"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Friday, September 25, 2009

Rahsia Dzikir

Otak menjalankan aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna.

Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain. Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas.

Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik.


Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan.Otak mula memahami perkara baru, melihat dari sudut perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedang sebelum berzikir otak tidak begini.


Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993.


Satu kajian yang dilakukan di Universiti Washington dan ujian ini dilakukan melalui ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar.Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan.


Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks.Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang-ulang kali, aktiviti saraf otak merebak pada kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain.


Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama. Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya

Masalah penghadaman di kalangan rakyat malaysia

APABILA membincangkan tentang isu kesihatan dan kesejahteraan, kesihatan saluran penghadaman biasanya kurang diutamakan berbanding topik yang membabitkan jantung dan tekanan darah. Tetapi usaha menjaga kesihatan sistem penghadaman anda tidak kurang penting berbanding usaha menjaga kesihatan semua bahagian lain badan. Masalah kesihatan saluran penghadaman bukan sahaja mengganggu perut dan usus, tetapi juga boleh menjejaskan kehidupan anda.



l Empat Masalah Utama
Penyakit yang berkaitan dengan saluran gastrousus (GU) dinamakan penyakit penghadaman. Di Malaysia, masalah penghadaman umum yang dialami oleh dewasa Malaysia, berasaskan tahap penularannya ialah:


1. Penyakit Refluks Gastroesofagus (Reflux Oesophagitis)


Penyakit ini berlaku apabila sfinkter esofagus bawah (injap antara esofagus dan perut) tidak ditutup dengan cukup rapat, membolehkan asid perut untuk mengalir kembali ke dalam esofagus. Tanda ataupun simptom paling umum ialah pedih hulu hati. Gejala lain termasuk batuk, suara serak, sendawa dan rasa masam di mulut. Di Malaysia, seperti kebanyakan negara di Asia, penyakit refluks semakin menular kerana faktor gaya hidup, seperti gaya hidup tidak aktif yang tidak mementingkan kegiatan fizikal dan juga pilihan makanan, misalnya makanan berminyak dan berlemak. Namun begitu, penyakit ini boleh dirawat menerusi ubat preskripsi atau dengan membuat perubahan gaya hidup, iaitu jangan makan secara berlebihan, mengurangkan berat badan berlebihan dan menambahkan kekerapan senaman.


2. Sindrom Usus Terganggu (Irritable Bowel Syndrome)


SUT ialah sejenis gangguan usus yang dialami kira-kira 430,000 rakyat Malaysia. Gangguan ini menyebabkan sakit perut, kekejangan, kembung, cirit-birit atau sembelit. Gejala utamanya ialah sakit perut dengan sembelit atau cirit-birit. Terdapat pelbagai teori yang mengenal pasti punca SUT. Ia mungkin berlaku akibat kaitan antara faktor alam sekitar dan genetik. Gejalanya juga dianggap berkaitan dengan komunikasi kurang baik antara otak dan saluran gastrousus. Pergerakan yang normal mungkin tidak berlaku di dalam kolon seseorang yang menghidap SUT. Walaupun SUT ialah sejenis gangguan tidak berbahaya (benign), ia boleh menjejaskan kualiti kehidupan dan mengganggu anda selama bertahun-tahun. Penyakit ini biasanya dialami oleh mereka yang berusia lewat 20-an, wanita dan individu yang mempunyai sejarah SUT dalam keluarga. Rawatannya termasuk perubahan diet dan gaya hidup, seperti mengelakkan makanan yang mencetus gejala, kerap bersenam dan menguruskan stres.


3. Ulser peptic (peptic ulcer)

Ulser peptik ialah liang kecil yang menembusi lapisan perut atau duodenum. Ulser mungkin atau mungkin tidak memperlihatkan sebarang gejala, tetapi apabila gejala didapati, ia termasuk sakit membara atau menusuk di bahagian tengah atau atas perut, kehilangan selera dan penurunan berat badan serta najis berwarna gelap atau hitam (akibat pendarahan). Gejalanya berbeza-beza antara individu. Punca utama ulser peptik ialah penggunaan ubat antiradang bukan steroid (NSAID) seperti aspirin, ibuprofen dan ubat lain. Punca umum kedua ialah jangkitan oleh sejenis bakteria yang dinamakan Helicobacter pylori (H. pylori) Sebab lain termasuk merokok atau pengambilan alkohol berlebihan. Stres juga boleh memburukkan lagi gejala.


4. Kanser kolon (colon cancer)

Kanser kolon biasanya bermula sebagai polip, iaitu ketumbuhan kecil pada permukaan kolon. Kebanyakan polip adalah tidak berbahaya (benign), tetapi sekurang-kurangnya satu jenis polip boleh bertukar menjadi malignan (merebak) dan merupakan pelopor bagi kanser kolon. Laporan kedua Pendaftaran Kanser Kebangsaan menarafkan kanser kolon sebagai kanser ketiga paling umum dialami oleh rakyat Malaysia. Penularan kanser kolon juga semakin ketara, terutamanya di kalangan golongan muda. Orang yang berusia lebih 50 tahun menghadapi risiko kanser kolon yang lebih tinggi. Faktor risiko lain termasuk sejarah kanser kolon dalam keluarga, kegemukan, diet yang tinggi kandungan lemak dan rendah kandungan serat, merokok dan kehidupan tidak aktif.


l Mengawal Kesihatan Anda
Lazimnya, anda boleh mengawal kesihatan anda hanya dengan mengambil beberapa langkah pencegahan seperti mengubah gaya hidup dan tabiat pemakanan anda. Jangan tunggu sehingga anda mengalami masalah penghadaman. Mulakan serta-merta untuk memastikan sistem penghadaman anda akan kekal sihat pada hari ini dan sepanjang hayat.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_06.htm

Kita kurang pakar kanser kanak-kanak

KUALA LUMPUR 23 Julai - Lebih ramai pakar kanser kanak-kanak diperlukan di negara ini bagi merawat pesakit kecil yang menderita penyakit itu, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr. Mohd. Nasir Mohd. Ashraf.


Beliau berkata, setakat ini, negara hanya memiliki seramai 10 pakar kanser kanak-kanak yang ditempatkan di hospital kerajaan.


''Hospital Kuala Lumpur (HKL) kini sedang mengkaji perkara ini termasuk memberi 600 biasiswa bagi melatih dan menyediakan kepakaran di kalangan doktor sedia ada.


''Langkah ini bertujuan memastikan negara tidak terus 'ketandusan' doktor-doktor pakar khusus untuk merawat pesakit kanser,'' katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melawat Institut Pediatrik di HKL di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah HKL, Datuk Dr. Zaininah Mohd. Zain.


Sementara itu, menurut Mohd. Nasir, kementerian juga bercadang untuk menempatkan doktor-doktor pakar di setiap negeri jika negara ini berjaya melahirkan lebih ramai doktor pakar kanser kanak-kanak.


''Sekiranya kerajaan berjaya mencapai sasaran ini, kita tidak lagi perlu bimbang untuk menempatkan doktor-doktor pakar di setiap negeri.


''Ia sekali gus memudahkan pesakit-pesakit yang tinggal di luar ibu negara mendapatkan rawatan di negeri masing-masing tanpa perlu datang ke HKL,'' katanya.


Terdahulu, Rosmah meluangkan masa lebih sejam melawat kira-kira 350 pesakit kanak-kanak di Wad Perubatan dan Nefrologi (KK1), Wad Perubatan, Kardiologi dan Neurologi (KK2) serta Wad Onkologi (KK3) di institut tersebut.


Lawatan itu diadakan sempena ulang tahun kelahiran ke-56 suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.


Dalam lawatan itu, Rosmah turut menghadiahkan hamper berisi coklat, buah-buahan, anak patung beruang serta siri buku cerita kepada kanak-kanak di wad berkenaan.


Beliau berkata, kunjungannya itu juga merupakan satu aktiviti dalam usaha mendekatkan diri serta mendalami isi hati seluruh rakyat negara ini.


''Pada sesi lawatan ini, saya bertemu dengan kanak-kanak yang menghidap pelbagai kanser serta buah pinggang, dan saya dimaklumkan bahawa negara kekurangan pakar kanser untuk merawat pesakit-pesakit ini,'' ujarnya.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0724&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_05.htm

Air liur pijat jadi penawar kanser?

PARA penyelidik di Brazil mendapati air liur parasit penghisap darah, pijat mempunyai potensi besar untuk menjadi penawar kanser kulit, hati dan pankreas. Sejenis protein dalam air liur pijat yang ditemui di Amerika Selatan, Amblyomman cajennense didapati mampu mengurangkan dan menghapuskan sel-sel kanser dan membiarkan sel-sel yang sihat terus hidup.


"Ini satu inovasi yang radikal. Komponen dalam air liur pijat ini mungkin boleh menjadi penawar kanser," kata ketua kajian dan pakar biologi molekular, Ana Marisa Chudzinski-Tavassi dari Institut Butantan, Sao Paulo.


Protein yang dinamakan sebagai Faktor X aktif itu ditemui sewaktu ujian ciri-ciri antikelikatan air liur pijat dijalankan. Ciri-ciri itulah yang menghalang penebalan dan pembekuan darah supaya pijat boleh terus menghisap darah mangsa.


Memiliki ciri-ciri yang menyamai antikelikatan lain, TFPI (Tissue Factor Pathway Inhibitor), para penyelidik juga terkejut mendapati protein Faktor X itu tidak membunuh sel-sel normal. Sebaliknya, ia hanya membunuh sel-sel tumor yang dianalisis. - AFP


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0904&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_05.htm

Barah sistem limfa

SELASA depan, 15 September 2009, genap lima tahun sambutan Hari Kesedaran Limfoma Sedunia sejak dilancarkan pada 2004.Walaupun sudah lima tahun, tidak ramai tahu mengenainya, malah perkataan ‘limfoma’ masih terlalu asing bagi kebanyakan orang dalam masyarakat kita kecuali yang ada ahli keluarga menghidap penyakit ini.Apa itu limfoma?

Limfoma ialah kanser pada sistem limfa. Sistem limfa membentuk sebahagian daripada sistem pertahanan badan. Ia membabitkan organ, duktus dan nodus limfa. Ia membawa cecair jernih dipanggil limfa.Komposisi limfa lebih kurang sama dengan plasma (cecair kuning pucat diperoleh daripada darah) tetapi kurang kandungan protein dan beberapa sel.



Sistem limfa ada di semua bahagian badan kecuali sistem saraf pusat (di tulang belakang). Bahagian utama sistem limfa ialah sumsum tulang, limpa, kelenjar timus dan tonsil. Ia juga ada pada semua organ, termasuk jantung, paru-paru, hati, usus dan kulit.


Sistem limfa boleh diumpamakan sebagai jaringan perparitan yang membantu mengekalkan keseimbangan paras cecair badan dan melindungi badan daripada jangkitan.Sistem limfa membabitkan jaringan salur limfa yang membawa cecair jernih dipanggil limfa — mengandungi molekul protein, garam, glukos, urea dan bahan lain ke seluruh badan.

Antara tugas penting sistem limfa ialah mengutip cecair berlebihan daripada tisu badan dan mengembalikannya ke dalam darah.Proses ini penting kerana air, protein dan lain-lain bahan sentiasa ‘bocor’ daripada salur darah halus dan memasuki tisu badan. Jika sistem limfa tidak ‘mengutip’ cecair berlebihan ini, tisu akan membengkak.Sistem limfa juga bertindak sebagai barisan pertahanan yang melindungi badan daripada bakteria, virus dan fungus yang boleh menyebabkan penyakit.Kuman ini ditapis di nodus limfa yang mengandungi sel darah putih (limfosit).

Limfosit menghasilkan antibodi iaitu protein khas yang melawan dan memusnahkan kuman.Nodus limfa berbentuk kacang, bersaiz antara beberapa milimeter ke satu hingga dua sentimeter. Ia bersambung dengan banyak salur limfa yang halus membawa cecair dari tisu.


Nodus limfa boleh menjadi besar (bengkak) disebabkan jangkitan atau ketumbuhan.Dinding salur limfa yang halus (dipanggil kapilari) sangat telus. Jadi pergerakan cecair daripada tisu ke dalam salur kapilari limfa berlaku sepanjang masa.Tidak seperti sistem edaran darah, sistem limfa tiada tekanan dan ia bergerak dalam arah sehala secara perlahan-lahan ke arah nodus limfa.

Limfa mengagihkan sel darah putih dan beberapa faktor penting ke seluruh badan. Ia juga berhubungan dengan sistem aliran darah untuk menyingkir cecair daripada sel dan tisu.Limfosit adalah komponen penting bagi sistem imun yang bertanggungjawab memusnahkan bahan asing seperti virus, bakteria atau fungus yang masuk ke dalam badan.


Limfoma terjadi apabila limfosit tidak normal terbentuk terlalu cepat atau hidup terlalu lama. Bagi sel darah putih yang normal, jangka hayatnya kira-kira 120 hari saja.Sel limfosit ini boleh berkumpul pada nodus limfa atau pada mana-mana sistem limfa untuk membentuk tumor atau ketumbuhan.

Punca sebenar limfoma tidak diketahui. Banyak pendapat mengaitkan bahan kimia tertentu yang digunakan dalam racun serangga dan pengawet kayu dengan limfoma.Malah, penerima organ yang mengambil ubat anti penolakan dan individu yang ada masalah daya ketahanan badan seperti penghidap jangkitan HIV juga boleh mendapat limfoma.


Bagaimanapun, limfoma tidak berjangkit dan tidak diwarisi.Sehingga kini dianggarkan ada kira-kira sejuta pesakit kanser limfoma dengan lebih 360,000 kes baru dan 200,000 kematian setiap tahun. Sesetengah jenis limfoma sukar dikesan dan selalu disalah anggap dengan penyakit biasa seperti flu atau selesema.

Walaupun limfoma antara kanser paling cepat merebak dengan satu juta pesakit dan 1,000 kes baru dikesan setiap hari di seluruh dunia, soal selidik antarabangsa mendapati:


· Hanya 49 peratus orang tahu mengenai fungsi nodus limfa


· Meskipun responden pernah mendengar perkataan limfoma, 52 peratus mengakui tidak tahu mengenainya


· Kira-kira 67 peratus responden tidak tahu limfoma adalah sejenis kanser yang mempunyai kadar pertumbuhan paling cepat di duniaLimfoma boleh berlaku pada semua peringkat umur, termasuk kanak-kanak.

Di Malaysia, Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Ketiga mengenai Insiden Kanser di Semenanjung Malaysia 2003-2005 mencatatkan limfoma antara 10 jenis kanser paling lazim. Insiden limfoma di kalangan lelaki ialah 6.2 peratus dan 3.4 peratus pada wanita berbanding semua jenis kanser.


Perunding Haematologi, Dr Ng Soo Chin, berkata kanser ini terbahagi kepada dua iaitu:


· Limfoma Hodgkin — Ini adalah jenis limfoma yang jarang berlaku dan dikategorikan dengan kehadiran sel tumor tidak normal dipanggil sel Reed Sternberg yang tidak ditemui pada limfoma lain. Jika diberi rawatan sesuai, 75 peratus pesakit boleh sembuh.


· Limfoma bukan Hodgkin (NHL) — Ini adalah kanser paling lazim pada sistem limfa. Ia boleh dibahagikan kepada limfoma sel B (80 hingga 85 peratus) dan limfoma sel T (15 peratus).

Limfoma NHL lebih kerap berlaku pada orang dewasa dan kes paling banyak dicatatkan dalam lingkungan umur 45 hingga 60 tahun.Walaupun ada lebih 30 jenis limfoma NHL, secara umumnya ia dibahagi kepada tiga kumpulan utama mengikut kadar pertumbuhan tumor sama ada perlahan, sederhana ke cepat dan sangat cepat.

Gejala limfomaSesetengah jenis limfoma sukar dikesan kerana kadangkala ia tidak menunjukkan gejala dan jika ada, ia sering disalah anggap sebagai penyakit biasa seperti selesema atau flu.


Biasanya kes hanya dikesan secara tidak sengaja apabila seseorang menjalani pemeriksaan kesihatan atau ujian untuk penyakit lain.


· Nodus limfa pada leher, ketiak dan celah kangkang bengkak tetapi tidak sakit


· Berpeluh banyak pada waktu malam


· Demam berulang kali


· Berat badan menurun (turun 10 peratus dalam tempoh lebih enam bulan) dan hilang selera makan


· Batuk yang tidak berhenti dan sesak nafas


· Gatal seluruh badan tanpa sebab nyataTidak kira apa jenis kanser pun, kebanyakan pesakit sukar menerima hakikat mereka diserang penyakit berbahaya ini. Kebanyakan pakar berdepan cabaran besar untuk memaham dan meyakinkan pesakit serta ahli keluarga mereka bahawa limfoma adalah kanser yang boleh merebak.

Justeru, ia perlu dirawat secepat mungkin supaya rawatan memberi hasil lebih baik. Pada masa sama sokongan keluarga dan rakan penting untuk membantu pesakit menjalani pemeriksaan serta rawatan.

Diagnosis dan rawatan


Rawatan untuk limfoma NHL bersifat individu dan berbeza antara pesakit. Ia bergantung kepada beberapa faktor seperti jenis limfoma dihidapi (sama ada lambat atau cepat merebak), kes baru atau berulang, keadaan penyakit, umur dan tahap kesihatan pesakit secara keseluruhan.

Presiden Persatuan Haematologi Malaysia ini berkata, perkara paling penting dalam rawatan limfoma ialah pesakit mendapat diagnosis (pengesahan) betul pada peringkat awal.Ini kerana strategi rawatan berbeza mengikut jenis kanser dihidapi.


Selepas disahkan, limfoma perlu dirawat oleh pakar haematologi atau onkologi dan pada masa sama pesakit boleh memilih di mana mereka mahu mendapatkan rawatan.Pilihan terbaik ialah pusat di mana pesakit dirawat haematologi atau onkologi dengan sokongan jururawat onkologi terlatih, mempunyai perkhidmatan pengimejan, radioterapi, 24 jam perkhidmatan kecemasan, bank darah dan farmasi.

“Ini penting kerana sesetengah pesakit limfoma mungkin sakit teruk atau mengalami komplikasi dalam tempoh rawatan. Ketika ini pakar haematologi memerlukan bantuan pakar lain.“Jika pusat rawatan itu juga ada kemudahan pemindahan sumsum tulang atau sel stem, itu lebih baik kerana limfoma boleh datang balik pada bila-bila masa dan kes seperti ini memerlukan pemindahan sel stem haemopoetik untuk membunuh penyakit,” katanya.


Tujuan utama rawatan ialah menyembuhkan penyakit, memanjangkan tempoh bebas daripada penyakit dan meningkatkan kualiti hidup pesakit.


Antara strategi rawatan digunakan kini ialah:
· Tunggu dan lihat: Kaedah ini hanya untuk limfoma yang menunjukkan perkembangan sangat perlahan dan pesakit mengalami sedikit atau tiada gejala langsung. Dalam tempoh ini pesakit perlu kerap berjumpa doktor dan segera memaklumkan doktor jika ada gejala baru muncul.

Bagaimanapun, kewujudan ubat berkesan dengan sedikit kesan sampingan menjadikan pendekatan ini kurang menarik kerana kebanyakan pesakit dibelenggu kebimbangan.


· Kemoterapi: Ubat kemoterapi bertujuan membunuh sel limfoma di seluruh badan. Ada banyak jenis ubat kemoterapi untuk merawat kanser. Jenis ubat bergantung kepada jenis kanser dihidapi.Pesakit boleh diberi rawatan kemoterapi saja tetapi biasanya doktor menggabungkan beberapa kaedah seperti ubat kemoterapi dan antibodi monoklonal.

Pesakit mungkin alami kesan sampingan sementara kemoterapi seperti mual, muntah, keguguran rambut dan jumlah darah yang rendah.


· Antibodi monoklonal: Ini adalah ubat kelas baru yang menukar sepenuhnya kaedah rawatan limfoma NHL. Antibodi monoklonal yang digunakan untuk merawat limfoma ialah rituximab; ia memusnahkan sel limfosit B saja. Ubat ini kurang kesan sampingan berbanding terapi kanser yang lain.


· Radiografi (radiasi): Sinar-X bertenaga tinggi digunakan untuk membunuh sel limfoma dan hanya untuk kanser yang berkumpul pada satu atau dua tempat.


· Transplan: Transplan atau pemindahan sel stem haemopoetik (sel induk yang menghasilkan semua jenis sel darah) antara rawatan pilihan untuk pesakit limfoma NHL yang agresif atau penyakit menyerang semula.Kaedah rawatan biasanya membabitkan pemberian ubat kemoterapi pada dos tinggi yang memusnahkan sumsum tulang dan semua sel kanser. Sumsum tulang yang musnah kemudian diganti dengan sel stem haemopoetik yang diambil sebelum kemoterapi.

Harapan baru


Menurut Dr Ng, perkembangan dunia perubatan membantu proses pengesanan dan klasifikasi limfoma dengan tepat. Perkembangan ini memang dinanti kerana ia bukan saja mampu membantu doktor merangka pelan rawatan bersesuaian, malah tindak balas pesakit terhadap rawatan juga lebih baik.Antara perkembangan itu ialah:


· Ujian makmal menggunakan kaedah Immunohistokemistri (IHC) — membolehkan pengesanan yang tepat dan jika dirawat awal, pesakit ada peluang lebih baik untuk sembuh.


· Pengimejan seperti Imbasan CT dan PET membantu pakar haematologi mengesan peringkat kanser dan merancang rawatan sesuai.


· Kehadiran penjagaan sampingan lebih baik selepas kemoterapi seperti anti emetik dan antibiotik membolehkan pesakit menangani kesan sampingan kemoterapi dengan lebih baik.


· Hasil rawatan limfoma NHL meningkat jauh lebih baik dengan penggunaan antibodi monoklonal seperti rituximab yang diberi bersama kemoterapi bagi limfoma NHL bersifat perlahan atau agresif. Ramai pesakit sembuh dan hidup lebih lama.

· Pemindahan sel stem haemopoetik memberi harapan baru kepada pesakit yang menghidap limfoma agresif atau yang menyerang semula.


· Agen terapi baru seperti zevalin iaitu radioimunoterapi yang tindakannya hanya tertumpu kepada sel limfoma saja (tiada kesan pada sel normal) menjadikan rawatan lebih baik.


· Penerimaan di kalangan pakar perubatan bahawa limfoma memerlukan regimen rawatan khas. Contohnya limfoma Burkitt perlu dirawat secara intensif sama seperti leukemia, manakala limfoma sistem saraf pusat pula memerlukan agen kemoterapi yang boleh menembusi halangan salur darah pada otak untuk sampai terus ke kawasan kanser.

Namun, kata Dr Ng, yang penting ialah kesediaan pesakit menerima rawatan secepat mungkin. Pesakit perlu mendapatkan penjelasan terperinci daripada doktor mengenai komplikasi yang mungkin dialami sepanjang sesi rawatan kemoterapi.Doktor juga perlu dimaklumkan jika pesakit mahu mengambil makanan tambahan kerana ia boleh memberi kesan sampingan.


Pesakit perlu mematuhi temujanji susulan supaya doktor boleh memantau perkembangan mereka sepanjang tempoh rawatan.“Pesakit boleh mendapat banyak maklumat mengenai pelbagai aspek pengurusan limfoma daripada Internet.


Ini memudahkan mereka memahami penyakit dan bertanya doktor jika ada kemusykilan. Rawatan akan lebih berkesan jika pesakit patuh kepada peraturan rawatan dan paling penting sentiasa berfikiran positif,” katanya.



http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Sihat/20090913141006/Article/index_html