"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Sunday, October 17, 2010

Chen Hoe dapat 'nyawa kedua'

Pembedahan pemindahan organ mampu menyelamatkan nyawa. - Gambar hiasan


MEMANG bukan satu perkara mudah untuk menerima hakikat bahawa salah satu organ badan anda tidak berfungsi.

"Bukan juga satu situasi yang mudah untuk menerima hakikat bahawa penyakit yang dihidapi sudah di peringkat terakhir dan anda bagaikan berada di penghujung usia."
Demikian luah rasa Lee Chen Hoeyang kira-kira 14 tahun lalu menderita akibat penyakit buah pinggang sehinggalah menerima pemindahan buah pinggang yang disifatkannya bagai diberi 'nyawa kedua'.

Menurut bapa kepada sepasang anak kembar itu, dia mula menyedari ada yang tidak kena pada dirinya apabila kaki dan mata mula membengkak.

Mukanya juga pucat, tidak mempunyai selera makan, badan sering mengalami gatal dan susah bernafas pada waktu malam.

Tanpa mengsyaki sesuatu yang buruk, dia mendapatkan rawatan. Namun setelah pemeriksaan lanjut dilakukan, dia diberitahu bahawa kedua-dua buah pinggangnya sudah rosak dan tidak berfungsi.

Chen Hoe yang tidak dapat menerima hakikat tersebut sering bertanya mengapa dugaan itu yang diberikan kepadanya? Apakah dosa yang telah dilakukan?

''Ketika itu saya baru berusia 33 tahun. Pada masa yang sama anak kembar saya baru berusia tiga tahun. Kebetulan juga saya baru membuat pinjaman membeli rumah.

''Semua benda perlu saya fikirkan kerana saya ketua keluarga. Ada ketika saya pernah terfikir hendak membunuh diri akibat tekanan yang dihadapi.

''Saya mengambil masa selama empat bulan untuk menerima kenyataan yang saya menghidap penyakit buah pinggang.

"Kemudiannya, saya terpaksa menunggu empat tahun untuk mendapatkan penderma. Satu tempoh yang saya rasa cukup lama,'' tambahnya.

Chen Hoe, antara pesakit di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang pada 1996, selepas hampir berputus asa kerana ketiadaan penderma selain terpaksa berdepan kenyataan bahawa dirinya tidak lagi sihat seperti sebelumnya.

Katanya, memang susah untuk menerima hakikat bahawa dirinya tidak lagi seperti orang lain.

Tetapi dirinya bertuah kerana orang di sekelilingnya termasuk isteri, anak-anak serta keluarga memberi sokongan padu untuk meneruskan kehidupan dan menjalani hari-hari mendatang dengan tabah.

Sementara menunggu penderma yang sesuai untuk menggantikan buah pinggangnya, dia menjalani rawatan dialisis di samping mengamalkan gaya hidup sihat.

Hakikatnya walaupun menjalani rawatan dialisis seminggu tiga kali, kehidupannya tidak lagi seperti sedia kala. Selain cepat letih, dia turut menghidap penyakit darah tinggi.

Menurut anak kelahiran Batu Arang, Selangor itu, selama lima tahun dia menjalani rawatanContinuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) sebelum mendaftar untuk menjalani proses pemindahan organ.

Bagaimanapun ia bukanlah semudah yang disangkakan kerana negara ini masih lagi kekurangan penderma organ.
Sedangkan pesakit dalam senarai menunggu semakin bertambah dari sehari ke sehari.

Berkat kesabaran, akhirnya Chen Hoe mendapat buah pinggang yang bersesuaian dengannya daripada seorang rakyat Amerika Syarikat yang bermastautin di negara ini.

Penderma tersebut telah disahkan mati otak akibat strok di salah sebuah hospital swasta tempatan.

Apa yang menariknya, selain Chen Hoe, seorang lagi penerima turut menerima satu buah pinggang daripada rakyat Amerika tersebut.

''Dua buah pinggang daripada seorang rakyat Amerika telah memberikan satu kehidupan baru buat dua pesakit buah pinggang yang kritikal.

''Selain mempunyai 'kembar', saya juga kini mempunyai tiga buah pinggang, bagaimanapun dua lagi sudah kecut dan tidak lagi boleh digunakan,'' kata Chen Hoe.

Bercerita lanjut mengenai kehidupannya ketika sakit, dia yang sememangnya tidak merokok memberitahu, walaupun bergantung pada rawatan dialisis, ia sedikit pun tidak menghalang dirinya untuk bersenam serta bekerja seperti biasa.

Kini Chen Hoe sentiasa memastikan pengambilan makanan yang betul. Dia bersarapan dengan sebiji epal atau buah kiwi dan secawan oat.

Selain itu, dalam menu harian akan dipastikan makanannya terdiri daripada sayur-sayuran dan makanan yang berserat.
Kini walaupun terpaksa bergantung hidup sepenuhnya kepada ubat anti-penolakan, ia tidak menghalang Chen Hoe menjalani kehidupan seperti biasa.

Malah dia juga aktif memberi ceramah mengenai pendermaan organ di seluruh negara.

Kini usia Chen Hoe sudah mencecah 53 tahun. Tetapi dalam tempoh 14 tahun lalu, buah pinggang baru yang diterimanya merupakan penyambung hidupnya.

Ia ibarat mendapat peluang kedua untuk meneruskan kehidupan.

No comments: