"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Sunday, July 11, 2010

Penyelesaian inkontinens urinari


MEREKA yang obes perlu menurunkan berat badan mereka sebelum mendapatkan rawatan.


LEE, 41, tidak pernah mengerti mengapa dia kerap membuang air kecil sama ada ketika memandu ke tempat kerja atau bersama keluarga semasa membeli-belah dan bersenam di gimnasium. Wanita itu sering dihantui perasaan perlu melegakan pundi kencingnya.


"Kadang-kadang saya rasa lebih banyak masa diperlukan ke tandas daripada bersenam," kata beliau.


Sementara itu, ibu kepada seorang anak, yang hanya mahu dikenali sebagai Rohaiza, 29, berkongsi pengalaman yang sama. "Bila berada di kompleks beli-belah, rasa stres bila terasa nak buang air kecil , lebih-lebih lagi apabila terpaksa menunggu giliran," katanya.


Rohaiza mula perasan perubahan pada dirinya selepas setahun dia melahirkan anak. Beliau mengalami rasa ingin buang air kecil setiap kali bersin atau batuk. Rohaiza mendapati dia tidak boleh menahan kencingnya seperti sebelum ini.


Ada beberapa kali beliau tidak sempat sampai ke tandas dan berlakulah insiden yang tidak diingini.
"Masalah yang saya alami telah menggugat keyakinan diri saya. Dulu saya gemar bersosial tetapi kini nak keluar makan malam dengan rakan-rakan pun saya khuatir. Apakah akan terjadi bila saya tidak sempat sampai ke tandas dan terbuang air kecil di khalayak ramai?," soalnya.


Bagi J. Perez, 36, beliau sudah lupa bila kali terakhir beliau tidur lena pada waktu malam.
"Saya akan terjaga dua atau tiga kali pada satu malam kerana nak buang air kecil. Lepas saya meluru ke tandas pada tengah malam, memang sukar untuk melelapkan mata. Kesannya, saya akan jadi terlampau penat dan letih pada keesokan hari," kata beliau.


Lee, Rohaiza dan Perez adalah antara mereka yang mengalami tanda-tanda pundi kencing terlampau aktif (OAB) atau dikenali juga sebagai inkontinens urinari.


Masalah itu dikatakan mengganggu setiap satu daripada enam orang dewasa. Masalah itu juga kerap didiagnosis secara kurang tepat.


Ramai yang mengalami OAB terutamanya wanita enggan mendapatkan rawatan walaupun masalah itu mengganggu kehidupan harian mereka. Ada yang menganggap inkontinens adalah sebahagian daripada proses penuaan dan tidak perlu dirawat.

AKTIVTI bersosial atau beli-belah sesuatu yang dielakkan oleh penghidap penyakit inkontinens urinari.


"OAB atau inkontinens urinari bukanlah sejenis penyakit yang disebabkan oleh penuaan. Ia adalah sejenis masalah perubatan dan boleh dirawat", kata Presiden Persatuan Urologi Malaysia Datuk Dr.
 Rohan Malek.


Enggan jalani pemeriksaan



Menurut beliau, ramai wanita yang mengalami masalah tersebut tetapi enggan menjalani pemeriksaan, bahkan mereka tidak mengetahui ada kaedah yang boleh merawat masalah tersebut.


"Faktor utama yang membuatkan mereka enggan datang untuk pemeriksaan mungkin kerana malu menceritakan masalah itu kepada doktor.



"Ramai juga yang berpendapat ia adalah sebahagian daripada proses penuaan atau mungkin kesan sampingan selepas melahirkan anak. Mereka rasa tidak perlu berbuat apa-apa dan rasa tidak boleh merawatnya," kata Rohan yang juga seorang pakar urologi Hospital Selayang.


Statistik di 11 buah negara menunjukkan prevalens OAB adalah 53.1 peratus. Majoritinya adalah mereka yang berumur di antara 29 hingga 59 tahun.


Di Malaysia, OAB dialami di antara 11 hingga 22 peratus daripada jumlah penduduk. Melahirkan anak adalah risiko utama tetapi OAB juga boleh disebabkan oleh beberapa faktor lain.


Menurut Rohan terdapat beberapa kaedah bagi merawat OAB termasuk fisioterapi dan perubatan. Hanya beberapa kes sahaja yang memerlukan pembedahan.


"Rawatan OAB boleh dijalankan dan jarang sekali kita perlu melakukan pembedahan terhadap pesakit OAB," kata Rohan.


Jenis inkontinens yang prevalens adalah daripada jenis terdesak dan stres. Inkontinens stres disebabkan lemah otot pelvik yang disebabkan melahirkan anak dan obesiti.


"Inkontinens stres boleh menyebabkan kebocoran kencing ketika bersin atau batuk. Kadangkala ada juga kes inkontinens terdesak bila mereka tidak boleh menahan kencing sebelum sampai ke tandas," kata beliau.


Rawatan meliputi fisioterapi dan mengenalpasti masalah terbabit. Senaman otot pelvik juga boleh membantu.
Pesakit yang gemuk juga boleh mengurangkan berat badan manakala mereka yang menghidap asma dan batuk perlulah mendapatkan rawatan terlebih dahulu.


Sementara itu, mereka yang mengalami inkontinens terdesak terpaksa berkejar ke tandas beberapa kali sehari.


"Tanda-tanda OAB adalah buang air kecil lebih lapan kali satu hari dan tidak boleh tahan bila tiba masanya.
"Pesakit juga akan mengalami nokturia iaitu kerap bangun kencing waktu malam," kata Rohan. Kesemua faktor itu boleh mengganggu tidur pesakit dan mereka akan rasa amat letih pada keesokan hari.


Ada juga pesakit terpaksa pakai lampin dan terpaksa meninggalkan aktiviti fizikal seperti bersukan. Ini akan mengganggu keyakinan diri dan membawa kepada kemurungan.

SENAMAN otot pelvik dapat membantu menangani masalah inkontines urinari.


Walaupun ada kes yang boleh dirawat dengan antibiotik, pesakit perlu berjumpa doktor bagi memastikan tiada masalah lain yang tersembunyi.


"Adakalanya tanda-tanda yang sama seperti masalah OAB dicetuskan oleh penyakit lain antaranya diabetes, angin ahmar, kanser pundi kencing atau batu karang. Penyakit-penyakit ini dikenalpasti melalui ujian air kencing sebab itulah penting bagi menjalani pemeriksaan dan saringan perubatan.


"Rawatan meliputi senaman otot pundi atau ubat antikolinergik," katanya.
Di Malaysia tidak ada statistik tentang OAB jadi agak sukar untuk mengetahui sejauh mana masalah itu telah menjangkau.



Dalam usaha untuk menyedarkan masalah OAB dan inkontinens urinari bagi wanita, Persatuan Urologi Malaysia bersama Kementerian Kesihatan serta hospital awam yang terpilih menjalankan Kempen Inkontinens Urinari Di Kalangan Wanita di seluruh negara yang bermula sejak 26 Jun lalu. - Bernama

Merendahkan hormon leptin



PADA petang itu Sazzy Falak, 29, beria-ria menolak pelawaan hidangan berasaskan daging atau ayam. Seolah-olah menikmati menu tersebut merupakan kesalahan besar yang sukar dimaafkan.

"Maaf bukan cerewet tapi saya hanya makan ikan. Sudah setahun saya mengamalkan pescetarianisme iaitu makan sayur-sayuran dan ikan sahaja. Langkah drastik ini saya praktikkan bagi menjalani kehidupan yang lebih sihat.

 "Sebelum ini rejim kesihatan saya lebih cenderung pada amalan bersenam di gim dan aktiviti yoga berbanding terlalu memikirkan aspek pemakanan. Meskipun jarang makan makanan yang berkalori tinggi tetapi badan saya masih belum cergas dan bertenaga khususnya untuk bangun pada waktu pagi," kata Sazzy sambil menjamu ikan kembung dan kerabu sayur.

Sejak mengamalkan rutin pemakanan tersebut dia dapat merasakan perubahan positif pada dirinya. Dia tidak menyangka pengambilan ikan dalam menu harian dapat membantu meningkatkan stamina, sekali gus mengurangkan keletihan walaupun bekerja sejak awal pagi hingga lewat malam.

Malah, anak kelahiran Kuala Lumpur itu juga mendapati kulit wajah dan badannya semakin cerah. Akui Sazzy: "Minda semakin cerdas dan pergerakan badan bertambah cergas. Bayangkan pada sebelah pagi saya sibuk dengan tugasan menguruskan syarikat dan memenuhi sesi fotografi pada sebelah petang, namun pada sebelah malam saya masih bertenaga menjalani penggambaran drama.

"Bukan itu sahaja, badan terasa lebih ringan dan saya mampu menikmati tidur nyenyak. Barangkali, protein dan zat yang terkandung dalam ikan membantu menjadikan saya individu yang sihat.

IKAN mengandungi vitamin D dan K yang tinggi.


Jelas anak sulung daripada tiga adik-beradik itu, biasanya dia mengelakkan ikan goreng kerana lebih gemar ikan yang dikukus atau dibakar. Semasa mengukus Sazzy tidak lupa mencampurkan sayur-sayuran dan rempah ratus agar semua ramuan sebati bersama ikan.

Menyedari kehilangan zat dan nutrisi yang terdapat dalam ayam dan daging, Sazzy yang ditemui di restoran Theborama Chocolate, The Curve, Petaling Jaya memberitahu, dia menggantikan produk tenusu dan serat yang memberi tenaga.


Dalam pada itu penyelidik dari Klinik Mayo Rochester, Minnesota, Amerika Syarikat (AS), Prof. Virend Somers mendedahkan, kajian mendapati diet berasaskan ikan merupakan rutin pemakanan yang sihat.


Buktinya rejim diet itu membantu mengurangkan kadar hormon leptin yang mempengaruhi nafsu makan secara berlebihan.


Berat ideal

"Hormon leptin yang terdapat dalam tubuh manusia berfungsi menghasilkan sel lemak dan berperanan memberi amaran kepada individu sama ada tahap pengambilan makanan yang diambil sudah mencukupi atau berlebihan.

"Selain itu berat badan ideal juga boleh dicapai dengan mengamalkan diet ikan. Ini bermakna individu yang hanya makan ikan dapat merendahkan risiko obesiti berbanding golongan yang obses makan ayam atau daging," ulas Somers yang turut memberitahu diet ikan masih berada di tahap rendah di kalangan rakyat AS.

Sementara itu, Nur Aina Najha Ahmad Mukhtar, 26, yang tidak gemar makan ikan sejak berusia tujuh tahun menjelaskan: "Tidak dinafikan jika terlalu banyak makan ayam atau daging ia boleh menyebabkan penambahan berat badan, tetapi masalah kegemukan dapat diatasi sekiranya individu bijak memilih makanan yang ideal dan sihat.

"Saya lebih cenderung makan ayam dan daging, jadi sewaktu memasak atau membeli makanan saya pastikan makanan tersebut kurang berminyak dan berlemak. Kaedah ini dapat mengelakkan berat badan meningkat mendadak. Paling menggembirakan sehingga kini berat badan saya tidak pernah melebihi 48 kilogram (kg)," katanya yang geli pada ikan.

Berbicara mengenai kekurangan protein dalam dietnya, graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu menjelaskan, dia menggantikannya makanan berprotein yang lain seperti kacang soya, susu, keju dan tauhu.

Selain itu Nur Aina turut menyatakan dia tidak pernah mengalami sebarang penyakit atau kurang bermaya gara-gara kehilangan protein ikan. Saban hari sebelum memulakan aktiviti harian dia meminum segelas susu dan melebihkan sayur-sayuran dalam setiap hidangan.

Menurut pakar diet dari Hospital Pantai Ampang, Kuala Lumpur, Nor Lizawati Che 'Lah, selain masalah obes, pengambilan ayam dan daging yang tidak terkawal juga mengakibatkan penyakit jantung dan masalah kolesterol tinggi. Memandangkan ayam dan daging mempunyai kadar nutrisi, jumlah lemak tepu dan kolesterol yang berbeza daripada ikan.

SAZZY mengakui tubuhnya semakin cergas sejak mengamalkan makan ikan.



Menguatkan tulang

Sehubungan itu, Nor Lizawati menyarankan supaya makan lebih banyak ikan berbanding ayam dan daging.

Ikan merupakan salah satu sumber protein yang penting. Badan memerlukan protein untuk proses pertumbuhan, perkembangan dan pembaikan tisu, enzim dan hormon. Pada masa yang sama, ia membekalkan vitamin dan mineral untuk pembentukan tulang.

"Malangnya saya dapati kebanyakan masyarakat tempatan berpendapat kekuatan tulang hanya terbentuk dengan pengambilan kalsium dalam susu. Sedangkan, vitamin D dan vitamin K yang terdapat dalam ikan turut membantu menguatkan tulang.


"Misalnya, vitamin D dalam ikan air masin, ikan halibut, ikan tuna dan minyak hati ikan. Pengambilan vitamin D secara berterusan amat digalakkan bagi penyerapan dan penggunaan kalsium dan fosforus. Ia juga penting untuk tumbesaran tulang dan gigi kanak-kanak. Ia juga mencegah otot lemah dan ritma denyutan jantung dengan lebih baik," terang Nor Lizawati ketika ditemui Kosmo!.


Tegas Nor Lizawati individu tidak digalakkan mengehadkan satu-satu jenis ikan saja kerana setiap ikan itu mempunyai kandungan zat yang berbeza-beza untuk kesihatan tubuh .

Pengambilan ikan dalam sehari pula perlu bergantung kepada keperluan dan gaya hidup seseorang.
Makan ikan secara berterusan sama sekali tidak memudaratkan kesihatan. Cuma terdapat beberapa jenis ikan yang mungkin pengambilannya perlu dihadkan khususnya kanak-kanak dan wanita hamil.

NUR AINA tidak menggemari ikan sejak umurnya tujuh tahun.


Kumpulan pakar Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) dan Agensi Alam Sekitar AS menyatakan ikan yang tinggi paras merkuri harus dielakkan sama sekali kerana ia memberi kesan kepada tumbesaran kanak-kanak dan boleh perkembangan otak bayi dalam kandungan.


"Ikan todak, yu, salmon, tuna dan tenggiri antara ikan yang mempunyai paras merkuri yang tinggi. Walaupun rasanya enak dan isinya lembut tetapi semua ikan tersebut mengandungi sejenis logam cecair berbahaya yang memudaratkan kesihatan ibu dan kandungan melalui keracunan darah," kata Nor Lizawati yang menyarankan golongan vegetarian dan individu yang tidak menggemari ikan supaya menggantikannya dengan protein daripada produk-produk soya.


Kepada Pengurus Perundingan Perhubungan Awam di salah sebuah agensi pengiklanan, Subashini Rajandra, 30, yang mengamalkan makan sayur-sayuran (vegetarian) selama sedekad mengakui tidak memberi apa-apa kesan pada kesihatan tubuhnya.


Dia yang tidak makan makanan yang berasaskan haiwan termasuklah telur menggantikannya dengan sumber protein daripada vitamin dan makanan berasaskan soya.


"Kebanyakan sayur-sayuran hijau mempunyai kandungan protein walaupun kadar proteinnya tidak setinggi seperti ikan atau ayam. Bagi meningkatkan tenaga saya banyakkan makan kentang, labu dan soya," tambah Subashini yang memilih beras perang kerana proteinnya lebih tinggi berbanding beras biasa.

Selain menambah tenaga dan protein, beras perang juga membantu mengurangkan gula dalam badan.

Saturday, July 10, 2010

Efek dera tanduk kerbau


GARISAN merah yang terbentuk merupakan toksin-toksin yang keluar dari badan.


DENGAN garis-garis merah seperti birat, sekali pandang, mungkin ada yang menganggap seseorang itu teruk didera. Tapi jangan salah sangka, ini sebenarnya satu terapi urutan tradisional Cina yang dinamakan guasa.
Jika anda tersalah sangka, anda sebenarnya tidak keseorangan. Seorang doktor di Amerika Syarikat yang mengubati seorang kanak-kanak Cina terkejut apabila melihat birat merah begitu dan mendakwa kanak-kanak itu didera oleh bapanya.

Walaupun ia cuma watak dan babak dalam filem berbahasa Inggeris berjudul Guasa, namun jelas sekali bagi mereka yang kali pertama melihatnya boleh tersilap menduga.


Guasa diamalkan sebagai terapi merehatkan badan, mengesan penyakit dan merawat penyakit. Ia dilihat sebagai terapi pembaharuan molekul yang merangsang pembekalan oksigen, menyingkirkan toksin dan melancarkan pengaliran darah ke seluruh tubuh.

Urutan dilakukan menggunakan papan yang diperbuat daripada tanduk kerbau. Secara umumnya, fungsi terapi ini boleh dikatakan menyamai akupunktur dan bekam.


Terapi


Meskipun terapi ini tersebar luas di kalangan rakyat China sejak Dinasti Tang, namun ia boleh disifatkan masih dipandang tinggi dan diyakini oleh masyarakat China. Buktinya, dalam sukan besar seperti Sukan Asia, khidmat pakar terapi guasa turut diperlukan. Profesor Lu misalnya merupakan antara pakar terapi guasa yang diundang sebagai pakar perubatan Sukan Asia Beijing 1990.


Akhbar Cina Kwang Hwa Daily melaporkan, pakar guasa, Wang Yun Zi berkata, guasa boleh membuang toksin dalam badan dan mengekalkan kesihatan. Malah, dengan hanya dua bulan mengamalkan terapi guasa, pemulihan kesihatan dapat dilihat.


Tabib Cina tempatan, Ngau Heong yang mengambil inisiatif menulis buku guasa dalam bahasa Melayu bertajuk Kaedah Terapi Urut Guasa Tradisional Cina menyebutkan dalam bukunya bahawa guasa mempunyai keistimewaan tersendiri. Beliau mendakwa ia berasaskan kepada teori perubatan dan kaedah praktikal dengan bukti klinikal.


Di Malaysia, kaedah terapi ini semakin popular di kalangan masyarakat Melayu dan India. Terdapat beberapa testimoni daripada orang Melayu dan India yang mengamalkan guasa dalam buku berkenaan.


Pengamal guasa, Jamaluddin Ahmad yang sudah lapan tahun berpengalaman dan mendalami terapi itu memberitahu, beliau tertarik dengan guasa selepas diperkenalkan oleh seorang rakannya. Sejak mengamalkan guasa, bisa-bisa badan dan sendi yang dideritainya selama enam tahun akhirnya mulai berkurangan.


Terang Jamaluddin, ‘gua’ itu bermaksud gesek dan ‘sa’ pula ialah tempat yang sakit yang mengeluarkan bintik merah. Maka guasa ialah satu perbuatan menggesek pada badan sehingga mengeluarkan bintik merah yang merupakan toksin dalam badan.


“Teknik guasa mudah. Ia boleh dilakukan di mana-mana. Boleh lakukan sendiri atau minta orang lain lakukan bagi tempat yang sukar dicapai seperti bahagian belakang badan. Ia boleh dilakukan dengan berpakaian atau tidak.



“Sudah tentu urutan tidak beralas pakaian kesannya lebih baik,” katanya ketika melakukan demonstrasi pelaksanaan terapi asas guasa di pejabatnya di Jalan Kelang Lama, Kuala Lumpur.


Yin dan yang


Menurutnya, sesiapa sahaja (melainkan orang tua yang terlalu uzur, terlantar sakit atau ibu mengandung) digalakkan melakukan guasa. Cuma gesekan dilakukan mengikut usia dan personaliti individu. Jika seseorang itu muda dan kuat, gesekan boleh dilakukan secara lebih pantas dan sebaliknya.


Mengenai penggunaan papan yang diperbuat daripada tanduk kerbau, Jamaluddin berkata, tanduk kerbau dipilih kerana mengikut kajian perubatan China ia mempunyai elemen sejuk. Dalam masyarakat China menerusi konsep keharmonian bertentangan yin dan yang, badan disifatkan sebagai panas.


“Ia juga lebih baik daripada penggunaan bahan plastik yang bersifat elektrostatik yang mungkin mengganggu fungsi tubuh dalam reaksi dengan guasa. Ada juga yang menggesek dengan bahan-bahan yang mahal seperti jed dan ada yang gesek menggunakan bahan seperti duit syiling tetapi takut ia mencederakan kulit,” katanya.


Jamaluddin memberitahu, guasa bertindak seperti mengenal pasti titik-titik bahagian tubuh dalam akupunktur namun ia lebih mudah kerana ia bukan mengesan titik sebaliknya melakukan gesekan pada meridian titik iaitu garisan yang menghubungkan titik-titik bahagian badan itu.

GUASA juga boleh diamalkan untuk kecantikan wajah.


Gesekan


“Terapi asas guasa bukan sahaja dapat melegakan tekanan tubuh kerana ia dapat menyingkirkan toksin berupa sel-sel tubuh yang mati dan terhimpun pada tubuh yang mengganggu pengaliran darah.


“Terapi juga dapat mengesan penyakit. Rawatan guasa merupakan langkah seterusnya yang sukar untuk dijelaskan di sini kerana gesekan perlu dilakukan di bahagian-bahagian tubuh berlainan dan melibatkan 400 penyakit termasuk migrain, sakit tulang, insomnia, barah payu dara, mati pucuk, buasir, masalah paru-paru, jantung, usus dan banyak lagi,” katanya.


Menunjukkan terapi asas, ia dimulakan dengan gesekan pada bahagian kepala model pesakit. Kepala digesek menghala dari belakang ke depan bermula bahagian atas tengah diikuti kiri dan kanan kepala. Gesekan dilakukan pada setiap bahagian di antara 20 hingga 30 kali. Jika gesekan berjalan lancar ia mungkin menunjukkan pesakit tidak ada masalah penyakit kepala seperti migrain.


Kemudian beralih ke bahagian belakang tubuh badan. Gesekan dilakukan pada tulang belakang dari atas ke bawah. Semasa gesekan dilakukan kelihatan warna-warna merah keluar dari tubuh badan pesakit.


Selepas selesai bahagian tulang belakang, ambil jarak dalam dua jari ke kiri badan dan lakukan gesekan di
bahagian tersebut membentuk garisan selari dengan garisan tulang belakang tadi. Selepas itu, ambil jarak dua jari ke kanan badan dan buat perkara yang sama.


“Bintik-bintik merah gelap dan lebam menunjukkan ada penyakit yang lebih serius. Misalnya, jika terdapat warna merah yang sangat teruk di garisan kanan badan, ia menunjukkan pesakit ada masalah paru-paru manakala di bahagian kiri badan menunjukkan masalah jantung,” katanya.


Selepas itu, buat urutan terapi guasa di bahagian bahu dengan gerakan dari dalam ke luar bermula dengan bahu kiri dan kemudian bahu kanan. Kawasan ini menunjukkan masalah usus.


Walaupun ia nampak seperti birat namun ia tidak pedih apabila disentuh atau terkena air,
Jamaluddin berkata, guasa juga boleh dilakukan untuk kecantikan wajah dengan melakukan terapi wajah guasa. Gesekan lembut pada wajah mampu menjadikan wajah lebih awet muda. Gesekan 10 kali dilakukan pada bahagian-bahagian muka.


Model pesakit, Islamuddin Mohamad Yusop, 29, memberitahu, beliau memang mengamalkan guasa untuk mengurangkan masalah migrainnya.


"Sejak zaman sekolah lagi saya migrain, tetapi sejak amalkan terapi guasa pada 2005, masalah saya semakin berkurangan,” katanya.

Sengat tebuan rawat penyakit


HOMEOPATI yang bersifat holistik semakin menjadi pilihan rakyat Malaysia yang mahukan rawatan alternatif.


BAGI individu yang ingin mencuba alternatif perubatan moden, homeopati mungkin satu pilihan yang baik. Perubatan homeopati dikatakan mampu menguatkan daya tahan tubuh untuk melawan penyakit sekali gus menyembuhkan penyakit yang dihidapi sehingga ke akar umbi.


Homeopati merupakan rawatan holistik yang memberi tumpuan lebih kepada pesakit berbanding penyakit yang dihidapi.



Menurut pakar homeopati, Dr. Nik Fairuz Nik Omar yang berpengalaman selama lebih 10 tahun dalam bidang ini, kelebihan rawatan homeopati ialah ubat-ubatan yang digunakan tidak mengandungi bahan toksik dan dadah.


Ini secara tidak langsung menjadikan rawatan itu lebih selamat dan boleh diambil oleh semua golongan tanpa mengira peringkat umur.


Ujarnya, ubat-ubatan yang digunakan bersumberkan tumbuh-tumbuhan, garam galian, haiwan dan sel-sel terpilih.


"Antara tumbuh-tumbuhan yang digunakan ialah bawang putih, bawang merah, bunga matahari dan lada hitam.


Sotong


"Bagi garam galian pula ia terdiri daripada kapur, magnesium, sulfur dan sebagainya.


"Ubatan bersumberkan haiwan pula ialah dakwat sotong, sengat tebuan, labah-labah dan bisa ular yang mampu merawat penyakit tertentu," katanya sambil menambah, kini perubatan itu juga menggunakan kuasa solar dan laser.


Jelas Nik Fairuz, kaedah rawatan homeopati berfungsi dengan mengenal pasti simptom penyakit iaitu simptom fizikal dan mental.


"Simptom berbentuk fizikal membolehkan penyakit dikenal pasti secara jelas seperti lebam atau kemerah-merahan, bengkak dan mata merah.


"Untuk mental pula, rasa sakit yang mereka alami dan bagaimana mereka menanganinya," ujarnya.
Nik Fairuz memberitahu, semasa merawat pesakit, beliau akan bercakap dengan mereka dan menilai pesakit itu berdasarkan bentuk tubuh, kelakuan dan emosi mereka sebelum memilih penawar mengikut simptom yang wujud.


"Tetapi tidak semestinya semua simptom yang disenaraikan bagi satu-satu penawar adalah pilihan yang tepat, tetapi persamaan gejala sudah memadai untuk membantu doktor memilih penawarnya," katanya.


Ini sekali gus merawat pesakit menerusi proses perangsang tenaga hayat yang wujud secara semula jadi di dalam badan manusia.


Tenaga itu menjadikan tubuh lebih kuat, aktif dan mempunyai keupayaan melawan penyakit di samping mengatur sistem peredaran darah, sistem hormon serta saraf.

NIK FAIRUZ


"Sebahagian besar pesakit yang mendapatkan rawatan terdiri daripada mereka yang mengalami penyakit yang berkaitan dengan saraf, pinggang, kencing manis, migrain dan demam.


"Tempoh untuk pesakit pulih pula bergantung pada keadaan pesakit selain mengambil ubat mengikut tempoh yang telah ditetapkan," katanya.

Murah

Sementara itu, seorang lagi pakar homeopati, Dr. Azman Mohamad memberitahu, rawatan homeopati merupakan salah satu perubatan alternatif bagi mereka yang ingin beralih daripada perubatan moden.


Beliau yang mengusahakan klinik rawatan homeopati selama lebih 10 tahun di Ipoh, Perak mendakwa rawatan tersebut bukan merawat pesakit tetapi membantu memulihkan sistem tubuh seseorang supaya dapat berfungsi dengan lebih optimum.


Ujarnya lagi, kaedah rawatan homeopati berfungsi dengan membuang racun-racun toksik dalam tubuh serta memulihkan fungsi organ seperti buah pinggang, hati dan jantung supaya kembali normal selepas lama terdedah kepada asap kenderaan, rokok dan pengambilan makanan yang tidak sihat.

Katanya, semua ini secara tidak langsung meningkatkan sistem pertahanan tubuh bagi melawan penyakit.
"Homeopati merawat pesakit yang mengalami penyakit yang paling ringan seperti demam dan juga yang paling kronik seperti penyakit ketumbuhan dalam otak dan kanser rahim.


"Saya berpengalaman merawat penyakit batu hempedu dan buah pinggang hanya dengan pembedahan kecil tanpa menggunakan laser. Proses rawatan itu hanya mengambil masa tidak sampai 24 jam," katanya.

RAWATAN homeopati banyak menggunakan ubat-ubatan berasaskan herba.


Katanya lagi, harga ubat-ubatan homeopati juga tidak semahal mana iaitu di antara RM30 hingga RM50 dan boleh digunakan sehingga dua bulan.


"Namun, pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah semasa membantu merawat seorang pesakit wanita yang menderita kanser serviks yang dikatakan tidak dapat disembuhkan.


"Syukur dia pulih semula selepas rawatan selama tiga bulan dan hidup sampai sekarang. Namun, semua ini adalah ketentuan Allah, bukan saya," ujarnya.

Sejarah sel stem


Seorang lelaki menjalani rawatan sel stem untuk merawat kakinya yang lumpuh.


Sel stem merupakan satu bidang bioteknologi yang sudah lama diperkenalkan di dunia. Sel stem yang diperkenalkan di Malaysia beberapa tahun lepas menjadi jalan penyelesaian kepada beberapa pemasalahan penyakit terutama berkaitan genetik.


Kira-kira 20 tahun lalu, saintis dan penyelidik mendapati darah tali pusat mengandungi banyak sel termasuk sel stem. Pada tahun 1998 pula, sekumpulan ahli perubatan Perancis berjaya melakukan pemindahan sel stem bagi pesakit fanconi anemia.


Pada tahun 1997, Hospital Universiti (kini Pusat Perubatan Universiti Malaya - PPUM) berjaya melakukan pemindahan sel stem darah tali pusat kepada seorang pesakit talasemia major yang didermakan daripada adiknya yang baru lahir.


Begitu juga pada tahun 2005, buat pertama kalinya, PPUM berjaya melakukan pemindahan sel stem darah periferal alogenik daripada penderma yang tidak mempunyai hubungan persaudaraan dengan pesakit yang menderita leukemia.


Sel stem ialah sel kosong berbanding sel-sel lain yang bersifat tersendiri dan berkeupayaan terbahagi dan menghasilkan rangsangan pembentukan sel-sel lain seperti dalam darah merah dan sel darah putih.


Darah di dalam tali pusat bayi adalah sumber sel stem yang sangat bernilai secara genetiknya.
Sel ini yang ada di dalam tali pusat adalah building block kepada darah dan sistem pertahanan yang biasanya akan ditukarkan kepada sel darah merah, sel darah putih dan platelet, iaitu sel yang akan memulihkan kecederaan.


Oleh itu ia boleh digunakan untuk merawat sel-sel dan tisu-tisu gantian bagi merawat 70 jenis penyakit seperti parkinson, alzheimer, leukemia, angin ahmar, serangan jantung, kencing manis, penyakit darah (barah, talasemia, anemia), sklerosis berbahagi, artritis reumatoid dan lumpuh saraf tunjang.