"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Monday, June 21, 2010

Mampu membunuh dalam senyap




KIRA-KIRA 20 tahun lalu, Daniel Chong dikejutkan dengan berita bahawa rakan baiknya terlibat dalam kemalangan jalan raya dan kehilangan banyak darah.
Atas semangat setiakawan, dia bergegas ke hospital berkenaan untuk mendermakan darah bagi menyelamatkan nyawa rakannya. Namun niat murninya itu berakhir tanpa dilunaskan apabila dia sendiri terpaksa ditahan di hospital yang sama gara-gara menunjukkan petanda hipertensi.
"Alangkah terkejutnya saya ketika itu kerana saya langsung tidak mengalami sebarang simptom yang berkaitan dengan hipertensi sebelumnya. Doktor memberitahu dengan bacaan tekanan darah 190, saya berisiko mendapat serangan strok minor.
"Cuma saya perasan, imej yang saya pandang kelihatan semakin mengecil dan mengalami pening-pening biasa. Keadaan itu kemudian hilang apabila saya berjalan-jalan dan berehat sebentar," katanya yang kini berusia 52 tahun.
Tambahnya, penyakit darah tingginya itu diwarisi daripada ibunya yang menghidap hipertensi selain faktor penyumbang lain seperti tekanan kerja dan gaya hidup tidak sihat.
Bagi Zubaidah Omar, 56, yang merupakan seorang guru, dia tidak menyedari bahawa dirinya mempunyai penyakit tekanan darah tinggi sehinggalah dia berjumpa dengan doktor kerana mengalami kebas di bahagian kepala.
"Ketika itulah, doktor memberitahu saya mempunyai penyakit darah tinggi dengan kadar tekanan 190 berbanding tekanan normal 120 dan mempunyai risiko strok jika lambat mendapatkan rawatan.
"Saya diberikan ubat, tetapi apabila tekanan darah sudah normal saya jarang mengambil ubat. Sehinggalah pada satu masa ia kembali naik," katanya yang hanya menyedari menghidap penyakit itu dua tahun lalu.
Hipertensi atau darah tinggi yang merupakan pembunuh senyap merujuk kepada tahap tekanan darah yang meningkat lebih tinggi dari tahap biasa secara kronik.
Pesakit yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga bacaan tekanan darah yang melebihi 140/90mmHg semasa keadaan rehat dijangka mempunyai keadaan darah tinggi.
Pakar Kardiologi dan Pengarah Klinikal Perkhidmatan Kecemasan Jantung, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Azhari Rosman memberitahu, hipertensi merupakan sejenis penyakit yang menyebabkan tekanan darah melebihi tekanan normal.
"Tekanan darah memang penting untuk menyalurkan darah kepada otot dan kepada organ-organ penting terutamanya otak, jantung dan buah pinggang.

SOKONGAN keluarga dan pengambilan makanan seimbang mampu menyumbang kepada paras kesihatan yang lebih baik.


"Tetapi kalau darah terlalu tinggi, lama-kelamaan keadaan tersebut boleh merosakkan organ-organ penting, yang paling ketara sekali ia boleh merosakkan pembuluh darah itu sendiri," katanya.
Tambahnya, paras kolestrol yang tidak terkawal juga boleh menyebabkan pembuluh darah menjadi keras akibat penebalan kolestrol (arteriosklerosis) yang menyumbang kepada kerosakan organ.
"Hipertensi pada awalnya memang tiada sebarang gejala. Kalau kita tidak rawat dari awal, insiden kali pertama boleh terjadi dalam bentuk komplikasi seperti serangan jantung, kegagalan jantung, strok dan kerosakan buah pinggang.
"Keadaan tersebut boleh berlaku seberapa cepat bergantung kepada berapa tinggi tahap hipertensi dan berapa lama seseorang pesakit itu mengalaminya. Komplikasi tersebut akan berlaku dengan cepat apabila seseorang pesakit itu mempunyai penyakit-penyakit lain seperti kencing manis dan merokok," jelasnya.
Banyak faktor yang boleh menyumbang kepada hipertensi iaitu keturunan, berat badan, tahap stres dan gaya hidup.
Menurutnya, hipertensi bukan seperti selesema. Hipertensi sudah bertapak lama dalam diri seseorang pesakit tanpa disedari. Jika hipertensi berada di peringkat awal, boleh dikawal dengan perubahan gaya hidup seperti senaman 120 minit seminggu, kurangkan makanan bergaram dan berkolesterol.
"Kerosakan sudah mula berlaku tetapi tidak semestinya ia akan menimbulkan strok kecuali apabila umur meningkat. Hanya sebahagian kecil penghidap hipertensi menunjukkan gejala yang tidak beberapa ketara seperti pening kepala, mabuk dan kabur mata.
"Oleh yang demikian, kita perlu sentiasa periksa tekanan darah lebih-lebih lagi mereka yang menjangkau usia 30 tahun terutamanya kepada mereka yang mempunyai sejarah keluarga supaya hipertensi boleh dikesan dan dicegah pada awal lagi," ujarnya.
Azhari memberitahu penyakit ini tidak akan hilang dan dalam kebanyakan kes ia boleh diklasifikasikan sebagai penyakit seumur hidup kerana seseorang penghidap hipertensi itu perlu bergantung pada ubat bagi mengawal tekanan darahnya.

RAWATAN dan pemeriksaan awal amat penting untuk memastikan keadaan hipertensi itu tidak berlarutan dan menjadi lebih buruk.


"Penyakit ini bukan seperti selesema, hari ini dapat minggu depan sudah baik dan boleh berhenti ubat. Ini penyakit seumur hidup, sentiasa kena jumpa doktor, makan ubat, amalkan gaya hidup sihat.
"Jika ada di antara penghidap hipertensi mahu mengamalkan ubat tradisional seperti herba hempedu bumi, tunjuk langit, misai kucing dan sebagainya, mereka perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu. Jangan sesekali berhenti mengambil ubat," pesannya.
Beliau mempamerkan kebimbangannya berhubung peningkatan penghidap hipertensi saban tahun memandangkan amalan hidup dan pemakanan yang tidak sihat diterapkan oleh ibu bapa kini terhadap anak masing-masing.
Katanya, kemungkinan pada masa akan datang risiko untuk mendapat hipertensi lebih awal.
"Kini, rakyat Malaysia belum merasai impak penyakit ini sepenuhnya. Kita akan merasai impaknya 15 tahun akan datang memandangkan kumpulan sekarang yang melalui cara hidup kurang sihat
"Dalam jangka masa 10 tahun akan datang, lebih ramai kelompok orang muda menghidapi penyakit ini dan terdedah kepada risiko strok, sakit jantung serta kegagalan buah pinggang.
"Hipertensi bukan lagi sakit yang menyerang orang tua, malah orang muda juga berpotensi untuk mengalaminya jika gaya hidup sihat tidak diamalkan," katanya.

Cantik dengan laser




Baru-baru ini saya ada terbaca satu artikel mengenai faktor yang menyebabkan kita nampak lebih tua daripada usia sebenar. Kajian Dr. Bernard Fink, pakar psikologi dari University of Goettingham, Jerman; dan Dr. Paul Matts dari Procter & Gamble menunjukkan ada dua faktor utama menyumbang ke arah itu iaitu:

  • Pigmentasi dan ton kulit tidak sekata.

  • Kedut atau garisan kedut pada muka.

  • Memang tidak dapat dinafikan apabila wanita mahupun lelaki meningkat usia, garis-garis pada wajah menyebabkan mereka nampak lagi berusia. Sepanjang khidmat saya membantu wanita dan lelaki nampak lebih cantik, muda dan bergaya , saya mengesyorkan rawatan bagi mengurangkan kedut-kedut pada wajah dan membantu mereka untuk mendapat ton sekata dan menghilangkan pigmentasi kulit.
    Rawatan bagi mendapatkan ton sekata pada kulit amat mencabar. Apabila wanita semakin berusia, bukan sahaja jisim tulang mereka semakin berkurangan tetapi jumlah kolagen pada lapisan bawah kulit juga menipis menyebabkan kulit semakin berkedut. Kesan kedut akan lebih ketara apabila seseorang wanita menopaus, di mana pengurangan hormon wanita menyumbang pengurangan keanjalan kulit. Bagi lelaki faktor penuaan turut menyumbang kepada masalah kedutan, pigmentasi kulit dan juga tompokan kehitaman pada kulit wajah.
    Sejak kebelakangan ini, masalah ton kulit tidak sekata dan pigmentasi semakin menjadi-jadi. Ia disebabkan pengunaan produk kecantikan yang mengandungi bahan tidak diluluskan kerajaan seperti tretinoin dan hidroquinone serta pemanasan global. Sememangnya cahaya matahari adalah salah satu punca utama pigmentasi dan ton warna muka tidak sekata. Apabila sel-sel kulit didedahkan kepada pancaran matahari cahaya ultra ungu yang terdapat di dalamnya akan merangsang sel-sel kulit yang bertanggungjawab membentuk warna pada kulit kita yang dinamakan malanocyte. Sebenarnya sel malanocyte penting sebagai mekanisme pertahanan kulit. Warna yang dikeluarkan menjadikan kulit lebih kuat dan berdaya tahan melawan kanser dan sakit kulit. Namun apabila ia menjadi terlalu aktif maka ia amatlah menghodohkan kulit disebabkan kesan tompokan hitam.
    Dalam penulisan sebelum ini saya banyak menceritakan hal serdev dan terapi hormon untuk melawan kedutan muka. Saya yakin ramai antara kita telah pun mengetahui mengenai teknik serdev yang amat berkesan bagi mengangkat kembali muka yang telah jatuh. Teknik ini menggunakan benang yang diperbuat daripada protein dan hasilnya boleh bertahan melebihi 10 tahun lamanya. Bioidentical hormon pula merupakan hormon yang baik bagi meningkatkan kecergasan kita.
    Ramai pembaca menghantar e-mel dan menelefon bertanya rawatan yang sesuai bagi kulit berjeragat, pigmentasi dan ton kulit tidak sekata. Mereka ada banyak membaca tentang rawatan terkini menghilangkan pigmentasi dengan menggunakan laser. Oleh kerana terdapat pelbagai jenis laser dan banyak mendengar salon kecantikan menggunakan laser, maka mereka pun ingin mengetahui dengan lebih lanjut kerana keliru dengan pelbagai pilihan yang ada.
    Pada awal bulan lepas saya terserempak dengan kawan lama semasa menghadiri 7th Malaysian Conference and Exhibition on Anti-Aging, Aesthetic and Regenerative Medicine di Kuala Lumpur. Kongres itu dinaungi oleh Persatuan Perubatan Anti Penuaan yang berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan. Ia bertujuan memberi lebih pendedahan kepada doktor yang mendalami perubatan estetik. Sahabat saya merupakan seorang pengamal perubatan di Kuantan, Pahang yang menggunakan banyak laser untuk merawat masalah kecantikan. Walaupun perjumpaan itu singkat namun saya sempat diberi penerangan mengenai laser .
    Untuk meyakinkan saya lagi, beliau telah berkongsi beberapa gambar pesakit yang menerima rawatan laser untuk pigmentasi. Sungguh menakjubkan dalam masa 10 minggu segala masalah pigmentasi boleh diselesaikan. Saya berterima kasih kepada Dr. Shaharum Sulaiman kerana berkongsi pengalaman merawat pigmentasi menggunakan laser.
    Apakah laser
    Laser terhasil apabila cahaya melalui satu medium yang berupa gas. Oleh kerana terdapat banyak jenis gas maka laser yang terhasil juga akan menjadi pelbagai bergantung kepada jenis gas yang digunakan. Sebagai contoh gas CO2 (karbon dioksida) menghasilkan jenis laser yang dinamakan Laser CO2.
    Manakala gas helium menghasilkan laser yang dinamakan Laser Helium. Dalam dunia perubatan laser turut dikelaskan mengikut gred iaitu kelas 1 dan 2 adalah laser yang tidak kuat. Kelas 3 dan 4 pula laser yang kuat dan memerlukan latihan yang cukup sebelum menggunakannya. Kerana itulah para doktor yang terlibat dengan laser mengikuti kursus dan memperoleh sijil kelayakan. Laser yang sering digunakan dalam perubatan estetik adalah laser lipolisis (Deka) bagi memecahkan lemak pada bahagian tertentu tubuh. Setelah lemak dipecahkan ia akan di sedut keluar. Laser lain terdiri daripada kategori laser Alma laser yang sangat bagus. Di klinik saya saya menggunakan sistem Soprano yang mempunyai banyak kegunaannya. Ia boleh menghapuskan bulu roma secara kekal dan memutihkan kulit dengan bertindak mengurangkan keaktifan melanosit dalam kulit. Satu lagi kegunaannya ialah meningkatkan kolagen dengan stimulasi pada kulit. Ia meningkatkan kolagen dan menjadikan kulit lebih tegang. Ini menjadikan soprano bukan sahaja sesuai untuk membuang bulu roma pada mana-mana bahagian kulit malah turut memutihkan kulit berbanding sistem lain. Ada juga laser daripada Alma yang bertindak menghapuskan bintik hitam pada kulit seperti sahabat saya menggunakan sistem laser dinamakan Medlight iaitu satu sistem yang terbaik bagi menghapuskan pigmentasi kulit.
    Sebenarnya laser sangat sinonim dalam kehidupan kita. Kalau ke pusat membeli-belah misalnya, penggunaan laser yang diguna pakai pada mesin pengimbas menjadikan urusan jual beli berjalan lebih lancar. Bayangkan kalau kita masih menggunakan mesin kira, sudah tentulah urusan menjadi sangat lambat. Begitu juga dalam urusan seharian di rumah, laser digunakan dalam aplikasi alat kawalan jauh.
    Di hospital pula laser memudahkan para doktor membuat pembedahan pada organ yang rumit seperti jantung dan mata. Seorang sahabat saya yang merupakan pakar mata memberitahu dengan adanya laser orang yang kabur penglihatannya boleh melihat dengan jelas semula. Beliau memuji teknik Lasix yang digunakan dengan meluas bagi membentuk semula kanta mata. Hasilnya mata menjadi terang dan kita dapat melihat dengan jelas semula tanpa cermin mata.

    Panduan atasi artritis




    Ibu saya seorang penghidap artritis (sakit sendi lutut) sejak beberapa tahun lalu. Keadaan ini agak menjejaskan kualiti kehidupan seharian. Apakah panduan yang boleh diamalkan bagi meringankan bebanan yang di tanggung penghidap artritis?
    Jawapan

    Bagi meringankan simptom-simptom osteoartritis, penghidap seharusnya meminimumkan sebarang aktiviti berat. Tidak ketinggalan juga, penghidap juga boleh membuat senaman yang sesuai bagi mengekal dan memperbaiki pergerakan sendi dengan regim penguatan sendi dan senaman regangan.
    Selain perubahan gaya hidup, amalan pemakanan dan pengambilan suplemen yang sesuai juga penting bagi melegakan penyakit osteoartritis. Pakar-pakar kesihatan menganggap glukosamin dan kondroitin sulfat sebagai suplemen popular untuk artritis. Kajian membuktikan keupayaan glukosamin dalam memperbaiki simptom-simptom osteoartritis serta melambatkan perkembangan osteoartritis.
    Kajian menunjukkan pengambilan sebanyak 1500 miligram glukosamin sehari boleh mengurangkan simptom osteoartritis tahap ringan dan sederhana. Glukosamin berkesan untuk melegakan kesakitan dan keradangan, meningkatkan pergerakan dan membantu dalam memperbaiki serta mengekalkan rawan. Ini adalah kerana glukosamin telah dibuktikan boleh merangsang pembentukan dan pembaikan rawan tulang.
    Manakala, kombinasi glukosamin dan kondroitin sulfat pula didapati lebih berkesan sebagai rawatan osteoartritis pada tahap sederhana dan serius berbanding dengan glukosamin sahaja atau Celecoxib, sejenis ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDS) yang memberi kelegaan sementara. Penemuan ini adalah hasil kajian GAIT (Glucosamine/chondroitin Artritis Intervention Trial) yang dijalankan di Amerika Syarikat atas tajaan The National Institutes of Health (NIH).

    Cantik dengan limau nipis

    Mengempiskan perut
    Mungkin anda boleh mengamalkan perahan limau nipis yang dicampur dengan teh tanpa gula dan diminum setiap hari. Sebaik-baiknya biarlah teh yang diminum itu teh panas suam, kesannya lebih cepat. Ia dikatakan dapat mengempiskan dan mengemaskan bentuk perut.
    Pulih kulit wajah
    Ramai yang menghadapi masalah kulit wajah terbakar kerana cuaca yang panas. Mungkin anda boleh bancuh sebati sedikit tepung gandum bersama madu dan putih telur serta air limau nipis. Sapu bancuhan pada seluruh muka kecuali bahagian mata dan mulut. Biar kering baru cuci dengan air bersih.
    Hilangkan Bau Kaki
    Untuk mengatasi bau kaki akibat sering memakai sarung kaki dan kasut bertutup, gunakan limau nipis. Ambil limau nipis, hiris dan gosokkan pada kaki.
    Mewangikan rambut
    Mungkin ramai tidak tahu limau nipis juga boleh mewangikan rambut. Ambil beberapa biji limau nipis dan hiriskan. Kemudian gosokkan ke seluruh kepala. Biarkan beberapa minit, kemudian barulah cuci hingga bersih. Selain mewangikan rambut, limau nipis juga boleh menghilangkan rasa pening serta menyejukkan kepala.

    Vaksin empat penyakit


    VAKSIN kombinasi baru demam campak, beguk, rubela dan cacar air antara perlindungan berterusan.


    DEMAM campak, beguk, rubela dan cacar air adalah empat penyakit berjangkit yang serius yang menggugat kesihatan berjuta individu di seluruh dunia dan menyebabkan penderitaan yang amat sangat.
    Pada tahun 2008, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencatatkan 334 kes demam campak di Malaysia dengan anggaran kematian sebanyak 164,000 di seluruh dunia. Walaupun kematian akibat beguk adalah jarang sekali, penyakit itu boleh dikaitkan dengan beberapa komplikasi dan masih berlaku di negara-negara membangun . Menurut WHO dan UNICEF, lebih daripada 830,000 kes rubela dilaporkan di 123 negara pada 2001, manakala 60 juta kes dianggarkan bagi kes cacar air yang berlaku setiap tahun sebelum pelalian cacar air diamalkan secara besar-besaran .
    Menurut Doktor Pakar Kanak-Kanak, Datuk Dr Musa Mohd Nordin, ramai yang berpendapat bahawa cacar air adalah sejenis penyakit ringan di kalangan kanak-kanak.
    "Ia sebenarnya membebankan iaitu dalam erti kata penderitaan seperti ketinggalan waktu di sekolah bagi seorang kanak-kanak, ketinggalan waktu kerja bagi ibubapa dan kos serta kebimbangan menguruskan kes yang teruk amatlah tinggi," ujar beliau pada majlis pelancaran vaksin kombinasi baru demam campak, beguk, rubela dan cacar air, Priorix Tetra baru baru ini di Hotel One World.
    Priorix Tetra dari GlaxoSmithKline Pharmaceuticals (GSK), sejenis vaksin baru yang memberikan perlindungan yang lebih mudah terhadap campak, beguk, rubela dan cacar air tanpa kesusahan bagi suntikan tambahan untuk kanak-kanak antara sembilan bulan dan 12 tahun.
    Lebih baik
    Ia menggabungkan vaksin cacar air dengan dua dos mandatori yang diperlukan untuk demam campak, beguk dan rubela (MMR) bagi perlindungan yang lebih baik dan berterusan untuk menentang cacar air.
    Tambah Dr. Musa, vaksin MMR sedia ada adalah vaksin wajib yang tersenarai dalam Program Imunisasi Tambahan Malaysia (EPI) sejak 2002. Ia diberikan kepada kanak-kanak dalam dua dos, sekali pada usia 12 bulan dan yang kedua pada usia tujuh tahun.
    "Priorix Tetra memberikan kemudahan kepada ibu bapa dengan pilihan satu suntikan berbanding dua suntikan yang diamalkan sekarang bagi kanak-kanak untuk melindungi mereka secara berkesan terhadap empat penyakit sekali gus," katanya
    Sementara itu, Pakar Perunding Kesihatan Umum serta Pengarah Bahagian Kajian Klinikal dan Pembangunan dan Hal Ehwal Perubatan bagi GSK Biologicals, Singapora, Malaysia dan Brunei, Dr Teoh Yee Leong, berkata Priorix Tetra memberikan kemudahan kepada ibubapa.
    "Dengan pilihan satu suntikan berbanding dua suntikan yang diamalkan sekarang bagi kanak-kanak untuk melindungi mereka secara berkesan terhadap empat jenis penyakit sekali gus. Dengan kurangnya suntikan, seseorang kanak-kanak itu tidak perlu melalui lebih banyak kesakitan dari yang diperlukan dan secara langsung mengurangkan keresahan yang dihadapi ibubapa ketika mendedahkan anak mereka untuk pelalian itu," jelas beliau.