"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."
Showing posts with label Alam Damai. Show all posts
Showing posts with label Alam Damai. Show all posts

Friday, April 15, 2011

Rumah rehat gaya pelayar



PONDOK Bali sesuai untuk bersantai sambil minum petang.


LAMBAIAN pokok serdang di pintu pagar utama bagaikan menggamit kedatangan pengunjung ke kediaman hujung minggu milik pesara tentera laut ini.

Selain membawa simbolik pengucapan selamat datang, helaian daunnya yang lebar dan berbelah di hujungnya juga seakan mahu menyatukan dua elemen asing antara pokok hutan besar di luar pagar dan kawasan halaman yang ditanam pelbagai jenis tanaman.

Ketelitian pemilik menjaga rapi keindahan tanaman bunga serta binaan ornamen taman tidak sekali-kali mengabaikan hamparan rumput karpet Taiwan yang menjadi nadi kepada tanah berkeluasan 1.3 hektar ini.

Terletak di kawasan perkampungan Janda Baik, Pahang, persekitaran tanah tinggi yang menawarkan udara dingin bukan sahaja indah untuk dinikmati malah menyuntik kedamaian buat pemiliknya, bekas Laksamana Muda, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tuan Hashim Tuan Mohammad, 67.

Laut atas gunung

Kawasan kediaman ini mula dibangunkan pada tahun 2000 selepas beliau bersara dengan jawatan terakhir sebagai kapten kapal KD Hang Tuah.

“Saya sudah lama mengimpikan sebuah rumah rehat di kawasan bukit. 37 tahun hidup di lautan menjadikan saya sangat merindui daratan terutama pokok dan hutan,” ujarnya.

Memilih tema maritim, Hashim menjelaskan, ia adalah suatu penzahiran yang menceritakan hampir empat dekad keakrabannya bersama sang samudera.

Tambah Hashim lagi, lot kediaman yang diberi nama Sailor’s Rest ini bukan cetusan obsesinya terhadap dunia maritim semata-mata, tetapi ia adalah ekspresi cinta terhadap isterinya, Tengku Zanariah Tengku Mohd. Salleh, 60, anak-anak serta cucu-cucunya.

RUMAH perahu dijadikan sandaran utama konsep maritim yang diperkenalkan.


“Laut di atas gunung adalah tema yang cukup unik buat diri saya,” tuturnya.

Walaupun begitu, Hashim tidak lupa menyerapkan elemen seni bina negeri Kelantan, tempat asal-usulnya.

Buktinya, hiasan kerawang di sekeliling cucur atap serta tiang seri menjadikan banglo ringkas tersebut nampak lebih ketimuran.

Rekaan unik banglo tiga bilik berkonsepkan pengudaraan dan pencahayaan maksimum itu menggunakan pintu serta tingkap yang lebar.

Kemasan minimalis tetapi eksklusif yang diterapkan cukup untuk menjadikan suasana rehat tercipta, lebih-lebih lagi apabila angin dingin dari bukit berlumba-lumba menerobos masuk melalui jendela kaca yang sengaja dipasang rendah.

“Jika berdiri di mana-mana sudut di rumah ini, anda akan melihat pemandangan yang berbeza,” katanya.

Dari balkoni banglo, jika pandangan lurus ke hadapan, mata akan disajikan dengan keindahan taman luas yang menempatkan pelbagai spesies tumbuhan serta sebuah pavilion untuk berehat.

Dari sudut yang sama, formasi pelbagai jenis pokok membentuk seperti sauh begitu jelas kelihatan.

Jika berpaling ke sebelah kiri, sebuah rumah perahu layar yang ditempatkan di dalam kolam tersedia untuk ditatap.

Sekiranya mengalih pandangan ke kanan, tersedia deretan bungaan serta pokok hutan.

Jika berpusing ke belakang pula, pemandangan indah sungai sudah tentu menggamit anda untuk mendekatinya.

Laman tepi yang dekat dengan tebing sungai juga tidak dibiarkan kosong.

SANTAI di balkoni sambil menikmati pemandangan alam.


Binaan secara menegak sebuah pondok Bali beratap rumbia, wakaf kereta kuda dari Kemboja serta pangkin rehat sentiasa menarik minat untuk bersantai di situ.

Pondok

“Biasanya kami akan minum petang dan berbual di sini sambil melihat pemandangan sungai. Cucu-cucu pula akan bermain rumah-rumah di pondok Bali ini.

“Pada waktu malam pula, kami akan makan malam di beranda ataupun memanggang ikan di pangkin tepi sungai,” katanya.

Mendekati rumah perahu yang menjadi tarikan utama Sailor’s Rest, lelaki bergelar Datuk ini telah mengupah dua orang tukang perahu dari Kelantan dan Perak untuk membinanya.

“Ia bukan sekadar bot hiasan. Sebaliknya ia dilengkapi dengan bilik tidur berhawa dingin, ruang tamu, set televisyen, dapur serta kamar mandi.

“Ia seperti perahu layar sebenar, cuma ia tidak belayar ke mana-mana, tetap pegun di tengah-tengah kolam,” katanya.

Malah, kelengkapan yang tersedia di situ tidak ubah seperti salah satu suit kapal pelayaran mewah.

Selain juraian candelier yang menampilkan ciri eksklusif kamar tersebut, sebuah meja rendah diatur melintang
untuk dijadikan pemisah antara ruang tidur dan ruang tamu yang menempatkan kerusi serta meja kopi.

LALUAN masuk ke Sailor's Rest dihiasi barisan tanaman pokok yang dijaga rapi.


Di atasnya, terdapat replika kapal pelayaran mewah, hiasan kristal dan glob yang memiliki nilai sentimental buat Hashim.

Kunjungan kenalan dari Ireland hampir tiga tahun lalu memberi idea kepada Hashim untuk menawarkan pakej inap desa kepada mereka yang berminat.

Kini, selepas dua tahun setengah dibuka kepada orang ramai, hampir setiap hujung minggu, Sailor’s Rest menerima tetamu.

Boleh menerima kunjungan 10 penginap dalam satu masa, Sailor’s Rest menawarkan keunikan tersendiri dalam pakej inap desanya.

“Pengunjung yang datang menginap di sini sebenarnya telah membayar harga untuk menggunakan seluruh kawasan estet Sailor’s Rest.

“Jika sudah tiba musim buah, tetamu boleh petik buah dari pokok dan pancing ikan dari kolam atau sungai secara percuma.

“Tetapi ia hanya boleh dinikmati di sini sahaja bukan untuk dibawa pulang,” jelas Hashim yang akan berada di Sailor’s Rest jika ada tetamu yang menginap.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0213&pub=Kosmo&sec=Alam_Damai&pg=al_01.htm

Legasi 111 tahun Kampung Baru



SEBUAH rumah yang telah diubahsuai dengan berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas.


MENITI sejarah penubuhan Kampung Baru, ia sebenarnya mula dibuka sejak tahun 1899 melalui tanah kurniaan Sultan Selangor, Sultan Sulaiman atau Sultan Alauddin Sulaiman Syah Raja Muda Musa.

Setahun kemudian, sebuah lembaga pentadbir khusus ditubuhkan iaitu Penempatan Tanah Pertanian Melayu (MAS) dan diwartakan oleh British bagi menguruskan perkara mengenai pentadbiran kampung.

Kampung Baru dibentuk daripada tujuh buah kampung kecil iaitu Kampung Hujung Pasir, Kampung Periuk,

Kampung Masjid, Kampung Pindah, Kampung Paya, Kampung Atas A dan Kampung Atas B.

Kawasan dengan keluasan 90 hektar itu bersempadankan Jalan Raja Muda Abdul Aziz di sebelah utara, Jalan Dang Wangi di selatan, Jalan Tuanku Abdul Rahman di barat dan di sebelah timurnya adalah Sungai Klang.

Pada awalnya kampung tersebut terbentuk apabila sekumpulan orang Melayu yang tinggal di kawasan Sungai Gombak dan Sungai Klang terpaksa berpindah untuk memberi ruang kepada pembangunan Kuala Lumpur.

Tokoh

Bandar berkenaan ketika itu sedang pesat membangun apabila beberapa projek yang kini menjadi ikon sejarah dan seni bina seperti Kelab Diraja Selangor, Bangunan Pejabat Pos Utama, Victoria Institution dan Bangunan Sultan Abdul Samad sedang dalam pembinaan.

KEDIAMAN bertiang tinggi ini boleh ditemui di Jalan Raja Muda Musa.


Selepas kemerdekaan negara pada tahun 1957, Kampung Baru menjadi tumpuan penghijrahan penduduk dari negeri-negeri Semenanjung yang mendapat pekerjaan di Kuala Lumpur.

Lebih menarik, kampung yang dihimpit dengan rentak kemajuan dan arus pemodenan serta pelbagai bangunan pencakar langit berjaya melahirkan ramai tokoh yang mungkin tidak diketahui ramai.

Antara tokoh tersebut ialah veteran UMNO, Tan Sri Aishah Ghani; Pengasas Sapura Holdings Sdn. Bhd., Tan Sri Ir. Shamsuddin Abdul Kadir dan Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim.

Pada tahun ini, Kampung Baru mencecah usia 111 tahun malah penduduknya masih mengekalkan identiti tersendiri dengan binaan dan kedudukan rumah yang biasa dilihat di kampung serta terdapat rumah-rumah yang masih berdiri teguh dengan ciri-ciri tradisional.

RAGAM penduduk dan peniaga Kampung Baru dipertontonkan pada Pameran 3 Alam yang sedang berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman.


Menurut Setiausaha Kehormat Lembaga MAS, Shamsuri Suradi, sehingga kini terdapat lebih 100 rumah Melayu yang masih mengekalkan reka bentuk tradisional.

Reka bentuk

Kata beliau, reka bentuk rumah di kawasan tersebut berbeza kerana ia bergantung kepada kehadiran penduduk dari seluruh Semenanjung Tanah Melayu ketika itu.

“Jadi kalau dilihat rumah yang cantik waktu dulu kebanyakan terdapat di sebelah Kampung Hujung Pasir yang mana rata-rata penduduknya datang dari Melaka dan beberapa negeri lain dengan binaan tangga yang cantik.

“Sementara rumah di Kampung Atas A dan B pun cantik dengan tiang-tiangnya yang tinggi. Itu semua rumah orang-orang kaya,” katanya ketika ditemui Jurnal baru-baru ini.

Sementara itu, seorang penduduk yang masih mengekalkan kediamannya dengan reka bentuk tradisional, Muhd. Noor Muhd. Amin, 73, memberitahu, rumah pusaka yang didudukinya itu kini berusia 86 tahun dan masih utuh.

PENDUDUK kampung, Maimunah Ayub, 63, ceria menunjukkan gambar Sekolah Perempuan Kampong Bharu, tempat ibunya belajar pada zaman dahulu.




Dia yang meminati muzik klasik Melayu memberitahu, dahulunya kawasan sekitar rumahnya yang berpaya menjadi punca rumah dibina menggunakan tiang yang tinggi selain mengelak daripada banjir.

Pesara guru itu berkata, rumahnya sepanjang 30 meter dan lebar 15 meter itu berunsurkan gaya Limas dari Selangor dan dibina menggunakan kayu cengal yang tahan lama.

“Bermula dari pintu gerbang Jalan Raja Muda Musa ini, seingat saya hanya terdapat enam rumah yang masih mengekalkan konsep tradisional Melayu.

“Sebelum tahun 70-an, rumah di jalan ini semuanya diperbuat daripada kayu. Bagaimanapun, semasa Datuk Harun Idris menjadi Menteri Besar Selangor, beliau memudahkan penduduk di sini mendapatkan pinjaman mengubahsuai rumah,” katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0116&pub=Kosmo&sec=Alam_Damai&pg=al_01.htm

Rumah pusaka Batu Pahat



SUDUT wajib tandang sebelum tetamu pulang.


PERKENALAN dengan jejaka berusia 31 tahun ini membuka ruang kepada Jurnal untuk menyaksikan hasil kreativitinya yang bersifat neoklasik.

Cerminan cita rasa yang lahir daripada keghairahan terhadap barangan lama bukan sahaja membangkitkan nostalgia penghuni bahkan mengekalkan identiti rumah warisan berusia 100 tahun itu yang terletak di
Kampung Parit Sulong, Batu Pahat, Johor.

“Rumah ini adalah warisan daripada datuk kepada bapa saya, Suleiman Bakri, 73.

“Nilai sentimental rumah ini bukan sahaja terletak pada binaannya, tetapi juga pada jasanya yang menjadi saksi kehidupan empat generasi,” ujar Shahril Suleiman.

Ditunjangi rekaan rumah gaya limas, teratak kayu ini pernah diubahsuai pada tahun 2009 menjelang perkahwinan kakak sulung Shahril namun binaan asal dikekalkan.

Antara elemen rumah kampung yang dapat dilihat di rumah ini ialah anjung dan sutuh yang terletak di bahagian hadapan kediaman.

Biarpun tidak sarat dengan seni ukiran kayu mahupun hiasan kerawang, nilai klasik yang diterapkan di balik anjung ini masih dapat diterjemahkan menerusi jalinan kayu dan cucur atap bercorak bulan separuh yang melekap di sekeliling bumbungnya.

Dibina memanjang ke belakang, rumah dengan ketinggian sembilan meter ini masih mengekalkan jendela kayu sebagai pengalir udara utama buat seisi rumah.

“Kalau hendak tahu, baru lima tahun kebelakangan ini kami memiliki kipas angin.

Kesederhanaan

“Sebelum ini, kami hanya bergantung pada fungsi pintu dan tingkap,” ujar anak ketiga daripada enam beradik ini.

Kata-kata Shahril itu ada benarnya. Elemen pencahayaan semula jadi dari luar bebas dialirkan masuk menerusi binaan jendela yang besar turut membolehkan penghuni menikmati pemandangan luar yang segar dan redup.

KAMAR tidur yang menerima suntikan idea hiasan kontemporari.




Memiliki tiga ruang utama yang dibina pada ketinggian berbeza, kunjungan ke kediaman yang kaya dengan hiasan bunga ini tidak sah jika tidak meneroka isi dalamnya, dari muka anjung hingga ke dapur basah yang terletak di bahagian bawah.

Tidak begitu padat dengan hiasan, Shahril yang gemarkan penataan visual berorentasikan kesederhanaan lebih senang menggunakan barangan lama sebagai aksesori hiasan.

“Saya bekerja di Kuala Lumpur dan hanya pulang sekali dua dalam sebulan.

“Kesempatan pulang ke kampung itulah digunakan sepenuhnya untuk mengemas dan menghias rumah.

“Lantaran itu, ketelitian dalam penyusunan perabot atau aksesori hiasan perlu diutamakan supaya hasilnya kelak tidak membataskan aktiviti ibu dan bapa yang tinggal di sini,” ujarnya yang mengakui perlu patuh pada peraturan menghias yang ditetapkan bapanya.

Dilarang memaku

Menurut pengurus pusat beli-belah Jusco AEON AU2 di Setiawangsa, Kuala Lumpur ini, bapanya pernah melarang dia memaku dinding dan sehingga kini perabot yang mahu dibeli perlu mendapat pandangan bapanya terlebih dahulu.

“Perabot yang berat mungkin dapat menjejaskan struktur binaan lantai. Bapa sangat sayangkan kepingan lantai dan dinding asal rumah ini,” jelasnya.

LEKAPAN ukiran bunga berdiameter lebar menjadi tarikan di ruang utama.


Memasuki ruang tamu yang berbentuk L, tetamu pastinya tertarik dengan susun atur perabot yang ringkas tetapi cukup kemas.

Jumlah perabot yang minimum daripada potongan ringkas menyuntik rasa bebas dan santai.

Ruang tamu yang bersambung dengan ruang makan formal dihubungkan oleh bahagian tengah rumah yang menjadi ruang keluarga melalui tangga.

“Jika keluarga berkumpul, kami lebih suka habiskan masa di sini, selain di dapur.

“Di sini, kami akan menonton televisyen bersama-sama. Malah, adakalanya kami lebih suka hamparkan saprah dan makan bersila di ruang ini,” ujar Shahril.

Di ruang sama, pandangan tidak lepas daripada memerhatikan meja makan yang klasik dan unik.

“Kayu pengalas meja makan ini asalnya adalah pintu dapur yang sudah tidak digunakan lagi.

“Daripada disimpan di dalam stor, saya ambil, bersihkan dan jadikannya meja,” katanya yang mahu mengekalkan elemen klasik dalam setiap perincian kemasan serta pemilihan perabot di rumahnya.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Alam_Damai&pg=al_01.htm