"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, January 30, 2010

Denggi belum reda

Oleh Hafizah Iszahanid

Aedes boleh bertelur dalam setitik air

MALAYSIA sudah mengenali denggi sejak 1975. Namun, selepas 34 tahun denggi masih menjadi antara ancaman kesihatan utama di negara ini.

Pada peringkat gobal, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan 2.5 bilion penduduk dunia terdedah kepada ancaman denggi, manakala 50 juta kes denggi dicatatkan setiap tahun. Malah, denggi turut menjadi wabak di lebih 100 negara.

Timbalan Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Hassan Abdul Rahman, berkata denggi boleh disifatkan penyakit bandar. Malah di kawasan penempatan sesak, kes wabak denggi boleh melonjak sehingga 75 peratus.

“Walaupun denggi sudah lama wujud di Malaysia, kajian pada 2006 mendapati 50 peratus penduduk masih beranggapan mereka tidak akan diserang denggi, manakala 30 peratus lagi tidak peduli mengenainya,” katanya.

Kata Dr Hassan, masyarakat umum hanya membuat andaian nyamuk bertelur di dalam air bertakung, tetapi tidak ramai yang tahu telur nyamuk ini mampu bertahan tanpa air sehingga tiga bulan. Malah struktur ketahanan larva atau jentik-jentik itu memungkinkan nyamuk bertelur walaupun hanya dalam setitik air.

“Aedes juga berupaya terbang sehingga 400 meter. Walaupun kementerian melancarkan program Combi (Program Komunikasi Perubahan Tingkah Laku), malangnya tidak semua kawasan melaksanakannya. Secara perbandingan, setakat ini ada 900 zon yang melaksanakan Combi.

“Kita dapati, kes denggi lebih rendah di kawasan Combi berbanding kawasan yang tidak melaksanakan program itu,” katanya.

Mengenai vaksin antidenggi, Dr Hassan berkata, setakat ini lima daripadanya masih dalam ujian percubaan, manakala dua lagi masih pada tahap penilaian. Ini menyebabkan vaksin itu tidak mungkin dapat disiapkan dalam masa lima tahun.

Apa yang pasti, hampir setiap hari, kita terus dibayangi kebimbangan mengenai kes demam denggi yang seakan-akan tiada surutnya. Buktinya, bagi tempoh seminggu iaitu 27 Disember 2009 hingga 2 Januari lalu, sejumlah 876 kes demam denggi dicatatkan, termasuk tiga kematian dilaporkan di seluruh negara. Jumlah itu meningkat 60 kes berbanding minggu sebelumnya.

Secara keseluruhannya, Sabah mencatatkan peningkatan kes ketara sebanyak 187 peratus, diikuti Melaka 133 peratus, Kedah 67 peratus dan Perak 31 peratus. Jumlah terkumpul kes demam denggi setakat 2 Januari adalah 41,486 dengan 88 kematian.

Kebanyakan kes membabitkan kematian dikaitkan dengan komplikasi demam denggi seperti demam denggi berdarah dan sindrom renjatan denggi.

Dr Hassan berkata, ada banyak faktor demam denggi semakin bertambah. Selain ketibaan angin monsun timur laut (November 2009 hingga Mac 2010) perpindahan penduduk ke bandar, masalah bekalan air dan pembukaan kawasan penempatan baru yang sebahagiannya tidak terancang.

INFO: Denggi Berdarah

* Gejala awal demam denggi berdarah hampir sama dengan denggi. Bagaimanapun, beberapa hari kemudian pesakit mula berpeluh, resah dan sakit sendi. Pendarahan akan berlaku pada liang kecil di kulit. Demam denggi berdarah boleh menyebabkan kegagalan fungsi organ.



Sindrom Renjatan Denggi

* Bagi kes yang serius, keadaan pesakit merosot dengan mendadak selepas demam beberapa hari.
* Antara gejala kegagalan peredaran darah ialah kulit pesakit menjadi dingin, lebam dan padat dengan darah terkumpul, sianosis sirkumoral (circumoral cyanosis) dan pesakit berasa tidak selesa.
* Seterusnya, melarat ke tahap renjatan yang kritikal seperti denyutan nadi yang lemah dan cepat, tekanan darah rendah, kulit menjadi dingin serta lembap dan berasa tidak selesa.
* Pesakit yang mengalami renjatan berada keadaan bahaya dan boleh mengancam nyawa jika rawatan bersesuaian tidak diberikan segera.
* Jangka masa renjatan pendek. Pesakit mungkin meninggal dunia dalam tempoh 12 - 24 jam atau sembuh dengan cepat selepas diberi terapi antirenjatan.



Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Sihat/20100117095610/Article/

Rawatan Parkinson

Ubat bantu hadkan masalah tubuh terketar-ketar, tingkatkan kualiti hidup pesakit

MASA depan anda tidak semestinya gelap andainya disahkan menghidap Parkinson. Biarpun ia bukan penyakit yang dapat dipulihkan, masih ada beberapa cara untuk mengubatinya dengan lebih berkesan bagi mengurangkan simptom penyakit ini.

Kebanyakan simptom ini disebabkan kekurangan dopamine dan ubat yang lazimnya digunakan pula cuba mengambil alih atau meniru fungsi dopamine yang bertindak membantu mengurangkan gerak tubuh terketar-ketar dan memperlahankan masalah pergerakan badan.

Ada beberapa jenis ubat-ubatan baru yang kini dikaji kemampuannya, termasuk dipercayai dapat memperlahankan penularan penyakit itu. Kebanyakannya menjanjikan peluang cerah memperbaiki kualiti hidup pesakit yang menghidapinya.

Dalam usaha mengubati Parkinson, ada beberapa kelas ubat-ubatan berbeza digunakan bagi peringkat penyakit berlainan sama ada digabung atau secara sendiri. Ini bergantung kepada tahap penyakit, usia pesakit dan toleransi terhadap rawatan perubatan. Malah rawatan awal bergantung kepada individu.

Kelas ubat-ubatan yang digunakan termasuk levodopa, dopamine agonists, COMT-inhibitors, MAO-B-inhibitors dan ubat anticholinergic. Ada beberapa jenis ubat-ubatan baru yang masih pada peringkat kajian yang mampu memperlahankan penyakit ini. Kebanyakannya mampu mempertingkatkan kualiti hidup pesakit yang menghidap penyakit ini.

Levodopa misalnya, menjadi ubat paling kerap digunakan untuk Parkinson dan cukup berkesan dalam usaha mengurangkan tiga simptom utama penyakit ini - pergerakan yang perlahan, ketegangan dan terketar-ketar.

Dopamine agonist bertindak dengan mempertingkatkan aktiviti dopamine dalam otak. Ia bertindak dengan meniru fungsi dopamine yang berkurangan bagi pesakit Parkinson. Kajian menunjukkan rawatan awal menggunakan dopamine agonist mampu mengurangkan insiden komplikasi motor.

Ubat Penyekat COMT pula berfungsi menyekat tindakan catechol-O-methyl transferase (COMT) - sejenis enzim yang memetabolismakan lepodova sebelum sampai ke otak. Ubat ini biasa digunakan bersama levodopa, membantu memanjangkan tindakan lepodova bagi memastikan dos lebih kuat dibekalkan kepada pesakit - lebih menambahkan kadar dopamine dan meningkatkan mobiliti fizikal.

Penyekat-MAO-B turut digunakan bersama kombinasi levodopa dan dikatakan sangat berkesan pada peringkat awal Parkinson kerana dapat melengahkan penyakit daripada serius. Penyekat MAO-B membantu mengurangkan simptom Parkinson dengan menyekat monoamine oxidase-B (MAO-B) yang merosakkan dopamine.

Akhir sekali, anticholinergic iaitu ubatan sokongan yang digunakan untuk mengurangkan kimia semula jadi dalam otak - acetylcholine yang mengaktifkan otot. Bagaimanapun, anticholinergics membantu menurunkan kadar kimia dalam apa disifatkan ‘pemancar’ saraf ini bagi mengurangkan simptom Parkinson. Ia berguna bagi merawat pesakit yang mengalami simptom seperti masalah terketar-ketar.

Oleh itu, pemantauan tetap oleh pakar saraf, pesakit dan penjaga cukup penting bagi memastikan dos betul dan jenis ubat-ubatan (secara kombinasi) untuk merawat kerana setiap kes adalah unik.

Kita juga perlu tahu ubatan yang disarankan kepada pesakit Parkinson ada kesan sampingannya seperti loya, muntah dan pening. Kesan sampingan paling serius ialah gerakan tubuh secara tiba-tiba yang biasanya tidak dapat dikawal pesakit atau menjangka gerakan tubuh yang tersentak akibat rawatan levodopa yang berterusan.

Masalah ini tidak boleh dipulihkan kerana akan hadir sepanjang hayat. Keadaan ini juga penyebab utama timbulnya stigma sosial, menyebabkan pesakit Parkinson malu untuk berhadapan dengan masyarakat. Oleh itu, rawatan menggunakan levodopa dielakkan pada peringkat awal Parkinson (5-10 tahun), bertujuan mengelak perkembangan gerakan tubuh tiba-tiba atau dyskinesia pada peringkat seterusnya.

Ubat jenis Dopamine agonist juga boleh menyebabkan kesan sampingan seperti loya, pening, mengantuk, kekeliruan dan tekanan darah rendah. Mujur, dengan kemunculan ubat-ubatan baru seperti Ropinirole, kekerapan kesan sampingan berkurangan dan diharapkan ubatan yang bakal muncul di masa depan mengurangkan lagi kekerapan kesan sampingan.

Perlu diingat, hidup dengan Parkinson bermaksud memahami keadaan dan peka kepada setiap simptom yang ada bagi memudahkan doktor menjalankan rawatan dengan lebih efektif.

Penulis ialah Pakar Runding Neurologi, Hospital Pantai Cheras. Untuk maklumat lanjut mengenai Parkinson, lawati www.lloydtan-trust.com.


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Sihat/20100124084505/Article/

Dengkur petanda sakit kronik

Oleh Hafizah Iszahanid

Dengkur yang berlaku akibat getaran tisu di laluan pernafasan, turut mengganggu pasangan.

Penghidap gangguan tidur Obstructive Sleep Apnea berisiko serangan jantung, strok

RAMAI beranggapan dengkur hanyalah gangguan tidur yang jika memudaratkan dan sekadar menjejaskan tidur pasangan. Tidak kurang yang memandang ringan dengan menganggap masalah dengkur itu berlaku akibat getaran tisu di atas laluan pernafasan.

Bagaimanapun, dengkur bukan lagi masalah biasa, sebaliknya serius apabila anda berhenti bernafas selama 10 saat atau lebih setiap kali berdengkur. Keadaan itu dikenali gangguan tidur (Obstructive Sleep Apnea - OSA).

Sejauh manakah serius atau kroniknya masalah ini? Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak, Hospital Pantai Ampang, Dr Raymond Tan Suo Kuan, berkata OSA ialah masalah kesihatan yang kronik. Ia menyebabkan seseorang itu berhenti bernafas dalam tidur secara berulang kali iaitu antara lima hingga 30 kali atau lebih dari sejam.

"Setiap kali selepas pernafasan terhenti, pesakit akan cuba kembali bernafas. Cubaan itu menghasilkan bunyi yang kuat dan seakan tercekik," katanya.

Kata Dr Tan, bukan semua orang berdengkur mengalami OSA, tetapi semua yang mengalami OSA sememangnya berdengkur. Ia lebih kerap berlaku di kalangan lelaki yang obes atau terlalu gemuk, tanpa mengira umur. Bagaimanapun, katanya, ada perbezaan antara dengkur biasa dan dengkur simptom OSA.

Berdengkur umumnya mengganggu tidur pasangan tetapi dengkur biasa disusuli dengan petanda lain seperti berasa letih setiap pagi, sakit kepala, sakit tekak dan mulut yang kering.

Namun, apa yang membimbangkan, dengkur yang dikaitkan dengan simptom OSA disusuli masalah hipertensi atau darah tinggi, angin ahmar dan masalah kardiopulmanori.

Dr Tan berkata, mereka yang berisiko mengalami OSA memiliki jisim berat badan (BMI) lebih dari 28. Malah, OSA itu lebih ketara di kalangan lelaki berbanding wanita dengan kelaziman empat peratus di kalangan lelaki jika dibandingkan dengan wanita, sebanyak dua peratus.

"OSA selalunya berlaku di kalangan lelaki berusia 25 ke 45 tahun dan dianggap masalah biasa di kalangan lelaki berusia 55 tahun ke atas. Bagi wanita, walaupun insiden OSA lebih rendah berbanding lelaki, tetapi selepas putus haid, kekerapan itu sama dengan lelaki.

"Mereka yang mengalami OSA berhadapan dengan masalah saluran pernafasan yang sempit. Malah, salur nafas itu boleh tertutup untuk beberapa saat," katanya.

Kata Dr Tan, keadaan ini disebabkan ketika tidur, udara tidak boleh melalui paru-paru dan hidung walaupun pesakit cuba untuk bernafas. Apabila ia terjadi, jumlah oksigen dalam darah menurun. Pernafasan normal bermula dengan bunyi dengkur dan bunyi seakan-akan tercekik yang kuat.

"Justeru, pesakit seakan-akan meronta-ronta dalam tidur untuk mendapatkan pernafasannya kembali. Jika pernafasannya terhenti secara berterusan dan tertutup 100 peratus, maka ia dinamakan apnea. Lazimnya, apabila sukar bernafas, pesakit akan terjaga daripada tidur kerana paru-paru yang bergerak dan kadar oksigen yang kian menurun.

Dr Tan berkata, OSA kerap dialami mereka yang gemuk, merokok dan mengambil alkohol. Apa yang menyedihkan, sering kali juga, mereka yang mengalaminya tidak mengetahui masalah yang dihadapi.

Berikutan itu, kerap kali OSA dikesan secara tidak sengaja ketika penghidapnya menjalani rawatan di hospital atau dimaklumkan oleh pasangan.

Apakah yang boleh berlaku jika OSA tidak dirawat? Antara risiko utama termasuk mengalami tekanan darah tinggi, masalah jantung dan serangan jantung, angin ahmar dan merosotnya kualiti hidup.

Bagaimana merawat OSA?

Rawatan paling umum OSA ialah 'tekanan berterusan laluan udara' atau CPAP (Continuous Positive Airway Pressure). Rawatan lain termasuk menurunkan berat badan, ubat-ubatan secara oral, terapi dan pembedahan.

Berat badan yang bertambah sememangnya menjadi faktor risiko berlakunya OSA. Namun, ia tidak pula bermaksud apabila anda mencapai tahap berat badan ideal, masalah itu akan selesai, sebaliknya berbincang dengan doktor untuk mendapatkan rawatan terbaik.

INFO:

* Berlaku jika anda berhenti bernafas selama 10 saat atau lebih setiap kali berdengkur

Simptomnya termasuk:
o Mengantuk pada siang hari atau keletihan
o Mulut kering atau sakit tekak apabila terjaga dari tidur
o Sakit kepala pada waktu pagi
o Sukar memfokus dan mudah lupa
o Berpeluh pada waktu malam
o Rasa gelisah ketika tidur
o Tidak berfungsi secara seksual
o Berdengkur
o Kerap terjaga dari tidur secara mengejut kerana berasa tercekik


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Sihat/20100117094629/Article/

Pulih rabun jauh

Implan kanta lekap sesuai bagi usia 21 hingga 45 tahun

MASALAH penglihatan kabur atau rabun bukanlah sesuatu yang luar biasa. Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seramai 153 juta orang dianggarkan mengalami masalah penglihatan seperti myopia (rabun jauh), hyperopia (rabun dekat) dan astigmatism.

Ketua Perunding Surgeri Ophthalmic Vista Laser Eye Center Sdn Bhd, Dr Aloysius Low, berkata masalah itu bagaimanapun boleh dirawat hasil perkembangan teknologi terkini seperti kaedah laser.

Dua kaedah berasaskan laser yang ditawarkan ialah Lasik (Laser-assisted In Situ Keratomileusis) dan Lasek (Laser-assisted Subephithelial Keratomileusis).

“Namun ramai tidak menyedari kewujudan satu lagi teknologi iaitu Implan Kanta Lekap Vision atau iContact Lens yang sudah diperkenalkan di Malaysia sejak 2005,” katanya, baru-baru ini.

Dr Low berkata, iContact Lens yang turut dikenali Phakic Intraocular Lens Implantation atau Phakic IOL, membabitkan kaedah kanta lekap tiruan dimasukkan menerusi pembedahan ke dalam mata pesakit. Kanta asli mata tidak dikeluarkan kerana kanta lekap tiruan itu bertujuan menggantikan kanta semula jadi berkenaan.

Prosedur iContact Lens terbahagi kepada dua bahagian - yang pertama membabitkan laser YAG. Ia membabitkan prosedur membuat dua bukaan kecil pada anak mata yang bertujuan membendung kemungkinan berlaku tekanan intraokular, selain membolehkan implan iContact Lens disempurnakan. “Bahagian kedua pula proses memasukkan kanta (bersifat anjal) yang akan dilipat, dimasukkan ke dalam katrij kecil dan terus disalurkan ke dalam belahan terdahulu. Sebaik kanta (yang dilipat) dimasukkan, secara automatik ia akan terbuka dalam mata. Sebaik kanta selesai dimasukkan sepenuhnya, empat sudut pada kanta akan diletakkan di belakang iris dan di depan kanta crystalline. Anda sendiri tidak akan perasaan kehadiran kanta begitu juga orang lain,” katanya pada majlis taklimat Sesi Latihan Pakar Dalaman mengenai prosedur refraktif iContact Lens dan NASA iLASIK di The Curve, Mutiara Damansara.

Teknologi ini boleh dimanfaatkan pesakit yang mengalami rabun jauh pada kadar sederhana dan tinggi dengan kornea nipis. Ia juga pilihan terbaik kepada pesakit yang tidak sesuai menjalani prosedur Lasik.

Rawatan ini boleh dimanfaatkan:

* Pesakit berusia lebih 21 tahun dan kurang 45 tahun.
* Pesakit yang melebihi 45 tahun dan mengalami presbyopic atau peringkat awal presbyopic dinasihatkan memilih alternatif rawatan lain.
* Kanta implan sesuai untuk pesakit yang punyai darjah myopia -6.00 - -20.00 diopters
* Pesakit yang tiada langsung atau sedikit astigmatism
* Pesakit yang tidak sesuai melalui proses Lasik (kornea terlalu nipis)



Risiko rawatan kanta implan:

* Seperti mana-mana surgeri, risiko wujud dalam keadaan tertentu. Penting bagi pesakit untuk memahami risiko berkenaan, menilai dan membandingkannya dengan manfaat dan kelebihan sama ada surgeri ini sesuai atau tidak dengan pesakit. Biarpun komplikasi selepas surgeri Phakic IOL sangat jarang berlaku, keadaan berikut harus diambil perhatian seperti jangkitan, peningkatan tekanan intraokular, katarak, kehilangan sel corneal endothelial dan keradangan. Memandangkan ia teknologi baru, kesan jangka panjang dan risiko penggunaan lebih dari 10 tahun masih tidak diketahui)

Kesan sampingan:

* Kesannya amat minimum dan kebanyakan pesakit mengalami penglihatan kabur selama beberapa hari.
* Mereka juga amat sensitif terhadap cahaya selama beberapa minggu.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Sihat/20100124084833/Article/

Berat berlebihan panjangkan umur manusia

SELAMA ini kita diberi peringatan tentang bahaya memiliki berat badan berlebihan. Sebuah kajian yang dijalankan di Australia sebaliknya mendapati golongan yang berumur 70 tahun ke atas yang memiliki berat badan berlebihan memperoleh jangka hayat tambahan sehingga 10 tahun lebih lama berbanding mereka yang sebaya dengan berat badan normal.

Kajian terbitan 28 Januari lalu di dalam Journal of the American Geriatrics Society itu bertentangan dengan kajian asal yang mencadangkan memiliki berat badan berlebihan mengundang pelbagai jenis penyakit, termasuk penyakit jantung.

"Kajian kami mencadangkan mereka yang berumur 70 tahun dan memiliki kesihatan yang baik berdepan dengan set risiko dan kebaikan yang berbeza mengikut jumlah lemak dalam tubuh berbanding golongan yang lebih muda," kata ketua pengkaji di Universiti Australia Barat, Leon Flicker.

Flicker dan pasukannya menghabiskan masa selama sedekad untuk mengumpul data kesihatan lebih 9,200 warga Australia berumur antara 70 hingga 75 tahun pada 1996 ketika kajian itu dimulakan. Australia berada pada kedudukan negara ketiga paling tinggi penghidap obesiti di dunia selepas Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Kajian itu memperhalusi berat badan berlebihan dan tahap obesiti berdasarkan indeks jisim tubuh (BMI), ukuran yang mempertimbangkan berat badan dan ketinggian. Empat kategori berat yang digunakan dalam kajian itu termasuklah berat badan kurang, berat badan normal, berat badan berlebihan dan obesiti.

Orang yang memiliki berat badan berlebihan berdepan dengan 13 peratus lebih rendah risiko kematian berbanding mereka yang memiliki berat badan normal.

Bagaimanapun, tiada kebaikan ditemui pada mereka yang menghidap obesiti.

Pengkaji juga mendapati pekerjaan yang lebih banyak dilakukan dalam posisi duduk menggandakan risiko kematian bagi wanita dan meningkatkan satu suku risiko bagi lelaki.

Susulan daripada penemuan itu, pengkaji mencadangkan sudah tiba masanya sistem yang menentukan sama ada seseorang itu memiliki berat badan berlebihan dan obesiti dinilai semula.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0131&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_02.htm