"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, February 13, 2010

Kanser mata merubah hidup Naizatul

ahun lalu dia seorang kanak-kanak yang ceria dan aktif. Sinaran matanya yang berkilau disangka gurauan rupanya merubah kehidupannya. Mulanya, bapanya, Hasan Jantan, 51 menyangka bebola mata anaknya seperti mata kucing itu hanya perkara biasa. Namun penglihatan Naizatul Syuhada Hasan, 22 semakin tidak jelas.

Kemudian, arwah ibu Naizatul, Rohaini Othman membawa dia ke hospital.

Mulanya, berlaku kekeliruan dan doktor yang merawatnya hanya membuang selaput pada bahagian matanya.

Ramai yang menyangkakan matanya hanya mengalami sakit yang normal dan tidak kritikal.

Tidak cukup hanya itu, terdapat biji-biji pada matanya dan cecair pelik.

Terdetik di hati Naizatul, kenapa ada air mata? Matanya semakin letih.

Pada pembedahan keempat, Naizatul demam dan dia sekali lagi menjalani pemeriksaan terperinci. Ketika itu, seluruh keluarganya terkejut, Naizatul disahkan menghidap kanser mata. Tiada kata yang dapat diucap, mereka hanya bermohon doa agar anak perempuan kedua mereka kembali sihat.

"Doktor ketika itu menasihatkan mata sebelah kanan saya dibuang atau saya menanggung risiko. Jika tidak dibuang, kanser akan sampai ke otak saya dan memberi kesan kepada saraf. Ibu dan bapa saya reda. Walaupun masih kanak-kanak, saya memahami isi hati mereka. Tiada siapa yang ingin melihat saya menderita. Tetapi saya akur dan mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ini," jelasnya yang ditemui di kediamannya di Selayang, Selangor baru-baru ini.

Selepas membuang bahagian mata kanan, Naizatul menjalani beberapa siri kemoterapi seperti pesakit kanser yang lain.

Tidak berputus asa, Naizatul turut mencuba rawatan moden dan Islam untuk memulihkan kesihatannya. Alhamdulillah, saya kini semakin pulih dan dapat bekerja membantu keluarga.

" Majlis Kanser Nasional (Makna) banyak memberi sokongan kepada saya. Makna turut memberi bantuan pembelajaran dan kewangan dengan mengambil kursus pembuatan roti. Bahkan, melalui aktiviti yang dijalankan, ia dapat memberi semangat kepada saya. Saya dapat berjumpa dengan pesakit-pesakit yang lain dan berkongsi masalah," ujarnya.

Dia kini bersyukur kerana mendapat kepercayaan daripada bekas majikannya untuk bekerja di kedai roti yang terletak berhampiran dengan rumahnya.

Katanya, dulu dia tidak mahu bekerja kerana ingin menjaga ibunya yang waktu itu jatuh sakit.

Kebetulan, bapanya pula disahkan menghidap kanser darah. Ibunya yang sakit sesak nafas meninggal dunia pada Oktober 2008.

Naizatul banyak membantu ibu dan bapanya memandangkan dia seorang sahaja yang boleh memandu kereta.

Ditanya, sama ada dia boleh membuat pembedahan mata supaya kembali normal, katanya tidak mungkin.

"Di sini masih belum ada pakar perubatan yang boleh melakukannya. Nak buat boleh tetapi kena mengumpulkan beberapa pakar termasuk pakar kulit, otak dan tulang. Doktor ada memberi saya mata palsu daripada silikon. Tetapi ia nampak pelik dan orang sekeliling yang melihat turut berasa janggal. Saiz mata silikon itu tidak sama dengan mata sebenar saya. Ia nampak pelik. Sebab itu, saya lebih selesa berjalan dengan mata sebelah. Walaupun ada gelaran yang kurang sedap didengar, saya reda. Kini saya sudah lebih selesa dan bebas bergerak. Tidak kisahlah kalau ada orang nak panggil saya 'lanun'," katanya yang menjalani kemoterapi sebanyak enam kali.

Dalam pada itu, bapanya yang masih lagi menjalani rawatan di hospital kini banyak bergantung kepada ubat-ubatan. Dalam pada itu, Hasan tidak lupa menjalani rawatan Islam dan dia bersyukur kerana kesihatannya semakin pulih walaupun tidak secergas dulu.

"Jika ada rezeki saya akan menjalani ibadat umrah pada bulan Mac ini sebelum anak sulung saya melangsungkan perkahwinan pada bulan April. Walau apa sahaja dugaan yang kita dapat, sabar dan reda itu penting. Segala keburukan itu datang daripada kita dan kebaikan itu daripada-Nya. Walaupun kami diuji dengan pelbagai ancaman penyakit, kami bersyukur kerana dapat meneruskan kehidupan seperti insan normal yang lain," ujarnya.

Sepanjang merawat penyakitnya, Hasan menjalani rawatan dialisis buah pinggang. Kesan daripada kanser yang dihadapi, Hasan juga mengalami sakit tulang belakang. Walaupun fizikalnya masih nampak sihat, namun tiada siapa tahu penderitaan yang dihadapi Hasan. Berkat kesabaran, Hasan meneruskan kehidupan demi anak-anaknya. Dia kini banyak melakukan senaman ringan dan menjaga pemakanan.

No comments: