"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, August 7, 2010

Rawatan semula jadi BPH


PUNCA BPH masih tidak diketahui tetapi penyelidikan mendapati ia mungkin disebabkan oleh perubahan hormon akibat peningkatan umur.

Menurut Institut Diabetes, Pencernaan dan Pen yakit Buah Pinggang Kebangsaan Amerika Syarikat, prostat yang membesar adalah masalah paling biasa dialami lelaki berusia 50 tahun ke atas. Nama lain untuk prostat yang membesar adalah hyperplasia prostatik benigna (BPH).
Apabila prostat membesar, lapisan tisu di bahagian luar kelenjar prostat akan menghalang ia daripada terus berkembang sehingga menghimpit salur kencing. Ini kerana kelenjar prostat mengelilingi salur kencing dan pembesaran prostat akan memberi kesan pada salur kencing. Dinding pundi kencing mula menebal dan pundi kencing menjadi lebih sensitif menyebabkan ia akan mula mengecut walaupun hanya mengandungi sejumlah kecil air kencing di dalamnya.

Lama-kelamaan, pundi kencing akan menjadi lemah dan hilang keupayaan untuk mengosongkan pundi kencing sepenuhnya. Penyempitan salur kencing dan pengosongan sebahagian pundi kencing menyebabkan pelbagai masalah yang dikaitkan dengan BPH.

Pilihan rawatan semulajadi

Terapi air: mandian Sitz

Mandian Sitz adalah bentuk terapi air, mungkin bermanfaat untuk melegakan simptom BPH. Mandian Sitz merehatkan otot-otot licin dalam kelenjar prostat, meredakan pengecutan pada salur kencing dan pangkal salur kencing sekali gus meningkatkan aliran darah ke bahagian pelvik.

Prosedur ini amat murah dan hanya mengambil masa kira-kira 20 minit bagi memberi hasil yang memberangsangkan dalam masa beberapa hari. Apa yang anda perlukan:

1. Dua takungan besar yang muat untuk anda duduk dalamnya.

2. Garam Epsom (magnesium sulfat) - boleh didapati di kebanyakan farmasi.

3. Jangka suhu yang boleh direndam ke dalam air

4. Jam (untuk melihat minit)

Prosedur Mandian Sitz untuk Prostat

Tujuan mandian Sitz adalah untuk memberikan perubahan suhu secara berselang-seli ke bahagian prostat.

Proses pemanasan dan penyejukan, digabungkan dengan kesan daripada garam Epsom, boleh memberi
kesan yang jelas kepada saluran kecil yang terdapat dalam prostat yang membesar.

1. Isikan satu takungan dengan air panas. Gunakan air dengan suhu sekurang-kurangnya 50 darjah Celcius. Campurkan dua ke tiga sudu garam Epsom ke dalam takungan air tersebut.

2. Isikan takungan kedua dengan air paip yang sejuk.

3. Mulakan dengan meletakkan takungan air panas di atas mangkuk tandas dan duduk di dalamnya. Bongkok ke depan, depangkan kaki sedikit agar bahagian punggung dan prostat dapat terendam sepenuhnya. Gerakkan air panas tersebut dengan menggerakkan bahagian bawah badan ke depan dan ke belakang secara perlahan-lahan. Tambah air panas jika perlu untuk mengekalkan suhu air. Duduk di dalamnya selama kira-kira 6 minit.

4. Tukarkan air panas tersebut dengan air sejuk dengan menukar takungan. Duduk selama 1 minit dalam takungan air sejuk kemudian ulang semula proses ini dengan air panas dan air sejuk tiga kali. Tambah lagi air panas ke dalam takungan air panas jika suhu menurun terlalu banyak.

Wajah geleber tegang semula

Wajah geleber tegang semula


PEMBENTUKAN wajah sebelum dan selepas laser lipolisis.


SAYA bertemu ramai wanita berusia 40-an yang merungut kerana bentuk wajah asal telah berubah menjadi kurang menarik.

‘‘Doktor, tengoklah muka saya. Pipi saya kembang manakala dagu pula berlapis. Saya nak muka yang kecil dan bujur. Doktor tolonglah betulkan semula wajah saya,’’ rayu Puan Iza.

Wanita itu menambah, dahulu wajahnya kecil dan dagu pun runcing tetapi sekarang segala-galanya berubah menyebabkan dia berasa rendah diri. Keadaan itu juga menyebabkan dia tidak dapat menggayakan pelbagai fesyen tudung terbaru yang ada di pasaran.

Bentuk muka berubah apabila usia bertambah. Pipi yang sepatutnya terletak sebaris dengan hidung akan melendut ke bawah. Kelopak mata akan menjadi berat dan menurun membentuk eye bag. Kening juga menjadi berat dengan pengumpulan lemak di bawah kulit dan ini turut menyebabkan mata menjadi kecil dan sekan tertutup.

Pendek kata segalanya mengecut. Pemakaian tudung yang ketat turut menyebabkan bentuk wajah berubah dan bertumpu ke depan. Wajah menjadi sangat bulat dan pipi pula menonjol ke depan. Apabila tersenyum mata pun seakan tertutup kerana pipi yang terlalu bulat. Oleh itu saya menasihatkan wanita agar memakai tudung yang sederhana dan tidak terlalu ketat bagi mengelak perubahan pada bentuk wajah.

Bentuk wajah juga penting bagi menyerlahkan penampilan seseorang. Apabila usia meningkat tidak dapat dinafikan bentuk wajah berubah menjadi lebar tidak kira bagi lelaki atau perempuan. Masalah ini dapat dipulihkan semula dengan kaedah rawatan yang betul.

Muka kita terbentuk daripada tulang tulang tengkorak yang menjadi acuan kepada pembentukannya. Tulang tulang utama yang menjadi asas pembentukan muka adalah tulang mandible iaitu rahang. Jika tulang rahang terlalu besar muka akan tampak empat segi.

Tulang lain adalah tulang mastoid yang bersambung pada tulang mandible. Tulang mastoid dapat dirasa jika kita menyentuh belakang telinga akan terasa seperti satu benjol di situ. Di dalam tulang mastoid inilah terdapatnya sebahagian daripada organ telinga yang penting. Tulang-tulang maxilaary yang membentuk pipi adalah mustahak bagi menentukan pembentukan pipi kita. Jika ia terlalu kecil pipi akan tampak kecut.

Sebahagian daripada tulang cranium, pula membentuk dahi. Pada kawasan orbit mata pula terdapat percantuman antara tulang-tulang kecil . Tulang pada hidung terdiri daripada tulang rawan yang lembut.

Bagi melengkapkan struktur muka, terdapat juga otot-otot muka yang membantu kita memberi reaksi dan riak wajah. Seseorang yang marah, sedih, gembira dan mengantuk misalnya dapat di kesan melalui riak wajahnya.

Begitu juga wajah seseorang yang meminta simpati. Garis-garis muka yang tertentu memberi raksi wajah tertentu. Reaksi sebeginilah yang digunakan oleh para pelakon bagi mempamerkan mutu lakonan yang mempersonakan. Ekspresi wajah amat penting dalam kehidupan seharian. Kerlingan mata sahaja sudah cukup untuk memberitahu maksud yang tersirat di dalam hati tanpa perlu kita bersuara. Jelaslah bahawa ekspresi wajah adalah salah satu cara komunikasi yang berkesan sesama manusia.

Apabila seseorang itu gembira otot-otot pada pipi dan mulut akan bekerja bagi mempamerkan senyuman. Bila bersiul otot buccinators akan bekerja. Jika mengerutkan dahi pula kita menggunakan otot frontalis. Bila kita makan otot mengunyah yang bernama maseter akan mengerakkan rahang. Seseorang yang mengalami kelumpuhan otot sebagaimana yang dilihat pada pesakit strok atau angin ahmar sudah tentulah gagal melakukan semua pergerakan ini kerana otot-otot muka menjadi lumpuh.


Di atas lapisan otot terdapat lapisan lemak yang membalut muka, selepas itu barulah di lapik pula kulit. Muka seolah-olah tergantung pada tulang tegkorak kita. Apabila kita meningkat usia ia akan semakin melendut disebabkan tarikan graviti. Pada masa ini kulit akan lebih kendur dan turun di kawasan dagu dan pipi kiri kanan dagu. Lemak-lemak pula akan mengisi ruang kosong tersebut lalu wajah mula kelihatan lebar dan dagu mula berlapis. Masalah ini terjadi disebabkan oleh kejatuhan lemak muka. Lemak pada muka yang berlebihan akan turun dan mengisi ruang pada bawah dagu dan juga pipi menyebabkan bentuk muka menjadi besar kerana berlemak.


Bagi mereka yang berwajah bujur atau sangat kurus, masalah ini tidak ketara. Namun bagi mereka yang berisi dan wajah pula berbentuk bulat maka ia menjadi satu fenomena yang menghodohkan wajah. Kehadiran lemak yang terlalu banyak menjadikan wajah tampak bengkak dan bentuknya tidak menarik. Tambahan pula apabila usia meningkat 40-an kesan pengurangan hormon membuatkan air berkumpul dalam kulit dan kelihatan lebih bengkak.


Namun teknologi baru boleh mengatasinya. Wajah yang bulat boleh dibentuk semula menjadi bujur dan dagu yang berlapis boleh dibuang lemaknya. Begitu juga pipi yang menonjol boleh dicantikkan semula. Kedudukan pipi juga boleh diangkat semula dengan teknik serdev. Laser lipolisis adalah kaedah yang baik bagi pembentukan wajah. Laser jenis ini akan menghancurkan lemak dan merangsang sel-sel kulit longgar menjadi ketat semula.


Bagaimana laser lipolisis bertindak?


Laser merupakan satu jalur cahaya dengan jarak gelombang yang tertentu. Jarak gelombang ini membolehkan pancaran laser menembusi sel-sel lemak dan menukarkannya menjadi cair. Tenaga laser yang kuat bertindak dengan sangat selektif. Ia hanya memecah lemak tanpa mengganggu sel-sel lain. Justeru ia selamat digunakan dan akan menyebabkan pengecutan dalam jalinan kolagen. Ini menjadikan kulit ketat dan tegang semula.

Penggunaan laser seperti ini adalah selamat, cepat dan hasilnya dapat dilihat dalam jangkamasa yang singkat. Perubahan pada wajah menjadi lebih ketara selepas seminggu. Selepas sebulan wajah menunjukkan perubahan yang menakjubkan. Dalam tempoh tingga hingga lima bulan pula seseorang kelihatan lebih muda dan berseri-seri.

Proses laser

* Wajah akan dibersihkan dengan povidone iodine dan disapu dengan krim bius. Selepas satu jam krim akan mula bertindak. Doktor akan menandakan kawasan yang akan dirawat.

* Suntikan ubat bius di buat.

* Laser dimasukkan ke bawah kulit dan dipancarkan, lemak akan bertukar menjadi air.

* Selepas seminggu wajah akan menjadi lebih baik
Perubahan akan dilihat beransur-ansur dan dalam masa dua minggu wajah kelihatan menarik dan terbentuk semula.

Kelebihan rawatan

* Tidak menyakitkan

* Tidak perlu masuk ke hospital untuk menjalani rawatan

* Hasil yang baik

* Tiada parut yang merosakkan kulit.

* Boleh pergi bekerja seperti biasa sejurus menjalani rawatan

* Satu rawatan sahaja sudah berkesan tidak perlu berkali-kali melakukannya.

* Selepas rawatan tiada kesan bengkak yang ketara.

Laser atasi masalah jerawat

Oleh NORAINI ABD. RAZAK






JERAWAT? Bukankah topik itu sering ditulis. Itu antara reaksi apabila dimaklumkan topik Kesihatan minggu ini.
Memang perihal jerawat terlalu kerap diperkatakan.

Namun dunia perubatan masih gagal mencari penyelesaian sebenar kepada masalah jerawat.


Pelbagai teknik dan kaedah rawatan digunakan termasuk pendekatan tradisional namun jerawat terus menghantui bukan saja golongan remaja, malah orang dewasa tidak terlepas daripada masalah tersebut.

Pertemuan dengan Sabihah Sharifuddin melonjakkan lagi keinginan untuk mencari jawapan penemuan terbaru untuk mengatasi masalah tersebut.

Gadis berusia 25 tahun itu mengalami masalah jerawat teruk. Kulit wajahnya dipenuhi jerawat bersaiz besar dan berwarna kemerahan sehingga menimbulkan rasa tidak selesa kepada gadis itu.

Ketika ditemui Sabihah ditemani ibu dan kakaknya. Menurut ibunya, kulit anak gadisnya dahulunya mulus dan cantik. Namun segala-galanya berubah apabila Sabihah melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di pantai timur.

Kulit wajahnya mula ditumbuhi jerawat. Bukan jerawat kecil atau jerawat pasir tetapi jerawat bersaiz besar yang melarat ke seluruh muka. Kulit Sabihah menjadi kemerah-merahan. Masalah tersebut mengganggu kehidupan gadis itu selama tiga tahun.


Dia pernah berjumpa doktor untuk merawat jerawat yang tidak pernah ‘penat’ menata wajahnya. Pelbagai krim diberi, tetapi masalah tersebut reda seketika dan tumbuh balik selepas beberapa hari.


Pendedahan mengenai kaedah laser untuk merawat jerawat menarik perhatian ibu kepada gadis tersebut. Dia membawa anaknya bertemu dengan Dr. Shaharom Sulaiman di Thalia Clinic, Kuantan, Pahang baru-baru ini.


Inisiatif tersebut bertolak daripada rasa simpati terhadap masalah jerawat anaknya yang tidak pernah surut sementelah Sabihah kini mula bekerja. Kerjayanya pula menuntut bertemu dan berurusan dengan orang ramai.


Kunjungannya ke klinik tersebut pada mulanya sekadar mendapat khidmat nasihat daripada perunding di situ, Vivi Sumanti Ab. Rahim.

Langkah

Ibu Sabihah mengakui hanya mengetahui mengenai kaedah laser menerusi sisipan Kesihatan Mingguan Malaysia dan terus mengambil langkah segera berkunjung ke klinik berkenaan.

Vivi memberi penjelasan satu persatu berkaitan penggunaan laser untuk merawat masalah Sabihah. Dia mencadangkan supaya gadis yang mula berkecimpung dalam bidang pemasaran di ibu kota itu supaya mencuba dahulu rawatan di klinik tersebut.

Sebagai perunding, Vivi menunjukkan kes-kes yang pernah dirawat di klinik tersebut dan berjaya mendapatkan hasil terbaik. Beliau turut menasihatkan Sabihah supaya mematuhi ‘pantang-larang’ selepas menjalani rawatan kelak.

Ketika ditemui, Vivi menjelaskan maksud pantang-larang.
‘‘Sapu sunblock, gunakan payung, jangan terlalu terdedah kepada panas (terutama mereka yang selalu memasak) dan paling penting jangan gunakan kosmetik atau produk kecantikan sembarangan,’’ katanya.

Nasihat beliau lagi, kesemua ‘pantang-larang’ itu sebenarnya harus menjadi amalan berpanjangan dalam keadaan cuaca semakin panas terutama di pantai timur.

Dr. Shaharom ketika diminta mengulas lanjut masalah kulit muka Sabihah tidak menolak ia berpunca daripada masalah cuaca panas dan sedikit tekanan selain faktor pemakanan.

Lebih daripada itu, masalah jerawat juga disebabkan ketidakseimbangan hormon selain tidak meminggirkan faktor genetik.

Beliau menarik perhatian betapa masalah jerawat amat berkait-rapat dengan kecantikan paras wajah. Ia bukan saja membelenggu golongan remaja malah ramai orang dewasa yang mempunyai masalah jerawat.

‘‘Jerawat bukan sahaja menyebabkan kulit kelihatan tidak cantik, malah jika sudah sembuh , bekas parut jerawat juga menjadikan kulit tidak halus dan berlekuk-lekuk,’’ katanya ketika ditemui di Kuantan baru-baru ini.

Selain kulit muka, Dr. Shahrom menambah, masalah jerawat turut berlaku pada bahagian belakang badan dan dada.Bagi kes Sabihah, beliau yang terkenal dengan kaedah rawatan menggunakan laser mencadangkan SP

Dynamis (Fatona). Kesan awal rawatan tersebut adalah menghalang jerawat baru tumbuh dan ia boleh dilihat
seminggu selepas rawatan. Bagi tempoh seterusnya, jerawat sedia ada akan dirawat untuk memastikan ia pulih sepenuhnya termasuk menghilangkan kesan lekuk pada bahagian muka.

Dr, Shaharom pernah mengikuti kursus dan program perubatan estetik di Dubai dan Hong Kong selain menduduki peperiksaan anjuran American Laser Association.

Sunday, July 11, 2010

Penyelesaian inkontinens urinari


MEREKA yang obes perlu menurunkan berat badan mereka sebelum mendapatkan rawatan.


LEE, 41, tidak pernah mengerti mengapa dia kerap membuang air kecil sama ada ketika memandu ke tempat kerja atau bersama keluarga semasa membeli-belah dan bersenam di gimnasium. Wanita itu sering dihantui perasaan perlu melegakan pundi kencingnya.


"Kadang-kadang saya rasa lebih banyak masa diperlukan ke tandas daripada bersenam," kata beliau.


Sementara itu, ibu kepada seorang anak, yang hanya mahu dikenali sebagai Rohaiza, 29, berkongsi pengalaman yang sama. "Bila berada di kompleks beli-belah, rasa stres bila terasa nak buang air kecil , lebih-lebih lagi apabila terpaksa menunggu giliran," katanya.


Rohaiza mula perasan perubahan pada dirinya selepas setahun dia melahirkan anak. Beliau mengalami rasa ingin buang air kecil setiap kali bersin atau batuk. Rohaiza mendapati dia tidak boleh menahan kencingnya seperti sebelum ini.


Ada beberapa kali beliau tidak sempat sampai ke tandas dan berlakulah insiden yang tidak diingini.
"Masalah yang saya alami telah menggugat keyakinan diri saya. Dulu saya gemar bersosial tetapi kini nak keluar makan malam dengan rakan-rakan pun saya khuatir. Apakah akan terjadi bila saya tidak sempat sampai ke tandas dan terbuang air kecil di khalayak ramai?," soalnya.


Bagi J. Perez, 36, beliau sudah lupa bila kali terakhir beliau tidur lena pada waktu malam.
"Saya akan terjaga dua atau tiga kali pada satu malam kerana nak buang air kecil. Lepas saya meluru ke tandas pada tengah malam, memang sukar untuk melelapkan mata. Kesannya, saya akan jadi terlampau penat dan letih pada keesokan hari," kata beliau.


Lee, Rohaiza dan Perez adalah antara mereka yang mengalami tanda-tanda pundi kencing terlampau aktif (OAB) atau dikenali juga sebagai inkontinens urinari.


Masalah itu dikatakan mengganggu setiap satu daripada enam orang dewasa. Masalah itu juga kerap didiagnosis secara kurang tepat.


Ramai yang mengalami OAB terutamanya wanita enggan mendapatkan rawatan walaupun masalah itu mengganggu kehidupan harian mereka. Ada yang menganggap inkontinens adalah sebahagian daripada proses penuaan dan tidak perlu dirawat.

AKTIVTI bersosial atau beli-belah sesuatu yang dielakkan oleh penghidap penyakit inkontinens urinari.


"OAB atau inkontinens urinari bukanlah sejenis penyakit yang disebabkan oleh penuaan. Ia adalah sejenis masalah perubatan dan boleh dirawat", kata Presiden Persatuan Urologi Malaysia Datuk Dr.
 Rohan Malek.


Enggan jalani pemeriksaan



Menurut beliau, ramai wanita yang mengalami masalah tersebut tetapi enggan menjalani pemeriksaan, bahkan mereka tidak mengetahui ada kaedah yang boleh merawat masalah tersebut.


"Faktor utama yang membuatkan mereka enggan datang untuk pemeriksaan mungkin kerana malu menceritakan masalah itu kepada doktor.



"Ramai juga yang berpendapat ia adalah sebahagian daripada proses penuaan atau mungkin kesan sampingan selepas melahirkan anak. Mereka rasa tidak perlu berbuat apa-apa dan rasa tidak boleh merawatnya," kata Rohan yang juga seorang pakar urologi Hospital Selayang.


Statistik di 11 buah negara menunjukkan prevalens OAB adalah 53.1 peratus. Majoritinya adalah mereka yang berumur di antara 29 hingga 59 tahun.


Di Malaysia, OAB dialami di antara 11 hingga 22 peratus daripada jumlah penduduk. Melahirkan anak adalah risiko utama tetapi OAB juga boleh disebabkan oleh beberapa faktor lain.


Menurut Rohan terdapat beberapa kaedah bagi merawat OAB termasuk fisioterapi dan perubatan. Hanya beberapa kes sahaja yang memerlukan pembedahan.


"Rawatan OAB boleh dijalankan dan jarang sekali kita perlu melakukan pembedahan terhadap pesakit OAB," kata Rohan.


Jenis inkontinens yang prevalens adalah daripada jenis terdesak dan stres. Inkontinens stres disebabkan lemah otot pelvik yang disebabkan melahirkan anak dan obesiti.


"Inkontinens stres boleh menyebabkan kebocoran kencing ketika bersin atau batuk. Kadangkala ada juga kes inkontinens terdesak bila mereka tidak boleh menahan kencing sebelum sampai ke tandas," kata beliau.


Rawatan meliputi fisioterapi dan mengenalpasti masalah terbabit. Senaman otot pelvik juga boleh membantu.
Pesakit yang gemuk juga boleh mengurangkan berat badan manakala mereka yang menghidap asma dan batuk perlulah mendapatkan rawatan terlebih dahulu.


Sementara itu, mereka yang mengalami inkontinens terdesak terpaksa berkejar ke tandas beberapa kali sehari.


"Tanda-tanda OAB adalah buang air kecil lebih lapan kali satu hari dan tidak boleh tahan bila tiba masanya.
"Pesakit juga akan mengalami nokturia iaitu kerap bangun kencing waktu malam," kata Rohan. Kesemua faktor itu boleh mengganggu tidur pesakit dan mereka akan rasa amat letih pada keesokan hari.


Ada juga pesakit terpaksa pakai lampin dan terpaksa meninggalkan aktiviti fizikal seperti bersukan. Ini akan mengganggu keyakinan diri dan membawa kepada kemurungan.

SENAMAN otot pelvik dapat membantu menangani masalah inkontines urinari.


Walaupun ada kes yang boleh dirawat dengan antibiotik, pesakit perlu berjumpa doktor bagi memastikan tiada masalah lain yang tersembunyi.


"Adakalanya tanda-tanda yang sama seperti masalah OAB dicetuskan oleh penyakit lain antaranya diabetes, angin ahmar, kanser pundi kencing atau batu karang. Penyakit-penyakit ini dikenalpasti melalui ujian air kencing sebab itulah penting bagi menjalani pemeriksaan dan saringan perubatan.


"Rawatan meliputi senaman otot pundi atau ubat antikolinergik," katanya.
Di Malaysia tidak ada statistik tentang OAB jadi agak sukar untuk mengetahui sejauh mana masalah itu telah menjangkau.



Dalam usaha untuk menyedarkan masalah OAB dan inkontinens urinari bagi wanita, Persatuan Urologi Malaysia bersama Kementerian Kesihatan serta hospital awam yang terpilih menjalankan Kempen Inkontinens Urinari Di Kalangan Wanita di seluruh negara yang bermula sejak 26 Jun lalu. - Bernama

Merendahkan hormon leptin



PADA petang itu Sazzy Falak, 29, beria-ria menolak pelawaan hidangan berasaskan daging atau ayam. Seolah-olah menikmati menu tersebut merupakan kesalahan besar yang sukar dimaafkan.

"Maaf bukan cerewet tapi saya hanya makan ikan. Sudah setahun saya mengamalkan pescetarianisme iaitu makan sayur-sayuran dan ikan sahaja. Langkah drastik ini saya praktikkan bagi menjalani kehidupan yang lebih sihat.

 "Sebelum ini rejim kesihatan saya lebih cenderung pada amalan bersenam di gim dan aktiviti yoga berbanding terlalu memikirkan aspek pemakanan. Meskipun jarang makan makanan yang berkalori tinggi tetapi badan saya masih belum cergas dan bertenaga khususnya untuk bangun pada waktu pagi," kata Sazzy sambil menjamu ikan kembung dan kerabu sayur.

Sejak mengamalkan rutin pemakanan tersebut dia dapat merasakan perubahan positif pada dirinya. Dia tidak menyangka pengambilan ikan dalam menu harian dapat membantu meningkatkan stamina, sekali gus mengurangkan keletihan walaupun bekerja sejak awal pagi hingga lewat malam.

Malah, anak kelahiran Kuala Lumpur itu juga mendapati kulit wajah dan badannya semakin cerah. Akui Sazzy: "Minda semakin cerdas dan pergerakan badan bertambah cergas. Bayangkan pada sebelah pagi saya sibuk dengan tugasan menguruskan syarikat dan memenuhi sesi fotografi pada sebelah petang, namun pada sebelah malam saya masih bertenaga menjalani penggambaran drama.

"Bukan itu sahaja, badan terasa lebih ringan dan saya mampu menikmati tidur nyenyak. Barangkali, protein dan zat yang terkandung dalam ikan membantu menjadikan saya individu yang sihat.

IKAN mengandungi vitamin D dan K yang tinggi.


Jelas anak sulung daripada tiga adik-beradik itu, biasanya dia mengelakkan ikan goreng kerana lebih gemar ikan yang dikukus atau dibakar. Semasa mengukus Sazzy tidak lupa mencampurkan sayur-sayuran dan rempah ratus agar semua ramuan sebati bersama ikan.

Menyedari kehilangan zat dan nutrisi yang terdapat dalam ayam dan daging, Sazzy yang ditemui di restoran Theborama Chocolate, The Curve, Petaling Jaya memberitahu, dia menggantikan produk tenusu dan serat yang memberi tenaga.


Dalam pada itu penyelidik dari Klinik Mayo Rochester, Minnesota, Amerika Syarikat (AS), Prof. Virend Somers mendedahkan, kajian mendapati diet berasaskan ikan merupakan rutin pemakanan yang sihat.


Buktinya rejim diet itu membantu mengurangkan kadar hormon leptin yang mempengaruhi nafsu makan secara berlebihan.


Berat ideal

"Hormon leptin yang terdapat dalam tubuh manusia berfungsi menghasilkan sel lemak dan berperanan memberi amaran kepada individu sama ada tahap pengambilan makanan yang diambil sudah mencukupi atau berlebihan.

"Selain itu berat badan ideal juga boleh dicapai dengan mengamalkan diet ikan. Ini bermakna individu yang hanya makan ikan dapat merendahkan risiko obesiti berbanding golongan yang obses makan ayam atau daging," ulas Somers yang turut memberitahu diet ikan masih berada di tahap rendah di kalangan rakyat AS.

Sementara itu, Nur Aina Najha Ahmad Mukhtar, 26, yang tidak gemar makan ikan sejak berusia tujuh tahun menjelaskan: "Tidak dinafikan jika terlalu banyak makan ayam atau daging ia boleh menyebabkan penambahan berat badan, tetapi masalah kegemukan dapat diatasi sekiranya individu bijak memilih makanan yang ideal dan sihat.

"Saya lebih cenderung makan ayam dan daging, jadi sewaktu memasak atau membeli makanan saya pastikan makanan tersebut kurang berminyak dan berlemak. Kaedah ini dapat mengelakkan berat badan meningkat mendadak. Paling menggembirakan sehingga kini berat badan saya tidak pernah melebihi 48 kilogram (kg)," katanya yang geli pada ikan.

Berbicara mengenai kekurangan protein dalam dietnya, graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu menjelaskan, dia menggantikannya makanan berprotein yang lain seperti kacang soya, susu, keju dan tauhu.

Selain itu Nur Aina turut menyatakan dia tidak pernah mengalami sebarang penyakit atau kurang bermaya gara-gara kehilangan protein ikan. Saban hari sebelum memulakan aktiviti harian dia meminum segelas susu dan melebihkan sayur-sayuran dalam setiap hidangan.

Menurut pakar diet dari Hospital Pantai Ampang, Kuala Lumpur, Nor Lizawati Che 'Lah, selain masalah obes, pengambilan ayam dan daging yang tidak terkawal juga mengakibatkan penyakit jantung dan masalah kolesterol tinggi. Memandangkan ayam dan daging mempunyai kadar nutrisi, jumlah lemak tepu dan kolesterol yang berbeza daripada ikan.

SAZZY mengakui tubuhnya semakin cergas sejak mengamalkan makan ikan.



Menguatkan tulang

Sehubungan itu, Nor Lizawati menyarankan supaya makan lebih banyak ikan berbanding ayam dan daging.

Ikan merupakan salah satu sumber protein yang penting. Badan memerlukan protein untuk proses pertumbuhan, perkembangan dan pembaikan tisu, enzim dan hormon. Pada masa yang sama, ia membekalkan vitamin dan mineral untuk pembentukan tulang.

"Malangnya saya dapati kebanyakan masyarakat tempatan berpendapat kekuatan tulang hanya terbentuk dengan pengambilan kalsium dalam susu. Sedangkan, vitamin D dan vitamin K yang terdapat dalam ikan turut membantu menguatkan tulang.


"Misalnya, vitamin D dalam ikan air masin, ikan halibut, ikan tuna dan minyak hati ikan. Pengambilan vitamin D secara berterusan amat digalakkan bagi penyerapan dan penggunaan kalsium dan fosforus. Ia juga penting untuk tumbesaran tulang dan gigi kanak-kanak. Ia juga mencegah otot lemah dan ritma denyutan jantung dengan lebih baik," terang Nor Lizawati ketika ditemui Kosmo!.


Tegas Nor Lizawati individu tidak digalakkan mengehadkan satu-satu jenis ikan saja kerana setiap ikan itu mempunyai kandungan zat yang berbeza-beza untuk kesihatan tubuh .

Pengambilan ikan dalam sehari pula perlu bergantung kepada keperluan dan gaya hidup seseorang.
Makan ikan secara berterusan sama sekali tidak memudaratkan kesihatan. Cuma terdapat beberapa jenis ikan yang mungkin pengambilannya perlu dihadkan khususnya kanak-kanak dan wanita hamil.

NUR AINA tidak menggemari ikan sejak umurnya tujuh tahun.


Kumpulan pakar Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) dan Agensi Alam Sekitar AS menyatakan ikan yang tinggi paras merkuri harus dielakkan sama sekali kerana ia memberi kesan kepada tumbesaran kanak-kanak dan boleh perkembangan otak bayi dalam kandungan.


"Ikan todak, yu, salmon, tuna dan tenggiri antara ikan yang mempunyai paras merkuri yang tinggi. Walaupun rasanya enak dan isinya lembut tetapi semua ikan tersebut mengandungi sejenis logam cecair berbahaya yang memudaratkan kesihatan ibu dan kandungan melalui keracunan darah," kata Nor Lizawati yang menyarankan golongan vegetarian dan individu yang tidak menggemari ikan supaya menggantikannya dengan protein daripada produk-produk soya.


Kepada Pengurus Perundingan Perhubungan Awam di salah sebuah agensi pengiklanan, Subashini Rajandra, 30, yang mengamalkan makan sayur-sayuran (vegetarian) selama sedekad mengakui tidak memberi apa-apa kesan pada kesihatan tubuhnya.


Dia yang tidak makan makanan yang berasaskan haiwan termasuklah telur menggantikannya dengan sumber protein daripada vitamin dan makanan berasaskan soya.


"Kebanyakan sayur-sayuran hijau mempunyai kandungan protein walaupun kadar proteinnya tidak setinggi seperti ikan atau ayam. Bagi meningkatkan tenaga saya banyakkan makan kentang, labu dan soya," tambah Subashini yang memilih beras perang kerana proteinnya lebih tinggi berbanding beras biasa.

Selain menambah tenaga dan protein, beras perang juga membantu mengurangkan gula dalam badan.