"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, May 29, 2010

Panas kimoterapi bagai demam tidak kebah

KETIKA didiagnosis menghidap kanser payu dara pada 2005, Noor Asikin Kadir masih mampu bertenang dan reda dengan ketentuan-Nya.

Cerita petugas paramedik

MENJADI sebahagian daripada kumpulan paramedik yang pergi ke lokasi untuk memberikan rawatan awal, jururawat PPUM, Jamiah Osman pernah berdepan dengan banyak kes kehilangan darah, kebanyakannya disebabkan oleh kemalangan jalan raya.

"Salah satu kejadian yang tidak dapat saya lupakan berlaku pada tahun kelima saya bertugas sebagai anggota paramedik.

"Selalunya, jika ada panggilan kecemasan, seorang jururawat atau Penolong Pegawai Perubatan, atendan dan pemandu ambulans akan pergi ke lokasi.

"Pada hari itu berlaku satu kemalangan melibatkan motosikal dan kereta.

"Sampai saja di lokasi kejadian, saya lihat penunggang motosikal itu masih sedar walaupun bahagian atas paha sebelah kakinya telah hancur," ceritanya.

Melihat daging yang merah dilumuri darah dengan tulang yang terbonjol keluar dilapisi cebisan daging nipis yang masih melekat, Jamiah perlu cekap memberikan bantuan kecemasan memandangkan mangsa kehilangan banyak darah.

"Saya perlu cepat menghentikan pendarahan mangsa dengan memberi tekanan pada kawasan berdarah. Saya membalut kejap bahagian daging yang terbuka itu berkali-kali untuk mematikan ia cukup kuat untuk hentikan darah.

"Apabila dimasukkan ke dalam ambulans, cecair gantian segera dimasukkan pada tubuh mangsa untuk menggantikan semula darah yang telah hilang.

"Alhamdulillah, mangsa hidup walaupun dia kehilangan kaki," ujarnya.

Bagi Penolong Pegawai Perubatan di HKL, M. Kuyilan, pengalaman mengendalikan mangsa hilang darah kelas empat beberapa tahun lalu masih segar dalam ingatan.

"Hari itu saya bertugas di hospital. Satu panggilan kecemasan diterima mengatakan ada seorang pekerja binaan terjatuh dari bangunan.

"Bagi mengelak banyak masa terbuang, rakan-rakan mangsa telah menghantarnya ke HKL dengan mangsa terbaring di belakang lori.

"Keadaannya ketika itu kritikal kerana tengkuknya patah dan berlaku banyak pendarahan. Nasibnya baik kerana mangsa terus dikejarkan ke hospital.

"Sampai saja di zon merah, pasukan trauma terus memberikan rawatan kecemasan dan akhirnya nyawa pekerja bangunan itu dapat diselamatkan," ujarnya.

Maut hilang darah

PETANG itu, Rosilah Alam, 28, sedang makan tengah hari sementara menunggu anaknya, Muhammad Rusydi Asyraf Mohd. Azrul Fahsha, sembilan tahun, selesai mandi di rumah mereka di Lembah Subang, Petaling Jaya, Selangor.

Sudah menjadi rutin buat anak lelakinya itu mandi selepas pulang dari sekolah sebelum makan tengah hari bersama ibunya.

Namun, pada 19 Mei lalu, lebih kurang pukul 2 petang, pelajar tahun tiga Sekolah Kebangsaan Bukit Bintang itu tergelincir di bilik air. Lebih malang lagi, mangkuk sinki seramik yang menjadi tempat Rusydi berpaut turut terjatuh dan menghempap kaki kanannya.

Rosilah yang terdengar jeritan meminta tolong daripada anaknya itu panik kerana pintu bilik air berkunci dari dalam dan dia terpaksa meminta pertolongan jiran untuk memecahkan pintu itu.

KECEKAPAN anggota paramedik memberi rawatan kecemasan di lokasi kemalangan boleh mengurangkan risiko kematian.

Arteri

Sebaik sahaja melihat tubuh Rusydi yang berlumuran darah, si ibu cuba menenangkan si anak dan mendukungnya ke klinik berhampiran.

Hanya satu saja doa Rosilah ketika itu iaitu semoga Rusydi selamat. Rusydi kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) namun disahkan meninggal dunia lebih kurang pukul 9 malam.

Kisah Rusydi itu telah meruntun hati ramai ibu bapa di negara ini. Sesetengah mereka masih keliru bagaimana kecederaan di kaki boleh membawa maut?

Menurut Ketua Pusat Tanggungjawab Trauma dan Kecemasan PPUM, Dr. Mohd. Idzwan Zakaria, kecederaan yang dialami Rusydi itu bukan luka biasa.

"Kecederaan mangsa sangat serius sehingga menyebabkan arteri di kakinya terkoyak selain urat di paha terputus," ujarnya.

Arteri adalah saluran darah yang membawa darah yang mengandungi oksigen keluar daripada jantung untuk dialirkan ke seluruh badan.

Jelas Idzwan lagi, semasa tiba di PPUM pada pukul 3.30 petang, kanak-kanak itu sudah tidak bernadi, anak matanya statik dan terbeliak malah degupan jantungnya juga sudah terhenti.

PENDERMA darah perlu minum air dalam kuantiti yang banyak bagi menggantikan darah yang telah didermakan.

"Keadaannya tenat dan kritikal. Namun, doktor pakar yang bertugas dapat melakukan resusitasi iaitu menstabilkan pesakit dengan mengembalikan degupan jantung dan denyutan nadinya.

"Selepas tubuh pesakit stabil, baru dia boleh dibawa ke bilik pembedahan," katanya ketika ditemui Jurnal.

Menceritakan semula senario di unitnya pada hari kejadian, Idzwan berkata, Rusydi dibawa ke bilik pembedahan pada pukul 4.10 petang dan kumpulan perubatan mengambil masa empat jam untuk mencantumkan urat putus di paha kanan kanak-kanak itu.

"Pembedahan berjaya namun pada pukul 8.40 malam Rusydi disahkan meninggal dunia akibat renjatan hiporolemia kerana kehilangan banyak darah sehingga jantung gagal mengepam darah secukupnya ke seluruh tubuh," ujarnya.

Jelas Idzwan, kes kehilangan darah yang berterusan boleh membawa kepada kematian apatah lagi jika luka itu dalam dan melibatkan arteri.

"Kes-kes yang melibatkan pendarahan boleh dibahagikan kepada empat kelas.

KEMALANGAN jalan raya adalah punca pendarahan kritikal. Kecederaan pada organ dalaman seperti paru-paru dan hati boleh membawa maut.

Cepat

"Kelas pertama ialah kes di mana pesakit kehilangan 15 peratus darah daripada tubuhnya, kelas dua kehilangan darah di antara 15 hingga 30 peratus darah, kelas tiga 30 hingga 40 peratus manakala kelas empat ialah lebih 40 peratus.

"Di PPUM, kes kehilangan kelas dua dan ke atas adalah termasuk dalam kes parah yang akan dirawat dalam zon merah," katanya yang secara purata menerima dua kes seminggu dan kebanyakannya berpunca daripada pendarahan dalaman yang disebabkan oleh kemalangan jalan raya.

Sementara itu, menurut Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL). Prof. Datuk Dr. Abu Hassan Asaari Abdullah, kes pendarahan kritikal terutama melibatkan kelas tiga dan empat akan diberi rawatan yang cepat, cekap dan bersistematik.

Selain itu, bagi memastikan keadaan pesakit terkawal, pelaksanaan polisi 100 peratus tiada masa menunggu diaplikasikan di zon ini.

"Kes kehilangan banyak darah akan terus dibawa ke zon merah. Pasukan trauma yang menerima kes kritikal seperti ini tidak memerlukan arahan sebaliknya mereka sudah tahu tanggungjawab masing-masing.

"Dengan kemudahan lengkap di zon merah, petugas tidak akan hadapi masalah untuk melakukan kerja secara serentak kerana semua peralatan berada di kawasan mudah dicapai," katanya.

Menangani kes kehilangan darah bukan perkara mudah. Ia memerlukan gerakan tangkas dan gabungan kecekapan petugas di Unit Kecemasan dan Trauma. Tiada kesilapan boleh dilakukan dalam rawatan segera itu.

IDZWAN banyak mengendalikan kes pendarahan organ dalaman.

Renjatan

"Pesakit yang kehilangan 30 peratus darah berada dalam keadaan genting dan sebarang kelewatan boleh mengancam nyawa.

"Jika pesakit itu kanak-kanak, mereka akan diutamakan kerana mereka berdepan dengan risiko lebih besar," katanya.

Anggota badan yang besar seperti tulang pinggul, paha, tangan, perut dan dada boleh menyebabkan pendarahan kritikal yang boleh mengundang maut. Ini kerana di bahagian tersebut terdapat saluran darah utama.

Bagi Pakar Perubatan Kecemasan dan Trauma HKL, Dr. Alzamani Mohammad Idrose pula, kehilangan banyak darah khususnya kelas tiga dan empat boleh membuatkan pesakit mengalami renjatan yang akan memberi kesan terhadap degupan jantung, nadi dan tekanan darah.

"Bagi pesakit yang kehilangan 1.5 liter darah, ia dianggap kes kritikal. Setiap manusia memiliki jumlah darah yang tidak sama kerana ia bergantung kepada berat badan.

"Biasanya lelaki dewasa memiliki lima liter darah manakala bagi wanita dan kanak-kanak jumlahnya adalah lebih sedikit," katanya.

Jelasnya lagi, persepsi umum bahawa kes-kes kritikal boleh diselesaikan di unit kecemasan sahaja adalah tidak tepat, sebaliknya pesakit akan dirujuk kepada pakar bius dan pakar bedah.

"Untuk terus dibawa ke dewan bedah, pesakit perlu dipastikan berada dalam keadaan stabil, jika tidak itu akan memburukkan lagi keadaan.

"Ada masanya sewaktu pesakit sampai, pakar bius ada bersama pesakit lain dan semua dewan bedah digunakan.

"Malangnya, tidak semua ahli masyarakat boleh faham keadaan ini.

"Tetapi saya percaya setiap petugas hospital sama ada pemandu ambulans, jururawat mahupun doktor pakar, mereka akan berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan pesakit," ujarnya.

Penghadaman penyebab kematian

KUALA LUMPUR - Masalah penghadaman adalah antara 10 penyakit paling kronik dan penyebab utama kematian di Malaysia, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata, pada 2006 dan 2007, penyakit berkaitan sistem penghadaman menduduki tangga ketujuh sebagai penyebab utama kematian di hospital kerajaan dan melonjak ke tangga keenam pada tahun 2008.

"Ini tidak memeranjatkan jika dilihat gaya hidup kebanyakan rakyat Malaysia," katanya ketika melancarkan sambutan Hari Penghadaman Sedunia di Ikano Power Centre di sini semalam.

Rosnah berkata, penyakit berkaitan sistem penghadaman yang paling banyak dihidapi rakyat Malaysia ialah refluks gastroesophageal (GERD), ulser peptik, sindrom kerengsaan usus (IBS) dan kanser usus.

"Penyakit kanser gastrointestinal khususnya, meningkat secara mendadak di Malaysia berdasarkan hakikat bahawa penyakit kanser kolorektal dilaporkan paling banyak menyerang lelaki (16.2 peratus) dan kedua terbanyak menyerang wanita (10.6 peratus) di Semenanjung Malaysia pada 2006.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa lebih 940,000 orang di seluruh dunia diserang kanser kolorektal setiap tahun dan daripada jumlah itu, hampir 500,000 meninggal dunia setiap tahun," katanya.

Rosnah berkata, kerajaan telah mengambil langkah bagi memastikan pusat gastroenterologi di hospital kerajaan dilengkapi peralatan dan teknologi terkini.

"Kebanyakan pusat ini dilengkapi kepakaran dan kemudahan paling moden bagi menyediakan perkhidmatan pengesanan bertaraf dunia serta perkhidmatan diagnosis dan terapeutik," katanya.

Rosnah berkata, kementerian berkenaan juga telah menubuhkan Pusat Pendaftaran Pesakit Kanser bagi mengumpul data secara sistematik mengenai semua perkara berkaitan kanser kolorektal di Malaysia termasuk pencegahan, pengurusan dan rawatan. - Bernama

Cystitis belenggu hidup wanita

STATISTIK menunjukkan sekurang-kurangnya 50 peratus wanita akan mengalami ketumbuhan yang dinamakan Cystitis dalam pundi kencing mereka. Faktornya kerana anatomi tubuh wanita itu sendiri yang mendedahkan mereka kepada bahaya tersebut berbanding lelaki.

Cystitis adalah sejenis jangkitan pada pundi kencing wanita dan puncanya adalah dari bakteria yang dihasilkan oleh tubuh wanita itu sendiri.

Dalam keadaan sihat, pundi kencing seseorang sentiasa bersih dan bebas kuman. Namun apabila bakteria memasuki zon tersebut ia sekali gus mendatangkan kesan kerengsaan dan tidak selesa pada yang mengalaminya.

Simptom lain ialah kesakitan ketika membuang air kecil dan tidak selesa pada bahagian bawah abdomen.

Tetapi jangan risau kerana cystitis boleh dirawat dengan menggunakan antibiotik. Namun anda perlulah mengamalkan langkah pencegahan sebelum ia berlaku.