"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, April 3, 2010

Diet cara makrobiotiks

ANDA adalah apa yang anda makan" - satu ungkapan yang sangat popular. Ramai mengakui kebenaran ungkapan ini, tetapi tidak pula mempraktikkannya.

Makanan berlemak, masin, manis dan berperisa menjadi pilihan. Jika tiada semua itu, hidangan seakan tidak sempurna. Itu belum dikira jumlah yang diambil. Tidak hairan ramai kini mendapat penyakit berpunca daripada makanan.

Sedar betapa pemakanan dan kesihatan tubuh sangat berkait rapat, June Ka Lim mengakui dia agak cerewet tatkala menentukan setiap jenis makanan yang patut diambilnya.

Justeru, wanita ini mengamalkan konsep makrobiotiks sejak 20 tahun lalu.

Menurutnya, istilah makrobiotiks berasal dari Greek iaitu makro yang bermaksud besar atau panjang dan bios bermakna kehidupan. Maka makrobiotiks bermakna diet untuk hidup lebih lama.

Ia merupakan diet warisan nenek moyang masyarakat Jepun dan China berusia lebih 5000 tahun. Konsep ini diperkenalkan kembali oleh George Oshawa pada 1913 yang kemudian tersebar hingga ke Eropah. Kemudian konsep ini dibawa oleh anak muridnya, Michio Kushi yang berpindah ke Amerika Syarikat.

Memudahkan pertukaran kepada konsep ini, Ka Lim merupakan pengamal vegan sejak kecil. Bukan setakat tidak menjamah daging, mereka yang mengamalkan pemakanan ini juga tidak mengambil hasil seperti telur dan produk tenusu (susu, minyak sapi, mentega dan sebagainya).

"Saya percaya kesihatan optimum diperoleh melalui pemakanan yang berkhasiat juga bebas daripada sebarang unsur tidak baik," kata pemilik restoran Woods Macrobiotics ini.

Empat elemen makrobiotiks

1. Manusia dan alam semula jadi saling berkait rapat.

Makrobiotiks menekankan gabungan minda, jasad dan rohani pengamalnya bersatu secara harmoni dengan alam semula jadi. Pengamal konsep ini menikmati hidangan secara semula jadi dan penuh (tanpa proses kimia) seperti beras bijirin penuh, sayur, kekacang, biji-bijian, dan perasa semula jadi. Visi utama adalah hidup secara harmoni dan mengelakkan makanan berproses secara kimia.

Makanan organik bukan sekadar menikmati sayur organik. Ia merujuk kepada penanaman secara organik yang tidak menggunakan racun dan baja kimia, serta hormon penggalak atau tumbesaran tumbuhan. Penghasilan makanan organik juga tidak mencemarkan alam sekitar dan air.

"Saya percaya, alam sekitar yang sihat memberi kesan yang baik kepada kita semua," kata Ka Lim.

2. Makanan asli adalah ubat kepada segala penyakit.

- Merujuk laporan pakar pemakanan, makanan organik ditanam, dituai dan diproses secara semula jadi, maka ia mengandungi kandungan nutrien yang tinggi. Ini dapat membantu kita menjauhkan diri daripada kebanyakan penyakit.

3. Makan makanan dalam bentuk penuh.

- Ia bermaksud makanan tidak berproses dan ini adalah asas untuk diet menyihatkan. Contohnya ketika menyediakan lobak putih, jangan kupas kulit. Hanya basuh dengan bersih dan masak bersama bahagian atas (batang dan daun) untuk menyerap tenaga keseluruhan sayur tersebut.

Beras putih tidak mempunyai lapisan luar yang mengandungi vitamin B kompleks dan fiber seperti beras perang. Kandungan nutrien yang terdapat pada beras perang (yang tidak digilap) lebih berkhasiat berbanding beras putih. Kajian menunjukkan proses menggilap bijian gandum menyebabkan lebih 77 peratus vitamin B1 hilang.

4. Keseimbangan yin yang dan lima elemen api, tanah, besi, air dan kayu.

- Makrobiotiks percaya kepada pilihan makanan yang tepat untuk seseorang berdasarkan yin yang serta lima elemen seperti di atas. Yin yang merujuk kepada tenaga persamaan dan bertentangan yang melengkapi kehidupan. Yang adalah tenaga aktif yang mewakili manakala yin pula bersifat terbuka.

Woods Macrobiotics

Ka Lim mengambil keputusan membuka restoran vegan yang menyediakan makanan berasaskan organik pada 1993.

Pada mulanya ia kurang mendapat sambutan, namun lama-kelamaan semakin ramai yang sedar betapa pemakanan yang sihat sangat penting untuk kesihatan optimum.

Jelasnya, terdapat beberapa sebab orang sukar mengubah tabiat pemakanan mereka. Antaranya kerana deria rasa yang sudah sebati dengan makanan berproses dan perisa tambahan.

"Mereka juga rasa sudah selesa gaya hidup menikmati makanan segera hingga sukar untuk mengubahnya," kata wanita pencinta alam sekitar ini.

Menariknya tentang Woods, ia bukan sekadar restoran malah turut menjual produk-produk organik. Mungkin ada yang berkata, bahan organik mahal dan sukar diperolehi. Namun bagi Ka Lim, jika difikirkan dengan kos perubatan dan masalah yang bakal dihadapi kelak, tentu ramai yang sedar dan ingin bertukar kepada makanan jenis ini.

Woods Macrobiotics,

25, Jalan Telawi 2,

Bangsar Baru,

59100 Kuala Lumpur.

03-22870959

www.macrobiotics-malaysia.com

No comments: