"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."
Showing posts with label KANSER. Show all posts
Showing posts with label KANSER. Show all posts

Saturday, June 15, 2013

Penawar Masalah Asma dan Kanser Paru-Paru

Dapatkan info di sini

Thursday, December 31, 2009

DMG : Pembekal Oksigen kepada tubuh






Untuk tempahan produk DMG : SMS or CALL : KHAIRUL 013-8546275

Thursday, December 3, 2009

Diabetes tandingi kanser


Oleh HAMZAH ABDUL HAMID
Semalam, Hari Diabetes Sedunia disambut. Adakah kita memahami mesejnya?

OBESITI antara masalah utama 285 juta penghidap diabetes di seluruh dunia kini.
________________________________________


SEJENIS ubat tradisional berasaskan herba dikhabarkan begitu mujarab bagi menyembuhkan penyakit kencing manis atau diabetes.


Begitu juga dengan rawatan terapi khas yang mengiringi pengambilan ubat-ubatan tersebut.


Semua pernyataan di atas adalah suatu pembohongan!
Rekod klinikal membuktikan apabila seseorang menghidap diabetes, dia akan hidup bersama penyakit itu sehingga akhir hayatnya.


“Diabetes adalah penyakit kronik yang sehingga kini tiada penawarnya. Ubat-ubatan fungsinya hanya untuk mengawal.


“Oleh itu, usah percaya kepada sebarang ubat-ubatan yang dikatakan mampu ‘menyembuhkan’ diabetes sedangkan pesakit terus terikat untuk membeli bekalan ubat tersebut,” kata Konsultan Endokrinologi, Profesor Datuk Dr. Mafauzy Mohamed.


Tambah beliau, bagaimana penghidap itu dapat menjalani kehidupan normal walaupun ‘membawa’ penyakit tersebut sepanjang hayat bergantung kepada usaha mendapatkan pemeriksaan dan rawatan yang berkesan di samping memperbaiki gaya hidup.


Jumlah penghidap diabetes di Malaysia menunjukkan kenaikan yang membimbangkan.
Pada tahun 1996, sebanyak 6.5 peratus rakyat Malaysia di kalangan usia lebih daripada 30 tahun didiagnosis dengan penyakit tersebut dan meningkat kepada 9.5 peratus pada tahun 2006.


“Kebimbangan ini seiring dengan risiko penyumbang kepada penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung, angin ahmar dan strok.


“Pada tahun 2006 saja, dianggarkan kira-kira 1.5 juta orang yang berusia melebihi 18 tahun di Malaysia menghidap diabetes.


“Jumlah itu lebih tinggi berbanding mereka yang menghidap kanser atau AIDS,” terang Mafauzy kepada Jurnal.


________________________________________

Gemuk di pinggang


Ramai antara kita yang tidak sedar mengenai kecenderungan kumpulan tertentu dalam masyarakat yang berisiko tinggi mendapat diabetes.


Berita buruk ini bukan saja menakutkan mereka yang berusia di antara 40 hingga 50 tahun, bahkan menghantui wanita yang dalam fasa kehamilan, orang yang hipertensi, berpenyakit vaskular, dislipidaemia, serta mereka yang menghidap Sindrom Ovari Polisistik (PCOS).


“Masalah kegemukan yang mencapai tahap obesiti juga membawa masalah lebih-lebih lagi jenis obesiti tengah iaitu kegemukan di bahagian perut dan pinggang.


“Kegemukan inilah yang menjadi punca utama rintangan insulin,” jelas Mafauzy.
Selain itu, faktor genetik sangat ketara dalam membentuk kemungkinan penghidapnya.


Mereka yang mempunyai sejarah diabetes dalam keluarga perlu berwaspada dengan kemungkinan tersebut memandangkan masalah itu boleh diwarisi.


“Jika bercakap tentang pecahan mengikut kaum, orang India mempunyai kecenderungan tertinggi bagi penyakit ini, diikuti oleh orang Melayu dan Cina.


“Statistik 2006 juga mencatatkan bahawa Negeri Sembilan dan Melaka mempunyai laporan kes diabetes paling banyak, sementara penduduk Sabah adalah yang terendah mendapat diabetes,” ulas beliau yang mengaitkan trend perangkaan itu dari sudut populasi kaum, gaya hidup berasaskan kuasa ekonomi serta corak pemakanan.


Mesej yang hendak disampaikan sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia semalam adalah penyakit ini perlu dicegah dan dikesan lebih awal supaya apabila sudah didiagnosis, ia perlu diuruskan secara lebih agresif.


Setiap tindakan awal boleh menghindar rentetan masalah kesihatan yang lebih buruk.


“Bagi pesakit diabetes Jenis 2, komplikasi miksovaskular sudah boleh dikesan semasa diagnosis.


“Ini termasuklah keseriusan masalah berkaitan deria penglihatan atau retinopati (12 peratus), nefropati (18 peratus), disfungsi erektil (20 peratus) dan neuropati (12 peratus),” kata Mafauzy.


Disiplin


Maka, langkah mencegah yang pertama adalah dengan meningkatkan kepekaan terhadap faktor-faktor risiko iaitu melalui pemeriksaan.
Jika diabetes dikesan, keberkesanan penjagaan diet ideal dan senaman fizikal perlu dipertingkatkan agar berat badan dapat dikurangkan.

KEGEMUKAN menjadi punca utama rintangan insulin.
________________________________________


Pesakit juga perlu berdisiplin dengan senaman yang dijalankan. Ujian klinikal dan kecergasan mengesyorkan senaman minimum adalah dengan berjalan kaki selama 30 minit sebanyak tiga kali seminggu.


Sementara itu, pengambilan ubat-ubatan hanya boleh dimulakan sekiranya perubahan gaya hidup tadi tidak menunjukkan sebarang impak positif selepas enam bulan.


Sehingga kini dianggarkan lebih 285 juta orang di seluruh dunia menghidap diabetes. Sebanyak 344 juta lagi tergolong dalam kategori mereka yang berisiko tinggi menghidapnya.


Di Malaysia, dianggarkan sebanyak 25 peratus rakyatnya akan menghidap diabetes menjelang tahun 2020.


Apakah kita masih tidak mengambil peduli untuk mengubah anggaran tersebut, atau sekurang-kurangnya berubah demi kebaikan diri sendiri?

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=1115&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Tuesday, October 6, 2009

Sejenis Lagi Tumbuhan Perawat Kanser





BATANG pokok ini berduri seperti jarum. Durinya terbit antara lima, enam atau tujuh bilah di setiap pangkal daun, malah ada yang terbit lebih daripada tujuh batang duri. Amalan tradisi akan memilih daun yang mempunyai tujuh duri dipangkalnya.



Daunnya berkilat berbentuk runcing pada hujung dan pangkal, lembut dan rangup jika diramas serta berlendir. Urat daun berselang-seli dan ada yang bertemu di bahagian pangkal daun, sementara urat sebelah belakang daun berwarna ungu.


Daun mudanya elok dimakan begitu saja. Rasanya seperti pucuk paku. Sedap jika dimasak lemak, tetapi untuk mengekalkan khasiatnya, baik dimakan sebagai ulam.

Bunganya berwarna kuning kemerahan mempunyai lapan hingga 12 kelopak dengan stigmanya berwarna putih. Bunga tujuh duri ini terbit di bahagian pucuk dahan.

Nama saintifiknya Pereskia bleo dari keluarga Cactaceae. Batang yang tua berkilat sementara batang mudanya berwarna hijau muda bertompok-tompok putih. Batangnya jika dikerat-kerat atau dicantas akan mengeluarkan lendir. Ia mudah bertunas serta mudah ditanam melalui keratan batangnya.

Untuk tujuan ulam, anda dinasihatkan supaya menceraikan daun daripada batangnya satu persatu. Ini kerana, walaupun batang mudanya juga lembut, tetapi masih mempunyai duri halus yang berbisa. Amalan memakan daunnya dikatakan terhindar dari darah tinggi, kencing manis dan barah.

Aktif seks punca kanser





HPV boleh dipindahkan kepada pasangan dan ia mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun untuk berkembang.

KANSER serviks atau kanser pangkal rahim terjadi pada saluran reproduksi wanita dan menjadi penyebab utama kematian akibat kanser di seluruh dunia.


Biarpun mudah dikesan melalui saringan awal, namun masih ramai yang tidak berusaha mencegahnya.


“Mereka hanya bertemu doktor apabila keadaan sudah kritikal.


“Kajian juga mendapati kanser serviks masih dipandang ringan oleh sesetengah wanita, bahkan tidak ramai yang melakukan ujian pap smear yang dapat mengesan kanser
berkenaan pada peringkat awal.

“Kebanyakan wanita bekerja mengatakan mereka terlalu sibuk selain malu untuk menjalani pemeriksaan itu,” ujar Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Selangor Medical Center, Dr. B.K. Tan.




Jelasnya, kanser serviks berpunca daripada beberapa faktor termasuk hubungan seks.


“Salah satu faktornya ialah kehadiran antibodi kepada Virus Papilloma Manusia (HPV) iaitu virus yang sama menyebabkan ketuat alat kelamin.


“Virus yang berjangkit melalui hubungan seks ini dipercayai boleh menyebabkan perubahan pada sel pangkal rahim seterusnya membawa kepada perkembangan sel kanser.


“Bagi wanita yang dijangkiti virus ini, mereka terdedah kepada risiko kanser serviks manakala bagi lelaki, mereka terdedah kepada kanser dubur.

“Wanita yang mempunyai ramai pasangan seks atau terbabit dengan pasangan yang juga ramai pasangan seks lebih mudah mendapat jangkitan HPV. Keadaan lebih buruk apabila wanita itu merokok manakala tubuhnya kurang daya tahan,” katanya.


Tambah Tan, kanser serviks hanya boleh terjadi kepada wanita yang pernah mengadakan hubungan seks. HPV boleh dipindahkan kepada pasangan dan ia mengambil masa di antara 10 hingga 15 tahun untuk berkembang.


“Kanser ini boleh dikenal pasti berdasarkan beberapa gejala seperti rasa sakit atau pendarahan ketika melakukan hubungan seks.


“Selain itu, jika berlaku pendarahan dalam faraj antara haid, lelehan berdarah di faraj yang berbau dan pendarahan pada wanita menopaus, juga mungkin tanda kehadiran kanser ini,” katanya.


Menurut satu kajian, kanser serviks menjadi punca kematian kira-kira 270,000 wanita setiap tahun dengan seorang wanita meninggal dunia setiap dua minit di seluruh dunia.


Memetik laporan Daftar Kanser Kebangsaan pada tahun 2003, anggaran kejadian kanser serviks di Malaysia ialah 16.5 wanita dalam setiap 100,000 penduduk. Penyakit ini mencakupi 12.9 peratus kanser yang dihidapi wanita.


Bagaimanapun, menurut Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di kalangan 100 wanita di negara ini pada tahun 2003 mendapati 23 peratus daripada responden menyatakan mereka tidak perlu melakukan ujian pap smear kerana menganggap mereka tidak mungkin menghidap kanser itu.


Antara lain, faktor kesibukan menjadi penghalang dengan 18 peratus, diikuti malu (9.6 peratus) dan tidak pernah mendengar langsung mengenainya (20 peratus).


“Pelbagai kempen telah dilakukan dan sepatutnya kesedaran untuk melakukan ujian saringan ini menjadi tanggungjawab setiap wanita yang pernah melakukan hubungan kelamin sekurang-kurangnya setahun sekali bagi menentukan tahap kesihatan rahim mereka.


Jika tidak, mereka mungkin akan tersenarai dalam 3,000 hingga 4,000 kes baru yang dilaporkan setiap tahun di negara ini,” kata Tan.



KANSER serviks hanya boleh terjadi kepada wanita yang pernah mengadakan hubungan seks.
________________________________________


Vaksin



Sebagai usaha untuk mengurangkan risiko kematian disebabkan kanser serviks, kaum wanita di Malaysia kini boleh mendapatkan vaksin HPV Kuadrivalen.
Vaksin yang dihasilkan khusus untuk mencegah kanser serviks, prakanser faraj dan prakanser vulva yang disebabkan oleh HPV jenis 16 dan 18 itu semakin kerap diperkatakan.




Malah Kementerian Kesihatan juga mengambil langkah untuk memberi suntikan pelalian itu kepada 300,000 pelajar perempuan bagi mencegah penularan kanser serviks



“Suntikan HPV adalah cara paling baik untuk menentang penyakit ini,” kata Tan.
Vaksin ini telah diluluskan dan sudah lebih 30 juta wanita di seluruh dunia mengambilnya.



Ia berfungsi sebagai pencegah ketuat alat kelamin dan lesi (zona tisu rosak) serviks gred rendah yang disebabkan oleh HPV jenis 6, 11, 16 dan 18.



“HPV jenis 16 dan 18 merupakan punca bagi hampir 70 peratus kes kanser serviks, kanser vulva dan kanser faraj serta punca bagi 50 peratus lesi.



“Sementara itu, HPV 6 dan 11 menyebabkan kira-kira 90 peratus ketuat alat kelamin. Empat jenis HPV ini menyebabkan kira-kira 35 hingga 50 peratus lesi gred rendah serviks, faraj dan vulva,” jelas Tan.


Bagaimanapun, pemvaksinan tidak akan melindungi pesakit daripada jenis HPV dan ia boleh menghalang virus daripada jenis HPV 16 dab 18 sahaja.


“Pemvaksinan bertujuan mengurangkan risiko daripada dijangkiti HPV 16 dan 18 yang menjadi punca kanser serviks. Ia tidak boleh menghalang sepenuhnya penerima suntikan pelali itu daripada mendapat kanser ini.



“Oleh itu, pemeriksaan rahim secara berkala amat digalakkan bagi mengelakkan pengesanan kanser pada peringkat akhir yang boleh mengancam nyawa,” kata Tan.



http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=1004&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Friday, September 25, 2009

Masalah penghadaman di kalangan rakyat malaysia

APABILA membincangkan tentang isu kesihatan dan kesejahteraan, kesihatan saluran penghadaman biasanya kurang diutamakan berbanding topik yang membabitkan jantung dan tekanan darah. Tetapi usaha menjaga kesihatan sistem penghadaman anda tidak kurang penting berbanding usaha menjaga kesihatan semua bahagian lain badan. Masalah kesihatan saluran penghadaman bukan sahaja mengganggu perut dan usus, tetapi juga boleh menjejaskan kehidupan anda.



l Empat Masalah Utama
Penyakit yang berkaitan dengan saluran gastrousus (GU) dinamakan penyakit penghadaman. Di Malaysia, masalah penghadaman umum yang dialami oleh dewasa Malaysia, berasaskan tahap penularannya ialah:


1. Penyakit Refluks Gastroesofagus (Reflux Oesophagitis)


Penyakit ini berlaku apabila sfinkter esofagus bawah (injap antara esofagus dan perut) tidak ditutup dengan cukup rapat, membolehkan asid perut untuk mengalir kembali ke dalam esofagus. Tanda ataupun simptom paling umum ialah pedih hulu hati. Gejala lain termasuk batuk, suara serak, sendawa dan rasa masam di mulut. Di Malaysia, seperti kebanyakan negara di Asia, penyakit refluks semakin menular kerana faktor gaya hidup, seperti gaya hidup tidak aktif yang tidak mementingkan kegiatan fizikal dan juga pilihan makanan, misalnya makanan berminyak dan berlemak. Namun begitu, penyakit ini boleh dirawat menerusi ubat preskripsi atau dengan membuat perubahan gaya hidup, iaitu jangan makan secara berlebihan, mengurangkan berat badan berlebihan dan menambahkan kekerapan senaman.


2. Sindrom Usus Terganggu (Irritable Bowel Syndrome)


SUT ialah sejenis gangguan usus yang dialami kira-kira 430,000 rakyat Malaysia. Gangguan ini menyebabkan sakit perut, kekejangan, kembung, cirit-birit atau sembelit. Gejala utamanya ialah sakit perut dengan sembelit atau cirit-birit. Terdapat pelbagai teori yang mengenal pasti punca SUT. Ia mungkin berlaku akibat kaitan antara faktor alam sekitar dan genetik. Gejalanya juga dianggap berkaitan dengan komunikasi kurang baik antara otak dan saluran gastrousus. Pergerakan yang normal mungkin tidak berlaku di dalam kolon seseorang yang menghidap SUT. Walaupun SUT ialah sejenis gangguan tidak berbahaya (benign), ia boleh menjejaskan kualiti kehidupan dan mengganggu anda selama bertahun-tahun. Penyakit ini biasanya dialami oleh mereka yang berusia lewat 20-an, wanita dan individu yang mempunyai sejarah SUT dalam keluarga. Rawatannya termasuk perubahan diet dan gaya hidup, seperti mengelakkan makanan yang mencetus gejala, kerap bersenam dan menguruskan stres.


3. Ulser peptic (peptic ulcer)

Ulser peptik ialah liang kecil yang menembusi lapisan perut atau duodenum. Ulser mungkin atau mungkin tidak memperlihatkan sebarang gejala, tetapi apabila gejala didapati, ia termasuk sakit membara atau menusuk di bahagian tengah atau atas perut, kehilangan selera dan penurunan berat badan serta najis berwarna gelap atau hitam (akibat pendarahan). Gejalanya berbeza-beza antara individu. Punca utama ulser peptik ialah penggunaan ubat antiradang bukan steroid (NSAID) seperti aspirin, ibuprofen dan ubat lain. Punca umum kedua ialah jangkitan oleh sejenis bakteria yang dinamakan Helicobacter pylori (H. pylori) Sebab lain termasuk merokok atau pengambilan alkohol berlebihan. Stres juga boleh memburukkan lagi gejala.


4. Kanser kolon (colon cancer)

Kanser kolon biasanya bermula sebagai polip, iaitu ketumbuhan kecil pada permukaan kolon. Kebanyakan polip adalah tidak berbahaya (benign), tetapi sekurang-kurangnya satu jenis polip boleh bertukar menjadi malignan (merebak) dan merupakan pelopor bagi kanser kolon. Laporan kedua Pendaftaran Kanser Kebangsaan menarafkan kanser kolon sebagai kanser ketiga paling umum dialami oleh rakyat Malaysia. Penularan kanser kolon juga semakin ketara, terutamanya di kalangan golongan muda. Orang yang berusia lebih 50 tahun menghadapi risiko kanser kolon yang lebih tinggi. Faktor risiko lain termasuk sejarah kanser kolon dalam keluarga, kegemukan, diet yang tinggi kandungan lemak dan rendah kandungan serat, merokok dan kehidupan tidak aktif.


l Mengawal Kesihatan Anda
Lazimnya, anda boleh mengawal kesihatan anda hanya dengan mengambil beberapa langkah pencegahan seperti mengubah gaya hidup dan tabiat pemakanan anda. Jangan tunggu sehingga anda mengalami masalah penghadaman. Mulakan serta-merta untuk memastikan sistem penghadaman anda akan kekal sihat pada hari ini dan sepanjang hayat.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_06.htm

Kita kurang pakar kanser kanak-kanak

KUALA LUMPUR 23 Julai - Lebih ramai pakar kanser kanak-kanak diperlukan di negara ini bagi merawat pesakit kecil yang menderita penyakit itu, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr. Mohd. Nasir Mohd. Ashraf.


Beliau berkata, setakat ini, negara hanya memiliki seramai 10 pakar kanser kanak-kanak yang ditempatkan di hospital kerajaan.


''Hospital Kuala Lumpur (HKL) kini sedang mengkaji perkara ini termasuk memberi 600 biasiswa bagi melatih dan menyediakan kepakaran di kalangan doktor sedia ada.


''Langkah ini bertujuan memastikan negara tidak terus 'ketandusan' doktor-doktor pakar khusus untuk merawat pesakit kanser,'' katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melawat Institut Pediatrik di HKL di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah HKL, Datuk Dr. Zaininah Mohd. Zain.


Sementara itu, menurut Mohd. Nasir, kementerian juga bercadang untuk menempatkan doktor-doktor pakar di setiap negeri jika negara ini berjaya melahirkan lebih ramai doktor pakar kanser kanak-kanak.


''Sekiranya kerajaan berjaya mencapai sasaran ini, kita tidak lagi perlu bimbang untuk menempatkan doktor-doktor pakar di setiap negeri.


''Ia sekali gus memudahkan pesakit-pesakit yang tinggal di luar ibu negara mendapatkan rawatan di negeri masing-masing tanpa perlu datang ke HKL,'' katanya.


Terdahulu, Rosmah meluangkan masa lebih sejam melawat kira-kira 350 pesakit kanak-kanak di Wad Perubatan dan Nefrologi (KK1), Wad Perubatan, Kardiologi dan Neurologi (KK2) serta Wad Onkologi (KK3) di institut tersebut.


Lawatan itu diadakan sempena ulang tahun kelahiran ke-56 suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.


Dalam lawatan itu, Rosmah turut menghadiahkan hamper berisi coklat, buah-buahan, anak patung beruang serta siri buku cerita kepada kanak-kanak di wad berkenaan.


Beliau berkata, kunjungannya itu juga merupakan satu aktiviti dalam usaha mendekatkan diri serta mendalami isi hati seluruh rakyat negara ini.


''Pada sesi lawatan ini, saya bertemu dengan kanak-kanak yang menghidap pelbagai kanser serta buah pinggang, dan saya dimaklumkan bahawa negara kekurangan pakar kanser untuk merawat pesakit-pesakit ini,'' ujarnya.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0724&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_05.htm

Air liur pijat jadi penawar kanser?

PARA penyelidik di Brazil mendapati air liur parasit penghisap darah, pijat mempunyai potensi besar untuk menjadi penawar kanser kulit, hati dan pankreas. Sejenis protein dalam air liur pijat yang ditemui di Amerika Selatan, Amblyomman cajennense didapati mampu mengurangkan dan menghapuskan sel-sel kanser dan membiarkan sel-sel yang sihat terus hidup.


"Ini satu inovasi yang radikal. Komponen dalam air liur pijat ini mungkin boleh menjadi penawar kanser," kata ketua kajian dan pakar biologi molekular, Ana Marisa Chudzinski-Tavassi dari Institut Butantan, Sao Paulo.


Protein yang dinamakan sebagai Faktor X aktif itu ditemui sewaktu ujian ciri-ciri antikelikatan air liur pijat dijalankan. Ciri-ciri itulah yang menghalang penebalan dan pembekuan darah supaya pijat boleh terus menghisap darah mangsa.


Memiliki ciri-ciri yang menyamai antikelikatan lain, TFPI (Tissue Factor Pathway Inhibitor), para penyelidik juga terkejut mendapati protein Faktor X itu tidak membunuh sel-sel normal. Sebaliknya, ia hanya membunuh sel-sel tumor yang dianalisis. - AFP


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0904&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_05.htm

Barah sistem limfa

SELASA depan, 15 September 2009, genap lima tahun sambutan Hari Kesedaran Limfoma Sedunia sejak dilancarkan pada 2004.Walaupun sudah lima tahun, tidak ramai tahu mengenainya, malah perkataan ‘limfoma’ masih terlalu asing bagi kebanyakan orang dalam masyarakat kita kecuali yang ada ahli keluarga menghidap penyakit ini.Apa itu limfoma?

Limfoma ialah kanser pada sistem limfa. Sistem limfa membentuk sebahagian daripada sistem pertahanan badan. Ia membabitkan organ, duktus dan nodus limfa. Ia membawa cecair jernih dipanggil limfa.Komposisi limfa lebih kurang sama dengan plasma (cecair kuning pucat diperoleh daripada darah) tetapi kurang kandungan protein dan beberapa sel.



Sistem limfa ada di semua bahagian badan kecuali sistem saraf pusat (di tulang belakang). Bahagian utama sistem limfa ialah sumsum tulang, limpa, kelenjar timus dan tonsil. Ia juga ada pada semua organ, termasuk jantung, paru-paru, hati, usus dan kulit.


Sistem limfa boleh diumpamakan sebagai jaringan perparitan yang membantu mengekalkan keseimbangan paras cecair badan dan melindungi badan daripada jangkitan.Sistem limfa membabitkan jaringan salur limfa yang membawa cecair jernih dipanggil limfa — mengandungi molekul protein, garam, glukos, urea dan bahan lain ke seluruh badan.

Antara tugas penting sistem limfa ialah mengutip cecair berlebihan daripada tisu badan dan mengembalikannya ke dalam darah.Proses ini penting kerana air, protein dan lain-lain bahan sentiasa ‘bocor’ daripada salur darah halus dan memasuki tisu badan. Jika sistem limfa tidak ‘mengutip’ cecair berlebihan ini, tisu akan membengkak.Sistem limfa juga bertindak sebagai barisan pertahanan yang melindungi badan daripada bakteria, virus dan fungus yang boleh menyebabkan penyakit.Kuman ini ditapis di nodus limfa yang mengandungi sel darah putih (limfosit).

Limfosit menghasilkan antibodi iaitu protein khas yang melawan dan memusnahkan kuman.Nodus limfa berbentuk kacang, bersaiz antara beberapa milimeter ke satu hingga dua sentimeter. Ia bersambung dengan banyak salur limfa yang halus membawa cecair dari tisu.


Nodus limfa boleh menjadi besar (bengkak) disebabkan jangkitan atau ketumbuhan.Dinding salur limfa yang halus (dipanggil kapilari) sangat telus. Jadi pergerakan cecair daripada tisu ke dalam salur kapilari limfa berlaku sepanjang masa.Tidak seperti sistem edaran darah, sistem limfa tiada tekanan dan ia bergerak dalam arah sehala secara perlahan-lahan ke arah nodus limfa.

Limfa mengagihkan sel darah putih dan beberapa faktor penting ke seluruh badan. Ia juga berhubungan dengan sistem aliran darah untuk menyingkir cecair daripada sel dan tisu.Limfosit adalah komponen penting bagi sistem imun yang bertanggungjawab memusnahkan bahan asing seperti virus, bakteria atau fungus yang masuk ke dalam badan.


Limfoma terjadi apabila limfosit tidak normal terbentuk terlalu cepat atau hidup terlalu lama. Bagi sel darah putih yang normal, jangka hayatnya kira-kira 120 hari saja.Sel limfosit ini boleh berkumpul pada nodus limfa atau pada mana-mana sistem limfa untuk membentuk tumor atau ketumbuhan.

Punca sebenar limfoma tidak diketahui. Banyak pendapat mengaitkan bahan kimia tertentu yang digunakan dalam racun serangga dan pengawet kayu dengan limfoma.Malah, penerima organ yang mengambil ubat anti penolakan dan individu yang ada masalah daya ketahanan badan seperti penghidap jangkitan HIV juga boleh mendapat limfoma.


Bagaimanapun, limfoma tidak berjangkit dan tidak diwarisi.Sehingga kini dianggarkan ada kira-kira sejuta pesakit kanser limfoma dengan lebih 360,000 kes baru dan 200,000 kematian setiap tahun. Sesetengah jenis limfoma sukar dikesan dan selalu disalah anggap dengan penyakit biasa seperti flu atau selesema.

Walaupun limfoma antara kanser paling cepat merebak dengan satu juta pesakit dan 1,000 kes baru dikesan setiap hari di seluruh dunia, soal selidik antarabangsa mendapati:


· Hanya 49 peratus orang tahu mengenai fungsi nodus limfa


· Meskipun responden pernah mendengar perkataan limfoma, 52 peratus mengakui tidak tahu mengenainya


· Kira-kira 67 peratus responden tidak tahu limfoma adalah sejenis kanser yang mempunyai kadar pertumbuhan paling cepat di duniaLimfoma boleh berlaku pada semua peringkat umur, termasuk kanak-kanak.

Di Malaysia, Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Ketiga mengenai Insiden Kanser di Semenanjung Malaysia 2003-2005 mencatatkan limfoma antara 10 jenis kanser paling lazim. Insiden limfoma di kalangan lelaki ialah 6.2 peratus dan 3.4 peratus pada wanita berbanding semua jenis kanser.


Perunding Haematologi, Dr Ng Soo Chin, berkata kanser ini terbahagi kepada dua iaitu:


· Limfoma Hodgkin — Ini adalah jenis limfoma yang jarang berlaku dan dikategorikan dengan kehadiran sel tumor tidak normal dipanggil sel Reed Sternberg yang tidak ditemui pada limfoma lain. Jika diberi rawatan sesuai, 75 peratus pesakit boleh sembuh.


· Limfoma bukan Hodgkin (NHL) — Ini adalah kanser paling lazim pada sistem limfa. Ia boleh dibahagikan kepada limfoma sel B (80 hingga 85 peratus) dan limfoma sel T (15 peratus).

Limfoma NHL lebih kerap berlaku pada orang dewasa dan kes paling banyak dicatatkan dalam lingkungan umur 45 hingga 60 tahun.Walaupun ada lebih 30 jenis limfoma NHL, secara umumnya ia dibahagi kepada tiga kumpulan utama mengikut kadar pertumbuhan tumor sama ada perlahan, sederhana ke cepat dan sangat cepat.

Gejala limfomaSesetengah jenis limfoma sukar dikesan kerana kadangkala ia tidak menunjukkan gejala dan jika ada, ia sering disalah anggap sebagai penyakit biasa seperti selesema atau flu.


Biasanya kes hanya dikesan secara tidak sengaja apabila seseorang menjalani pemeriksaan kesihatan atau ujian untuk penyakit lain.


· Nodus limfa pada leher, ketiak dan celah kangkang bengkak tetapi tidak sakit


· Berpeluh banyak pada waktu malam


· Demam berulang kali


· Berat badan menurun (turun 10 peratus dalam tempoh lebih enam bulan) dan hilang selera makan


· Batuk yang tidak berhenti dan sesak nafas


· Gatal seluruh badan tanpa sebab nyataTidak kira apa jenis kanser pun, kebanyakan pesakit sukar menerima hakikat mereka diserang penyakit berbahaya ini. Kebanyakan pakar berdepan cabaran besar untuk memaham dan meyakinkan pesakit serta ahli keluarga mereka bahawa limfoma adalah kanser yang boleh merebak.

Justeru, ia perlu dirawat secepat mungkin supaya rawatan memberi hasil lebih baik. Pada masa sama sokongan keluarga dan rakan penting untuk membantu pesakit menjalani pemeriksaan serta rawatan.

Diagnosis dan rawatan


Rawatan untuk limfoma NHL bersifat individu dan berbeza antara pesakit. Ia bergantung kepada beberapa faktor seperti jenis limfoma dihidapi (sama ada lambat atau cepat merebak), kes baru atau berulang, keadaan penyakit, umur dan tahap kesihatan pesakit secara keseluruhan.

Presiden Persatuan Haematologi Malaysia ini berkata, perkara paling penting dalam rawatan limfoma ialah pesakit mendapat diagnosis (pengesahan) betul pada peringkat awal.Ini kerana strategi rawatan berbeza mengikut jenis kanser dihidapi.


Selepas disahkan, limfoma perlu dirawat oleh pakar haematologi atau onkologi dan pada masa sama pesakit boleh memilih di mana mereka mahu mendapatkan rawatan.Pilihan terbaik ialah pusat di mana pesakit dirawat haematologi atau onkologi dengan sokongan jururawat onkologi terlatih, mempunyai perkhidmatan pengimejan, radioterapi, 24 jam perkhidmatan kecemasan, bank darah dan farmasi.

“Ini penting kerana sesetengah pesakit limfoma mungkin sakit teruk atau mengalami komplikasi dalam tempoh rawatan. Ketika ini pakar haematologi memerlukan bantuan pakar lain.“Jika pusat rawatan itu juga ada kemudahan pemindahan sumsum tulang atau sel stem, itu lebih baik kerana limfoma boleh datang balik pada bila-bila masa dan kes seperti ini memerlukan pemindahan sel stem haemopoetik untuk membunuh penyakit,” katanya.


Tujuan utama rawatan ialah menyembuhkan penyakit, memanjangkan tempoh bebas daripada penyakit dan meningkatkan kualiti hidup pesakit.


Antara strategi rawatan digunakan kini ialah:
· Tunggu dan lihat: Kaedah ini hanya untuk limfoma yang menunjukkan perkembangan sangat perlahan dan pesakit mengalami sedikit atau tiada gejala langsung. Dalam tempoh ini pesakit perlu kerap berjumpa doktor dan segera memaklumkan doktor jika ada gejala baru muncul.

Bagaimanapun, kewujudan ubat berkesan dengan sedikit kesan sampingan menjadikan pendekatan ini kurang menarik kerana kebanyakan pesakit dibelenggu kebimbangan.


· Kemoterapi: Ubat kemoterapi bertujuan membunuh sel limfoma di seluruh badan. Ada banyak jenis ubat kemoterapi untuk merawat kanser. Jenis ubat bergantung kepada jenis kanser dihidapi.Pesakit boleh diberi rawatan kemoterapi saja tetapi biasanya doktor menggabungkan beberapa kaedah seperti ubat kemoterapi dan antibodi monoklonal.

Pesakit mungkin alami kesan sampingan sementara kemoterapi seperti mual, muntah, keguguran rambut dan jumlah darah yang rendah.


· Antibodi monoklonal: Ini adalah ubat kelas baru yang menukar sepenuhnya kaedah rawatan limfoma NHL. Antibodi monoklonal yang digunakan untuk merawat limfoma ialah rituximab; ia memusnahkan sel limfosit B saja. Ubat ini kurang kesan sampingan berbanding terapi kanser yang lain.


· Radiografi (radiasi): Sinar-X bertenaga tinggi digunakan untuk membunuh sel limfoma dan hanya untuk kanser yang berkumpul pada satu atau dua tempat.


· Transplan: Transplan atau pemindahan sel stem haemopoetik (sel induk yang menghasilkan semua jenis sel darah) antara rawatan pilihan untuk pesakit limfoma NHL yang agresif atau penyakit menyerang semula.Kaedah rawatan biasanya membabitkan pemberian ubat kemoterapi pada dos tinggi yang memusnahkan sumsum tulang dan semua sel kanser. Sumsum tulang yang musnah kemudian diganti dengan sel stem haemopoetik yang diambil sebelum kemoterapi.

Harapan baru


Menurut Dr Ng, perkembangan dunia perubatan membantu proses pengesanan dan klasifikasi limfoma dengan tepat. Perkembangan ini memang dinanti kerana ia bukan saja mampu membantu doktor merangka pelan rawatan bersesuaian, malah tindak balas pesakit terhadap rawatan juga lebih baik.Antara perkembangan itu ialah:


· Ujian makmal menggunakan kaedah Immunohistokemistri (IHC) — membolehkan pengesanan yang tepat dan jika dirawat awal, pesakit ada peluang lebih baik untuk sembuh.


· Pengimejan seperti Imbasan CT dan PET membantu pakar haematologi mengesan peringkat kanser dan merancang rawatan sesuai.


· Kehadiran penjagaan sampingan lebih baik selepas kemoterapi seperti anti emetik dan antibiotik membolehkan pesakit menangani kesan sampingan kemoterapi dengan lebih baik.


· Hasil rawatan limfoma NHL meningkat jauh lebih baik dengan penggunaan antibodi monoklonal seperti rituximab yang diberi bersama kemoterapi bagi limfoma NHL bersifat perlahan atau agresif. Ramai pesakit sembuh dan hidup lebih lama.

· Pemindahan sel stem haemopoetik memberi harapan baru kepada pesakit yang menghidap limfoma agresif atau yang menyerang semula.


· Agen terapi baru seperti zevalin iaitu radioimunoterapi yang tindakannya hanya tertumpu kepada sel limfoma saja (tiada kesan pada sel normal) menjadikan rawatan lebih baik.


· Penerimaan di kalangan pakar perubatan bahawa limfoma memerlukan regimen rawatan khas. Contohnya limfoma Burkitt perlu dirawat secara intensif sama seperti leukemia, manakala limfoma sistem saraf pusat pula memerlukan agen kemoterapi yang boleh menembusi halangan salur darah pada otak untuk sampai terus ke kawasan kanser.

Namun, kata Dr Ng, yang penting ialah kesediaan pesakit menerima rawatan secepat mungkin. Pesakit perlu mendapatkan penjelasan terperinci daripada doktor mengenai komplikasi yang mungkin dialami sepanjang sesi rawatan kemoterapi.Doktor juga perlu dimaklumkan jika pesakit mahu mengambil makanan tambahan kerana ia boleh memberi kesan sampingan.


Pesakit perlu mematuhi temujanji susulan supaya doktor boleh memantau perkembangan mereka sepanjang tempoh rawatan.“Pesakit boleh mendapat banyak maklumat mengenai pelbagai aspek pengurusan limfoma daripada Internet.


Ini memudahkan mereka memahami penyakit dan bertanya doktor jika ada kemusykilan. Rawatan akan lebih berkesan jika pesakit patuh kepada peraturan rawatan dan paling penting sentiasa berfikiran positif,” katanya.



http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Sihat/20090913141006/Article/index_html

Thursday, September 17, 2009

Obes punca kanser prostat berulang?

SATU kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat (AS) mendapati, lelaki yang obes lebih cenderung mendapat penyakit kanser prostat berulang.

Seorang profesor madya dari Pusat Prostat, Pusat Perubatan Universiti Duke, AS, Dr. Stephen Freedland berkata, seramai 1,415 pesakit kanser prostat terlibat dalam kajian tersebut.
Rekod mereka yang telah menjalani prosedur prostektomi radikal itu turut dikaji. Hasilnya, faktor bangsa didapati tidak mempengaruhi sifat agresif sesuatu kanser, sebaliknya kadar indeks jisim tubuh (BMI).

"Kami mendapati kadar BMI yang lebih tinggi berkait rapat dengan peningkatan risiko penyakit kanser berulang. Lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat kulit putih dan kulit hitam," jelas Dr. Jayakrishnan Jayachandran, seorang pakar urologi onkologi.
Biarpun begitu, punca utama peningkatan risiko kanser prostat dalam kalangan masyarakat obes masih tidak diketahui. Saintis turut percaya bahawa perubahan paras hormon mungkin menjadi punca.


"Obesiti ada kaitan dengan lebihan estrogen dan kandungan testosteron yang kurang. Boleh jadi, paras testosteron yang rendah mendorong penghasilan lebih banyak tumor kanser yang agresif," tambahnya. - HealthDay


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0904&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_04.htm

Saturday, September 12, 2009

Gusi bermasalah punca kanser

PENJAGAAN yang baik pada kesihatan gigi mampu mengurangkan penyakit berkaitan kepala serta kanser tekak, menurut satu kajian yang mengaitkan penyakit gusi dan kanser.


Mempunyai penyakit gusi kronik yang melibatkan kehilangan tulang dan tisu lembut pada gigi secara progresif terbukti meningkatkan perkembangan sel karsinoma pada kepala dan tekak, terutama di mulut dan kerongkong.


Menurut ketua penyelidik di Institut Kanser Roswell Park, Buffalo, New York, Dr. Mine Tezal, risiko kanser menjadi lebih teruk pada pesakit periodontis, tidak kira sama ada mereka merokok atau menggunakan sebarang produk tembakau.



http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0913&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_03.htm

Mengenali kelenjar prostat

KELENJAR prostat adalah kelenjar yang mengeluarkan sebahagian cecair yang akan menjadi air mani. Ia terletak di bawah pundi kencing. Kelenjar ini akan membesar dan menimbulkan masalah apabila seseorang menjangkau usia 50-an.

Apabila membesar, ia akan mencerut saluran kencing dan seseorang akan mula mengalami tanda-tanda pembesaran kelenjar prostat.

Tanda-tanda pembesaran kelenjar prostat:

· Aliran air kencing yang perlahan, terpaksa menunggu lama untuk air kencing keluar.
· Terpaksa meneran semasa kencing.
· Air kencing masih menitik walaupun habis kencing.
· Rasa tidak puas selepas habis kencing.
· Tidak dapat menahan kencing.
· Kerap kencing pada waktu malam.
· Ada juga yang mengalami masalah air kencing tidak dapat keluar secara tiba-tiba ataupun kencing berdarah.


Ada pelbagai ubat yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah ini. Antaranya adalah ubat alpha blocker yang akan membuka saluran kencing semasa proses membuang air kecil melalui relaksasi otot di sekitar kelenjar prostat.

Contoh ubat jenis ini yang ada di pasaran adalah terazosin, alfluzosin dan doxazosin. Ubat 5 alpha reductase inhibitor pula boleh mengecilkan kelenjar prostat jika diambil secara berpanjangan. Contoh ubat yang ada di pasaran adalah finasteride dan dutasteride.


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Tanyadoktor/20090808133841/Article/

Bimbang warisi kanser kelenjar prostat

Tanya Doktor

Bersama Pakar Urologi Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras.sazree@bharian.com.my


SAYA seorang lelaki berusia 42 tahun. Ayah saya baru disahkan mengidap kanser kelenjar prostat yang sudah merebak ke tulang. Soalan saya, apakah risiko untuk saya menghidapi masalah sama? Apakah tanda-tanda kanser kelenjar prostat? Adakah cara untuk mengesan kanser ini pada peringkat awal dan apakah rawatan yang ada untuk penyakit ini? Aziz,

Subang Jaya, Selangor. RISIKO untuk saudara menghidap kanser kelenjar prostat adalah dua kali ganda lebih tinggi dari lelaki lain. Ini kerana kanser kelenjar prostat mempunyai kaitan genetik yang rapat. Bukan saja saudara, malah adik beradik lelaki dan adik beradik lelaki ayah saudara juga mempunyai risiko sama. Kanser kelenjar prostat ini boleh dikesan awal dengan cara saringan ujian darah PSA (prostate spesific antigen). Oleh kerana ayah saudara menghidap kanser kelenjar prostat, saudara perlu menjalani ujian PSA apabila umur saudara mencecah 45 tahun.


Untuk lelaki yang tidak tergolong di dalam kumpulan risiko tinggi, mereka boleh mula menjalani ujian PSA selepas berumur 50 tahun dan ujian ini perlu dijalani setiap tahun. Tahap PSA yang normal secara am kurang daripada 4 ng/dl. Jika seseorang didapati mempunyai tahap PSA lebih dari 4 ng/dl, pakar urologi akan menyarankan supaya ujian trans rectal prostate biopsy (TRUS) dikendalikan.


Ujian ini dilakukan melalui lubang dubur di mana tisu kelenjar prostat akan diambil dengan bantuan alat ultra sound. Ujian ini penting untuk memastikan kehadiran kanser dan tahap kanser kelenjar prostat. Tiada tanda khusus untuk kanser kelenjar prostat. Ia sama seperti tanda penyumbatan saluran kencing akibat pembesaran kelenjar prostat. Ini termasuk aliran kencing perlahan; air kencing yang meleleh selepas kencing; terpaksa tunggu lama untuk air kencing keluar; meneran untuk mengeluarkan air kencing dan kerap ke tandas pada waktu malam.

Pada tahap lewat pula, pesakit akan mengalami sakit di bahagian tulang terutama tulang belakang. Pemeriksaan fizikal juga boleh mengesan kanser kelenjar prostat.
Melalui pemeriksaan ini, doktor akan memasukkan jari ke dalam lubang dubur bagi memeriksa bentuk dan kekerasan kelenjar prostat. Namun begitu, sekiranya kanser dapat dikesan dengan jari, kemungkinan besar ia sudah mencapai tahap yang lewat. Ada pelbagai cara untuk merawat kanser kelenjar prostat.

Jika dapat dikesan pada tahap awal, pembedahan radical prostatectony boleh dilakukan. Pembedahan ini membabitkan pembuangan kelenjar prostat. Selain dari itu, kanser di tahap awal boleh dirawat dengan cara bracytherapy. Dengan cara ini, butiran-butiran radioaktif akan dimasukkan ke dalam kelenjar prostat dan melalui kaedah rawatan ini, kelenjar prostat tidak dibuang.


Kanser prostat pada tahap lewat pula dirawat secara manipulasi hormon. Ini kerana kanser kelenjar prostat memerlukan hormon testostorone untuk merebak. Oleh itu, ubat yang dipanggil anti androgen akan diberi untuk menurunkan paras testostorone dalam badan dan seterusnya mengawal dari kelenjar prostat ini merebak. Ubat ini boleh didapati dalam bentuk tablet atau suntikan. Paras hormon testostorone juga boleh diturunkan dengan cara pembedahan. Pembedahan ini membabitkan pembuangan kedua-dua buah zakar.


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Tanyadoktor/20090523093957/Article/

Thursday, September 3, 2009

Mamogram tentukan keseriusan kanser

Apabila menyebut 'kanser', pesakit pasti hanya terbayang kematian terutama di kalangan mereka yang disahkan sudah ke tahap lanjutan rawatan standard seperti kemoterapi atau radioterapi.

Pada peringkat itu, kebanyakan pesakit pasrah dengan dugaan menimpa dirinya dan tidak kurang ada yang berputus asa terhadap kehidupan yang dilalui.

Namun, tidak semestinya apa yang dijangka akan berlaku kerana pada akhirnya hanya yang Maha Esa sahaja yang berkuasa menentukan ajal maut setiap individu.

Perunding Pembedahan Payu Dara Pusat Perubatan Prince Courts, Dr. Harjit Kaur berkata, tanggapan salah pesakit menyebabkan hidup pesakit menjadi tertekan serta murung.

Hal demikian menyebabkan ramai beranggapan kanser sama maknanya dengan kematian sehingga menjadikan mereka tidak bersemangat meneruskan hidup.

Sehubungan itu, tambah Harjit, pengesanan awal penting dalam menentukan keseriusan tahap kanser tersebut.

''Sebenarnya, jika dikesan secara awal ia mungkin boleh menyelamatkan nyawa dan peratusan untuk sembuh adalah tinggi.

''Oleh sebab itu, pemeriksaan payu dara sendiri, pemeriksaan klinikal serta mamogram sangat mustahak,'' ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, pemeriksaan dan rawatan awal adalah satu keperluan dewasa ini bagi mengelakkan serangan penyakit yang akan membebankan diri dan keluarga kelak.


''Kalau kita sanggup berbelanja untuk memperbaiki rumah atau harta benda yang lain, mengapa kita tidak sanggup memperbaiki tahap kesihatan diri sendiri,'' katanya.

Jelasnya, antara sebab utama masyarakat tidak berusaha mendapatkan rawatan kanser kerana tiada keyakinan bahawa mereka mempunyai peluang untuk hidup.


"Wanita yang telah disahkan menghidap penyakit ini tidak mempercayai bahawa penyakit ini tidak boleh dikawal dan mereka hanya fikirkan hal kematian.


"Faktor kurangnya pengetahuan tentang rawatan penyakit ini, misalnya, wanita yang berada di luar bandar dan kampung menjadikan jumlah kes kematian akibat kanser ini meningkat,'' ujarnya.


Harjit memberitahu, wanita terutamanya golongan ibu perlu ingat sekiranya mereka tidak mengambil langkah kesihatan, bagaimana mereka hendak menjaga keluarga.


"Wanita mempunyai tanggungjawab yang banyak. Mungkin sokongan daripada keluarga terutamanya orang terdekat seperti suami memainkan peranan penting.


"Dalam hal ini, suami boleh menemankan isteri mereka untuk melakukan pemeriksaan awal dan apabila disahkan menghidap kanser ini,'' katanya.


Menurut Harjit, selain pemeriksaan sendiri di rumah , wanita boleh melakukan mamogram.
"Mamogram ialah satu pemeriksaan payudara menggunakan sinar-X.
"Ia akan memaparkan kelenjar susu, lemak dan saluran darah serta kelenjar di dalam ketiak.

Pemeriksaan ini dilakukan oleh juru x-ray.


"Ia akan menghasilkan imej payu dara yang kemudian akan diproses secara digital dan dicetak pada filem,'' jelasnya.


Tambanya, adakalanya, kanser payu dara pada peringkat awal hanya dilihat sebagai sekumpulan kalsium halus (mikrokalsifikasi) dan ini hanya dapat dikesan dengan mamogram.


Ditanya kenapa seorang wanita itu memerlukan mamogram, Harjit menjelaskan, pengesanan awal melalui kaedah mamogram dapat mengesan kanser dan juga ketumbuhan yang bukan kanser yang masih terlalu kecil untuk dirasa oleh individu ataupun doktor.


"Mamogram boleh mengesan ketumbuhan dua tahun lebih awal sebelum ia dapat dirasa semasa membuat pemeriksaan.


"Ia juga boleh mengesan perubahan pada tisu-tisu payu dara yang boleh menunjukkan tanda-tanda kanser pada peringkat awal.


"Hakikatnya, saringan mamogram di kalangan kaum wanita yang tidak mempunyai apa-apa gejala penyakit payu dara telah menurunkan kadar kematian disebabkan kanser payu dara,'' ujarnya.


Tambahnya, antara persediaan yang perlu dilakukan ialah merancang pemeriksaan selepas haid atau apabila payu dara berasa tidak sakit dan tegang.


"Sekiranya kafien boleh menyebabkan payu dara anda berasa sakit dan tegang, berhenti mengambil produk mengandungi kafein seperti kopi, teh, coklat dan air bergas), '' jelasnya.


Pesannya, faktor pemakanan penting dalam mengurangkan risiko untuk penyakit kanser.

Oleh itu, amalkan pemakanan seimbang. Kurangkan pengambilan lemak.

Saturday, August 29, 2009

Kanser isu keluarga

WALAUPUN kanser pangkal rahim antara penyakit lazim di negara kita dan kerap dibincangkan, ia masih menggerunkan, apatah lagi jika lewat dikesan.

Bagaimanapun, kebanyakan perbincangan tertumpu pada aspek penyakit dan ramai terlupa bahawa kanser seperti itu bukan sekadar penyakit, tetapi boleh dianggap sebagai isu keluarga kerana memberi kesan terhadap setiap anggota keluarga.


Pengarah Perubatan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Dr Saunthari Somasundram, dalam bengkel Kesan Psikososial Kanser Pangkal Rahim anjuran Merck Sharp & Dohme Malaysia, baru-baru ini, berkata disebabkan terlalu menumpukan perhatian kepada penyakit, tidak ramai terfikir mengenai kesan dialami pasangan serta anak.


Malah, beliau berkata, tumpuan utama di kalangan pakar perubatan adalah untuk merawat dan menyembuhkan penyakit, sedangkan hakikatnya kesan psikologi juga perlu diberi perhatian sewajarnya.


Ini kerana jika seseorang kuat semangat dan berfikiran positif, penerimaan badan terhadap rawatan jauh lebih baik.


Bukan mudah untuk memahami emosi dan psikologi pesakit kanser. Apabila diberitahu menghidap kanser pangkal rahim, seseorang mengalami tekanan daripada tiga aspek iaitu:


· Fizikal — persoalan yang kerap diutarakan ialah sama ada boleh sembuh atau sebaliknya, adakah pesakit boleh menjalani kehidupan seperti sebelum diserang kanser. Penyakit dan rawatan menyebabkan perubahan fizikal kepada pesakit.

Pesakit mungkin perlu menjalani pembedahan pembuangan rahim sama ada separuh (hanya buang rahim), keseluruhan (rahim dan ovari dibuang) atau radikal (rahim, ovari dan saraf dibuang).

Pembuangan ovari bermakna pesakit mengalami menopaus dan pada masa sama mereka diberi rawatan kemoterapi dan radioterapi (radiasi). Bagi kanser pangkal rahim, ubat radioterapi diberi melalui faraj dan ia bertindak (membunuh sel kanser) dari dalam badan.

Kesan sampingannya, sel faraj mengalami keradangan, menyebabkan ia mengecut dan menjadi sempit selepas beberapa ketika. Untuk mengatasinya, pesakit disaran mengadakan hubungan seks dengan lebih kerap tetapi idea ini dianggap ‘merepek’ bagi kebanyakan wanita.


· Psikologi atau emosi — Ramai pesakit tidak dapat menerima hakikat mereka diserang kanser dan berasa tertekan walaupun penyakit pada tahap pra-kanser (sel tidak normal dikesan tetapi belum menjadi sel kanser). Mereka berasa sedih, tertekan, takut, resah, rasa tidak berdaya, kehilangan dan murung.


· Sosial — Imej diri turut terjejas, ramai pesakit kanser pangkal rahim berasa hilang sifat kewanitaan, rendah diri, nafsu seks menurun, bimbang hilang kemampuan mengadakan hubungan seks yang bukan saja membelenggu fikiran pesakit, tetapi turut memberi kesan kepada pasangan.


Ramai pesakit kanser kehilangan pekerjaan kerana perlu mengambil cuti sehingga enam bulan untuk rawatan. Ini sebabnya ramai pesakit kanser, terutama lelaki yang menjadi sumber tunggal pendapatan keluarga, tidak mendapatkan rawatan kerana jika mereka tidak bekerja, bermakna anak isteri akan kelaparan.


Masalah kewangan ini lebih dirasai golongan pertengahan yang berpendapatan sederhana atau bekerja sendiri kerana mereka tidak layak mendapat bantuan tabung kebajikan.Menurut Dr Saunthari, dalam isu kanser payudara atau membabitkan bahagian peranakan, hanya 10 peratus wanita menyuarakan kebimbangan dan 90 peratus lagi menunggu doktor memulakan perbincangan mengenainya.

Antara isu lain yang perlu diketahui ialah masalah kesuburan dan menopaus awal di kalangan wanita muda selepas mendapat rawatan.Kesan kanser pada imej diri dan seksBeliau berkata, tidak kira berapa pun umur pesakit, kesan dialami tetap sama, cuma tamparannya mungkin lebih besar pada wanita muda yang sangat mementingkan imej diri.


“Kehilangan fungsi seksual (akibat rawatan) boleh berlaku pada semua pesakit kanser walaupun kehidupan seks mereka aktif. Bagaimanapun, isu seks ketika dan selepas rawatan jarang dibincang. Malah, pesakit kurang selesa untuk membincangkannya,” katanya.Selepas tiga tahun mendapat rawatan, kajian menunjukkan 47 peratus wanita hilang keinginan terhadap seks, 48 peratus sukar rasa berahi, 64 peratus alami masalah kekeringan faraj dan 52 peratus lagi sukar mencapai orgasma (kemuncak seks).


Didapati 50 hingga 60 peratus wanita kehilangan fungsi seks selepas 12 bulan menerima rawatan kemoterapi dan radioterapi.Pada peringkat awal, keguguran rambut, faktor hormon, kelesuan, rasa mual dan muntah membuatkan soal seks tidak terlintas di fikiran wanita.Selain itu, penerimaan wanita terhadap diri sendiri yang dianggap kurang sifat kewanitaan menjejaskan keinginan terhadap seks.Pasangan turut ada dalam keadaan serba salah — sama ada patut mengadakan hubungan seks atau sebaliknya.

Pada pasangan, timbul persoalan seperti siapa patut memulakannya, adakah mereka wajar meminta, jika meminta, mereka mungkin dilabel tidak memahami keadaan dan jika sebaliknya, suami mungkin dikatakan tidak peduli dan tidak lagi menyayangi isteri.“Dari awal lagi (sejak disahkan menghidap kanser), pesakit kurang dibekalkan dengan pengetahuan mengenai kesan terhadap seks kerana kebanyakan doktor hanya memberi tumpuan untuk merawat penyakit.“Masalah ini timbul kerana kakitangan perubatan kurang kemahiran, tidak selesa dan tidak tahu bila masa sesuai untuk membincangkan isu seks dengan pesakit kanser pangkal rahim.


Pesakit mungkin tidak mahu membicarakan isu seks dengan jururawat yang jauh lebih muda daripada mereka, apatah lagi jika jururawat itu belum berkahwin.“Namun setiap pasangan berbeza. Ada pasangan berkata kanser merapatkan hubungan suami isteri dan sebaliknya. Tidak kurang wanita ditinggalkan suami hanya kerana mereka menghidap kanser pangkal rahim dan dianggap tidak boleh menjalankan tugas sebagai isteri,” katanya.Kanser dan keluargaTidak dinafikan biasanya perhatian lebih tertumpu pada pesakit, menyebabkan pasangan dan anak seolah-olah diketepikan. Biasanya pasangan dinasihatkan menjaga, meluangkan lebih banyak masa dan memenuhi keperluan pesakit.Soalnya, bagaimana pula perasaan pasangan dan anak?


Tiada siapa memberi sokongan kepada mereka dan anak biasanya menjadi orang terakhir yang diberitahu mengenai keadaan pesakit.Kanser boleh menjejaskan perjalanan keluarga kerana apabila ibu sakit, tugasan rumah tangga terhenti dan secara tiba-tiba tanggungjawab ini berpindah di bahu anak pasangan atau anak sulung.“Rasa bersalah dan sedih kadangkala membuatkan seseorang membuat keputusan kurang tepat. Dalam keadaan begini, suami isteri perlu bersatu kerana mereka adalah tonggak keluarga.



“Pasangan juga mengalami kesan sama seperti pesakit. Jika isteri sakit, suami sedih dan takut dengan kemungkinan kehilangan orang tersayang. Jadi mereka juga memerlukan sokongan keluarga dan pakar perubatan.“Ahli keluarga lain boleh membantu dalam urusan rumah tangga, persekolahan anak dan bersedia meluangkan masa untuk penjaga (pasangan). Ini sedikit sebanyak menguatkan semangat penjaga untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik,” katanya.Bagaimana dengan kanak-kanak?


Kanser meletakkan sesebuah keluarga dalam keadaan tegang. Kanak-kanak merasai tekanan ini dan kajian menunjukkan 35.5 peratus kanak-kanak yang ibu atau bapa diserang kanser bermasalah di sekolah ada masalah dengan kawan (37.8 peratus) dan mengalami gangguan kesihatan akibat kesan psikologi (40 peratus).“Tanpa disedari, kanak-kanak menerima kesan psikologi paling teruk apabila ibu atau bapa sakit. Kira-kira 20 peratus kanak-kanak ini dilaporkan alami keresahan, manakala 30 peratus remaja dikesan alami tekanan psikologi.



“Bagaimanapun, mereka tidak meluahkan masalah ini kepada adik beradik atau kawan. Sebilangan kecil pelajar mendapatkan sokongan daripada kaunselor sekolah. Masalahnya, ada guru kaunselor tidak tahu mengenai kanser dan ini menyebabkan mereka gagal menenangkan perasaan pelajar,” katanya.Ada ibu bapa cuba menyembunyikan atau tidak mengetahui kaedah terbaik untuk menerangkan apa yang berlaku kepada anak, terutama di peringkat prasekolah atau sekolah rendah, kerana menganggap mereka masih terlalu kecil untuk memahami keadaan sebenar.


“Ini lebih ketara di kalangan ibu tunggal. Ibu bapa anggap cuba melindungi anak dengan merahsiakan perkara sebenar. Biasanya anak lebih besar diberitahu, jika bercakap pun hanya ala kadar dan bukan bertujuan menyelami perasaan si kecil.“Kanak-kanak dapat memahami keadaan ibu bapa jika diberitahu dengan baik. Kira-kira 28 peratus kanak-kanak tidak puas hati dengan cara pemberitahuan, maklumat terlalu sedikit dan kelewatan diberitahu mengenai penyakit ibu atau bapa mereka.


“Kajian di luar negara mendapati satu pertiga (33 peratus) kanak-kanak berasa ibu bapa mereka tidak melakukan apa-apa pun untuk membantu mereka menghadapi tekanan keluarga. Ibu bapa perlu berbincang dengan anak supaya memahami mengapa sesetengah kehendak tidak dapat dipenuhi atau kenapa perlu membantu tugasan rumah,” katanya.Langkah yang boleh membantu:


· Bercakap dan berbincang dengan anak


· Kekalkan rutin dalam keluarga, contohnya galakkan mereka keluar bermain seperti biasa. Jangan jadikan penyakit anda sebagai halangan untuk kanak-kanak bermain kerana jika terperap di rumah, mereka berasa lebih tertekan


· Agih-agihkan tugasan di rumah


· Beritahu anak bahawa penyakit itu bukan disebabkan kesalahan mereka. Ini kerana kanak-kanak kerap menyalahkan diri sendiri apabila orang yang disayangi sakit


· Galak anak menyertai aktiviti digemari supaya fikiran anak tidak hanya tertumpu pada penyakit anda yang boleh membuatkan mereka berasa sedih


· Beritahu maklumat mengenai penyakit anda secara berperingkat-peringkat. Anda mungkin akan ditanya ‘adakah emak akan meninggal dunia?’ Memang sukar memberi jawapan, tetapi anda boleh memberitahunya tiada siapa tahu bila seseorang akan meninggal dunia. Yang penting ialah menghargai masa yang ada dan berjanji untuk memaklumkannya perkembangan terbaru mengenai penyakit anda


· Benarkan orang lain (ahli keluarga atau rakan rapat) memberi sokongan atau menjadi tempat anak meluahkan perasaan


· Beri peluang dan galak anak menyatakan pendapat atau masalah mereka


· Maklumkan pada pihak sekolah mengenai penyakit andaPerkara yang perlu dielakkan:


· Berahsia dengan anak


· Membiarkan keadaan atau peraturan rumah menjadi tunggang-langgang


· Memerintah anak untuk melakukan sesuatu, sebaliknya minta mereka bekerjasama dengan memberi alasan munasabah


· Memberitahu anak bahawa mereka perlu buat baik kepada anda hanya kerana anda sakit


· Menjangkakan anak untuk duduk di rumah sepanjang masa dengan alasan mahu meluangkan banyak masa bersama. Anda perlu ingat, anak juga ada kehidupan sendiri dan mereka berhak untuk keluar bermain


· Berfikir anda boleh melakukan semuanya


· Cuba menyelesaikan semua perkara


· Berahsia dengan ahli keluarga atau rakan rapat


· Berpura-pura gembira atau seolah-olah tiada apa yang berlakuLangkah membantu> Bercakap dan berbincang dengan anak

> Kekalkan rutin dalam keluarga

> Agih-agihkan tugasan di rumah

> Beritahu anak bahawa penyakit itu bukan disebabkan kesalahan mereka


> Galak anak menyertai aktiviti digemari supaya fikiran anak tidak hanya tertumpu pada penyakit anda yang boleh membuatkan mereka berasa sedih

> Beritahu maklumat mengenai penyakit anda secara berperingkat-peringkat

> Benarkan orang lain (ahli keluarga atau rakan rapat) memberi sokongan atau menjadi tempat anak meluahkan perasaan

> Beri peluang dan galak anak menyatakan pendapat atau masalah mereka

> Maklumkan pada pihak sekolah mengenai penyakit anda.

Saturday, August 15, 2009

Pengawal kanser payu dara

Dengan mengenal pasti Nod Sentinel, pesakit dapat mengelak daripada kehilangan dua pertiga nod limfa di bawah ketiak akibat kanser payu dara.

MARIA, 36, cantik rupa parasnya. Namun, lengannya sedikit cacat. Dia mengalami pembengkakan teruk selepas menjalani pembedahan bawah ketiak untuk mengeluarkan dua per tiga daripada nodus limfa di bahagian itu bagi merawat kanser payu dara yang dialaminya.
Nampaknya penderitaan Maria belum berakhir, biarpun sudah menemukan jawapan sementara untuk penyakit kanser yang dihidapinya.
“Alternatif kepada kaedah tradisional itu ialah Biopsi Nod Sentinel (SNB), iaitu penjagaan standard dalam pengurusan kanser payu dara yang kini diamalkan di seluruh dunia.
“Melalui kaedah itu, komplikasi seperti itu hampir tidak kelihatan,” ujar Konsultan Pakar Bedah Payu Dara dan Endokrin di Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Harjit Kaur.
Sentinel bermaksud ‘pengawal’ kepada ketiak (axilla). Ia digambarkan sebagai nod limfa pertama yang diserang kanser sekiranya pesakit menghidap kanser payu dara. Oleh itu, dengan mengenal pasti nod limfa itu, pakar perubatan dapat menentukan sama ada kanser sudah merebak kepada nod limfa yang selebihnya.
“SNB ialah teknik invasif yang melibatkan pembedahan kecil yang digerakkan oleh sekumpulan pakar terlatih yang terdiri daripada pakar bedah payu dara, pakar radiologi payu dara, pakar perubatan nuklear dan pakar patologi.
“Teknik ini paling sesuai bagi pesakit yang menghidap kanser payu dara di peringkat awal dengan tumor bersaiz kurang daripada tiga sentimeter,” kata Harjit.

Walaupun sudah 10 tahun bertapak dalam dunia perubatan, hanya Pusat Perubatan Prince Court di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, yang menawarkan prosedur itu sepenuhnya di Malaysia.
Dimulakan dengan suntikan radioisotop di keliling payu dara, selepas satu tempoh, imbasan sinar-X limfosintigram pada payu dara dan ketiak dilakukan.
Dengan menggunakan bantuan alat pengimbas gammaprobe tangan, nod sentinel dikenal pasti dan ditandakan. Selepas itu pesakit akan dibedah.
“Pembedahan tersebut melibatkan pemotongan pada kulit antara satu hingga dua sentimeter. Dengan bantuan pewarna biru, nod yang berwarna biru dan ‘panas’ dapat dikesan dengan lebih mudah.
“Nod limfa yang dikeluarkan itu kemudiannya akan dihantar untuk melalui teknik kaji hayat khas. Jika bahagian itu tidak menunjukkan sebarang metastasis atau tumor metastatik pada nod sentinel itu, pembedahan lanjut pada bawah ketiak tidak perlu lagi dilakukan,” dedahnya.
Namun, sekiranya hadir metastases pada nod itu, pembersihan ketiak (daripada nod limfa) peringkat I dan II akan dilakukan secara menyeluruh.
“Secara ringkas, SNB mengelakkan pembedahan radikal yang tidak diperlukan pada bahagian ketiak terutamanya pada nod yang tidak dijangkiti kanser.
“Selalunya, pembedahan yang tidak perlu’ boleh mengakibatkan komplikasi jangka masa panjang seperti limfadema, kekejangan dan sakit pada bahu,” kata Harjit.

Nod sentinel itu kemudiannya akan menjalani histopatologi penuh melalui pemeriksaan teknik kaji hayat terperinci untuk pengesahan.
Keputusan palsu negatif dan positif dalam SNB ialah kurang daripada lima peratus, memungkinkan jawapan yang tepat untuk setiap pemeriksaan dan penilaian sebelum satu-satu pembedahan dilakukan.
SNB juga dapat disudahkan dalam sehari, sekali gus mengurangkan kos penahanan di wad.
Secara kosmetik, ia tidak meninggalkan kesan yang terlalu besar dan pesakit akan cepat sembuh. Secara tidak langsung, kemungkinan komplikasi jangka panjang boleh dikurangkan.

Monday, July 20, 2009

Kanser Lidah

LIDAH adalah salah satu organ deria manusia. Ia mengandungi tunas-tunas rasa yang membolehkan kita merasa makanan dan seterusnya memberikan kualiti hidup lebih baik.
Betapa ramai manusia telah kehilangan nikmat merasa ini baik akibat kerosakan tunas-tunas rasa, masalah ketumbuhan pada lidah, kecederaan akibat kemalangan jalan raya mahupun gangguan pada saraf yang bertanggungjawab menerima rangsangan sensori daripada apa yang kita makan.


Selain untuk merasa, lidah juga berfungsi untuk mengawal atau mengaturletakkan bolus makanan yang terdapat dalam rongga mulut kita.
Misalnya, sewaktu kita makan, makanan setelah dilumatkan akan dibentuk menjadi suatu gumpalan.


Bolus makanan ini akan ditolakkan ke belakang dengan menggunakan lidah bagi memulakan proses menelan.


Lidah yang mempunyai struktur normal dan berfungsi dengan baik juga akan membantu proses percakapan atau artikulasi bunyi-bunyi yang dikeluarkan dari peti suara.


Gangguan padanya akan menyebabkan seseorang itu tidak dapat menuturkan bunyi atau perkataan yang dapat difahami oleh rakan yang mendengar. Begitu besarnya nikmat anugerah lidah ini kepada manusia.


Kanser lidah


Kanser lidah adalah sejenis penyakit yang bukannya jarang berlaku dalam praktis otorinolaringologi.


Golongan yang berusia antara 50 hingga 70 tahun kerap ditemui menghidapi kanser lidah.
Suatu masa dahulu ia kerap terjadi pada golongan lelaki, mungkin disebabkan kaitan dengan tabiat merokok dan pengambilan alkohol.


Walau bagaimanapun, tidak kurang kesnya dijumpai di kalangan wanita atau pesakit yang berusia lebih muda. Data terkini juga menunjukkan wanita mempunyai kekerapan yang hampir sama dengan lelaki menghidap kanser lidah.


Faktor Penyebab


Disebabkan lidah adalah komponen utama yang terdapat dalam rongga mulut, faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya kanser lidah juga ada persamaan dengan punca yang dikaitkan dengan kanser lain seperti bibir, pipi, lelangit, gusi dan lantai mulut.


1. Merokok - Kejadian kanser rongga mulut secara amnya meningkat sebanyak lebih daripada enam kali ganda dalam kalangan perokok jika dibandingkan dengan mereka yang tidak merokok. Selain itu, merokok juga sememangnya dikenalpasti menjadi faktor utama kes-kes kanser peti suara, paru-paru dan banyak lagi organ lain di dalam badan. Ia adalah faktor yang boleh dicegah sekiranya kita menjauhi tabiat buruk ini.


2. Alkohol - Selepas rokok, pengambilan alkohol adalah antara faktor boleh ubah yang dikenalpasti meningkatkan risiko mendapat kanser rongga mulut sebanyak enam kali ganda. Kombinasi antara merokok dan mengambil alkohol akan memberikan kesan sinergi yang menambahkan lagi kemungkinan mendapat kanser.


3. Mengunyah tembakau - Amalan ini menjadi kelaziman bagi sesetengah etnik atau bangsa yang mana tembakau, sama ada yang asli atau ditambah dengan perisa dikunyah dan dikemam di dalam bahagian rongga mulut.


4. Masalah gigi - Penjagaan gigi yang tidak bersih, wujudnya bahagian gigi yang tajam serta gigi palsu yang tidak dipadankan dengan baik akan menyebabkan iritasi berterusan dan berpanjangan terhadap struktur-struktur di sekitarnya termasuklah lidah. Umpamanya, lidah yang selalu tercedera baik akibat gigi yang tajam atau gigi palsu yang tidak sesuai mungkin meningkatkan risiko ketumbuhan yang berbahaya.


5. Faktor lain - Masalah malnutrisi seperti diet yang kekurangan sesetengah vitamin adalah antara kebarangkalian yang dikaji boleh meningkatkan risiko kanser. Selain itu, anemia kekurangan zat besi seperti dalam kes Sindrom Plummer-Vinson juga dikaitkan dengan kejadian kanser rongga mulut dan hipofarinks.
Kanser lidah juga boleh muncul daripada kesan keadaan leukoplakia pada lidah, ulser yang kronik atau keadaan pramalignan lidah yang lain. Kebanyakan keadaan pra-malignan yang terdapat pada lidah juga disebabkan oleh faktor yang sama, iaitu merokok.


Lokasi dan perebakan


Majoriti kanser lidah ialah dari jenis karsinoma sel skuama, yang merupakan jenis kanser yang paling kerap menyerang mana-mana lokasi dalam bahagian kepala dan leher.
Pada lidah itu sendiri, bahagian yang paling kerap ialah pada bahagian tepi kanan dan kiri lidah (85 peratus).


Kadang-kala ia boleh ditemui di hujung paling hadapan (tip) atau permukaan atas (dorsum) serta permukaan bawah lidah (ventral).


Lidah adalah antara organ yang cepat merebak jika kanser bermula darinya. Penyebaran boleh berlaku ke lapisan otot yang merupakan komponen utama lidah itu sendiri, juga tidak kurang penyebarannya melibatkan struktur di sebelahnya seperti lantai mulut, gusi dan tulang rahang bawah.


Disebabkan lidah adalah suatu struktur di tengah rongga mulut, ia boleh dan mudah merebakkan sel kanser ke kelenjar-kelenjar limfa di leher, baik sebelah sahaja atau kedua-dua belah leher.



Tanda dan gejala
Pesakit yang menghidapi kanser lidah biasanya datang berjumpa doktor dengan tanda seperti ketumbuhan atau bonjolan pada permukaan lidah, ulser atau luka pada lidah yang berpanjangan tempohnya atau rasa keras seperti ketulan yang berada di bawah permukaan lidah.


Apabila ketumbuhan semakin membesar, gejala seperti sakit, sukar menelan, sakit telinga dan bau nafas yang kurang menyenangkan akan timbul.


Pergerakan lidah juga mungkin terbatas disebabkan oleh sebahagian daripada ketumbuhan tersebut telah merebak ke lantai mulut dan menyebabkan ia menjadi melekat.


Kerosakan otot lidah akibat pencerobohan sel-sel kanser juga menyebabkan lidah tidak dapat digerakkan dengan baik. Bengkak kelenjar leher pula menandakan kanser telahpun merebak.


Rawatan
Rawatan untuk penyakit kanser lidah amat bergantung kepada tahap kanser itu sendiri dan ia mungkin tidak sama antara seorang pesakit dengan pesakit yang lain.


Secara prinsipnya, kanser yang dikesan dan dirawat di peringkat awal mempunyai prognosis yang jauh lebih baik dengan rawatan yang akan diberikan kepada pesakit.
Setelah mengambil contoh tisu kanser tersebut melalui biopsi tisu, penyiasatan radiologi seperti imbasan CT atau MRI diperlukan untuk menilai dan menentukan peringkat kanser tersebut.


Ini penting kerana tahap yang berbeza mempunyai pendekatan dan hasil yang berbeza selepas rawatan. Ujian-ujian tambahan juga mungkin diperlukan bergantung kepada bentuk rawatan yang akan dijalankan.


Sesi kaunseling dan penerangan berkenaan penyakit dan pilihan rawatan akan diberikan kepada pesakit sebelum langkah berikutnya diambil.


Adalah penting bagi seseorang pesakit memahami akan keadaan semasa dan apa yang sepatutnya dijangkakan atau diharapkan setelah tamat rawatan nanti.
Kanser pada peringkat awal boleh dirawat dengan pembedahan membuang ketumbuhan tersebut. Kaedah meletakkan implan yang mengeluarkan radiasi (interstitial radiotherapy) juga diaplikasikan bagi sesetengah pesakit yang bersesuaian.


Kanser yang agak besar saiznya pula mungkin memerlukan pembedahan yang lebih besar terhadap lidah dan leher.


Biasanya bagi pembedahan yang agak besar, akan disusuli proses rekonstruktif iaitu membaikpulih struktur yang tertinggal dengan kaedah-kaedah yang sesuai (biasanya dilakukan oleh pakar bedah plastik dan rekonstruktif).
Selain itu, rawatan kemoterapi, radioterapi atau kombinasi yang sesuai dengan keadaan tahap pesakit mungkin diperlukan bagi memastikan keseluruhan sel-sel kanser itu dihapuskan dari badan pesakit.

Saturday, June 20, 2009

Kanser kolon: Adakah anda berisiko?

KANSER kolon (usus besar) adalah salah satu daripada penyakit penghadaman yang boleh mengancam nyawa.Lebih membimbangkan, kanser kolon adalah antara kanser yang paling kerap dihidapi di seluruh dunia

CaEd luaskan maklumat kanser

GAMBARAN yang tidak terucap tatkala menerima berita disahkan menghidap kanser payu dara. Apatah lagi bakal kehilangan ciri kewanitaan itu tidak lama lagi. Terbayang di fikiran, rambut semakin gugur, pakaian serta coli tidak boleh dipakai lagi serta berat badan tidak secantik dulu.