"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Sunday, April 24, 2011

Baca, teliti sebelum beli


LABEL pemakanan atau panel maklumat pemakanan (NIP), adalah jadual yang terdapat pada label makanan berpaket yang menunjukkan jumlah tenaga, karbohidrat, protein dan lemak dalam produk makanan.

Kebanyakan pengilang produk makanan turut menyenaraikan vitamin, zat galian dan nutrien-nutrien lain. Ia boleh dianggap sebagai indikator kualiti pemakanan produk tertentu.

Label pemakanan menggalakkan penggunaan prinsip pemakanan yang betul dalam pemilihan dan penyediaan sajian makanan untuk keluarga. Sebagai ibu bapa yang prihatin, pemahaman mengenai maklumat ini akan membantu anda membuat pilihan makanan yang lebih berkhasiat untuk anak-anak anda. Seterusnya ia membantu memenuhi keperluan pemakanan di samping mengehadkan pengambilan lemak dan gula yang berlebihan dalam dietnya. Sentiasa amalkan membaca label pemakanan walaupun anda pernah membeli makanan yang sama sebelum ini, kerana formula dan kaedah pemprosesan makanan mungkin sudah berubah seiring dengan masa.

Sentiasa baca senarai kandungan ramuan! Maklumat ini penting sekiranya si manja anda mempunyai alahan atau alergi terhadap satu atau beberapa jenis komponen makanan. Pengetahuan tentang kandungan produk dapat membantu mengelak kemudaratan. Anda juga boleh mendapatkan maklumat makanan dari laman web
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dengan menyemak senarai nutrien dan jumlah nutrien dalam setiap hidangan produk makanan tertentu, sudah pasti anda dapat menganggarkan jumlah nutrien makanan yang boleh menyumbang kepada pengambilan harian si manja anda. Maklumat ini boleh digunakan sebagai panduan dalam membuat pilihan makanan yang bijak bagi merancang sajian yang sihat dan seimbang untuk si manja anda. Petua berikut boleh dijadikan panduan:

Jangan sesekali membeli makanan hanya kerana anda sukakan bungkusannya. Sentiasa ingat bahawa produk makanan yang mahal tidak semestinya lebih baik atau lebih berkhasiat. Sebagai ibu bapa yang prihatin, sentiasa bandingkan produk makanan dengan membaca NIP.

Ingatlah, buat perbandingan berdasarkan jumlah nutrien setiap 100g atau 100ml produk. Saiz hidangan mungkin tidak sesuai untuk dibuat perbandingan kerana ia mungkin berbeza di antara jenama.

Jangan mudah terpengaruh dengan semua tuntutan yang anda baca pada label makanan. Misalnya, sesuatu produk dituntut mempunyai "rendah lemak" tetapi mungkin mengandungi kandungan gula yang tinggi, manakala produk yang mendakwa "tiada kolesterol" mungkin mempunyai kandungan lemak yang tinggi.

Bagaimana untuk membuat keputusan yang lebih baik berdasarkan dakwaan pengeluar? Mudah sahaja, bacalah label pemakanan.

Jika anda memerlukan panduan selanjutnya mengenai cara menggunakan label pemakanan, mintalah nasihat pakar pemakanan atau pakar diet.

 PENULIS adalah Ahli Persatuan Pemakanan Malaysia.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_04.htm

Kurus dengan senaman otot

TERDAPAT dua jenis karbohidrat yang tidak menyihatkan di dalam hidangan kita seharian. Yang pertama adalah makanan manis dan bergula manakala kedua bijirin yang tidak bercambah seperti roti, nasi dan pasta.

Karbohidrat dalam sayur-sayuran dan buah-buahan jauh lebih baik kerana ia semulajadi tanpa melalui proses pengubahan sebagaimana roti dan gula. Karbohidrat jenis roti dan gula meningkatkan paras gula dengan mendadak sehingga merosakkan kesihatan manakala jenis sayur-sayuran pula mengurai dengan perlahan memberikan tenaga tanpa merosakkan tubuh.

Gula merupakan keperluan sel dalam tubuh kita. Tanpa gula kita menjadi lemah tidak bermaya. Yang merosakkan tubuh adalah kenaikan paras gula melampau secara tiba- tiba. Apabila kita minum segelas minuman manis, paras gula meningkat dengan tiba-tiba menyebabkan paras hormon, enzim dan transmitter tubuh berada dalam keadaan yang tidak menentu. Lama kelamaan akibat aktiviti tidak menentu ia mudah rosak. Keadaan ini boleh disamakan dengan suis lampu atau peralatan elektrik yang dipetik beribu kali tanpa henti. Sudah tentu ia mudah rosak kerana penggunaannya yang tidak berkala.

Apabila mengambil minuman yang sangat manis atau makan makanan berkarbohidrat tinggi seperti roti atau pasta jumlah gula akan meningkat secara drastik di dalam darah. Kita akan berasa bertenaga selama 20 minit.

Kelenjar insulin mengesan kehadiran gula dan mula bekerja keras menurunkan kadar gula. Insulin yang banyak akan berkitar di dalam tubuh kita melebih sejam. Pada masa ini paras gula sudah terlalu rendah manakala paras insulin pula sangat tinggi. Ketidakseimbangan membuatkan seseorang menjadi lemah dan lesu. Ini adalah faktor mengapa tubuh kita menjadi letih dan mengantuk setelah beberapa jam makanan makanan manis atau tinggi karbohidrat diproses.

Apabila proses ini berulang setiap hari tubuh kita bagaikan kehilangan signalnya yang semula jadi. Paras hormon metabolik turut terjejas dan akhirnya kita akan menjadi obes yang tidak mudah dipulihkan dengan diet biasa.

Seseorang yang mahu kurus harus mangambil berat fakta sebegini. Metabolik tubuh harus ditingkatkan. Pemilihan makanan yang tidak meningkatkan paras gula dalam darah adalah faktor terpenting bagi membantu meningkatkan hormon metabolik.

Indeks Glycemic merujuk kepada kebolehan sesuatu makanan meningkatkan paras gula dalam darah. Ia sebenarnya merujuk kepada kebolehan sesuatu makanan dipecahkan menjadi gula dalam darah kita. Lebih tinggi indeks glycemic bermakna lebih cepat makanan ditukar menjadi gula dan memberi kesan buruk kepada tubuh kita.

Senaman adalah satu lagi faktor utama yang mampu meningkatkan kadar metabolisma. Kita perlu ingat bahawa senaman bertujuan meningkatkan kadar pemanasan tubuh dan bukannya membentuk otot semata mata. Oleh kerana lemak lebih cenderung terbentuk pada perut, paha dan belakang maka senaman yang baik adalah senaman yang menggunakan otot ini.

Saya mencadangkan senaman otot-otot utama atau Core Muscle Excersize yang mudah dan sangat berkesan. Otot utama kaya dengan bahan pembakar lemak. Pergerakan otot utama membuatkan seluruh tubuh kita berfungsi. Apabila kita melakukannya kita dapat rasai kesan yang pantas dan hebat.

Senaman jenis ini tidak memerlukan ruang yang luas. Memadai dilakukan di atas tilam atau lantai sahaja. Lagipun ia tidak mengambil masa yang panjang hanya sekitar 20 minit sahaja. Ia juga tidak menjemukan kerana tanpa disedari kita menggunakan tenaga seluruh tubuh bagi melakukannya. Pada waktu ini otot-otot akan distimulasi dan mengeluarkan hormon serta enzim yang baik bagi mengunakan lemak secara efektif.

Seorang sahabat saya yang juga doktor pakar memberitahu sejak berat badannya meningkat dia berasa sangat tertekan. Senaman dan pengurangan makanan sahaja tidak dapat membantu. Selepas meningkatkan paras hormon dan enzim kehidupannya kembali ceria. ''Dulu senaman pun tak berpeluh namun sekarang berpeluh-peluh,'' katanya.

Saya teringat seorang jiran berbangsa Tionghua yang memberitahu bahawa dalam masyarakatnya tubuh yang sihat adalah tubuh yang berpeluh dan panas. Teknik perubatan Cina mementingkan peningkatan metabolisma.

Kepada pembaca semua, saya akan menemui anda di Bengkel Personaliti Cantik Sihat siri ketiga bersama Dr. Shaharom Sulaiman di Kuantan, Pahang. Bengkel kali ini akan memperkatakan tajuk khusus iaitu Kecantikan dan Anti-Penuaan. Bengkel ketiga ini sememangnya amat bermanfaat kerana saya dan Dr. Shaharom dari Klinik Thalia akan memperkatakan topik-topik berkaitan hormon serta penjagaan kecantikan. Lebih menarik lagi kira-kira satu pameran teknologi kecantikan seperti laser untuk kulit cantik akan diadakan serta dibuka kepada orang ramai.

Tentu para pembaca berminat untuk bersama saya menyelongkar pelbagai ilmu dan tip untuk tampil sebagai individu yang mempunyai personaliti cantik dan sihat.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_05.htm

Pengembalian denyutan jantung secara spontan


Apabila melakukan CPR, kita seperti membuat urutan jantung (tekanan dan beri oksigen).


HARI itu Dr. Azar Azman Abu Bakar pergi kerja seperti biasa. Pagi-pagi lagi dia mempunyai kes kecemasan. Seorang pesakit diserang jantung di rumah dan setibanya di Unit Kecemasan pesakit didapati tidak mempunyai denyut nadi dan tekanan darah yang tidak boleh dikesa. Dr. Azar dan pasukannya melakukan resusitasi kardio-pulmonari (CPR). Selepas melakukan CPR melebihi setengah jam didapati pesakit itu tidak menunjukkan reaksi denyutan jantung dan tekanan darah.

"Setelah memastikan apa-apa informasi klinikal pesakit, saya dan pasukan saya berpendapat secara klinikalnya pesakit telah meninggal dunia.

Saya mengambil keputusan memberitahu isteri dan keluarga bahawa suaminya sudah meninggal dunia. Belum sempat saya membuka mulut, saya dipanggil oleh jururawat untuk melihat keadaan pesakit. Ketika itu, saya melihat adanya aktiviti gelombang jantung dan tekanan darah dapat dikesan semula walaupun amat rendah.

Kami saling berpandangan dan masing-masing berharap pesakit mungkin boleh diselamatkan dan ubatan tertentu terus dimulakan dan persiapan untuk dihantar ke ICU dilakukan.

Namun nyawanya hanya mampu bertahan kurang dari sepuluh minit. Selepas itu, dia disahkan meninggal dunia," ujar Pakar Kardiologi dan Perubatan Hospital Pusrawi, Dr. Azar ketika diminta mengulaskan sindrom Lazarus.

Sejarah

Menurut Dr. Azar, dari segi bahasa saintifik, Lazarus dikenali sebagai pengembalian sirkulasi darah secara spontan- ROSC (Return Of Spontaneous Circulation) selepas prosedur CPR dipersetujui diberhentikan apabila difikirkan CPR tidak berjaya.

Namun katanya, fenomena Lazarus sudah lama wujud dan disebut dalam sejarah peradaban manusia.

"Cerita Lazarus diambil daripada kitab Bible. Dikatakan seorang yang bernama Lazarus dihidupkan kembali oleh Nabi Isa empat hari selepas kematiannya. "Dalam sejarah perubatan pula, kes fenomena Lazarus pertama dilaporkan pada tahun 1982 manakala penggunaan istilah fenomena Lazarus diperkenalkan oleh Bray pada tahun 1993," jelasnya.

Dr. Azar memberitahu, pada tahun 1800an, wujudnya golongan yang menulis dalam wasiat mereka agar waris memastikan jika mereka betul-betul meninggal dunia dengan menuangkan cecair panas atau menoreh kulit mereka.

"Wasiat ini timbul kerana mereka takut kejadian ditanam hidup-hidup. Pada tahun 1897, keranda khas yang mempunyai sistem loceng dan bendera diperkenalkan bertujuan sekiranya mereka tiba-tiba hidup di dalam keranda, mereka boleh menekan loceng tersebut. Bahkan persatuan (Society for the Prevention of Burial Before Death) ada diwujudkan," ujarnya.

Kategori Lazarus

Dr. Azar menjelaskan terdapat beberapa kategori tema-tema Lazarus yang diguna pakai di seluruh dunia. Fenomena Lazarus juga ada diguna pakai pada penerima buah pinggang yang dianggap tidak selamat tetapi selepas itu berjaya.

Kompleks Lazarus

l Ia merupakan kesan sampingan psikologi iaitu orang yang terselamat daripada pengalaman hampir kematian (misalnya semasa kemalangan yang teruk).

sindrom Lazarus

l Kebiasaannya melibatkan kanak-kanak pediatrik (kes-kes yang dianggap akan meninggal tetapi
kemudiannya menjadi stabil).

Tanda-tanda Lazarus

l Pesakit yang kematian otak atau kecederaan saraf tunjang tetapi ada pergerakan secara spontan.

Kesan Lazarus

l Spesis haiwan tertentu yang sepatutnya dah pupus tetapi didapati masih wujud.

Primonasi Lazarus

l Keadaan sementara seperti telah sihat pada pesakit terminal. Fenomena ini sebenarnya telah diketahui agak lama kerana dalam sejarah Cina 1000 tahun yang dulu pun ada perkataan " Hui Guang Fan Zhao" yang bermaksud "pantulan cahaya dari matahari terbenam" digunakan.

Pil Lazarus

l Penggunaan pil zolpidem untuk mereka yang koma ada menunjukkan respons saraf yang sebentar.

Serangan jantung

Mengikut pemerhatian majoriti fenomena Lazarus terjadi pada pesakit yang mengalami serangan jantung atau masalah paru-paru (COPD).

Dr. Azar menambah, kes-kes trauma atau terlebih dos dadah juga terdapat fenomena Lazarus.

"Dalam kes serangan jantung contohnya, disosiasi elektromekanik (electromechanical dissociation/EMD) menunjukkan tiada tanda nadi dan tekanan darah tetapi ada gelombang jantung (ECG)," katanya.

Majoriti kes-kes fenomena Lazarus yang dilaporkan menunjukkan tanda-tanda pesakit hidup kembali dalam tempuh sepuluh minit selepas CPR diberhentikan.

Ada juga fenomena yang dilaporkan selepas beberapa jam CPR diberhentikan.

Dr. Azar memberitahu berdasarkan kes-kes yang dilaporkan, kurang daripada satu pertiga akan terus hidup secara normal tanpa sebarang masalah saraf.

Laporan media

19 Disember 2000 /12 Ogos 2002 di Eropah.

Ada mayat yang bangun dalam peti sejuk bilik mayat.

19 Januari 2004 di India

Pesakit yang disahkan mati didapati mayatnya telah hilang dari hospital .

Saintifik

Dr. Azar menjelaskan antara pendapat yang diguna pakai untuk menjelaskan Fenomena Lazarus;

1. Auto PEEP (Positive End Expiratory Pressure)

Semasa melakukan CPR; Lazarus dikatakan terjadi apabila oksigen yang diberi terlalu cepat atau banyak dalam paru-paru. Akibatnya gas dalam paru-paru terperangkap (gas trapping) dan dada mengembang (dynamic hyperinflation) menyebabkan bertambahnya PEEP.

Ini mengakibatkan darah vena kurang kembali ke jantung dan menurunkan keluaran darah yang dipam oleh jantung. Seterusnya menyebabkan jantung berhenti (cardiac arrest)

Selepas berhenti CPR, PEEP berkurang dan seterusnya memungkinkan jantung berdenyut kembali.

Ada juga yang mencadangkan selepas berhenti melakukan CPR, pesakit harus diperhatikan selama 10 minit sebelum disahkan mati.

2- Ubat-ubatan ketika CPR lambat bertindak dan ini memungkinkan reaksi tubuh lambat bertindak.

3- Garam potasium dalam sel jantung terlalu tinggi.

4- Jantung berhenti sekejap disebabkan oleh iskemia (cardiac stunning)

Walaupun fenomena Lazarus bukan baru, sekiranya berlaku ada kemungkinan para paramedik berhadapan dengan tuduhan tidak melakukan CPR secukupnya.

"Kebiasaannya kita akan melakukan CPR untuk tempoh sekurang-kurangnya setengah jam dan bergantung kepada keadaan tertentu, CPR akan dilakukan lebih lama untuk kes-kes pediatrik, keracunan dadah, hipotermia, lemas dan sebarang indikasi tertentu," katanya.

(Petikan daripada Journal of The Royal Society of Medicine).

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_06.htm

Endometriosis sekat renangan sperma


PEMBEDAHAN hanya dilakukan jika ukuran sista sudah melebihi lima sentimeter.


SETIAP kali helaian kalendar di atas mejanya bertukar, Atikah Aswad, 30, diburu perasaan bimbang, lebih-lebih lagi apabila tarikh semakin menginjak ke tengah bulan.

Ketika itu, biasanya Atikah akan kedatangan haid. Apa yang cuba dielakkan oleh eksekutif di sebuah syarikat swasta ini ialah sakit senggugut yang ditanggungnya.

“Sejak awal tahun 2010, senggugut menjadi semakin teruk sehingga saya terpaksa mengambil cuti sakit tiga atau empat hari dalam sebulan.

“Saya hanya mampu baring dan mengiring sambil mengerekotkan badan apabila rasa kejang itu menyerang,” akuinya.


Sperma

Pada mulanya Atikah menganggap senggugut itu berpunca daripada tekanan kerja namun selepas beberapa bulan, dia nekad untuk berjumpa doktor.

 “Disebabkan saya tidak mengalami gangguan kitaran haid, cuma diserang kejang perut yang teruk ketika datang bulan, doktor mengesahkan saya sihat. Malah, ujian darah dan imbasan ultrabunyi di bahagian pelvis mendapati saya normal.

“Namun, selepas keadaan berlarutan, saya berjumpa dengan pakar perbidanan dan sakit puan pula.

“Apa yang mengejutkan, pada bulan November lalu, selepas dua tiga kali menjalani pemeriksaan, rundingan dan rawatan, doktor berpendapat saya mungkin mempunyai sista endometriosis di bahagian kanan ovari.

“Doktor mencadangkan agar sista itu dibuang namun saya takut tidak mampu hamil selepas pembedahan di bahagian ovari dilakukan,” katanya yang sudah mendirikan rumah tangga selama tiga tahun namun belum dikurniakan cahaya mata.

Selepas mendapatkan pandangan daripada pakar perbidanan dan sakit puan yang lain, Januari lalu, Atikah menjalani pembedahan laparoskopi dan sista sebesar tujuh sentimeter berjaya dibuang dari ovari kanannya.

“Sekarang saya tidak lagi dihantui rasa sakit dan ngilu semasa haid ataupun bersama suami,” ujarnya yang kini dalam proses menopaus sementara.

Merungkai kewujudan sista endometriosis dalam kalangan wanita, Perunding Perbidanan dan Sakit Puan dari
Damai Service Hospital, Dr. Mahes Sittampalam memberitahu, semua wanita yang sedang dalam fasa subur berisiko mendapat sista endometriosis.

“Sista endometriosis adalah keadaan di mana tisu yang menyerupai selaput rahim tumbuh di luar rahim seperti di ovari, tiub fallopian, usus, pundi kencing dan pelvis.

“Ia sepatutnya gugur dan menjadi darah semasa datang haid, tetapi sisa-sisa darah yang tidak gugur dan melekat di kawasan lain ini bertukar menjadi sista.

“Keadaan ini menjadikan pesakit berasa tidak selesa dan sakit di kawasan bawah perut dan belakang setiap kali datang haid ataupun ketika mengadakan hubungan suami isteri,” jelasnya.

ENDOMETRIOSIS juga merupakan punca utama ketidaksuburan wanita.


Menurut Mahes lagi, tidak hanya mendatangkan rasa tidak selesa, endometriosis juga merupakan punca utama ketidaksuburan wanita.

“Sista yang terdiri daripada gumpalan darah lama itu biasanya melekat di kawasan tiub fallopian dan ovari.

“Jika keadaan ini berlaku, ia akan menghalang laluan sperma untuk sampai ke telur.

“Jika berlarutan, sista boleh membesar dan pesakit sukar untuk hamil,” katanya.

 Mempunyai ciri-ciri seperti barah iaitu boleh membesar dan merebak, bagaimanapun, pesakit tidak perlu risau kerana sista tidak boleh bertukar menjadi kanser.

“Pesakit kebiasaannya mengalami senggugut teruk, pendarahan yang banyak, sakit semasa buang air besar atau kecil, cirit-birit atau sembelit.


Hamil

“Senggugut yang teruk dikaitkan dengan sista yang membengkak disebabkan rangsangan estrogen yang dirembeskan semasa haid.

“Tompokan sista yang pecah pula akan memburukkan keadaan kerana perut akan mengalami kekejangan berganda,” katanya.

Boleh dikesan melalui gejala-gejala yang dihadapi pesakit, tompokan darah lama ini diakui sukar untuk dikesan menggunakan ujian ultrabunyi atau ujian imbasan.

“Kaedah terbaik untuk memastikan pesakit itu mendapat endometriosis adalah melalui ujian laparoskopi di mana kita akan memasukkan tuib berkamera di sekitar kawasan peranakan.

“Pembedahan hanya dilakukan jika ukuran sista sudah melebihi lima sentimeter dan wanita tersebut ingin mengandung.

“Jika sista yang ditemui kecil, ia boleh dikawal dengan mengambil suntikan Danazol, Lucrin Depot ataupun Depo-provera. Pil perancang juga boleh digunakan dalam sesetengah kes,” ujar Mahes.

Kehadiran sista bagaimanapun tidak akan mengganggu tumbesaran janin sekiranya pesakit hamil.

“Endometriosis melekat di luar kawasan rahim. Jadi, janin tidak ada masalah untuk membesar.

“Namun, jika sista terus membesar dan memberi simptom kesakitan mengejut kepada si ibu sepanjang tempoh kehamilan, pembedahan untuk membuang sista perlu dilakukan.

“Jika tidak, kita hanya memeriksa tumbesaran sista tersebut. Malah, kalau pesakit hamil, ia adalah petanda bagus kerana mengandung adalah rawatan semula jadi untuk sista ini.

“Apabila wanita hamil, rangsangan estrogen yang hadir setiap kali datang haid akan terhenti untuk tempoh 10 bulan atau lebih.

“Keadaan ini menyebabkan sista mengecut dan hilang secara semula jadi,” katanya yang pernah merawat pesakit yang mempunyai sista sebesar 20 sentimeter.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0424&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Otot punca sakit belakang



POSTUR duduk yang tidak betul boleh menyebabkan kesakitan pada bahagian belakang. - Gambar hiasan


TAHUKAH anda empat daripada lima orang di dunia menderita sakit belakang sekurang-kurangnya sekali seumur hidup mereka?

Apabila membeli barang di pasar raya, ramai pelanggan mengangkat barang secara membongkokkan badan, padahal mereka sepatutnya membengkokkan kaki bagi gerak mengusung yang diperlukan.
Bagi pekerja kolar putih pula, mereka duduk di meja dan menghadap komputer masing-masing selama berjam-jam. Setelah penat bekerja dan pulang ke rumah ada yang terlena di atas sofa ketika menonton televisyen.

Adakah senario yang digambarkan di atas menyamai rutin harian kehidupan anda? Kini semakin banyak iklan tentang pil, plaster, balm dan ubat sakit belakang. Semua itu adalah bukti bahawa insiden sakit belakang bahagian bawah (LBP) semakin meningkat.

Tulang belakang yang juga dipanggil tulang spina sebenarnya satu rangkaian tulang vertebra yang membentuk belakang seseorang. Ia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu servikal, torasik dan lumbar.

Memberi fleksibiliti

Bahagian servikal mempunyai tujuh tulang vertebra yang menyambungkan tengkorak kepada tulang belakang. Ia juga membentuk struktur leher selain memberi ruang untuk leher berpusing ke kiri atau kanan.

Bahagian torasik pula adalah bahagian tulang belakang yang mempunyai paling banyak vertebra iaitu 12. Vertebra itu terletak di bahagian dada dan bercantum dengan tulang rusuk yang melindungi organ-organ penting seperti paru-paru dan jantung.

Bahagian lumbar biasanya mempunyai lima atau enam vertebra. Bahagian itu adalah bahagian tulang belakang terkuat kerana ia menyokong berat badan. Ia juga bersambung dengan tulang pelvis.

Keseluruhannya, vertebra berfungsi melindungi kordus spinal dan saraf yang berkaitan. Kordus spinal adalah sekumpulan saraf tunjang yang panjang dan sel-sel sokongan yang bersambung dengan otak lalu menjadikan sistem saraf pusat.

Fungsi lain vertebra tulang belakang ialah memberi fleksibiliti kepada pergerakan badan dan anggota, menyokong kerangka badan selain mengimbangi berat badan ketika berjalan atau berdiri.

Kebanyakan LBP berpunca daripada otot. Badan memerlukan otot yang kuat bagi memastikan postur yang betul.

Di seluruh dunia, perubahan dalam gaya hidup memberi impak dan kesan terhadap kesihatan termasuklah LBP.

Di negara maju dan sedang membangun, masyarakat lebih cenderung meluangkan banyak masa dengan bekerja. Faktor itu dikenal pasti sebagai antara sebab mengapa mereka yang bekerja lebih cenderung mengalami LBP.

Menurut Dr. Barry Kluner: "Banyak kes LBP tersilap diagnosis atau diberikan rawatan yang tidak sepatutnya dan ini menyebabkan kesakitan yang berulang".

MENGANGKAT barang dengan cara yang tidak betul boleh menjejaskan otot tubuh.


"LBP boleh terjadi pada mana-mana peringkat umur. Ia juga lebih prevalen di kalangan remaja dan anak kecil", kata Dr. Kluner yang juga pakar tulang belakang.

Menyentuh mengenai rawatan LBP, Dr. Kluner berkata, terdapat beberapa cara konservatif seperti berehat, ubat tahan sakit, manipulasi tulang spinal, ubat relaksasi otot, fisioterapi dan mengurut untuk mengurangkan kesakitan tersebut.

Bagaimanapun, kaedah itu kurang berkesan. Kebanyakan LBP yang berpunca daripada otot boleh pulih dalam masa beberapa minggu jika didiagnosis dengan tepat.

Alat sokongan

LBP akut memerlukan tempoh pemulihan yang lebih lama. Kesakitan berulang dapat dihalang jika punca sebenar LBP diketahui.

Kebanyakan aktiviti seperti bekerja, makan dan menonton televisyen dilakukan secara duduk. Menggunakan postur badan yang betul ketika melakukan aktiviti penting bagi menghindari LBP atau kesakitan lain.

Menggunakan alat sokongan yang menghalang tulang pelvik daripada senget boleh membantu mengurangkan risiko LBP.

BackJoy Orthotics dari Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini melancarkan produk ortotik mudah alih pada Pameran Perubatan dan Farmaseutikal Asia Tenggara ke-14 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Kolony-Dicipta untuk berangkaian social. Kenakan infeksi!


Tanpa menggunakan pil atau preskripsi, pesakit hanya duduk di atas alat tersebut. Ia boleh membantu memulihkan jajaran tulang belakang dan mengimbangi postur sekali gus menghalang berlakunya LBP.

Menurut Bing Howestein, Pengarah Backjoy Orthotics: "BackJoy menyediakan sistem rawatan sendiri." Produk itu sesuai digunakan oleh pesakit pelbagai peringkat umur dan ia boleh didapati di farmasi Vita Care dan stor Babyland.

Di AS kos perawatan bagi masalah LBP dianggar berjumlah AS$30 juta (RM90 juta) setahun.

Kerugian masa bekerja, pengurangan produktiviti serta had dan sekatan dalam aktiviti harian adalah antara kemudaratan yang disebabkan LBP. Masalah itu menyebabkan badan dan organisasi tidak dapat mengoptimum produktiviti.

Masyarakat Malaysia perlu sedar betapa pentingnya mempunyai tulang spina yang sihat dan pencegahan adalah lebih lebih baik daripada rawatan. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0421&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm