"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, April 30, 2011

Rawatan akupuntur laser



Rawatan akupuntur laser pada perut.


BERBEZA dengan perubatan akupuntur yang menggunakan jarum, pena laser yang merupakan teknologi dari Korea diyakini lebih selamat dan mudah diguna.

Dengan pemegang seakan pen, hujung pena ini didatangi dengan tiga 'kepala' berlainan saiz.
Rawatan laser akupuntur ini mampu memberi kesan seperti kaedah klasik akupuntur tanpa rasa sakit hanya dengan tekanan pada satu butang.

"Ini merupakan kesan pena laser yang juga dikenali dengan gelaran Microcurrent Pulse Stimulator ini dikatakan 500 kali ganda lebih kuat dan pantas berbanding tusukan jarum klasik. Di kalangan masyarakat Korea, alat ini diberi jolokan 'Doktor Rumah'," ujar seorang pakar akupuntur yang berpengalaman lebih empat dekad dalam bidang ini, Dr. Muhammad Kim, 76.

Inovasi rawatan akupuntur laser ini dijangka dapat mengatasi masalah individu yang gerun pada jarum akupuntur.

Menurut Dr. Muhammad, penggunaan alat akupuntur laser ini mempunyai kesan yang lebih baik dan ia hanya melibatkan luaran kulit.

Rawatan laser akupuntur menggunakan alat berbentuk seperti pen. Bebola di hujungnya berfungsi menyalurkan tenaga laser pada poin yang tertentu untuk melancarkan peredaran darah.

Kelegaan

Dalam pada itu, penulis berpeluang mencuba rawatan itu pada bahagian pergelangan tangan yang kemudiannya dipindahkan ke poin kepala.

Seperti terkena aliran elektrik ringan, namun ia memberi sedikit kelegaan. Menurut Dr. Muhammad Kim, ia berfungsi untuk melancarkan aliran darah dengan cara merangsang poin-poin akupuntur.

"Poin-poin ini terletak berdekatan dengan sistem saraf. Apabila disalurkan laser , ia akan memberi rangsangan terus dan memindahkan impuls elektrik melalui spinal cord dan otak hingga ke bahagian badan yang bermasalah.

"Kajian perubatan moden juga menunjukkan stimulasi pada poin akupuntur tertentu merangsang penghasilan kimia dari saraf tunjang ke sistem endokrin. Mekanisme ini adalah semula jadi dalam tubuh kita sekali gus mengawal kesakitan," katanya.

Rawatan bekam dan jed

Dalam pada itu, Dr. Muhammad Kim turut menunjukkan fungsi pen bekam yang lebih moden dan tidak sakit. Jika rawatan tradisional menggunakan satu pen bekam dan dicucuk pada kawasan bekam lebih daripada sembilan kali untuk mengeluarkan darah, pen bekam daripada Korea ini hanya berfungsi sebanyak tiga kali.

Pada asasnya, prosedur bekam yang dilakukan Dr. Muhammad Kim adalah untuk mengeluarkan darah kotor daripada badan.

Untuk memperlengkapkan proses rawatan akupuntur laser dan bekam , pesakit juga diberi menggunakan peralatan canggih dari Korea seperti katil urutan badan menggunakan batu jed serta katil elektrik kristal.

Kombinasi rawatan ini disarankan untuk mereka yang mengalami sakit pinggang dan melancarkan perjalanan darah untuk mengurangkan risiko strok.

Pusat rawatan yang terletak di Kelab Golf Titiwangsa PDRM, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur dibuka antara hari Isnin hingga hari Ahad dari pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap minggu. Untuk maklumat lanjut, hubungi 03-26980595 atau 019-2652966.

Sementara itu, isteri Dr. Muhammad Kim, Rozita Mior Badri mengalu-alukan orang ramai yang ingin menjadi pengedar pen akupuntur laser yang diimport dari Korea.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

Vitamin untuk kulit


Soalan: Saya ingin memperbaiki masalah kulit berjerawat dan mempunyai kesan parut lama. Kini saya menukar produk penjagaan kulit sebagai langkah memperbaiki masalah jerawat. Saya juga tercari-cari vitamin yang membantu kesihatan kulit.

Jawapan

Kesihatan kulit boleh dipelihara dan dikekalkan dengan pendekatan yang lebih menyeluruh. Ia bukan sekadar bergantung kepada penjagaan luaran dan kosmetik semata-mata. Apa jua tabiat pemakanan turut memberi kesan kepada kesihatan kulit.

Tahap kesihatan kulit juga menjadi penanda luaran kepada kesihatan dalaman. Adakalanya penggunaan krim, losen dan rawatan luaran kulit tidak banyak membantu sekiranya ia berpunca daripada faktor dalaman seperti akibat sesetengah nutrien. Mengambil makanan yang betul dan mengelak makanan yang tidak sesuai boleh menyerlahkan kecantikan, kulit lebih awet muda tanpa kosmetik mahal.

Kajian American Journal of Clinical Nutrition terbitan Julai 2007 menunjukkan kaitan antara makanan yang rendah dengan indeks glisemik dan pembaikan masalah jerawat. Kajian mendapati dalam tempoh 12 minggu, jerawat berjaya dikurangkan dengan lebih baik di kalangan kumpulan peserta yang mengambil makanan dengan kandungan glisemik gula yang rendah berbanding kumpulan yang mengambil makanan yang tinggi dengan karbohidrat.

Secara umumnya, selain makanan berkarbohidrat ringkas yang tinggi, pengambilan makanan tinggi lemak tepu, makanan berminyak dan bergoreng, bergula akan memberi impak yang lebih ketara kepada masalah jerawat.

Minum air secukupnya sangat penting. Air yang bersih boleh membantu kulit menjadi remaja. Air penting untuk melembapkan sel-sel selain memudahkan penyingkiran toksin dan dalam masa yang sama menyenangkan kemasukan nutrien. Apabila tubuh dihidrat dengan sempurna, perpeluhan berlaku dengan lebih efisien yang membantu kulit kekal bersih dan cerah.

Dari segi vitamin, vitamin anti oksida membantu meneutralkan radikal bebas yang merosak serta mengurangkan kerosakan sel. Antara vitamin anti oksida yang memberi manfaat kepada kesihatan kulit termasuklah vitamin A, C dan Vitamin E.

Vitamin A diperlukan untuk pembinaan dan pengekalan sel-sel kulit. Nutrien ini membantu menentang kekeringan kulit, kulit berkuping dan penebalan lapisan luar kulit. Vitamin C diperlukan dan membantu dalam pembentukan tisu-tisu penghubung, kolagen dan pemeliharaannya. Manakala vitamin E boleh memperlahankan penuaan tisu. Untuk kesihatan kulit terutamanya kulit bermasalah, mineral zink diperlukan untuk membantu fungsi normal kelenjar sebum kulit dan penyembuhan jerawat.

Oleh itu, pengambilan gabungan anti oksida seperti beta-karoten (pro-vitamin A), C, E, mineral zink dan selenium yang mencukupi akan membantu mencegah kerosakan sel-sel kulit akibat radikal.

Asid-asid lemak yang mencukupi penting untuk mengekalkan kecantikan dan keremajaan kulit. Ini merangkumi asid lemak omega-3 dan omega-6. Asid-asid lemak perlu ini diperlukan untuk menguat dan meningkatkan kebendaliran membran sel kulit. Membran sel merupakan pelindung kulit, mengeluarkan toksin dan memberi lembapan serta nutrien. Ia juga meningkatkan pengaliran darah dengan mencairkan darah dan memperbaiki keanjalan sel darah merah supaya lebih banyak oksigen yang membantu menyubur dan melembap yang penting untuk keremajaan kulit.

Kajian mendapati pengambilan Gamma linolenic acid (GLA) daripada minyak Evening Primrose secara berterusan membantu masalah jerawat, ekzema atopik, sindrom pra-haid (PMS), psoriasis dan kesihatan kulit. Mereka yang sering dibelenggu masalah ini lazimnya mempunyai paras GLA yang lebih rendah daripada normal. Ujian menunjukkan pengambilan minyak evening primrose yang kaya dengan GLA boleh memperbaiki kelicinan kulit, lembapan serta memperbaiki masalah dermatitis.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_02.htm

Friday, April 29, 2011

Sihat mulut, sihat badan



Pemeriksaan secara berkala penting untuk kesihatan gigi. - Gambar hiasan


PEPATAH Cina ada menyebut, mulut itu pintu masuk kepada kesihatan tubuh badan kerana semua penyakit datangnya dari mulut. Manakala semua masalah datangnya daripada pertuturan.

Bagaimanapun, mulut didiami ribuan bakteria yang boleh menyebabkan kerosakan gigi dan penyakit periodontal atau gusi, kata Presiden Persatuan Pergigian Malaysia (MDA), Datuk Dr. How Kim Chuan.

Penyakit periodontal ialah jangkitan bakteria yang merosakkan tulang sekeliling akar gigi menyebabkan gigi menjadi longgar.

Ia disebabkan plak bakteria, selaput kekuningan melekit yang sentiasa terbentuk di gigi.

Antara simptom sakit periodontal ialah gusi merah, bengkak dan berdarah, kemunculan poket-poket periodontal, gigi longgar dan nafas berbau.

Walaupun begitu, tidak ramai pesakit sedar akan kehadiran penyakit itu kerana simptom-simptom biasanya tidak disertai kesakitan, kata Dr. Kim Chuan.

Mujurlah tanda-tanda keradangan itu dapat dirawat sepenuhnya jika disertai dengan langkah pencegahan, motivasi serta kerjasama daripada pesakit, katanya.

Ujarnya, terdapat banyak kajian yang menyelidik kemungkinan berkaitnya penyakit oral (mulut) dengan kesihatan sistemik tubuh badan.

"Para penyelidik mendapati periodontitis (keradangan gusi), peringkat mendalam penyakit periodontal, mempunyai kaitan dengan penyakit sistemik seperti penyakit kardiovaskular, strok, kencing manis dan pneumonia bakteria.

" Kajian juga menunjukkan bakteria dan keradangan memainkan peranan lebih bahaya dalam penyakit sistemik seperti kencing manis kerana mengurangkan ketahanan tubuh terhadap risiko jangkitan dan membuatkan penyakit periodontal semakin teruk.

"Jadi mereka yang menghidap kencing manis selalunya juga mempunyai penyakit periodontal. Malah ada kajian yang mengatakan periodontitis memberi kesan ke atas kawalan gula dalam tubuh badan," terang Dr. Kim Chuan.

Beberapa kajian turut mengaitkan bengkak yang kronik dari periodontitis dengan masalah kardiovaskular, arteri tersumbat dan strok.

Beliau menerangkan, plak gigi mungkin berkaitan dengan plak yang melekat pada lapisan dalam pembuluh darah iaitu arteri. Ini menyebabkan arteri mengeras dan mengehadkan aliran darah.

Penghasilan arteriosklerosis itu diburukkan lagi dengan mendakan lemak dan kolesterol. Ini boleh berlaku di mana-mana arteri, terutama arteri jantung yang menyebabkan sakit jantung dan arteri otak yang menyebabkan strok.

Beliau menerangkan, penyelidik juga mendapati penjagaan oral yang kurang baik boleh meningkatkan risiko
mendapat pneumonia jenis aspirasi.

Pneumonia jenis ini berlaku apabila seseorang tersedut bendasing seperti makanan atau cecair yang
menyebabkan iritasi kepada paru-paru. Ini seterusnya menyebabkan jangkitan bernanah, keradangan dan sakit pneumonia.

Bakteria di mulut ekoran kaviti dan penjagaan oral yang tidak sempurna juga boleh tersedut ke dalam paru-paru dan menyebabkan pneumonia jenis itu, kata Dr. Kim Chuan. - Bernama

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0428&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

Sunday, April 24, 2011

Perlu bantuan tempat, promosi


Pak Long dan rakan-rakannya tidak pernah sunyi menerima kunjungan pelanggan di Pasar Larut Malam, Down Town Cheras.


DALAM kesamaran simbahan lampu neon, lelaki berusia 60 tahun itu meraba-raba kaki pelanggannya. Perlahan-lahan dan penuh berhati-hati.

Bukan disebabkan cahaya itu tidak mencukupi, kerana bagi lelaki itu, siang atau malam tidak ada bezanya.

Yang pasti sejak lebih beberapa dekad lalu, hanya warna hitam pekat menyelimuti diri. Namun, itu semua bukan halangan untuknya terus mencari rezeki.

Semakin lama urutan lelaki itu semakin laju. Sesekali pelanggan tadi iaitu jurugambar, AHMAD ZAKKI JILAN merentap kakinya sebagai tanda sakit.

"Haaa, tu tanda angin tu. Badan kita ni kena jaga, walau sibuk macam mana pun, ambil waktu bersenam atau berurut untuk melancarkan peredaran darah. Kena ingat, kesihatan lebih penting daripada wang ringgit," kata lelaki istimewa itu sambil meneruskan urutannya.

Begitulah rutin harian Ahmad Abdullah atau lebih popular dengan panggilan Pak Long di kalangan pelanggan.
Setiap malam (kecuali Isnin), dia bersama beberapa orang pekerja yang terdiri daripada mereka yang cacat penglihatan akan mengunjungi Pasar Down Town Cheras untuk mencari rezeki. Berbekalkan sebuah tapak yang disediakan Persatuan Pengasih Malaysia, Pak Long dan rakan-rakannya menyediakan khidmat urutan refleksologi.

Bagi lelaki yang berasal dari Baling, Kedah itu, bidang tersebut merupakan kerjaya yang mulia buat insan sepertinya.

"Dalam Islam, tangan yang memberi itu lebih mulia daripada yang menerima," katanya.

Beliau sama sekali tidak bersetuju dengan cara sesetengah mereka yang mencari rezeki dengan cara mudah seperti meminta sedekah.

Menurutnya, insan sepertinya hanya buta mata tetapi tidak hati dan lain-lain pancaindera.

Menyorot kehidupan silamnya, Pak Long berkata, dia dilahirkan sempurna seperti juga insan lain. Namun satu kejadian yang berlaku ketika usianya 30-an terus mengubah kehidupannya secara total.

"Selepas kemalangan disimbah asid itu, saya tidak boleh melihat lagi. Pada mulanya memang agak sedih, semua kerja terpaksa dibantu. Dunia jadi kelam, tapi saya pujuk hati dan yakin dengan ketentuan Ilahi," katanya.

Bagi beliau, nikmat penglihatan yang diambil Ilahi telah diganti dengan sesuatu yang lain. Bermula dari situ, dia mengikuti kelas urutan refleksologi dan pelbagai kelas lagi yang dianjurkan Persatuan Orang Buta Malaysia.

Menurut Pak Long, sebenarnya ilmu mengurut sememangnya sudah ada dalam dirinya, ditambah lagi dengan ilmu refleksologi membolehkan dia mencari rezeki dengan cara itu. Bukan sahaja tapak kaki, beliau juga berupaya mengurut bahagian badan yang lain andai diminta oleh pelanggannya.

Istimewa

Ditanya apa istimewa refleksologi yang dilakukan OKU sepertinya, Pak Long lantas menjawab, ia terletak pada sentuhan.

"Disebabkan kami tidak nampak, maka daya tumpuan kami lebih pada bahagian sentuhan tangan. Jadi fokus itu lebih mudah," katanya.

Menurut Pak Long, seni refleksologi itu sebenarnya berasal dari Arab, tetapi ia lebih popular di kalangan orang Cina yang sangat yakin dengan manfaat rawatan tersebut.

Beliau sendiri pada awalnya pernah berkerja dengan seorang usahawan Cina sekitar tahun 90-an di Pulau Pinang. Disebabkan yakin untuk berdikari dan membantu rakan-rakan yang senasib dengannya, akhirnya membawa lelaki itu berhijrah ke Kuala Lumpur.

Di ibu negara, dia menjalankan khidmat refleksologi di sebelah malam, manakala pada siangnya rawatan dijalankan di kediamannya yang terletak di Taman Mulia, Cheras.

Bagi Pak Long, sememangnya peluang untuk insan sepertinya berdikari amat luas, namun ia memerlukan bantuan daripada pelbagai pihak.

Justeru dia menyeru pihak kerajaan dan swasta agar tampil membantu bagi menyediakan kemudahan seperti tempat dan promosi, itu sudah mencukupi.

"Sekurang-kurangnya kami ada tempat untuk mencari rezeki dan tidak ada orang yang mengambil kesempatan mendapatkan wang dengan cara mudah atas keadaan kami yang begini," katanya dengan penuh harapan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

Riadah boleh kurangkan ketagih


SOALAN 1

Saya seorang remaja awal 20-an. Sejak di bangku sekolah menengah (tingkatan 1) saya sudah mula mengamalkan aktiviti melancap sehinggalah umur saya sekarang.
Perkara yang saya lakukan ini boleh dikatakan seminggu dalam tiga hingga ke empat kali. Apakah ia akan memberi sebarang kesan kepada zakar saya. Adakah saya boleh mendapatkan zuriat setelah berkahwin serta bolehkah saya mengalami masalah mati pucuk kerana kerap melakukan perbuatan tersebut.
ZUR, Selangor.

Saudara Zur,

Saya pasti kebanyakan remaja melakukan onani atau melancap dan ada di kalangan remaja menjadi ketagih dengan perbuatan ini. Saya banyak berjumpa remaja yang turut mengalami tekanan akibat ketagihan melancap bahkan ada yang mengatakan bahawa zakar mereka menjadi kecil dan mengecut akibat melancap. Secara amnya, perbuatan melancap tidak memberi kesan negatif terhadap kesihatan fizikal mahupun mental seseorang itu. Ia juga tidak akan menyebabkan benih atau sperma berkurangan ataupun mati pucuk. Ia boleh memberi kesan fizikal atau mental jika tidak terkawal ataupun melibatkan penggunaan alat-alatan yang boleh memberi kecederaan terhadap zakar. Saudara Zur boleh mengelakkan daripada melakukan melancap dengan menjauhi rangsangan seks seperti melihat video lucah dan sebagainya. Aktiviti riadah boleh mengisi masa lapang dan menjauhkan daripada melancap. Bagi orang Islam, membaca Quran, berpuasa dan banyakkan bersembahyang sunat dapat menjauhkan diri dari melancap.

Waspada suplemen herba

SOALAN 2

Saya berusia pertengahan 30-an dan telah mendirikan rumah tangga. Saya pernah mendengar bahawa paras testosteron boleh menjejaskan kualiti hubungan intim di kalangan lelaki .

 Selain itu, saya juga berminat dengan suplemen herba yang dikatakan boleh membantu masalah kemerosotan fungsi seks. Bolehkah diterangkan serba sedikit mengenai masalah ini?

Yatim
, Johor.

Saudara Yatim,

Paras hormon testosteron di kalangan lelaki biasanya mula menurun apabila mencapai umur 40-an dan kadar penurunan bergantung kepada kesihatan fizikal seseorang lelaki tersebut. Ini bermaksud jika beliau mengalami masalah obesiti, masalah jantung, penyakit kronik seperti diabetes, paras hormon tersebut akan menurun dengan kadar yang lebih cepat. Sebaliknya jika seseorang lelaki itu menjalani kehidupan yang sihat sejahtera dan tidak mempunyai masalah kesihatan, kemungkinan paras hormon testosteron akan terus stabil. Paras hormon testosteron yang rendah akan memberi kesan negatif terhadap nafsu seks dan juga mungkin akan menyebabkan kurang ketegangan zakar atau disfungsi ereksi (erectile dysfunction). Di pasaran sekarang, terlalu banyak produk produk suplemen herba yang dijual bahkan banyak yang bercampur dengan ubat-ubatan yang berbahaya atau terlarang. Saya ingin menasihatkan saudara untuk memastikan suplemen herba tersebut didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan dan mempunyai bukti-bukti kukuh bahawa ia berkesan tanpa memberi kesan yang memudaratkan saudara. Ada sesetengah herba yang telah pun menjalani kajian khusus dan boleh meningkatkan fungsi seks tetapi sebagaimana yang saya katakan semak dulu dan bincang dengan doktor anda agar tidak menyesal di kemudian hari.
Mati pucuk tanda awal sakit jantung?

SOALAN 2

Benarkah mati pucuk atau istilah perubatannya dysfunctional erection (ED) adalah simptom awal bagi penyakit kardiovaskular? Setahu saya ia lazimnya dikaitkan dengan kencing manis, hipertensi, kolesterol tinggi dan penyakit jantung.

Rahim,
Kuala Lumpur.

Saudara Rahim,

Penyakit-penyakit yang saudara senaraikan adalah penyakit berkaitan kardiovaskular. Memang telah terbukti bahawa disfungsi ereksi (erectile dysfunction, ED) boleh menjadi tanda awal penyakit jantung. Proses ereksi berlaku apabila darah memasuki saluran-saluran darah di zakar. Kalau dilihat secara logiknya, saluran darah ke zakar adalah jauh lebih kecil berbanding dengan saluran darah ke jantung. Proses penyumbatan saluran darah berlaku lebih awal di saluran darah di zakar yang menyebabkan ED. Jadi, pastikan saudara mendapatkan rawatan awal doktor jika mengalami ED untuk memastikan saudara tidak mengalami masalah kesihatan seperti yang disenaraikan oleh saudara di atas.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_02.htm