"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Sunday, June 5, 2011

Kurus mahu elak penyakit

DULU kami obes,'' kata pasangan Dr. Nurhalina Azly Minhat dan Dr. Mahathir Mohamed. Hampir terpacul perkataan 'tipu' lantaran penampilan suami isteri itu langsung tidak menggambarkan bahawa mereka pernah obes atau mengalami lebih berat badan keterlaluan.

Sambil tersenyum Dr. Mahathir menunjukkan gambarnya. ''Berat badan saya dulu 110 kilogram. Inilah saya,'' katanya. Dr. Nurhalina mencelah: ''Dia memang sentiasa gemuk, kami kenal sejak sekolah rendah dan dia memang gemuk dari dulu.'' Pasangan itu mengimbau kenangan zaman persekolahan di Taman Datuk Harun,
Petaling Jaya, Selangor. Kami tertawa.

Mata beralih ke gambar seorang wanita. ''Itulah saya,'' kata Dr. Nurhalina sambil menegaskan bahawa beliau bukan mengandung. Berat badannya ketika itu melebihi 70 kilogram. Biar pun kedua-dua bergelar doktor, namun tetap mengalami masalah berat badan berlebihan.

Pemegang ijazah perubatan dari Kanada itu mengakui tanpa sebab tertentu mungkin mereka akan terus gemuk atau obes hingga ke hari ini.

Mungkin mereka tidak akan berusaha untuk mencapai berat badan ideal. Malah lebih menakutkan mungkin kedua-duanya ditimpa penyakit akibat gagal mengawal berat badan yang amat berkait rapat dengan penyakit-penyakit maut seperti jantung.

Didorong dua faktor utama, Dr. Mahathir tergerak hati untuk mengubah penampilan susuk tubuhnya. ''Yang pertamanya pesakit yang datang ke klinik. saya terfikir bagaimana pesakit mahu meminta nasihat saya tentang masalah berat badan sedangkan saya sendiri obes,'' katanya.

Sejarah keluarga Dr. Mahathir yang mempunyai penyakit berbahaya termasuk kanser, jantung dan kencing manis, menjadi faktor seterusnya yang membawa kepada perubahan fizikal beliau.

Apatah lagi selepas kematian sepupu akibat penyakit jantung, tentunya kegusaran bapa kepada dua cahaya mata itu semakin meningkat.

Sepupunya meninggal dunia ketika berusia awal 40-an.

Katanya, faktor genetik tidak boleh diabaikan. ''Kalau memang kita ada keturunan yang mengidap penyakit berbahaya tetapi kita menjaga kesihatan, mengawal pemakanan dan bersenam, mungkin kita akan terselamat daripada mendapat penyakit tersebut.

''Pendek kata menyalahkan faktor genetik semata-mata adalah tidak betul,'' kata Dr. Mahathir.
Mengakui tidak mudah menurunkan berat badan, beliau memerlukan kira-kira lapan bulan (dua pusingan) untuk mencapai berat ideal.

Kerisauan tersebut turut menjangkiti Dr. Nurhalina apabila mendapati paras kolesterolnya terlalu tinggi.

''Bukan saja berat badan meningkat, malah ujian darah menunjukkan paras kolesterol saya sangat tinggi, lebih teruk daripada orang yang berusia 60 tahun,'' katanya.

Keputusan ujian darah yang mengejutkan itu menyebabkan Dr. Nurhalina menyertai misi suaminya menurunkan berat badan. Katanya, kegemukan berpunca 90 peratus daripada pemakanan dan hanya 10 peratus akibat tidak bersenam.

Bagaimanapun ketidakstabilan hormon juga dikenal pasti menyebabkan seseorang itu sangat sukar menurunkan berat badan biar pun separuh mati menahan lapar.

Lantas usaha Dr. Mahathir dan Dr. Nurhalina tertumpu kepada mengenal pasti rawatan yang mampu menstabilkan hormon dan penjagaan pemakanan menjadikan proses menurunkan berat badan berkesan.

Bermula daripada situ, kedua-dua pengamal perubatan itu mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

Mereka mendalami rawatan terkini Human Chorionic Gonadotropin (HCG). Kaedah tersebut sememangnya bersesuaian untuk menurunkan berat badan, pada masa yang sama memelihara otot-otot daripada menggeleber. Dr. Nurhalina dan Dr. Mahathir yang berjaya menurunkan berat badan mahu membantu pesakit obes yang inginkan rawatan dengan membuka Timeless. Kedua-duanya juga mengekalkan klinik perubatan di
Taman Datuk Harun untuk membantu penduduk di kawasan tersebut.

RAWATAN HCG DI TIMELESS

1. Sesi konsultasi pertama selama dua jam bagi mengenal pesakit secara mendalam dari segi gaya hidup, sejarah penyakit dan amalan pemakanan.

2. Pesakit akan menjalani ujian fizikal (seperti tekanan darah, tiroid, jantung, berat dan BMI). Ujian darah juga dijalankan untuk mengetahui kandungan lemak, gula, hormon dan hemoglobin dalam darah.

3. Sekiranya ada keputusan yang tidak bagus, doktor akan memastikan hormon atau faktor-faktor lain diperbetulkan dahulu.

4. Rawatan HCG memakan masa dua bulan, pada masa itu, pemakanan rendah kalori perlu dipraktikkan. Senaman ringkas juga akan diajar supaya tulang dan otot menjadi kuat.

5. Sekiranya pesakit belum turun ke tahap normal BMI, rawatan perlu diulang sehingga normal untuk mengelakkan kejadian yo-yo, di mana berat akan naik semula. Ini disebabkan hipotalamus yang masih tidak distabilkan.

Sekiranya rawatan HCG digabungkan dengan Zerona dan radiofrekuensi, kesannya lebih cepat. Zerona merupakan low level laser yang tidak invasif, tidak sakit, tidak melibatkan bius dan tiada pembedahan.

Pesakit disinarkan lampu laser ini selama 20 minit di bahagian depan dan 20 minit di bahagian belakang pada setiap sesi. Hanya 6 sesi diperlukan selama 2 minggu untuk mendapat kesan pelangsingan.

Khasiat buah acai beri

MUNGKIN ramai yang tidak mengetahui kewujudan buah ini. Buah kecil berwarna hitam-ungu kemerahan ini tidak banyak bezanya dengan anggur dan bersaiz kira-kira satu inci.

Pokoknya merupakan keluarga tumbuhan palma dan ia banyak ditemui di bahagian tengah dan selatan Amerika terutama di lembangan Amazon.

Acai beri terdapat dalam pelbagai jenis. Ia mempunyai biji yang besar kira-kira tujuh hingga 10 milimeter. Biji ini memenuh 80 peratus buah.

Di Brazil buah ini dijadikan perasa ais krim atau jus, juga dikeringkan.

Pada 2008, akhbar Los Angeles Times melaporkan buah acai adalah sumber penjanaan wang tanpa merosakkan hutan Amazon. Ia diketahui bermanfaat dan kaya protein dan dipercayai membantu mengekalkan kesihatan sejak dahulu lagi.

Kajian tentang khasiat buah ini memfokus kepada aktiviti antioksidan yang dimilikinya. Secara teori, aktiviti ini membantu menghalang penyakit yang berpunca daripada tekanan seperti penyakit jantung dan kanser.

Satu kajian yang dijalankan oleh Universiti of Florida mendapati, buah acai beri boleh dianggap salah satu buah-buahan yang kaya dengan sumber anti pengoksidaan paling tinggi.

Buah ini mengandungi beberapa bahan seperti flavonoid dan anthocyamin iaitu bahan yang bertanggung jawab menghasilkan warna pada setiap buah. Makanan yang mengandungi bahan anthocyamin seperti beri biru, anggur merah dan beri acai sendiri mempunyai warna yang kuat. Bahan itu juga diyakini mempunyai antioksidan yang tinggi dan membantu badan melawan penyakit. Ia juga memainkan peranan dalam sistem pertahanan badan.

Sesetengah kajian menunjukkan pulpa acai beri mengandungi antioksidan yang lebih tinggi daripada lain-lain buah beri seperti kranberi, rasberi, beri hitam, strawberi atau beri biru.

Hingga kini, banyak kajian menyokong fakta mengenai pemakanan diet yang kaya antioksidan. Justeru tidak hairan buah acai beri dan lain-lain buah beri membantu diet sihat.

Dr. Nicholas Perricone, seorang pakar perubatan berkata, buah acai beri merupakan pemakanan paling berkhasiat dan buah yang bertenaga secara semula jadi.

Buah ini turut diekstrak untuk dijadikan produk kosmetik dan kecantikan kerana ia mengandungi minyak khas yang dikatakan kaya dengan sumber antioksidan.

Melalui kajian yang dijalankan, minyak buah acai beri merupakan alternatif selamat untuk kulit wajah dan badan. Ia juga boleh digunakan sebagai syampu dan perapi. Apabila minyak acai beri diproses dan disimpan untuk jangka masa yang panjang, paras antioksidan kekal tinggi.

Namun bagi mereka yang alah kepada debunga atau alah kepada sebarang jenis buah beri, anda mungkin perlu mengelak memakan buah ini. Walaupun begitu, pengambilan dalam amaun yang kecil dikatakan tidak memberi sebarang kesan pada pengamalnya.

Kelebihan sterol tumbuhan

ASPEK pemakanan tidak boleh diabaikan memandangkan daripada makananlah kita memperoleh zat dan nutrien yang diperlukan tubuh untuk membolehkan ia berfungsi secara normal.
Pemakanan juga dikatakan punca meningkatnya penyakit tidak berjangkit dan kardiovaskular seperti komplikasi jantung.

Dalam pada itu, setiap tahun, jumlah kemasukan pesakit ke hospital akibat pelbagai komplikasi jantung melebihi 100,000 kes manakala hampir 12,000 kematian direkodkan akibat serangan jantung.

Fakta ini merupakan sesuatu yang membimbangkan dan perlu diatasi. Ini kerana semakin hari semakin ramai rakyat Malaysia menghidap penyakit berkaitan kardiovaskular terutamanya serangan jantung.

Tidak kira siapa anda, sama ada muda, tua, orang kaya atau orang miskin, pemimpin negara dan sebagainya, seseorang itu tetap mempunyai risiko menghidap serangan jantung yang disebabkan oleh pelbagai faktor terutamanya pemakanan dan tabiat negatif seperti merokok.

Serangan jantung merupakan kerosakan pada otot jantung akibat terputusnya bekalan darah arteri koronari secara tiba-tiba. Kejadian ini berlaku apabila salah satu arteri tersebut tersumbat disebabkan gumpalan darah.

Gumpalan darah ini pula terjadi akibat pecahnya plak ateroma dalam salur darah arteri koronari itu. Sekiranya, gumpalan darah ini tidak dihilangkan dengan segera maka otot jantung akan mati dan seterusnya mengakibatkan kematian kepada penghidapnya.

Selain itu, kolesterol berlebihan juga terbukti meningkatkan risiko penyakit jantung dengan bahagian arteri tersumbat sehingga menunjukkan simptom-simptom penyakit ini.

Diagnosis awal dan penggunaan ubatan yang betul serta perubahan gaya hidup yang komprehensif cukup penting. Ini termasuk pengambilan diet rendah lemak, berhenti merokok, pengurusan tekanan dan bersenam.

Justeru itu, pengambilan suplemen untuk mengurangkan risiko mendapat sakit jantung dan stres badan menjadi alternatif popular pada hari ini.

Menurut Penasihat Kesihatan Blackmores Malaysia Sdn. Bhd., Monitar Tan, sterol tumbuhan berfungsi dengan baik dalam menguruskan kolestrol dalam badan manusia.

Badan yang tidak sihat berkemungkinan berpunca daripada kandungan kolestrol yang tidak seimbang sehingga menyebabkan keletihan, stres dan risiko jantung.

"Sterol tumbuhan ialah molekul organik yang terdapat dalam tumbuhan yang telah terbukti secara klinikal boleh menghalang kolestrol dari diserap ke dalam darah.

Selain daripada makanan, sterol tumbuhan boleh diperoleh daripada suplemen.

Suplemen ini memberikan sterol tumbuhan yang relevan. Kandungan sterol membantu mengurangi penyerapan kolestrol.

 Manusia memerlukan sekurang-kurangnya dua gram sterol setiap hari untuk mengurangkan tahap kolestrol LDL.

Kajian menunjukkan ia mengurangkan hampir tiga hingga sepuluh peratus kolestrol LDL," katanya.

Tambah Monitar, orang ramai tidak perlu risau kerana sterol tumbuhan berbentuk suplemen ini boleh diambil untuk jangka masa panjang.

Namun, kanak-kanak, ibu mengandung dan ibu menyusu badan untuk mengambil sterol tumbuhan berbentuk suplemen ini.

Menggerutu berubah jadi licin



Kulit wajah yang licin dan bebas jerawat menjadi idaman setiap wanita.


HARI ini suasana agak santai di Marissa Esthetic. Selepas mengadakan senam pagi saya menyelesaikan beberapa tugasan untuk universiti. Pada tengahari saya didatangi oleh seorang wanita muda berusia 24 tahun.

Wanita ini memakai tudung hampir menutupi keseluruhan mukanya. Mula-mula saya menyangkakan bahawa dia adalah seorang ustazah memandangkan cara dia berpakaian. Namun selepas berbual beberapa ketika saya dapati ada sesuatu yang tak kena dengan diri
wanita itu.

Apabila bercakap dia menundukkan muka tanpa memandang wajah saya. Bahunya membongkok seolah-olah dia cuba mengecilkan tubuhnya yang memang kecil. Pendek kata cara dia bercakap dan duduk menunjukkan dia seorang yang hilang keyakinan dirinya.

Dia memperkenalkan dirinya sebagai Huda bertugas sebagai guru sekolah rendah.

“Masalah saya adalah jerawat yang teruk. Sejak saya di bangku sekolah lagi jerawat ini bagaikan tak pernah surut. Saya dah jumpa pakar kulit, dah pergi ke macam-macam salon, dah pakai pelbagai produk namun hasilnya tak nampak pun. Saya rasa amat kecewa,” ujarnya.

Apabila dia membuka tutup mukanya saya lihat memang benar apa yang diceritakan kepada saya. Jerawatnya benar-benar teruk. Jerawat batu besar besar merebak ke seluruh muka dan kesan parut yang menghodohkan membuatkan wajah guru muda itu kelihatan bengkak, merah menyala dan menggerutu.

Saya memandang sayu ke arah wanita cekal itu. Nampak air matanya bergenang. Ternyata cikgu muda itu sudah hilang keyakinan diri gara-gara jerawat yang mencacatkan wajahnya.

“Sekarang Huda tak perlu risau lagi. Saya akan bantu Huda atasi masalah ini. Saya tahu Huda seorang yang cekal dan kita sama-sama berusaha memastikan masalah jerawat ini sembuh,’’ kata saya cuba menenangkan hatinya.

“Bolehkah doktor bantu saya? Selama ini saya sudah cuba macam-macam tapi tak ada pun yang sesuai,’’ kata Huda menunjukkan keraguan terhadap janji saya. Menurutnya dia telah pun mencuba pelbagai cara dan berbelanja banyak namun masalah jerawat tak pernah selesai.

“Insya Allah setiap penyakit pasti ada ubatnya. Saya yakin dan saya minta Huda juga menanam keyakinan kepada saya. Teknik yang saya gunakan pasti berbeza daripada teknik yang Huda pernah lakukan namun kita harus mencuba,’’ katanya.

Kami memulakan sesi rawatan dengan laser isolaz, antibiotik serta pemeriksaan darah menilai tahap hormon Huda. Saya menerangkan kepadanya jerawat terhasil akibat daripada sejenis kuman bernama corynebacterium. Kuman ini menyerang kulit yang lembap dan berminyak. Mungkin faktor hormon yang tak seimbang menjadi penyebab.

Pertemuan kamiI setiap dua minggu selepas itu semakin hari menambahkan lagi kemesraan antara seorang doktor dan pesakitnya. Huda dengan tenang dan sabar mematuhi setiap nasihat dan panduan yang saya berikan. Semakin hari saya semakin kagum dengan semangat Huda.

Pada bula pertama perubahan yang saya lihat amat sedikit. Hati saya sedikit bimbang namun saya cuba bersikap setenang-tenangnya apabila berjumpa Huda. Saya tidak mahu mengalah. Mustahil kami tidak berjaya melawan gejala ini. Semangat Huda yang tinggi membuat saya semakin membara dan berazam memberikan khidmat yang terbaik buatnya.

Selepas enam minggu berlalu jerawat mula mengecut dan mengering. Yang tinggal hanya parut-parut kecil. Kami meneruskan sesi rawatan dengan tekun dan sabar.

Selepas tiga bulan rawatan Huda mula menunjukkan keputusan yang baik. Wajahnya semakin cerah dan cantik. Dia mula berani menggunakan gaya tudung terkini yang meriah dan berwarna warni. Bila dia berbicara, suaranya semakin jelas dan yakin. Matanya menentang mata saya dengan berani.

“Doktor saya rasa seperti mati hidup semula. Dulu saya sangka jerawat ini tak akan hilang-hilang lagi tapi sekarang keadaan muka saya dah jauh lebih baik,’’ katanya gembira.

Selama hampir sembilan bulan sesi rawatan berlalu kini kulit wajah Huda sudah bersih dan licin. Dia masih lagi mengunjungi saya sekali sekala bagi mendapatkan bekalan pencuci muka di klinik yang amat disukainya. Pencuci muka yang saya berikan kepadanya ialah jenis yang mengandungi glycolic asid. Glycoloc adalah asid lembut yang terhasil daripada buah-buahan dan memberi kesan pengelupasan yang sangat minimum serta berupaya menghalang pertumbuhan jerawat.

Saya memberitahunya bahawa tempoh kritikal telah pun berlalu. Kini Huda bebas menggunakan jenama apa sekali pun. Kulit wajahnya yang licin dan bebas jerawat kelihatan cantik sekali .

 “Terima kasih doktor kerana amat bersabar merawat saya selama ini. Doktor telah mengubah kehidupan saya menjadi lebih yakin selepas jerawat saya pulih,’’ katanya.
Air mata saya menitis terharu. Betapa gembira melihat wajah Huda yang semakin cantik hari demi hari. Alhamdulillah.

Teknologi lasik terkini di Asia

SEJAK beberapa bulan yang lepas, Chan Wai Yin, 65 mengalami ketidakselesaan yang serius pada kedua-dua belah matanya disebabkan oleh pembedahan katarak mata. Selepas mempertimbangkan beberapa pilihan, Wai Yin membuat keputusan untuk mencuba pembetulan penglihatan laser kornea. Beliau menjalani beberapa pemeriksaan lengkap serta siri ujian sebelum pembedahan.

Selepas hanya dua jam di klinik, beliau pulang ke rumah dan menjalankan rutin hariannya dalam keadaan penglihatan yang jauh bertambah baik. Wai Yin merupakan antara pesakit pertama di Asia yang menerima prosedur rawatan laser mata atau pembedahan Lasik terpantas di dunia, Wavelight Refractive Suite.

Kebanyakan orang tidak tahu bahawa setiap mata mempunyai ceritanya sendiri dan setiap cerita adalah berbeza. Mata setiap orang mempunyai profilnya sendiri yang bergantung kepada usia, sejarah kesihatan dan penggunaan matanya dalam kapasiti yang berlainan berasaskan pekerjaan, minat dan gaya hidup. Justeru, memang sewajarnya mata setiap orang diuji secara berasingan untuk menilai dengan tepat kesihatannya dan untuk memastikan diagnosis dan preskripsi yang betul. Jika ini tidak dilakukan, ia boleh mengakibatkan seseorang mengalami masalah penglihatan atau dalam kes lebih teruk kemerosotan penglihatan yang boleh membawa kesan jangka panjang, dan akhirnya menjejaskan kualiti hidup.

Bagi mereka yang mengalami masalah penglihatan, pembedahan laser atau lasik menjadi pilihan selain cermin mata bagi yang rabun jauh atau dekat atau pembedahan katarak.

Perkembangan teknologi sejak 1950-an telah membawa kepada penemuan rawatan laser -assisted in situ keratomileusis (Lasik) yang semakin berkembang setiap tahun, dari penggunaan pisau kepada penggunaan laser sepenuhnya. Ini mungkin membantu pesakit-pesakit yang mengalami masalah penglihatan seperti rabun ddekat dan jauh, astigmatism serta katarak mata.

Lasik kini merupakan prosedur pembedahan laser paling popular untuk mengoptimumkan daya penglihatan dan menjadi pilihan kerana tempoh pemulihan yang pantas, kurang komplikasi dan kesan sampingan berbanding pembedahan refraktif lain.

Pembedahan laser refraktif pula merupakan satu kaedah kekal dan membetulkan masalah rabun dengan segera.

Kini bukan lagi sesuatu yang mencabar bagi doktor mata kini dalam mengatasi masalah mata pesakit berumur melebihi 40 tahun yang enggan memakai cermin mata ketika membaca.

Menurut Pengarah Pusat Perubatan Mata Lee (LEC), Dr. Lee Mun Wai, Pembedahan laser refraktif merupakan alternatif bagi mereka yang penat memakai cermin mata dan merasa kurang selesa untuk memakai kanta lekap.

Pemeriksaan

"Ia adalah satu kaedah di mana rawatan laser dilakukan ke atas kornea untuk mengubah bentuk kornea bagi
membolehkan imej difokus dengan baik ke atas retina. Sebelum Lasik, seseorang itu akan menjalani pemeriksaan yang menyeluruh termasuk kesihatan mata ditentukan dan ketebalan kornea dan darjah kerabunan akan diperiksa bagi menentukan kesesuaian Lasik. Terdapat pesakit yang dikesan mempunyai masalah mata lain dan mungkin kurang sesuai menjalani Lasik, tetapi rawatan khusus dapat diberi di samping beberapa alternatif lain. Lasik menunjukkan pengubahsuaian bentuk kornea adalah kekal. Oleh itu kesan kaedah ini akan kekal," katanya.

Kini terdapat kaedah lasik selamat tanpa menggunakan pisau dan dilakukan hanya dalam masa 1.4 saat yang dikenali sebagai Wavelight Refractive Suite.

Ia juga mempunyai sistem penjejakkan canggih bebola mata yang akan memastikan keselamatan pesakit sepanjang berlangsungnya prosedur.

Menerusi Lasik, pembedahan laser digunakan ke atas lengkungan kornea dan ia menjadi pilihan ramai kerana tempoh pemulihan yang pantas serta kurang komplikasi dan kesan sampingan.

Perubahan

Prosedur itu menjadikan perubahan kekal pada kornea untuk membuang bahagian tertentu tisu dalaman bagi merawat rabun dan astigmatisme.

Kornea dibentuk semula bagi meningkatkan fokus cahaya pada retina yang berperanan mengoptimumkan daya penglihatan.

Sebelum pembentukan semula struktur dalaman kornea dibuat, satu potongan pada lapisan atas kornea dilakukan dan digunakan sebagai 'pembalut semula jadi' untuk menutup bahagian tisu tengah kornea selepas pembedahan selesai.