"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Sunday, March 13, 2011

Pilih diet rendah protein

ADAKAH anda tahu risiko kardiovaskular boleh bermula walaupun fungsi buah pinggang mengalami sedikit kerosakan? Dan adakah anda sedar penyakit kardiovaskular menyumbang lebih daripada 50 peratus kematian di kalangan penghidap penyakit buah pinggang kronik?

Mereka yang menghidap kegagalan buah pinggang peringkat akhir mempunyai 10 hingga 30 kali risiko kematian lebih tinggi akibat strok, serangan jantung atau penyakit kardiovaskular yang lain dibandingkan dengan golongan dewasa yang sihat.

Anda mungkin tertanya, apakah kaitan maklumat ini dengan diri sendiri? Banyak, jika anda mempunyai tanda-tanda penyakit buah pinggang atau jantung, sama ada anda sedar atau tidak.

Kajian di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan 10 peratus daripada golongan dewasa mempunyai masalah kerosakan buah pinggang dan mereka juga tidak tahu mengenainya. Ujian saringan mudah di mana-mana klinik atau hospital dapat menunjukkan jika anda salah seorang daripada mereka.

Ini kerana pencegahan awal sakit buah pinggang menjadi lebih kronik dapat menyelamatkan jantung anda.

Menurut Pakar Perunding Nefrologi Pusat Perubatan Tropicana, Kota Damansara Selangor, Dr. Soehardy Zainudin, sakit buah pinggang kronik ialah keadaan kedua-dua buah pinggang pesakit mengalami kerosakan.

Ia berlaku apabila buah pinggang rosak teruk disebabkan oleh penyakit kronik dan tidak lagi boleh menapis bahan-bahan yang tidak diperlukan oleh tubuh.

Lazimnya, kata Dr. Soehardy, penyakit berkembang secara perlahan-lahan dengan menunjukkan tanda-tanda atau gejala yang tidak ketara pada peringkat awalnya.

''Malah, kebanyakan penghidap langsung tidak menyedari masalah tersebut sehinggalah fungsi buah pinggang mereka merosot ke tahap kurang daripada 25 peratus berbanding keadaan normal.

''Apabila seseorang itu menghidap penyakit buah pinggang yang kronik, mereka akan sakit teruk beberapa bulan lamanya dan mengalami anemia (pendarahan berlebihan). Buah pinggang terus mengeluarkan air kencing namun gagal menyingkirkan bahan kotoran mahupun menyerap bahan-bahan yang berguna,'' jelas beliau.

Tambahnya, tekanan darah tinggi dan diabetes merupakan antara penyebab utama yang mencetuskan kegagalan buah pinggang kronik .

Pada sakit buah pinggang peringkat akhir di negara ini, statistik bersamaan dengan kira-kira 100 orang dalam sejuta penduduk.

Mengulas lebih lanjut, Dr. Soehardy memberitahu setiap tahun ada lebih empat hingga lima ribu pesakit baru.

"Pada tahun lepas sahaja terdapat 25 ribu pesakit yang menjalani rawatan dialisis. Ramai yang tidak tahu kegagalan buah pinggang boleh berlaku secara tiba-tiba atau akut. Keadaan ini selalunya terjadi selepas prosedur pembedahan yang rumit atau kecederaan teruk, ubat-ubatan tertentu seperti penahan sakit atau apabila pembuluh darah yang menghala ke arah buah pinggang tersekat," ujarnya.

Rawatan

Dalam pada itu, rawatan bergantung kepada tahap penyakit tersebut dengan matlamat untuk menghentikan atau melengahkan tahap perkembangannya.

Ketika ini, seseorang yang mengalami sakit buah pinggang kronik sama ada memerlukan penapis tiruan (dialisis) ataupun pemindahan buah pinggang untuk meneruskan hidupnya.

Diet rendah protein

Ramai yang tidak menyedari kos terapi penggantian buah pinggang seperti dialisis dan transplan yang jauh lebih tinggi, sehingga 10 kali ganda berbanding pengurusan penyakit buah pinggang yang efektif menerusi terapi pemakanan buah pinggang .

Bagi mengelakkan pengumpulan bahan buangan terjadi, kata Dr. Soehardy, seseorang itu hendaklah mengehadkan pengambilan protein di dalam makanan kerana protein akan menghasilkan bahan buangan (seperti urea) di dalam air kencing.

Pada masa yang sama, pengambilan fosfat dalam diet mestilah dikurangkan.

Dengan mengurangkan pengambilan protein untuk menghalang pengumpulan bahan buangan di dalam badan, jumlah asid amino juga akan turut berkurangan.

Kini, para pesakit berkenaan mempunyai pilihan termasuk pengurusan makanan yang bijak.

''Ini sekali gus membolehkan pesakit menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan paling penting, menangguhkan kegagalan buah pinggang kronik memasuki tahap akhir, dari tempoh tiga ke lima tahun. Selain itu, setiap pesakit perlu menjalankan gaya hidup sihat termasuk tidak merokok, jangan minum alkohol dan melakukan banyak aktiviti fizikal,'' kata Dr. Soehardy.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_03.htm

Peluang hidup kedua



AMINUDDIN bersalaman dengan Mohamed Noor Said menggunakan tangan kanannya yang diserang strok.


ENAM bulan lalu, Aminuddin Othman, 47, merupakan tunggak keluarga, mencari rezeki dan membesarkan enam anaknya. Namun penyakit angin ahmar atau strok yang dideritai menyebabkan bahagian kanan tubuhnya tidak boleh digerakkan.

Dia tidak boleh menjamah makanan seperti individu normal. Sebahagian tubuhnya ibarat tidak bernyawa lagi.

Mulutnya pula herot dan patah kata yang terbit dari bibirnya hanyalah desisan angin. Namun, semangatnya begitu kental. Jauh di dasar sanubarinya yakin ‘sebelah nyawanya’ yang hilang akan dikembalikan.

“Masa depan seolah-olah gelap gelita apabila disahkan strok oleh doktor, tiada ruang lagi untuk saya meneruskan kehidupan, malah saya terpaksa berhenti membawa teksi” luahnya.

Namun Aminuddin tabah dan menguatkan semangat. Hasilnya, kini dia memperoleh kegembiraannya semula malah mampu meneruskan kehidupan bahagia bersama keluarga.

Selepas hampir enam bulan menjalani terapi urutan menggunakan mesin khas di Setapak, Kuala Lumpur dan memakan ubat, dirinya sedikit pulih.

Suaranya dan sebutan perkataan semakin jelas sejak Februari lalu.

Malah akuinya, semasa awal menghidap strok , semua keperluan diri diuruskan oleh isterinya, Lelawati
Manan, 46. Kini seboleh-bolehnya dia mahu melakukan sendiri.

Menceritakan saat-saat dirinya diserang strok , katanya, segala-galanya berpunca daripada penyakit darah tinggi serta pemakanan yang tidak seimbang.

“Pada awalnya, tangan saya menjadi kebas ketika memandu teksi. Tiba-tiba, bahagian tubuh kanan pula tidak boleh digerakkan, malah rasa sekeliling saya seperti berpusing dan separuh badan keras. Bayangkan masa itu saya sedang membawa seorang penumpang dan sebelah tangan saya tidak boleh gerak. Kemudian saya menarik brek dan menahan teksi lain,” ceritanya ketika menceritakan detik cemas yang berlaku di Jalan Petaling, Selangor.

Katanya lagi, mulutnya juga menjadi herot dan tidak boleh menyebut patah perkataan.

“Masa tu, saya rasa dunia sudah gelap hanya mati sahaja yang paling hampir,” ceritanya bersungguh.

Namun kesungguhan isteri dan anak-anaknya membuatkan dia semakin tabah menghadapi dugaan hidup.

Bercerita lanjut detik itu, seorang pemandu teksi yang lain menghantarnya pulang ke rumah di Taman Wilayah
Selayang Fasa 4, Selayang, Kuala Lumpur.

Isterinya kemudian membawa dia ke Hospital Selayang dan doktor mengesahkan dia diserang strok.
“Tiada apa yang dapat saya lakukan ketika itu, hanya doa yang saya termampu. Apa yang saya terkilan, saya baru sahaja empat bulan membawa teksi. Isteri pula bekerja di tadika tetapi berapa sangatlah gaji dia.
Sedangkan kami ada enam anak yang masih bersekolah. Mujur ada kakak yang menawarkan saya rawatan fisioterapi percuma di Setapak,” tambahnya yang menjalankan perniagaan sendiri sebelum menjadi pemandu teksi.

Walaupun mempunyai kenderaan sendiri, dia tidak mampu lagi membayarnya dan tersadai di rumah kerana isteri dan anak-anaknya tidak boleh memandu.

Setiap hari kakaknya akan menemani dia untuk menjalani fisioterapi di pusat terapi tersebut.

Usaha

Berkat kegigihan, usaha tanpa mengenal putus asa dan berdisiplin dengan latihan, selepas hampir empat bulan, kini Aminuddin sudah boleh berjalan perlahan-lahan dan bertutur .

“Ia menyerang secara tiba-tiba tanpa ‘sebarang petanda’. Dia tidak pernah didiagnosis berpenyakit darah tinggi, penyakit jantung dan kencing manis.

Bagaimanapun berada di pusat terapi banyak memberi perubahan kepada saya dan peluang untuk sembuh bertambah baik dengan dorongan keluarga,” jelasnya.

Dia sedar penyakit yang dihidapinya kini tidak mungkin sembuh 100 peratus, tetapi cukuplah jika dia dapat bekerja semula.

“Apa yang penting saya tidak berputus asa dan sentiasa mencuba. Selebihnya berserah kepada Allah Taala.

“Saya menganggap ini sebagai hidup kedua saya. Peluang yang diberikan perlu saya gunakan sebaik-baiknya.

Kerana itulah, saya mahu segera sembuh untuk memperbaiki kehidupan keluarga saya,” ujarnya yang bersyukur kerana kakaknya sudi meminjamkan wang untuk persekolahan anak-anak dan rawatannya.

Kewangan

Walaupun digalakkan menjaga pemakanan, Aminuddin tidak kisah hidangan makanan hariannya.

Menyedari kekangan sumber kewangan keluarga, dia akan menjamah apa jua yang dimasak oleh isterinya.

Bahkan dia tidak mahu bergantung kepada bantuan orang ramai semata-mata tetapi dia mengharapkan pihak-pihak tertentu mengambil tindakan sewajarnya tentang nasibnya. Sejak diserang strok, permohonan bantuan sudah dihantar tetapi masih belum ada maklum balas.

“Saya bersyukur kerana isteri dan anak-anak sentiasa memberi sokongan dan menjadi pembakar semangat untuk melawan penyakit ini,” ujarnya yang boleh dihubungi di talian 019-3612536 atau menghubungi Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Wilayah fasa 4, Selayang, Kuala Lumpur, Mohamed Noor Said (013-3909944).

Panduan bakal ibu

TEMPOH 40 minggu yang dilalui sepanjang mengandung belum tentu cukup sebagai persediaan untuk menjadi seorang ibu. Terutama buat mereka yang kali pertama melaluinya, pengalaman menguruskan 'manusia kecil' yang baru menjengah ke dunia pastinya menyukarkan.

Kekok untuk kali pertama mengendong bayi, menyusu, memandikan dan menguruskan pelbagai perkara. Ibarat perlu bersiap sedia 24 jam, itu belum lagi dikira kira masalah lain seperti kembung, ruam dan sebagainya.

Kerana itu mereka yang baru pertama kali bergelar ibu perlukan panduan dan tunjuk ajar daripada mereka yang lebih berpengalaman. Bio-Oil, jenama yang sangat akrab dengan mereka yang bergelar ibu memulakan inisiatif menawarkan bilik rundingan dalam penjagaan antenatal secara percuma di Hospital Tengku Ampuan
Rahimah Klang.

Sebuah bilik khas disediakan dengan bidan bertauliah serta berpengalaman luas dalam bidang tersebut sedia melayan sebarang soalan bakal ibu dan mereka yang baru bergelar ibu.

"Ini merupakan sebahagian daripada program komuniti Bio-Oil. Kami memahami bagaimana perasaan seorang bakal ibu dan ibu yang baru pertama kali melalui detik tersebut kerana kami juga seorang ibu," kata Low Hooi Wan, Pengurus Bahagian Nuvanta Sdn. Bhd. yang mengedarkan jenama tersebut.

Sebagai ibu katanya, banyak perkara yang mereka ingin tahu dan tidak semua ibu berpeluang mengakses Internet untuk mendapatkan maklumat yang mereka mahukan. Kata beliau, pihaknya juga bercadang untuk menambah bilik seumpama di hospital lain dan berharap mendapat sokongan daripada badan-badan terlibat untuk berkerjasama menjayakannya.

Bercakap mengenai pengalaman sepanjang tempoh kehamilan pula, kata beliau, kesan regangan antara perkara yang dialami oleh kebanyakan bakal ibu. Tanda hitam hodoh di pinggul, perut dan paha ibarat igauan ngeri buat mereka yang melalui pengalaman itu.

Walaupun ia wujud pada bahagian yang bertutup, namun kehadirannya membuatkan wanita berasa tidak selesa dan rendah diri.

Bio-Oil menjadi diyakini wanita seluruh dunia dalam mengatasi masalah regangan ibu hamil selain memberi manfaat kepada kulit secara keseluruhan. Buat mereka yang bersalin secara pembedahan, kesan parut yang panjang di bahagian perut sukar untuk hilang walaupun pelbagai produk sudah dicuba. Dalam kes ini, jenama yang menjadi pilihan nombor satu di 11 buah negara termasuk Malaysia, United Kingdom dan Australia ini terbukti secara klinikal mampu mengurangkan parut, kesan regangan dan kulit yang tidak sekata.

Bio-Oil mengandungi minyak PurCellin iaitu kandungan unik vitamin dan minyak tumbuhan semula jadi termasuk vitamin A dan E, lavender, rosemary, minyak kalendula dan ekstrak camomile.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_05.htm

Wanita Malaysia dihimpit kemurungan?

WANITA lebih mudah risau dan terdedah kepada kemurungan berbanding lelaki. Demikian kata Pakar Perunding Psikiatri Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh.

Menurutnya, dianggarkan 73 juta wanita seluruh dunia mengalami episod kemurungan major setiap tahun.
"Ia lebih ketara di negara-negara maju di mana peningkatan kes bunuh diri banyak berlaku. Kini, penyakit ini mula menular ke negara membangun dan tidak ketinggalan Malaysia juga dilihat semakin ke arah itu," kata beliau ketika menyampaikan ucapan sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa di hospital tersebut baru-baru ini.

Katanya, sebanyak 13 peratus wanita yang mengalami proses kelahiran mengalami masalah mental termasuk kemurungan setiap tahun.

Pada peringkat yang lebih teruk, ia mengundang perbuatan bunuh diri yang kini dilaporkan menjadi antara tujuh punca kematian untuk wanita berusia 20 hingga 59 tahun di seluruh dunia.

Menurutnya lagi, dalam satu kajian yang pernah dijalankan oleh Universiti Arizona terhadap 166 pasangan berkahwin mendapati, wanita melalui episod stres yang tinggi berbanding lelaki.

Bercerita mengenai punca masalah yang semakin meningkat itu katanya, desakan hidup dan persekitaran sebenarnya menjadi penyebab utama.

Namun seandainya seseorang bijak melalui setiap stres yang dialami, mereka mampu menjalani hidup dengan lebih berkualiti.

Jelas Dr. Nor Hamidah, kesihatan mental sama pentingnya dengan kesihatan fizikal.

"Mengambil berat tentang kesihatan mental membantu kita untuk merasa lebih sihat secara fizikal. Begitu juga sebaliknya kerana kedua-dua perkara ini saling berkait," katanya.

Beliau turut menasihatkan mereka yang mengalami masalah supaya ambil masa untuk rehat dan berani untuk berbincang mengenainya bersama saudara atau teman terdekat.

"Anda sendiri mungkin sedar dengan perbezaan diri apabila mengalami masalah mental seperti kemurungan. Malah rakan-rakan terdekat juga pasti akan sedar mengenainya. Seandainya ada yang menasihati anda agar bertemu pakar untuk mendapatkan rawatan, jangan tunggu lagi," katanya.

Menurut beliau, kerja, keluarga dan kawan-kawan memberi kesan kepada kesihatan mental dari sudut kebaikan dan keburukan. Justeru katanya, setiap individu perlu pandai mengimbangi kerjaya dan kehidupan mereka agar sihat mental dan fizikal.

Nikmati kehidupan sewajarnya

Kata Dr. Nor Hamidah, kesihatan mental yang baik membantu kita menikmati hidup dan menangani masalah dengan sewajarnya.

"Ia menawarkan rasa nikmat kehidupan dan memberi kita kekuatan dari dalam. Seperti kita menjaga badan melalui pemakanan yang betul dan melakukan senaman, kita boleh lakukan sesuatu untuk menjaga kesihatan mental," katanya.

Mampu untuk bercakap mengenai masalah yang dialami dan membuat keputusan secara berhemah mengenai kesihatan mental sendiri adalah langkah pertama terbaik buat mereka yang mengalami masalah tersebut.

Kemampuan untuk bangkit kembali daripada masalah atau kesukaran dan menangani dengan bijak adalah peranan terbaik dalam menjaga kesihatan mental yang baik, kata beliau.

Menurutnya, membuang segala perkara negatif juga membantu bagi mengelak diri dibelenggu masalah. Setiap individu juga katanya perlu mengubah perspektif diri ke arah menjalani hidup yang lebih sihat mental dan fizikal.

"Kita tidak boleh mengelak perkara yang tidak diingini daripada berlaku, tetapi kita boleh belajar bagaimana untuk melaluinya," ujarnya.

Pelajari bagaimana untuk menangani stres dengan segera merupakan langkah yang bijak, apatah lagi andai ia melibatkan masalah kerja.

Kumpulan sokongan

Hospital Gleneagles Kuala Lumpur menubuhkan kumpulan sokongan yang dikenali sebagai "Women to
Women Wellbeing Tea-Talks" yang bertindak sebagai platform untuk berkongsi pengalaman dalam pelbagai cabang berkaitan isu kesihatan.

Pelbagai topik akan dibincangkan dalam suasana santai dan ia percuma untuk mereka yang berminat.
Sesi pertama akan dimulakan pada 30 April ini dengan tajuk "Hidup Dengan Kanser Payudara" oleh Dr.
Harjit Kaur dan Dr. Nor Hamidah sendiri akan bercakap dari sudut kesihatan mental.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_06.htm

Kepentingan ujian saringan kesihatan


SEJAUH mana anda menyedari kepentingan ujian saringan dan menjalani pemeriksaan itu? Kebanyakan orang kurang sedar malah ada segelintir tidak tahu langsung apakah itu ujian saringan dan keperluannya dalam memelihara kesihatan.

Ujian saringan adalah kajian atau penilaian untuk mengesan simptom awal penyakit kronik bagi memudahkan pencegahan dan rawatan.

Pakar Perubatan Keluarga Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) , Dr. Nani Deraman berkata, ujian saringan terbahagi kepada banyak jenis dan satu daripadanya yang sering digalak serta diberi penekanan untuk dijalankan adalah Ujian Saringan Kardiovaskular .

Katanya, dengan Ujian Saringan Kardiovaskular, doktor akan melakukan tiga ujian iaitu tekanan darah, kandungan gula dalam darah dan paras kolesterol dalam darah untuk mengesan penyakit-penyakit kronik berkaitan jantung.

"Pemeriksaan tekanan darah dilakukan untuk mengesan penyakit darah tinggi atau darah rendah, kandungan gula dalam darah bagi kencing manis dan paras kolesterol dalam darah untuk memastikan tahap kolesterol seseorang.

"Doktor akan mengambil satu sampel darah dari badan seseorang untuk ketiga-tiga ujian ini dan ia akan dihantar ke makmal bagi memperoleh keputusan tepat.

"Jika seseorang mempunyai penyakit atau berisiko mendapat penyakit kronik, doktor akan merawatnya melalui ubat, memantau dan memberikan cara terbaik mengatasi serta mengawalnya supaya ia tidak menjadi serius," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Nani memberitahu, bagaimanapun, masyarakat dilihat kurang menjalankan ujian saringan atas beberapa faktor antaranya tidak mempunyai kesedaran mendalam mengenai kepentingan pemeriksaan itu dan kesibukan masa.

Justeru, beliau menggesa orang ramai supaya melakukan ujian saringan kerana ia amat penting dalam menunjukkan keadaan kesihatan semasa mereka dan mampu mengurang atau mengelakkan risiko dijangkiti penyakit kronik berkaitan kardiovaskular.

Beliau berkata, penyakit darah tinggi, kencing manis dan paras kolesterol tinggi adalah faktor utama menyumbang kepada penyakit jantung yang menjadi penyakit pembunuh nombor satu di negara ini.

Menurutnya, secara normal, seseorang digalak menjalankan ujian saringan sekali setiap tahun bermula usia 40 tahun dan ke atas.

Bagaimanapun, individu yang mempunyai sejarah keluarga berpenyakit kronik dinasihatkan berjumpa doktor pada usia lebih muda untuk mengetahui secara lanjut mengenai ujian saringan ini, ujian saringan lain dan tempoh bersesuaian menjalankan pemeriksaan berkenaan.

"Seseorang boleh menjalankan ujian saringan di mana-mana klinik kerajaan dan hospital, klinik serta makmal swasta yang menyediakan perkhidmatan berkenaan.

"Mereka perlu berpuasa selama lapan jam sebelum boleh menjalani ujian saringan.

"Tempoh ujian saringan hanya beberapa minit namun keputusan tepatnya akan diperoleh dalam jangkamasa kira-kira seminggu jika dijalankan di hospital, klinik dan makmal swasta serta sebulan di klinik kerajaan," ujarnya.