"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, January 1, 2011

Pemulihan bawah satu bumbung



Pelbagai kaedah terapi dan rehabilitasi kepada kanak-kanak istimewa.


BAGI pesakit-pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti barah, strok ataupun cerebral palsy, mereka perlu menjalani rawatan susulan mahupun mendapatkan rawatan pemulihan untuk meneruskan kehidupan.

Proses pemulihan yang betul dan sempurna memberi kesan yang cukup besar dalam kehidupan pesakit-pesakit itu, penjaga atau keluarga mereka.

Melihat akan keperluan tersebut yang semakin tinggi, pusat terapi yang disediakan di hospital-hospital kerajaan mahupun swasta adakalanya tidak mencukupi.


Menyedari akan kekurangan pusat yang memberikan perkhidmatan tersebut, Pegawai Eksekutif WQ Park, Datuk Dr. Zulkarnain Ismail telah mengambil inisiatif untuk mendirikan sebuah pusat terapi dan pemulihan yang lengkap di bawah satu bumbung.

Bertujuan untuk memudahkan pesakit-pesakit yang ingin mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan, WQ Park sememangnya merupakan sebuah pusat sehenti yang menawarkan pelbagai khidmat terapi dan rehabilitasi secara holistik yang merangkumi rawatan pemulihan.


Antara rawatan pemulihan yang ditawarkan ialah melalui senaman, teknik-teknik pergerakan, elektroterapi dan hidroterapi.


Menurut Dr. Zulkarnain, idea penubuhannya bermula ketika beliau menjalankan rawatan terhadap pesakit-pesakit.

''Saya bekerja dalam bidang ortopedik dan sudah pasti setiap hari saya melihat kesusahan dan kepayahan yang mereka lalui dan secara tidak langsung saya dapat menyelami perasaan sebenar pesakit.


''Bagi pesakit-pesakit ini, mereka masih lagi memerlukan rawatan susulan tetapi tidak semua rawatan disediakan di hospital-hospital atau pusat perubatan.

''Kesusahan mereka mengunjungi dari satu hospital ke satu hospital yang lain bagi mendapatkan rawatan yang sempurna membuatkan saya terfikir untuk membuka pusat perubatan ini,'' katanya ketika ditemui di Kelana Jaya, baru-baru ini.


Tambah beliau lagi, selain menawarkan perkhidmatan kepada pesakit-pesakit dewasa, ia turut menyediakan perkhidmatan pemulihan bagi kanak-kanak istimewa atau kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran seperti kanak-kanak autistik, ADHD dan disleksia.


 Objektif utama penubuhan pusat itu adalah untuk meningkatkan kesedaran umum wujudnya peluang dan kemudahan untuk berusaha memulihkan beberapa jenis dan tahap ketidakupayaan, langkah intervensi awal serta memupuk pemikiran masyarakat.


Di WQ Park, penggunaan kemahiran kedoktoran serta ilmu psikologi dilihat satu gabungan yang ideal dalam memastikan kejayaan proses rawatan tersebut.


Diperkuatkan dengan tiga doktor pakar meliputi pakar pemulihan, pakar bedah ortopedik dan pakar saraf kanak-kanak, kekuatan WQ Park ini turut disokong oleh 20 kakitangan bantuan seperti ahli fisioterapi, ahli terapi, ahli terapi pertuturan serta jururawat bertauliah.


Dr. Zulkharnain menafikan bahawa kewujudan pusat-pusat kesihatan hari ini bertujuan untuk menidakkan kebolehan pakar-pakar yang terdapat di hospital-hospital kerajaan mahupun swasta. Malah jelas beliau, dengan adanya pusat kesihatan seperti itu ia membantu memberikan rawatan serta pemulihan yang diperlukan oleh pesakit-pesakit.


Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai WQ Park dan perkhidmatan yang disediakannya, anda boleh layari laman web www.wqpark.com.my.


Ia dibuka setiap Isnin hingga Jumaat bermula dari 9 pagi hingga 5 petang dan hari Sabtu 9 pagi hingga 12 tengah hari.


Pelanggan juga boleh terus mengunjungi pusat tersebut yang terletak di Lot 2D, Jalan SS5D/6, Kelana Jaya, Selangor.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_02.htm

Peranan perubatan tradisional


Roslan Hamzah percaya rawatan moden dan tradisional boleh seiring.


ORANG selalu berkata, kalau tidak ada yang lama tentunya tidak ada yang baru. Begitu juga halnya dalam bidang perubatan.

Sebelum perubatan moden wujud, masyarakat dulu bergantung kepada kaedah tradisional untuk merawat penyakit.

Malah setiap bangsa di dunia memiliki kaedah perubatan tradisional mereka sendiri yang menjadi amalan turun-temurun.

Dan dalam era orang akan ke hospital apabila sakit, sesetengah kaedah perubatan tradisional tidak dilupakan begitu saja bahkan menjadi alternatif dalam penjagaan kesihatan.

Pergilah ke mana-mana pelosok dunia pun, pasti ada
amalan perubatan tradisi yang masih di guna pakai termasuk di negara Barat.

Malah amalan tersebut terutama di negara ini diwariskan dari satu generasi ke generasi lain supaya ia tidak lenyap di telan zaman. Hari ini ia juga merupakan rawatan sokongan kepada perubatan moden yang diberikan di hospital-hospital kerajaan mahupun swasta.

Hadirnya pusat-pusat rawatan tradisional seperti bekam, pusat urutan Melayu, pusat akupuntur dan sebagainya jelas menunjukkan rawatan tersebut masih lagi dicari masyarakat sebagai rawatan alternatif di samping rawatan moden.

Malah pengusaha-pengusaha pusat rawatan tradisional yang ditemui baru-baru ini memberitahu bahawa rawatan tradisional dan moden boleh berjalan seiring dalam usaha mengatasi masalah yang dihadapi pesakit.

Menurut Pengusaha Rumah Sihat Bekamtherapy, Mohammad Yunus Sahari, berbekam yang telah diamalkan sejak zaman Nabi lagi merupakan satu rawatan tradisional membuang darah kotor dan ia merupakan rawatan yang popular.

"Jika dilihat daripada sejarah dahulu, berbekam merupakan satu rawatan tradisional yang cukup popular untuk mengosongkan saluran-saluran darah yang sempit.

"Nabi juga pernah bersabda bahawa berbekam pada titik jauzatil qamahduwah dapat menyembuhkan 72 jenis penyakit.

"Walaupun rawatan ini adalah yang terbaik tetapi ia tidak menolak rawatan moden malah ia saling melengkapi antara satu sama lain," ujarnya ketika ditemui di Gombak, baru-baru ini.

Tambah beliau, berbekam terbahagi kepada dua jenis iaitu bekam darah dan bekam angin juga berperanan mengurangkan penderitaan sakit dan sebagai langkah awal pencegahan.

Tidak dapat dinafikan, bagi sesiapa yang menjalani rawatan bekam, ia sememangnya satu rawatan yang baik untuk tubuh badan.

Bagi pengamal urutan Melayu tradisional, Roslan Hamzah pula, dalam dunia yang semakin mencabar hari ini, rawatan tradisional dan moden perlu seiring untuk mendapat keputusan yang memuaskan.

"Jika rawatan moden, pendekatan yang digunakan mungkin kaedah pembedahan atau memberikan pesakit ubat-ubatan dan bila ia digabung bersama urutan, mungkin tindak balas untuk sembuh ataupun mengurangkan sakit dapat dipercepatkan.

"Lagipun, dengan rawatan urutan yang diberikan hari ini, ia bukanlah semata-mata urutan malah ia turut digabungkan dengan psikologi di mana ia bertujuan untuk memulihkan kembali semangat pesakit-pesakit yang sudah luntur.

"Tetapi perlu diingatkan, walaupun hanya urutan, saya masih lagi memerlukan rujukan doktor supaya sesuatu penyakit itu tidak menjadi lebih teruk," katanya.

Ulas beliau, antara jenis penyakit yang paling sesuai untuk mendapatkan rawatan urut ialah strok yang sederhana, sakit pinggang dan juga sakit dada.

Beliau yang mempunyai ijazah di dalam bidang Sains Sukan turut bersetuju bahawa rawatan tradisional merupakan rawatan alternatif kepada rawatan moden.

Jika diteliti dengan baik, hasil gabungan teknik rawatan tradisional dan moden diakui memberi keputusan rawatan yang lebih baik.

Ini kerana, memang tujuan orang yang bertemu doktor dan individu yang melakukan rawatan tradisional itu adalah sama iaitu untuk sembuh daripada sakit yang sedang dideritainya.

Satu lagi rawatan tradisional yang masih lagi diamalkan dan popular ialah akupuntur.
Seiring dengan perkembangan teknologi yang pesat, ia turut mengalami perubahan di mana satu inovasi teknologi akupuntur telah direka iaitu sebuah alat berbentuk seperti pen yang mempunyai fungsi yang sama dengan cara tradisional (jarum).

Pakar rawatan akupuntur dari Korea, Dr. Muhammad Kim menjelaskan, inovasi rawatan akupuntur laser dari Korea ini dijangka dapat mengatasi masalah individu yang gerun pada jarum akupuntur.

"Penggunaan alat akupuntur laser ini hanya melibatkan luaran kulit membuatkan kebersihannya lebih terjamin.

"Selain membantu mengembalikan tahap kesihatan, akupuntur juga dipercayai mampu melegakan kesakitan.

"Hari ini, pena laser ini mampu memberi kesan seperti kaedah klasik akupuntur tanpa rasa sakit hanya dengan tekanan pada satu butang," katanya ketika ditemui di pusat rawatannya baru-baru ini.

Beliau menerangkan, akupuntur laser berfungsi dengan cara merangsang poin-poin akupuntur. Beliau turut menyatakan bahawa rawatan tradisional tersebut merupakan satu rawatan alternatif dan ia perlu seiring dengan rawatan moden.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

Probiotik bantu cegah penyakit



Kajian terhadap kanak-kanak di India yang meminum susu kultur Yakult mampu mengurangkan kadar penyakit terutama cirit birit.


PERANAN usus bukan sekadar sebagai tempat salur laluan makanan sebelum dikumuhkan, malah ia berperanan sebagai barisan pertahanan penting tubuh terhadap bakteria berbahaya.

Kesihatan usus akan mempengaruhi penyerapan zat daripada makanan dan ini tentunya memberi kesan kepada kesihatan tubuh yang juga mempengaruhi kekuatan sistem ketahanan badan.

Kebanyakan masalah lazim berkaitan dengan saluran gastrousus sebenarnya bermula dengan ketidakseimbangan mikroflora usus, iaitu akibat gangguan mikro-organisma berbahaya.

Menurut Penyelidik Kanan, Institut Penyelidikan Mikrobilogi Yakult, Dr. Takuya Takahashi, probiotik merupakan bakteria yang bertindak membantu mengekalkan kesihatan dan ia bukan saja membantu fungsi pencernaan serta mengurangkan kehadiran organisma berbahaya.

''Penggunaan probiotik terbukti mampu mencegah atau merawat penyakit,'' ujarnya.
Terang beliau lagi, penyelidikan mendapati probiotik juga boleh membantu menguatkan sistem imunisasi badan untuk melawan alahan, tekanan, pendedahan kepada bahan toksik dan penyakit lain.

Secara umumnya, probiotik melekat pada dinding dan menghuni saluran gastrousus. Ia berperanan memperbaiki masalah usus seperti kembung, cirit-birit dan sembelit yang disebabkan mikroflora usus yang tidak seimbang dengan mengeluarkan anti infektif protein untuk melawan patogen.

Selain itu, probiotik juga berupaya menghalang atau mengawal pertumbuhan patogen usus.
Ia penting kerana pertumbuhan patogen usus boleh menyebabkan alergi, kembung perut, cirit-birit dan gastritis.

Ia terbukti melalui kajian pada Ogos lalu dengan kerjasama Institut Taun dan Penyakit Enterik India, membabitkan 3,585 kanak-kanak yang berusia setahun hingga lima tahun.

Daripada kajian itu, kanak-kanak yang meminum susu kultur Yakult yang mengandungi Lactobacillus casei strain Shirota mampu mengurangkan kadar penyakit terutama cirit birit.

Malah terang Dr. Takahashi lagi, ada kajian yang menyokong pengambilan probiotik kerana ia mungkin membantu mengelak kejadian seperti masalah keradangan usus di kalangan orang dewasa, manakala kanak-kanak juga tidak terlepas daripada mengalami masalah gangguan penghadaman seperti intoleransi laktosa, sembelit, cirit-birit dan juga kembung perut.

''Sistem pertahanan badan yang lemah akan menyebabkan anak-anak mudah jatuh sakit. Senario begini yang kerap bukan sahaja merisaukan ibu bapa tetapi mungkin menjejaskan tumbesaran dan prestasi kognitif anak-anak,'' terangnya.

Probiotik juga membantu merangsang pertumbuhan bakteria baik dalam saluran usus.
''Ia mampu menghasilkan bahan anti mikrobial, reuterin dan asid organik yang mewujudkan persekitaran yang merencatkan pertumbuhan bakteria berbahaya," jelasnya.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1230&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

Kemurungan-derita dalam diam


Ada antara pesakit dan ahli keluarga tidak mengambil berat penyakit ini walaupun ada rawatan seperti ubat-ubatan dan kaunseling.

Mungkin masyarakat tidak sedar bahawa masalah mental merupakan penyakit sepanjang hayat dan ia boleh berulang-ulang tanpa mereka sedari.

Justeru itu, pesakit tidak boleh berhenti mengambil ubat sewenang-wenangnya tanpa nasihat pakar psikiatri.
Kes bunuh diri yang terbaru dipaparkan di media ialah Mark Madoff, anak lelaki sulung kepada penyeleweng pelaburan Bernard Madoff dijumpai mati dalam keadaan tergantung di pangsapuri miliknya.

Puncanya apabila Mark, 46 yang bekerja di firma bapanya dan dia mula tertekan sejak dua tahun lalu apabila dituduh bersubahat terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan.

Bapanya, Bernard Madoff yang berusia 72 tahun dikenakan hukuman penjara selama 150 tahun kerana terlibat dalam sindiket pelaburan haram terbesar dalam sejarah penipuan kewangan.

Ini antara cebisan kisah tekanan mental yang berkesudahan dengan peristiwa menghayat hati.
Cuba bayangkan sekiranya Mark berjaya diselamatkan dengan pendedahan rawatan kesihatan mental, mungkin dia berjaya mengawal keadaan dan dirinya.

Seperkara yang perlu masyarakat faham ialah tekanan dan kemurungan tersebut mungkin boleh berulang jika pesakit berhenti memakan ubat.

Kadang-kadang pesakit dan ahli keluarga tidak menyedari kehadiran simptom-simptom awal penyakit mental ini seperti sakit atau pening kepala, sakit belakang (pinggang), sakit otot dan sendi, sakit dada, masalah pencernaan, cepat berasa penat dan tidak bertenaga, sukar tidur malam dan perubahan selera makan.

Takut dan malu


Menurut Pakar Psikiatri dan Terapi Kognitif, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Maniam Thambu, terdapat beberapa sebab kenapa individu yang mengalami masalah mental takut dan malu mendapatkan rawatan berkesan.

Masalah ini sepatutnya dapat dielak kerana mereka boleh mendapatkan rawatan pada bila-bila masa di kebanyakan hospital dan klinik.

Namun, disebabkan prejudis masyarakat, pesakit dan ahli keluarga tidak mahu mendapatkan rawatan.
Fenomena ini tidak hanya melanda masyarakat kita kerana penduduk negara maju seperti Amerika Syarikat masih mengalami masalah sama. Kajian selama 10 tahun (1996 hingga 2006) dijalankan Universiti Indiana dan Columbia mendapati, pelbagai kempen kesedaran mengenai penyakit mental masih tidak mampu mengubah tanggapan negatif masyarakat di sana.

"Perkara ini juga membuatkan golongan berpendidikan tinggi, termasuk pelajar perubatan, tidak mahu mendapatkan rawatan kerana bimbang mereka dianggap kurang keupayaan mengendalikan masalah dan berdepan tekanan.

Hasil kajian penyelidik Universiti Michigan itu juga mendapati, alasan mereka tidak mahu mendapatkan rawatan ialah takut ia menjejaskan masa depan," jelasnya pada sidang media Kemurungan di Malaysia — Menderita Dalam Diam dalam bengkel media anjuran Pfzer Malaysia di The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam konteks ini, orang ramai sering terlepas pandang kepentingan penjagaan kesihatan mental yang boleh menganggu keseluruhan kesihatan badan.

Ia boleh menyebabkan tekanan berlebihan, kemurungan dan skizofrenia.

Secara purata, satu daripada 10 orang di Malaysia mempunyai masalah kesihatan mental dan di seluruh dunia dianggarkan 450 juta orang mengalami gangguan mental. Daripada jumlah ini 120 juta dilanda kemurungan manakala 24 juta mengalami skizofrenia, tetapi kebanyakannya tidak mendapat rawatan sewajarnya.

Kemurungan tidak berlaku pada orang dewasa saja, malah kanak-kanak juga boleh mengalaminya. Kajian Morbiditi dan Mortaliti Kebangsaan 2006 mendapati daripada 14,000 responden yang mengalami masalah kesihatan mental, 20 peratus adalah kanak-kanak, manakala 11 peratus pesakit dewasa.

Kemurungan yang tidak diberi rawatan sewajarnya boleh menyebabkan seseorang bertindak agresif seperti keinginan membunuh diri.

Menurut Dr. Maniam, kemurungan boleh dirawat dengan pengambilan ubat anti kemurungan, psikoterapi atau gabungan kedua-duanya yang boleh membantu pesakit mengembalikan kesihatan mental sebanyak 80 peratus.

Dalam pada itu, Pensyarah Psikiatri dan Farmakologi, Universiti Toronto, Prof Madya Dr Roger Mclntyre berkata, Laporan Kesihatan Dunia 2001 mengenai kesihatan mental menganggarkan menjelang 2020, penyakit kemurungan kronik akan menduduki tempat kedua selepas penyakit jantung yang menyebabkan punca utama ketidakupayaan di seluruh dunia dalam hayat kehidupan seseorang.

Sementara itu, ubat tahan sakit, ujian darah, ujian sinar-X atau imbasan CT tidak dapat mengatasi kemurungan 100 peratus.

"Kajian menunjukkan 48 peratus pesakit yang mengalami masalah kemurungan teruk tidak mendapatkan rawatan manakala 58 peratus pesakit yang dirawat menerima rawatan tidak teratur. Ia penyakit yang sering berulang dan 85 peratus daripada mereka yang mempunyai pengalaman kemurungan itu kembali murung selepas 15 tahun pulih," jelasnya.

Perkara ini terjadi disebabkan pesakit berhenti mengambil ubat tanpa berbincang dengan doktor.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_07.htm

Rawat masalah kencing tak tus

Saya ingin mengetahui lebih lanjut mengenai saw palmetto yang banyak dicadangkan untuk kesihatan lelaki terutamanya masalah pembesaran prostat.

JAWAPAN,

Ekstrak saw palmetto yang banyak diperkatakan adalah mengenai buah daripada serenoa repens. Sejak tradisinya ia banyak digunakan dalam pelbagai masalah kesihatan bergantung kepada kaum atau masyarakat sesuatu tempat. Ada yang mengambilnya dalam bentuk jus sebagai tonik dan ada yang mengambil buah yang dalam katogeri beri ini sebagai ekspektoran dan juga sebagai antiseptik.

Buah saw palmetto ini kaya dengan asid-asid lemak dan fitosterol dan ekstraknya telah menjadi bahan kajian intensif untuk rawatan jangkitan saluran kencing serta beberapa masalah kesihatan yang lain.

Namun kajian awal saw palmetto ke atas rawatan Benign prostatic hyperplasia atau pembesaran kelenjar prostat begitu memberangsangkan. Perubahan dengan tahap ringan dan sederhana boleh dilihat dalam simptom-simptom berkaitan dan aliran kencing yang diukur. Ujian-ujian lain juga memperlihatkan perbezaan ketara dengan plasebo.

Berdasarkan ujian ke atas peserta yang mengambil 320 miligram ekstrak saw palmetto sehari, perubahan yang ketara boleh dilihat berbanding plasebo. Dengan ini, pengambilan ekstrak saw palmetto ini didapati bermanfaat dalam membantu masalah berkaitan pembesaran kelenjar prostat. Pengambilannya dianggap sesuai ia lebih mesra pengguna dan kurang kesan sampingan seperti sakit kepala.

Dalam ujian lain perubahan positif juga dicatatkan selepas pengambilan selama 90 hari. Ada yang mencatatkan perubahan positif sebelum tempoh dua bulan dan ia dianggap berkesan dalam meringankan simptom-simptom akibat pembesaran kelenjar prostat. Kerana kebolehan inilah Saw palmetto digunakan sebagai antara cadangan utama untuk memperbaiki kesihatan prostat di kalangan ahli urologi German dan Australia. Dalam formulasi terkini untuk kesihatan prostat, saw palmetto banyak digabungkan dengan pumpkin seed atau biji labu untuk kesan sinergistik.

Pembesaran kelenjar prostat bukanlah masalah luar biasa di kalangan lelaki dan risikonya bertambah apabila usia meningkat. Simptom-simptomnya mungkin berbeza dan pelbagai antara individu, namun simptom umum termasuklah aliran air kencing yang lemah, kerap kali merasa desakan untuk kencing, lebih susah untuk memulakan atau menghentikan kencing, air kencing boleh menitis dan beberapa lagi.

Masalah berkaitan kencing tak tus ini lebih biasa dialami di kalangan lelaki berusia. Namun begitu, masalah ini boleh menjurus kepada masalah lain seperti jangkitan buah pinggang serta jangkitan pada pundi dan acute urinary retention (pundi tidak dapat menyingkirkan urin).

Dalam usaha menjaga kesihatan prostat, memperolehi zat besi yang cukup juga dianggap kriteria penting. Penyerapan zink juga boleh merosot di kalangan mereka yang berusia. Pengambilan vitamin B pula dicadangkan khususnya vitamin B6 untuk membantu penyerapan zink. Oleh yang demikian, penghidap masalah ini seharusnya mengelak pengambilan alkohol kerana ia boleh meningkatkan penyingkiran banyak nutrien penting tubuh termasuk zink dan vitamin B6.


http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_06.htm