"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Friday, February 25, 2011

Berkorban demi suami lumpuh



Ada masanya Mohd. Idham diserang sawan, sering tergigit bahagian dalam mulut sehingga berdarah.

SELAMAT ini memang dia menyara keluarga. Tetapi sejak kemalangan dan tidak dapat berbuat apa-apa, kami perlu menguruskannya. “Susu khas untuk dia sahaja sekitar RM1,000 sebulan, lampin pakai buang RM100 sebulan, belum ditambah perbelanjaan susu dan lampin pakai buang anak-anak kami sendiri,” luah Syafawati Nadia Abdul Ghani, 26.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah beban yang terpaksa ditanggung ibu muda yang tidak mampu menyembunyikan air matanya sebaik ditanya keadaan suaminya.
Suaminya, Mohd. Idham Yahya, 25 kini hanya terlantar selepas terlibat dalam nahas ngeri di gaung dekat Gua Tempurung, Perak, lapan bulan lalu.
Akibat kemalangan dia separuh koma. Sudah tentu episod luka itu menyebabkan sumber pendapatan keluarganya terjejas.
Si isteri bukannya tidak mahu bekerja tetapi dia perlu menemani ibu mertua yang mengalami masalah kesihatan menjaga suami tercinta.
Tambahan pula, dia perlu menguruskan keperluan dua orang anaknya, Puteri Nur Syahirah Mohd Idham, 6 yang belajar di tadika dan Muhammad Izz Ilham Mohd Idham, 2.
“Jika hendak harapkan ibu mertua menjaga suami juga tidak boleh kerana dia bukannya kuat untuk mengangkat dan menjaga suami seorang diri. Adik-adik masih bersekolah dan anak saya pula masih kecil,” ujarnya yang ditemui di kediamannya di Taman Wilayah Selayang, Kuala Lumpur.
Sawan
Ada masanya Mohd. Idham diserang sawan, sering tergigit bahagian dalam mulut sehingga berdarah dan perlu diberikan perhatian sepanjang masa.
Melihat bapanya terbaring dan diberi ‘makan’ hanya susu melalui saluran tiub, anak perempuan pasangan itu, Puteri Nur yang sudah mengerti sentiasa bersedih.
“Kenapa Tuhan jadikan papa macam ini. Papa bangunlah, bila nak hantar kakak pergi sekolah,” luahnya.
Rintihan tersebut pasti meluluhkan hati sesiapa yang mendengarnya. Bukan mahu menagih simpati tetapi penderitaan si bapa turut dirasai anak kecil itu membuatkan Syafawati risau memikirkan masa depan mereka sekeluarga.
Bagi anak bongsu, Muhammad Izz, dia masih mahu bermanja dengan bapanya. Kadang-kadang dia mahu mencium pipi bapanya seperti dahulu.
“Itulah sifat suami saya. dia sayang dan manjakan anak-anak. Sebab itu apabila dia berkeadaan begini, anak-anak memang terasa. Walau sibuk macam mana pun, suami pasti balik waktu tengah hari mengambil anak-anaknya dari sekolah. Petang, dia dan anak-anak akan ke taman permainan. Mengimbas kenangan itu, hati saya memang sedih.
‘‘Doktor kata, suami masih ada harapan untuk sembuh tetapi makan masa yang lama. Menunggu tempoh itu, mungkin saya perlu lakukan sesuatu untuk membantu ekonomi keluarga ini ,” ujarnya dengan iringan air mata.
Bagi ibu yang membesarkan Mohd. Idham, Jamaliah Mohd. Saidin tidak sanggup melihat keadaan anaknya yang terlantar kesakitan.
“Beberapa hari sebelum kemalangan, sebaik sahaja pulang dari kerja Idham hanya mahu berbaring dengan saya. Masa itu saya tidak terfikir apa-apa. Namun keadaannya sekarang mengubah segala-galanya. Melihat dia merintih sakit, saya seolah-olah merasa sakitnya,” katanya.
Menurut Jamaliah, doktor memaklumkan keadaan anaknya itu berikutan pendarahan otak yang memberi kesan kepada urat saraf.
Kedua-dua tangan Mohd. Idham patah patah akibat kemalangan itu dan sebelum ini dia terlantar selama empat bulan di hospital sebelum dibawa pulang ke rumah.
Bantuan
Selepas kisah penderitaan keluarga ini tersiar di sebuah akhbar tempatan dua bulan lalu, mereka menerima banyak bantuan orang ramai berbentuk barangan dan makanan. Selain itu, bantuan Baitulmal sedikit sebanyak meringankan beban Syafawati sekeluarga.
Namun dia masih berharap pihak-
pihak tertentu yang belum memberi reaksi terhadap permohonan bantuannya memberi jawapan segera.
Mujurlah Persatuan Penduduk Taman Wilayah Fasa 4 (Tawis F4), Taman Wilayah Selayang, Kuala Lumpur yang dipengerusikan Mohamed Noor Sain membantu dengan memanggil pihak media membuat liputan kisah keluarga ini.
Bukan menagih belah kasihan orang ramai tetapi paparan cerita mereka sekeluarga memberikan sedikit harapan untuk mereka meneruskan kehidupan.
“Kami bersyukur dan berterima kasih kepada orang ramai atas bantuan yang kami terima sekarang. Namun, perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat menggusarkan hati saya.
Justeru, saya mahu pihak-pihak berkenaan yang masih belum memberi jawapan kepada permohonan bantuan kepada keluarga saya agar bertindak segera. Sampai bila kami mengharapkan belas ehsan orang,” ujarnya.
Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh menghubungi Syafawati (012-6220229) atau Mohamed 013-3909944.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_03.htm

Diet zaman batu



DI zaman batu manusia kuat, tegap dan sihat dengan amalan makanan yang kurang dimasak.

SEMASA berkunjung ke China dan Vietnam hati terdetik melihat rakyat di situ yang rata-rata mempunyai berat badan ideal. Mereka tidak terlalu gemuk dan tidak terlalu kurus. Apabila berjumpa dengan beberapa doktor di kedua-dua negara, mereka mengesahkan kadar obesiti di sana sangat rendah.
Saya terpanggil untuk meneliti dengan lebih terperinci corak pemakanan yang diamalkan sehingga membolehkan sistem hormon metabolik di dalam dalam tubuh mereka berfungsi dengan begitu baik sekali.
Saya dan Dr. Muzvin yang mengendalikan klinik Isahak di kompleks PKNS Shah Alam terpanggil ke Vietnam sekali lagi dua minggu lalu. Kami membuat suatu eksperimen dengan mengambil makanan Vietnam selama beberapa hari. Kami ingin merasai sendiri budaya makan di sana agar dapat mengubah corak pemakanan ke arah yang lebih baik serta menghebahkan kepada keluarga dan para pembaca yang saya sayangi.
Sarapan pagi masyarakat Vietnam adalah semangkuk ulam (lebih kurang segenggam) dan sup bihun. Cuma sedikit bihun dimasukkan dan ditambah cendawan serta sayur-sayur yang direbus sekejap. Sup sayuran itu dibuat tanpa menggunakan minyak. Masyarakat Vietnam yang beragama Islam memelihara sendiri ayam dan ternakan lain dan memastikan haiwan itu turut memakan sayur-sayuran serta rumput yang segar.
Selain sup, popia berintikan sayur-sayuran turut dihidangkan semasa sarapan. Sayur-sayuran itu dimakan mentah. Hidangan tengah hari juga merupakan sesuatu yang unik bagi kami. Menu di semua restorannya menawarkan sayur-sayuran jauh lebih banyak berbanding ikan, ayam dan daging. Kami menjeling beberapa wanita Vietnam yang sedang menikmati makanan tengah hari. Mereka makan tiga jenis sayuran dan satu jenis lauk sahaja iaitu ikan goreng. Nasi pula hanya setengah genggam.
Di Vietnam kami tidak berjumpa keropok atau makanan segera yang berperisa. Di mana-mana rakyat mereka mengunyah buah-buahan segar atau jeruk buah-buahan. Mereka turut memakan umbut dan kacang namun kami tidak berjumpa kentang dan juga ubi keledek.
Kesimpulannya, mereka tidak mengamalkan karbohidrat yang banyak. Mereka juga tahu bahawa makanan yang perlu dimasak sampai empuk mempunyai sejenis toksin yang merosakkan tubuh badan.
Di dalam diet kita sehari harian, karbohidrat merupakan komponen terbesar. Di sebelah pagi kita dihidangkan dengan nasi lemak, nasi goreng, nasi dagang dan pelbagai jenis nasi, mi serta roti. Makanan berasaskan gandum mengandungi karbohidrat hampir seratus peratus.
Karbohidrat merupakan salah satu gizi makanan yang mustahak untuk menghasilkan tenaga di dalam tubuh kita. Dalam kesihatan moden, karbohidrat boleh dikategorikan sebagai karbohidrat baik dan karbohidrat tidak baik.
Secara asasnya, semua karbohidrat merupakan bahan berstruktur gula. Jenis karbohidrat dikelaskan mengikut bilangan gula di dalamnya iaitu:

  • Monosakarida: 1 unit gula seperti glukosa dan fruktosa

  • Dissakarida: 2 unit gula seperti sukrosa dan laktosa

  • Oligosakarida dan polisakarida: Banyak unit gula seperti glikogen, kanji dan sellulosa

  • Secara umumnya, jenis jenis makanan yang mengandungi karbohidrat sihat adalah buah-buahan, kekacang, sayur sayuran.
    Buah-buahan
    Walaupun buah-buahan merupakan sumber karbohidrat yang sihat, namun begitu tidak semua buah-buahan adalah sama. Buah buahan yang mengandungi kandungan gula yang rendah seperti nangka atau lemon adalah lebih baik berbanding buah yang mengandungi gula yang tinggi seperti mangga dan pisang.
    Buah buahan yang mengandungi gula yang tinggi menyebabkan paras gula meningkat dengan cepat di dalam darah apabila dimakan. Keadaan ini akan merencat penghasilan hormon yang perlu untuk anti-penuaan dan kesihatan seperti kortisol , growth hormone, testosterone, estradiol, DHEA dan androstenedione.
    Peningkatan gula yang tinggi akan merangsang penghasilan hormon insulin di mana insulin akan menukar gula kepada lemak di dalam badan.
    Lemak yang dikandung badan akan digunakan semula sebagai tenaga. Proses penukaran lemak kepada tenaga berlaku di mitokondria iaitu kilang tenaga dalam badan. Bagi membolehkan proses ini berlaku, kita memerlukan sistem hormon yang baik. Hormon metabolik perlu berinteraksi dengan enzim bagi membolehkan protein menjana tenaga daripada lemak.
    Hormon adalah molekul aktif terbina daripada protein yang dikeluarkan oleh kilang-kilang hormon di seluruh tubuh kita. Otak kita mengeluarkan banyak jenis hormon yang mengawal metabolisme, pembesaran, daya ingatan dan jantung. Malah tidur juga dipengaruhi oleh hormon. Ini bermakna gejala insomnia juga disebabkan hormon yang tidak cukup.
    Masalah hormon tidak cukup menjadi persoalan yang amat menarik. Besar kemungkinan faktor makanan kita yang sering ditambah agen pengawet menyebabkan kerosakan pada sistem hormon kita.
    Kadar peningkatan gejala diabetes dan jantung membuktikan kepada kita bahawa kerosakan hormon merupakan fenomena moden yang perlu ditangani segera. Begitu juga peningkatan kadar obesiti yang merupakan masalah seluruh dunia. Mereka yang obes bukanlah seratus peratus disebabkan makan banyak. Masalah ini berpunca daripada kerosakan hormon dan menjadi kitaran obesiti yang menakutkan. Kita harus mengkaji amalan pemakanan di negara yang belum tercemar dengan budaya pemakanan dari barat. Kita harus mencontohi cara pemakanan yang sebegitu.
    Toksin di dalam karbohidrat merosakkan kesihatan kita sekali gus menjadikan kita lemah, lesu, cepat tua dan diserang pelbagai penyakit.
    Makanan yang terbaik adalah makanan yang tidak perlu dimasak lama. Tiada toksin di dalamnya yang perlu dibuang melalui pemanasan. Seandainya makanan itu perlu dimasak lama sebelum boleh dimakan itu bermakna makanan tersebut mempunyai toksin yang banyak. Kalau dimakan mentah akan memudarat dan mendatangkan penyakit. Saya memberi contoh kentang, nasi dan ubi yang tidak boleh dimakan mentah. Ikan dan daging lebih cepat masak berbanding nasi. Cuba anda fikirkan yang manakah yang lebih selamat dimakan. Di zaman batu (paleolithic) manusia sangat kuat tegap dan sihat dengan amalan makanan yang kurang dimasak. Diet paleolithic menjadi satu isu yang menarik untuk dikaji.

    http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_02.htm

    Baik, buruk minyak masak



    JIKA ingin mengamalkan gaya hidup sihat, jenama atau jenis minyak yang digunakan bukan persoalan, tetapi berapa banyak kuantiti yang digunakan.


    BEBERAPA teman di laman sosial Facebook mengeluh mengenai kesukaran mendapatkan minyak masak di pasaran sejak akhir-akhir ini.
    Ada yang menyoal sinis: “Pokok kelapa sawit banyak, mana minyaknya?” Ironinya, sama seperti gula, negara kita merupakan antara pengeluar utama minyak sawit dunia tetapi kekurangan bahan tersebut di pasaran tetap berlaku.
    Kesihatan tidak mahu mengulas mengenai fenomena tersebut atau mencari apa puncanya, cuma sekadar ingin mencungkil rahsia di sebalik bahan asas masakan rakyat Malaysia itu.
    Tanpa disangkal, kita menggunakan minyak masak setiap hari dalam kebanyakan jenis masakan. Goreng, kari, kurma, sup, asam pedas, masak kicap, sebut sahaja apa jenisnya, bahan asasnya adalah minyak. Itu belum dikira lagi kuih muih seperti karipap, donat, pisang goreng dan bermacam lagi yang menggunakan minyak yang banyak ketika dimasak.
    Persoalan utama, benarkah minyak masak hanya mendatangkan kemudaratan kepada tubuh badan?
    Pakar Nutrisi dari Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC) Shah Alam, Chew Lih Theng berkata, seperti bahan lain minyak masak juga mempunyai kebaikan dan boleh mengundang keburukan andai diambil dalam kuantiti berlebihan.
    Kebaikan minyak masak menurut beliau mengandungi lemak yang menjadi sumber utama tenaga yang paling mudah diperolehi. Selain itu katanya, ia juga mengandungi komponen yang membantu penyerapan vitamin seperti AHA, DHA dan vitamin penting lain untuk fungsi otak dan sel membran.
    Namun seperti juga bahan lain, jika diambil dalam kuantiti yang berlebihan ia menyumbang kepada masalah penyakit berkaitan obesiti dan jantung.
    Jenis minyak
    Minyak masak terhasil daripada tumbuhan, namun terdapat juga minyak daripada haiwan yang wujud dalam bentuk pepejal pada suhu bilik seperti marjerin, mentega dan minyak sapi.
    “Secara asasnya, semua minyak masak berasaskan tumbuhan tidak mengandungi kolestrol. Namun ia mempunyai komposisi kandungan yang berbeza berdasarkan strukturnya,” kata beliau.
    Menjelaskan lebih lanjut kata Lih Theng, minyak kelapa, kelapa sawit dan isirung kelapa sawit tergolong dalam kumpulan minyak yang mengandungi lemak tepu yang tinggi tetapi rendah kandungan asid lemak mono tak tepu (MUFA) dan asid lemak poli tak tepu (PUFA).
    Walaupun lemak tepu dikelaskan sebagai lemak jahat, tetapi tidak semua mempunyai kesan negatif terhadap kolestrol dalam badan. Ada kajian yang menunjukkan asid palmitic dalam minyak kelapa sawit neutral terhadap paras kolestrol kerana ia membahagi secara sama rata kepada tiga bahagian utama molekul triglyceride.
    Dalam satu kajian oleh saintis dari Amerika Syarikat pada tahun 2007 mendapati, pengambilan lemak tepu dan PUFA diperlukan untuk nisbah kolestrol LDL (kolestrol jahat)/ HDL (kolestrol baik) yang ideal dalam darah. Ini berikutan kedua-duanya menyumbangkan keseimbangan dalam proses metabolisme lipoprotein.
    Disebabkan kandungan asid lemak tepu yang tinggi, minyak kelapa sawit dan kelapa sering digunakan untuk jenis masakan goreng rendam (deep fried) kerana strukturnya yang lebih stabil.
    Kumpulan minyak sayuran lain seperti zaitun, kacang soya, bijan, bunga matahari, kanola dan jagung pula mengandungi kandungan MUFA dan PUFA yang tinggi manakala lemak tepu pula rendah.
    Ini menjadikan minyak jenis itu sesuai untuk masakan tumis ringkas atau dimakan mentah.
    Mungkin ada yang bertanya, jika minyak yang mengandungi MUFA dan PUFA baik, mengapa tidak digunakan untuk menggoreng dalam jumlah yang banyak?
    Jawapan Lih Theng selain harga yang tinggi, ia tidak sesuai kerana setiap jenis minyak, katanya, mempunyai tahap tertentu (smoke point) di mana jika dipanaskan pada suhu yang melebihi had ditetapkan menyebabkan ia mengeluarkan bahan toksik yang dipanggil 4-hydroxy-trans-2-nonel (HNE). Bahan itu, kata beliau, akan meningkatkan paras kolestrol dalam badan.
    “Sebenarnya tidak sukar untuk mengenalpasti kandungan minyak masak kerana ia fakta nutrisinya sudah terkandung pada label produk. ,” katanya.
    Kata beliau, jenama bukanlah faktor utama yang menentukan baik atau tidak sesuatu jenis minyak masak, tetapi terpulang kepada sebanyak mana yang kita ambil dan bagaimana cara memilih kaedah masakan dalam menghasilkan hidangan yang menyihatkan.


    http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

    Saiz badan jejas sperma

    TIDAK subur atau mati pucuk merupakan perkataan yang digeruni oleh kebanyakan pasangan suami isteri.Ia adalah satu keadaan yang menyukarkan pasangan suami isteri menimang cahaya mata.
    Adalah sukar untuk mengetahui punca utama yang menyebabkan peratusan ketidaksuburan di kalangan orang ramai.
    Faktor-faktor ketidaksuburan mungkin disebabkan oleh persekitaran, genetik atau hal berkaitan dengan tabiat hidup. Antara masalah paling ketara di kalangan suami isteri yang kurang subur adalah obesiti .
    Penyelidikan menunjukkan bahawa obesiti boleh mengurangkan sperma pada lelaki dan juga akan mengurangkan peratusan kejayaan dalam rawatan persenyawaan In-Vitro (IVF). Berat badan yang terlampau akan menjejaskan perembesan hormon dalam badan yang mana akan mengganggu fungsi reproduksi wanita dan lelaki.
    Lelaki yang mempunyai berat badan yang tinggi, dilaporkan mempunyai jumlah sperma yang kurang berbanding dengan lelaki yang mempunyai berat badan ideal.
    Bagi merungkai dilema lelaki obesiti dan hubungan seks, Pakar Sakit Tuan, Dr. Ismail Thambi memberitahu, obesiti dan kesuburan memang saling berkaitan.
    Dalam hal ini, lelaki obesiti dilihat mempunyai kemampuan syahwat yang rendah.
    Menurut Dr. Ismail, golongan ini sering berasa letih dan saiz perut yang besar mengganggu keselesaan ketika melakukan hubungan seks.
    “Dalam hubungan seks, kemampuan seksual lelaki bersaiz besar sering menjadi persoalan. Kebiasaannya, kita sering mempertikaikan kesuburan wanita obes tetapi sebenarnya lelaki juga mengalami masalah yang sama. Ini kerana lelaki obes mempunyai sperma yang tidak aktif atau berkurangan,” ujarnya.
    Menjelaskan lebih lanjut mengenai masalah ini, sperma yang terletak di dalam kerandut di luar buah zakar sebenarnya tidak boleh berada pada suhu 35 darjah Celsius ke atas.
    Kebanyakan lelaki obes tidak menyedari, ketika mereka duduk, lemak pada bahagian perut akan bersentuh dengan kerandut zakar.
    Kerandut akan menjadi panas hingga menyebabkan sperma menjadi kurang atau tidak aktif.
    “Saya menasihatkan mereka supaya tidak memakai seluar atau pakaian ketat yang boleh menyebabkan suhu kerandut menjadi tinggi. Selain ubat subur, lelaki obes boleh menggunakan pek ais dan meletakkan di bahagian kerandut untuk menurunkan suhu. Ini boleh dilakukan ketika mereka duduk atau berehat. Selain itu, selepas setahun berkahwin dan mereka masih belum mempunyai zuriat, saya nasihatkan supaya segera berjumpa pakar sakit tuan. Melalui pemeriksaan tahap hormon dan sperma, kita boleh mengukur tahap sperma dan rawatan berikutnya boleh dilakukan,” ujarnya.
    Selain itu, orang yang obes itu juga dinasihatkan tidak merokok, menjauhi sauna atau jangan berendam dalam air panas. tambah Dr. Ismail, aktiviti-aktiviti ini boleh meningkat suhu kerandut tadi dan menjejaskan fungsi sperma.
    Laporoskopik Boleh Ubahsuai (LAGB)

    * Rawatan ini ialah sejenis lingkaran silikon lembut dengan belon elastik yang boleh menggelembung apabila disuntik mengikut keperluan individu.
    * Melalui kaedah ini perut tidak akan dibedah atau dirosakkan dengan stapel bahkan lingkaran boleh ditanggalkan dengan mudah tanpa merosakkan anatomi perut.
    * Kelebihan LAGB ialah sifatnya yang berbalik iaitu pengikat boleh dikeluarkan dan perut kembali kepada bentuk asal.
    * Ia selamat, berkesan dan mengekalkan pengurangan berat badan untuk jangka panjang.

    Pintasan Gastrik
    * Kaedah ini juga dikenali sebagai pintasan perut ialah kombinasi elemen sekatan dan tidak serap.
    * Sekatan dilakukan dengan membina kantung perut yang kecil bersama pengalir keluar yang halus supaya mempercepatkan rasa kenyang.
    * Penyerapan gizi makanan akan berkurangan melalui pintasan.
    * Pengurangan serapan makanan bergantung pada ukuran bahagian yang dipintas di saluran usus.
    Sleeve Gastrectomy (SG)
    * Ia merupakan bahagian yang terhad daripada teknik Biliopancreatic Diversion (BPD).
    * Secara teknikalnya, pembedahan ini boleh dilakukan dengan mudah dan pantas.
    * Ia juga mengurangkan risiko sindrom buang (dumping) dan usus tersumbat. Namun ia tidak bersifat berbalik dan kesan jangka panjangnya tidak diketahui.


    http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_04.htm

    Mengatasi masalah obesiti

    Bagi pelawak Bob Kuman atau nama sebenarnya Husni Mohd. Rawi, semenjak bergelar artis, berat badannya tidak terkawal dan menjadi obes akibat pengurusan makanan yang tidak baik.
    Mahu memperbaiki tahap kesihatan, Bob perlu membeli mesin oksigen dan melakukan pembedahan pintasan perut (gastric bypass).
    “Saya memerlukan peralatan itu akibat berat badan yang berlebihan iaitu 219 kilogram sehingga menyukarkan pernafasan selain komplikasi buah pinggang. Syukur dengan sumbangan Hero Malaya sebanyak RM 60,009, saya boleh melakukan rawatan. Namun, jumlah itu belum cukup untuk menampung segala kemungkinan pada masa akan datang. Justeru saya akan mengeluarkan single album untuk menampung perbelanjaan itu kelak,” ujarnya.
    Sebelum menjalani pembedahan pintasan perut, dia perlu berdiet selama sebulan.
    Bob Kuman perlu mengurangkan kandungan karbohidrat dalam badannya dengan memakan makanan lembut.
    Kebetulan, komplikasi penyakit akibat obesiti yang dialaminya sangat serius dan boleh memberi kesan kepada paru-paru dan hati.
    Melakukan rawatan di Pusat Rawatan KPJ Damansara, Bob Kuman menasihatkan orang ramai khususnya lelaki agar makan berpada-pada. Bagi peminatnya, Bob Kuman boleh dihubungi melalui laman sosial Twitter.
    Selain kesedaran berhubung kesan obesiti pada status kesihatan dan perkembangan psikososial seseorang, berat badan berlebihan sering dikaitkan dengan gambaran negatif baik wanita mahupun lelaki.
    Namun, mereka yang berusaha mendapatkan berat badan idaman dan mengekalkannya sering menemui jalan buntu.
    Bob Kuman antara lelaki yang akhirnya sedar obesiti perlu diatasi demi mencapai kesejahteraan hidup.
    Pada peringkat awal, gemuk atau obesiti boleh menyebabkan masalah seperti sukar berjalan, sakit belakang, sering keletihan, menjejaskan keadaan kulit dan sesak nafas.
    Jika dibiarkan tanpa rawatan, berat badan berlebihan ini berkecenderungan menjadi lebih teruk dengan ancaman penyakit yang boleh membawa maut.
    Pembedahan
    Ketika ini terdapat tiga jenis pembedahan obesiti atau bariatrik iaitu Lingkaran Laporoskopik Boleh Ubahsuai (LAGB), pembedahan Sleeve Gastrectomy (SG) dan Pintasan Gastrik (GB).
    Walaupun pencegahan adalah jalan terbaik daripada rawatan, kaedah pembedahan ini merupakan khabar gembira buat mereka yang mengalami komplikasi obesiti.
    Menurut Pakar Surgeri Am Pusat Perubatan Sime Darby Subang Jaya, Dr. Cha Kar Huei, individu yang ingin melakukan pembedahan bariatrik boleh memilih salah satu daripada tiga kaedah tersebut.
    Namun bukan semua orang yang berbadan besar boleh melakukannya kerana mereka perlu mempunyai indeks Jisim Badan ( BMI ) melebihi 40 atau 35.
    “Pilihan pembedahan bariatik merupakan rawatan bagi golongan obesiti menurunkan berat badan berperingkat-peringkat dengan dikawal pakar perubatan. Mereka yang boleh melakukan pembedahan ini telah mencuba pelbagai kaedah menurunkan berat badan tapi tidak berjaya.
    ``Seperti pembedahan penyakit lain, pesakit membuat rawatan susulan, mengubah gaya hidup seperti berdiet, bersenam dan berhenti merokok. Selain itu, mereka perlu mengikuti panduan perubatan secara terperinci,” ujarnya.


    http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_03.htm