"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, May 22, 2010

Kanser bukan noktah hidup

WAJAH mereka agak tenang seolah-olah tiada apa yang berlaku. Namun, di sebalik riak wajah ceria itu tersimpan kenangan serta pengalaman yang tidak mungkin dilupakan sampai bila-bila. Ketiga-tiga wanita yang ditemui dalam satu majlis anjuran Avon baru-baru ini berkongsi kisah suka dan duka mereka melawan kanser payu dara. Bagi mereka, kanser ini bukanlah noktah atau penamat kehidupan. Selepas rawatan, mereka masih meneruskan hidup bersama keluarga dan rakan-rakan.

Rubiah Awang, 46 tidak menyangka kehidupannya akan berubah sejak lapan bulan lalu.

"Masa itu sedang bekerja. Saya memeriksa sendiri dan mendapati payu dara saya keras sahaja dan sekata. Kemudian, saya pergi ke klinik panel dan ke hospital melakukan ujian mamogram. Saya disahkan menghidap kanser ini peringkat ketiga. Selepas pembedahan, saya melakukan radioterapi dan kemoterapi seperti pesakit kanser lain," ujarnya.

Pada mulanya, Rubiah agak terkejut tetapi sedikit demi sedikit dia boleh terima. Begitu juga dengan keluarganya tetapi mereka tetap memberi sokongan. Bicaranya tentang perancangan masa depan, dia ingin teruskan kehidupan dengan gembira.

Kini, dia banyak menguruskan diri sendiri termasuk pemakanan. Katanya, seorang pesakit perlu mengurangkan makanan berminyak. Selain itu dia banyak melibatkan diri dalam aktiviti anjuran Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Nasihat Rubiah kepada wanita di luar sana, setiap wanita perlu memeriksa payu dara sendiri.

"Perhatikan jika ada apa-apa yang ganjil. Sekiranya ada, segera pergi berjumpa doktor dan jangan pula berjumpa bomoh," katanya.

Berubah

Bagi Zalina Adam, 46, kehidupannya berubah sejak Disember 2006. Kebetulan dia bekerja di sebuah hospital, seperti sudah tahu ada sesuatu yang berlaku. Dia kemudian membuat pemeriksaan mamogram dan disahkan menghidap kanser payu dara. Dia mungkin bernasib baik kerana hanya menjalani pembedahan untuk membuang sebelah payu daranya tanpa perlu melakukan radioterapi dan kemoterapi. Kemudian dia berjumpa pakar bedah plastik untuk membaik pulih payu daranya. Walaupun merasai kekurangannya, dia bersyukur kerana masih mendapat peluang kedua.

Pada awalnya dia sedia. Terdetik di hati, "Apa dosa aku?"

"Tiga minggu selepas saya disahkan menghidap kanser, saya berada dalam kesedihan tetapi lama-kelamaan, semangat saya semakin pulih. Nasihat saya, setiap pesakit mesti berfikiran positif dan reda. Paling penting, dapatkan maklumat dan pengetahuan tentang rawatan kanser ini dengan betul," ujarnya.

Sama seperti Zalina dan Rubiah, Yasogee Pechumuthu, 46 disahkan menghidap kanser payudara pada September 2006 mengakui pernah melalui beberapa fasa rawatan yang disifatkan terlalu menyakitkan.

Proses kemoterapi, pembedahan dan terlantar selama beberapa bulan di hospital, kemudian perlahan-lahan menjadi pembakar untuknya berdiri semula. Jelas ibu kepada tiga cahaya mata itu, semakin lama menangis semakin lemah tubuh badannya.

Kasihan melihat anak-anaknya yang masih memerlukan tumpuan dan kasih sayang, Yasogee berusaha untuk sihat dan menjalani kehidupan yang ceria. Seiring dengan kerjaya seorang guru di salah sebuah sekolah menengah, Yasogee ingin menunjukkan contoh kepada pelajar kesayangan.

"Sekali gagal tidak bererti kita gagal selamanya. Begitu juga dengan kesakitan yang dialami. Jangan biarkan penyakit itu menjadikan kita individu yang lemah sehingga menyekat kita menjalani kehidupan yang gembira," katanya yang memang aktif bersukan sejak dulu lagi.

Dalam pada itu, usaha membanteras Kanser Payudara; Penyakit yang digelar "Pembunuh Nombor 1 Kaum Wanita" oleh Avon telah bermula sejak 16 tahun lalu.

"Keranamu, Wanita" -itulah moto Avon yang sentiasa prihatin terhadap isu-isu wanita. Selain daripada memberi peluang pendapatan kepada kaum wanita di bawah program Kiss Goodbye to Breast Cancer (KGBC), RM2 juta telah pun dikutip melalui aktiviti seperti jualan amal, larian amal, ceramah, dan sebagainya. Tahun ini, Avon bakal menjual beberapa pakaian dalam dari jenama Avon Intimates sebagai derma secara tidak langsung.

Kutipan derma tahunan KGBC untuk 2010 ini akan dihulurkan kepada pihak PPUM untuk memulakan satu program baru yang dikenali sebagai Terus Bersama, Maju ke Depan (Staying Abreast, Moving Ahead) atau SAMA.

Program tersebut akan memberi manfaat kepada mereka yang terselamat (survivors) dalam membantu untuk meneruskan kehidupan dengan lebih bermakna dan berjaya.

Pada tahun ini, lima rekaan coli yang menarik berharga di antara RM19.90 hingga RM21.90 jenama Avon Intimates akan dijual daripada 16 April hingga 15 Mei bagi menambah hasil kutipan derma.

Presiden Avon Malaysia, Thailand dan Vietnam, Mansoor Wan Abdullah berkata, kutipan derma tahunan untuk tahun 2010 itu akan dihulurkan kepada PPUM bagi memulakan program baru yang dikenali sebagai SAMA.

Bercakap pada majlis pelancaran program pendidikan-psiko bagi pesakit-pesakit kanser, di ibu pejabat Avon baru-baru ini, Mansoor menambah, Avon positif dan yakin program tersebut akan memberi manfaat kepada ramai pesakit kanser dalam membantu mereka meneruskan kehidupan dengan lebih bermakna dan berjaya.

Sementara itu, kerjasama di antara Avon dan PPUM telah bermula pada tahun 2004 apabila Avon menubuhkan Pusat Sumber Kanser Payu Dara di PPUM yang menjadi pusat rujukan untuk kajian mengenai kanser payu dara.

Avon turut telah melancarkan satu lagi pusat yang sama di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kelantan.

Pada pelancaran program Ciuman Selamat Tinggal kepada Kanser Payu Dara tersebut, Mansoor menyerahkan cek sumbangan Avon sebanyak RM50,000 kepada Timbalan Dekan Fakulti Perubatan PPUM, Profesor Dr. Rosmawati Mohammad.

No comments: