"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, March 26, 2011

Akibat tidak ikut nasihat doktor





WAJAH enigma Nisa bertukar keriangan apabila disapa Pengarah Institut Perubatan Respiratori (IPR) Kuala Lumpur, Datuk Dr. Abdul Razak Muttalif.

“Nisa, ada wartawan ingin menemubual awak, awak ok ke?,” kata Abdul Razak sambil menyelak langsir katil di wad IPR Rabu lalu.

Tanpa ada bantahan, Nisa bingkas bangun dari katilnya lantas bersuara: “Tiada masalah Datuk, apa salahnya berkongsi cerita tentang penyakit saya, saya sudi.”

Rundingan mudah antara doktor dan pesakit itu se memangnya telah membuka ruang untuk penulis menebak kisah Nisa yang menghidap penyakit tibi. . Tanpa berselindung, wanita yang berumur 35 tahun itu memberitahu, dia menyewa sebuah bilik berharga RM20 sebulan di sebuah flat di Chow Kit bersama rakannya.

“Saya ibu tunggal dan ada seorang anak perempuan duduk di rumah ibu,” ujarnya yang duduk bersimpuh atas katil wad. Kemudian dia membetulkan ikatan rambutnya dan menegakkan posisi badannya, tanda dia bersedia menjawab pelbagai soalan yang ingin dilontarkan.

Sebelum itu, dia dinasihatkan Abdul Razak untuk memakai topeng udara. Sebagai langkah berjaga-jaga, penulis juga diminta untuk berbuat demikian bagi mencegah sebarang jangkitan.

Bicara semakin serius tatkala dia mula menitipkan cerita bagaimana dia mula menghidap penyakit tibi yang begitu menyesakkan hidupnya.

Langgar pantang

“Sebenarnya, saya pernah kena penyakit ini sekitar tahun 2003, tapi mahu tahu kenapa saya masih lagi di sini (wad), jawabnya ialah saya telah langgar pantang,” ujar Nisa yang menyalahkan dirinya sendiri.

Kata anak jati Kuala Lumpur itu, dia tidak mengikut preskripsi yang telah ditetapkan oleh doktor.

Sepatutnya dia harus makan 12 biji pil ubat dalam tempoh enam bulan tanpa gagal.

“Saya degil, tak ikut cakap doktor. Akibatnya, dua bulan lalu, nyawa saya bagai di hujung tanduk apabila saya disahkan diserang simptom tibi sekali lagi.

“Saya mengalami batuk berlarutan, jantung rasa sakit, muntah dan gagal bernafas dengan baik. Akhirnya saya dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kemudian di pindahkan ke IPR,” katanya yang memberitahu bahawa keluarga sebelah ibunya, mempunyai sejarah penyakit berjangkit itu.

Nisa memberitahu, dia mempunyai sebab yang kuat membuka bicaranya dengan memberitahu lokasi tempat tinggalnya. Penulis sebenarnya dapat meramal bahawa kedudukan geografi kediamannya itulah penyumbang kepada penyakit yang dialaminya.

Chow Kit adalah sebuah kawasan yang cukup terkenal. Namun masyarakat harus akui, persekitaran di situ agak menakutkan.

Chow Kit yang terletak di jantung ibu kota didominasi oleh warga asing. Ia di burukkan lagi dengan lalu-lalang kenderaan yang bertali arus.

Udara tercemar

Sampah sarap yang bertaburan ditambah dengan bau yang menjengkelkan memang tidak payah cakap, pihak berkuasa tempatan pun sudah kering air liur menasihati orang ramai supaya menjaga kebersihan.

Dalam erti kata lain, persekitaran Chow Kit sangat kotor.

PEMBERIAN ubat mengikut kaedah Directly Observed Therapy Short Course (DOTS) disaksikan oleh pengamal perubatan atau orang lain yang dilantik sebagai penyelia. - Gambar hiasan


“Sememangnya apa yang kamu senaraikan tentang tempat itu, memang benar. Saya telah menyedut udara tercemar dengan kuman tibi.

“Tapi ingin saya tekankan sebab utama saya kena tibi semula ialah kerana saya tidak ikut prosedur menghabiskan rawatan enam bulan seperti yang ditetapkan doktor,” katanya.

Bagaimanapun, Nisa membongkar rahsia kedegilannya. Peringkat awal menghidap penyakit itu pada tahun 2003, dia benar-benar mahu segera sembuh.

Namun kekangan kewangan yang menghantui ibu tunggal itu telah membantutkannya ke hospital. Wang hasil kerjanya perlu diperuntukkan kepada anak tersayang.

Kali ini, dia bernasib baik, rawatan terbaik yang diberikan secara percuma di IPR akan menjadikan dia seorang yang sihat semula.

Ujar wanita itu, kini dia makin berselera. Berat badan yang dulunya 44 kilogram (kg) kini mencecah 51.7 kg merupakan indikasi bahawa wanita itu makin sihat.

Jiran katil Nisa, Iman, 34, mempunyai simptom yang sama tetapi kepercayaan konvensionalnya telah memakan diri.

“Saya fikirkan saya kena santau sebab saya batuk dan muntah berdarah.

“Menguatkan lagi kepercayaan yang saya terkena santau apabila doktor gagal mengesan penyakit tibi dan hanya memberitahu, saya hanya mengalami demam biasa,” ujarnya.

Hilang selera

Wujud kekhuatiran dalam benak wanita yang juga seorang penyambut tetamu di sebuah hotel di ibu kota itu. Segala bentuk ubat-ubatan kampung yang diberi oleh dukun juga tidak memulihkan kesihatannya.

Sebaliknya, Iman memberitahu, ada perkara pelik terjadi. Pada waktu pagi, suhu badannya normal.

Bagaimanapun, pada sebelah petang hingga ke malam, seluruh tubuhnya akan panas.
Akhirnya, atas nasihat majikannya, Iman merujuk seorang pakar yang berjaya mengesahkan dia terkena jangkitan tibi.

Sukar untuk ibu kepada seorang anak itu memberi sebab mengapa dia mendapat jangkitan penyakit tibi.

Namun, dia mengesyaki tuntutan pekerjaan yang memerlukan dia bercakap dan bergaul dengan pelanggan hotel yang datang dari dalam dan luar negara merupakan faktor utama kepada penyebaran kuman tibi yang tersebar melalui udara.

PENYAKIT tibi yang tidak dirawat dengan sempurna boleh membawa maut.


Sama seperti Nisa, impak kepada penyakit yang dulu dikenali sebagai batuk kering, Iman hilang selera makan.

“Kita memang terasa nak makan itu dan ini tapi bila makanan itu ada depan mata, kita tak mampu nak telan.

“Percaya atau tidak, badan saya susut 14 kg disebabkan tibi,” katanya yang baru dua minggu menjadi tetamu kepada wad IPR Kuala Lumpur.

Sedang penulis dan Iman masih rancak berbual, Nisa hadir menghampiri kami. Nisa kemudiannya seolah-olah memberi mandat kepada Iman agar jangan mengikut jejak langkahnya yang mengingkari nasihat pakar.

“Jangan tinggal walau satu hari pun dan ingat kalau kita terlupa sehari, kita terpaksa mengulangi sekali lagi putaran preskripsi dari awal,” pesan Nisa kepada Iman.

Kepada orang ramai, Iman pula mengingatkan bahawa nyahkan kepercayaan karut sebaliknya dapatkan rawatan di hospital.

Penyakit tibi, hakikatnya tidak mengenal batasan kehidupan seseorang. Tidak kira sama ada seseorang itu miskin atau kaya, kuman tibi mampu menyerang.

“Masyarakat perlu lebih peka kepada penyakit yang berbisa ini, hindari kawasan sesak yang boleh beri kita risiko,” kata mereka yang ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak IPR yang menjaga mereka dengan baik.

Dalam pada itu, menurut Abdul Razak, mengikut prosedur biasa, seseorang penghidap tibi akan menjalani rawatan yang dikenali sebagai Short Course Chemotheraphy (SCC) yang mengambil masa enam bulan.

“Pesakit akan diberi 12 tablet ubat setiap hari dalam tempoh itu dan mereka mesti dipastikan makan ubat tanpa putus, jika tak, penyakit bolah datang semula,” ujarnya.

Pemberian ubat adalah mengikut kaedah Directly Ob served Therapy Short Course (DOTS) yang mempunyai lima cabang rawatan.

Pada dua bulan pertama, rawatan harian akan diberikan. Kebiasaannya, ia mengandungi empat jenis ubat yang disaksikan oleh pengamal perubatan atau orang lain yang dilantik sebagai penyelia.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

No comments: