"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Sunday, June 5, 2011

Penglihatan bertambah baik

SEHINGGA kini, orang ramai masih lagi takut untuk menjalani pembedahan Lasik berikutan stigma ke atas penggunaan pisau walaupun pada hakikatnya prosedur itu kini jauh lebih canggih.

Dengan gabungan dua jenis laser iaitu 200 kHz Wavelight FS200 femtosecond dan 500Hz Waveligh EX500 excimer, tekonolgi Wavelight Refractive Suite yang pertama diperkenalkan di Malaysia dan Asia menjadi platform pembedahan baik pulih mata terpantas di dunia.

Pengarah Perubatan Pusat Mata lee (LEC), Dr Lee Mun Wai, teknologi terkini ini bukan sahaja kos efektof dan pilihan mudah kepada mereka yang mahu bebas daripada bergantung pada cermin mata dan kanta mata lekap. Ia juga sesuai bagi mereka yang tidak mahu dibebani dengan prosedur pembetulan berulang. Prosedur ini cepat hanya mengambil masa sepuluh minit.

Ia selamat, tidak sakit dan hanya menggunakan ubat titis mata sebagai anestetik. keputusannya pula serta merta.

"Seseorang pesakit yang ingin mendapatkan rawatan mata selalunya bimbang dan khuatir tentang risiko yang perlu ditanggung. Tetapi kaedah ini bukan hanya mengurangkan komplikasi serius, tetapi juga mampu membantu menyelesaikan masalah bagi mereka yang gagal memperolehi keputusan memuaskan daripada prosedur konvensional lasik atau katarak. Teknologi canggih ini membolehkan rawatan laser mata dilakukan mengikut kesesuaian individu," ujar Dr. Mun Wai.

Wavelight juga dilengkapi dengan rangkaian komputer bersepadu yang dikenali sebagai WaveNet yang membolehkan pemindahan data pesakit dilakukan melalui peralatan diagnostik ke laser itu.

Ini membolehkan pakar bedah memberikan hasil pembetulan mata secara konsisten beserta hasil visual berkualiti tanpa kompromi dari segi tahap keselamatan ketika melakukan rawatan.

Dr Mun wai yang sebelum ini aktif dalam kajian klinikal optalmik berkata antara ciri menarik teknologi laser FS200 adalah kemampuannya merawat mengikut bentuk dan saiz kornea yang berbeza. Selain itu, ia juga mampu meminimumkan insiden lapisan gelembung yang kabur. Tambahnya lagi, FS200 juga merupakan laser femtosecond yang terpantas, mengurangkan masa untuk membuat lapisan nipis (flap) pada mata kepada enam saat.

Dalam pada itu, EX500 ialah laser eksimer paling pantas dalam pasaran dan boleh merawat 1.0 diopter (100 darjah kuasa cermin mata) hanya dalam masa 1.4 saat.

"Menerusi teknologi terbaru dari Jerman ini, saya yakin bahwa hasil keputusan daripada prosedur pembedahan yang lebih efisyen dan efektif ini serta kemampuannya, ia akan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk memilih prosedur rawatan penglihatan melalui Wavelight," ujarnya.

Seorang First Aider untuk satu keluarga



Kanak-kanak tadika di Korea Selatan diajar tentang langkah-langkah bantuan kecemasan.


KETIKA itu saya lihat Kylee tidak sedarkan diri, tidak bernafas lagi, lantas saya menarik Kylee keluar dari tab mandi dan terus memberikan bantuan CPR (pernafasan mulut ke mulut) kepadanya,” cerita si kecil Kyra Foster yang berusia 8 tahun ketika menyelamatkan nyawa adiknya.

Ketika kejadian, dua beradik itu berada di rumah nenek mereka apabila adik Kyra, Kylee, 4, yang mandi di dalam tab tergelincir setelah terpijak permainan di bilik mandi.

Anak kecil itu terjatuh, tertelan air dan kepalanya terhantuk lantas tidak sedarkan diri.
Kyra yang mempelajari teknik CPR menerusi satu program di televisyen yang pernah ditonton sebelum itu tidak berfikir panjang dan terus mempraktikkan apa yang dilihat menerusi kaca televisyen.

Selepas melakukan CPR, Kyra lantas memanggil neneknya yang terus menghubungi talian kecemasan untuk bantuan selanjutnya.

Kisah Kyra dan pengetahuan bantuan awal ketika kecemasan yang dimilikinya memberi impak kepada seluruh penduduk dunia.

Kejadian yang berlaku di Arizona, Amerika Syarikat pada April lalu membuktikan bahawa pengetahuan dalam bidang bantuan awal kecemasan atau bantu mula amat perlu diterapkan dalam diri setiap ahli keluarga supaya ia dapat digunakan pada masa yang tidak dijangka.

Terlalu banyak kejadian seumpama kisah Kyra dan adiknya berlaku di negara kita yang berakhir dengan kematian.

Antara kes yang sering berlaku di rumah, lemas dalam baldi, tersedak susu, terkena renjatan elektrik, curahan air panas dan sebagainya.

Malah, kes kemalangan di rumah di negara ini meningkat setiap tahun dek kerana kelalaian dan tidak mempunyai ilmu pengetahuan dalam memberikan bantuan awal kecemasan.

Memanglah ajal dan maut di tangan tuhan namun tuhan mengubah nasib hambanya yang berikhtiar memulihkan keadaan tersebut.

“Mempunyai anak kecil yang boleh bertindak balas dengan segera dan melakukan perkara yang betul membuktikan kita merupakan masyarakat yang mempunyai asas pendidikan CPR dan mendjadikan keadaan jauh lebih baik (To have a young child be able to react quickly and do the right thing, it just proves if we do community-based education and CPR then we make these situations a lot better),” ujar Styles, telefonis yang menjawab panggilan kecemasan nenek Kyra yang menghubunginya ketika kejadian.

Persoalannya berapa ramai rakyat di negara ini mempunyai kesedaran tentang kepentingan pertolongan cemas dan tahu tentang ilmu bantu mula ini?

Pegawai Latihan di Institut Latihan Ibu Pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM), Thonia Bundas memberikan definisi bantu mula atau bantuan awal sebagai tindakan yang perlu dibuat apabila berlaku keadaan cemas di depan mata sebelum menunggu ketibaan ambulans.

Thonia menambah, bantuan awal ini amat penting kerana ia boleh menyelamatkan nyawa seseorang.
“Jika menunggu tanpa melakukan apa-apa, bukan saja masa telah terbuang di situ peratusan untuk mangsa
hidup kurang menurun.

“Jika tahu teknik, ia bukan saja menjimatkan masa malah yang lebih utama menyelamatkan nyawa,” jelasnya ketika ditemui di ibu pejabat PBSMM di Jalan Nipah, Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bantu mula ini adalah orang pertama yang melakukan tindakan sebelum tibanya paramedik.
Dalam istilah pertolongan cemas individu yang memiliki pengetahuan tentang bantu mula digelar sebagai First
Aider.

“Sesiapa sahaja boleh menjadi First Aider, dengan matlamat menyelamatkan nyawa, kurangkan kecederaan dan meminimumkan kesakitan.

“Selepas melakukan bantu mula segeralah menghubungi talian 999,” ujarnya.

Pertolongan cemas perlu kompeten

BANYAK kes kecederaan yang memerlukan bantuan pertolongan cemas. Namun, berapa ramaikah di antara kita yang berpengetahuan dan berkemampuan untuk melakukan pertolongan cemas?

Jika kejadian kemalangan berlaku di rumah, sekolah, pusat jagaan, tempat awam, kenderaan, taman permainan, taman rekreasi dan sebagainya, siapakah yang patut memberi pertolongan cemas?

Aziz Basiran yang merupakan perunding keselamatan, kesihatan, alam sekitar, motivasi dan pengurusan memberitahu, terdapat kes-kes tertentu di mana pertolongan yang diberikan kepada mangsa kemalangan membawa kepada situasi yang lebih teruk malah hingga membawa kepada punca kematian.

Ini kerana mereka yang membantu mangsa kemalangan tidak kompeten.

Tambah beliau, perkara yang perlu untuk setiap insan di dunia ini yang sudah dewasa perlulah mempunyai pengetahuan berkaitan pertolongan cemas.

"Saya berpendapat setiap orang yang dewasa perlulah menghadiri kursus latihan pertolongan cemas dan latihan persediaan dan tindakan kecemasan seperti kebakaran dan lain-lain.

"Setiap rumah perlulah mempunyai peti pertolongan cemas dan alat pemadam kebakaran. Begitu juga tempat-tempat lain seperti sekolah, taska, dalam kenderaan dan sebagainya.

"Antara ciri mereka sebagai orang yang memberi pertolongan cemas perlulah matang, bertanggungjawab, sentiasa tenang sewaktu kecemasan, boleh membantu dengan segera dan mempunyai tubuh badan yang sihat. Kompetensi untuk melakukan pertolongan cemas perlulah ada," jelasnya yang dihubungi MEGA baru-baru ini.

Menurut beliau, yang berpengalaman luas dalam bidang keselamatan dan kesihatan, terdapat ramai yang tidak tahu apa yang sepatutnya dilakukan jika terdapat kejadian seperti melecur, terbakar dan sebagainya.

"Malangnya, ada terdapat mereka yang menggunakan kicap, ubat gigi dan sebagainya untuk merawat seseorang yang melecur. Perkara ini amat menyedihkan," ujarnya yang berharap agar rakyat Malaysia menjadi rakyat yang lebih prihatin dalam memberikan bantu mula kepada mangsa kemalangan.

Hindari sindrom gangguan usus


Cara pemakanan yang kurang sesuai juga boleh menyebabkan penyakit sistem penghadaman. – Gambar hiasan


PADA 20 Mei 2009, statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan memberitahu bahawa hampir setengah juta rakyat negara ini dikesan menghidap Sindrom Gangguan Usus (IBS) iaitu sejenis penyakit yang memberi kesan buruk kepada sistem penghadaman manusia.

Ini menandakan semakin ramai rakyat Malaysia menghidap penyakit berkaitan sistem penghadaman badan terutama kanser usus dan ulser peptik sehingga boleh membawa kepada kematian.

Penyakit berkaitan sistem penghadaman ini merupakan penyebab keenam kepada kematian di hospital-hospital kerajaan jika hendak dibandingkan tempat ketujuh sepanjang tahun 2006 hingga 2008.

Untuk pengetahuan, sistem penghadaman adalah salah satu sistem yang terbesar dalam tubuh badan manusia.
Ia bukan sahaja berfungsi menghadamkan makanan dan menyerap nutrien malah ia juga merupakan bahagian
utama sistem pertahanan anda.

Tanpa sistem penghadaman yang sihat, anda mungkin akan menderita akibat kekurangan zat makanan dan penyakit yang merbahaya.

Memandangkan sistem penghadaman memainkan peranan yang begitu penting, anda sepatutnya menjaga dan memberikan perhatian yang sewajarnya.

Menurut Pakar Perunding Gastroenterologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Sheikh Anwar Abdullah, sebenarnya masih ramai yang kurang sedar bahawa penyakit yang melibatkan sistem penghadaman badan itu boleh memudaratkan.

“Walaupun ia tidak menduduki senarai lima teratas, namun terdapat peningkatan jumlah mereka yang menghidap penyakit ini.

“Ini juga berlaku kerana kebanyakan cara hidup rakyat negara ini mempengaruhi tahap kesihatan mereka.

“Cara pemakanan yang kurang sesuai juga boleh menyebabkan penyakit sistem penghadaman ini berlaku,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sehubungan itu, katanya lagi, sekiranya terdapat tanda-tanda awal seperti sembelit, cirit-birit, pedih hulu hati dan senak perut, pesakit perlulah mendapatkan rawatan segera.

Dalam masa yang sama, sekiranya anda mengalami gejala-gejala seperti perubahan tabiat buang air besar, darah dalam najis, sakit abdomen yang teruk, kehilangan berat badan yang tidak dapat dijelaskan dan pedih hulu hati yang tidak dapat dilegakan oleh ubat juga perlulah segera mendapatkan rawatan daripada pakar-pakar gastroenterologi yang terbaik.

Selain itu, masalah sistem penghadaman juga boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit seperti penyakit radang usus (IBD), penyakit refluks gastroesofagus (GERD), ulser peptik dan helicobacter pylori, kanser kolon, penyakit divertikulum, hemoroid dan ketidakseimbangan mikroflora usus.

Dalam pada itu, menurut Dr. Sheikh Anwar lagi, masalah sistem penghadaman boleh berlaku kepada mana-mana individu tanpa mengira umur dan jantina tetapi yang kerap mengalami masalah ini adalah individu yang berumur antara 20 hingga 40 tahun.

Pada hakikatnya, jelas Dr. Sheikh Anwar, menjaga kesihatan sistem penghadaman bukanlah satu tugasan berat.

“Anda hanya perlu menjaga gaya hidup dan diet pemakanan, kerana kesihatan sistem penghadaman bergantung kepada makanan yang anda makan, gaya hidup yang diamalkan serta kegiatan fizikal yang anda lakukan,’’ tambahnya.

Sementara itu, sempena Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia yang diraikan setiap 29 Mei telah berlangsung
Program Perut Sihat Vitagen.

Program yang bermula dari 25 Mei lalu adalah anjuran bersama Badan Penasihat Perut Sihat dan Vitagen di pusat membeli-belah 1 Utama.

Pelbagai program telah dilangsungkan bertujuan meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya sistem penghadaman dalam tubuh badan manusia.

Penawar resdung




AZEAN Suhaili, 31 mempunyai masalah resdung yang serius sejak usia awal 20-an lagi. Lebih membimbangkan, dia mempunyai kulit sensitif dan jerawat yang agak serius.

Kadang-kadang keadaan ini menimbulkan ketidakselesaan kerana dia takut timbul tanda alahan seperti gatal-gatal pada wajah.

Menerusi sebuah laman web yang menceritakan tentang rawatan tradisional resdung, Azean mengambil keputusan untuk mencuba rawatan ini.

Dia menghubungi pemilik Darul Irsyad, Gadafi Mohd Zuki tentang prosedur rawatan tradisional resdung.

Gadafi memberi penerangan secukupnya dan Azean yakin untuk membuat satu temu janji pada hari berikutnya.

Hasil rawatan ini, resdung yang dihidapi Azean semakin berkurangan. Dengan penjagaan sendiri di rumah seperti menggunakan sabun pembersih wajah khas, titisan air dan menjaga pemakanan, Azean dapat mengawal masalah resdungnya. Kesan jerawat yang dialaminya kian berkurangan. Bahkan Azean lebih yakin ketika bergaul dengan orang lain.

Menurut Gadafi, resdung merupakan satu penyakit yang agak sinonim dengan orang Melayu kerana kaum itu sering dibelenggu dengan penyakit itu.

Perubatan moden menyifatkan resdung atau sinus sebagai radang atau jangkitan kuman dan alahan pada saluran pernafasan, telinga serta mulut.

Orang Melayu pula percaya ia berlaku akibat cara pemakanan terutama mereka yang selalu makan makanan laut dan belacan.

Resdung boleh membuatkan seseorang itu mempunyai nafas berbau, bersin, muka berjerawat, gatal atau bengkak di hidung, mulut dan telinga.

Simptom yang lebih teruk melibatkan nanah di telinga atau kecacatan pada hidung akibat kerosakan pada
bahagian rongganya.

Pengewapan muka

Justeru, ramai yang mencari penawar atau rawatan secara tradisional .

Mungkin ramai yang tidak mengetahui asal usul perkataan resdung . Ia sebenarnya berasal daripada dua perkataan 'resah hidung' yang telah digabungkan. Resdung adalah satu keadaan di mana seseorang menjadi alah kepada pelbagai agen persekitaran seperti habuk, debu atau biji-biji debunga dan tumbuh-tumbuhan.

Bagi rawatan secara tradisional di Darul Irsyad , pengewapan muka menggunakan asap adalah antara medium paling asas selain campuran beberapa bahan herba lain.

Pengewapan atau pengasapan dilakukan agar 'hama' yang hidup di sekitar rongga wajah, keluar sekali gus mengurangkan bendalir yang menyekat saluran pernafasan.

Selepas menjalani rawatan , wajah akan menjadi lebih 'ringan', bersih dan tidak lagi mengalami kegatalan.
Malah punca jerawat di muka turut hilang.

Berbeza dengan tempat lain, Gadafi menggunakan corong kecil agar pesakit tidak berasa pedih pada mata.

Rawatan diteruskan pula menggunakan titisan herba untuk mengeluarkan lendir pada hidung.

Ia mengeluarkan segala cecair yang menyebabkan rongga hidung tersumbat.

Pesakit juga boleh melakukannya kaedah titisan herba di rumah.

Selepas melakukan proses mengeluarkan lendir, wajah pesakit akan dibersihkan menggunakan sabun khas yang boleh dibeli di Darul Irsyad.

Selain menjaga pemakanan di rumah, pesakit digalakkan meminum herba khas seperti teh pahit Kabiro yang diperbuat daripada herba hutan tropika.

"Namun ia perlu diikuti dengan proses penjagaan kulit wajah yang teratur dan berpantang daripada mengambil beberapa jenis makanan seperti udang, ketam dan kerang.

Individu yang mengalami resdung selalunya berasa rimas dengan keadaan hidung yang gatal-gatal dan mata berair yang menimbulkan keadaan tidak selesa.

Salah satu langkah mengurangkan ketidakselesaan akibat penyakit tersebut adalah dengan menjalani rawatan tradisional seperti yang dilakukan di Darul Irsyad. Pesakit tidak akan pulih sepenuhnya serta merta tetapi rawatan ini mengurangkan kesan resdung dan mengawal daripada berlaku secara serius," katanya yang ditemui di di Jalan 4/1, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi , Selangor baru-baru ini.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai rawatan resdung tradisional, orang ramai boleh menghubungi Gadafi di talian 013-3595036 atau layari http://darulirsyad-blog.blogspot.com.