"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, May 15, 2010

Mengurus asma untuk hidup biasa

November tahun lalu, tersebar berita mengatakan David Beckham menderita penyakit asma sejak kecil walaupun belum ada pengakuan daripadanya sendiri.

Puncanya, apabila Beckham dilihat menggunakan inhaler (alat bantuan pernafasan) ketika perlawanan akhir piala Major League Soccer, antara Los Angeles Galaxy melawan Real Salt Lake. Jika benar, David dilihat berjaya mengawalnya kerana sebelum ini dia tidak pernah dilihat mempunyai masalah pernafasan ketika bermain bola sepak.

Pakar asma, Dr. John Dickinson berkata, ramai atlet menghidap asma. Pada tahun 2004, hampir 21 peratus daripada pasukan Olimpik British disahkan menghidap asma dan meningkat kepada 25 peratus pada tahun 2008. Tambah Dr. John, sukan basikal dan berenang merupakan kumpulan pesakit yang tertinggi iaitu hampir 50 peratus.

“Ramai atlet yang menghidap asma berjuang untuk memenangi pingat Olimpik dan kejuaraan dunia. Ia tidak mustahil, selagi anda mampu menguruskan asma anda,” ujarnya.

Bahkan pemain tengah Manchester United, Paul Scholes pernah berkongsi pengalamannya yang mengidap asma tetapi berjaya mengawal asma dengan baik. Bahkan, ia tidak mengganggu prestasi di padang bola.

Scholes yang disifatkan sebagai amat pemalu orangnya oleh para peminat, berjaya mengawal asma dengan begitu baik sekali.

Begitu juga dengan bintang milenium, Amitabh Bacchan, pemain kriket popular, Ian Botham, bintang trek Olimpik, Jackie Joyner Kersee dan penyelam pingat emas, Greg Louganis.

Mereka membuktikan bahawa menghidap asma bukan halangan untuk menikmati, mengecapi dan menjalani kehidupan yang aktif dan berjaya dalam hidup.

Rahsia sebenar di sebalik kejayaan selebriti dan para atlet ini membolehkan mereka menjalani aktiviti lasak ialah mereka lebih menekan aspek pengawalan asma, berbanding merawatnya.

Adakah sekadar bergantung kepada ubat-ubatan untuk melegakan serangan asma mampu menjamin keadaan mereka tidak bertambah serius?

Sempena sambutan Hari Asma Sedunia, Pakar Perubatan dan Pernafasan Pantai Hospital Ampang, Dr Zal Abdul Rahim, berkongsi maklumat tentang penyakit asma.

Beliau memberitahu, asma ialah sejenis penyakit kronik paru-paru iaitu berlaku inflamasi atau radang pada saluran pernafasan.

Dr. Zal menambah, punca sebenar seseorang itu menghidap asma tidak diketahui. Jika ada ahli keluarga yang menghidap asma, maka seseorang itu lebih berisiko untuk mendapat asma. Ada tiga faktor yang menyebabkan seseorang itu mendapat asma iaitu keturunan, pendedahan agen, persekitaran dan pekerjaan.

“Untuk kategori keturunan, golongan ini mempunyai paras Immunoglobulin E (IG E) yang tinggi dalam darah dan selalunya mempunyai kecenderungan untuk menghidap penyakit rinitis, demam alergi, asma dan ekzema. Selain itu, obesiti dan faktor jantina turut mempengaruhi. Kanak-kanak lelaki lebih mudah mendapat asma (dua kali ganda) berbanding kanak-kanak perempuan. Di kalangan dewasa, lebih ramai perempuan yang menghidap asma berbanding lelaki namun punca sebenar tidak diketahui,” jelas beliau.

Pendedahan kepada binatang peliharaan (kucing, anjing, burung dan lain-lain), lipas, debunga, kulat pencemaran udara sama ada dalam rumah atau di luar rumah boleh menjadi faktor kepada penyakit ini.

Dr. Zal memberitahu, lebih daripada 300 bahan telah terbukti boleh menyebabkan asma bersumberkan pekerjaan (occupational asthma). Keadaan ini terjadi disebabkan pendedahan kepada agen yang terdapat di tempat kerja. Contohnya, pekerja industri cat dan plastik yang terdedah kepada pelbagai bahan kimia.

Beliau menasihatkan setiap pesakit mesti mengambil ubat supaya keadaan asma mereka terkawal sepenuhnya.

“Jangan berhenti mengambil ubat tanpa nasihat doktor. Jika kawalan sepenuhnya sudah tercapai, ubat untuk asma perlu dikurangkan secara perlahan-lahan berdasarkan keadaan kesihatan pesakit. Ubat-ubatan ini perlu diambil dengan teknik sedutan yang betul dan tepat supaya ubat dapat sampai ke paru-paru. Ia juga perlu dalam dos yang betul,” jelasnya.

Sementara itu, ahli fisioterapi Pantai Hospital Ampang, Fazlina Padzil berkata, apabila pesakit diserang asma secara mengejut, mereka perlu bertenang.

Dia menyarankan pesakit mengawal cara pernafasan dengan baik seperti menarik nafas daripada hidung dan hembus melalui mulut sambil separa baring atau duduk mengikut keselesaan. Kemudian, pesakit perlu bertenang dan dapatkan bantuan kecemasan.

“Setiap pesakit sama ada dewasa atau kanak-kanak boleh bersenam dengan mendapat nasihat daripada doktor dan ahli fisioterapi,” ujarnya.

Asma kanak-kanak

Sementara itu, Dr. Zal menyarankan ibu bapa yang mempunyai anak-anak menghidap asma, supaya memastikan anak mereka mendapat rawatan berterusan.

Seperti orang dewasa, kanak-kanak juga memerlukan langkah pencegahan daripada ejen yang boleh menggalakkan asma.

“Ada sebahagian daripada kanak-

kanak yang menghidap asma akan pulih apabila mereka meningkat remaja dan dewasa. Tetapi mereka masih berisiko untuk mendapat asma itu kembali jika perkara-perkara yang menyebabkan asma tidak dikawal dan diberi perhatian. Ada juga kanak-kanak yang asmanya tidak hilang dan mereka perlu terus menggunakan ubat untuk mengawalnya,” jelas beliau.

Dalam pada itu, GlaxoSmithKline Pharmaceutical Malaysia bekerjasama dengan Majlis Asma Malaysia (ACM), Persatuan Torasik Malaysia (MTS) dan Yayasan Paru-paru Malaysia (LFM) melancarkan Kempen Asma di Sekolah yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan menyoroti keperluan kawalan asma di kalangan kanak-kanak yang merupakan pesakit asma.

“Penyakit asma semasa kecil adalah satu penyakit respiratori kronik yang paling biasa kerana dianggarkan bahawa satu daripada 10 kanak-kanak di Malaysia menghidapi penyakit asma. Ini adalah statistik yang amat merisaukan apabila mempertimbangkan kesan penyakit ini terhadap pertumbuhan kanak-kanak dan perkembangan mereka, “kata Pengerusi ACM, Dr Norzila Mohamed Zainudin.

Kempen Asma di Sekolah dilancarkan di Sekolah Cempaka Damansara dan dihadiri oleh lebih daripada 300 orang termasuk pelajar, ibubapa dan guru. Selanjutnya, sembilan sekolah swasta dan sekolah antarabangsa dalam Lembah Klang akan menyertai kempen pendidikan ini.

Pek Asma Sekolah juga telah diwujudkan secara khusus untuk pelajar, ibubapa mereka dan guru-guru. Pek-pek ini mengandungi maklumat yang berguna tentang asma, penyebab pencetusan asma dan pilihan rawatan, serta informasi untuk bantuan kecemasan ketika seseorang diserangi asma.

No comments: