"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, February 6, 2010

Tanda awal pendarahan

Berpunca kedudukan plasenta di bawah rahim

DOKTOR, saya berumur 32 tahun dan sedang hamil anak kedua (sekarang sudah 33 minggu). Awal November lalu saya dimasukkan ke hospital selama lima hari kerana ada sedikit pendarahan. Saya diberitahu bahawa plasenta berada di bawah dan menutup sedikit pintu rahim. Doktor memberitahu jika ada pendarahan lagi, saya perlu tinggal di hospital sehingga bersalin. Saya ingin tahu apa yang menyebabkan pendarahan itu? Adakah kerana tekanan ke atas plasenta atau kaitan dengan bayi yang mungkin menekannya? Kenapa ia boleh bergerak ke bawah?

HANNA



Puan kurang bernasib baik kerana plasenta puan berada di segmen bawah rahim atau dikenali sebagai plasenta praevia.

Majoriti besar plasenta berada di segmen atas rahim iaitu di dinding depan atau belakang. Apabila embrio terbentuk selepas persenyawaan, embrio ini akan turun ke dalam rahim untuk hidup dan berkembang menjadi janin. Masalahnya jika embrio ini menempatkan dirinya di bahagian segmen bawah rahim dan bila janin dan uri terbentuk dan berkembang ia boleh menutupi pintu rahim dari dalam.

Ada beberapa faktor yang menyebabkan embrio ini ‘suka’ duduk di bahagian bawah. Contohnya ialah selepas Caesarean, D&C, pembedahan pada rahim seperti fibroid, kandungan kembar dan diabetes. Umur lebih dari 40 tahun juga dikaitkan dengan plasenta praevia.


Jika puan mengalami plasenta praevia jenis 3, bermakna seluruh lubang pintu rahim itu ditutupi oleh plasenta yang rendah ini. Kebiasaan plasenta berlaku pendarahan sedikit dalam lingkungan 32 hingga 36 minggu. Saya selalu memberitahu pesakit ini adalah tanda amaran awal sebelum tumpahan yang lebih banyak dan serius berlaku dalam lingkungan 36 hingga 38 minggu. Pendarahan ini berlaku bukan berpunca kepada tekanan kepada plasenta.

Pendarahan ini berlaku disebabkan segmen bawah rahim ini mula ‘terbentuk’ atau dalam perkataan lain segmen bawah menipis disebabkan oleh kontraksi rahim sepanjang kandungan ini. Rahim mula ada kontraksi seawal 28 minggu. Plasenta yang melekat di bahagian bawah ini mula tersiat daripada dinding rahim, maka berlakulah pendarahan tadi.

Selalunya doktor akan menasihatkan pasangan jangan melakukan hubungan intim waktu ini, melakukan kerja berat kerana takut ia akan menyebabkan kontraksi berlaku. Oleh kerana itu kadangkala doktor akan menasihatkan pesakit berehat di hospital sehingga tarikh pembedahan caesarean. Dengan cara ini tindakan segera akan diambil jika perdarahan berlaku. Puan, kita tidak boleh samakan kandungan sekarang dengan kandungan sebelumnya.

Selain itu, jika puan mengalami rasa kebas ia adalah biasa bagi wanita yang mengandung. Ia hanyalah masalah kecil dan sementara. Ini berpunca daripada urat sarat di tangan dan kaki tersepit kerana air tersangkut ketika mengandung. Tidak membawa kemudaratan kepada puan dan bayi.

Rawatan buasir

Pembedahan haemorrhoidectomy pilihan akhir atasi masalah serius

Soalan:
Saya berusia pertengahan 30-an dan mempunyai tiga anak. Saya dikesan mengalami masalah buasir sejak anak pertama lagi. Bagaimanapun, buasir yang saya alami jenis dalam. Apabila keluar, saya hanya menekannya ke dalam.

Apabila bertemu doktor, saya dinasihatkan untuk berdiet dan mengambil lebih banyak serat dan cecair. Bagaimanapun saya sudah malas hendak melakukannya kerana sudah terlalu lama mengamalkan diet tetapi ia tidak juga sembuh. Saya memikirkan untuk melakukan pembedahan saja bagi membuang buasir ini. Apa nasihat doktor?



NANI

Jawapan:
BUASIR sememangnya satu masalah yang kronik. Ia berpunca daripada saluran darah vena yang membengkak di sekitar dinding dubur.

Oleh itu, apakah cara rawatan yang terbaik untuk buasir puan? Puan perlu mempertimbangkan dua kaedah bagi rawatan buasir.


Pertama menggunakan rawatan secara perubatan, misalnya ointmen seperti zink oksida dan jeli petroleum boleh digunakan untuk mencegah kecederaan dan mengurangkan kegatalan pada dubur. Ada kalanya ointment mengandungi steroid boleh membantu mengurangkan inflamasi dan kegatalan pada dubur sementara ointmen yang mengandungi ubat pelali digunakan jika buasir itu menyakitkan.

Ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) pula digunakan bagi mengurangkan sakit dan bengkak pada dubur. Kaedah ini saya rasa berkesan bagi kes buasir yang akut.

Pada masa sama, kita juga harus memahami yang cara hidup kita mestilah berubah sama bagi mengurangkan risiko buasir berulang semula.

Ini seperti:

Mengelak sembelit dengan mengambil lebih banyak makanan berserat tinggi seperti bijirin, sayur-sayuran, buah-buahan dan kekacang. Makanan yang berserat tinggi boleh diambil bagi membantu najis menjadi lembut. Senaman dan mengambil makanan berfiber tinggi membantu perjalanan buang air besar.

Elakkan pengambilan julap kerana ia menyebabkan cirit birit dan memburukkan lagi buasir.

Elakkan minuman berkafein seperti teh dan kopi. Minum sekurang-kurangnya lapan hingga 10 gelas air sehari bagi mengelakkan badan kekurangan air dan berdepan masalah sembelit

Amalkan pembuangan air besar yang baik seperti mengelak meneran terlalu kuat. Segeralah ke bilik air jika ada gesaan untuk membuang air besar.

Jangan amalkan membaca dalam bilik air terlalu lama kerana akan menyebabkan buasir menjadi teruk.

Pastikan tidak duduk dan berdiri terlalu lama serta jangan mengangkat barang berat.

Daripada apa yang puan nyatakan, puan malas mengamalkan cara itu, maka hanya tinggal satu saja cara yang boleh membantu puan iaitu pembedahan buasir atau haemorrhoidectomy.

Majoriti buasir tidak memerlukan pembedahan dan selalunya menjadi pilihan terakhir bagi kes yang serius. Pembedahan boleh dipertimbangkan sekiranya kaedah perubatan dan pencegahan gagal membantu.

Sekiranya simptom buasir mengganggu cara hidup kita seperti sakit, perdarahan dan berlaku jangkitan kuman maka pembedahan boleh dipertimbangkan.

Ada beberapa kaedah pembedahan yang digunakan seperti mengikat buasir dengan getah, laser dan diatermi bagi buasir yang kecil. Jika buasir itu besar dan dan tidak boleh dimasukkan semula ke dalam dubur, maka buasir dibuang dengan cara biasa. Kaedah ini dianggap yang paling berjaya dari kaedah-kaedah lain.

Komplikasi pembedahan ini adalah perdarahan, sakit dan infeksi. Sekiranya puan hamil selepas pembedahan, kemungkinan buasir ini boleh berulang semula. Oleh kerana itu saya cadangkan puan lakukan pembedahan selepas puan tiada keinginan untuk hamil lagi kecuali buasir ini betul-betul sudah menyusahkan puan.

Bagi anda yang memiliki kemusykilan mengenai kesihatan, sila hantarkan soalan kepada “Doktor di Berita Minggu” melalui e-mel, bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur. Soalan anda akan dijawab Dr Suhaimi Isa, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pantai Ampang dan Dr Idora Mohamad, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Pantai, Bangsar.

Keputihan perlu dirawat

Jangkitan bakteria, organisma bermula pada pangkal rahim

SAYA berumur 25 tahun dan menghadapi masalah keputihan yang turut mengeluarkan bau tidak menyenangkan. Ini agak menghairankan kerana sebelum ini saya tidak pernah mengalami keputihan. Lebih membimbangkan, kini keluar titisan darah, sedangkan saya bukannya dalam tempoh haid. Adakah saya perlu mendapatkan rawatan di klinik?

ALIYAH



SAUDARI Aliyah, keputihan ialah masalah yang biasa berlaku pada wanita yang masih dalam peringkat usia reproduktif. Ia berpunca daripada sistem reproduktif yang sentiasa aktif setiap bulan selain berlaku perubahan hormon.

Walaupun vagina mempunyai sistem perlindungan semula jadi yang efektif tetapi pada masa sama, ia juga mempunyai jutaan bakteria dan virus selain kulat yang sentiasa menunggu peluang untuk membiak dan menimbulkan masalah.

Secara semula jadinya, tahap keasidan atau pH yang tinggi dalam vagina berupaya mencegah jutaan organisma daripada membiak.


Kadangkala perlakuan kita setiap hari 'mencuci' sampai ke dalam lubang vagina adalah satu perlakuan yang tidak betul. Cucian yang menggunakan bahan kimia boleh merosakkan benteng pertahanan vagina sehinggakan keasidan itu berkurangan. Ini menyebabkan organisma tadi menggunakan 'peluang' itu untuk hidup dan membiak.

Keputihan yang berbau, banyak dan bercampur dengan darah adalah relevan. Kebiasaannya keputihan ini selalunya putih, tidak gatal, berbau dan berlaku seminggu sebelum haid. Daripada pengalaman saya, kebiasaannya masalah begini berlaku kerana jangkitan bakteria pada pangkal rahim atau istilah perubatannya - 'cervicitis'. Masalah 'cervicitis' adalah keputihan yang banyak dan selalu bercampur kekuningan kerana jangkitan kuman dan jika serius, ia boleh menyebabkan perdarahan.

Bakteria penyebab yang biasa 'menyerang' seperti Neisseria gonorrhoea, Gardnerella vaginalis dan Trichomonas vaginalis. Setiap bakteria ini berkeupayaan menghasilkan ciri-ciri keputihan tersendiri. Majoriti bakteria, virus dan kulat ini diperoleh melalui hubungan seksual dengan pasangan yang mempunyai organisma tadi.

Jangkitan kulat seperti Candidiasis adalah yang paling biasa dan menyebabkan keputihan yang amat gatal, pendarahan dan kesakitan ketika hubungan seksual. Pengambilan antibiotik secara berleluasa, hamil, diabetes dan sistem imun yang rendah memburukkan lagi jangkitan candida ini.

Oleh itu saya cadangkan puan berjumpa doktor pakar untuk rawatan sebenar. Beberapa ujian perlu dilakukan dan yang terpenting - mengambil contoh keputihan ini untuk dikaji di makmal dan seterusnya mendapatkan keputusannya.

Sukar bagi memastikan punca sebenar tanpa mengambil sampel keputihan ini. Rawatan sebenarnya bergantung kepada keputusan makmal. Pasangan puan juga perlu diberi rawatan yang sama jika tidak penyakit ini akan berulang. Kami juga akan melakukan ujian lumuran pap bagi memastikan ia bukanlah simptom barah pangkal rahim.

Pil diet ancam nyawa

SAYA ingin tahu bolehkah saya mengambil pil diet Duromine 30 mg secara berterusan? Saya takut untuk berhenti mengambil pil tersebut kerana saya bimbang bentuk badan saya akan naik semula. Sejak mengambil pil itu saya berjaya mengurangkan berat badan saya sebanyak 20 kilogram. Saya mula mengambil pil itu pada 7 Mei 2008 sehingga sekarang. Apa yang membimbangkan saya adakah sebarang kesan sampingan penggunaannya?

Wanita Risau,
Sarawak



PUAN, penggunaan Duromine atau sebarang ubat antiobesiti mestilah di bawah pengawasan doktor kerana ia mempunyai banyak kesan sampingan yang boleh membawa kepada kematian.

Duromine hanya digunakan untuk jangka masa yang terhad sebagai tambahan kepada program menguruskan badan seperti diet dan senaman fizikal. Oleh kerana itu pengambilan mesti dihadkan kepada masalah obesiti (Indeks Jisim Badan atau BMI >30) yang mana risiko morbiditi kerana obesiti melebihi daripada risiko Duromine.

Kesan sampingan pengambilan Duromine


1) Sistem kardiovaskular - denyutan jantung laju, jantung bergetar, darah tinggi, angina, angin ahmar.

2) Sistem saraf pusat - ketidakselesaan, ketakutan, insomnia, sakit kepala, pening dan ketar.

Sesekali euphoria (rasa gembira keterlaluan hingga hilang pertimbangan) dan diikuti dengan letih dan kemurungan. Ada kalau berlaku juga halusinasi.

3) Sistem pemakanan - loya, muntah, bibir kering, terlalu dahaga, sakit perut, cirit birit dan

Sembelit. Masalah lain termasuklah masalah kencing, mati pucuk dan kurang libido.

Saya cadangkan puan berhenti mengambilnya secara berperingkat. Contohnya selang sehari bulan depan, kemudian setiap empat hari dan kemudian seminggu sekali dan terus berhenti. Puan mesti meningkatkan senaman dan berdiet secara serius.

Kesan penyakit kronik

Wanita hidap diabetes, buah pinggang rosak juga terdedah masalah keputihan

SAYA menjaga ibu berusia 62 tahun. Beliau menghidap kegagalan buah pinggang dan sudah menjalani haemodialisis selama lima tahun, selain masalah diabetes. Pada masa sama, ibu mengalami masalah keputihan yang berbau. Akibat penyakit itu, beliau terpaksa memakai lampin pakai buang. Saya ingin tahu, adakah ubat yang boleh saya dapatkan untuk memulihkan penyakit keputihan ini?

ANISAH



JAWAPAN

Pada pendapat saya, puan perlu membawa ibu berjumpa doktor pakar perbidanan dan sakit puan di mana-mana hospital. Puan perlu usahakan dengan adik-adik beradik puan untuk dapatkan bantuan membawa ibu ke hospital oleh sebab-sebab berikut;


Ibu puan perlu menjalani ujian pap smear atau ujian saringan kanser pangkal rahim. Ujian ini amat mudah dan tidak menyakitkan ibu puan. Ini bertujuan untuk ‘melihat’ sama ada ibu mengalami masalah di pintu rahim. Antara simptom barah pangkal rahim ialah banyak mengeluarkan cecair (discaj) yang kuning-hijau dan kadangkala bercampur darah. Ia juga menghasilkan bau yang tidak menyenangkan.

Ujian ke atas cecair ini perlu dilakukan bagi menentukan sama ada ia berpunca daripada bakteria protozoa ataupun kulat. Ada ribuan jenis bakteria dalam faraj dan kesemua ini akan mengambil kesempatan sekiranya daya tahan (imuniti) pesakit lemah. Oleh kerana ibu puan mengalami masalah kronik buah pinggang, diabetes dan lumpuh, maka tidak hairanlah bakteria, protozoa dan kulat boleh hidup dalam vagina. Contohnya, protozoa jenis Trichomonas dan kulat Candida akan mengambil kesempatan atas lemahnya imuniti ibu puan. Kedua-duanya menghasilkan discaj berwarna hijau dan gatal. Diagnosis boleh dibuat dengan tepat selepas ujian ini dilakukan.


Mengawal kencing manis ibu puan dengan lebih serius. Saya rasa kawalan kencing ibu puan tidak terkawal dengan baik.

Mengenal pasti komplikasi lain seperti jangkitan air kencing, jantung dan sebagainya. Ada juga wanita yang sudah lama menopaus mendapati cecair warna hijau dari vagina kerana kekurangan hormon estrogen menyebabkan dinding faraj menjadi tipis, mudah luka dan dijangkiti kuman.


Saya tidak menggalakkan puan membeli ubat dari farmasi tetapi berjumpalah doktor pakar untuk prosedur diagnosis dan rawatan yang tepat.