"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Friday, January 14, 2011

Dua tahun berlalu... - Azean

Pada 2008, kita dikhabarkan pelakon terkenal, Azean Irdawaty hanya mempunyai tempoh dua tahun untuk hidup. Bahkan beberapa laman web tempatan menguar-uarkan berita bahawa Azean hanya mampu hidup sehingga Oktober 2010.

Ramalan sensasi yang tidak diketahui sejauh mana benarnya membuatkan peminat primadona air mata itu terkejut. Mingguan Malaysia berusaha menghubunginya baru-baru ini. Panggilan disambut namun nada suara Azean tidak seceria dahulu.

Bicaranya juga tidak lagi rancak tetapi umum mengerti penderitaan mental dan fizikal yang terpaksa ditanggung wanita berusia 61 tahun itu. Dia mahu berehat setelah masalah keluarga yang menimpa dirinya benar-benar menguji kekuatannya.

Pasrah dengan ketentuan Tuhan, Azean tidak pernah putus asa untuk mencari penawar.

Mesra dengan panggilan Kak Yan, Azean tidak lokek berkongsi dengan masyarakat amalan kesihatan selama hampir empat tahun menghidap kanser payu dara.

"Kak Yan hanya melakukan aktiviti seperti biasa. Jika tiada perkara penting atau urusan yang memerlukan Kak Yan keluar rumah, Kak Yan hanya berehat di rumah.

''Memang benar Kak Yan sudah berhenti melakukan rawatan kanser yang lain. Namun Kak Yan masih berjumpa doktor untuk pemeriksaan kesihatan. Sekarang, Kak Yan makan vitamin Nutrilite. Alhamdulillah, kesihatan masih baik," ujarnya.

Ketenangan

Dalam pada itu, Kak Yan banyak memenuhi masa dengan melakukan amal ibadat selain menjalani rawatan berlandaskan al-Quran sejak dulu lagi.

Baginya, mendekatkan diri dengan Tuhan dapat memberikan dia kekuatan dan ketenangan.

"Nasihat Kak Yan kepada pesakit kanser yang lain, jika penyakit itu datang, carilah ubat dan jangan berputus asa. Kita tidak dapat melawan takdir tetapi kita perlu kuat," katanya yang sudah tiada perasaan rindu untuk terlibat dalam kegiatan seni.

Mengimbas kembali penderitaan Azean, tidak seperti kanser payu dara biasa, sel kanser telah merebak dua kali dalam badannya.

Azean menjalani rawatan kemoterapi sebanyak dua kali pada 2007 (enam pusingan) dan 2008 (12 pusingan).

Selepas menjalani rawatan kemoterapi pertama, Azean melakukan rawatan herseptin sebanyak 17 kali untuk memastikan sel kanser tidak merebak.

Demi kehidupan yang lebih baik, Azean perlu menempuhnya kerana jenis kanser yang dihidapinya amat jarang dan sangat agresif.

Tidak sampai setahun menghabiskan rawatan, sekali lagi hidup Azean diuji.
Sel kanser merebak ke paru-paru dan hati. Azean kemudian melakukan rawatan kemoterapi sekali lagi hingga Januari 2009.

Usahanya untuk terus hidup tidak setakat itu. Azean masih meneruskan rawatan secara tradisional seperti memakan habba tus sawda iaitu sejenis bunga di negara Arab, minyak zaitun dara dari Palestin dan biji buah aprikot dari Australia.

Ketika masih aktif dalam bidang lakonan, Azean memang menjaga makanan seimbang termasuk melebihkan buah-buahan dan sayur-sayuran. Bahkan, Azean juga mengamalkan yoga setiap pagi sejak berusia 20-an lagi.

Mungkin sudah ditakdir supaya Azean lebih tabah menjalani kehidupan, dia diuji dengan kanser payu dara.
Azean tetap tenang dengan adanya sokongan suami dan anak-anak walaupun diuji dengan kes penangkapan anaknya Benjy tahun lalu. Di sebalik peristiwa itu, masih ramai yang menjadikan Azean ikon pesakit kanser dan seorang ibu.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_04.htm

Cergas dengan cara betul

PUSAT kecergasan tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Kecil atau besar, semuanya dengan satu tujuan; menyediakan tempat dan kaedah untuk pelanggan kekal cergas dan sihat melalui program yang ditawarkan.

Pelbagai pakej menarik disediakan, juga dengan tawaran yang kononnya menjimatkan dan berkesan, akhirnya kadangkala tidak kena cara, pelanggan juga yang menjadi mangsa.
Sudahlah begitu banyak wang dilaburkan dan hasilnya tidak seberapa, badan pula terpaksa menanggung akibatnya.

Sedarkah anda terdapat beberapa pusat kecergasan termasuk yang memiliki rangkaian besar mempunyai pelatih yang tiada kelayakan sewajarnya?

Menurut Master Trainer, Tanty Amin, jurulatih yang tidak mempunyai kelayakan atau memiliki kelayakan bukan dari badan sewajarnya mendedahkan pelanggan kepada masalah dalam jangka masa panjang.

"Mungkin mereka mampu melatih anda untuk kelihatan cergas dan menurunkan berat badan dalam jangka masa pendek, tetapi kaedah yang digunakan mungkin salah kerana tidak semua jenis latihan sesuai untuk setiap individu," kata jurulatih yang diiktiraf Persekutuan Antarabangsa Sukan, Aerobik dan Kecergasan (FISAF) itu.

Menghuraikan lebih lanjut kata beliau, mengambil contoh beberapa jenis latihan yang digunakan 10 tahun lalu tidak lagi sesuai setelah dikaji kerana ia mendatangkan kesakitan dan kecederaan kepada individu dalam jangka masa panjang.

Setiap individu katanya, berbeza keperluan bergantung kepada tahap kecergasan masing-masing dan juga keadaan fizikal.

"Latihan untuk atlet tidak wajar dipraktikkan oleh individu biasa. Begitu juga mereka yang menghidap sakit belakang, lutut, hipertensi dan sebagainya," kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dan Sarjana Pergerakan Badan dan Rehabilitasi itu.

Dengan kelayakan yang diiktiraf badan seperti FISAF kata beliau, seseorang jurulatih itu sentiasa dibekalkan ilmu terkini dalam bidang kecergasan bagi membolehkan mereka melatih individu menggunakan kaedah yang betul.

Tambah ilmu melalui Unleashed 2011.

Program Unleashed 2011 yang akan berlangsung pada 22 Januari ini menyasarkan untuk membawa pembaharuan dari segi idea dan kaedah baru untuk kelas kecergasan mengikut modul terkini yang diiktiraf
FISAF.

"Kumpulan sasaran kami adalah mereka yang terlibat dalam mengendalikan kelas kecergasan atau berkeinginan terlibat dalam bidang ini bagi mendapat pendedahan terkini," kata Tanty.

 Jelasnya lagi, Unleashed 2011 bukanlah kursus kecergasan yang memberi sijil kelayakan buat mereka yang ingin mengendalikan kelas tetapi lebih kepada memberi pendedahan cara untuk bersenam melalui kaedah yang menyeronokkan.

Melalui program tersebut katanya, peserta boleh mengambil langkah seterusnya melalui perbincangan dan panduan yang akan diberikan.

Program yang mengambil masa sehari itu mengandungi pengisian enam kelas berlainan melibatkan jurulatih berkelayakan tempatan dan antarabangsa. Kaedah dalam setiap pengisian tidak menggunakan sebarang peralatan khusus untuk bersenam.

"Kami ingin memberi mesej bahawa untuk sihat dan cergas sebenarnya tidak memerlukan kos yang tinggi, asalkan kita tahu cara dan kaedah yang sesuai," kata Tanty lagi.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_05.htm

Ujian kesihatan sebelum kahwin

SETIAP orang mengimpikan perkahwinan yang indah dan bahagia. Ada yang sanggup berhabis berpuluh ribu ringgit semata-mata mahukan majlis perkahwinan yang gilang-gemilang walaupun terpaksa berhutang.
Selain persiapan material, ada satu lagi persediaan penting yang perlu anda dan pasangan lakukan sebelum melangsungkan perkahwinan iaitu menjalani ujian kesihatan.

Ujian ini membantu mengenalpasti masalah kesihatan dan risiko yang bakal dihadapi pasangan dan anak-anak mereka kelak. Ujian kesihatan pra perkahwinan membolehkan seseorang untuk:

* Mengetahui status kesihatan diri sendiri dan pasangan serta belajar cara untuk menjaga atau mengekalkan kesihatan mereka

* Mengesan sekiranya mereka menghidap penyakit tertentu termasuklah Hepatitis B dan penyakit jangkitan
kelamin (STD)

* Mengesan penyakit keturunan yang boleh memberi kesan kepada kesihatan anak-anak contohnya talasemia, hemophilia, anemia dan kekurangan G6PD.

* Mengetahui kesediaan bakal pengantin wanita dari segi kesihatan untuk mempunyai anak. Persediaan ini termasuklah suntikan vaksin Rubella, mengetahui kumpulan darahnya (dan kesesuaian dengan darah suami) serta anemia

Di negara kita, ujian kesihatan yang diwajibkan ke atas bakal pengantin sejak 2009 adalah ujian untuk HIV/Aids. Statistik menunjukkan sehingga akhir 2009, sebanyak 87,710 kes jangkitan HIV dilaporkan. 1

Apa yang menyedihkan peningkatan kes jangkitan HIV di kalangan wanita iaitu daripada lima peratus pada 1997 kepada 16.3 peratus pada tahun 2007. Daripada jumlah tersebut 70 peratus dijangkiti virus HIV melalui hubungan heteroseksual, 60 peratus sudah berkahwin dan 40 peratus adalah suri rumah.

Antara ujian lain yang turut disarankan adalah saringan untuk penyakit keturunan seperti talasemia dan hemofilia. Talasemia ialah penyakit disebabkan gangguan pada genetik darah yang diwarisi daripada ibu dan bapa. Sel darah merah pesakit mengandungi hemoglobin tidak normal yang menyebabkan sel darah berkenaan cepat musnah.

Talasemia dianggap antara penyakit genetik yang lazim membabitkan hampir tujuh peratus penduduk dunia. Di seluruh dunia dianggarkan 100,000 bayi dilahirkan menghidap talasemia major (teruk).

Bagi pembawa genetik talasemia (juga dikenali sebagai talasemia minor) biasanya tidak mengalami sebarang gejala; atau jika ada ia sangat ringan seperti keletihan yang dianggap 'masalah biasa' dan ia hanya dapat dikesan melalui ujian darah.

Penyakit hemofilia pula berlaku akibat kekurangan faktor pembekuan darah yang menyebabkan darah pesakit beku. Penyakit ini menghalang pesakit melakukan aktiviti cergas kerana mereka boleh mengalami pendarahan dalaman spontan terutama pada sendi dan otot walaupun tidak terhantuk atau terlanggar sebarang objek.

Walaupun hemofilia lebih kerap berlaku pada lelaki, ia juga boleh dihidapi oleh perempuan. Apa yang dibimbangkan adalah jika berlaku pada perempuan, keadaan menjadi lebih teruk kerana dia akan mewariskan penyakitnya kepada semua anak-anaknya sama ada menjadi pesakit atau pembawa.

Mungkin tidak ramai yang sedar dalam semua jangkitan virus, virus Hepatitis B paling mudah berjangkit sama ada melalui sentuhan dengan produk darah atau darah yang tercemar, hubungan seks dan jangkitan langsung dari ibu kepada anak dalam kandungan.

Ujian kesihatan pra perkahwinan bukanlah bertujuan menghalang atau menyekat mana-mana individu untuk berkahwin, sebaliknya memberi peluang kepada mereka mengetahui status kesihatan diri sendiri dan pasangan.

Ini akan membolehkan pasangan membuat tindakan wajar. Sama ada mahu meneruskan hasrat untuk berkahwin atau memilih pasangan lain, pilihan ada di tangan mereka selepas membuat pertimbangan semasak-masaknya.

Dalam ujian saringan HIV, pendidikan dan kaunseling akan diberikan sama ada pasangan disahkan positif atau sebaliknya. Sehingga kini, antara 0.05 hingga 0.1 peratus daripada mereka yang menjalani ujian saringan HIV pra-perkahwinan didapati positif.

Dalam kaunseling ini kedua-dua bakal pengantin akan diberitahu mengenai risiko yang bakal dihadapi kelak pada pasangan atau anak. Begitu juga untuk penyakit keturunan. Biasanya pesakit atau pembawa genetik disaran untuk berkahwin dengan individu normal bagi mengurangkan risiko dan mengelakkan anak-anak mewarisi penyakit berkenaan.

Tidak sedikit rumah tangga yang runtuh apabila salah seorang pasangan tidak dapat menerima hakikat dan menyalahkan pasangan apabila dikurniakan anak yang berpenyakit .

Ujian kesihatan dan kaunseling bertujuan memberi persediaan minda kepada pasangan mengenai kemungkinan yang bakal dihadapi. Kajian menunjukkan ujian kesihatan dan kaunseling sebelum perkahwinan mampu mengukuhkan kasih sayang antara suami isteri.

Sebagai persediaan menuju kehidupan berumahtangga dan tanda kasih sayang anda kepada pasangan, jalanilah segera ujian kesihatandemi masa depan anda berdua dan anak-anak yang bakal lahir. Untuk mendapatkan maklumat atau menjalani ujian kesihatan pra perkahwinan ini sila kunjungi mana-mana klinik atau makmal Pathlab terdekat.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_06.htm

Menangani sakit tumit, lutut


RANGKAIAN produk Scholl.


Alice sentiasa mengalami tekanan dan sakit pada bahagian tumit dan lutut. Sakit yang dialaminya memuncak setiap kali dia memakai kasut bertumit ke tempat kerja. Pada suatu hari, dia mengalami sakit belakang yang amat teruk hingga menyebabkan dia sukar berdiri.

Seorang rakan sekerjanya mencadangkan dia memakai kasut tanpa tumit dan menambah tapak khas untuk memberi sokongan pada kakinya. Sejak menggunakan tapak Scholl, terdapat perubahan pada kaki Alice. Dia boleh berdiri tegak tanpa masalah. Bentuk kakinya kelihatan lurus apabila berdiri berbeza dengan sebelum ini. Bahkan, tiada lagi masalah baginya setiap kali mengangkat benda berat.

Selesa

Berkasut tumit tinggi memang kegemaran sebahagian besar wanita kerana selain menjadi sebahagian daripada fesyen, penampilannya akan nampak lebih bergaya dan elegan apabila mengenakan kasut bertumit tinggi .

Bagaimanapun, kecenderungan ini boleh mengundang bahaya dan masalah kesihatan lebih-lebih lagi bagi wanita hamil.

Dalam situasi ini, kaki mudah terasa letih dan lenguh.

Sebagai wanita yang sudah berkahwin dan bekerja seperti Alice, berjalan dari satu lokasi ke lokasi yang lain sudah menjadi lumrah. Tekanan pada kaki kadang kala menyukarkan pergerakan. Mujur dengan adanya teknologi lapik dalam kaki baru ini membantu mengurangkan rasa tekanan kaki .

Terbaru, Scholl iaitu jenama pakar penjagaan kaki nombor satu di dunia telah melancarkan produk lapik dalam kaki yang dikenali lapik dalam Biomechanics Orthotics.

Menurut Pengurus Kumpulanm Produk SSL Healthcare, Geraldine Cheah, lapik dalam kaki boleh memberi impak secara positif kepada postur dan penjajaran kaki.

Selain itu, produk ini juga mampu mengurangkan penurunan pada cekungan depan dan cekungan dalam yang berlebihan pada kaki.

Katanya, dengan pemakaian lapik dalam kaki, ia bukan sahaja mengurangkan kesakitan di bawah tumit dan lutut tetapi juga memberi keselesaan kepada pengguna.

Tambahan pula, ia akan membuat anda tampil penuh yakin dengan mengubah cara anda berjalan.

Dengan kaedah baharu ini, setiap wanita dapat memulihkan kesakitan "tersembunyi" yang mereka alami kerana cara berjalan yang tidak betul akibat daripada permukaan jalan.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_07.htm

Petua cantik, sihat daripada Dr. Rushmini

MINAT serta rasa ingin tahu tentang dunia esthetik di kalangan pembaca sisipan Kesihatan, Mingguan Malaysia mendorong mereka berlumba-lumba mahu menyertai Bengkel Personaliti Cantik, Sihat anjuran Marissa Esthetic yang diuar-uarkan minggu lepas.

Ternyata perubatan esthetik masih baru di negara ini menyebabkan maklumat mengenainya belum tersebar luas sedangkan manfaatnya dalam bidang kesihatan amat luas.
Justeru apabila ada usaha di pihak Dr. Rushmini Maris Ismail yang mengendalikan Marissa Esthetic mahu berkongsi maklumat mengenai bidang tersebut, maka sambutan yang diperoleh sememangnya umpama goreng pisang panas.

''Ada yang mengaitkan esthetik dengan kecantikan semata-mata. Ada juga yang memandang rendah perubatan esthetik malah tidak kurang juga yang menyifatkannya sebagai idea gila.

''Tetapi setelah berkecimpung dalam bidang ini dan melihat sendiri pesakit-pesakit saya dapat menikmati kehidupan baru yang lebih bermakna saya amat puas dan ingin berkongsi dengan mereka yang memerlukan,'' katanya.

Menurut Dr. Rushmini, bengkel sehari yang akan diadakan pada 23 Januari itu juga bertujuan memberi gambaran yang tepat mengenai perubatan esthetik supaya lebih ramai dapat memahaminya dan menyampaikan kepada orang lain ke arah kesejahteraan bersama.

Beliau juga mahu membetulkan persepsi yang salah tentang tentang perubatan esthetik yang kononnya hanya fokus kepada kecantikan.

 ''Apabila kita bercakap tentang masalah tidak cukup hormon misalnya ia bukan semata-mata berkaitan dengan usaha mahu tampil langsing supaya kelihatan cantik.

''Tetapi ia juga berkaitan tubuh badan yang sihat kerana masalah tidak cukup hormon boleh mengganggu kehidupan seseorang, justeru jawapannya adalah dalam perubatan esthetik yang sewajarnya disebarluaskan kepada semua,'' katanya.

Menurut beliau, bengkel yang diadakan dengan kerjasama Aptomed Sdn. Bhd., syarikat pertama ditubuhkan di Malaysia yang mengendalikan True Bio-Identical Hormone Therapy (BIHRT) itu akan memfokuskan kepada isu-isu berkaitan berat badan.

Katanya, masalah berat badan sering menjadikan seseorang murung, rendah diri dan enggan bercampur dengan orang lain kerana bimbang ditertawakan. Ada juga individu yang berusaha keras untuk menurunkan berat badan sehingga sanggup menahan lapar sehingga menjejaskan kesihatan.

''Paling menyedihkan apabila orang gemuk menyifatkan diri sebagai tidak berharga jauh sekali dihargai lalu mereka membiarkan diri terus menjadi gemuk sehingga mengidap penyakit-penyakit berbahaya.

 ''Sedangkan mereka sepatutnya mencari punca kegemukan dan menanganinya dengan cara yang berkesan termasuk menggunakan kaedah perubatan esthetik,'' katanya.

Berikutan sambutan yang menggalakkan, Dr. Rushmini mengadakan dua sesi iaitu pagi dan petang untuk memberi peluang lebih ramai peserta terutama yang berhadapan dengan masalah berat badang mengambil bahagian. Beliau juga berharap setiap peserta kelak dapat memahami apa sebenarnya masalah dihadapi dan jalan penyelesaiannya ke arah menikmati hidup yang lebih sejahtera. Para peserta juga katanya, tidak perlu malu untuk bertanya dan berbincang tentang apa yang mereka rasa supaya bengkel tersebut benar-benar dapat mendatangkan manfaat kepada mereka.

''Bagi saya penyelesaian pertama adalah masalah berat badan. Ini kerana apabila masalah tersebut dapat diselesaikan maka seseorang itu akan dapat menjalani hidup dengan lebih gembira.

''Selepas seseorang itu berpuas hati dengan berat badan ideal yang diperoleh, baru kita tumpukepada aspek lain seperti kecantikan kulit dan sebagainya.

''Bagaimanapun ingin saya tekankan apabila hormon seseorang mencukupi maka keseluruhan badan akan merasa nikmatnya,'' katanya.

Oleh kerana masalah yang tidak dapat dielakkan, bengkel Personaliti Cantik, Sihat bersama Dr. Ruhsmini dan Mingguan Malaysia bertukar lokasi ke Hotel PNB Darby Park, Jalan Binjai, Kuala Lumpur.

Orang ramai yang berminat boleh menghubungi Marissa Esthetic di talian 03-87234808, 013-2448484. Setiap peserta dikenakan yuran sebanyak RM200.



http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_08.htm