"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Thursday, September 17, 2009

Tingkat sistem imun

SISTEM ketahanan (imun) tubuh mungkin kurang diberi perhatian oleh sesetengah orang, sedangkan ia penting untuk membantu seseorang itu menjauhkan diri daripada pelbagai penyakit khususnya dalam situasi penularan wabak Influenza A (H1N1) kini.Sekiranya ragu-ragu dengan pelbagai jenis ubat berkaitan, pakar perubatan di seluruh dunia menyarankan pelbagai kaedah mudah yang boleh diamalkan seharian. Antaranya :

· Pengambilan minuman teh yang boleh membantu merangsang ketahanan tubuh. Bahan kimia dalam teh iaitu L-theanine, ditukar kepada ethylamine di dalam hati yang membantu dalam proses pertahanan tubuh daripada jangkitan.



· Pastikan minum air dengan banyak sama ada air sejuk atau suam, sekurang-kurangnya tujuh gelas setiap hari.

· Pengambilan makanan berkhasiat tidak seharusnya dipandang mudah. Antara yang baik untuk kesihatan termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, cendawan (perlu dimasak terlebih dulu), bijian penuh, kekacang dan ikan.Tambahkan herba dan rempah ratus dalam makanan kerana bahan terbabit boleh membunuh mikrob.Lebihkan makanan mengandungi sumber semula jadi antioksidan yang boleh meningkatkan ketahanan tubuh termasuk buah kiwi.Buah kiwi mengandungi lebih vitamin C berbanding oren. Pilihan lain termasuk kobis Cina yang menyediakan sumber vitamin A yang tinggi serta buah avokado yang menyediakan karbohidrat, protein dan vitamin E. Makanan kaya dengan vitamin B6 yang merangsang pengeluaran antibodi untuk melawan jangkitan juga pilihan yang baik. Antara makanan berkenaan termasuk pisang, lobak merah, tuna dan biji bunga matahari.


· Pengambilan dadih boleh membantu dari segi kesihatan sistem penghadaman serta tahap kesihatan secara keseluruhan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengambilan bakteria baik yang ada dalam dadih membantu merangsang sistem ketahanan tubuh selain membekalkan lebih kalsium.


· Utamakan tidur kerana kajian mendapati kurang tidur boleh menjejaskan sistem ketahanan tubuh sekali gus berisiko untuk dijangkiti pelbagai penyakit termasuk selesema. Sekurang-kurangnya, dapatkan tujuh jam tidur setiap malam.Tidur mencukupi boleh mengurangkan tekanan dan kemurungan malah kurang tidur boleh mendedahkan seseorang dijangkiti penyakit.


· Bertenang, usah terlalu tertekan. Pelbagai kesan negatif dikenal pasti apabila seseorang itu tertekan termasuk menjejaskan sistem ketahanan tubuh. Cara mudah untuk menangani rasa tertekan adalah dengan menarik nafas yang panjang.Jika gemar melukis, berkebun atau mendengar muzik, luangkan waktu untuk melakukan perkara digemari untuk membuatkan diri tenang dan gembira.Jangan lupa ketawa. Ketawa bukan sekadar penawar duka kerana fakta sains mendapati, setiap sel di dalam tubuh dipengaruhi perasaan kita.


· Jika masih malas bersenam, tiba masa untuk melakukan sesuatu. Mulakan senaman mudah seperti berjalan 10 minit setiap hari dan perlahan-lahan, tingkatkan tempoh berjalan itu.Senaman boleh meningkatkan hormon yang merangsang fungsi ketahanan tubuh

Obes punca kanser prostat berulang?

SATU kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat (AS) mendapati, lelaki yang obes lebih cenderung mendapat penyakit kanser prostat berulang.

Seorang profesor madya dari Pusat Prostat, Pusat Perubatan Universiti Duke, AS, Dr. Stephen Freedland berkata, seramai 1,415 pesakit kanser prostat terlibat dalam kajian tersebut.
Rekod mereka yang telah menjalani prosedur prostektomi radikal itu turut dikaji. Hasilnya, faktor bangsa didapati tidak mempengaruhi sifat agresif sesuatu kanser, sebaliknya kadar indeks jisim tubuh (BMI).

"Kami mendapati kadar BMI yang lebih tinggi berkait rapat dengan peningkatan risiko penyakit kanser berulang. Lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat kulit putih dan kulit hitam," jelas Dr. Jayakrishnan Jayachandran, seorang pakar urologi onkologi.
Biarpun begitu, punca utama peningkatan risiko kanser prostat dalam kalangan masyarakat obes masih tidak diketahui. Saintis turut percaya bahawa perubahan paras hormon mungkin menjadi punca.


"Obesiti ada kaitan dengan lebihan estrogen dan kandungan testosteron yang kurang. Boleh jadi, paras testosteron yang rendah mendorong penghasilan lebih banyak tumor kanser yang agresif," tambahnya. - HealthDay


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0904&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_04.htm

Saturday, September 12, 2009

Elak H1N1 gugat Hari Raya anda!

BALIK kampung! Dinantikan ramai warga kota yang merantau mencari rezeki dan juga keluarga mereka di kampung.


Namun, di sebalik kemunculan wabak Influenza A (H1N1) tahun ini, orang ramai dinasihatkan mengambil langkah pencegahan supaya tidak dijangkiti mahupun menjangkiti orang tersayang.


Pulang


Virus H1N1 boleh menjangkiti kita semasa dalam perjalanan pulang, atau kita mungkin membawa pulang virus tersebut kepada keluarga di kampung.

Oleh itu, jangan alpa dan sentiasa berwaspada demi keselamatan diri dan keluarga. Pastikan anda sentiasa membawa bersama topeng mulut dan hidung serta bahan pencuci tangan antiseptik untuk waktu-waktu yang memerlukannya.


Bagi yang mempunyai gejala selesema atau tergolong sebagai individu berisiko tinggi mengalami komplikasi jika dijangkiti H1N1, anda perlu memaki topeng mulut dan hidung di tempat tumpuan umum yang sesak. Pastikan juga tangan anda sentiasa bersih.


Jika sudah mula demam atau menunjukkan gejala selesema, pastikan anda mengasingkan diri demi keselamatan ahli keluarga, saudara mara dan juga masyarakat umum.
Bersabarlah sekitar satu minggu dari hari mula mengalami gejala selesema untuk menyambut

Hari Raya bersama keluarga dan rakan. Jangan jadikan nyawa mereka sebagai pertaruhan.


Berhemah


Gunakan masa pengasingan diri untuk berehat dan memulihkan badan. Tetapi, jika keadaan semakin teruk atau tanda amaran mula muncul, dapatkan rawatan dengan secepat mungkin.


Jangan pentingkan diri! Jika ada mempunyai gejala selesema, elakkan ke tempat tumpuan seperti rumah terbuka, majlis kenduri mahupun sembahyang berjemaah bagi mengelakkan virus H1N1 disebarkan kepada orang lain.


Dengan amalan bersalam di musim perayaan, pastikan juga anda sentiasa membawa dan menggunakan pencuci tangan antiseptik, atau basuh tangan dengan air dan sabun sekerap mungkin selepas bersalam.

Jika tidak sihat atau gejala selesema timbul selepas pulang dari kampung halaman, anda dinasihatkan menyambung cuti dan elakkan diri pergi ke sekolah, institusi pengajian atau ke tempat kerja.


Bagi pengendali sistem pengangkutan awam pula, pastikan anda menyediakan pencuci tangan antiseptik serta topeng mulut dan hidung untuk penumpang yang memerlukannya.


Jika ada penumpang yang sakit, usahakan supaya penumpang berkenaan tidak bergaul rapat dengan penumpang lain yang tiada gejala selesema.


Ingatlah, pencegahan Influenza A H1N1 bukan hanya untuk melindungi diri, malahan untuk keselamatan bersama keluarga dan sahabat handai.


Bersama kita mengawal penularan wabak ini dan melindungi diri, keluarga dan negara dari pandemik Influenza A H1N1.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_02.htm

Gusi bermasalah punca kanser

PENJAGAAN yang baik pada kesihatan gigi mampu mengurangkan penyakit berkaitan kepala serta kanser tekak, menurut satu kajian yang mengaitkan penyakit gusi dan kanser.


Mempunyai penyakit gusi kronik yang melibatkan kehilangan tulang dan tisu lembut pada gigi secara progresif terbukti meningkatkan perkembangan sel karsinoma pada kepala dan tekak, terutama di mulut dan kerongkong.


Menurut ketua penyelidik di Institut Kanser Roswell Park, Buffalo, New York, Dr. Mine Tezal, risiko kanser menjadi lebih teruk pada pesakit periodontis, tidak kira sama ada mereka merokok atau menggunakan sebarang produk tembakau.



http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0913&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_03.htm

Mengenali kelenjar prostat

KELENJAR prostat adalah kelenjar yang mengeluarkan sebahagian cecair yang akan menjadi air mani. Ia terletak di bawah pundi kencing. Kelenjar ini akan membesar dan menimbulkan masalah apabila seseorang menjangkau usia 50-an.

Apabila membesar, ia akan mencerut saluran kencing dan seseorang akan mula mengalami tanda-tanda pembesaran kelenjar prostat.

Tanda-tanda pembesaran kelenjar prostat:

· Aliran air kencing yang perlahan, terpaksa menunggu lama untuk air kencing keluar.
· Terpaksa meneran semasa kencing.
· Air kencing masih menitik walaupun habis kencing.
· Rasa tidak puas selepas habis kencing.
· Tidak dapat menahan kencing.
· Kerap kencing pada waktu malam.
· Ada juga yang mengalami masalah air kencing tidak dapat keluar secara tiba-tiba ataupun kencing berdarah.


Ada pelbagai ubat yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah ini. Antaranya adalah ubat alpha blocker yang akan membuka saluran kencing semasa proses membuang air kecil melalui relaksasi otot di sekitar kelenjar prostat.

Contoh ubat jenis ini yang ada di pasaran adalah terazosin, alfluzosin dan doxazosin. Ubat 5 alpha reductase inhibitor pula boleh mengecilkan kelenjar prostat jika diambil secara berpanjangan. Contoh ubat yang ada di pasaran adalah finasteride dan dutasteride.


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Tanyadoktor/20090808133841/Article/