"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, May 29, 2021

Kesempurnaan Iman Dengan Mencintai Orang Lain



عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ


Daripada Anas RA dari Nabi SAW baginda bersabda: "Tidak beriman  (sempurna iman) seseorang dari kalian sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri".

(Sahih Bukhari, no: 13) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:  


1.  Islam memerintahkan umatnya agar sentiasa memiliki sifat saling mengasihi sesama Muslim dengan memuliakan, menghormati dan menyayangi mereka.


2.  Jika kita suka diri mendapat nikmat dalam hal keagamaan, maka wajib baginya mengasihi saudara Muslim yang lain agar mendapat nikmat yang sama. Ia adalah tanda kesempurnaan iman.


3.  Jika kita suka memperolehi nikmat dunia kita juga sewajarnya suka agar saudara muslim yang lain juga memperolehinya.


4.  Jangan sesekali kita memiliki sifat dengki dan khianat dengan nikmat yang dimiliki oleh saudara kita yang lain.


5.  Ambillah iktibar kisah Aus dan Khazraj di Madinah yang mana kedua-dua kaum ini  begitu taksub dan fanatik dengan kaum masing-masing namun Allah telah satukan hati mereka dengan kasih sayang dan mereka saling mencintai antara satu sama lain apabila menerima Islam. Mereka bersatu atas nama Islam dan mereka berjuang atas nama Islam.


6.  Ingatlah bahawa setiap mukmin ini bersaudara. Firman Allah:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ


“Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara”.

(al-Hujurat: 10)


7.  Saudara kita seagama adalah tanggungjawab kita untuk membantu jika mereka memerlukan bantuan, memberi nasihat ketika mereka memerlukan nasihat, meminjamkan telinga kita untuk mendengar masalah dan kisah mereka, memberi sokongan dan dorongan kepada mereka dan akhir sekali jangan kita lupa untuk mendoakan kepada mereka kerana doa adalah senjata terbaik apatah lagi doa yang tidak diketahui oleh saudaranya sendiri.


Semoga Allah memberikan kita taufik untuk berkasih sayang sesama saudara kita yang beriman sebagaimana kita suka mendapatkan hal yang sama walau dimana mereka berada.


30hb Mei  2021

18hb Syawal 1442H

Doa



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتهُ


بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم


Doa’ Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam yang paling kerap...


Daripada Anas R.A, beliau berkata:


كَانَ أَكْثَرُ دُعَاءِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ


“Doa Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam yang paling sering diucapkan ialah:


اللَّهُمَّ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ


 “Ya Allah, Ya Rabb kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa api neraka.”

(Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Imam Muslim menambah dalam riwayatnya:


وَكَانَ أَنَسٌ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَدْعُوَ بِدَعْوَةٍ دَعَا بِهَا، فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يَدْعُوَ بِدُعَاءٍ دَعَا بِهَا فِيهِ


"Apabila Anas hendak berdoa dengan satu doa, maka dia berdoa dengan doa tersebut. Apabila dia hendak berdoa dengan banyak doa, maka dia menyertakan doa tersebut di dalamnya."

 

Dalam hadis yang turut diriwayatkan oleh Anas R.A, beliau berkata:


كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ: يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، آمَنَّا بِكَ وَبِمَا جِئْتَ بِهِ فَهَلْ تَخَافُ عَلَيْنَا؟ قَالَ: نَعَمْ، إِنَّ القُلُوبَ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللهِ يُقَلِّبُهَا كَيْفَ يَشَاءُ.


Adalah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam selalu mengucapkan:


يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِك 


(Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu). Kemudian aku pun bertanya: "Wahai Rasulullah, kami beriman kepadamu dan kepada apa yang engkau bawa, lalu apakah engkau masih risau kepada kami?" Baginda menjawab: "Ya, kerana sesungguhnya hati manusia berada di antara dua genggaman tangan (kekuasaan) Allah yang Dia bolak-balikkan menurut yang dikehendaki-Nya."

(Hadith Riwayat Imam Ahmad, At-Tirmidzi, Al-Baihaq dan At-Tabarani)


Manakala hadis lain yang diriwayatkan daripada Syahr bin Hausyab, katanya:


قُلْتُ لأُمِّ سَلَمَةَ : يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ مَا كَانَ أَكْثَرُ دُعَاءِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ عِنْدَكِ ؟ قَالَتْ : كَانَ أَكْثَرُ دُعَائِهِ : يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ قَالَتْ : فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللهِ مَا لأَكْثَرِ دُعَائِكَ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ ؟ قَالَ : يَا أُمَّ سَلَمَةَ إِنَّهُ لَيْسَ آدَمِيٌّ إِلاَّ وَقَلْبُهُ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللهِ ، فَمَنْ شَاءَ أَقَامَ ، وَمَنْ شَاءَ أَزَاغَ.


Aku pernah bertanya kepada Ummu Salamah: “Wahai Ummul Mukminin! Apakah doa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam yang paling banyak apabila Baginda di sisi engkau?" Beliau menjawab: “Doa Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam yang paling banyak adalah:


يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ


“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.” 


Ummu Salamah berkata: "Aku pernah berkata kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi ws sallam ; Wahai Rasulullah! Betapa sering engkau berdoa:


“يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ”. 


Lalu Baginda menjawab: "Wahai Ummu Salamah! Sesungguhnya tidak ada seorang anak Adam pun melainkan hatinya berada di dalam genggaman kekuasaan Allah. Barangsiapa yang Allah kehendaki, maka Dia akan meluruskannya dan barangsiapa yang Allah kehendaki maka Dia akan membelokkannya."

(Hadith Riwayat Imam Ahmad dan At-Tirmidzi)


Teruskanlah berdoa memohon kepada Allah...


وَيَسْتَجِيبُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَيَزِيدُهُمْ مِنْ فَضْلِهِ ۚ 


‎"Dan Ia memperkenankan doa permohonan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, dan Ia menambahi mereka dari limpah kurniaNya (selain dari yang mereka pohonkan)".

(Ash-Shura: 26)


Justeru, berdoalah mohon ketetapan di atas jalan hidayah untuk dirimu sendiri...



Friday, May 28, 2021

Mengasihi Sesama Muslim Tuntutan Iman



عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لاَيُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ


Daripada Anas RA, Nabi SAW, bersabda: “Tidak sempurna Iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranya mendapat kebaikkan seperti apa yang ia sendiri suka mendapatnya”. (HR Bukhari No: 12 ) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:


1.  Mengasihi sesama Muslim adalah pra syarat kesempurnaan iman seseorang.


2.  Menyayangi dan mengasihi saudara Muslim yang lain walau dimana mereka berada, bangsa apapun mereka adalah antara kriteria sifat berukhuwah dan tanda kesempurnaan iman seseorang.


3.  Ibn Qayyim menyatakan kasih sayang dalam berukhuwah:


a.  Kasih sayang itu adalah sifat memberikan manfaat kepada orang lain

b.  Sifat bersusah payah demi memberikan kemudahan kepada sahabat atau menjauhkannya daripada bencana.


4.  Dalam suasana PKP ini, ada orang yang dijangkiti virus Covid 19 dan tidak kurang mereka yang walaupun tidak dijangkiti virus namun terkesan dan melalui pelbagai kesusahan dan keperitan. Adakah kita memiliki sifat ukhuwah dan sanggup bersusah payah demi mereka?


5.  Saudara kita di Palestin yang melalui kesusahan dan keperitan mempertahankan bumi para anbiya dan Masjidil Aqsa dengan darah dan nyawa. Adakah kita juga turut merasainya dengan bersusah payah membela dan membantu mereka?


6.  Jangan jadikan perbezaan pemikiran, pandangan dan kumpulan sebagai pemisah antara kita. Banyak titik persamaan yang boleh dicari untuk berada di bawah payung keimanan, toleransi dan berkasih sayang sesama kita. 


29hb Mei  2021

17hb Syawal 1442H

Wednesday, May 26, 2021

Hari Kiamat

 ☆Tadabbur Kalamullah 13 Syawwal 1442H☆


إِنَّ السَّاعَةَ آتِيَةٌ أَكَادُ أُخْفِيهَا لِتُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍ بِمَا تَسْعَىٰ


“Sesungguhnya hari Kiamat itu tetap akan datang (yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya) supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang dia usahakan” [Surah ThaHa 15]


#Kiamat tetap akan berlaku. Cuma masa dan waktunya disembunyikan dan hanya diketahui oleh Allah swt sahaja. 


#Namun begitu, tanda-tanda akan berlakunya kiamat didedahkan di dalam hadis Nabi saw agar kita sentiasa bersedia menghadapinya dengan taubat dan bersegera melakukan amal soleh.


#Daripada Sayidina Huzaifah bin Asid r.a bahawa Nabi saw di dalam bilik dan kami berada di bawahnya. Maka Nabi saw bertanya: "Apa yang kamu bincangkan?" Mereka menjawab: "Perihal as-Sa’ah (hari Kiamat)". Lalu Nabi saw bersabda:


إنَّ السَّاعَةَ لَا تَكُونُ حَتَّى تَكُونَ عَشْرُ آيَاتٍ: خَسْفٌ بِالْمَشْرِقِ، وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ، وَخَسْفٌ فِي جَزِيرَةِ الْعَرَبِ وَالدُّخَانُ وَالدَّجَّالُ، وَدَابَّةُ الْأَرْضِ، وَيَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ، وَطُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَنَارٌ تَخْرُجُ مِنْ قُعْرَةِ عَدَنٍ تَرْحَلُ النَّاسَ


“Sesungguhnya hari Kiamat tidak akan berlaku sehingga berlaku sepuluh tanda ini iaitu gerhana di Timur, gerhana di Barat, gerhana di rantau Arab, asap, Dajjal, Dabbah yang melata di bumi (sejenis haiwan), Ya’juj dan Ma’juj, terbit matahari dari Barat, api yang keluar dari lembah Aden yang akan mengiringi manusia" (HR Muslim)


#Daripada Sayidina Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi saw bersabda:


بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ سِتًّا: الدَّجَّالَ، وَالدُّخَانَ، وَدَابَّةَ الْأَرْضِ، وَطُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَأَمْرَ الْعَامَّةِ، وَخُوَيْصَّةَ أَحَدِكُمْ


“Bersegeralah dalam beramal sebelum datang enam perkara: Dajjal, Asap, Dabbah yang melata di bumi, terbit matahari dari Barat, urusan umum (Kiamat) dan perkara khusus daripada kalangan kamu (kematian)” (HR Muslim)


#Berkata Syeikh al-Mubarakfuri rahimahullah: "Ketahuilah bahawa riwayat-riwayat ini (berkaitan tanda-tanda besar Kiamat) telah menjadi perselisihan pada susunan tanda-tanda yang sepuluh (tanda besar Kiamat). Untuk itu, telah berselisih para ahli ilmu dalam menentukan susunannya. Telah dikatakan bahawasanya tanda besar Kiamat yang pertama adalah Asap, kemudian keluarnya Dajjal, kemudian turunnya Nabi Isa, kemudian keluarnya Ya’juj dan Ma’juj, kemudian keluarnya al-Dabbah, kemudian terbit matahari dari Barat kerana orang kafir memasuki Islam pada zaman Nabi Isa sehingga dakwah ini menjadi satu” (Lihat: Tuhfah al-Ahwazi)


#Al-Hafiz Imam Ibnu Kathir berpendapat keluarnya binatang dari perut bumi merupakan tanda hari Kiamat yang pertama kali terjadi. 


#Pendapat yang agak kuat ialah pendapat al-Hafiz Ibnu Hajar iaitu dengan keluarnya Dajjal sebagai tanda kiamat yang pertama.


#Ketahuilah bahawa tanda-tanda Kiamat ini tidak mempunyai susunan yang khusus. Ini kerana, hadis yang menceritakan perihal ini berbeza dari sudut susunannya. Para ulamak turut berbeza pendapat dalam menentukan tanda besar Kiamat yang pertama dan terakhir. Ini menunjukkan bahawa tidak ada nas atau hadis yang menjelaskan secara khusus berkaitan susunannya melainkan ia hanyalah ijtihad para ulamak dalam menentukan susunan tersebut.


♡Kesimpulannya, hari kiamat pasti terjadi. Sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa bersedia untuk menghadapi saat-saat ini dengan amal soleh dan melazimi taubat kepadaNya. Ini kerana, tidak ada yang dapat menyelamatkan kita daripada segala fitnah dan ujian ini melainkan dengan iman dan ketaqwaan yang sebenarnya. Semoga Allah memelihara iman kita dan menjadikan kita hambaNya yang berjaya di dunia dan akhirat. Aamiiin♡

☆Tadabbur Kalamullah 14 Syawwal 1442H☆

Gerhana Bulan


وَالْقَمَرَ قَدَّرْنَاهُ مَنَازِلَ حَتَّىٰ عَادَ كَالْعُرْجُونِ الْقَدِيمِ 


"Dan Bulan pula kami takdirkan Dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga diakhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering" [Surah Yasin 39]


#Fenomena gerhana bulan telah didefinisikan kejadiannya ketika bumi berada di tengah-tengah di antara matahari dan bulan. Fenomena ini akan berlaku ketika bulan purnama. Ketika gerhana bulan berlaku, cahaya bulan akan berubah menjadi kemerahan secara perlahan sehingga bulan telah melepasi bumi. Dan peredaran ini hanya berlaku pada sesuatu masa yang tertentu.


#Peristiwa gerhana adalah antara peristiwa-peristiwa yang berlaku bukan secara kebetulan tetapi ia merupakan suatu Sunnatullah yang telah diaturkan oleh Allah Taala. Firman Allah swt:


سُنَّةَ اللَّـهِ الَّتِي قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلُ ۖ وَلَن تَجِدَ لِسُنَّةِ اللَّـهِ تَبْدِيلًا 


“Sebagai suatu Sunnatullah (peraturan Allah) yang telah berlaku semenjak dahulu lagi; dan engkau tidak akan mendapati sebarang perubahan bagi cara dan peraturan Allah itu" [Surah al-Fath 23]


#Apabila berlakunya gerhana bulan atau matahari, semua umat Islam disarankan untuk menunaikan Solat Sunat Khusuf di masjid/surau berdekatan, bersedekah dan perbanyakkan doa.


#Solat sunat gerhana boleh dilakukan sama ada secara berseorangan atau berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Kaifiat Solat Sunat Gerhana Bulan:


أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى


"Sahaja aku solat sunat gerhana BULAN dua rakaat kerana Allah Taala"


Rakaat Pertama

1. Takbiratul Ihram.

2. Membaca doa Iftitah.

3. Membaca surah al-Fatihah.

4. Membaca surah al-Baqarah atau mana-mana surah.

5. Ruku' dan membaca tasbih sekira-kira 100 ayat

6. lktidal. Kemudian membaca surah al-Fatihah.

7. Membaca Surah Aali Imran atau mana-mana surah.

8. Ruku’ dan membaca tasbih kira-kira 90 ayat. 

9. Iktidal.

10.Sujud dan membaca tasbih.

11.Duduk antara dua sujud.

12.Sujud kembali.

13.Berdiri ke rakaat kedua.


Rakaat Kedua:

1. Membaca surah al-Fatihah.

2. Membaca Surah an-Nisa' atau mana-mana surah.

3. Ruku' dan membaca tasbih kira-kira 70 ayat

4. lktidal. Kemudian membaca surah al-Fatihah.

5. Membaca Surah al-Maidah atau mana-mana surah.

6. Ruku' dan membaca tasbih kira-kira 50 ayat. 

7. Iktidal.

8. Sujud dan membaca tasbih.

9. Duduk antara dua sujud.

10. Sujud kedua.

11.Membaca tasyahud akhir.

12.Memberi salam.


#Solat gerhana juga boleh dilakukan dengan dua kali berdiri, dua kali bacaan dan dua kali ruku' sebagaimana solat biasa tanpa memanjangkannya. Begitu juga sah dilakukan sebanyak dua rakaat dengan dua kali berdiri dan dua kali ruku' sebagaimana solat fardu Jumaat. Namun cara ini meninggalkan fadhilat kerana berlainan daripada perbuatan Nabi saw.


♡Setiap peredaran yang berlaku di cakarewala ini telah ditentukan oleh Allah dan kesemua itu beredar pada tempat peredaran masing-masing. Ini merupakan suatu bentuk kekuasaan dan keagungan Allah swt yang tidak dapat ditandingi dengan akal dan kepintaran manusia. Sama-samalah menyaksikan kebesaran kejadian Allah swt ini serta menunaikan tuntutan syariat seperti melakukan solat sunat gerhana, bersedekah, memohon keampunan, berdoa dan sebagainya♡