Hafiz Ibnu Hajar iaitu dengan keluarnya Dajjal sebagai tanda kiamat yang pertama.


#Ketahuilah bahawa tanda-tanda Kiamat ini tidak mempunyai susunan yang khusus. Ini kerana, hadis yang menceritakan perihal ini berbeza dari sudut susunannya. Para ulamak turut berbeza pendapat dalam menentukan tanda besar Kiamat yang pertama dan terakhir. Ini menunjukkan bahawa tidak ada nas atau hadis yang menjelaskan secara khusus berkaitan susunannya melainkan ia hanyalah ijtihad para ulamak dalam menentukan susunan tersebut.


♡Kesimpulannya, hari kiamat pasti terjadi. Sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa bersedia untuk menghadapi saat-saat ini dengan amal soleh dan melazimi taubat kepadaNya. Ini kerana, tidak ada yang dapat menyelamatkan kita daripada segala fitnah dan ujian ini melainkan dengan iman dan ketaqwaan yang sebenarnya. Semoga Allah memelihara iman kita dan menjadikan kita hambaNya yang berjaya di dunia dan akhirat. Aamiiin♡

No comments: