"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Monday, August 9, 2010

Usus disumbat cacing






BERCAKAP mengenai jangkitan parasit pada usus, walaupun tidak serius diperkatakan seperti beberapa dekad lalu, ia terus menjadi isu dalam kesihatan orang ramai.

Menurut Pakar Parasitologi dan Kesihatan Masyarakat, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Datin Dr. Norhayati Moktar, serangan cacing seperti cacing gelang dan cacing kerawit masih wujud.

Tegasnya, bukan sahaja kanak-kanak, ia turut menyerang orang dewasa terutama dalam kalangan mereka yang tinggal di kawasan setinggan dan perkampungan Orang Asli yang mempunyai masalah pembentungan dan saliran serta air bersih.

Menurut Norhayati, masalah cacing boleh menyebabkan anemia yang serius dan kegagalan jantung yang teruk jika tidak dirawat.

“Dengan adanya cacing tertentu di dalam tubuh seseorang, ia mengurangkan selera makan, mengganggu sistem penghadaman dan penyerapan makanan, kehilangan makanan melalui cirit-birit dan muntah serta gangguan metabolisma.

Masalah jangkitan cacing bagaimanapun tidak terhad pada sejenis cacing sahaja. Jangkitan cacing lain yang sering berlaku adalah cacing gelang dan cacing cemeti.


MESKIPUN saiz cacing kerawit kecil, kemampuannya untuk menjejaskan kesihatan tidak boleh dipandang ringan.



“Cacing kerawit misalnya, paling kerap menyebabkan kekurangan darah kerana ia boleh menghisap darah di dalam usus.

Justeru, masalah kurang darah yang kronik boleh mengganggu tumbesaran dan pembelajaran malah pada tahap lebih serius berupaya menyebabkan kegagalan jantung," katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan, jangkitan cacing gelang (ascaris lumbricoides) adalah yang paling kerap berlaku iaitu membabitkan 1.22 bilion jangkitan, cacing cemeti (triciuris trichiura) 795 juta jangkitan manakala cacing kerawit (amcylostoma duodenale, necator americanus dan ancylostoma ceylanicum) 740 juta jangkitan.

Daripada jumlah itu, 400 juta kes membabitkan kanak-kanak yang mengalami masalah tumbesaran, aktiviti fizikal yang kurang cergas, lemah daya pemikiran dan mengalami masalah pembelajaran.

Serangan cacing di dalam usus ini juga antara penyebab utama sakit abdomen akut di kalangan kanak-kanak di kawasan endemik di negara tropika.


NORHAYATI MOKTAR...infeksi usus dan cacing amat berkait rapat.



“Kajian status pemakanan di kalangan kanak-kanak berumur satu hingga tujuh tahun mendapati pengambilan zat besi adalah rendah dan ia berkait dengan jangkitan cacing,” tambah Norhayati.


Di samping itu, cacing yang dipindahkan melalui tanah seperti ascariasis dan trichuriasis, bukan sahaja terjadi pada kanak-kanak sekolah malah jangkitan cacing kerawit juga kerap terjadi pada orang dewasa.

“Ia turut berkait rapat dengan masalah buta malam sekiranya kanak-kanak tersebut mengalami infeksi parasit usus,” maklum Norhayati.


KEADAAN cacing gelang yang menyumbat saluran usus seorang pesakit.



Norhayati berkata, larva cacing kerawit juga boleh menembusi kulit dan masuk ke dalam saluran darah dan seterusnya masuk ke dalam usus dan meneruskan kitar hidup yang sama.

“Sudah sampai masanya kita mengubah tanggapan bahawa cacing adalah masalah kecil.

“Tanpa pencegahan dan amalan kebersihan, cacing boleh menyebabkan maut jika terjadi masalah usus tersumbat dan tidak dirawat dengan segera,” tegas Norhayati.

Saturday, August 7, 2010

Kekal cantik walau menyusu

Eh, tak malukah?” tanya seorang teman. Dia bertanya begitu ketika membelek-belek album gambar saya yang sedang menyusukan bayi di kawasan tempat duduk kompleks membeli-belah. Mungkin gambar menyusu di tempat duduk kawasan orang lalu-lalang itu sedikit membuatkan dia rasa tidak selesa.

Dengan selamba saya menjawab; “Mengapa pula perlu malu? Rasa bangga adalah.”
Entah apa sebabnya, menyusu bayi bagi kebanyakan ibu kini menjadi antara perkara yang memalukan mereka. Lebih mengecewakan, ada yang menganggap menyusu di khalayak kelihatan selekeh, tidak cantik dan kolot.

Menyusu terlalu lama (sehingga anak melebihi usia dua tahun) juga kata mereka menyebabkan payu dara cepat mengendur, sekali gus menjejaskan penampilan.

Sejauh mana fahaman mereka dalam hal itu, saya percaya semua disebabkan oleh kurangnya pengetahuan dan sokongan daripada orang sekeliling.

Apa yang pasti, menyusu sememangnya mempunyai banyak manfaat kepada ibu dan bayi sama ada dari segi kecantikan, kesihatan, mental serta emosi.


Payu dara kendur?

“Pandangan itu tidak benar sama sekali,” kata Kaunselor Laktasi dari Pusat Perubatan Prince Court, Chuah Pek Chin.

Beliau yang telah lebih 30 tahun terlibat dalam bidang perbidanan berkata, menyusu tiada langsung kaitan dengan payu dara kendur dan ‘mahkota’ wanita itu tetap berubah bentuknya apabila sampai masanya.

Perubahan bentuk payu dara, katanya, disebabkan rangkaian tisu-tisu pada bahagian itu lemah sejajar dengan peningkatan usia.

Malah wanita yang tidak pernah menyusukan sekali pun akan mengalami pengenduran payu dara lebih awal sekiranya mereka tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat termasuk bersenam.

Bagi Pek Chin, menyusu sebenarnya mempunyai seni tersendiri. Ibu-ibu katanya, perlu tahu cara yang betul melekap bayi ke payu dara, barulah penyusuan akan berjaya.

Ibu-ibu yang menyusu juga sebenarnya memiliki payu dara yang lebih cantik dan penuh. Pemakaian coli yang sesuai untuk menyokong payu dara yang penuh amat membantu dalam mengekalkan bentuknya.

Bagaimanapun katanya, selepas bercerai susu ibu-ibu akan mendapati payu dara mereka sedikit ‘jatuh’ daripada biasa.

“Namun beberapa bulan selepas itu, hormon akan kembali stabil dan mereka perlu melakukan senaman untuk membuatkan ia kembali kepada bentuk asal,” kata Pek Chin yang pernah berkhidmat di Eropah dan Singapura.

Tambahnya lagi, menyusu sememangnya mempunyai banyak kebaikan kepada ibu dan bayi.
Tentu sekali faktor kecantikan fizikal antara tarikan yang sepatutnya diambil berat oleh mereka yang ingin menyusukan bayi.

Menurutnya, daripada sesi bual bicara selepas bersalin yang beliau hadiri, ramai ibu mengaku menyusu membantu mereka kembali langsing secara semula jadi dengan pantas.

“Lemak-lemak berlebihan yang tersimpan dalam badan akan dibakar ketika menyusu. Bukankah ini antara
bentuk senaman yang paling mudah dilakukan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, ibu-ibu perlu memastikan berat badan yang ideal sepanjang mengandung iaitu tambahan hanya sekitar 11 hingga 15 kilogram. Ini amat penting dalam usaha mendapatkan bentuk badan yang diingini selepas kelahiran kelak. Pengambilan makanan yang seimbang dapat membantu, begitu juga dengan senaman.

“Menyusu dapat mengurangkan risiko obesiti jangka masa panjang,” katanya.
Bagi mengekalkan kesihatan ibu sepanjang menyusukan bayi, Pek Chin menyarankan agar mereka melakukan senaman ringkas seperti berjalan, regangan ringan dan senaman lantai sejurus badan kembali selesa (empat atau lima hari selepas bersalin).

Selepas enam hingga lapan minggu, mereka sudah boleh melakukan senaman berat seperti aerobik.

Tiada pemakanan khas diperlukan oleh ibu dalam menjayakan sesi penyusuan mereka. Yang paling utama adalah pengambilan makanan berkhasiat dan lengkap dengan pelbagai vitamin.

“Jika seorang dewasa memerlukan 2000 kcal setiap hari, ibu mengandung pula memerlukan tambahan antara 300 hingga 500 kcal lagi,” kata beliau.

Menurutnya, sebanyak 700 hingga 800 kcal diperlukan untuk pengeluaran susu yang mana 500 kcal
diperolehi daripada diet harian. Manakala 250 hingga 300 kcal lagi daripada penyimpanan lemak dalam badan.


Bagi ibu yang obes atau mempunyai berat badan berlebihan pula katanya, mereka tidak memerlukan kalori tambahan.

Pengambilan air yang mencukupi amat penting dalam penghasilan susu. Bagaimanapun kata beliau, meminum susu tidak bererti memperbanyakkan susu badan. Yang paling utama adalah pengambilan cecair bagi menggantikan air yang hilang melalui penyusuan.

“Ibu menyusu perlu mengambil banyak sayur segar, produk tenusu rendah lemak, daging merah dan juga protein,” katanya.

Pengambilan kafein pula katanya perlu dihadkan antara satu atau dua cawan saja sehari, itu pun selepas menyusukan bayi. Jika tidak, bayi akan meragam dan tidak selesa.

Mengenai pengambilan suplemen pula, Pek Chin berkata sebenarnya ia tidak perlu jika kita mengambil makanan yang berkhasiat. Namun, ibu-ibu boleh meneruskan pengambilan suplemen yang dipreskrip doktor atau juga mencuba petua bergantung kepada keselesaan mereka.

“Walaupun begitu, vitamin B6 diketahui mampu meningkatkan pengeluaran susu,” jelasnya.
Bagi ibu yang mengamalkan vegetarian pula, mereka mungkin mengalami kekurangan vitamin B12 yang terkandung dalam protein haiwan. Oleh itu, mereka perlu mengambil suplemen tambahan mengikut panduan
yang diberikan pakar.

Susu ibu tidak dihargai


Segelintir pula terutama di kalangan ibu muda merasa malu untuk memberikan anak mereka susu badan lebih-lebih lagi ketika berada di luar rumah


Susu ibu, anugerah dari Tuhan untuk anak yang mempunyai pelbagai khasiat. Ia diperlukan bagi melengkapkan tumbesaran seseorang bayi.

Setakat Julai ini, rekod budaya penyusuan ibu mencatatkan hanya 14 peratus bagi kaum ibu di Wilayah Persekutuan memberikan susu badan kepada bayi mereka dalam tempoh enam bulan pertama
kelahiran.

Walaupun rekod itu sedikit meningkat berbanding hanya 12 peratus pada 2007, 2008 dan 2009 di negeri sama, namun ia masih belum membanggakan.

Lebih tepat, statistik itu menyedihkan seolah-olah kebanyakan ibu tidak menghargai anugerah Tuhan itu kepada kaum ibu terutama ibu muda zaman ini.

Justeru, sempena Minggu Penyusuan Ibu Sedunia pada 1 hingga 7 Ogos ini, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Penasihat Penyusuan Ibu Malaysia (PPPIM), akan membantu memupuk kesedaran dan pengetahuan di kalangan ibu yang mempunyai bayi supaya aktif memberikan susu badan.

Misinya untuk menggalakkan budaya penyusuan badan supaya ia mampu melahirkan generasi lebih sihat pada masa depan.

Seorang ahli PPPIM yang juga bekas Ketua Jururawat Hospital Pusrawi, Marjinah Badli berkata, pada
zaman moden ini, budaya memberi susu badan kepada bayi sering 'dipandang sebelah mata' di kalangan ibu yang baru melahirkan anak.

Katanya, hasil kajian yang dijalankan PPPIM menunjukkan kurangnya kesedaran dan pengetahuan mengenai kepentingan atau kelebihan susu ibu adalah faktor utama mengapa seseorang tidak aktif memberikan susu badan.

Marjinah berkata, ada yang enggan memberikan susu badan kerana tidak tahan dengan cabaran seperti rasa
sakit apabila menyusukan bayi dan tiada masa akibat terlalu sibuk menjalankan rutin seharian.

"Segelintirnya pula terutama di kalangan ibu muda merasa malu untuk memberikan anak mereka susu badan lebih-lebih lagi ketika berada di luar rumah.

"Kebanyakan klinik swasta, tempat kelahiran bayi, akan memberi promosi susu tepung bayi secara percuma
untuk tempoh tiga hingga enam bulan.


"Semua ini menyebabkan ibu lebih selesa dan tertarik untuk memberikan susu tepung kepada bayi mereka walaupun susu ibu adalah imunisasi pertama paling penting yang seharusnya diterima tubuh bayi selepas dilahirkan," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut Marjinah, bagi menggalakkan penyusuan badan, PPPIM pada tahun ini menggunakan pendekatan baru dengan memberikan khidmat nasihat dalam soal menyebarkan maklumat mengenainya.

Jelasnya, pada tahun sebelum ini, PPPIM sering menganjurkan acara di beberapa kawasan sasaran seperti di
Putrajaya untuk menghebahkan maklumat berhubung kebaikan penyusuan badan kepada masyarakat.

Pendekatan PPPIM pada tahun ini adalah menghantar ahlinya yang terlatih untuk menyertai acara yang
dianjurkan pusat perubatan dan hospital kerajaan serta swasta bagi mendidik pegawai perubatan di situ mengenai soal penyusuan badan.

"Didikan kami termasuk kepentingan susu ibu, cara betul menyusu serta faedah kepada ibu dan anak.
"Ada pakar dan doktor perubatan yang mengemukakan banyak persoalan kepada kami mengenai kebaikan sebenar penyusuan ibu kerana selama ini mereka tidak mengetahuinya.

"Harapan kami, dengan usaha yang kami jalankan tahun ini, ilmu itu dapat dikongsi bersama ibu yang melahirkan anak sekali gus menggalakkan lebih ramai yang aktif memberi susu badan," katanya.

Selain itu, Marjinah menasihatkan kaum ibu yang mempunyai bayi untuk turut bersama-sama menjayakan Minggu Penyusuan Ibu Sedunia bagi menggalakkan budaya berkenaan dalam masyarakat negara ini.

 "Bagi saya, dengan segala kemudahan dan kelengkapan termasuk sudut penyusuan ibu di pusat membeli-belah, pam susu badan serta baju khas untuk ibu menyusukan badan yang ada ketika ini, tiada alasan kepada seseorang untuk tidak memberikan susu badan kepada bayi mereka," ujarnya.

Vitamin C serikan wajah




Wajah yang berseri adalah daripada kulit sihat yang mampu membias atau memantulkan cahaya 'dari dalam'.
Secara prinsipnya cahaya yang menembusi lapisan kulit akan dipantulkan semula dengan sempurna apabila kulit dalam keadaan baik, licin dan kelembapannya seimbang.


Pantulan cahaya yang dipantulkan sekata akan menzahirkan wajah yang cantik dan berseri-seri.

Cahaya tidak boleh menembusi kulit secara efektif jika ia kering atau berminyak. Pada kulit yang kering, lapisan sel-sel kulit mati akan memantulkan cahaya ke pelbagai arah menyebabkan wajah nampak kusam dan suram.

Begitu juga pada kulit yang agak matang, di mana pantulan cahaya tidak sekata kerana ia terperangkap pada garis-garis halus dan kedut.

Pengeluaran sebum berlebihan pada kulit berminyak pula membentuk lapisan yang menyekat permukaan kulit. Ia menghalang penyerapan cahaya. Sebaliknya cahaya dipantulkan terus dari permukaan kulit hingga membuatkan wajah kelihatan berkilat.

Apa pun keadaan tersebut bukan sesuatu yang tidak boleh diatasi. Malah dengan rawatan penjagaan kulit menggunakan The Body Shop Vitamin C, membantu mengembalikan keserian kulit, selain wajah kelihatan cantik, halus, sekata dan mengekalkan kelembapan.

Paling penting produk tersebut mengandungi vitamin C semula jadi bagi membantu memperbaiki kesihatan kulit dan mengembalikan seri wajah.

Sifat vitamin C yang merupakan antioksida semula jadi paling berkesan membantu melindungi kulit daripada radikal bebas akibat pencemaran alam sekitar dan asap rokok.

Vitamin C akan bertindak menuteralkan radikal bebas yang merosakkan sel-sel kulit.
Rangkaian penjagaan kulit Vitamin C ini diperkaya dengan bahan semula jadi dikenali sebagai buah camu camu yang diperoleh dari hutan hujan Amazon.


Buah berwarna merah seperti ceri itu kaya dengan kandungan vitamin C, lebih tinggi daripada vitamin C dalam  acerola yang dikenali sebagai superfood.

Untuk rangkaian penjagaan kulit The Body Shop Vitamin C itu, ia turut diperkaya dengan kandungan semula jadi lain seperti aloe vera, mentega shea dan minyak kacang Brazil.

Rangkaian ini mengandungi lapan produk istimewa iaitu, Radiant Skin Microdermabrasion dengan butiran
halus berfungsi untuk pengelupasan lapisan kulit mati. Facial Cleansing Polish pula diperkaya dengan jojoba bagi membersih wajah dengan kandungan buah camu camu dan aloe vera yang menyamankan.

Ini diikuti dengan Energising Face Spritz, yang menyegar dan melembutkan kulit. Produk lain bersama rangkaian ini termasuk Facial Radiance Powder Mix, Facial Radiance Capsules, Skin Boost, Eye Reviver Duo dan Daily Moisturiser SPF30.

Rahsia jamu gendong


Para peserta Seminar Amalan Makan Jamu dan Cara Penyediaan Jamu Gendong dari Malaysia mencuba jamu yang disediakan oleh salah seorang pekerja Ibu Lugu Murni.


Dalam soal kecantikan, sebahagian besar wanita bersedia melakukan apa sahaja demi memastikan diri kelihatan anggun dan berseri.

Ini termasuk pengambilan jamu, kaedah tradisional yang diamalkan sejak turun-temurun di kalangan masyarakat Nusantara untuk merawat kecantikan dari dalam tubuh.

Di negara jiran Indonesia, pengambilan jamu merupakan amalan biasa di kalangan penduduknya khususnya wanita.

Antara yang popular di sana ialah Jamu Gendong yang digemari oleh setiap lapisan masyarakat daripada golongan atasan hingga kepada masyarakat biasa.

Bertujuan mengenali lebih dekat mengenai Jamu Gendong, Persatuan Usahawan Wanita (Usahanita) Wilayah Persekutuan dengan kerjasama rakan dari Indonesia, Astad Adleenz telah menganjurkan seminar mengenai amalan makan jamu dan cara penyediaan Jamu Gendong di Jogjakarta, Indonesia, baru-baru ini.

Seminar yang berlangsung selama empat hari ini itu juga turut memberi pendedahan tentang cara pemakanan jamu yang betul.

Dalam seminar tersebut, peserta juga diajar bagaimana membuat jamu dengan betul bagi mendapatkan hasil yang terbaik.

Menurut pengasas jamu jawa tradisonal, Lugu Murni, pengambilan jamu di kalangan masyarakat Indonesia diamalkan sejak kecil sehingga mereka meningkat dewasa.

''Lebih mengujakan bukan wanita yang bersalin sahaja makan jamu, malah bayi turut diberikan jamu yang dihasilkan bersesuaian dengan usia mereka,'' ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai situasi itu, beliau menjelaskan, pengambilan jamu kurang popular di Malaysia kerana sebahagian masyarakat negara ini mengambil sikap sambil lewa soal kesihatan dalaman badan.

''Secara umumnya, jamu ialah penawar tradisional dari Indonesia yang diperkaya dengan campuran pelbagai jenis herba.

''Ia diperbuat daripada bahan-bahan semula jadi khususnya tumbuh-tumbuhan yang mempunyai khasiat tersendiri antaranya akar-akar pokok, daun, kulit, batang dan buah," katanya yang berpengalaman hampir 30 tahun dalam pembuatan jamu.

Bercerita tentang Jamu Gendong yang begitu popular di kalangan masyarakat Indonesia, kata Lugu, ia dipanggil Jamu Gendong kerana si penjualnya akan mengendong (dukung) bahan-bahan jualannya dengan
mengikatnya menggunakan kain batik.

Penjualnya kebiasaan adalah kaum ibu yang akan berjalan memasuki kawasan-kawasan perumahan atau di sekitar kampung sambil tangan memegang bakul yang berisi air dan gelas.

Namun dengan adanya pelbagai kemudahan moden pada hari ini semakin ramai yang menjual jamu ini menggunakan motor atau kereta roda.

"Walaupun cara jualannya sudah banyak berubah khasiat jamu masih tetap sama.

"Jamu Gendong ini sebenarnya mempunyai 1,001 khasiat untuk tubuh badan.

''Sebagai contoh jamu beras kencur (cekur) membantu memudahkan kelancaran darah, menghilangkan keletihan serta menambahkan daya tahan tubuh badan agar sihat dan segar,'' terangnya bersungguh.

Terangnya lagi, beras kencur mempunyai perisa yang manis kerana diadun menggunakan asam jawa, gula merah dan air.

Selain beras kencur, jenis Jamu Gendong lain seperti kunyit asem, sinom, cabe puyang, pahitan, kunci suruh, kudu laos, dan uyup-uyup.

Setiap jenis jamu tersebut mempunyai khasiat tersendiri bergantung kepada bahan-bahan herba yang digunakan.

"Bagi wanita yang mempunyai masalah keputihan mereka disaran mengambil jamu kunci suruh.
''Biarpun rasanya amat pahit namun ia mampu memberikan kelegaan selepas diminum.

''Bagi masalah jerawat pula ekstrak daun senduk, hempedu bumi, pegaga, kunyit dan temulawak mampu membantu mencegah dan mengubatinya. Pada masa yang sama ia menyembuhkan parut-parut jerawat,'' ujarnya lagi.

Menurut Lugu lagi , sebahagian wanita yang mengalami rasa ngilu, perut memulas dan senggugut semasa haid, jamu yang diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan seperti Kudus Laos.

Ceritanya lagi, dalam menghasilkan jamu, semua bahan mestilah mempunyai kesegaran bagi memastikan kualiti terjamin.

''Ada dua cara membuat Jamu Gendong iaitu direbus atau ditumbuk menggunakan lesung kemudian bahan tadi diperah, manakala pati perahan dicampur dengan air suam,'' ujarnya.

Bagaimanapun nenek yang berusia 86 tahun itu menjelaskan kesemua bahan-bahan tersebut di tumbuk menggunakan lesung dan tidak menggunakan mesin bagi memastikan keaslian bahan-bahan tersebut.