"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, March 6, 2010

Pembedahan kosmetik cara baru

ROSE (bukan nama sebenar) merasakan tubuhnya belum kelihatan cantik. Dengan penuh yakin, dia memilih untuk menjalani rawatan sedut lemak. Walaupun berbelanja besar, dia ingin mencari doktor yang benar-benar ada kepakaran dan pengalaman.

Langkahnya laju menuju ke Pusat Perubatan Prince Court yang terletak di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur. Di sana, dia mendapati bukan sahaja wanita berminat melakukan pembedahan kosmetik termasuk sedut lemak, lelaki juga ada keberanian yang sama. Ternyata teknologi itu menjadi buruan lelaki dan wanita untuk sama-sama tampil cantik dan tampan.

Memikirkan beberapa kes kematian akibat rawatan sedut lemak, menjadikan Rose lebih berhati-hati. Daripada menggadaikan nyawa di klinik kecantikan biasa, dia memilih pusat perubatan ternama. Dengan kos yang hampir sama, aspek keselamatan dan keselesaan lebih terjamin.

Pembedahan kosmetik seperti sedut lemak tidak boleh dipandang ringan biar pun ia dikatakan satu prosedur biasa dan melibatkan pembedahan kecil. Sekecil mana pun pembedahan itu tetap ada risiko tersendiri.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (USFDA) menganggarkan, bagi setiap 100,000 pembedahan sedut lemak, tiga hingga 100 kes berakhir dengan kematian.

Perunding Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Yap Lok Huei membetulkan tanggapan bahawa sedut lemak bukanlah proses menurunkan berat badan.

Ia merupakan proses membetulkan kecacatan anggota supaya tampak normal atau untuk kecantikan semata-mata.

"Sebelum anda mengambil keputusan menjalani sebarang pembedahan kosmetik, perkara pertama perlu anda tanya diri sendiri adakah ia benar-benar diperlukan atau sekadar memenuhi keinginan," katanya sambil menunjukkan rawatan terkini sedut lemak menggunakan sistem Body-jet.

Tambah Dr. Lok Huei, pakar pembedahan kosmetik akan memeriksa kesihatan pesakit terlebih dulu bagi memastikan mereka sihat untuk menjalani pembedahan.

"Individu yang menghidap penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi yang tidak terkawal dan terlalu gemuk tidak layak dibedah kerana risiko pembedahan sangat tinggi.

" Pelbagai komplikasi boleh berlaku ketika dan selepas pembedahan, terutama pembekuan darah dalam pembuluh darah. Selain itu jika anda demam atau mengalami jangkitan, anda perlu menunggu sehingga sembuh terlebih dulu," jelasnya.

Individu yang sesuai menjalani rawatan lemak adalah mereka yang mempunyai berat badan normal atau lebih sedikit.

Mereka juga mesti mempunyai kulit anjal, tegap dan mempunyai tahap kesihatan yang baik.

Pembedahan sedut lemak bertujuan memperbaiki bentuk dan bukan mengurangkan berat badan.

"Jika anda gemuk atau berlebihan berat badan, rawatan terbaik adalah jaga makan dan kerap bersenam.

"Ini kerana proses membuang lemak tidak akan menurunkan paras kolesterol dalam darah kerana lemak yang disedut terletak di bawah kulit," ujarnya.

Bagi individu yang alami gejala lemak viseral akibat kegemukan di pinggang (ukuran pinggang melebihi 90 sentimeter bagi lelaki dan 80 sentimeter bagi perempuan), rawatan sedut lemak tidak menghilangkan masalah anda kerana lemak penyebab masalah ada di dalam abdomen.

Justeru itu, amat penting seseorang memilih doktor yang benar-benar bertauliah dan berpengalaman.

Tidak dinafikan ramai keliru kerana banyak klinik persendirian, malah pusat kecantikan, menawarkan rawatan sedut lemak tetapi orang ramai perlu berhati-hati.

"Selidik dulu latar belakang doktor dan klinik yang menawarkan khidmat itu. Pastikan ia berdaftar dengan Kementerian Kesihatan khusus untuk pembedahan kosmetik, sama ada doktor berdaftar dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Majlis Perubatan Malaysia (MMC) atau Persatuan Pakar Bedah Plastik, Estetik dan Kraniomaksilofasial Malaysia (Mapacs)," katanya.

Menyentuh tentang Body-jet, Dr. Lok Huei memberitahu, ia merupakan antara mesin sedut lemak terbaru dan pertama di Malaysia.

Mesin yang dicipta di German pada tahun 1988 ini mengurangkan risiko dan lebih selamat.

"Tidak seperti mesin lain, teknik sedut yang digunakan agak lembut. Lemak yang diganti dengan pancutan air mengurangkan komplikasi. bahkan meminumkan trauma kerosakan tisu manusia," ujarnya.

Pembedahan sedut lemak adalah asas dalam pengurusan pembedahan kontur tubuh. Ia sebenarnya memulakan era baru pembedahan plastik yang lebih bersifat minimally invasive dengan parut pembedahan yang kecil. Justeru sedut lemak digunakan untuk membetulkan kebanyakan masalah kontur tubuh.

Taburan lemak pada tubuh wanita dan lelaki juga berbeza-beza (sex-specific fat distribution). Secara purata, perempuan lebih banyak lemak dan ia ditunjukkan menerusi gynoid pattern collection, iaitu tertumpu di paha, punggung, pinggul dan dada. Lelaki pula, lemak terbentuk di android pattern collection yang tertumpu di perut dan dada.

Kaedah sedut lemak mungkin prosedur kecantikan paling popular selepas botox. Walaupun diakui boleh mengecilkan, merampingkan dan membetulkan masalah kontur tubuh di perut, dalam dan luar paha (saddle bags), lengan, pinggang, ia dianggap oleh beberapa pihak sebagai bukan rawatan terbaik untuk selulit.

Kalori yang bertukar menjadi lemak dan berada dalam lapisan dalam kulit sukar dibuang sepenuhnya menerusi pembedahan. Sedut lemak juga menelan belanja yang besar dan ia hanya untuk mereka yang sihat. Bagaimanapun, jika anda mahu cantik, sanggup berbelanja besar dan mahu mencuba, tepuk dada tanyalah selera.

Cara terbaik menyingkirkan lemak, kurangkan pengambilan makanan berkalori. Amalkan diet bersesuaian dengan gaya hidup dan pastikan mempunyai berat ideal. Lakukan senaman, aerobik misalnya. Ada nutrisi tertentu yang boleh anda ambil untuk menentang selulit dengan menstimulasikan pengeluaran lemak, kitaran darah dan saliran limfa.

Pembedahan Sedut Lemak (Liposuction)

INFO

l Ia bertujuan membuang lemak dari bahagian-bahagian tertentu badan seperti perut, punggung, lengan dan juga sekitar paha. Dalam bahasa Inggeris, sedut lemak dikenali nama liposuction atau lipoplasty.

l Pembedahan sedut lemak bukanlah alternatif bagi mengurangkan berat badan. Ia lebih mengembalikan bentuk tubuh badan.

l Pembedahan ini biasanya dilakukan dengan memberi pesakit anaesthesia umum. Namun begitu ada juga yang menjalani pembedahan tersebut menggunakan anaesthesia setempat.

l Individu yang ingin menjalani pembedahan mesti mempunyai kesihatan yang baik tanpa mengidap apa-apa penyakit lain seperti diabetes, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya.

l Bahagian yang biasa dilakukan adalah perut dan paha bagi kaum wanita, manakala kaum lelaki pula perut dan tepi perut.

Makanan seimbang jaga buah pinggang

Petah dan lincah. Gaya tukang masak terkenal, Datuk Redzuawan Ismail, 52 yang lebih mesra dengan panggilan Chef Wan ternyata mencuit hati hadirin. Di saat semua orang membincangkan isu serius tentang sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia (WKD) 2010, Chef Wan menceriakan suasana.

Namun, di sebalik gelak ketawa Chef Wan, dia sendiri mempunyai pengalaman yang boleh dikongsi dengan pesakit lain. Atas kedegilan dan sikap tak acuh dalam menjaga pemakanan, bapa Chef Wan disahkan menghidap kencing manis.

"Sudah menjadi budaya masyarakat kita, suka duduk dan minum lama-lama di kedai makan. Pengalaman Chef Wan sendiri, disebabkan kedegilan orang tua mendengar nasihat, kaki bapa saya dipotong kerana kencing manis. Itu baru cebisan kisah penyakit ini dan ramai lagi mangsa di luar sana kerana gaya hidup," ujarnya ketika majlis pelancaran sambutan WKD di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Sebagai tukang masak, Chef Wan sentiasa berkongsi menu baru khususnya makanan seimbang.

Terpilih sebagai duta Yayasan Buah Pinggang Malaysia (NKF), Chef Wan sangat teruja. Katanya, dia akan mengadakan demonstrasi memasak bagi memupuk tabiat pemakanan sihat di kalangan masyarakat.

"Sikap masyarakat yang gemar memakan apa sahaja sebenarnya boleh diubah. Kita perlu berjaya dengan apa yang kita makan, bukan paksa orang untuk makan. Justeru itu, gaya hidup makan di luar seperti kedai makan dan restoran perlu diubah.

Kita perlu balik pada zaman dahulu iaitu makan di rumah bersama keluarga untuk membentuk institusi keluarga. Makan di luar belum menjamin kualiti dan kebersihan makanan. Kebiasaannya mereka ingin untung. Sebab itulah, bila orang tanya rahsia kesihatan, saya jawab makanan seimbang," katanya.

Chef Wan menambah, setiap individu mempunyai pengambilan makanan yang tidak sama dan perlu mengikut gaya hidup. Tambah Chef Wan, tidak semestinya gemuk itu tidak elok tetapi setiap individu perlu berjaga-jaga risiko penyakit itu penting.

Nasihatnya, sikap perlu diubah dan mengawal makanan dengan cara yang seimbang.

Sambuatan WKD

Dalam pada itu, WKD akan disambut meriah buat kali kelima pada 11 Mac ini di lebih 100 buah negara termasuk Malaysia. WKD merupakan kempen kesedaran global yang memberi fokus terhadap pentingnya penjagaan buah pinggang serta bertindak sebagai medan terbaik kepada orang ramai bagi menjalani pemeriksaan buah pinggang. Pemeriksaan bertujuan mengetahui sama ada mereka berisiko untuk menghidap penyakit buah pinggang atau tidak. Tahun ini kempen diharap dapat meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat tentang kaawlan penyakit kencing manis bagi menghindari daripada diserang penyakit buah pinggang kronik (CKD).

CKD berlaku apabila seseorang mengalami pembuangan albumin yang berlebihan dalam air kencing atau kemorosotan ketara dalam fungsi buah pinggang. Lebih daripada 500 juta penduduk dunia menderita akibat beberapa penyakit buah pinggang. Setiap tahun ramai yang meninggal dunia akibat masalah buah pinggang yang berpunca daripada penyakit kencing manis.

Apabila CKD tidak dikawal pada peringkat awal sehingga mengakibatkan kerosakan buah pinggang, maka proses berikutnya adalah dialisis atau pemindahan buah pinggang. Bagaimanapun, pelbagai rintangan dan kesukaran dalam mendapatkan buah pinggang baru untuk proses pemindahan menyebabkan ramai pesakit memilih untuk kaedah rawatan haemodialysis atau peritoneal dialisis. Kini, di Malaysia terdapat 20,000 pesakit dialisis dan kerajaan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan giat mengenal pasti pesakit yang benar-benar memerlukan bantuan bagi menanggung kos rawatan dialisis yang semakin meningkat.

Bagi mereka yang ingin memperoleh maklumat lebih terperinci berhubung dengan aktiviti sambutan WKD, sila hubungi talian bebas tol NKF di 1300-88-3110 atau layari laman web, www.nkf.org.my, www.worldkidneyday.org atau e-mel ke edu@nkf.org.my.

Ketahui DHA minyak ikan selamat

Jika anda pergi ke pasar raya untuk mencari susu formula bayi, anda akan lihat kebanyakan jenama mempunyai perkataan "DHA" tertulis pada pelekatnya. Kemudian jika anda berjalan beberapa langkah lagi anda dapat lihat kotak-kotak yang mengandungi telur ayam pun mempunyai perkataan yang sama tercetak padanya. Anda hairan mengapa DHA dimasukkan ke dalam makanan ini. Jawapannya wajar diperhatikan terutama sekali bagi wanita yang mengandung.

DHA (asid dokosaheksaenoik) ialah sejenis asid lemak omega-3 berantai panjang yang boleh dijumpai dalam setiap sel dalam badan. Ia membentuk lebih 90 peratus daripada lemak omega-3 dalam otak, mata dan sistem saraf pusat. Oleh itu, DHA adalah penting untuk perkembangan otak, mata dan sistem saraf pusat, yang bermula dalam rahim ibu!

Semasa hamil, bayi memperolehi DHA daripada rahim ibu. Berapa banyak DHA yang diperolehi oleh bayi itu bergantug kepada jumlah DHA yang diambil ibunya.

Tetapi malangnya, ramai wanita mengandung tidak memperolehi jumlah DHA yang disyorkan dalam diet mereka dan DHA tidak didapati dalam kebanyakan vitamin pralahir yang mereka ambil.

Manfaat kepada bayi dan kanak-kanak daripada suplemen DHA .

Kajian menunjukkan ibu mengandung yang mengambil suplemen DHA akan melahirkan bayi yang mempunyai paras DHA dengan ketaranya lebih tinggi dalam otak mereka.

Oleh itu, kita boleh mengesahkan di sini pengambilan suplemen DHA oleh ibu mengandung dan menyusu (susu ibu), dengan ketaranya dapat meningkatkan paras DHA pada janin dan bayi. Kajian menunjukkan pengambilan suplemen DHA oleh ibu mengandung akan memberi keberhasilan yang lebih baik terhadap perkembangan bayi, dari segi:

"Penyelarasan mata dengan tangan

"Kemahiran gerakan bermotor

"Jangka tumpuan yang lebih panjang

"Markah IQ yang lebih tinggi

DHA daripada sumber-sumber diet

"Alga (rumpair) - Sesetengah alga merupakan sumber semulajadi bagi DHA. Manakala ramai orang percaya ikan dapat mengeluarkan DHA-nya sendiri, tetapi sebenarnya, alga yang dimakan oleh ikan itu menjadikannya sebagai sumber yang kaya dengan DHA.

"Jenis ikan yang berlemak, termasuk ikan bilis, ikan salmon, ikan hering, ikan tenggiri, tuna dan ikan halibut.

"Daging organ, seperti hati.

"Sejumlah kecil boleh didapati dalam kuning telur

Nasihat memakan ikan dan Amaran Pemakanan daripada badan-badan pakar di USA

Persatuan Jantung Amerika, Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA) dan Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA), mengeluarkan nasihat/amaran berkaitan dengan pemakanan ikan. Amaran ini dikeluarkan sebagai tindak balas terhadap penemuan sesetengah ikan mengandungi methilmerkuri, iaitu sejenis pencemar yang sekiranya berada pada paras yang tinggi boleh membahayakan sistem urat saraf janin yang sedang membesar, dan juga bayi yang baru lahir dan juga kanak-kanak yang baru bertatih. Ini boleh membawa kepada kesan negatif terhadap jangka masa penumpuan, penguasaan pertuturan, keupayaan penglihatan dan mengesan ruang, daya ingatan dan penyelarasan. Adalah dianggarkan hampir 60,000 kanak-kanak setiap tahun dilahirkan dengan dibebani risiko masalah neurologi yang disebabkan oleh pendedahan kepada methylmercury semasa di dalam rahim ibu.

Bandingan antara DHA daripada susu ibu dan DHA daripada minyak ikan

Minyak ikan diperolehi daripada tisu ikan yang berminyak dan ia mengandungi kedua-dua DHA dan EPA (asid eikosapentaenoik). Meskipun demikian, suplemen minyak ikan biasa mengandungi EPA dengan jumlah yang agak besar dan sebaliknya mengandungi DHA sekadar sederhana sahaja. Bagi orang dewasa, DHA dan EPA dapat dihadamkan serta diserapkan. Bagi bayi dan janin, EPA mungkin bersaing dengan DHA untuk merebut tempat dalammembran sel saraf, dan ini mungkin membahayakan otak yang sedang berkembang, dan juga perkembangan mata dan sistem saraf. Dalam susu ibu manusia, jumlah DHA adalah empat kali lebih tinggi daripada jumlah EPA - Sememangnya, alam semulajadi adalah yang terbaik.

Penyulingan molekular

Sesetengah pengilang mengeluarkan minyak ikan melalui suatu proses yang dikenali sebagai 'penyulingan molekular' untuk menghapuskan methylmercury dan toksin lain yang wujud dalam ikan. Bagaimana pun, proses ini tidak mungkin dapat menghapuskan 100 peratus methylmercury kerana dengan kaedah yang digunakan sekarang ini, pasti masih boleh meninggalkan sedikit sebanyak kesan toksin - mungkin pada paras yang tidak boleh dikesan. Ia banyak bergantung kepada sensitif alat ujian yang digunakan.

DHA daripada sumber sayur-sayuran (alga) - Suatu Pilihan yang lebih selamat

Suplemen DHA yang diperbuat daripada alga kini boleh didapati. Ia mengemukakan pilihan yang lebih selamat untuk ibu mengandung dan menyusu, yang ingin memperolehi manfaat DHA untuk bayi mereka tanpa berasa cemas tentang ketosikan methilmerkuri ataupun kandungan EPA yang tinggi.

Martek Biosciences, dari USA, merupakan satu-satunya syarikat di dunia yang berjaya mengeluarkan DHA daripada jenis alga yang telah dipatenkan dan ditumbuhkan secara besar-besaran dalam tangki penapaian yang ditempatkan pada jarak yang jauh dari laut, dengan menggunakan air yang ditapis - semuanya ini dikawal ketat di bawah syarat perkilangan GMP. Oleh sebab itu, alga daripada Martek tidak sekali-kali akan terdedah pada pencemaran.

Alga yang ditanam jauh dari laut bermakna alga ini tidak terdedah kepada pencemar lautan. DHA daripada sumber alga juga adalah bebas daripada lain-lain asid lemak politaktepu yang berantai panjang seperti EPA, yang wujud secara semulajadi dalam minyak ikan.

Dosej yang disyorkan

Pakar dari National Institute of Health dan International Society for the Study of Fatty Acids and Lipids (NIH/ASSFAL) telah mengesyorkan pengambilan sebanyak 300mg DHA setiap hari bagi ibu mengandung dan menyusu. Terdapat banyak formula susu untuk pra lahir dan untuk bayi yang mengandungi DHA, tetapi parasnya selalunya rendah. Suplemen tambahan masih lagi diperlukan dan disyorkan.

Di samping itu, sesetengah kajian menyarankan paras DHA yang mencukupi dalam diet seorang ibu yang baru melahirkan anak, mungkin memainkan peranan dalam membantu mewujudkan keafiatan dan kesejahteraan emosi ibu tersebut selepas melahirkan anak.

DHA bersalut enterik

Suplemen DHA yang diperbuat daripada kapsul sayuran bersalut enteric juga mempunyai keistimewaan. Salutan enteric melindungi kapsul itu daripada tindakan asid dalam perut, dengan itu memastikan kapsul itu akan menghancur dalam usus, dan tidak dalam perut. Penyerapan DHA adalah lebih baik apabila ia diserap dalam usus. Lagipun, tidak akan berlaku rasa pahit-pahit apabila ibu itu bersendawa. Ini merupakan suatu perkara yang penting bagi seorang ibu mengandung kerana dia mungkin berasa terlalu sensitif terhadap bau-bau tertentu.

Panduan membeli suplemen untuk ibu mengandung dan menyusu (susu ibu)

Dalam memilih suplemen DHA untuk ibu-ibu mengandung dan yang sedang menyusu susu ibu, pastikan sumbernya adalah daripada sayuran. Ini merupakan pilihan yang lebih selamat kerana ia tidak mengandungi sebarang toksin yang mungkin terdapat dalam DHA yang sumbernya daripada ikan. Untuk memilih suplemen DHA yang baik kualitinya, pastikan alga itu dikeluarkan dalam keadaan kawalan yang ketat demi untuk menjaminkan keselamatan dan ketulenannya.

Memastikan diet yang sihat dan seimbang semasa mengandung dan semasa menyusu adalah amat penting bagi kedua-dua ibu dan bayi. Selain daripada mengambil dos-dos DHA harian, ibu mengandung dan menyusu seharusnya juga mengambil suplemen pra lahir yang mengandungi lebih tinggi kalsium, zat besi dan asid folik untuk menampung keperluan yang sedang meningkat pada saat-saat penting ini, maka dengan itu memberikan bayi anda asas yang baik untuk memulakan hidupnya kelak.

Rosyam hibur setiausaha

Peranan setiausaha bukan sekadar menjaga hal peribadi bos tetapi telah berkembang menjadi kerjaya yang cukup dikagumi dan menuntut komitmen serta ketelusan.

Setiausaha bukan sekadar jawatan yang pada dasar menjaga rutin ketuanya sehari suntuk tetapi turut menuntut kesetiaan, kerajinan dan pelbagai lagi faktor lain. Ibaratnya, kejayaan seseorang ketua juga berkait rapat dengan keserasiannya berganding bahu bersama setiausaha.

Sempena Minggu Setiausaha yang akan disambut pada bulan depan, menjadi kelaziman setiausaha dihargai. Jika biasanya setiausaha dibawa ke majlis makan malam sambil berhibur dengan penyanyi terkenal, majalah WANITA terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. menganjurkan hari WANITA bersama Setiausaha dengan tagline Menjana Kerjaya Berhemah, Berjiwa Cemerlang dengan satu pendekatan baru, yang lain daripada yang lain.

"Bukan hiburan semata, sebaliknya setiausaha yang hadir ke majlis WANITA bersama Setiausaha ini akan menerima pelbagai ilmu baru bagi memantapkan kerjaya dan diri," kata Pengarang WANITA, Normala Hamzah.

Menurut Normala, panel ternama seperti Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, Datuk Paduka Toh Puan Seri Diraja Noor Aini, Datuk Dr. Norashikin Mokhtar dan Datuk Dr. Fadzilah Mohd Ali akan memberi pelbagai input dengan topik menarik seperti Integriti dan Budaya Kerja, Menjadi Setiausaha yang Dikagumi, Sayangi Diri Anda dan siri motivasi berguna sepanjang seminar sehari itu.

Menariknya seminar ini, para peserta akan berpeluang mempelajari ilmu mempertahankan diri dan keselamatan di tempat kerja melalui demonstrasi yang bakal dilakukan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Berani Guard Sdn Bhd, Saliza Abdullah dan anak buahnya sertai tip gaya hidup sihat dari Pakar Nutrisi, Unit Perhubungan Korporat dan Kesihatan, Kumpulan Produk Nestle Sdn Bhd, Nurul Ilani Ahmad.

DipisahkanFesyen dan kecantikan tentunya tidak boleh dipisahkan daripada setiausaha, sehubungan itu Butik Jarumas telah diberi kepercayaan membuat pertunjukan fesyen sementara demonstrasi solekan serta dandanan akan dipersembahkan oleh pakar kosmetik jenama terkenal, Nouvelles Visages.

Menyerikan majlis, Rosyam Noor akan tampil dengan acara menarik yang bakal menguji para setiausaha.

Dengan hanya RM200 untuk seorang, peserta akan menerima langganan tiga bulan percuma majalah WANITA, sijil, door-gift serta berpeluang memenangi cabutan bertuah dan hadiah misteri.

WANITA Bersama Setiausaha yang dianjurkan bersama rakan stratagik Alfio Raldo dan Nestle Nesvita, Berani Guard dengan Penaja Utamanya Nouvelle Vasages menjanjikan pengisian berilmu untuk peserta.

"WANITA berharap mereka yang bergelar setiausaha akan turut serta dalam seminar ini yang pastinya akan mendapat banyak manfaat yang boleh dipraktikkan dalam kerja mereka. Pendaftaran berkumpulan melebihi 5 orang akan diberi potongan harga istimewa,'' tambah Normala.

Bakal diadakan pada Sabtu, 10 April, bertempat di Prince Ballroom, Prince Hotel & Residence Kuala Lumpur, inilah masanya untuk menghargai setiausaha yang sentiasa setia dan berusaha. Keterangan lanjut atau pendaftaran sila hubungi Iskandar di talian 03-89262999 atau 013-3451945 atau redaksi Wanita sambungan 476/471/479.

Montokkan buah dada

Tepat pukul 10 pagi, loceng di pintu klinik saya berdering. Pembantu klinik bergegas membuka pintu. Kedengaran suara suara kecil sapa menyapa di luar. Sebentar kemudian tetamu tersebut di jemput masuk. Saya terus keluar menemui tetamu tersebut. Janji temu telah pun di buat seminggu yang lalu dan kini beliau tiba bagi memenuhinya.

Wanita yang bernama Puan S memang cantik bergaya berkebaya ketat. Potongan badannya sungguh cantik. Sekali pandang tak ubah macam seniwati Sarimah dalam filem Tiga Abdul. Umur beliau dalam lingkungan awal 50-an.

Kalau zaman sekarang bolehlah dibandingkan dengan Beyonce atau Jennifer Lopez.

Saya kagum dengan penampilan beliau yang sungguh bergaya dan anggun.

Meskipun usia sudah melepasi angka 50, namun beliau masih cantik bergaya. Jelas beliau yang amat menitik beratkan imej .

Saya mempersilakan beliau masuk ke bilik rundingan. Di situ lebih privacy dan kami boleh berbincang panjang lebar. Puan S bekerja sebagai seorang setiausaha di sebuah jabatan. Selain itu dia juga bijak berniaga secara kecil-kecilan. Tutur katanya lembut dan berhemah sekali.

''Saya ada masalah besar doktor,'' katanya sambil menyambung:

''Buah dada saya dah mengecut dan perkara ini amat merunsingkan saya."

Setelah membuat pemeriksaan, saya agak terkejut melihat apa yang dikatakan adalah benar. Dia terpaksa memakai coli yang tebal dan memasukkan seketul kapas tebal di dalamnya. Jika tidak dadanya akan kelihatan rata sahaja. Timbul perasaan kasihan di dalam hati saya.

"Selepas mengandung dan bersalin anak kelima saya jadi begini. Mulanya saya tidak kisah namun akhirnya hal ini tidak di senangi oleh suami saya. Gara gara dada yang leper kami bercerai," perlahan wanita menutur kata.

Saya bagaikan tidak percaya mendengar kata-kata tersebut lantas bertanya:

"Sampai begitu sekali ke tindakan suami Puan?

Air mata mengalir di pipi Puan S yang cantik lawa. Dia meneruskan ceritanya. "Pelbagai penghinaan dilemparkan kepada saya oleh bekas suami saya. Hidup saya dulu bertemankan air mata sahaja. Akhirnya dia bertemu wanita yang mampu membahagiakannya dan meninggalkan saya yang serba kekurangan."

Sudah 10 tahun saya hidup bersendirian. Dia menyambung luahan hati bahawa dia cukup terluka dengan perkara itu dan enggan lagi memikirkan soal rumah tangga.

"Dan kini saya bertemu jodoh baru dan bakal bernikah semula. Namun trauma buah dada yang leper ini membuatkan saya rasa tidak yakin. Saya minta doktor besarkan buah dada saya. Ramai artis macam Pamela Anderson besarkan buah dada mereka,'' katanya dengan penuh harapan.

Sememangnya saya bersimpati dengan Puan S. Apatah lagi setelah melihat sendiri keadaan buah dadanya yang leper. Saya dapat bayangkan jika saya ada di tempatnya. Sudah tentu saya juga berasa malu dan rendah diri sekali.