"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Monday, June 21, 2010

Vaksin empat penyakit


VAKSIN kombinasi baru demam campak, beguk, rubela dan cacar air antara perlindungan berterusan.


DEMAM campak, beguk, rubela dan cacar air adalah empat penyakit berjangkit yang serius yang menggugat kesihatan berjuta individu di seluruh dunia dan menyebabkan penderitaan yang amat sangat.
Pada tahun 2008, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencatatkan 334 kes demam campak di Malaysia dengan anggaran kematian sebanyak 164,000 di seluruh dunia. Walaupun kematian akibat beguk adalah jarang sekali, penyakit itu boleh dikaitkan dengan beberapa komplikasi dan masih berlaku di negara-negara membangun . Menurut WHO dan UNICEF, lebih daripada 830,000 kes rubela dilaporkan di 123 negara pada 2001, manakala 60 juta kes dianggarkan bagi kes cacar air yang berlaku setiap tahun sebelum pelalian cacar air diamalkan secara besar-besaran .
Menurut Doktor Pakar Kanak-Kanak, Datuk Dr Musa Mohd Nordin, ramai yang berpendapat bahawa cacar air adalah sejenis penyakit ringan di kalangan kanak-kanak.
"Ia sebenarnya membebankan iaitu dalam erti kata penderitaan seperti ketinggalan waktu di sekolah bagi seorang kanak-kanak, ketinggalan waktu kerja bagi ibubapa dan kos serta kebimbangan menguruskan kes yang teruk amatlah tinggi," ujar beliau pada majlis pelancaran vaksin kombinasi baru demam campak, beguk, rubela dan cacar air, Priorix Tetra baru baru ini di Hotel One World.
Priorix Tetra dari GlaxoSmithKline Pharmaceuticals (GSK), sejenis vaksin baru yang memberikan perlindungan yang lebih mudah terhadap campak, beguk, rubela dan cacar air tanpa kesusahan bagi suntikan tambahan untuk kanak-kanak antara sembilan bulan dan 12 tahun.
Lebih baik
Ia menggabungkan vaksin cacar air dengan dua dos mandatori yang diperlukan untuk demam campak, beguk dan rubela (MMR) bagi perlindungan yang lebih baik dan berterusan untuk menentang cacar air.
Tambah Dr. Musa, vaksin MMR sedia ada adalah vaksin wajib yang tersenarai dalam Program Imunisasi Tambahan Malaysia (EPI) sejak 2002. Ia diberikan kepada kanak-kanak dalam dua dos, sekali pada usia 12 bulan dan yang kedua pada usia tujuh tahun.
"Priorix Tetra memberikan kemudahan kepada ibu bapa dengan pilihan satu suntikan berbanding dua suntikan yang diamalkan sekarang bagi kanak-kanak untuk melindungi mereka secara berkesan terhadap empat penyakit sekali gus," katanya
Sementara itu, Pakar Perunding Kesihatan Umum serta Pengarah Bahagian Kajian Klinikal dan Pembangunan dan Hal Ehwal Perubatan bagi GSK Biologicals, Singapora, Malaysia dan Brunei, Dr Teoh Yee Leong, berkata Priorix Tetra memberikan kemudahan kepada ibubapa.
"Dengan pilihan satu suntikan berbanding dua suntikan yang diamalkan sekarang bagi kanak-kanak untuk melindungi mereka secara berkesan terhadap empat jenis penyakit sekali gus. Dengan kurangnya suntikan, seseorang kanak-kanak itu tidak perlu melalui lebih banyak kesakitan dari yang diperlukan dan secara langsung mengurangkan keresahan yang dihadapi ibubapa ketika mendedahkan anak mereka untuk pelalian itu," jelas beliau.

Kelemumur, rambut gugur merunsingkan


RAMBUT yang gugur berlebihan perlu diberi perhatian serius.


RAMBUT adalah mahkota buat wanita. Menjaganya bukan sukar namun tidak juga mudah. Tidak kena gaya ia mudah rosak, berkelemumur, gugur dan beruban sebelum masanya.
Biar berkerudung, penjagaan rambut tetap diutamakan apatah lagi ia memerlukan lebih perhatian berbanding mereka yang tidak. Kulit kepala yang tertutup dalam tempoh lama mengundang peluh yang akhirnya bercampur minyak semula jadi lalu mengundang masalah kelemumur yang serius.
Bagi lelaki pula, barisan rambut yang lebat dan mudah digayakan menyerlahkan lagi penampilan. Biar pun mereka mempunyai pilihan untuk bergaya botak, namun bukan semua lelaki kelihatan menarik dengan penampilan begitu.
Apatah lagi andai keguguran rambut berlaku tidak sekata, pasti ia mencacatkan penampilan.
Menurut Dr. Gangaram, dua masalah utama yang sering melanda kebanyakan individu tidak kira lelaki dan wanita adalah kelemumur dan rambut gugur dengan kronik.
“Masalah rambut berlaku disebabkan banyak faktor. Antaranya usia, stres, kurang tidur, pengambilan makanan yang tidak betul, kurang nutrisi, penggunaan produk rambut berlebihan, pengering rambut dan genetik,” ujar beliau.
Seperti soal kesihatan yang lain, rambut juga sering diabaikan oleh kebanyakan individu, kata Dr. Gangaram.
“Bila rambut mula gugur baru kita berusaha ingin merawatnya. Sepatutnya ia perlu dijaga seawal usia muda lagi, melainkan faktor genetik yang sukar dirawat,” kata beliau.
Rambut bermasalah menjejaskan aktiviti harian setiap individu sekali gus menjadikan mereka kurang berkeyakinan dan malu berada di khalayak.
Jelasnya, setiap individu perlu mengetahui analogi, fisiologi dan punca biasa untuk lebih memahami dan menjaga kesihatan rambut.
Kelemumur
Biasanya masalah ini disebabkan beberapa perkara:

  • Seborrheic dermatitis (gatal-gatal, kulit kepala berminyak) - punca biasa menyebabkan kelemumur. Ia kelihatan merah, kulit kepala berminyak diselaputi keruping putih atau kuning. Ia bukan sahaja berlaku pada kulit kepala malah di kawasan kulit yang mengandungi liang minyak, seperti kening, tepi hidung, belakang telinga, tulang dada, celah kangkang dan kadang kala pada bahagian ketiak. Seborrheic dermatitis juga boleh berlaku dari usia bayi dilahirkan (ruam lampin) dan beransur hilang pada usia satu tahun.
    Bagi mereka yang dijangkiti HIV, masalah ini lebih serius berbanding biasa. Menurut Dr. Gangaram, biasanya doktor boleh mengenal pasti pesakit yang menghidap HIV berdasarkan keadaan kulit kepala mereka yang mengalami kegatalan serius hingga merebak ke bahagian lain.
    Stres juga boleh mengundang masalah seborrheic dermatitis menjadi lebih teruk.
    Kulit kepala kering, gatal dan berkeruping - disebabkan cuaca panas. Bentuk keruping disebabkan kulit kepala kering biasanya kecil-kecil dan kurang berminyak berbanding lain-lain punca yang menyebabkan kelemumur.
    Kurang mencuci rambut - jika anda tidak membasuh rambut dengan kerap, minyak dan sel kulit daripada kulit kepala akan terbina, menyebabkan kelemumur.

  • Psoriasis - Masalah kulit berpunca daripada pengumpulan sel kulit mati yang menghasilkan keruping berwarna perak. Ia biasa berlaku di lutut, siku tetapi boleh juga berlaku pada kulit kepala.

  • Ekzema - Jika anda penghidap ekzema, kelemumur adalah masalah biasa.

  • Sensitif pada sesetengah produk - kadangkala sensitif kepada sesetengah jenis produk rambut menyebabkan kulit kepala menjadi kemerahan dan gatal. Terlalu kerap mencuci rambut juga boleh menyebabkan kelemumur.
  • Jangkitan yis malassezia - Malassezia hidup pada permukaan kulit kepala hampir kesemua individu dewasa tanpa menyebabkan sebarang masalah. Namun kadangkala, ia berkembang tanpa terkawal, merembeskan lebih minyak daripada folikel rambut. Ini menyebabkan iritasi pada kulit kepala dan menggalakkan lebih banyak sel kulit terhasil. Lebihan sel kulit akan mati dan tertanggal dan bercampur dengan minyak daripada rambut dan kulit kepala, menyebabkan ia kelihatan memutih, berkeping dan jelas kelihatan pada rambut juga pakaian anda. Walaubagaimanapun punca sebenar malassezia tidak diketahui. Boleh jadi disebabkan terlalu banyak minyak pada kulit kepala, perubahan hormon, tekanan, masalah saraf seperti parkinson, sistem imun terganggu, tidak mencuci dengan kerap, dan semua masalah menyumbang kepada kelemumur.
    Rawatan kelemumur
    Menurut Dr. Gangaram, masalah kelemumur yang serius boleh diatasi dengan pengambilan syampu anti-fungus. Agen seperti ketoconazole, bifonazole dan ciclopiroxolamine (juga dipanggil ciclopirox) yang terdapat dalam formula berlainan seperti krim, gel, losyen dan syampu boleh membantu mengatasi masalah ini.

  • Rambut gugur (alopesia)

  • Terdapat dua jenis keguguran rambut biasa iaitu diffuse (menyeluruh) dan patchy (bertompok-tompok atau setempat).
    Masalah keguguran menyeluruh disebabkan kegagalan peringkat penghasilan menyebabkan berlaku:
  • Alopesia areata

  • Masalah keguguran rambut setempat pada kepala ini tidak diketahui puncanya. Prognosisnya agak baik tanpa rawatan, bagaimanapun adakalanya ia akan pulih semula dalam tempoh enam hingga 12 bulan.
  • Telogen effluvium

  • Masalah ini boleh berlaku antara dua hingga empat bulan selepas proses kelahiran, demam panas, penyakit-penyakit akut, tekanan fizikal atau emosi dan diet tidak seimbang (crash diet). Namun, rambut yang gugur ini akan tumbuh semula selepas beberapa bulan, tanpa memerlukan sebarang rawatan.
    Masalah keguguran rambut bertompok pula disebabkan masalah penghasilan seperti:

  • Androgenetik alopesia

  • Ia merupakan masalah keguguran rambut yang paling kerap berlaku di kalangan lelaki. Namun ia juga boleh berlaku pada wanita. Dikenali sebagai salah satu bentuk botak pada lelaki (male pattern baldness).
    Ia disebabkan oleh kombinasi tiga faktor iaitu hormon testosteron, usia (selepas seseorang berusia lebih 20 tahun) dan keturunan.
    Keguguran rambut serius
    Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan rambut gugur dengan serius. Keguguran rambut ini biasanya jelas kelihatan apabila seseorang menyikat rambut terutama selepas bersyampu.
    Keguguran rambut bagi kategori ini biasanya berpunca daripada:
  • Melahirkan anak

  • Selepas seseorang wanita melahirkan anak, pusingan rambut akan memasuki fasa berehat yang agak lama. Dalam masa itu fasa keguguran rambut akan terjadi dalam tempoh dua hingga tiga bulan. Dalam tempoh dua hingga tiga bulan, sesetengah wanita mengalami keguguran rambut yang banyak. Dalam masa satu hingga enam bulan ia akan pulih.
  • Penyakit tiroid

  • Kelenjar tiroid yang terlalu aktif atau pasif juga boleh menyebabkan keguguran rambut.
  • Demam, jangkitan dan selesema yang serius

  • Selepas empat minggu hingga tiga bulan demam yang serius, seseorang mungkin terkejut melihat rambut gugur dengan banyak. Namun keguguran rambut ini akan pulih seperti sediakala.
  • Protein yang tidak seimbang dalam pemakanan

  • Amalan diet yang tidak seimbang dengan tidak memakan protein atau tabiat pemakanan abnormal.
  • Ubat-ubatan

  • Sesetengah ubat-ubatan boleh menyebabkan keguguran rambut untuk sementara waktu. Ubat-ubatan terdiri daripada penyakit gout, artritis, kemurungan, masalah jantung, hipertensi dan ubat mencairkan darah . Pengambilan vitamin A secara berlebihan juga boleh menyebabkan keguguran rambut.
  • Rawatan kanser

  • Sesetengah rawatan kanser akan menyebabkan sel-sel rambut terhenti membahagi yang mengakibatkan rambut menjadi nipis dan mudah terputus apabila ia keluar dari kulit kepala.

    Rawatan alternatif
    Pelbagai rawatan alternatif kini boleh didapati dalam merawat masalah rambut. Antaranya, pakar rambut Neeta Gosalia melalui produknya Neeta’s Herbal sudah berjaya membantu ramai pelanggan merawat masalah rambut serius seperti kelemumur dan keguguran rambut serius.
    Bagi Neeta yang berpengalaman selama 23 tahun dalam bidang itu berpendapat, mereka yang mengalami masalah rambut patut mendapatkan rundingan daripada pakar dan mengubah gaya hidup serta corak pemakanan.
    Katanya, segala masalah kebanyakan berpunca daripada akar rambut yang tidak subur dan rosak. Ia disebabkan banyak faktor.
    Beliau juga tidak menggalakkan mereka yang mengalami masalah rambut terus ke salon biasa kerana bakal mendapat rawatan yang tidak sepatut.
    Neeta’s Herbal menggunakan herba semula jadi seperti inai yang terbukti dalam merawat masalah rambut dan tidak mengandungi bahan kimia merbahaya.
    Maklumat lanjut hubungi 03-22828868/ 03-77286751 atau www.neetasherbal.com

    Bahaya kanser mulut


    Lidah adalah antara organ yang diserang oleh kanser mulut. - gambar hiasan


    PENYAKIT kanser seperti yang diketahui umum adalah antara penyumbang utama kepada kematian di seluruh dunia dan sehingga kini masih lagi belum ada penawarnya.
    Baik kanser payu dara, kanser ovari, kanser hati dan pelbagai jenis kanser lain yang merbahaya, ia merupakan mimpi ngeri kepada sesiapa jua yang disahkan menghidap penyakit itu.
    Bagaimanapun, dalam kesungguhan dunia memberi tumpuan terhadap usaha mencari penawar kepada penyakit kanser utama itu, masih terdapat penyakit kanser lain yang tidak kurang berbahaya dan boleh membawa maut tetapi jarang diperkatakan seperti kanser mulut .
    Sekalipun kanser mulut bukanlah antara penyakit yang tergolong dalam kategori penyakit yang kronik, namun jika dilihat kepada sejarah, masyarakat di Asia adalah mereka yang paling berisiko kerana kaitannya dengan tabiat memakan sirih, merokok dan juga kesan daripada alkohol
    Apa yang lebih menakutkan ialah ia mencatatkan kes yang paling tinggi di kalangan penduduk miskin.
    Kanser mulut biasanya terjadi di antara kanser yang paling merbahaya dan berada di tempat ke 10 bilangan penghidap teramai di Malaysia dengan purata 7 hingga 8 peratus.
    Namun kanser mulut ini mengambil masa yang lama untuk terjadi. Perubahan awal tisu pada bahagian yang terlibat dinamakan pra kanser.
    Pada peringkat ini rawatan awal masih boleh di jalankan untuk mencegah kanser dari merebak. 64 peratus berisiko penghidap kanser mulut ialah kaum India.
    Kebanyakannya dikaitkan dengan tabiat mengunyah sirih.
    Biasanya kanser mulut tidak berlaku pada mereka yang baru mula mencuba untuk merokok tetapi terjadi kepada mereka yang mula merokok sejak awal remaja dan sering berlaku di kalangan lelaki.
    Pada awalnya, kanser mulut itu tidak sakit tetapi oleh kerana fungsi mulut adalah untuk mengunyah, merasai dan bertutur serta memberi kesan kepada satu daripada saluran awal pernafasan, menyebabkan fungsi-fungsi biasa yang normal di dalam mulut terganggu.
    Penyebabnya pula boleh disumbangkan oleh pelbagai faktor dan antara faktor yang paling dikenal pasti adalah disebabkan mengunyah campuran sirih atau pinang dan tabiat merokok serta meminum minuman keras.

    Perokok wanita meningkat

    Perokok wanita meningkat


    Rosnah Abdul Rashid Shirlin (tiga dari kiri) pada sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2010 Peringkat Institut Perubatan Respiratori di Institut Perubatan Respiratori, Jalan Pahang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


    SEMUA setuju jika dikatakan golongan wanita pada zaman ini lebih maju, berpelajaran dan berjaya. Peningkatan taraf hidup serta kejayaan ini membolehkan mereka mempunyai kuasa maksimum untuk berbelanja dan membuat pilihan membeli apa yang diingini melalui pendapatan yang diperoleh.
    Namun, di sebalik semua kecemerlangan dikecapi wanita itu, dek kemodenan dan peredaran zaman, sama ada kita sedar atau tidak, jumlah pembabitan kaum hawa dalam aktiviti sosial terutamanya merokok juga semakin meningkat naik.
    Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membuktikan, peratusan jumlah wanita yang merokok meningkat di negara membangun termasuk Malaysia, sementara angka perokok lelaki mula menunjukkan penurunan.
    Justeru, bagi membendung tabiat yang berisiko terhadap kesihatan ini, WHO memilih Lindungi Wanita dari Pemasaran Tembakau dan Asap Rokok sebagai tema sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2010.
    Tahun ini, Malaysia melalui tema yang sama, sudah merancang dan melaksanakan pelbagai program dan kempen bagi membendung dan mengelakkan tabiat ini.
    Pengarah Institut Perubatan Respiratori Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datin Dr. Aziah Ahmad Mahayiddin berkata, pendedahan kepada rokok mendatangkan lebih banyak kesan buruk terhadap wanita berbanding lelaki.
    Kemungkinan wanita diserang penyakit, katanya, bukan sahaja membabitkan penyakit respiratori, barah dan jantung, tetapi mereka juga berisiko mengalami masalah kesuburan serta semasa mengandung dan melahirkan anak.
    Aziah berkata, perokok wanita berisiko tinggi mendapat keguguran, bayi tidak cukup bulan dan bayi meninggal dalam rahim.
    Tegasnya, ancaman lain kepada wanita yang tidak merokok (perokok sekunder) adalah pendedahan kepada asap rokok daripada perokok lain.
    “Di seluruh dunia, lebih kurang 600,000 kematian setiap tahun disebabkan pendedahan kepada asap perokok sekunder dan 64 peratus daripada jumlah mangsa itu adalah wanita.
    “Maka, sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2010 ini menumpukan kepada kesan buruk ke atas wanita daripada pemasaran dan rokok.
    “Kaum lelaki pula akan diberi kesedaran mengenai tanggungjawab mereka untuk tidak mendedahkan isteri, anak-anak dan keluarga kepada asap rokok,” katanya.
    Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2010 Peringkat Institut Perubatan Respiratori di Institut Perubatan Respiratori, Jalan Pahang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
    Sambutan itu dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
    Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Maimunah A. Hamid, Pengarah HKL, Datuk Dr. Zaininah Mohd. Zin dan Pengerusi PUSPANITA Kementerian Kesihatan, Datin Seri Zuraida Ahmad.
    Rosnah dalam ucapannya berkata, kementerian sentiasa berusaha untuk mengatasi tabiat merokok di kalangan rakyat negara ini kerana selain berisiko kepada kesihatan, kerajaan sedar penggunaan tembakau adalah penyebab kedua kematian global selepas penyakit darah tinggi.
    Dijangka, kematian tahunan berpunca dari penggunaan tembakau adalah lebih 5 juta di seluruh dunia ketika ini dan jika dibiarkan, ia mampu menyumbang kepada lebih 8 juta setahun menjelang 2030.
    Selain menjalankan kempen kesedaran kepada perokok tegar, perokok baru dan individu yang belum merokok, kementerian giat membantu perokok untuk berhenti daripada tabiat merbahaya ini melalui Klinik Berhenti Merokok.
    Menurut Rosnah, kementerian sedar untuk menghentikan tabiat merokok adalah amat sukar, jadi melalui klinik ini, kementerian memastikan kesabaran, ketekunan dan komitmen antara perokok serta pegawai ditingkatkan untuk menjayakannya.
    Pada masa sama, tambahnya, kementerian mengambil kesempatan daripada tema sambutan tahun ini untuk memberi perhatian terhadap isu-isu keburukan akibat kesan pasaran tembakau dan larangan pemasaran tembakau kepada kaum wanita dengan penyediaan bahan pendidikan.
    “Kaum wanita kini menjadi kumpulan sasar industri tembakau kerana kuasa membeli dan kemajuan yang ada pada mereka selain jumlah perokok lelaki semakin berkurang, maka semakin banyak iklan rokok yang mempamerkan model langsing dan cantik bagi menyogok wanita supaya merokok.
    “Sebenarnya wanita atau lelaki tidak perlu merokok untuk meningkatkan keterampilan atau imej melalui merokok kerana ia akan merosakkan diri sendiri melalui kesan buruk dan bahaya yang ada dalam rokok.
    “Kementerian turut mengeluarkan iklan yang mempamerkan model wanita langsing dan cantik tetapi dengan bahagian badan diserang penyakit-penyakit kronik akibat merokok bagi melawan iklan industri tembakau,” ujarnya.

    Jangan pandang remeh sakit perut


    Jika mengalami sakit perut yang berpanjangan segera berjumpa dengan doktor. – Gambar hiasan


    TAHUKAH anda sakit perut yang berpanjangan boleh membawa maut sekiranya anda tidak mendapatkan rawatan segera? Selalunya, masyarakat hari ini beranggapan mereka menghadapi keracunan makanan atau tersalah makan sekiranya mengalami sakit perut.
    Sedangkan antara tanda-tanda keracunan makanan ini ialah ia hanya akan muncul dalam masa dua hingga 24 jam selepas makan.
    Ia juga bergantung kepada tahap keracunan dan mereka yang mengalaminya mungkin juga akan mengalami demam dan seram sejuk, najis berdarah serta penyahhidratan.
    Keracunan makanan berlaku apabila keradangan perut atau usus yang disebabkan oleh pengambilan makanan tercemar.
    Menurut Pakar Perubatan dan Gastroenterologi Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. Abdul Malik Jamal Buhari, kesakitan pada bahagian perut atau abdomen boleh berpunca daripada pelbagai keadaan yang memberi kesan kepada pelbagai organ.
    Bahagian abdomen adalah terdiri daripada bahagian bawah tulang rusuk, tulang pelvik ke bawah serta kedua-dua sisi badan.
    Biarpun kesakitan pada bahagian abdomen boleh datang daripada tisu di dinding yang mengelilingi rongga abdomen, sakit di bahagian ini selalunya digunakan untuk menerangkan kesakitan yang berasal dari dalam rongga abdomen.
    ‘‘Sekiranya tersalah makan, biasanya anda akan alami cirit-birit atau sakit perut pada awal pagi, sekitar pukul 3 atau 4 dan ia mengambil masa lapan jam selepas makan untuk mengalami tanda-tanda tersebut.
    ‘‘Kebiasaannya anda tidak akan terus mendapat cirit-birit kerana jenis bakteria dan virus yang ada boleh menyebabkan kita muntah-muntah dahulu, iaitu kurang daripada dua hingga tiga jam selepas makan.
    ‘‘Sekiranya anda keracunan makanan, ia akan mengambil satu hingga dua hari untuk baik tetapi kalau ia berpanjangan dan melebihi satu hingga dua minggu, kita kena buat siasatan dan tengok kenapa ada masalah cirit-birit yang berpanjangan,’’ ujarnya ketika ditemui di Kelana Jaya, baru-baru ini.
    Tambah beliau, sekiranya jangkitan ataupun kesakitan masih belum reda ia pasti mempunyai masalah lain seperti sama ada disebabkan oleh masalah metabolik yang menyebabkan cirit-birit, mahupun masalah penyakit radang usus yang boleh menyebabkan sakit perut dan cirit-birit yang berpanjangan disertai pendarahan ataupun kuman di usus oleh parasit seperti ameba yang boleh menyebabkan masalah cirit-birit serta kejadian nanah di hati.
    Jelas beliau lagi, bagi penyakit gastrik pula, sekiranya ia merupakan ulser yang memudaratkan, ia perlu dibedah segera.
    Pesakit juga dinasihatkan menjalani pemeriksaan endoskopi (OGDS) ataupun pemeriksaan segera jika keadaan dilihat membahayakan kesihatan dan nyawa.
    Beliau turut memaklumkan kemungkinan berlakunya gastrik (dispepsia) dengan ulser atau tanpa ulser, mahupun kanser yang berpunca dari aktiviti bakteria helicobacter pylori yang berada di dalam perut dalam jangka masa yang lama, tanpa disedari.
    ‘‘Jangan ambil mudah terhadap gastrik kerana gastrik juga boleh memudaratkan dan juga boleh membawa maut,’’ katanya.
    Untuk itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menganggap sakit perut satu penyakit yang remeh dan diminta berjumpa dengan doktor pada kadar yang segera.
    Menurut Dr. Abdul Malik lagi, sekiranya sakit perut yang dihadapi tidak beransur pulih, eloklah sekiranya dirujuk kepada pakar bedah untuk langkah seterusnya.
    ‘‘Kesakitan pada bahagian abdomen yang kerap mestilah dirujuk kepada pakar perubatan. Ini membolehkan doktor membuat pemeriksaan ke atas perut dan tempat-tempat yang berkenaan untuk mengenal pasti punca serta jenis penyakit yang dihadapi.
    ‘‘Perlu diingatkan, banyak perkara boleh menyebabkan sakit perut ini termasuklah nanah di dalam perut,’’ tambah beliau.
    Anda juga dinasihatkan agar mengamalkan gaya hidup yang aktif dan sihat, diet yang berkhasiat serta makanan yang seimbang yang boleh membantu mencegah atau mengurangkan keasidan gastrik, sembelit serta masalah penghadaman lain.
    Ini sekali gus memelihara perut anda daripada terkena pelbagai jangkitan kuman serta virus yang tidak diingini.