"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Friday, February 25, 2011

Bahaya seks usia muda



MEREKA yang telah melakukan hubungan seks seawal usia 16 tahun berisiko dijangkiti HPV.


Sedarkah anda dalam tempoh sesingkat empat minit nyawa seseorang wanita di rantau Asia Pasifik melayang? Semuanya bahana kanser pangkal rahim yang meragut sejumlah 500,00 nyawa di seluruh dunia setiap tahun. Dalam konteks Asia , sekurang-kurangnya 266,000 disahkan menghidap kanser ini setiap tahun dengan 143, 000 kematian. Di negara-negara membangun, hanya 41 peratus daripada wanita berpeluang mendapatkan rawatan seandainya mereka ingin terus hidup. Realitinya pakar-pakar perubatan juga tidak seratus-peratusnya pasti terhadap punca sesuatu penyakit. Keadaan itu merupakan kenyataan yang memeritkan.
Di Malaysia, 10.5 peratus wanita meninggal dunia akibat kanser ini dan 80 peratus pesakit dikesan pada tahap akhir.
Kebanyakan kes kanser pangkal rahim disebabkan sejenis virus yang dikenali sebagai Human Papilloma Virus (HPV). Ia disebarkan melalui hubungan seks. Virus itu akan menyerang sel-sel pada rahim sebelum menyebabkan perubahan pada sel-sel selular dan menjadi berbahaya.
HPV ialah satu kumpulan virus yang terdiri daripada lebih 100 virus saling berhubung kait. Ia juga dipanggil papillomaviruses kerana sesetengah daripada jenis virus itu boleh mengakibatkan ketumbuhan atau papiloma yang tidak berbahaya. Misalnya, virus yang menyebabkan kutil biasa di tangan dan kaki.
Namun, ia akan menjadi berbahaya apabila ketumbuhan berlaku di bahagian tengkorak atau genital (organ pembiakan).
Sekiranya dirawat jangkitan HPV akan hilang begitu sahaja tanpa meninggalkan kesan penyakit yang berisiko meragut nyawa.
Tetapi pendedahan lama tanpa merujuk kepada doktor akan menyebabkan perubahan dalam sel. Inilah yang meningkatkan risiko wanita terdedah kepada kanser pangkal rahim.
Menjelaskan tentang kanser pangkal rahim, Pakar Runding Obstetrisian dan Ginekologi Pusat Perubatan Pakar Pantai Klang, Selangor, Dr. S. Jeevaretanam berkata, mereka yang sering bertukar pasangan seks berisiko dijangkiti HPV.
Selain itu, mereka yang melakukan hubungan seks seawal usia 16 tahun turut berisiko.
"Wanita yang mempunyai tabiat merokok, melakukan hubungan seks dengan lelaki yang sering bertukar pasangan, penggunaan kontraseptif oral dalam jangka masa yang lama dan obesiti antara berisiko dijangkiti HPV. Bagaimanapun, terdapat vaksin untuk mencegah jangkitan virus tersebut yang sekali gus mencegah serangan kanser pangkal rahim.
Ia juga dapat mencegah lebih daripada 70 peratus jangkitan virus dan kanser itu," tambahnya.
Dalam pada itu, timbul juga isu sama ada pemberian vaksin HPV secara percuma untuk pelajar berumur 13 tahun menggalakkan seks usia muda.
Kementerian Kesihatan dan badan bukan kerajaan berusaha memberi kesedaran kepada rakyat tentang kanser ini.
Vaksin HPV sebenarnya mampu bertahan sekurang-kurangnya 20 tahun sebagai pencegahan awal.
Selain mengambil vaksin yang sesuai untuk mencegah jangkitan virus HPV, pemeriksaan Pap Smear juga digalakkan supaya langkah pencegahan diambil lebih awal. Dr. S. Jeevaretanam menjelaskan, pemeriksaan Pap Smear adalah kaedah mudah melihat sebarang perubahan pada sel-sel yang dalam pangkal rahim.
"Semua wanita digalakkan melakukan ujian Pap Smear diikuti pemeriksaan pelvik. Ujian tersebut perlu dibuat dalam tempoh masa tiga tahun setelah mempunyai hubungan seksual ataupun sudah pun berusia 21 tahun.
Ujian seperti itu merupakan perlindungan terbaik bagi menghalang wujudnya virus yang mengakibatkan kanser untuk jangka masa panjang," tambahnya.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_02.htm

Cantik di pertengahan usia




Cadangan pengambilan evening primrose di kalangan wanita terutamanya di pertengahan usia dan juga menopaus begitu popular untuk kesihatan kulit. Namun saya tidak begitu memahami manfaatnya. Penerangan mengenainya diharap boleh membantu saya. Jawapan: Minyak Evening Primrose atau dikenali ramai sebagai EPO merujuk kepada minyak yang diperolehi daripada biji tumbuhan Evening Primrose yang tinggi kandungan asid gama linolenik (GLA) dan tergolong dalam asid lemak omega-6. Pengambilannya popular di kalangan wanita ekoran hasil penyelidikan yang menunjukkan ia banyak memberi kesan positif ke atas masalah berkaitan wanita.
Asid-asid lemak poli tak tepu merupakan komponen penting pada dinding setiap sel kulit seluruh tubuh. Memperolehi asid-asid lemak poli tak tepu yang mencukupi penting untuk menjadikan dinding-dinding sel lebih lembut dan mengurangkan kehilangan air. Kekurangan asid-asid lemak ini dalam diet akan menjurus kepada kulit kering, memandangkan dinding-dinding sel akan menjadi kurang berkesan dalam mengekalkan lembapan serta proses penyembuhan yang lemah.
Sebenarnya pengambilan minyak evening primrose tidak hanya terbatas kepada wanita, tetapi juga lelaki disarankan di atas masalah-masalah tertentu. Penghidap ekzema contohnya seringkali mengalami kulit yang merah, radang, kulit pecah serta merekah dan berdarah. Kawasan lazim yang terjejas termasuklah muka, jari, jari kaki, siku, lutut serta mana-mana bahagian tubuh bagi kes-kes yang ekstrem. Kawasan yang terjejas akan terasa lebih kasar dan kering serta gatal. Bagi kebanyakan penghidap ekzema, kegatalan merupakan simptom paling teruk.
Kajian klinikal ke atas penghidap ekzema atopi menunjukkan bahawa minyak evening primrose boleh memperbaiki kelicinan kulit pada kawasan terjejas serta kawasan yang tidak terjejas.
Asid-asid lemak perlu memainkan peranan penting dalam mengubah keadaan kulit seseorang melalui beberapa cara seperti:
"Ia mewujudkan lapisan berkesan kulit untuk mencegah kehilangan air. Dengan itu peningkatan paras asid-asid lemak politaktepu dalam kulit boleh mengurangkan kehilangan air dan memperbaiki masalah kulit termasuk kelembapan kulit.
"Pengambilan asid lemak politaktepu seperti GLA boleh meningkatkan paras Prostaglandin dan mengurangkan keradangan kulit (Prostglandin E1 adalah bahan anti radang yang poten yang dihasilkan oleh tubuh apabila asid lemak mencukupi).
Hasil tindakan antiradang akan mengurangkan tompok kemerahan yang gatal pada kulit di kalangan penghidap ekzema. Kajian telah membuktikan perubahan dalam kelicinan kulit di kalangan mereka yang normal dan juga di kalangan mereka yang mempunyai kulit bermasalah.
Untuk masalah berkait kitaran haid, pengambilanya dicadangkan memandangkan asid lemak ini membantu mengawal penghasilan prostaglandin. Ia membantu mengurangkan kesan hipersensitiviti tisu-tisu tubuh terhadap paras prolaktin yang normal (sejenis hormon dalam tubuh wanita). Selain itu, penghidap artritis reumatoid juga memperolehi manfaat dengan pengambilan asid lemak perlu, terutamanya yang menggabungkan omega-3 dan omega-6.
Untuk mendapat maklumat lanjut mengenai kesihatan, sila hubungi Penasihat Kesihatan Pelanggan BiO-LiFE ( Isnin - Jumaat: 9pagi hingga 6petang ) di talian 03-78436981 ( Semenanjung Malaysia), 082-241820 (Sarawak) dan 088-230148 (Sabah) atau e-mel kami di: health@biolife.com.my

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

Ibu bapa harus lebih terbuka

KOMUNIKASI merupakan faktor penting dalam memastikan hubungan di antara ibubapa dengan anak-anak berjalan dengan lancar. Ibu bapa perlu menjadi rakan dan sahabat karib kepada anak-anak mereka di samping mengetahui segala perilaku dan perkara yang berlaku kepada mereka. Kita lihat situasi dahulu dan sekarang amat berbeza kerana pada zaman dahulu menggunakan kaedah memukul anak-anak relevan untuk mengajar mereka, tetapi pada masa ini pendekatan secara bercakap dan berkomunikasi dengan mereka adalah lebih baik. Ibubapa perlu lebih prihatin dengan keadaan persekitaran anak-anak seperti sentiasa memantau dengan siapa mereka berkawan, terbuka untuk mendengar pendapat mereka dan sedia menjadi kawan mereka ketika mereka berada di dalam kesedihan dan kesusahan.
- SALAMIAH HASSAN, 60 tahun
Penyanyi
KELUARGA adalah salah satu punca yang menyebabkan remaja hari ini melarikan diri dari rumah. Kebanyakan mereka yang terlibat dengan perkara tidak bermoral terdiri daripada kalangan keluarga yang bermasalah seperti ibubapa yang berpisah, masalah ekonomi dan sebagainya.
Selain itu, pemilihan rakan yang betul juga penting kerana mereka merupakan antara individu yang berpengaruh dalam kehidupan seharian anak-anak. Pendekatan kedua ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka melakukan aktiviti berfaedah seperti bersukan, bermain alat muzik boleh mengurangkan masalah ini.
- AKMAR AMRAH, 50 tahun
Suri rumah
KELUARGA dan rakan-rakan merupakan pendorong kepada peningkatan remaja lari daripada rumah. Remaja hari ini perlulah peka dan prihatin apabila memilih kawan. Kawan yang baik akan memberi faedah yang baik kepada mereka, tetapi kawan yang buruk akan mendatangkan masalah kepada mereka.
Latar belakang keluarga yang bermasalah seperti ibubapa yang bercerai, masalah ekonomi juga akan memberikan tekanan kepada kehidupan seharian anak-anak. Anak-anak yang tertekan akan melakukan perkara-perkara diluar kawalan mereka.
Ibu bapa juga berperanan memantau segala aktiviti anak-anak mereka termasuk latar belakang kawan-kawan mereka.
- JOHARI KERIA, 33 tahun
Pengawal Peribadi

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_03.htm

Kesihatan kunci kebahagiaan


PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia mendefinisikan kesihatan sebagai keadaan positif atau sihat daripada segi fizikal, mental dan sosial serta bebas penyakit atau berkeupayaan.
Satu daripada cara untuk mengekal dan mendapatkan kesihatan yang baik adalah melalui pemakanan sehingga ada ungkapan menyebut 'anda adalah apa yang anda makan'.
Menyedari hakikat itu, At 19 Culinary Studio menganjurkan siri bengkel memasak, Kesihatan dan Pemakanan bermula 10 Februari hingga 21 April 2011.
Mengetengahkan pakar pemakanan dan chef jemputan berpengalaman sebagai tenaga pengajar, studio itu menawarkan kelas mempelajari ilmu masakan untuk beberapa keperluan sama ada secara asas untuk dijadikan sebagai hobi di waktu lapang, mendalami tekniknya atau perniagaan.
Studio itu kali pertama menganjurkan siri bengkel masakan pada tahun ini bagi meningkatkan kesedaran orang ramai dan membantu masyarakat mengenai diet seimbang, apa yang perlu dimakan dan bagaimana mengekalkan kesihatan melalui pemakanan sihat.
Penyelaras Program At 19 Culinary Studio, Angelin Low berkata, masyarakat hari ini berdepan atau berisiko dengan pelbagai masalah kesihatan serius termasuk kencing manis, kadar kolesterol tinggi, buah pinggang dan obesiti.
Jelasnya, siri bengkel itu juga memberi peluang kepada peserta untuk mengetahui corak pemakanan mereka, masalah kesihatan dan belajar memasak sendiri hidangan berkhasiat mengikut resipi ditentukan studio dengan penerangan serta pemantauan tenaga pengajar.
"Apa yang penting, semua ilmu dan persoalan akan diperjelaskan pakar perunding diet berpengalaman, bukannya chef kerana bengkel kali ini mengutamakan isu kesihatan dan pemakanan berkhasiat.
"Siri bengkel kami ini mengikut tajuk berbeza iaitu Saya Mempunyai Kolesterol Tinggi-Apa Perlu Saya Makan? yang diadakan pada 10 Februari lalu, Saya Mempunyai Kencing Manis-Apa Perlu Saya Makan? (24 Februari) dan Anak Saya Tidak Menggemari Sayur-Sayuran-Apa Yang Perlu Saya Beri Mereka Makan? (10 Mac) dan banyak lagi,'' katanya pada siri bengkel Saya Mempunyai Kolesterol Tinggi-Apa Perlu Saya Makan di At 19 Jalan Damansara Heights, baru-baru ini.
"Yuran dikenakan kepada peserta adalah RM207 bagi ahli dan RM230 (bukan ahli) untuk setiap siri bengkel," ujarnya.
Turut hadir, Pakar Perunding Diet, Goo Chui Hoong yang bertindak memberi penerangan mengenai isu kolesterol dan memantau peserta menyediakan hidangan.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_02.htm

Hari Kanser tanam kesedaran




Laporan oleh Persatuan Antarabangsa Kawalan Kanser (UICC) menunjukkan setiap tahun di seluruh dunia sebanyak 7.6 juta dilaporkan meninggal dunia akibat kanser dan hampir 12.7 juta orang lagi berisiko mendapat penyakit tersebut. Malah jika masih tiada sebarang langkah proaktif diambil, angka tersebut akan terus meningkat sebanyak 26 juta kes baru dan 17 juta kematian menjelang tahun 2030 terutamanya di negara-negara sedang membangun dan miskin.
Menyedari ancaman tersebut UICC telah menginisiatifkan Sambutan Hari Kanser Sedunia pada 4 Februari setiap tahun dengan sokongan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Di Malaysia sambutan yang sama telah diadakan oleh Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) pada 4 Februari lalu dengan bertemakan Kanser Boleh Dicegah.
Hakikatnya kanser merupakan penyakit yang boleh membawa maut, namun ia masih boleh dicegah dan sesetengahnya mampu disembuhkan melalui rawatan-rawatan yang khusus.
Ketua dan Pengarah Kesihatan NCSM, Dr. Saunthari Somasundaram berkata, sebagai salah sebuah ahli dalam UICC, NCSM turut komited dalam usahanya membendung peningkatan seterusnya mengurangkan jumlah kematian disebabkan kanser di negara ini.
''Kami di NCSM perlu menyebarkan fakta dan maklumat sebenar kepada bahawa kanser bukannya penyakit yang mudah dijangkiti.
"Sebaliknya kanser satu jenis penyakit yang boleh dicegah dan dielak melalui perubahan gaya hidup," katanya.
Dr. Saunthari berkata, tahun 2011 merupakan tahun untuk menjelaskan mengenai penyakit yang tidak mudah berjangkit termasuk kanser, penyakit jantung, dan kencing manis.
Kebanyakan penyakit ini menyebabkan lebih 60 peratus kematian di seluruh dunia.
"Kanser, penyakit kencing manis dan penyakit jantung bukan lagi penyakit yang melibatkan golongan kaya sahaja kerana hari ini penyakit tersebut turut menjangkiti orang ramai yang terdiri daripada penduduk miskin melebihi daripada jangkitan penyakit lain.
''Sebanyak 30 peratus hingga 40 peratus kanser boleh dicegah dan satu pertiga kanser boleh dirawat melalui pendedahan awal tentang penyakit dan juga rawatan,'' katanya.
Katanya, risiko untuk mendapat kanser sebenarnya boleh dielakkan dengan berhenti daripada tabiat merokok, mengurangkan jumlah pengambilan alkohol, mengelakkan daripada terdedah kepada cahaya matahari yang terlampau, makan makanan yang sihat dan mengekalkan berat badan dan melindungi daripada jangkitan yang menyebabkan kanser.
Pada tahun ini jelasnya, NCSM juga turut menganjurkan beberapa aktiviti seperti larian berganti-ganti yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 11 hingga 12 Jun selama 16 jam.
Program ini juga akan turut diadakan di Melaka pada Bulan Julai dan di Pulau Pinang pada bulan Oktober.
NCSM juga katanya, turut menganjurkan kempen penggalakkan hidup secara sihat kepada kanak-kanak sekolah melalui kempen Hope for Our Children dan juga kempen barah payu dara dan barah servik termasuk taklimat-taklimat lain mengenai kanser.