"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Sunday, December 19, 2010

Aduh sakit belakang



RAWATAN fisioterapi untuk melegakan sakit belakang yang ringan.
APA yang anda lakukan bila mengalami sakit belakang? Adakah cukup sekadar mengambil ubat penahan sakit, berurut, mendapatkan rawatan pakar atau mencuba rawatan alternatif?

Apa pun jawapannya, jangan ambil mudah kerana sakit belakang kronik juga boleh mengundang gangguan fungsi seksual terutama kepada kaum lelaki.

Pakar Reumatologi dan Sakit Kronik, Dr. Anwar Samhari Md. Arshad berkata, sakit belakang kronik yang berterusan boleh menjejaskan keupayaan seks lelaki secara langsung atau tidak.

“Ia berlaku apabila sakit belakang berada di tahap kedua dan ketiga di mana kesakitan dirasakan berterusan walaupun selepas pengambilan ubat penahan sakit.

“Kesakitan tersebut menekan atau menghimpit saraf sakrum menyebabkan ia menekan terus saraf pelvik lalu mengganggu keupayaan seksual termasuk mati pucuk,” kata pakar dari Pusat Perubatan KPJ Pulau Pinang itu.

Selain itu kata beliau, pesakit juga boleh mengalami gangguan fungsi seksual secara tidak langsung akibat pengambilan ubat terapeutik dan juga disebabkan kemurungan, stres dan gangguan psikologi.

Semua itu kata beliau berpunca daripada kesakitan biasa yang dipandang ringan oleh pesakit dan dibiarkan tanpa melakukan sebarang rawatan.

Apa itu sakit belakang?

Dr. Anwar berkata, rasa sakit di bahagian tengkuk, tulang belakang dan punggung yang berpanjangan lebih daripada enam minggu hingga tiga bulan boleh ditafsirkan sebagai sakit belakang kronik.

“Jika bercakap tentang sakit belakang, hampir semua orang mengalami sakit belakang. Tapi bila diambil paracetamol atau ubat tahan sakit dan berehat, lama kelamaan kesakitan itu akan hilang,” katanya.
Jelas beliau sakit belakang berpunca daripada kecederaan di bahagian otot, saraf, tulang, sendi atau struktur lain pada tulang belakang.

Kecederaan itu, katanya, disebabkan pekerjaan atau perbuatan berterusan hingga menjejaskan kesihatan tulang belakang. Biasanya ia berlaku kepada mereka yang melakukan sesuatu kerja untuk tempoh yang lama seperti pemandu lori, mengangkat bebanan berat dan juga tidak mempraktikkan kesihatan ergonomik dalam perbuatan seharian.

Rasa sakit itu kata Dr. Anwar, mungkin seperti dicucuk-cucuk, rasa sengal atau berdenyut, mungkin untuk tempoh yang panjang atau sekali sekala.

Ia juga mungkin dirasai pada satu tempat atau merebak dari satu kawasan ke kawasan yang lain.
Kata beliau lagi, jenis sakit belakang yang kerap menyerang lelaki berusia antara 30 hingga 40 tahun adalah sakit sendi dan slipped disc atau disc tergelincir.

“Bagi mereka yang berusia antara 40 hingga 50 pula kerap mengalami sakit sendi faset. Manakala bagi lelaki berusia 60 hingga 70 tahun pula biasa mengalami spinal stenosis,” katanya.

Simptom umum:

Menurut Dr. Anwar berkata, tanda-tanda utama sakit belakang adalah rasa sakit di bahagian pinggang yang menjalar ke punggung, paha dan seterusnya ke betis. Ada juga pesakit yang rasa sakit dan kebas mencucuk hingga bahagian betis, paha dan kaki.

Kaki pesakit juga katanya, berasa lemah. Pada peringkat permulaan ia lebih bersifat mekanikal di mana bagi individu yang melakukan kerja berat akan mengalami rasa sakit. Selepas mengambil paracetamol atau ubat penahan sakit dan berehat, sakit itu akan beransur hilang.

“Pada peringkat kedua, setiap hari pesakit akan merasa sakit. Walaupun berehat dan mengambil penahan sakit, kesakitan masih dirasai,” katanya.

Sakit itu berlanjutan hingga menekan saraf sakrum dan menjejaskan keupayaan seksual. Bukan setakat itu, ia juga menjejaskan fungsi pundi kencing menyebabkan pesakit gagal mengawal pembuangan air kencing dan juga besar.
“Jika keadaan ini berlaku pesakit memerlukan rawatan segera,” katanya.

Jenis-jenis sakit belakang:

1. Slipped disc - disc tergelincir adalah masalah kecederaan pada tulang lembut (disc) yang juga dikenali sebagai disc intervertebral. Dalam istilah perubatan ia disebut spinal disc herniated/ prolapsed. Disc intervertebral boleh diumpamakan sekeping tulang lembut di antara tulang vertebra. Ia terdiri daripada satu tisu yang kuat (annulus fibrosus) di mana di dalamnya terkandung sejenis bahan yang lembut (nucleus polposus). Jelasnya, kecederaan pada disc intervertebral menyebabkan kerosakan pada annulus fibrosus. Akibatnya, ia menjadi bengkak dan seringkali juga pecah pada disc intervertebral.

2. Ankilosing spondilytis - merupakan sejenis artritis yang menjejaskan tulang belakang. Simptom termasuk kesakitan daripada leher hingga ke bahagian tulang bawah. Sakit tulang belakang jenis ini menjejaskan hingga 0.1 hingga 0.5 peratus orang dewasa. Biasanya kerap berlaku di kalangan lelaki berusia antara 20 hingga 30an. Ia jarang berlaku di kalangan wanita dan jika ada sekali pun, tidak begitu serius.

3. Sakit sendi faset- Adalah masalah yang jarang berlaku dan ia boleh menjejaskan bahagian bawah serta leher. Boleh menyebabkan simptom serius dan mengundang kecacatan kekal kepada pesakit. Bagaimanapun, masalah sendi faset jarang melibatkan saraf tulang belakang.

4. Spinal stenosis - Keadaan dimana saluran spinal mengecil dan menekan saraf spinal. Ini biasanya melibatkan kemerosotan spinal disebabkan penuaan. Kadangkala ia juga berpunca daripada disc tergelincir, osteoporosis atau tumor. Spinal stenosis boleh melibatkan kawasan cervical (tengkuk), torasik atau lumbar spinal. Jika ia berlaku di kawasan lumbar boleh menyebabkan kesakitan di bahagian bawah juga rasa kelainan di bahagian kaki, paha, tapak kaki atau punggung. Kadang kala ia juga boleh menjejaskan kawalan pundi kencing dan usus.

5. Sindrom myofasial - Berlaku kesakitan kronik dan bagi sesetengah kes, sakit yang teramat sangat dirasai. Ia diikuti sakit pada bahagian tertentu yang menyucuk.

6. Sindrom kauda equana - Kesakitan di bahagian bawah termasuk punggung, paha dan kaki. Juga berlaku kesakitan kronik dan bagi sesetengah kes, sakit yang teramat sangat dirasa. Boleh melibatkan penekanan di bahagian kelamin, menjejaskan kawalan pundi kencing dan sistem usus.

Bagaimana diagnosis

Biasanya pesakit perlu melalui ujian MRI di bahagian lumbar, pelvik dan torak. Ada juga sesetengah pesakit yang tidak dapat didiagnos menggunakan MRI perlu menjalani suntikan diagnostik blok.

Ujian darah dan air kencing juga diperlukan untuk mengenalpasti sakit belakang kronik.

Tidak seperti sakit belakang akut (akibat kemalangan), sakit belakang kronik tidak memerlukan ujian imbasan sinar-X.

Rawatan

Kata Dr. Anwar, sebanyak 70 hingga 80 peratus mereka yang mengalami sakit belakang tidak memerlukan pembedahan major.

“Biasanya mereka memerlukan rawatan multimodel peringkat demi peringkat,” katanya.
Rawatan tanpa pembedahan jelasnya memerlukan kaunseling, fisioterapi, rehat otot corticosteroid dan pengambilan 
ubat tahan sakit neuropatik.

Selain itu pemakaian alat sokongan tulang belakang juga membantu. Sekiranya rawatan tidak berkesan, doktor akan mengesyorkan suntikan minimalis seperti radio-frekuensi dan prosedur neurolysis.

Salah satu rawatan yang termaju adalah spinal cord stimulation. Stimulasi ini dilakukan dengan memasang implan pada saraf tunjang.

“Rawatan termoden ini sudah boleh didapati di dalam negara malah saya sendiri melakukannya. Walau bagaimanapun, ia memerlukan kos yang tinggi,” katanya.

Rawatan ini kata beliau dilakukan sekiranya lain-lain rawatan yang diberi tidak berkesan. Jelasnya, prosedur implan 
tersebut memerlukan generator dipasang di bahagian bawah kulit seperti pemasangan peacemaker pada jantung.

“Pesakit akan diberi alat kawalan di mana jika mereka berasa sakit akan menekan alat tersebut dan kesakitan 
berkurangan,” kata beliau.



http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

Fibromyalgia sakit tiada punca


Pengamal perubatan masih belum dapat diagnosis yang tepat mengenai Fibromyalgia. – Gambar hiasan


SAKIT ini hanya pada fikiran awak saja, jangan kisah sangat,” kata seorang doktor kepada Mary Gaspar, 54, yang berjumpa dengannya kerana rasa sakit yang berterusan.

Mary bertugas di sebuah bank sebelum mengalami rasa sakit itu sejak 2005, yang puncanya tidak diketahui.
“Lama kemudian, baru saya diberitahu yang saya menghidap Fibromyalgia atau ringkasnya FM. Ini menyebabkan saya kemurungan.

“Saya tidak dapat berjalan, tidak dapat tidur. Semua ini menyebabkan saya menangis siang dan malam,” jelas Mary.
Pakar Perunding Anestesiologi di Hospital Selayang, Dr. Mary Suma Cardosa berkata, sebenarnya rasa sakit mereka itu memang benar. Namun, dengan bantuan ia dapat diuruskan.

Dia yang juga bakal Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata demikian ketika mengumumkan hasil Tinjauan Kesedaran, Kebimbangan dan Trend Fibromyalgia di Asia Tenggara (SEAFACTS), baru-baru ini.
Sidang akhbar itu dianjurkan oleh Pfizer Inc. dan ia membantu membuka mata banyak pihak yang masih tidak sedar akan penyakit ini.

Apa yang menyebabkan Fibromyalgia atau sindrom FM ini?

Profesor Ramani Vijayan, Presiden Persatuan Malaysia Bagi Kajian Kesakitan, berkata, “Tiada kata putus saintifik akan punca penyakit ini. Ia boleh berlaku pada individu dengan kepincangan tertentu. Ia juga mungkin berpunca daripada faktor biologi seperti genetik, usia, trauma, jantina atau kecederaan pada tisu.

“Kemurungan, rasa cemas, kepercayaan seseorang akan rasa sakit dan strategi menahan sakit turut sama penting.

“Dua hingga lima peratus daripada orang terjejas kerana rasa sakit kronik ini. Ia biasa berlaku di kalangan wanita berusia lingkungan usia muda hingga pertengahan. Ia dicirikan oleh kesakitan otot skeletal dan rasa lembut di bahagian atas, bawah, kiri dan kanan tubuh,” tambah Ramani.

Katanya, mereka yang menghidap FM sebenarnya mengalami kecacatan signifikan dan kualiti kehidupan yang lebih rendah.

Kumpulan usia yang paling terdedah kepada masalah ini ialah mereka yang berusia antara 30 dan 65 tahun.
Simptom Fibromyalgia ialah kekakuan, kejang otot, kelesuan dan kemurungan.

Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada kes FM yang direkodkan dalam kalangan kanak-kanak dan mereka di bawah usia 20 tahun.

Sementara itu kata Dr. Mary Cardosa, menurut keputusan kajian, satu daripada lima pesakit FM di Malaysia mendapati kualiti kehidupan mereka telah merosot selain tidak dapat meneruskan pelbagai kegiatan.

“Tiga suku daripada pengamal perubatan am dan hampir kesemua doktor pakar yang ditinjau bersetuju bahawa fibromyalgia masih kurang difahami oleh pakar perubatan,” katanya.

Kebanyakan pesakit FM terpaksa menunggu antara 3.3 dan 15.4 bulan, bersama purata pertemuan dengan dua orang pakar perubatan sebelum mendapat diagnosis yang tepat.

Pesakit yang mengalami FM bergantung sepenuhnya kepada ubat-ubatan sehingga mereka berasa lebih sihat atau 
mampu belajar menguruskan penyakit ini.

Malangnya, tiada ujian makmal yang boleh didapati untuk mendiagnosis simptom FM. Lebih kurang 40 juta orang di seluruh dunia mengalami sakit kronik ini.

“Sejumlah 506 orang mengambil bahagian dalam kajian ini di Asia Tenggara. Sejumlah 941 pakar perubatan juga ditanya mengenai kefahaman mereka tentang Fibromyalgia. Hasil tinjauan ini membuktikan penyakit ini kurang difahami oleh banyak pihak.

“Kajian juga menunjukkan penghidap penyakit juga mengalami masalah lain dalam kehidupan mereka seperti masalah kewangan, termasuk kurang kemampuan untuk bekerja,” katanya.

Setakat ini, Pregabalin merupakan ubat preskripsi pertama yang yang menerima kelulusan FDA Amerika Syarikat bagi Fibromyalgia. Ubat ini berkesan, ia mengurangkan simptom kesakitan, gangguan tidur dan keletihan.

Buat masa ini tiada jalan singkat untuk mengatasi kesakitan yang dialami oleh mereka yang menghidap FM. Ubat-ubatan sahaja tidak akan menghilangkan rasa sakit yang meruncing itu tetapi akan melegakannya apabila ia diambil bersama sesi senaman selepas mempunyai pengetahuan yang secukupnya tentang penyakit ini.

“Selain itu, kumpulan sokongan FM juga merupakan satu lagi pilihan untuk mempercepat faktor ketahui penyakit anda. Memaklumkan para pesakit dan anggota keluarga mereka akan hipersensitiviti terhadap rasa sakit oleh mereka dengan FM, adalah penting. Ia akan membantu pesakit berasa lebih lega dan juga mencuba penawar lain,” demikian syor Dr. Mary. - Bernama.

Menyambut kelahiran si manja

Anda akan tahu bahawa masanya hampir tiba apabila sakit bersalin mula dirasai. Terdapat juga tanda lain, seperti peningkatan lelehan faraj yang kelihatan jernih, berwarna merah jambu atau mengandungi darah. Ini dikatakan 'tanda'.


Sakit bersalin dirasai apabila terdapat kontraksi atau pengecutan yang menyakitkan di dalam rahim. Pada mulanya, rasa sakit akan berlanjutan selama lebih kurang setengah minit dan akan 'melanda' pada selang masa yang tetap kira-kira setiap 10 minit. Kemudian, kontraksi akan berlaku dengan lebih kerap, pada tempoh masa yang lebih panjang, dan pada intensiti yang semakin meningkat. Apabila selang masa antara kontraksi hanya kira-kira empat hingga lima minit, anda hendaklah berangkat ke hospital.

Ini mungkin saat yang paling mencemaskan sepanjang tempoh mengandung. Usah terlalu bimbang. Jika persiapan sudah dibuat rapi, anda pasti dapat menghadapi tahap terakhir kehamilan dengan baik, yang juga menandakan detik untuk menyambut kelahiran penyeri kebahagiaan rumah tangga anda.

Di dalam bilik bersalin

Salah satu perkara yang sepatutnya dibincangkan dengan pakar perbidanan anda ialah kaedah bersalin yang dipilih (contohnya, bersalin secara semula jadi tanpa ubat tahan sakit, atau bersalin dengan bius epidural).

Bagaimanapun, rancangan mungkin berubah jika sesuatu di luar jangkaan berlaku. Sebagai contoh, pakar obstetrik 
anda mungkin perlu memulakan proses bersalin dengan induksi jika bayi dalam kandungan sudah cukup tempoh atau mencepatkan kelahiran jika masa bersalin terlalu panjang, atau memberikan bantuan kelahiran jika anda terlalu penat untuk meneran atau bayi mula lemas.

Kaedah bantuan kelahiran yang biasa adalah episiotomi, kelahiran menggunakan forseps, pengeluaran vakum dan pembedahan. Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang kaedah bantuan kelahiran, berbincanglah dengan individu yang paling sesuai, iaitu pakar obstetrik anda.

Penjagaan selepas bersalin

Badan anda mungkin lebih mudah diserang jangkitan di bahagian luka yang dialami ketika melahirkan anak (contohnya, potongan faraj, episiotomi, potongan caesarean) atau pada selaput uterus. Oleh itu, anda perlu memberi perhatian terhadap kebersihan diri dan penjagaan luka selepas bersalin untuk mengelakkan jangkitan dan pemulihan segera.

Ketahui lebih lanjut tentang kelahiran anak dan penjagaan ibu selepas bersalin dalam buku panduan Menimang Si Manja, terbitan Pengasuhan Positif sempena ulang tahun ke-10. Jika anda berminat untuk membeli buku ini, sila hubungi Sekretariat di talian 03-5632 3301 atau layari www.mypositiveparenting.org.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_06.htm

Kejayaan dan sebuah keperitan




DR. NORDIN sentiasa optimis dalam apa jua keadaan.


DARI cita-cita untuk menjadi arkitek yang terpaksa dilupakan, kemudian bergelar seorang doktor perubatan dan psikiatris sebelum beralih kepada doktor sukan di Majlis Sukan Negara.

Cuba berubah angin dengan mencari rezeki dalam sektor swasta, dalam masa yang sama didiagnos menghidap kanser namun berjaya melawan sel ganas itu dan kini bergelar ahli perniagaan berjaya. Semua itu bagi Pengasas dan Pengerusi Eksekutif WorldWellness Network Sdn. Bhd., Datuk Dr. Nordin Darus merupakan takdir hidup yang telah disusun dengan begitu teliti oleh Yang Maha Esa dan pasti mempunyai hikmah tersendiri.

Berbicara dengan lelaki berusia 56 tahun ini membuatkan sesiapa saja kagum dengan ketabahan yang beliau miliki.
Masakan tidak, pada usia 47 tahun, iaitu sekitar awal April 2001, pengasas mesin terapi air Rx-Water itu disahkan menghidap kanser limfoma atau kanser darah peringkat tiga. Bercerita tentang perasaan yang dialami beliau berkata, sememangnya sukar untuk menerima apatah lagi saat ingin menyampaikan hal itu kepada ahli keluarga lain terutama isteri dan anak-anak.

“Selepas bertemu doktor, sepanjang perjalanan pulang saya menggigil dan bermacam perkara terlintas di fikiran. Bagaimana untuk memberitahu isteri dan anak-anak, bagaimana keadaan mereka andai apa-apa terjadi pada saya nanti?” katanya mengenang detik getir itu.

Merebak

Sebelum disahkan menghidap kanser, Dr. Nordin berkata dia sering berasa tidak sihat, demam, pening dan telinganya seperti digenangi air. Lama-kelamaan masalah itu berlarutan sehinggalah ia menjadi pekak.
Setelah menjalani pemeriksaan teliti, doktor mendapati terdapat ketumbuhan dalam hidung dan lebih serius disebabkan kanser darah, maka ia telah merebak ke seluruh tubuh.

“Doktor yang merawat pun dah bagi harapan 50-50 dan mahu pembedahan membuang ketumbuhan dijalankan segera,” kata beliau.

Tanpa berlengah, pembedahan terus dijalankan dan beliau perlu menjalani rawatan kemoterapi yang cukup memeritkan. Menurutnya, selepas rawatan kali kedua, rambutnya mula gugur dan dia mengalami muntah-muntah yang teruk.

Disebabkan pengambilan steroid untuk menahan sakit selepas rawatan, dia tetap berselera makan dan wajahnya kelihatan berisi sehingga ada yang tidak percaya dia sedang berdepan dengan penyakit yang boleh mengancam nyawa.
“Ketika itu saya sudah mula botak. Jadi bila ada yang bertanya mengapa saya membotakkan kepala, saya hanya bergurau baru pulang dari Mekah,” kata lelaki yang berkebolehan melukis itu.

Penderitaan tersebut membuatkan Dr. Nordin lebih mendekatkan diri kepada Allah. Walaupun sedih dengan apa yang berlaku namun berkat pengalaman dalam bidang perubatan menjadikan lelaki tabah ini berupaya mengawal diri melawan sakit tersebut.

Malah dalam keadaan tertentu, ketika menjalani rawatan dia gemar menyangkal sesetengah nasihat yang diberi doktor yang merawatnya.

“Saya cuba mengkaji apa yang sebenarnya terjadi dan kenapa semakin ramai menderita pelbagai jenis penyakit. Akhirnya saya percaya semua itu berpunca daripada air yang kita ambil sehari-hari,” katanya.

Dari situ, berdasarkan pengetahuan yang dimiliki beliau mencipta satu mesin terapi air untuk kegunaan sendiri dan keluarga. Selepas pengambilan berterusan, Dr. Nordin berasa perubahan terhadap dirinya. Pun begitu, dia tetap meneruskan rawatan kemoterapi seperti yang dijadualkan doktor.

Perubahan itu juga disedari doktor yang merawatnya hinggalah dia disahkan bebas dari sel berbahaya itu pada penghujung 2001.

Saudara dan rakan terdekat yang terkejut dengan perubahan dirinya terus bertanya rahsia beliau kembali sihat dan ingin berkongsi rahsia. Mereka juga minta untuk membeli mesin yang beliau cipta sehinggalah beliau membuat keputusan untuk menjalankan perniagaan Rx-Water bermula sekitar 2002.

“Alhamdulillah, perniagaan kami mendapat sambutan baik daripada semua. Walaupun begitu, pelbagai cabaran telah kami hadapi menjadikan saya semakin kuat serta bersemangat untuk meneruskan hidup. Saya sangat berpuas hati, sekurang-kurangnya kejayaan ini bukan setakat membantu diri sendiri dan keluarga malah menolong orang di luar juga.

“Tekad saya, sebelum menutup mata saya ingin membantu menyembuhkan penyakit sejuta orang dan juga melahirkan sejuta jutawan,” katanya penuh optimis.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Rx-Water, hubungi 03-77887791 atau melayari laman web www.worldwellness.com.my.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_05.htm





Kolesterol tinggi digeruni



Selepas pemeriksaan, kolesterol darah saya didapati berada pada tahap tinggi. Kini saya sedaya upaya memilih makanan sihat. Selain itu apakah nasihat untuk mereka yang mengalami kolesterol tinggi?

JAWAPAN

Masalah kolesterol tinggi bukanlah penyakit tetapi memberi komplikasi yang digeruni iaitu meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular dan strok. Kolesterol berlebihan akan berkumpul dan membentuk plak yang menyumbat dinding arteri. Memandangkan timbunan plak ini terus bertambah dan makin menebal, aliran darah akan menjadi semakin perlahan dan mungkin terhenti.

Bagi mereka yang ingin mengurangkan paras kolesterol, perubahan dari segi gaya hidup dan cara pemakanan harus dilakukan, seperti:

* Mengurangkan berat badan sekiranya anda bermasalah dengan berat berlebihan. Untuk mengurangkan atau mengekalkan berat badan, kita perlu menggunakan kalori berlebihan daripada makanan dan mengurangkan pengambilannya mengikut jumlah yang diperlukan. Ini kerana apabila pengambilannya melebihi daripada tenaga yang digunakan, kalori berlebihan akan ditukar kepada lemak dan mengakibatkan pertambahan berat badan.

* Bersenam secara tetap (sekurang-kurangnya 30 minit senaman tahap sederhana, sekurang-kurangnya 5 kali seminggu) boleh mengurangkan kolesterol total dan kolesterol berbahaya (LDL) serta meningkatkan kolesterol baik (HDL).

* Merangkumi buah-buahan dan sayuran dalam hidangan harian (5 hidangan sehari) didapati boleh meningkatkan kolesterol HDL

* Berhenti merokok sekiranya anda seorang perokok memandangkan merokok boleh merendahkan kolesterol HDL

* Memperbaiki cara pengawalan stres juga sangat dicadangkan.
Semenjak tahun 70-an, red yeast rice didapati berkesan untuk merendahkan LDL, trigliserida dan kolesterol total. Walau bagaimanapun, pilihlah red yeast rice yang dipiawaikan kandungan ekstraknya berbanding dengan yang tidak dipiawaikan yang sukar untuk diramal.

Red yeast rice terhasil daripada fermentasi beras dengan yis merah, yang memberikan warna merah gelap kepada nasi. Ia mengandungi monacolin yang menghalang aktiviti enzim HMG-CoA reductase yang terlibat dalam penghasilan kolesterol dalam tubuh. Dalam ujian ke atas 502 orang pesakit hiperlipidemia, ia didapati dapat menurunkan 17 peratus kolesterol total. Secara purata Kolesterol LDL diturunkan sebanyak 24.6 peratus dan serum trigliserida 19.8 peratus. 

HDL kolesterol meningkat sehingga 12.8 peratus dalam kumpulan rawatan.

Selain itu, vitamin E tokotrienol juga didapati memberi manfaat dalam mengurangkan paras kolesterol total dan jantung secara keseluruhannya.