"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Saturday, February 13, 2010

Kanser mata merubah hidup Naizatul

ahun lalu dia seorang kanak-kanak yang ceria dan aktif. Sinaran matanya yang berkilau disangka gurauan rupanya merubah kehidupannya. Mulanya, bapanya, Hasan Jantan, 51 menyangka bebola mata anaknya seperti mata kucing itu hanya perkara biasa. Namun penglihatan Naizatul Syuhada Hasan, 22 semakin tidak jelas.

Kemudian, arwah ibu Naizatul, Rohaini Othman membawa dia ke hospital.

Mulanya, berlaku kekeliruan dan doktor yang merawatnya hanya membuang selaput pada bahagian matanya.

Ramai yang menyangkakan matanya hanya mengalami sakit yang normal dan tidak kritikal.

Tidak cukup hanya itu, terdapat biji-biji pada matanya dan cecair pelik.

Terdetik di hati Naizatul, kenapa ada air mata? Matanya semakin letih.

Pada pembedahan keempat, Naizatul demam dan dia sekali lagi menjalani pemeriksaan terperinci. Ketika itu, seluruh keluarganya terkejut, Naizatul disahkan menghidap kanser mata. Tiada kata yang dapat diucap, mereka hanya bermohon doa agar anak perempuan kedua mereka kembali sihat.

"Doktor ketika itu menasihatkan mata sebelah kanan saya dibuang atau saya menanggung risiko. Jika tidak dibuang, kanser akan sampai ke otak saya dan memberi kesan kepada saraf. Ibu dan bapa saya reda. Walaupun masih kanak-kanak, saya memahami isi hati mereka. Tiada siapa yang ingin melihat saya menderita. Tetapi saya akur dan mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ini," jelasnya yang ditemui di kediamannya di Selayang, Selangor baru-baru ini.

Selepas membuang bahagian mata kanan, Naizatul menjalani beberapa siri kemoterapi seperti pesakit kanser yang lain.

Tidak berputus asa, Naizatul turut mencuba rawatan moden dan Islam untuk memulihkan kesihatannya. Alhamdulillah, saya kini semakin pulih dan dapat bekerja membantu keluarga.

" Majlis Kanser Nasional (Makna) banyak memberi sokongan kepada saya. Makna turut memberi bantuan pembelajaran dan kewangan dengan mengambil kursus pembuatan roti. Bahkan, melalui aktiviti yang dijalankan, ia dapat memberi semangat kepada saya. Saya dapat berjumpa dengan pesakit-pesakit yang lain dan berkongsi masalah," ujarnya.

Dia kini bersyukur kerana mendapat kepercayaan daripada bekas majikannya untuk bekerja di kedai roti yang terletak berhampiran dengan rumahnya.

Katanya, dulu dia tidak mahu bekerja kerana ingin menjaga ibunya yang waktu itu jatuh sakit.

Kebetulan, bapanya pula disahkan menghidap kanser darah. Ibunya yang sakit sesak nafas meninggal dunia pada Oktober 2008.

Naizatul banyak membantu ibu dan bapanya memandangkan dia seorang sahaja yang boleh memandu kereta.

Ditanya, sama ada dia boleh membuat pembedahan mata supaya kembali normal, katanya tidak mungkin.

"Di sini masih belum ada pakar perubatan yang boleh melakukannya. Nak buat boleh tetapi kena mengumpulkan beberapa pakar termasuk pakar kulit, otak dan tulang. Doktor ada memberi saya mata palsu daripada silikon. Tetapi ia nampak pelik dan orang sekeliling yang melihat turut berasa janggal. Saiz mata silikon itu tidak sama dengan mata sebenar saya. Ia nampak pelik. Sebab itu, saya lebih selesa berjalan dengan mata sebelah. Walaupun ada gelaran yang kurang sedap didengar, saya reda. Kini saya sudah lebih selesa dan bebas bergerak. Tidak kisahlah kalau ada orang nak panggil saya 'lanun'," katanya yang menjalani kemoterapi sebanyak enam kali.

Dalam pada itu, bapanya yang masih lagi menjalani rawatan di hospital kini banyak bergantung kepada ubat-ubatan. Dalam pada itu, Hasan tidak lupa menjalani rawatan Islam dan dia bersyukur kerana kesihatannya semakin pulih walaupun tidak secergas dulu.

"Jika ada rezeki saya akan menjalani ibadat umrah pada bulan Mac ini sebelum anak sulung saya melangsungkan perkahwinan pada bulan April. Walau apa sahaja dugaan yang kita dapat, sabar dan reda itu penting. Segala keburukan itu datang daripada kita dan kebaikan itu daripada-Nya. Walaupun kami diuji dengan pelbagai ancaman penyakit, kami bersyukur kerana dapat meneruskan kehidupan seperti insan normal yang lain," ujarnya.

Sepanjang merawat penyakitnya, Hasan menjalani rawatan dialisis buah pinggang. Kesan daripada kanser yang dihadapi, Hasan juga mengalami sakit tulang belakang. Walaupun fizikalnya masih nampak sihat, namun tiada siapa tahu penderitaan yang dihadapi Hasan. Berkat kesabaran, Hasan meneruskan kehidupan demi anak-anaknya. Dia kini banyak melakukan senaman ringan dan menjaga pemakanan.

Berjuang mengharungi penyakit kanser

SELAGI anda adalah wanita, selagi itu anda akan terdedah kepada kanser payu dara. Justeru, penyakit ini tidak boleh dipandang remeh dengan alasan anda tidak mempunyai sejarah keluarga berpenyakit kanser, rajin bersenam atau mengamalkan pemakanan sihat. Kanser payu dara adalah kanser yang paling popular dari semua jenis kanser dan ia juga merupakan kanser yang paling sinonim di kalangan wanita yang berumur 20 tahun dan ke atas.

Menurut laporan Daftar Kanser Kebangsaan 2003, seorang wanita di Malaysia mempunyai 1 nisbah 19 berkemungkinan menghidap kanser payu dara dalam hayat mereka manakala dalam laporan pada tahun 2006, 29.9 peratus daripada jumlah kes kanser wanita yang didiagnosis adalah kanser payu dara. Golongan yang paling ramai didiagnos berumur dalam lingkungan 50 - 59 tahun.

Di Malaysia, kekurangan maklumat tentang kanser, terutamanya dalam bahasa utama seperti bahasa Melayu adalah satu isu yang berkaitan dengan tahap pengetahuan masyarakat terhadap penyakit ini. Termasuk mereka yang berada di kawasan luar Lembah Klang dan bandar utama, mereka kurang akses kepada maklumat dan sokongan kanser.

Justeru itu, pendidikan, maklumat dan sokongan mengenai kanser terutamanya kepada mereka yang telah didiagnosis kanser, pesakit yang terselamat dan ahli keluarga adalah sangat penting. Secara fitrahnya, didiagnosis kanser payu dara merupakan perkara yang paling sukar diterima oleh seseorang, hanya tangisan dan kesedihan yang akan menemani mereka pada waktu ini. Didiagnosis kanser akan memberi kesan kepada emosi dan ia perlu diberi perhatian yang sewajarnya. Bukan mudah untuk seseorang itu memahami emosi pesakit kanser. Apatah lagi bagi mereka yang sudah berkeluarga, perkara ini di anggap dugaan yang paling besar bagi mereka. Hanya seseorang yang pernah berhadapan dengan situasi sebegini yang akan memahami emosi mereka yang senasib dengannya.

Sehubungan dengan itu, Persatuan Kanser NetWork Selangor dan Wilayah Persekutuan (KanWork) telah ditubuhkan atas usaha projek pendidikan Kanser UPM-Cornell untuk memberikan sokongan dan pendidikan kepada mereka yang berhadapan dengan kanser (those affected by Cancer) samada pesakit, ahli keluarga, kawan, atau sesiapa sahaja.

KumpulanKanWork adalah satu kumpulan sokongan yang menjalankan aktiviti 'outreach' atau aktiviti mendampingi komuniti. Aktiviti tersebut adalah bermatlamat untuk memberikan kesedaran, pendidikan dan sokongan mengenai kanser kepada mereka yang telah didiagnosis kanser, pesakit yang terselamat, ahli keluarga, kawan atau sesiapa sahaja yang ada kaitan dengan kanser.

Aktiviti yang dilaksanakan oleh KanWork adalah seperti perkongsian pengalaman, sokongan spiritual dan membantu dengan memberikan sokongan emosi dan sosial antara satu sama lain. Ini adalah kerana kumpulan sokongan ini dikendalikan oleh pesakit kanser itu sendiri. KanWork juga mengadakan lawatan ke wad, lawatan ke rumah, menyediakan pendidikan komuniti, jaringan rakan sebaya, jaringan sokongan e-group, aktiviti riadah & sosial serta program sukarelawan.

Selain itu, KanWork juga bekerjasama dengan dua buah pusat sumber kanser yang terletak di Hospital Putrajaya (HPj) dan di Fakulti Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM). Pelbagai program dijalankan oleh KanWork di kedua-dua buah pusat sumber ini pada setiap bulan seperti forum kesihatan yang dikendalikan oleh pegawai perubatan profesional. Selain itu, pelbagai program telah di aturkan sepanjang tahun 2010 di Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRE).

Sokongan melalui KanWork dan khidmat kaunseling profesional juga turut disediakan. Jika anda mahupun seseorang yang anda sayangi mengidap kanser, hubungi KanHelp Line di talian bebas tol (1 800 22 2233) ataupun layari laman web (1) www.cancereducation.org.my/ (2) www.ipsas.upm.edu.my/caed/ dan (3) www.ipsas.upm.edu.my/kanwork, ataupun mereka boleh datang dengan melihat sendiri kemudahan yang disediakan di CaRE, beralamat di Tingkat 7, Makmal Blok A, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, 43400 Serdang, Selangor.

Gout penyakit eksklusif lelaki

GOUT adalah penyakit eksklusif untuk lelaki dan jarang sekali berlaku kepada wanita. Jika ada pun, kemungkinan berlaku hanya selepas wanita mengalami menopaus.

Apabila gout menyerang, kaki akan menjadi bengkak, panas dan amat sakit hingga ada sesetengah pesakit tidak boleh berjalan. Gout kronik berupaya untuk mengganggu kehidupan harian yang normal. Paling digeruni adalah kecacatan sendi dan otot, sama ada kecacatan ringan atau berat.

Kajian menunjukkan bahawa pesakit gout juga berisiko untuk mendapat penyakit sistem kardiovaskular serta berupaya menyebabkan kegagalan ginjal.

Penulis mendapatkan pandangan Pakar Perunding Rheumatik, Dr. Anwar Samhari Mat Arshad dari Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang mengenai penyakit yang digelar 'Disease of King' ini.

Bagaimana serangan gout berlaku?

l Akibat pemendapan kristal asid urik dalam rongga sendi. Lama kelamaan akan menyebabkan kristal garam dan mencetuskan rasa sakit sendi teramat sangat. Selalunya bermula dari sendi ibu jari kaki dan menular ke sendi lain.

l Serangan gout berpunca dari peningkatan kadar asid urik dalam darah (hyperuriceamia).

Jenis-jenis gout:

Gout boleh dibahagikan kepada empat peringkat; -asimptomatik (tiada simptom), -akut -simptom gout berlaku secara cepat dan tiba-tiba; biasanya hanya menyerang tisu lembut pada beberapa sendi.

l interkritikal

l kronik -serangan gout boleh berlaku berulang-ulang yang dipanggil polyarticular gout. Pesakit akan berasa amat sakit, kejang dan kaki berubah bentuk. Ada juga yang mungkin menghadapi masalah kaki bengkak, merah, panas dan demam.

Tofus

Pengumpulan asid urik boleh dilihat melalui pembentukan benjolan kecil di permukaan kulit yang dipanggil tofus. Pada keadaan yang lebih serius, tofus yang terlalu besar mungkin pecah dan mengeluarkan bahan seperti kapur. Selain kaki, gout juga boleh berlaku pada anggota badan yang lain seperti buku lali, lutut, tangan dan pergelangan tangan.

Jumlah tofus berkait rapat dengan berat badan dan kadar asid urik di dalam badan manusia. Tofus akan berkurangan apabila kadar asid urik berada di bawah paras empat mg/dl, dan menjadi lebih besar berat jika paras asid urik berlebihan dari 11 mg/dl.

Bagaimanapun, bukan semua sakit sendi disebabkan kristal asid urik kerana pemendapan kalsium pirofosfat dihidrat juga boleh menyebabkan kesakitan pada pergelangan kaki, lutut dan pergelangan tangan - yang dipanggil gout palsu atau pseudogout.

Risiko

l Jantina - lelaki lebih berisiko mendapat gout pada kadar 90 peratus.

l Gaya hidup - Individu yang banyak minum minuman keras terutama bir dikatakan lebih berisiko mendapat gout.

l Obesiti - individu yang mempunyai berat badan lebih 66 kilogram daripada berat badan normal.

l Sesetengah penyakit - tekanan darah tinggi yang tidak dikawal, diabetes, hiperdislipidemia (paras lemak dan kolesterol yang tinggi) dan arteriosklerosis (penyempitan salur darah)

l Individu yang menjalani pembedahan atau mendapat sakit tenat secara tiba-tiba.

l Ubat tertentu - ubat mengawal tekanan darah dan kemoterapi juga dikenal pasti boleh meningkatkan paras asid urik dalam badan.

l Genetik - kajian mendapati satu daripada empat pesakit datang daripada keluarga yang ada masalah gout.

l Umur - gout biasa menyerang pesakit tua tetapi kini banyak kes membabitkan pesakit berumur 30 hingga 50 tahun. Manakala bagi wanita, kebanyakan kes bermula selepas umur putus haid.

Bila sepatutnya mendapatkan rawatan?

Dapatkan rawatan doktor dengan segera apabila sendi berasa panas, bengkak dan sakit kerana jika tidak dirawat masalah ini akan bertambah buruk serta boleh menyebabkan kerosakan sendi.

Rawatan

Buat masa sekarang, tiada rawatan khas untuk menyembuhkan gout tetapi masalah ini boleh dikawal dengan mengambil ubat penahan sakit bukan steroid (NSAIDs) seperti endomethacin, diclofenac atau ubat penahan sakit generasi baru seperti celebrex dan arcoxia.

Individu yang kerap mengalami serangan gout akan dibekalkan dengan ubat allopurinol oleh doktor untuk mengimbangkan paras asid urik dalam badan yang perlu diambil sepanjang hayat.

Beberapa ubat yang dicadangkan bagi rawatan jangka panjang termasuk uricosuric (probenecid dan sulphinpyrazone).

Manakala untuk serangan mendadak, pesakit boleh mengambil ubat antiinflamatori bukan steroid (NSAIDs), colchicine (untuk serangan yang kurang kerap) dan corticosteroids.

Untuk pesakit darah tinggi yang juga mengalami gout, disarankan untuk mengambil ubat darah tinggi yang dipanggil Losartan yang juga berkebolehan untuk menurunkan paras asid urik. Sejenis ubat anti-kolesterol yang dipanggil Lipanthyl juga mempunyai fungsi yang sama.

Diet untuk pesakit gout:

l buah ceri dan strawberi didapati mampu mengurangkan asid urik.

l elakkan makanan tinggi purin iaitu yang berasal dari sumber protein

l hadkan memakan daging kepada satu hidangan sehari

l kurangkan memakan organ dalaman haiwan, sardin dan ikan bilis dan hasil daging.

Makan secara sederhana:

l asparagus, kacang lentil, kacang pea, cendawan, bunga kobis dan bayam.

l minum banyak cecair, terutamanya air, untuk mencairkan dan membantu proses penyingkiran asid urik.

l berhati-hati dengan ubat seperti aspirin, diuretik, vitamin C.

Berikan anak anda permulaan yang baik

RAKAN menyarankan saya agar memberikan anak saya suplemen DHA. Mengapa suplemen DHA sangat digalakkan untuk kanak-kanak? Adakah keperluan di kalangan orang dewasa tidak penting?

JAWAPAN:

Otak mengandungi sekitar 60 peratus lemak. Asid lemak omega-3, terutamanya asid dokoheksanoik (DHA) dijumpai dengan jumlah yang banyak dalam otak dan sistem saraf. Perkembangan otak dan sistem saraf telah bermula semasa kehamilan sehingga kelahiran. Memandangkan ia merupakan organ yang tidak lengkap semasa dilahirkan dan akan terus membesar dalam tahun beberapa tahun pertama kehidupan, maka pemakanan yang baik tentunya memberi kesan bukan sahaja kepada perkembangan fizikal tetapi juga kecerdasan mental.

Asid dokoheksanoik adalah rantaian panjang asid lemak tidak tepu (LCP) dalam keluarga omega 3 dan merupakan blok binaan untuk sel-sel dalam otak, mata dan sistem saraf pusat. Memandangkan asid lemak omega 3 tidak dapat dihasilkan badan, diet yang kaya dengan omega 3 adalah penting untuk memastikan proses tumbesaran dan perkembangan yang baik.

Kajian menunjukkan pengambilan DHA dan EPA yang mencukupi semasa hamil dan penyusuan boleh mengurangkan risiko alahan makanan dan ekzema di kalangan bayi dan zaman kanak-kanak. Manakala pengambilan berterusan di kalangan kanak-kanak membantu mengekal dan menyokong fungsi otak dan mata termasuk keupayaan belajar, konsentrasi, koordinasi dan transmisi saraf.

Wanita hamil dan menyusu disarankan mengambil DHA yang mencukupi untuk kesihatan yang baik. Ini kerana penyusuan ibu akan memindahkan LCP ibu kepada bayi. Dan para ibu seharusnya menambahkan pengambilan DHA semasa tempoh penyusuan. Wanita yang kerap hamil juga mempunyai konsentrasi plasma DHA yang lebih rendah. Wanita yang kekurangan DHA pula berkecenderungan tinggi mengalami kemurungan selepas bersalin.

Asid-asid lemak perlu seperti DHA, AA, GLA merupakan nutrien penting untuk mengekalkan minda dan tubuh yang aktif dan sihat. Maka, pengambilan asid-asid lemak perlu ini akan memberi manfaat kepada semua tanpa mengira usia, samada kanak-kanak, remaja, dewasa, ibu hamil dan menyusu, kanak-kanak istimewa mahupun warga tua kerana semua peringkat usia ini memerlukan kesihatan mental yang baik.

Masalah pendengaran jejas pergaulan

Komunikasi merupakan elemen penting dalam proses berinteraksi.

Komunikasi yang baik membolehkan semua orang mendengar sekali gus memahami apa yang cuba disampaikan.

Ada ketikanya adakah anda perasan bahawa terdapat salah seorang ahli keluarga akan berasa gelisah sekiranya hendak diadakan perjumpaan keluarga?

Anda dan keluarga mungkin mengalami situasi salah faham apabila mendapati ada sesetengah ahli keluarga yang cuba memencilkan diri ketika ahli keluarga yang lain sedang rancak berbual.

Ini terjadi apabila mereka merasakan bahawa mereka tidak dapat memahami pertuturan ahli keluarga yang lain, mereka akan berasa malu.

Sekiranya perkara ini terjadi, pernahkah cuba memahami apa masalah yang dihadapi oleh mereka atau adakah mereka sebenarnya mengalami masalah pendengaran?

Tidak menjadi kesalahan sekiranya membawa ahli keluarga yang bermasalah menjalani ujian pendengaran kerana ia merupakan satu langkah yang wajar dilakukan.

Tinjauan yang dilakukan oleh British Study baru-baru ini mendapati kebanyakan salah faham antara ahli keluarga disebabkan masalah pendengaran.

Tinjauan tersebut yang dilakukan ke atas 1,500 orang yang menghadapi masalah pendengaran mendapati 44 peratus percaya perhubungan antara keluarga serta rakan-rakan menjadi hambar disebabkan masalah pendengaran.

Satu pertiga lagi iaitu 34 peratus pula hilang kawan dan mengalami kehancuran rumah tangga disebabkan masalah komunikasi yang berpunca daripada pendengaran.

Sementara itu dua pertiga (69 peratus) pula berkata, masalah pendengaran yang dihadapi menyukarkan untuk berkomunikasi setiap hari manakala 52 peratus lagi merasakan mereka disisihkan dalam masyarakat.

Dalam hal ini, perempuan (72 peratus) lebih terdedah kepada masalah ini berbanding lelaki.

Hampir setengah (49 peratus) berkata kehilangan pendengaran merupakan satu perkara yang paling teruk jika hendak dibandingkan dengan meningkatnya usia (menjadi tua).

Jika anda berpendapat bahawa statistik di atas tidak relevan dengan rakyat Malaysia, anda diharapkan agar berfikir dua kali.

Ini kerana menurut Institute of Public Health, di Malaysia, seorang daripada lima orang mengalami masalah pendengaran.

Ini bermakna 5.4 juta rakyat Malaysia mengalami masalah pendengaran sama ada secara sedar atau pun tidak.

Sebenarnya kehilangan deria pendengaran tidak melibatkan gaya hidup seseorang itu terutama di dalam perhubungan.

Cuba anda berfikir sejenak. Bagaimana sekiranya orang yang anda sayang mengalami masalah pendengaran sekali gus menyebabkannya kehilangan keupayaan untuk berkomunikasi?

Selalunya masyarakat kita akan menyedarinya apabila perkara tersebut telah berlaku.

Menurut Pengarah Urusan Clarisound Professional Hearing Care, Kieran McCarry, lazimnya mereka yang mengalami masalah pendengaran tahu bahawa mereka mempunyai masalah tersebut tetapi tidak menyedari bahawa mereka juga boleh menjadi pekak.

''Sesetengah orang akan berkata, saya boleh mendengar tetapi boleh tak mereka bercakap dengan lebih jelas?

''Tetapi sejauh mana mereka hendak menyangkal masalah yang mereka hadapi sedangkan mereka berusaha untuk mendengar segala perbualan atau percakapan,'' ujar McCarry yang juga merupakan ahli audiologi alat bantuan pendengaran.

Penafian merupakan satu halangan yang paling berkuasa dan anda seharusnya tidak mudah berputus asa terutama apabila anda amat mementingkan gaya hidup yang berkualiti.

Jadi, bermula hari ini jangan tunggu lama untuk menyelamatkan perhubungan anda di kalangan ahli keluarga yang lain dengan mendapatkan pemeriksaan percuma di cawangan Clarisound yang berdekatan.

Untuk maklumat lanjut anda boleh hubungi Clarisound ditalian 03-2282 1882 atau layari www.clarisound.com.