"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."
Showing posts with label DIABETES. Show all posts
Showing posts with label DIABETES. Show all posts

Thursday, December 3, 2009

Diabetes tandingi kanser


Oleh HAMZAH ABDUL HAMID
Semalam, Hari Diabetes Sedunia disambut. Adakah kita memahami mesejnya?

OBESITI antara masalah utama 285 juta penghidap diabetes di seluruh dunia kini.
________________________________________


SEJENIS ubat tradisional berasaskan herba dikhabarkan begitu mujarab bagi menyembuhkan penyakit kencing manis atau diabetes.


Begitu juga dengan rawatan terapi khas yang mengiringi pengambilan ubat-ubatan tersebut.


Semua pernyataan di atas adalah suatu pembohongan!
Rekod klinikal membuktikan apabila seseorang menghidap diabetes, dia akan hidup bersama penyakit itu sehingga akhir hayatnya.


“Diabetes adalah penyakit kronik yang sehingga kini tiada penawarnya. Ubat-ubatan fungsinya hanya untuk mengawal.


“Oleh itu, usah percaya kepada sebarang ubat-ubatan yang dikatakan mampu ‘menyembuhkan’ diabetes sedangkan pesakit terus terikat untuk membeli bekalan ubat tersebut,” kata Konsultan Endokrinologi, Profesor Datuk Dr. Mafauzy Mohamed.


Tambah beliau, bagaimana penghidap itu dapat menjalani kehidupan normal walaupun ‘membawa’ penyakit tersebut sepanjang hayat bergantung kepada usaha mendapatkan pemeriksaan dan rawatan yang berkesan di samping memperbaiki gaya hidup.


Jumlah penghidap diabetes di Malaysia menunjukkan kenaikan yang membimbangkan.
Pada tahun 1996, sebanyak 6.5 peratus rakyat Malaysia di kalangan usia lebih daripada 30 tahun didiagnosis dengan penyakit tersebut dan meningkat kepada 9.5 peratus pada tahun 2006.


“Kebimbangan ini seiring dengan risiko penyumbang kepada penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung, angin ahmar dan strok.


“Pada tahun 2006 saja, dianggarkan kira-kira 1.5 juta orang yang berusia melebihi 18 tahun di Malaysia menghidap diabetes.


“Jumlah itu lebih tinggi berbanding mereka yang menghidap kanser atau AIDS,” terang Mafauzy kepada Jurnal.


________________________________________

Gemuk di pinggang


Ramai antara kita yang tidak sedar mengenai kecenderungan kumpulan tertentu dalam masyarakat yang berisiko tinggi mendapat diabetes.


Berita buruk ini bukan saja menakutkan mereka yang berusia di antara 40 hingga 50 tahun, bahkan menghantui wanita yang dalam fasa kehamilan, orang yang hipertensi, berpenyakit vaskular, dislipidaemia, serta mereka yang menghidap Sindrom Ovari Polisistik (PCOS).


“Masalah kegemukan yang mencapai tahap obesiti juga membawa masalah lebih-lebih lagi jenis obesiti tengah iaitu kegemukan di bahagian perut dan pinggang.


“Kegemukan inilah yang menjadi punca utama rintangan insulin,” jelas Mafauzy.
Selain itu, faktor genetik sangat ketara dalam membentuk kemungkinan penghidapnya.


Mereka yang mempunyai sejarah diabetes dalam keluarga perlu berwaspada dengan kemungkinan tersebut memandangkan masalah itu boleh diwarisi.


“Jika bercakap tentang pecahan mengikut kaum, orang India mempunyai kecenderungan tertinggi bagi penyakit ini, diikuti oleh orang Melayu dan Cina.


“Statistik 2006 juga mencatatkan bahawa Negeri Sembilan dan Melaka mempunyai laporan kes diabetes paling banyak, sementara penduduk Sabah adalah yang terendah mendapat diabetes,” ulas beliau yang mengaitkan trend perangkaan itu dari sudut populasi kaum, gaya hidup berasaskan kuasa ekonomi serta corak pemakanan.


Mesej yang hendak disampaikan sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia semalam adalah penyakit ini perlu dicegah dan dikesan lebih awal supaya apabila sudah didiagnosis, ia perlu diuruskan secara lebih agresif.


Setiap tindakan awal boleh menghindar rentetan masalah kesihatan yang lebih buruk.


“Bagi pesakit diabetes Jenis 2, komplikasi miksovaskular sudah boleh dikesan semasa diagnosis.


“Ini termasuklah keseriusan masalah berkaitan deria penglihatan atau retinopati (12 peratus), nefropati (18 peratus), disfungsi erektil (20 peratus) dan neuropati (12 peratus),” kata Mafauzy.


Disiplin


Maka, langkah mencegah yang pertama adalah dengan meningkatkan kepekaan terhadap faktor-faktor risiko iaitu melalui pemeriksaan.
Jika diabetes dikesan, keberkesanan penjagaan diet ideal dan senaman fizikal perlu dipertingkatkan agar berat badan dapat dikurangkan.

KEGEMUKAN menjadi punca utama rintangan insulin.
________________________________________


Pesakit juga perlu berdisiplin dengan senaman yang dijalankan. Ujian klinikal dan kecergasan mengesyorkan senaman minimum adalah dengan berjalan kaki selama 30 minit sebanyak tiga kali seminggu.


Sementara itu, pengambilan ubat-ubatan hanya boleh dimulakan sekiranya perubahan gaya hidup tadi tidak menunjukkan sebarang impak positif selepas enam bulan.


Sehingga kini dianggarkan lebih 285 juta orang di seluruh dunia menghidap diabetes. Sebanyak 344 juta lagi tergolong dalam kategori mereka yang berisiko tinggi menghidapnya.


Di Malaysia, dianggarkan sebanyak 25 peratus rakyatnya akan menghidap diabetes menjelang tahun 2020.


Apakah kita masih tidak mengambil peduli untuk mengubah anggaran tersebut, atau sekurang-kurangnya berubah demi kebaikan diri sendiri?

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=1115&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Thursday, October 29, 2009

Thursday, October 1, 2009

Periksa glukosa sendiri


Ia adalah satu cara yang berguna untuk menguruskan diabetes anda. Tetapi bagaimana?


KADAR kelaziman diabetes di seluruh dunia kian meningkat dan memerlukan kos rawatan yang tinggi terutamanya bagi golongan yang mengalami komplikasi diabetes.


Pengurusan dan pengawalan diabetes bukan hanya bergantung pada rawatan perubatan sahaja tetapi merangkumi aspek-aspek lain. Antaranya, pemakanan yang teratur, seimbang dan sihat, senaman yang konstan, kawalan berat badan, tidak merokok dan patuh pada jadual lawatan turutan dan hadir untuk pemeriksaan darah.


Berjumpalah dengan pakar kesihatan profesional jika timbul sebarang kemusykilan.


Pemeriksaan sendiri Ia adalah satu cara yang berguna untuk menguruskan diabetes anda.


Penghidap diabetes dinasihatkan menjalani pemeriksaan sendiri bagi memperoleh tahap glukosa dalam darah yang normal setiap masa.



Biasanya apa yang anda rasa bukanlah satu petunjuk yang baik untuk mengenal pasti tahap glukosa dalam darah anda.


*Kandungan gula yang ada dalam darah adalah lebih penting.


*Meter glukosa dalam darah yang digunakan akan memberi keputusan gula dalam darah dengan segera melalui bacaan mmol/L.


*Keputusan ini amat penting untuk melakukan pengubahsuaian dalam aspek pemakanan, dos suntikan insulin, langkah tindakan segera jika berlaku hipoglisemia (glukosa dalam darah rendah) dan seumpamanya.


Cara-cara



* Sebelum makan


Diuji pada awal pagi, sekurang-kurangnya lapan jam berpuasa dan sebelum bersarapan pagi.
Sasaran: <>


* Selepas Makan



Diuji dua jam selepas makan.


Sasaran: <>

METER glukosa boleh diperoleh di pusat-pusat sumber atau farmasi.

Pemeriksaan sendiri ini hanya menggambarkan bacaan tahap glukosa pada masa pemeriksaan sahaja.



Ia tidak menggambarkan kawalan keseluruhan diabetes anda.



Untuk mengetahui tahap kawalan keseluruhan diabetes, anda harus menjalani pemeriksaan darah HbA1c.



Bacaan HbA1c adalah dalam bentuk peratusan kerana ia menggambarkan peratusan tahap glukosa yang melekat pada dinding sel darah merah anda.



Biasanya dilakukan di makmal perubatan hospital.


Siapa yang memerlukan?



*Semua penghidap diabetes.


*Pemeriksaan dan pemantauan sendiri ini amat penting terutamanya bagi penghidap diabetes yang menerima rawatan suntikan insulin, mengandung, pengidap yang selalu mendapat komplikasi seperti hipoglisemia (glukosa rendah) dan hiperglisemia (glukosa tinggi).


*Meter glukosa boleh diperoleh di pusat-pusat sumber diabetes dan farmasi-farmasi.



Dapatkan khidmat nasihat mengenai penggunaan peralatan meter glukosa dalam darah dan cara-cara untuk mengubah cara pemakanan dan dos insulin anda.



Kekerapan Ia bergantung kepada tahap kawalan glukosa, jenis rawatan yang diterima, sebarang komplikasi dan kemampuan dari segi ekonomi.


Jika penghidap diabetes menerima rawatan insulin, pemeriksaan seharusnya dilakukan setiap kali sebelum suntikan insulin atau mengikut arahan doktor.



Walaupun diabetes tidak boleh disembuhkan ia boleh dikawal dan pesakit boleh meneruskan kehidupan harian seperti orang normal.


Rencana ini disumbangkan oleh SHAREEN NUI dengan kerjasama ACCU-CHEK ROCHE DIAGNOSTICS.

Diet kawal diabetes


Bagaimanakah pengawalan diet dapat membantu pesakit diabetes?


Diabetes mellitus atau kencing manis tidak asing lagi di kalangan masyarakat sekarang.


Dianggarkan antara 10 hingga 15 peratus rakyat Malaysia menghidap diabetes jenis II dan hampir 20 peratus lagi mempunyai pradiabetes.


Malangnya lebih separuh daripada bilangan ini tidak menyedarinya.


Setiap tahun, lebih kurang 3.2 juta kematian (bersamaan dengan enam orang seminit) dicatatkan di seluruh dunia berpunca daripada komplikasi-komplikasi diabetes.


Penyakit diabetes biasanya tidak sembuh tetapi boleh dikawal.


Apa yang perlu dilakukan?


Mengekalkan paras gula atau glukos darah pada tahap normal atau terkawal. Diabetes yang tidak terkawal boleh menyebabkan berlakunya pemecahan tisu lemak di dalam badan secara berlebihan dan menghasilkan produk buangan yang dipanggil keton. I


a adalah toksik yang boleh menyebabkan koma.


Jenis makanan


Makanan bergula seperti gula-gula, biskut, kek, coklat, minuman ringan dan susu pekat manis, ais-krim, kuih-muih yang manis serta buah-buahan dalam tin.


Makanan berkanji dan berkarbohidrat seperti nasi, mi, roti, ubi kentang, bijirin dan buah-buahan juga memberi kesan kepada paras gula darah. Kesemua makanan ini perlu diambil secara sederhana.


Meminimumkan pengambilan lemak - contoh lemak tepu adalah kaki ayam, kaki lembu dan lain-lain, krimer bukan tenusu, krimer manis, susu penuh krim. Selain itu, minyak sapi, sosej, burger, daging cincang, kulit ayam, lemak daging, santan, marjerin dan mentega.


Makanan yang digalakkan


Sekurang-kurangnya setengah cawan sayur yang dimasak perlu diambil setiap hidangan utama dalam sehari.


Penghidap diabetes boleh makan buah dua kali sehari selepas makan dalam jumlah yang terhad.


Contohnya, setengah biji jambu batu diambil sejurus selepas makan tengah hari dan sebiji epal bersaiz sederhana diambil selepas makan malam.


Merancang pemakanan


Penghidap diabetes yang memerlukan suntikan insulin perlu makan dengan teratur mengikut masa supaya bersesuaian dengan tindakan insulin.


LAKUKAN aktiviti fizikal secara sederhana.


Sekiranya masa makan ditangguhkan atau terlupa makan mengikut masa, terlalu banyak suntikan insulin, atau melakukan aktiviti fizikal yang tidak terkawal, ini boleh menyebabkan hipoglisemia - paras gula darah menjadi terlalu rendah.



Tanda-tanda hipoglisemia:


* berpeluh dengan berlebihan, pening kepala, berdebar-debar, rasa terlalu lapar, ketar, kabur penglihatan, hilang pertimbangan atau rasa keliru, bercakap tidak menentu dan perasaan marah.


* Elakkan daripada gejala hipoglisemia. Jika anda merasakan tanda-tanda awal hipoglisemia, makanlah sedikit karbohidrat.


Pesakit perlu berhati-hati membuat pemilihan makanan bila makan di luar. Jangan segan memberitahu keperluan seperti mahu pengurangan garam, minyak, lemak, gula, perencah dalam penyediaan makanan.


Saiz makanan juga perlu diambil kira dalam menikmati makanan di luar.



Sekiranya mengambil ubat diabetes atau suntikan insulin, masa makan haruslah diambil berat.
Penghidap diabetes boleh menikmati makanan segera.



Tetapi hadkan kepada sekali sebulan. Sekiranya anda mengambil makanan segera, pastikan pada waktu makan yang lain makan makanan yang sihat seperti makanan yang dibakar, kukus, rebus dan lebihkan sayur-sayuran.


* Pesakit yang obes disarankan mengurangkan berat badan. Ini kerana kegemukan boleh menyebabkan tindakan insulin kurang berkesan.


Senaman


Senaman isotonik: baik untuk kawal glukos dan kardiovaskular.


Contoh : senaman berjalan pantas, joging, berbasikal dan bermain tenis



Senaman isometrik: baik untuk mengawal glukos.


Contoh : mengangkat berat, bina badan dan tekan tubi.


Melalui aktiviti fizikal yang berjadual serta senaman yang berkala dan kawalan diet yang betul, paras glukos dalam darah dapat distabilkan.


Senaman juga membantu peredaran darah dan membuatkan badan sihat, aktif dan cergas.

Diabetes punca utama buta


Kemungkinan pesakit jadi buta adalah 25 kali ganda berbanding orang sihat



PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan seorang penduduk dunia akan menjadi buta setiap lima saat. Manakala seorang kanak-kanak pula akan menjadi buta setiap minit. Anggaran ini selari dengan sejumlah 7 juta orang menjadi buta setiap tahun.



Jumlah itu menjadikan 180 juta orang di seluruh dunia berhadapan dengan ketidakupayaan penglihatan. Daripada jumlah itu 40 hingga 45 juta mereka buta. Angka ini dijangka meningkat seiring dengan pertumbuhan populasi warga tua yang akan bertambah dua kali ganda menjelang 2020.

Presiden Persatuan Oftalmologi Malaysia dan Ketua Jabatan Oftalmologi, Pusat Perubatan Prince Court Kuala Lumpur, Prof Che Muhaya Mohamad, berkata daripada jumlah keseluruhan masalah kebutaan, 75 peratus boleh dielakkan.



Misalnya, hampir 153 juta kes kerosakan penglihatan sebenarnya disebabkan kesilapan refraktif yang tidak dibetulkan. Bagi kebanyakan kes, penglihatan normal dapat dikembalikan dengan pemakaian cermin mata.



“Begitupun, bukan semua kes boleh ditangani dengan mudah. Mata, seperti juga organ tubuh yang lain turut terjejas dengan faktor penuaan dan perubahan gaya hidup,” katanya.


Katanya, peningkatan populasi warga emas sebenarnya mendedahkan kepada risiko masalah penglihatan jika tiada pelan tindakan utama yang efektif. Tanpa pelan itu juga, dianggarkan 76 juta orang akan menjadi buta pada tahun 2020.



“Walaupun 80 peratus mereka yang berhadapan masalah ini berusia 50 tahun ke atas, suku daripada kes ini boleh dicegah, dirawat atau disembuhkan. Peningkatan usia tidak bermakna anda akan kehilangan penglihatan,”


“Ia dapat dicegah dengan melakukan saringan mata apabila seseorang berumur 40 tahun ke atas. Mereka yang menghidap penyakit kencing manis harus berjumpa pakar mata sekurang kurangnya setahun sekali,” katanya.


Di Malaysia bagaimanapun, kebanyakan punca masalah kebutaan adalah diabetes. Lebih malang, mereka yang terjejas dengan masalah itu dalam lingkungan usia produktif.


“Sehingga kini kencing manis adalah penyebab utama kebutaan baru di negara maju dan membangun. Kemungkinan seseorang pesakit kencing manis menjadi buta adalah 25 kali ganda dibandingkan orang yang sihat.



Namun, ia boleh dielakkan jika dikesan dan dirawat pada peringkat awal,” katanya. Risiko kebutaan akibat diabetes sangat besar di Malaysia jika diukur pada jumlah penghidapnya. Pada 2006, jumlah pesakit diabetes meningkat kepada 14.5 peratus berbanding 8.5 peratus 10 tahun sebelumnya.



Manakala impak terbesar diabetes adalah pada kesihatan saraf (58 peratus) dan kesihatan mata (53 peratus). Prof Che Muhaya berkata, hampir 14 peratus pesakit diabetes akan mengalami komplikasi pada mata, lima tahun selepas didiagnos dengan diabetes.



Walaupun impak diabetes pada mata begitu besar, hanya lima ke 20 peratus pesakit saja yang menjalani pemeriksaan mata. Mereka yang menjalani pemeriksaan mata ini juga tidak menjalaninya secara berkala menyebabkan risiko kebutaan terhadap mereka sangat besar.



Fakta yang agak membimbangkan ini jelas Prof Che Muhaya dibuktikan melalui kajian pada tahun 2020. Kajian di tujuh hospital di tujuh negeri mendapati, 38 peratus dari 6288 pesakit kencing manis sebenarnya penghidap diabetes tanpa mereka sedari.



“Jika fakta ini diunjurkan kepada semua pesakit kencing manis yang berjumlah hampir 3.7 juta (14.5 peratus daripada 26 juta rakyat Malaysia) maka 38 peratus sebenarnya menghidap diabetes yang berisiko menyebabkan kebutaan tanpa mereka sedari,” katanya.



Pemeriksaan mata berkala penting bagi pesakit diabetes kerana jika dikesan pada peringkat awal, ia boleh dirawat sama ada melalui rawatan laser atau pembedahan. “Oleh kerana impak negatif ini maka kebutaan disebabkan kencing manis harus dicegah seberapa segera.



Ini dapat dilakukan dengan menentukan semua pesakit kencing manis menjalani pemeriksaan mata berkala oleh doktor mata. Dengan mengesan masalah mata mereka di peringkat awal, rawatan dapat diberikan sebelum berlaku kebutaan,” katanya.




INFO: Mesej utama Hari Penglihatan Sedunia


1.Sebanyak 75% kebutaan dapat dielakkan


2.Populasi sedunia meningkat kepada umur lebih tua.


3.Risiko bagi katarak, glaukoma, retinopati diabetes, degenerasi makular, dan sebagainya meningkat dengan peningkatan usia


4.Sejumlah 80 peratus mereka yang buta berumur 50 tahun ke atas

5. Mata yang sihat dapat membantu penuaan yang aktif, di mana ia akan membantu mereka yang berumur hidup lebih lama


6.Tindakan yang tepat dapat mengekalkan penglihatan, jadi pastikan mata anda diperiksa secara berkala sekurang-kurangnya setahun sekali jika anda berumur 40 tahun ke atas.

Diabetes semakin menular


MUNGKINKAH apa yang dirisaukan selama ini menjadi kenyataan. Sebelum ini aras glukosa dalam badannya agak tinggi. Risau dan gelisah. Dia disahkan menghidap diabetes atau kencing manis. Yuen Kim bakal kehilangan kaki kanannya untuk selama-lamanya.


Menyesal kerana selama ini dia tidak berhati-hati soal makanan dan gaya hidupnya sendiri.


Ini antara situasi yang sering dialami pesakit diabetes di seluruh dunia.


Kurang peka untuk mencegah penyakit.


Jika penyakit ini tidak dicegah daripada peringkat awal, ia boleh menyebabkan kerosakan mata, serangan jantung, strok dan kerosakan kaki.


Menurut Pakar Endokrin, Dr. Hew Fen Lee, pelbagai faktor yang boleh menyebabkan seseorang diserang diabetes.


Jika dalam keluarga mempunyai sejarah penyakit ini, anak yang sulung paling berisiko tinggi menghidap diabetes.


Selain itu, gaya hidup seperti merokok dan berat badan yang berlebihan seperti obesiti menjadi faktor utama seseorang diserang diabetes.


Kini, diabetes jenis dua adalah jenis diabetes yang paling lazim berlaku dan penyakit ini dihidapi kira-kira 90 peratus pesakit diabetes seluruh dunia.


"Diabetes jenis dua disifatkan oleh kemerosotan progresif fungsi sel beta pankreas yang menghasilkan, menyimpan dan merembes insulin yang mengakibatkan hiperglisemia (aras gula darah yang tinggi) progresif.


Peningkatan pengeluaran glukosa oleh hati kerintangan insulin iaitu tubuh hilang kebolehan untuk menggunakan insulin dengan berkesan iaitu faktor genetik dan gaya hidup menyumbang kepada kerintangan insulin ini," katanya ketika sidang media eksklusif di Pusat Perubatan Sime Darby Subang Jaya, Selangor anjuran Merck Sharp & Dohme baru-baru ini.


Kematian setiap sepuluh saat, satu orang mati akibat punca yang berkait dengan diabetes dan diabetes ialah sebab kematian akibat penyakit yang keempat tertinggi di dunia.


Diabetes yang bersifat epidemik terus menimpa semakin ramai orang di merata dunia tetapi begitu ramai sekali yang kurang sedar mengenai keluasan global ancaman diabetes.


Data terkini menunjukkan bahawa kira-kira 246 juta orang seluruh dunia atau hampir enam peratus penduduk dunia sekarang hidup dengan diabetes.


Anggaran ini dijangka akan meningkat sehingga kira-kira 380 juta menjelang tahun 2025 jika tindakan tidak diambil.


"Bilangan pesakit diabetes dijangka akan meningkat dengan paling banyak di negara-negara membangun.


Komplikasi yang berkait dengan diabetes kini merupakan salah satu punca kematian yang utama di banyak negara terutamanya melalui peningkatan risiko penyakit kardiovaskular," jelasnya.


Dalam pada itu, Persekutuan Diabetes Antarabangsa menganggarkan bahawa jangka hayat berjumlah 23 juta tahun hilang disebabkan ketidakupayaan dan mutu hidup yang merosot akibat komplikasi diabetes yang boleh dicegah


Penjagaan diabetes sering kali mencuri masa yang berharga daripada pendidikan, pekerjaan bergaji dan waktu senggang.


Komplikasi akibat diabetes seperti penyakit arteri koronari dan penyakit vaskular periferi, strok, neuropati diabetes, amputasi, kegagalan ginjal dan buta kini meningkatkan ketidakupayaan, menyingkatkan jangka hayat.


Bahkan, ia menelan belanja kesihatan yang sangat besar bagi hampir setiap masyarakat.
Menguruskan diabetes


Diabetes dan komplikasinya pasti akan muncul sebagai salah satu ancaman yang utama terhadap sumber kesihatan awam sedunia pada masa depan dengan kos ekonomi dan sosial yang sangat besar terutamanya di negara-negara membangun.


Diabetes berkos tinggi walaupun sebelum didiagnosis lagi.
Kos langsung penjagaan kesihatan diabetes mencakupi antara 2.5 peratus hingga 15 peratus daripada belanjawan penjagaan kesihatan tahunan.


Pada tahun 2007 dunia dianggarkan akan membelanjakan sekurang-kurangnya RM 828.58 bilion (AS $ 232 bilion) untuk merawat dan mencegah diabetes dan komplikasinya.


Menjelang tahun 2025, anggaran paling rendah ini akan melebihi RM 1,080 bilion (AS $302.5 bilion) di negara-negara yang berpendapatan sederhana seperti Malaysia, separuh daripada perbelanjaan perubatan diabetes digunakan ke arah pengawalan gula darah yang penting untuk mencegah hiperglisemia akut yang boleh mengancam nyawa.


Bakinya diagihkan antara penjagaan perubatan am dengan komplikasi kronik.


Langkah penjagaan


Menurut Dr. Fen Lee, untuk membantu mencegah diabetes jenis dua dan komplikasinya,


Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengesyorkan supaya orang ramai mencapai dan mengekalkan berat badan yang unggul.


Selain itu, masyarakat digalakkan sentiasa cergas dengan melakukan gerak kerja tetap yang sederhana berat selama sekurang-kurangnya 30 minit pada kebanyakan hari. Gerak kerja hendaklah ditambah untuk mengawal berat badan.


"Rawatan diabetes melibatkan penurunan glukosa darah dan aras faktor risiko lain yang diketahui merosakkan salur darah.



Penggunaan tembakau juga mesti dihentikan untuk mengelakkan komplikasi," katanya.


Wednesday, September 23, 2009

Diabetes bukan halangan puasa


Penghidap bijak kawal pemakanan, pengambilan ubat teratur mampu teruskan ibadat

MENGAWAL kadar gula dalam darah, terutama pada Ramadan sememangnya cabaran paling besar untuk mereka yang disahkan menghidap diabetes atau kencing manis. Malah, ada kalanya jika kandungan gula terlalu tinggi atau terlalu rendah, pesakit dinasihatkan tidak meneruskan puasa. Namun, kata Pakar Runding Endrokologi, Hospital Putrajaya, Dr Zanariah Hussein, jika pesakit bijak mengawal kadar gula dalam darah, berpuasa bukanlah halangan besar. Malah dengan nasihat doktor dan ubah suai dos yang perlu diambil, pesakit sebenarnya masih mampu menjalani ibadat puasa.

Malah, tidak ramai yang menyedari, bagi pesakit yang sudah lama didiagnos dengan diabetes, bulan puasa adalah waktu yang dinanti-nantikan kerana lebih mudah sebenarnya bagi mereka mengawal tahap gula dalam darah. “Pesakit yang sudah lama didiagnos dengan diabetes, mereka sudah tahu perubahan pengambilan dos insulin selain pemakanan. Bagaimanapun, pesakit kanak-kanak yang baru didiagnos dengan diabetes, Ramadan memang bulan yang mencabar,” katanya. Lebih 1.2 juta warga Malaysia ialah pesakit diabetes dengan anggaran kes baru sekitar 650,000 setiap tahun, manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan menjelang 2030, ada seramai 180 juta pesakit diabetes di seluruh dunia.

Di Malaysia, 95 peratus pesakit diabetes adalah daripada Jenis Dua. Namun, kebanyakan pesakit diabetes Jenis Satu pula ialah kanak-kanak dan remaja. “Diabetes Jenis Satu paling sukar kerana pesakit langsung tiada insulin dalam badan, jadi jika kurang menerima suntikan, mereka berisiko berdepan masalah gula naik secara mendadak. “Lazimnya pesakit diabetes Jenis Satu ialah mereka yang sudah disahkan menghidap diabetes sejak bertahun-tahun lamanya. Jadi mereka sudah tahu melakukan perubahan terhadap pemakanan. Mereka tidak sukar menempuh Ramadan melainkan ubat-ubatan mereka sudah bertukar atau baru mendapat suntikan insulin, mereka secara khusus perlu dinasihatkan dan dimaklumkan bagaimana mengelak gula turun atau naik secara mendadak,” katanya. Dr Zanariah berkata, selain itu pemakanan juga antara faktor penting bagi menguruskan diabetes ketika Ramadan.

Lebih mudah katanya, diet pesakit diabetes tidak sama, selain keperluan ubat-ubatan juga tidak sama. Namun, secara umum kebanyakan pesakit akan makan lebih ketika berbuka puasa dan sahur pula ringan, justeru pemberian dos juga perlu diterbalikkan.


Panduan bagi pesakit diabetes yang dibenarkan berpuasa
· Diet - Elak makan berlebihan ketika berbuka puasa dan pada waktu malam. Karbohidrat dan makanan berlemak boleh menambahkan berat badan serta menyukarkan kawalan diabetes.
· Senaman - Melakukan aktiviti fizikal yang ringan ketika berpuasa tidak akan mendatangkan kemudaratan. Perubahan diet dan ubat-ubatan ketika bersahur harus dibuat (mengikut nasihat doktor) bagi mengelakkan kadar gula dalam darah turun mendadak.
· Ubat - Dapatkan nasihat doktor mengenai pengubahsuaian dos serta waktu pengambilan ubat. Sebagai panduan, dos ubat-ubatan yang diambil pada sebelah pagi pada hari tidak berpuasa ditukar masa pengambilannya ke waktu berbuka puasa. Dos yang diambil sebelum makan malam sewaktu tidak berpuasa, pula perlu diambil sebelum bersahur. Pengurangan dos yang diambil mungkin perlu untuk mengelakkan kadar gula dalam darah turun atau naik mendadak.
· Insulin - Dos dan waktu insulin disuntik harus diubahsuai mengikut arahan doktor berdasarkan ujian tahap gula dalam darah yang dilakukan pada permulaan bulan puasa, seperti berikut:
· Tiga kali suntikan insulin: Dua dos insulin yang bertindak segera (short-acting insulin) ketika berbuka dan sebelum bersahur. Ini diikuti dengan satu dos insulin yang bertindak lama (intermediate acting insulin) sebelum tidur.
· Dua kali suntikan insulin: Satu dos insulin yang sudah dicampur (premixed insulin) ketika berbuka puasa. Dos yang diperlukan ialah sama seperti dos yang diberikan pada waktu pagi pada hari tidak berpuasa. Satu dos insulin yang bertindak segera pula diberi sebelum bersahur (0.1 - 0.2 unit insulin/kg berat badan) Bagaimana pula dengan pesakit yang berdepan dengan masalah diabetes ketika hamil? Kata Dr Zanariah, umumnya wanita hamil tidak digalakkan berpuasa, namun jika pengurusan diabetesnya baik wanita itu masih boleh berpuasa. “Bagi wanita yang didiagnos dengan diabetes sebelum hamil, apabila sudah berbadan dua, dia perlu mengambil insulin berbanding ubat biji. Penggunaan insulin berisiko tinggi untuk berdepan dengan masalah gula rendah. Jadi sewaktu mengandung, risikonya lebih ketara. Pada tempoh kehamilan, kawalan gula sangat penting untuk memastikan perkembangan janin,” katanya. Bagi mereka yang menghidap diabetes ketika hamil, biasanya diabetes yang dialami tidak teruk dan mereka hanya perlu mengawal diet untuk terus berpuasa. “Jika kawalan gula yang baik dan mengikut garis panduan mereka boleh puasa,” katanya.

Fakta: Peringatan umum pesakit diabetes berpuasa

1) Jangan melengahkan berbuka tetapi melambatkan bersahur.

2) Bagi pesakit yang baru berpuasa digalakkan mengukur gula dalam darah supaya mereka boleh nilai tindak balas kadar gula dalam darah waktu berpuasa. Tahap gula diuji pada, sebelum bersahur antara dua ke empat jam selepas bersahur, sebelum berbuka puasa dan antara dua ke empat jam selepas berbuka.

3) Makan ubat/menyuntik insulin mengikut nasihat doktor.

4) Makan berpada-pada ketika berbuka serta kurangkan hidangan yang manis.

5) Mengawasi penyakit diabetes dan kesihatan mereka secara umumnya.

6) Mengenali tanda-tanda hipoglesemia (kekurangan gula dalam darah), hiperglisemia (gula berlebihan dalam darah) dan dehidrasi.

7) Segera berbuka apabila mengalami masalah sama ada hipoglesemia, hiperglisemia atau dehidrasi. Haram untuk pesakit meneruskan puasa kerana ia boleh memudaratkan mereka.

8) Mengubahsuai dos ubat atau insulin dan waktu ia harus dimakan /disuntik mengikut syor doktor. Simptom hipoglisemia, hiperglisemia dan dehidrasi:

Tanda-tanda hipoglisemia:
· Menggigil
· Terlalu lemah
· Amat lapar
· Berpeluh
· Pucat
· Berdebar-debar
· Gelisah
· Koma (tak sedarkan diri)

Tanda-tanda hiperglisemia:
· Kerap buang air kecil
· Terlalu dahaga
· Sangat letih

Tanda-tanda dehidrasi:
· Amat dahaga
· Kulit dan lidah yang terlalu kering
· Fikiran terganggu


Pesakit diabetes tidak dibenarkan berpuasa sekiranya:
· Penyakit diabetes yang dihidapi tidak stabil. Bimbang ia akan mengakibatkan pelbagai komplikasi seperti dehidrasi (kekurangan air), jangkitan kuman dan koma.
· Tidak mematuhi nasihat penjagaan diet, pengambilan ubat-ubatan dan insulin.
· Mengalami komplikasi diabetes yang serius seperti penyakit jantung koronari dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal.
· Kerap mengalami koma diabetik ketoasidosis.
· Kerap mengalami koma hipoglisemia (kekurangan gula dalam darah).
· Mengalami jangkitan kuman.
· Warga tua dan tinggal bersendirian.
· Wanita hamil yang memerlukan suntikan insulin.
· Berusia bawah 12 tahun.