"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, February 26, 2011

'Rasa kepala macam mahu tercabut'


BERAT badan Lia pernah turun daripada 43 kg kepada 20 kg akibat leukemia tahap kritikal yang dihidapinya.


DISAHKAN menghidap leukemia tahap kritikal pada usia 14 tahun dianggap takdir yang paling memilukan buat Noorliameera Johar.

Lantaran penyakit kanser darah yang biasa menjangkiti kanak-kanak itu, kehidupan anak kelahiran Labis, Segamat, Johor ini berubah sama sekali.

Dia yang kini berumur 20 tahun masih dapat merasai kesakitan menjalani pelbagai prosedur rawatan apabila mengingati semula fasa sukar dalam hidupnya itu.

“Ia bermula apabila saya sering sakit di bahagian kiri kepala manakala hidung saya sering berdarah terutama jika berada lama di tempat panas.

“Ayah hanya membawa ke klinik biasa, namun apabila saya kerap sakit, doktor menasihatkan ayah membawa saya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut kerana ada kemungkinan saya menghidap ketumbuhan otak.

“Tidak mahu berlengah, ayah membawa saya menjalani pemeriksaan di sebuah hospital pakar di Batu Pahat. Pakar yang memeriksa mengatakan saya menghidap penyakit hati dan perlu dibedah segera.

“Namun, atas nasihat seorang pakar tulang yang pernah merawat saya, Datuk Dr. Zahir Hussein Kamari, saya enggan dibedah sebaliknya pergi ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk diperiksa dengan lebih lanjut di sana.


Jarum besar

“Pada 25 April 2005, saya jalani pemeriksaan darah di HSA. Selepas lima hari, saya diberitahu hasil daripada ujian tersebut menunjukkan saya menghidap leukemia jenis limfoblastik akut (LLA) iaitu leukemia yang dicirikan oleh limfoblas berlebihan.

“Ketika itu, tahap leukemia saya di tahap kritikal dan doktor menjangkakan saya mampu hidup di antara tiga hingga enam bulan sahaja,” katanya.

Lantaran itu, impiannya untuk kembali ke sekolah terpaksa ditangguhkan. Sebaliknya, HSA menjadi rumah kedua bagi mereka tiga beranak.

Setiap hari, selain berehat, bermacam-macam ujian dan pemeriksaan yang perlu dijalani.

Kesakitan yang ditanggung semasa penyedutan tisu sum-sum tulang (BMA), kemoterapi dan radioterapi pernah melenyapkan semangat Lia.

Bersyukur kerana memiliki keluarga yang sangat memahami keadaan dirinya, anak bongsu dari tiga adik-beradik perempuan ini mengaku mereka adalah sumber kekuatannya.

Mana tidaknya, sudahlah seluruh tubuhnya sakit, rawatan yang diberikan juga sangat menyakitkan. Menurut Lia, untuk proses penyedutan tisu tulang sum-sum, jarum yang besar dan panjang digunakan.

“Sakitnya memang tidak tertanggung. Walaupun dibius, saya boleh rasa jarum mencucuk tulang belakang dan menyedut sum-sum tulang.


Muntah hijau

“Kesan daripada itu, hampir dua minggu saya tidak mampu berdiri. Saya hanya mampu berbaring, itu pun secara mengiring di atas katil.

“Prosedur ini saya jalani dua kali sebulan manakala sebulan sekali saya menjalani rawatan kemoterapi di HSA,” katanya.

Waktu itu, katanya, badannya sentiasa rasa panas dan kepalanya sangat sakit.

“Sakitnya sampai saya rasa kepala saya mahu tercabut. Setiap kali jalani rawatan, saya akan menangis sampai tak keluar suara.

“Di samping menjalani rawatan kemoterapi, saya juga menjalani rawatan radioterapi di Hospital Pantai di Jasin, Melaka, memandangkan HSA belum memiliki mesin tersebut,” kata penuntut semester empat dalam bidang Pengurusan Pejabat di Kolej Unikop, Kuala Lumpur ini.

Beberapa kali menjalani rutin rawatan yang sama, tubuh Lia mula menerima kesan sampingan. Badannya terasa panas, cepat letih dan lembik.

Dia juga hilang selera makan sehingga berat badannya turun mendadak daripada 43 kilogram (kg) kepada 20 kg saja. Ada masanya tekak saya membengkak hingga menyebabkan leher membesar melebihi dagu.

“Walaupun tidak mampu menjamah makanan, saya kerap muntahkan cairan hijau yang rasanya sangat pahit.

“Bayangkan kalau saya terpaksa menjalani prosedur yang sama untuk tempoh dua tahun,” katanya yang kini masih mendapatkan rawatan susulan enam bulan sekali di HSA.

Pernah putus asa dan lebih rela mati daripada terus hidup, semangat dan sokongan daripada keluarganya mengembalikan kekuatan untuk dia terus hidup.

“Mereka juga percaya saya mampu melalui semua rawatan ini.

“Lama-kelamaan, timbul kesedaran dalam diri saya. Mengapa saya perlu menyerah kalah sedangkan ayah dan ibu telah berkorban segala-galanya demi memastikan saya mendapat rawatan terbaik.

“Sejak itu, saya kuatkan semangat untuk melawan penyakit ini dan sangat berharap untuk kembali sihat seperti manusia lain,” ujarnya yang menolak untuk menjalani rawatan pemindahan sum-sum tulang kerana tidak mahu kakaknya mendapat risiko sakit seperti dirinya.

Bercerita mengenai penyakit leukemia yang Lia hadapi sama seperti menceritakan putaran roda kehidupan keluarganya.

Bukan sahaja leukemia, Lia juga tergolong sebagai orang kelainan upaya (OKU) selepas tiga jarinya terpaksa dipotong akibat tersepit dalam mesin tebu.

“Semasa berumur lapan tahun, saya menolong ayah yang berniaga air tebu. Secara tidak sengaja, saya tergelincir dan berpaut pada mesin tebu tersebut.

Mesin tebu


“Tanpa saya sedari, jari telunjuk, hantu dan manis tersepit dan turut dimesin. Akibatnya, tulang ketiga-tiga jari itu hancur dan perlu dipotong untuk mengelak daripada terus membusuk.

“Selepas saya mendapat leukemia, ayah berhenti berniaga dan sama-sama menjaga saya di hospital bersama ibu.

“Pengorbanan ayah bukan setakat itu. Memandangkan kos rawatan leukemia yang sangat tinggi, ayah sanggup jual tanah dan kebun.

“Sekarang ayah menyara kami sekeluarga dengan mengambil upah sebagai buruh kasar manakala ibu pula tidak bekerja,” katanya yang pernah mengemukakan permohonan untuk meminta bantuan daripada pelbagai pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun tidak pernah dilayan.

Melihat kesusahan yang terpaksa dilalui keluarganya, Lia tekad untuk terus sihat dan maju dalam pelajarannya.

“Saya tidak mahu jadikan kekurangan ini sebagai halangan untuk saya berjaya dan membalas pengorbanan ayah dan ibu,” azamnya yang ingin menjadi seorang kaunselor satu hari nanti.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Nanas atasi sembelit

NANAS sememangnya tidak asing di kalangan rakyat Malaysia. Rasanya yang enak menjadikan nanas buah pilihan kebanyakan orang. Selain dimakan segar, nanas juga dijadikan bahas masakan seperti pajeri, masak lemak dan gulai.

Antara manfaat nanas adalah:

1. Membantu menurunkan berat badan.
Memakan nanas boleh mengurangkan ketagihan manisan. Menambah nanas dalam makanan harian juga membantu menurunkan berat badan kerana nanas menyebabkan rasa kenyang tanpa menambah satu auns lemak sekali pun.

2. Menyihatkan mata. Kajian menunjukkan amalan memakan nanas melindungi mata daripada masalah berkaitan penuaan kerana ia kaya dengan anti-oksida.

3. Membantu memerangi pelbagai jenis penyakit. Nanas yang kaya dengan vitamin C merupakan sumber sangat baik untuk melindungi tubuh daripada radikal bebas yang menyerang sel-sel sihat. Banyak radikal bebas dalam tubuh yang menyebabkan penyakit kronik seperti jantung, kencing manis dan barah. Amalan memakan nanas juga berkesan untuk menghindari selesema dan meningkatkan sistem imunisasi.

4. Nanas yang kaya dengan serat amat berkesan untuk memulihkan masalah sembelit dan masalah buang air besar yang tidak teratur.

5. Mengandungi enzim yang menjadikan kulit anjal, lembap dan menyingkirkan sel-sel mati dan rosak adalah kelebihan nanas. Enzim di dalam nanas juga membantu memerangi radikal bebas yang boleh mengurangkan tanda-tanda penuaan dan garis-garis halus.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_05.htm

Selamat tinggal dunia obes

Mengalami masalah obesiti, Ranjit Kumar C Suyambugan sudah bosan didiskriminasi. Ejekan mengenai saiz badannya adalah perkara biasa tetapi dia merupakan seorang yang sentiasa berfikiran positif. Namun, dia sedar berat badan yang berlebihan harus dikurangkan. Jika tidak, kelak akan timbul masalah kesihatan.
Berat badan yang mencecah 220 kilogram mesti dikurangkan lebih-lebih lagi selepas dia disahkan menghidap diabetes dan memerlukan 32 unit insulin sehari.

"Jika dulu saya makan nasi banyak. Malah saya wajib makan nasi berlauk untuk sarapan pagi. Tambahan pula makanan boleh dibeli di mana-mana sepanjang hari dan harga pun murah.

''Disebabkan tidak mengawal pemakanan, kandungan gula dalam badan saya juga meningkat," ujarnya ketika ditemui di Pusat Perubatan Sime Darby Subang Jaya, Subang, Selangor baru-baru ini.

Atas nasihat Pakar Surgeri Am pusat perubatan itu, Dr. Cha Kar Huei, Ranjit kemudiannya menjalani pembedahan pintasan perut (gastric bypass) pada Oktober 2008.

Selepas dua tahun, Ranjit berjaya mengurangkan berat badan kepada 110 kilogram.

Perbezaan ketara mula dirasai apabila dia terpaksa mengurangkan kuantiti dan jenis makanan yang diambil.

"Selepas pembedahan saya tidak boleh ambil makanan berbentuk bijian, ketul atau yang keras. Saya perlu makan makanan yang lembut seperti bubur. Dalam pada itu, perut saya sendiri tidak boleh menerima
makanan.

''Jika saya paksa makan juga, saya akan memuntahkan semula makanan itu. Akhirnya, saya yang dulu terlebih makan, kini mengalami kekurangan zat makanan yang lain.

''Justeru, saya perlu mengambil vitamin-vitamin tambahan untuk menampung kekurangan tersebut," katanya.

Menjalani kehidupan biasa

Selepas lebih setahun mengikuti program diet, kini hidup Ranjit mula berubah sepenuhnya.

Sejumlah 110 kilogram diturunkan selepas pembedahan sedikit sebanyak memberi keyakinan kepadanya.

Ranjit menjalani kehidupan biasa tetapi masih perlu melakukan pembedahan pembuangan lebihan lemak pada badannya. Masih bekerja, Ranjit kadang-kadang meluangkan masa bersama keluarga dan kawan-kawan.

"Cuma, apa yang melucukan, tabiat lama sewaktu gemuk masih terbawa-bawa kerana saya terlupa bahawa tubuh saya sudah tidak seperti dulu.

"Bayangkan dahulu saya duduk menyilang kaki pun susah dan mengikat tali kasut, saya perlu meletakkan kaki ke atas satu tempat. ''Ini kerana saya tidak mampu menundukkan badan atau berlutut disebabkan fizikal yang terlalu gemuk. Lebih menyedihkan dulu, kerusi di pejabat saya sering patah,'' ujar Ranjit sambil memberitahu kini kadar denyutan jantungnya mencatat bacaan yang lebih baik.

Namun, apa yang lebih menggembirakan dia kini boleh memakai pakaian berjenama tanpa rasa malu. Jika dahulu, baju atau seluar yang dipakainya perlu ditempah.

"Saya masih boleh minuman kegemaran, Nescafe dengan syarat mengurangkan gula dan mencuba pelbagai jenis sup. Semuanya mudah untuk saya kerana tidak perlu menempah lebih tempat duduk ketika menaiki kapal terbang atau pun ketika duduk di restoran atau kedai kopi," katanya sambil tersenyum.

Gembira

Ranjit juga gembira dan sedia berkongsi cara mengurangkan berat badan. Dia seronok dapat menceritakan pengalaman dengan mereka yang mempunyai nasib serupa iaitu berdepan masalah obesiti .

Menanam impian mendapatkan berat badan ideal memerlukan kesungguhan dan menuntut pengorbanan yang tinggi.

"Sebenarnya, faktor utama yang mampu menyumbang ke arah penurunan berat badan adalah kombinasi amalan pemakanan dan cara hidup sihat yang perlu diseimbangkan dengan aktiviti kecerdasan.

''Jika tidak dapat mengawalnya, anda mungkin bernasib baik jika dapat melakukan pembedahan pintasan perut seperti saya.

"Jangan memilih jalan singkat seperti pengambilan pil kurus atau pembedahan sedut lemak yang memang ketara hasilnya dalam tempoh jangka pendek kerana ia terbukti bukan cara selamat untuk kurus .

"Sebaliknya, berusahalah untuk kurus dengan nasihat daripada pakar atau hospital selain mengamalkan pengambilan makanan berkhasiat dan bersenam. Itu cara paling ideal yang tidak boleh dinafikan," tambahnya.

Bagi Ranjit, paling tidak seseorang itu perlu bersenam setiap hari walaupun ia hanya satu pergerakan ringkas kerana dengan cara itu, mereka dapat mendidik diri menjadi individu yang cergas. Pengalaman lalu banyak memberi pengajaran buatnya agar mengawal pemakanan dan membanyakkan pergerakan fizikal. Ini kerana tanpa disedari, obesiti menjadi punca segala penyakit.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_03.htm

Laser buang tatu, tanda kelahiran

MINGGU lepas saya dikunjungi seorang bapa yang membawa anak terunanya berusia 20-an untuk mendapat rawatan. Bapa itu berusia lingkungan 50-an. Mereka sangat ramah dan mesra. Remaja itu bakal menempuh ujian memasuki sebuah maktab tentera.

Pada mula nya saya agak keliru tentang kunjungan mereka ke klinik aesthetic saya. Jarang sekali saya dikunjungi lelaki anak beranak yang memerlukan rawatan.

Rupa-rupanya masalah remaja itu adalah kerana mempunyai tatu di lengan bahu kanan. Saya memerhatikan tatu tersebut yang bersaiz 6x3 sentimeter. Tatu bergambar tengkorak berwarna hijau gelap jelas kelihatan di lengan kanan teruna tersebut.

Saya difahamkan tatu dibuat oleh kawannya tiga tahun lalu semasa mereka berkunjung ke sebuah tempat membuat tatu di Singapura. Dia menyangka tatu itu akan tanggal sendiri namun tekaannya meleset. Selepas beberapa tahun tatu masih kekal.

Cita-citanya untuk memasuki maktab tentera akan terjejas lantaran keadaan fizikalnya yang bertatu. Dia juga telah dinasihatkan oleh beberapa pegawai yang ditemui supaya membuang tatu tersebut.

Tatu adalah tanda yang kelihatan akibat memasukkan dakwat khas di kawasan lapisan dermis kulit. Oleh kerana dakwat itu diletakkan di kawasan dermis, maka ia kelihatan kekal dan susah untuk dihilangkan.

Terdapat teknik memasukkan dakwat menggunakan pen elektrik. Dakwat yang digunakan adalah jenis kekal dan tidak kalis air. Ia masuk sehingga 3mm ke dalam kulit.

Berbeza zaman dulu di mana tatu adalah bersifat adat, kini kegilaan tatu adalah untuk kecantikan. Ramai yang meletak tatu pada kening bagi menggantikan kening asal. Ada juga yang meletakkan tatu pada bibir bagi menampakkan bibir merah dan menarik sentiasa. Di bawah mata juga mereka menggunakan tatu bagi menampakkan mata seakan bercelak.

Kaedah membuang tatu sebelum ini adalah dengan menggunakan cara pembedahan. Ada juga menggunakan asid untuk menghilangkan tatu. Pisau digunakan bagi memotong selapis kulit bagi menghilangkan tatu tersebut.

Apabila luka terjadi kulit dibalut dan dibubuh ubat.

Kaedah tersebut bukan sahaja sangat sakit tetapi meninggalkan parut yang hodoh. Penggunaan asid yang kuat menghakis kulit sehingga kulit yang bertatu itu terkupas. Ia juga turut meninggalkan kesan parut yang menggerutu.

Kini terdapat kaedah baru untuk menghilangkan tatu dengan lebih berkesan tanpa meninggalkan sebarang parut.

Kaedah tersebut adalah dengan menggunakan Q-Switched Nd:Yag laser (Medlite C6). Dakwat tatu dihilangkan menggunakan konsep "photo acoustic" yang dihasilkan oleh Medlite C6. Photo acustic bermaksud cahaya laser ini amat selektif kepada kehadiran pigmen.

Apabila laser dipancar di kawasan tatu, pancarannya akan memecahkan dakwat di lapisan dermis kepada partikel lebih halus tanpa merosakkan lapisan atas kulit. Partikel dakwat yang hancur di bawah kulit akan diserap ke dalam badan dan dibuang sebagai bahan perkumuhan atau najis.

Laser jenis ini mampu masuk ke dalam kulit sehingga mencapai ketebalan beberapa milimeter. Tenaga haba yang dihasilkan oleh laser agak perit namun teknik 'coolant' dan menyapu ubat kebas dikawasan yang mahu dirawat menjadikan prosedur ini agak selesa bagi.

Proses ini memerlukan beberapa sesi untuk menghilangkan semua kesan dakwat tatu, tetapi ia sangat berkesan, selamat dan tidak meninggal kan sebarang parut. Faktor tidak meninggalkan parut ini menjadikan Medlite C6 satu kaedah membuang tatu yang digemari ramai.

Cara laser dipancarkan juga adalah mudah. Oleh kerana laser yang digunakan agak terang cahayanya maka pelanggan dan doktor merawat akan memakai cermin mata gelap. Selain daripada itu tidak perlu langkah-langkah lain.

Laser ini juga diguna kan untuk membantu menghilangkan tanda lahir yang sebelum ini tidak boleh dihilangkan.

Contoh tanda lahir yang biasa dirawat menggunakan Medlite C6 adalah Nevus of OTA dan Café aulait.

Selain itu ia sangat berkesan bagi semua jenis masalah pigmentasi. Dewasa ini pigmentasi biasanya terjadi disebabkan penggunaan kosmetik yang merosakkan sel kulit. Apabila medlite dipancar ia akan memecahkan pigmen menjadikan kulit tampak bersih dan cerah. Kebaikan lain menggunakan medlite adalah kulit akan mengalami peningkatan kolagen membuatkan kulit akan tampak semakin muda.

Laser jenis ini juga mampu menghilangkan bulu roma halus dan mengecilkan pori-pori kulit secara semula jadi. Penggunaannya sebulan sekali membuat kulit tampak halus dan cantik. Oleh itu ia juga sesuai bagi meningkatkan kualiti kulit dan menghalang kedutan.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_02.htm

Apendisitis bukan sakit perut biasa





JANGAN makan pedas lagi ya." Itu pesan rakan-rakan kepada Arif (bukan nama sebenar) setelah dia kembali ke pejabat selepas pulih daripada pembedahan membuang apendiks baru-baru ini.

Seperti kebanyakan pembaca, Arif juga pada mulanya tidak mempunyai pengetahuan yang jelas mengenai sakit yang dialaminya.

Sakit perut seakan senak dan kembung pada tanggapannya disebabkan tersalah makan.

Kesakitan itu bermula ketika dia bangun tidur. Perutnya seperti menegang dan rasa kembung di bahagian tengah. Lama kelamaan melarat ke bahagian kanan abdomen dan berlarutan untuk tempoh yang lama. Ketika itu juga dia berasa seperti mual dan tidak berselera menjamah makanan.

Disebabkan kesakitan yang tidak mampu ditahan, dia menggagahkan diri bersendirian ke klinik berdekatan. Selepas diperiksa, doktor mengesahkan dia mengalami radang apendiks (apendisitis) dan terus merujuk kes tersebut ke hospital berdekatan.

Tanpa berlengah, pembedahan dilakukan bagi membuang apendiks yang telah pun bernanah. Arif bernasib baik kerana masalahnya cepat dikenalpasti dan pembedahan dilakukan dengan segera.

Radang apendiks atau disebut juga sakit apendiks merupakan masalah kesihatan biasa yang dialami ramai individu. Pengetahuan yang cetek mengenai masalah ini menyebabkan ramai memandang remeh mengenainya.

Walaupun tidak terlalu serius, apendisitis sebenarnya boleh mengancam nyawa andai dibiar berlarutan.

Dua kali dibedah

Pengalaman seorang lagi bekas pesakit, Mohd (juga bukan nama sebenar)menjalani dua pembedahan akibat apendiks mungkin boleh menjadi panduan.

Seperti pesakit lain, dia juga pada mulanya tidak mengesyaki diri mengalami apendisitis. Pada peringkat awal, dia menahan sakit dengan mengambil ubat herba yang biasa untuk mengatasi sakit perut.

Disebabkan ia langsung tidak menunjukkan kesan malah semakin lama sakit semakin dirasakan, Mohd terus merujuk perkara tersebut ke klinik berdekatan.

Dia yang didiagnos mengalami apendisitis ringan disyorkan menjalani pembedahan laparaskopi apendektomi di hospital berdekatan. Tiga lubang kecil dibuat dan port dimasukkan bagi mengesan serta membuang apendiks. Malangnya kaedah tersebut gagal menemui struktur tersebut. Puas dicuba dan akhirnya dia terpaksa menjalani pembedahan terbuka pula bagi memudahkan apendiks dibuang.

Menurut Dr. Nazri, kes seperti itu bukan satu perkara yang ganjil untuk berlaku.

Keadaan tersebut berlaku disebabkan usus manusia yang tidak tetap dan berlipat-lipat sehingga menyebabkan kedudukan apendiks mungkin dilindungi atau terkebelakang.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm