"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, July 10, 2010

Efek dera tanduk kerbau


GARISAN merah yang terbentuk merupakan toksin-toksin yang keluar dari badan.


DENGAN garis-garis merah seperti birat, sekali pandang, mungkin ada yang menganggap seseorang itu teruk didera. Tapi jangan salah sangka, ini sebenarnya satu terapi urutan tradisional Cina yang dinamakan guasa.
Jika anda tersalah sangka, anda sebenarnya tidak keseorangan. Seorang doktor di Amerika Syarikat yang mengubati seorang kanak-kanak Cina terkejut apabila melihat birat merah begitu dan mendakwa kanak-kanak itu didera oleh bapanya.

Walaupun ia cuma watak dan babak dalam filem berbahasa Inggeris berjudul Guasa, namun jelas sekali bagi mereka yang kali pertama melihatnya boleh tersilap menduga.


Guasa diamalkan sebagai terapi merehatkan badan, mengesan penyakit dan merawat penyakit. Ia dilihat sebagai terapi pembaharuan molekul yang merangsang pembekalan oksigen, menyingkirkan toksin dan melancarkan pengaliran darah ke seluruh tubuh.

Urutan dilakukan menggunakan papan yang diperbuat daripada tanduk kerbau. Secara umumnya, fungsi terapi ini boleh dikatakan menyamai akupunktur dan bekam.


Terapi


Meskipun terapi ini tersebar luas di kalangan rakyat China sejak Dinasti Tang, namun ia boleh disifatkan masih dipandang tinggi dan diyakini oleh masyarakat China. Buktinya, dalam sukan besar seperti Sukan Asia, khidmat pakar terapi guasa turut diperlukan. Profesor Lu misalnya merupakan antara pakar terapi guasa yang diundang sebagai pakar perubatan Sukan Asia Beijing 1990.


Akhbar Cina Kwang Hwa Daily melaporkan, pakar guasa, Wang Yun Zi berkata, guasa boleh membuang toksin dalam badan dan mengekalkan kesihatan. Malah, dengan hanya dua bulan mengamalkan terapi guasa, pemulihan kesihatan dapat dilihat.


Tabib Cina tempatan, Ngau Heong yang mengambil inisiatif menulis buku guasa dalam bahasa Melayu bertajuk Kaedah Terapi Urut Guasa Tradisional Cina menyebutkan dalam bukunya bahawa guasa mempunyai keistimewaan tersendiri. Beliau mendakwa ia berasaskan kepada teori perubatan dan kaedah praktikal dengan bukti klinikal.


Di Malaysia, kaedah terapi ini semakin popular di kalangan masyarakat Melayu dan India. Terdapat beberapa testimoni daripada orang Melayu dan India yang mengamalkan guasa dalam buku berkenaan.


Pengamal guasa, Jamaluddin Ahmad yang sudah lapan tahun berpengalaman dan mendalami terapi itu memberitahu, beliau tertarik dengan guasa selepas diperkenalkan oleh seorang rakannya. Sejak mengamalkan guasa, bisa-bisa badan dan sendi yang dideritainya selama enam tahun akhirnya mulai berkurangan.


Terang Jamaluddin, ‘gua’ itu bermaksud gesek dan ‘sa’ pula ialah tempat yang sakit yang mengeluarkan bintik merah. Maka guasa ialah satu perbuatan menggesek pada badan sehingga mengeluarkan bintik merah yang merupakan toksin dalam badan.


“Teknik guasa mudah. Ia boleh dilakukan di mana-mana. Boleh lakukan sendiri atau minta orang lain lakukan bagi tempat yang sukar dicapai seperti bahagian belakang badan. Ia boleh dilakukan dengan berpakaian atau tidak.



“Sudah tentu urutan tidak beralas pakaian kesannya lebih baik,” katanya ketika melakukan demonstrasi pelaksanaan terapi asas guasa di pejabatnya di Jalan Kelang Lama, Kuala Lumpur.


Yin dan yang


Menurutnya, sesiapa sahaja (melainkan orang tua yang terlalu uzur, terlantar sakit atau ibu mengandung) digalakkan melakukan guasa. Cuma gesekan dilakukan mengikut usia dan personaliti individu. Jika seseorang itu muda dan kuat, gesekan boleh dilakukan secara lebih pantas dan sebaliknya.


Mengenai penggunaan papan yang diperbuat daripada tanduk kerbau, Jamaluddin berkata, tanduk kerbau dipilih kerana mengikut kajian perubatan China ia mempunyai elemen sejuk. Dalam masyarakat China menerusi konsep keharmonian bertentangan yin dan yang, badan disifatkan sebagai panas.


“Ia juga lebih baik daripada penggunaan bahan plastik yang bersifat elektrostatik yang mungkin mengganggu fungsi tubuh dalam reaksi dengan guasa. Ada juga yang menggesek dengan bahan-bahan yang mahal seperti jed dan ada yang gesek menggunakan bahan seperti duit syiling tetapi takut ia mencederakan kulit,” katanya.


Jamaluddin memberitahu, guasa bertindak seperti mengenal pasti titik-titik bahagian tubuh dalam akupunktur namun ia lebih mudah kerana ia bukan mengesan titik sebaliknya melakukan gesekan pada meridian titik iaitu garisan yang menghubungkan titik-titik bahagian badan itu.

GUASA juga boleh diamalkan untuk kecantikan wajah.


Gesekan


“Terapi asas guasa bukan sahaja dapat melegakan tekanan tubuh kerana ia dapat menyingkirkan toksin berupa sel-sel tubuh yang mati dan terhimpun pada tubuh yang mengganggu pengaliran darah.


“Terapi juga dapat mengesan penyakit. Rawatan guasa merupakan langkah seterusnya yang sukar untuk dijelaskan di sini kerana gesekan perlu dilakukan di bahagian-bahagian tubuh berlainan dan melibatkan 400 penyakit termasuk migrain, sakit tulang, insomnia, barah payu dara, mati pucuk, buasir, masalah paru-paru, jantung, usus dan banyak lagi,” katanya.


Menunjukkan terapi asas, ia dimulakan dengan gesekan pada bahagian kepala model pesakit. Kepala digesek menghala dari belakang ke depan bermula bahagian atas tengah diikuti kiri dan kanan kepala. Gesekan dilakukan pada setiap bahagian di antara 20 hingga 30 kali. Jika gesekan berjalan lancar ia mungkin menunjukkan pesakit tidak ada masalah penyakit kepala seperti migrain.


Kemudian beralih ke bahagian belakang tubuh badan. Gesekan dilakukan pada tulang belakang dari atas ke bawah. Semasa gesekan dilakukan kelihatan warna-warna merah keluar dari tubuh badan pesakit.


Selepas selesai bahagian tulang belakang, ambil jarak dalam dua jari ke kiri badan dan lakukan gesekan di
bahagian tersebut membentuk garisan selari dengan garisan tulang belakang tadi. Selepas itu, ambil jarak dua jari ke kanan badan dan buat perkara yang sama.


“Bintik-bintik merah gelap dan lebam menunjukkan ada penyakit yang lebih serius. Misalnya, jika terdapat warna merah yang sangat teruk di garisan kanan badan, ia menunjukkan pesakit ada masalah paru-paru manakala di bahagian kiri badan menunjukkan masalah jantung,” katanya.


Selepas itu, buat urutan terapi guasa di bahagian bahu dengan gerakan dari dalam ke luar bermula dengan bahu kiri dan kemudian bahu kanan. Kawasan ini menunjukkan masalah usus.


Walaupun ia nampak seperti birat namun ia tidak pedih apabila disentuh atau terkena air,
Jamaluddin berkata, guasa juga boleh dilakukan untuk kecantikan wajah dengan melakukan terapi wajah guasa. Gesekan lembut pada wajah mampu menjadikan wajah lebih awet muda. Gesekan 10 kali dilakukan pada bahagian-bahagian muka.


Model pesakit, Islamuddin Mohamad Yusop, 29, memberitahu, beliau memang mengamalkan guasa untuk mengurangkan masalah migrainnya.


"Sejak zaman sekolah lagi saya migrain, tetapi sejak amalkan terapi guasa pada 2005, masalah saya semakin berkurangan,” katanya.

Sengat tebuan rawat penyakit


HOMEOPATI yang bersifat holistik semakin menjadi pilihan rakyat Malaysia yang mahukan rawatan alternatif.


BAGI individu yang ingin mencuba alternatif perubatan moden, homeopati mungkin satu pilihan yang baik. Perubatan homeopati dikatakan mampu menguatkan daya tahan tubuh untuk melawan penyakit sekali gus menyembuhkan penyakit yang dihidapi sehingga ke akar umbi.


Homeopati merupakan rawatan holistik yang memberi tumpuan lebih kepada pesakit berbanding penyakit yang dihidapi.



Menurut pakar homeopati, Dr. Nik Fairuz Nik Omar yang berpengalaman selama lebih 10 tahun dalam bidang ini, kelebihan rawatan homeopati ialah ubat-ubatan yang digunakan tidak mengandungi bahan toksik dan dadah.


Ini secara tidak langsung menjadikan rawatan itu lebih selamat dan boleh diambil oleh semua golongan tanpa mengira peringkat umur.


Ujarnya, ubat-ubatan yang digunakan bersumberkan tumbuh-tumbuhan, garam galian, haiwan dan sel-sel terpilih.


"Antara tumbuh-tumbuhan yang digunakan ialah bawang putih, bawang merah, bunga matahari dan lada hitam.


Sotong


"Bagi garam galian pula ia terdiri daripada kapur, magnesium, sulfur dan sebagainya.


"Ubatan bersumberkan haiwan pula ialah dakwat sotong, sengat tebuan, labah-labah dan bisa ular yang mampu merawat penyakit tertentu," katanya sambil menambah, kini perubatan itu juga menggunakan kuasa solar dan laser.


Jelas Nik Fairuz, kaedah rawatan homeopati berfungsi dengan mengenal pasti simptom penyakit iaitu simptom fizikal dan mental.


"Simptom berbentuk fizikal membolehkan penyakit dikenal pasti secara jelas seperti lebam atau kemerah-merahan, bengkak dan mata merah.


"Untuk mental pula, rasa sakit yang mereka alami dan bagaimana mereka menanganinya," ujarnya.
Nik Fairuz memberitahu, semasa merawat pesakit, beliau akan bercakap dengan mereka dan menilai pesakit itu berdasarkan bentuk tubuh, kelakuan dan emosi mereka sebelum memilih penawar mengikut simptom yang wujud.


"Tetapi tidak semestinya semua simptom yang disenaraikan bagi satu-satu penawar adalah pilihan yang tepat, tetapi persamaan gejala sudah memadai untuk membantu doktor memilih penawarnya," katanya.


Ini sekali gus merawat pesakit menerusi proses perangsang tenaga hayat yang wujud secara semula jadi di dalam badan manusia.


Tenaga itu menjadikan tubuh lebih kuat, aktif dan mempunyai keupayaan melawan penyakit di samping mengatur sistem peredaran darah, sistem hormon serta saraf.

NIK FAIRUZ


"Sebahagian besar pesakit yang mendapatkan rawatan terdiri daripada mereka yang mengalami penyakit yang berkaitan dengan saraf, pinggang, kencing manis, migrain dan demam.


"Tempoh untuk pesakit pulih pula bergantung pada keadaan pesakit selain mengambil ubat mengikut tempoh yang telah ditetapkan," katanya.

Murah

Sementara itu, seorang lagi pakar homeopati, Dr. Azman Mohamad memberitahu, rawatan homeopati merupakan salah satu perubatan alternatif bagi mereka yang ingin beralih daripada perubatan moden.


Beliau yang mengusahakan klinik rawatan homeopati selama lebih 10 tahun di Ipoh, Perak mendakwa rawatan tersebut bukan merawat pesakit tetapi membantu memulihkan sistem tubuh seseorang supaya dapat berfungsi dengan lebih optimum.


Ujarnya lagi, kaedah rawatan homeopati berfungsi dengan membuang racun-racun toksik dalam tubuh serta memulihkan fungsi organ seperti buah pinggang, hati dan jantung supaya kembali normal selepas lama terdedah kepada asap kenderaan, rokok dan pengambilan makanan yang tidak sihat.

Katanya, semua ini secara tidak langsung meningkatkan sistem pertahanan tubuh bagi melawan penyakit.
"Homeopati merawat pesakit yang mengalami penyakit yang paling ringan seperti demam dan juga yang paling kronik seperti penyakit ketumbuhan dalam otak dan kanser rahim.


"Saya berpengalaman merawat penyakit batu hempedu dan buah pinggang hanya dengan pembedahan kecil tanpa menggunakan laser. Proses rawatan itu hanya mengambil masa tidak sampai 24 jam," katanya.

RAWATAN homeopati banyak menggunakan ubat-ubatan berasaskan herba.


Katanya lagi, harga ubat-ubatan homeopati juga tidak semahal mana iaitu di antara RM30 hingga RM50 dan boleh digunakan sehingga dua bulan.


"Namun, pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah semasa membantu merawat seorang pesakit wanita yang menderita kanser serviks yang dikatakan tidak dapat disembuhkan.


"Syukur dia pulih semula selepas rawatan selama tiga bulan dan hidup sampai sekarang. Namun, semua ini adalah ketentuan Allah, bukan saya," ujarnya.

Sejarah sel stem


Seorang lelaki menjalani rawatan sel stem untuk merawat kakinya yang lumpuh.


Sel stem merupakan satu bidang bioteknologi yang sudah lama diperkenalkan di dunia. Sel stem yang diperkenalkan di Malaysia beberapa tahun lepas menjadi jalan penyelesaian kepada beberapa pemasalahan penyakit terutama berkaitan genetik.


Kira-kira 20 tahun lalu, saintis dan penyelidik mendapati darah tali pusat mengandungi banyak sel termasuk sel stem. Pada tahun 1998 pula, sekumpulan ahli perubatan Perancis berjaya melakukan pemindahan sel stem bagi pesakit fanconi anemia.


Pada tahun 1997, Hospital Universiti (kini Pusat Perubatan Universiti Malaya - PPUM) berjaya melakukan pemindahan sel stem darah tali pusat kepada seorang pesakit talasemia major yang didermakan daripada adiknya yang baru lahir.


Begitu juga pada tahun 2005, buat pertama kalinya, PPUM berjaya melakukan pemindahan sel stem darah periferal alogenik daripada penderma yang tidak mempunyai hubungan persaudaraan dengan pesakit yang menderita leukemia.


Sel stem ialah sel kosong berbanding sel-sel lain yang bersifat tersendiri dan berkeupayaan terbahagi dan menghasilkan rangsangan pembentukan sel-sel lain seperti dalam darah merah dan sel darah putih.


Darah di dalam tali pusat bayi adalah sumber sel stem yang sangat bernilai secara genetiknya.
Sel ini yang ada di dalam tali pusat adalah building block kepada darah dan sistem pertahanan yang biasanya akan ditukarkan kepada sel darah merah, sel darah putih dan platelet, iaitu sel yang akan memulihkan kecederaan.


Oleh itu ia boleh digunakan untuk merawat sel-sel dan tisu-tisu gantian bagi merawat 70 jenis penyakit seperti parkinson, alzheimer, leukemia, angin ahmar, serangan jantung, kencing manis, penyakit darah (barah, talasemia, anemia), sklerosis berbahagi, artritis reumatoid dan lumpuh saraf tunjang.

Simpan sel stem untuk masa depan


Dengan penggunaan teknologi yang semakin canggih dan moden, sel stem darah periferal sekarang boleh diekstrak menggunakan mesin apheresis.


Teknologi dalam bidang perubatan sentiasa berkembang. Para saintis dan doktor terus memikirkan cara yang terbaik dan selamat untuk membantu pesakit.
Menerusi mekanisme perubatan dan teknologi terkini, dibantu pula penggunaan peralatan dan mesin ia membolehkan pelbagai kaedah baru ditemui untuk rawatan pelbagai penyakit.


Kaedah penyimpanan stem sel misalnya banyak membantu pesakit. Kini individu boleh menyimpan 'darah' yang mengandungi sel-sel mereka sendiri untuk kegunaan pada masa depan menerusi sistem 'perbankan' yang ditawarkan.


Pastinya ramai di kalangan kita pernah mendengar mengenai kejayaan perubatan dan faedah yang didapati menerusi penyimpanan sel stem menerusi bank darah tali pusat yang diambil ketika bayi dilahirkan.


Darah daripada tali pusat itu akan disimpan untuk jangka masa panjang bagi kegunaan bayi tersebut pada masa depan sekiranya diperlukan.


Sekarang, bagi mereka yang telah terlepas peluang untuk menyimpan sel stem sendiri (yang hanya boleh dilakukan ketika proses kelahiran dahulu) kini boleh melakukannya menerusi proses yang serupa.


Ketua Pegawai Perubatan StemLife Berhad, Profesor Aw Tar Choon berkata, StemLife kini menawarkan bank untuk simpanan sel stem bagi mereka yang dewasa.


Sel stem itu boleh digunakan semula sekiranya keadaan memerlukan pada masa depan.
Peripheral Blood Stem Cells (PBSC) atau sel stem darah periferal yang diambil merupakan darah sel stem dewasa.


''PBSC diperoleh daripada periferal darah anda dan telah menunjukkan potensi berkesan membantu keadaan darah anda yang rosak, kecederaan akibat bersukan, kecederaan trauma dan luka kronik.


''Proses pengumpulan sel stem dilakukan ke atas pesakit dengan memastikan tiada sebarang kerosakan sel berlaku ketika proses simpanan darah itu dilakukan bagi kegunaan jangka panjang,'' katanya.


Prosedur itu juga tambahnya, akan memastikan pengumpulan sel stem dalam jumlah yang banyak sekali
proses itu dilakukan.


Suntikan G-CSF (faktor untuk merangsang sel stem) akan dilakukan untuk merangsang sel dalam tulang
sum-sum anda bagi mereplikakan dan menambahkan jumlah sel.


Sel stem itu akan memasuki pembuluh darah anda di mana ia akan mudah dikumpulkan.
''Ketika prosedur pengambilan darah sel stem dilakukan, anda akan diminta duduk dengan selesa dan sel stem anda akan dikumpulkan dalam tempoh empat hingga lima jam.


''Darah ini akan dikeluarkan dari lengan anda, berputar dalam mesin apheresis (untuk sel stem diekstrakkan). Darah yang tinggal akan dikembalikan semula ke dalam tubuh pesakit di bahagian lengan yang sebelah lagi.


''Ia merupakan satu proses yang mudah dan tidak menyakitkan,'' jelasnya.
Sel stem itu kemudiannya akan dipindahkan ke makmal untuk proses selanjutnya termasuk pengiraan jumlah sel.


Ia kemudiannya akan disediakan sama ada untuk kegunaan individu itu secara serta-merta atau disimpan untuk kegunaan bagi tempoh yang telah ditetapkan.


''Sel stem anda akan disimpan dalam tangki simpanan cryogenic dengan suhu di paras negatif 196 darjah celcius,'' katanya.


Tambahnya, StemLife Berhad sendiri telah mempunyai peralatan terkini dalam penyimpanan sel stem anda.
Jelasnya, ia juga merupakan yang pertama menawarkan bank simpanan untuk sel stem bagi mereka yang dewasa dan perkhidmatan rawatan terapeutik di seluruh Asia Tenggara.


''Kaedah penyejukbekuan ini memastikan sel stem anda kekal dengan kualiti dan kuantiti yang sama ketika ia diekstrakkan. Jika ia diperlukan, sel ini akan dikeluarkan untuk kegunaan anda pada saat ia diperlukan,'' katanya.

Pigmen, parut ganggu penampilan

Gadis yang saya temui bernama Jenny. Dia ditemani Puan Maria - seorang ibu yang sangat risau kemurungan anaknya disebabkan masalah jerawat. Menurut Puan Maria, beliau telah berulang kali membawa Jenny bertemu doktor bagi merawat masalah yang dihadapinya. Jerawat hanya hilang sekejap dan tumbuh semula dengan banyaknya apabila rawatan tamat.


Kemurungan Jenny berpanjangan. Dia enggan berbual dan berbincang dengan ibunya lagi.
Nampaknya penderitaan anak gadis ini jauh lebih hebat daripada apa yang saya duga. Dia sudah pun berputus asa.


Saya tidak bercakap banyak dan menumpukan kepada rawatan untuk membantu anak gadis itu tampil ceria. Rawatan yang dibuat kepada Jenny adalah laser bagi menghapuskan jerawat, antibiotik dan bio identical hormone bagi menseimbangkan hormon dalam badannya.


Selepas dua minggu Jenny datang semula untuk rawatan susulan. Dia sudah mula ingin berbual-bual dengan saya. Mungkin juga selama ini Jenny kekurangan hormon di dalam tubuhnya maka terapi peningkatan hormon mampu menceriakan Jenny. Begitu cepat sekali kesannya dan hal itu diperakui Puan Maria sendiri.


Selepas dua minggu sesi laser diulang, jelas kesan penyembuhan dapat dilihat dengan cepat sekali.
Melihat perubahan anaknya, Puan Maria mengambil kesempatan merawat masalah pigmentasi pada wajahnya.


Saya memberitahu beliau, kesan pigmentasi disebabkan pengumpulan melanin iaitu sejenis pigmen pada kulit manusia. Ia juga boleh dirawat dengan laser. Rawatan laser akan membuatkan melanin yang berkumpul berpecah menjadi partikel. Pigmentasi bukan saja kerana usia tapi kesan jerawat turut menjadikan kulit kehitaman. Ini dinamakan PIH (Post inflammatory Hyperpigmentation).


''Kesan parut jerawat menjadikan kulit berlubang. Apabila lubang menjadi dalam maka kulit kelihatan seperti kawah pada permukaan bulan,'' kata saya sambil bergurau. Saya menambah, masalah kulit seperti itu juga boleh dirawat menggunakan laser.


Struktur kulit


Kulit mempunyai tiga lapisan iaitu epidermis dermis dan tisu subcutaneous yang berlemak.
Epidermis adalah lapisan paling atas yang nipis. Ketebalan epidermis berbeza mengikut kedudukan dan taburannya pada tubuh. Misalnya epidermis pada tapak tangan dan kaki lebih tebal berbanding pada kulit badan.


Paling nipis adalah epidermis pada kelopak mata. Epidermis terbentuk daripada beberapa lapisan dan yang teratas sekali dipanggil stratun corneum. Stratum corneum dipenuhi sel-sel mati yang disingkirkan setiap hari. Sel-sel tersebut amat halus dan sukar dilihat mata kasar. Ada kalanya ia banyak dan dilihat seperti kulit mengelupas. Penggunaan produk pengelupasan menyingkirkan sel-sel epidermis dah harus mengikut prosedur dan sukatan yang betul. Andai bahan kimia yang digunakan adalah toksik dan boleh merosakkan sel maka seluruh epidermis akan rosak dan tidak mampu lagi dipulihkan sepenuhnya. Kulit akan tampak tidak sekata dan kehitaman disebabkan pigmentasi.


Lapisan kedua adalah malphigian iaitu lapisan sel-sel separuh matang bagi lapisan teratas. melanocytes merupakan sel yang mengeluarkan warna kulit. Warna kulit yang gelap terhasil apabila kita berjemur di bawah matahari kerana sel melanocyte akan menjadi aktif apabila terkena pancaran matahari. Sebenarnya ini adalah proses pertahanan kulit kita terhadap ancaman matahari. Namun apabila sel melanosyte terlalu aktif akan menyebabkan kulit terlalu hitam atau pigmentasi. Bila ia kurang aktif kulit tampak keputihan seperti yang terjadi pada pesakit sopak atau orang albino.


Lapisan ketiga adalah dermis yang mengandungi protein dipanggil kolagen untuk keanjalan kulit. Ia merupakan satu tisu kompleks yang mengandungi salur darah, lymphatic, saraf, kelenjar ,sel rambut dan pelbagai sel lain yang berfungsi dengan unik bagi menstabilkan kulit.


Lapisan paling bawah adalah lelemak pada kulit. Ia enting bagi memberi kontur yang cantik pada wajah.
Sebenarnya parut jerawat merupakan masalah yang lebih besar dan sukar dirawat berbanding jerawat itu sendiri. Meskipun jerawat berjaya dibendung masalah parut pada muka tetap membuatkan seseorang itu hilang kecantikan asalnya.


Jenis-jenis parut jerawat


1. Parut Ice pick
Parut yang sempit tetapi dalam hingga ke lapisan dermis kulit. Kulit kelihatan seperti dicucuk dengan alat tajam. Ia terjadi apabila jerawat jenis cystic (jerawat batu) dijangkiti kuman.


2. Parut boxcar
Parut jenis ini kelihatan bulat atau oval pada muka seseorang. Ia mempunyai dinding yang tegak dan muka kelihatan seperti permukaan bulan. Parut ini berlaku apabila inflamasi jerawat memusnahkan lapisan kolagen pada kulit. Ini menyebabkan kulit tidak mempunyai apungan dan menjadi lekuk di permukaan. Keluasan lekuk bergantung kepada berapa luasnya lapisan kolagen yang musnah.


3. Parut rolling
Akibat parut jenis akan menyebabkan muka kelihatan tidak rata dan beralun-alun. Ia terjadi apabila kesan jerawat menyebabkan terbentuknya tisu fibrous di antara lapisan kulit dan lapisan dalam kulit (subcutaneous). Kawasan yang terbentuknya tisu fibrous akan menarik lapisan kulit atas (epidermis) ke dalam dan menyebabkan kulit kelihatan beralun alun.


Jenis rawatan


Rawatan laser kini menjadi pilihan pakar kulit dan aestetik untuk merawat parut jerawat. Kaedah dahulu untuk merawat parut jerawat adalah teknik subcision atau punch excision. Namun begitu dengan perkembangan fractional laser, kombinasi rawatan tersebut dengan laser semakin popular dan memperlihatkan kesan rawatan yang lebih cantik. Teknik subcision menggunakan sejenis jarum khas (trokar) dicucuk ke bawah parut jerawat.

Ia bertujuan melepaskan parut jerawat dari ditarik ke bawah oleh tissue fibrous. Punch excision pula digunakan pada parut yang dalam , sejenis alat punch biopsy untuk kulit diguna kan untuk membuang parut yang dalam . Walaupun kesan punch biopsy juga meninggalkan parut, namun parutnya lebih halus berbanding kesan parut jerawat asal.