"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Wednesday, September 30, 2009

Basuh tangan hindar H1N1




PENJAGAAN kebersihan diri harus diberi keutamaan bagi mengelak atau mengurangkan risiko daripada mendapat penyakit. Sementelah pula ketika ini penularan wabak Influenza A (H1N1) semakin sukar dibendung, maka penjagaan diri sempurna tidak harus dipandang remeh.




Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, antara amalan harian yang boleh dilakukan rakyat untuk mengurangkan risiko dijangkiti wabak seperti selesema adalah kekerapan membasuh tangan menggunakan sabun dan air, menutup mulut dan hidung dengan tisu sewaktu batuk atau bersin, membuang tisu selepas digunakan, tidak keluar rumah seandainya sakit, mengelak menyentuh mata, hidung dan mulut serta mengehadkan hubungan dengan mereka yang sakit.




Selain itu, perlu mengamalkan gaya hidup sihat dengan diet seimbang serta kerap bersenam bagi meningkatkan sistem imun badan.




Di samping itu, maklumat daripada Kementerian Kesihatan serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit menunjukkan membasuh tangan dengan sempurna penting kerana tangan menyebarkan kira-kira 80 peratus penyakit berjangkit seperti demam dan selesema, maka dengan membasuh tangan - andai dilakukan dengan sempurna - adalah cara paling berkesan untuk mencegah penularan penyakit.






Menyedari kepentingan membasuh tangan, rangkaian sabun anti bakteria Antabax melancarkan program kesedaran dan pendidikan 'Antabax - Pelindung Utama Anda Demi Membasmi Kuman' sempena Ramadan dan Aidilfitri bersama dengan Stesen KL Sentral, baru-baru ini.






Sepanjang bulan Ramadan ini, semua tandas dan tempat membasuh tangan di tingkat satu dan dua Stesen KL Sentral akan dilengkapi dengan sabun cecair anti bakteria Antabax dan poster mengenai kaedah mencuci tangan dengan betul.




Selain itu, sebanyak 100,000 risalah pendidikan penjagaan kebersihan diedarkan sepanjang promosi bergerak enam hari bagi membolehkan pengunjung hab pengangkutan itu menyertai demonstrasi membasuh tangan dengan menyeluruh.






Sebanyak 10,000 kit penjagaan diri Antabax yang terdiri daripada paket Antabax, topeng muka dan risalah turut diedarkan semasa kempen itu.






Pengurus Pemasaran Lam Soon (Bahagian Pemasaran Isi Rumah dan Penjagaan Diri), Carmen Foo berkata, Stesen KL Sentral adalah hab utama pengangkutan di Lembah Klang yang menghubungkan seluruh Malaysia.






''Bulan puasa ini menyaksikan lebih banyak perjalanan domestik terutama di kalangan umat Islam apabila mereka bersesak untuk pulang ke kampung untuk berhari raya atau berbuka puasa bersama sanak saudara atau sahabat handai.






''Memang mendukacitakan apabila ada sanak saudara dijangkiti wabak ini terutama musim berhari raya. Oleh itu amat penting bagi semua pihak mengurangkan risiko penularan wabak ini dengan mengetahui penjagaan diri yang betul," katanya.






Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Semasa Sentral Sdn. Bhd., Roslan Datuk Mohd. Shariff menjelaskan, program bersama Antabax ini tepat pada masanya dan begitu relevan kerana ia diadakan menjelang waktu puncak ketika jumlah aliran penumpang dijangka berlipat ganda.




''Ini merupakan sumbangan positif terhadap usaha kerajaan bagi membendung penularan semua wabak penyakit berjangkit, termasuk virus A (H1N1), terutama menjelang musim perayaan ini,'' katanya.




Pentingnya jantung pekerja


MELIHAT telatah kanak-kanak, dapat dirasakan dengan jelas perbezaan keseronokan yang dikecapi dalam bergerak, bermain dan bergembira.


Bagi kanak-kanak, semua perkara merupakan satu pengalaman baru yang perlu diterokai, sementara ada di antara golongan dewasa seakan hilang rasa teruja terhadap persekitarannya.


Bolehkah semua ini digalaskan puncanya terhadap suasana kerja dalam zaman moden yang pantas dan menyerabutkan kepala?


Mungkin frasa kata bekerja untuk hidup (mencari rezeki) kini lebih sesuai ditukar kepada hidup untuk bekerja.


Dikerjakan


Mungkin disebabkan keinginan mengejar kemewahan ataupun aplikasi teknologi moden dalam pekerjaan telah memaksa ramai pekerja menghabiskan lebih banyak masa di pejabat daripada di rumah.


Balik ke rumah juga cuma untuk tidur, kadang kala hanya untuk beberapa jam sebelum terpaksa bangun awal untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas untuk ke pejabat semula.


Bertuah sekali bagi golongan pekerja yang tidak terperangkap dalam rutin 'maut' yang menambah tekanan mental dan fizikal kerana akhirnya ia bukan sahaja akan merosakkan badan pekerja, malahan memberi kesan kepada organisasi yang mengupah mereka.


Masakan tidak, organisasi tersebut perlu menanggung kos perubatan yang tinggi dan juga kehilangan produktiviti tenaga kerja berkenaan.


Untuk itu, Pakar Perunding Kardiologi, Jabatan Kardiologi, Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Shaiful Azmi Yahya menekankan pentingnya menjaga kesihatan diri dan jantung di tempat kerja.


"Sempena Hari Jantung Sedunia hari ini, kita perlu memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan jantung pekerja.


"Memandangkan kita menghabiskan lebih masa masa di tempat kerja, jangan biarkan diri terperangkap dalam gaya hidup yang boleh merosak dan menjejaskan kesihatan diri," katanya.


Beliau menyarankan kaedah mudah seperti banyakkan berjalan, menggunakan tangga (bukannya lif), menjaga apa yang dimakan dan tidak merokok untuk memastikan diri kekal sihat.


Tegasnya, majikan juga boleh menonjolkan sifat prihatin dengan menyediakan sedikit kemudahan untuk bersenam (gim) dan kafeteria yang menghidangkan pilihan makanan seimbang.


"Bagi sesebuah organisasi, kesihatan kakitangan menjadi tunjang kejayaan dan kelangsungan mereka.


"Jika pekerja sakit, organisasi tersebut juga yang akan kerugian dari segi pembiayaan perubatan dan juga kehilangan produktiviti kerja!"


Dr. Shaiful Azmi mendakwa masalah jantung kini berada di tangga kedua pembunuh utama rakyat Malaysia, di belakang jangkitan kuman (seperti denggi dan sebagainya).


"Sedangkan kereta juga kita perlu servis untuk pastikan bergerak lancar, inikan pula badan dan jantung kita.


"Lakukan pemeriksaan sebelum sebarang masalah timbul, terutamanya untuk mereka yang melebihi umur 40 tahun atau dalam kumpulan berisiko," ujarnya.


Beliau memaklumkan banyak mangsa serangan jantung yang akan menemui ajal (sekitar 20 peratus).



Tambahnya, bukan sahaja keluarga kehilangan orang tersayang, malahan majikan akan kehilangan tenaga kerja di usia mereka paling produktif.


Saringan dari ketika diri masih sihat juga sebenarnya melindungi dari bebanan kos rawatan jika mengalami penyakit jantung.



Dr. Shaiful Azmi menjelaskan kos rawatan pesakit dengan masalah jantung boleh melangkaui RM20,000, dan ini belum termasuk kos rawatan susulan.


"Pembedahan, prosedur rawatan, ubat dan kos ditahan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) menelan belanja besar bagi seseorang pesakit jantung.


"Kos ini akan menjadi lebih tinggi sekiranya terdapat komplikasi semasa rawatan. Untuk itu, pemeriksaan berkala dan pencegahan dari awal dapat menyelamatkan anda dari beban kewangan untuk rawatan penyakit jantung kelak," tegasnya.


Kos rawatan yang besar ini juga pasti menjejaskan kewangan majikan, terutamanya jika terpaksa menanggung rawatan untuk ramai kakitangan dengan masalah jantung.


Untuk itu, jangan diabaikan atau diambil mudah kelebihan saringan dan pemeriksaan berkala yang hanya menelan belanja kecil berbanding rawatan selepas sakit.



Abaikan


Antara kesan jelas pengabaian kesihatan diri adalah kehilangan beberapa pemimpin, sehinggakan negara tidak putus-putus mengadakan pilihan raya kecil.


Dr. Shaiful Azmi turut berkongsi rasa kecewa bagaimana masalah jantung tetap diambil mudah masyarakat umum.


"Kita sering kali menganggap semua orang tiada masalah jantung. Pemeriksaan kesihatan jantung selalunya diabaikan selagi seseorang itu kelihatan sihat atau tidak menunjukkan sebarang gejala penyakit.


"Pemeriksaan jantung sepatutnya dimulakan ketika kita masih sihat lagi, bukannya selepas sudah sakit. Periksa dari awal! Jika tiada masalah, boleh ulang saringan selepas satu atau dua tahun," tegasnya.



Menurut beliau, pemeriksaan berkala dari ketika badan masih sihat dapat memastikan tiada masalah pada jantung dan juga dapat mengesan sebarang masalah dari peringkat awal.



Tambahnya, jika kerosakan jantung lewat dikesan, dan pada usia yang sudah lanjut, pasti amat sukar untuk memulihkan dan merawat masalah tersebut.


"Ada juga yang mengalami sakit dada tetapi hanya mengabaikannya. Risiko untuk masalah jantung juga telah berulang kali dinyatakan tetapi masih ramai yang tidak ambil peduli.


"Mereka yang mempunyai faktor risiko masalah jantung perlu beri perhatian dan jalani pemeriksaan berkala sebelum berlakunya kerosakan yang tidak dapat dirawat lagi!"



Mengerjakan


Puasa selama satu bulan telah melatih diri kita untuk mengurangkan pengambilan makanan, terutamanya jenis yang memudaratkan badan.



"Semasa Ramadan, kebiasaannya ramai yang mengurangkan pengambilan makanan berlemak, berminyak ataupun air berkarbonat.


"Namun, semua kebaikan yang dikumpulkan sepanjang berpuasa boleh musnah dalam satu Hari Raya sahaja jika tidak menjaga apa yang dimakan," tegas Dr. Shaiful Azmi.


Beliau menyarankan orang ramai meneruskan amalan baik sepanjang Ramadan supaya segala manfaat kesihatan dapat dikekalkan selepas 1 Syawal, sehingga Ramadan tahun hadapan dan selama yang boleh.


"Jika tidak boleh ubah gaya hidup secara drastik sekalipun, ubah sedikit-sedikit dahulu. Mulakan dengan puasa sunat selepas Hari Raya.


"Berpuasa bukan sahaja baik untuk perut, malahan organ-organ lain, termasuklah jantung anda," katanya.


Selain kolestrol tinggi (makanan berlemak), tekanan darah tinggi, diabetes, tekanan (stres), obesiti dan kurang bersenam, Dr. Shaiful Azmi sekali menegaskan peranan rokok terhadap masalah jantung.


"Sudah berbuih mulut mengulang kesan rokok terhadap jantung dan kesihatan badan. Pekara ini masih sukar dikawal sepenuhnya memandangkan rokok menjadi sumber pendapat pihak tertentu.


"Walaupun beberapa langkah sebelum ini masih kurang memberi kesan terhadap tabiat buruk ini, tindakan kerajaan meningkatkan jumlah tempat larangan merokok dilihat dapat membantu mengurangkan kesan asap rokok."



Beliau menekankan perlunya menghalang tabiat merokok mengambil tempat di usia remaja dan kanak-kanak lagi untuk menghalang bilangan perokok terus meningkat.



"Jangan dilupa, masih banyak pesakit yang mengalami masalah atau penyakit jantung akibat rokok," ujarnya.


Dr. Shaiful Azmi terus menegaskan pentingnya pemeriksaan awal, semasa masih sihat dan bukannya selepas sudah timbul gejala penyakit.


"Saya sendiri menjalani pemeriksaan berkala, termasuk pemeriksaan darah bagi memastikan tiada bacaan yang melebihi tahap normal.


"Jika pemeriksaan mengesan sesuatu masalah sekalipun, kita masih mempunyai pilihan seperti mengubah gaya hidup, pemakanan dan senaman sebelum perlu mengambil sebarang ubat atau rawatan," jelasnya.


Tambahnya, sedangkan kereta yang dibeli mahal dijaga rapi, inikan pula badan dan jantung kita.



Peliharalah jantung anda supaya tidak luput nyawa secara tiba-tiba.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0927&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

Serat bantu lambatkan lapar


Aspek pemakanan sihat penting didik kanak-kanak berpuasa


PEMILIHAN makanan yang betul membantu kanak-kanak dalam menjalani ibadah puasa. Walaupun mereka mungkin tidak mampu berpuasa penuh sehari, namun memberi mereka juadah mengikut piramid makanan membantu melambatkan proses lapar.



Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Norlaily Md Nasir, berkata aspek pemakanan sihat dan seimbang penting dalam mengajar kanak-kanak berpuasa.

“Makanan berserat perlu ditekankan kerana ia melambatkan proses lapar,” katanya.


Selain makanan berserat, pilihlah makanan seperti roti, nasi, bijirin dan ubi juga perlu dihidangkan ketika berbuka dan bersahur bagi membekalkan tenaga kepada kanak-kanak.



“Daging, ayam, ikan, kekacang, susu dan hasil tenusu perlu ada dalam penyediaan juadah berbuka puasa kerana ia penting dalam membekalkan sumber protein dan kalsium yang berguna untuk pertumbuhan dan kesihatan tulang mereka.


“Ada persepsi kononnya mengambil makanan berminyak dapat membantu kanak-kanak menjalani ibadah puasa dengan melambatkan rasa lapar. Bagaimanapun, ia salah sama sekali sebaliknya, pengambilan makanan yang berminyak membahayakan kesihatan.



“Makanan berminyak cenderung meningkatkan risiko obesiti dan penyakit. Pilihlah makanan berserat kerana ia berupaya melambatkan rasa lapar,” katanya,



Lebih utama, kata Norlaily, banyak minum air kosong kerana ia bertindak menyingkirkan kotoran dan toksin dalam badan. Selain ia diperlukan bagi mengelak berlaku dehidrasi, ia juga memberi kesan yang buruk pada kesihatan kanak-kanak.



Perkara lain yang perlu diutamakan juga dalam pemilihan diet kanak-kanak sama ada mereka berpuasa atau tidak ialah pengambilan makanan yang membekalkan tenaga seperti roti, nasi, mi, bijirin, ubi dan kentang.


“Makanan berserat melambatkan proses lapar manakala makanan berprotein penting untuk pertumbuhan tisu badan,” katanya.



Norlaily berkata, selain kanak-kanak, ibu yang hamil pertama kali menjalani ibadah puasa juga perlu memberi tumpuan kepada pemilihan makanan.


Ini kerana banyak perubahan fisiologi ketika hamil, sekali gus keperluan kalori, nutrisi seperti protein, kalsium, zat besi dan vitamin serta mineral lain sangat diperlukan.



Pemakanan seimbang dan sihat ketika hamil masih diperlukan berdasarkan piramid makanan yang mengandungi empat aras makanan yang penting. Hidangan makanan yang diambil setiap hari perlulah mengandungi:


· Aras pertama - nasi, roti, mi, bijirin dan ubi Makanan dalam aras ini berfungsi untuk membekalkan tenaga dan perkembangan janin.


· Aras kedua - sayur-sayuran dan buah-buahan Makanan dalam aras ini berfungsi membekalkan vitamin dan mineral untuk mencegah berlaku sembelit ketika kehamilan. Vitamin C, vitamin A serta zat besi juga boleh diperoleh dalam sayur-sayuran dan buah-buahan.


· Aras ketiga - ayam, daging, ikan, telur, kekacang, susu dan produk tenusu. Makanan dalam aras ini berfungsi membekalkan sumber protein yang penting dalam pertumbuhan tisu. Selain itu, makanan ini juga membekalkan sumber kalsium yang penting dalam pertumbuhan tulang serta zat besi untuk pembentukan darah.


· Aras keempat - lemak, minyak, gula dan garam


Makanan dalam aras ini membekalkan vitamin larut lemak (A, D, E dan K) serta asid lemak untuk perkembangan otak.


Secara mudah, ibu hamil perlu mempelbagaikan pengambilan makanan dan tidak hanya mengambil satu jenis makanan saja kerana ia membekalkan pelbagai jenis nutrien yang diperlukan sepanjang kehamilan.



Kata Norlaily, selain bertindak melambatkan proses lapar, pemilihan makanan berserat membantu mengelakkan sembelit terutama serat jenis tidak larut yang bertindak sebagai ‘span’ dalam menyerap air di usus.


Ia membantu melancarkan proses penghadaman dan perkumuhan. Makanan berserat juga dipercayai boleh menyingkirkan toksin dalam badan yang menyebabkan kita berasa lesu dan letih. Ini kerana kehadiran vitamin dan mineral dalam makanan berserat membantu proses penyingkiran toksin ini.



Info



Serat


· Makanan berserat boleh didapati dalam dua bentuk iaitu serat larut dan serat tidak larut.


· Serat larut berkesan mengurangkan tahap gula dan tahap kolesterol dalam darah. Ia juga menggalakkan penyerapan nutrien daripada makanan ke dalam badan. Contoh makanan yang mempunyai serat larut adalah sayur-sayuran (peria,kubis), buah-buahan, kekacang, bijirin penuh.


· Serat tidak larut berfungsi memastikan salur pencernaan bebas halangan. Serat jenis ini menyerap air, sekali gus membantu cepat kenyang. Antara bijirin penuh dan sayur-sayuran.


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Sihat/20090830093017/Article/

Monday, September 28, 2009

Kolesterol boleh diwarisi


Kajian dapati pemendapan dalam salur darah boleh berlaku seawal usia dua tahun

FAKTOR pemakanan yang tidak dikawal dan malas bersenam sememangnya diketahui antara menyumbang peningkatan kolesterol dalam darah. Bagaimanapun ada satu lagi penyebab, yang tidak boleh diubah tetapi masih boleh dicegah iaitu Familial Hypertriglyceridemia.


Masalah ini merujuk tahap kolesterol dalam darah yang tinggi dan penghasilan kolesterol di hati yang lebih aktif berbanding orang lain.

Puncanya? Pasti ramai yang terkejut apabila mengetahui masalah kesihatan ini diwarisi secara genetik. Familial Hypertriglyceridemia berlaku disebabkan kekacauan genetik dan secara mudah bermaksud anda memperoleh ‘salinan’ yang tidak baik daripada gen keturunan iaitu sama ada ibu atau bapa anda.


Lebih membimbangkan, keadaan ini secara umumnya tidak disedari sehinggalah seseorang itu sudah akil baligh atau awal kedewasaan.



Pakar Perubatan Kardiologi, Pusat Perubatan Heart Care Kuala Lumpur (KLHC), Dr Mohd Rafik Ahmad Marican, berkata secara perbandingan mereka yang bebas Familial Hypertriglyceridemia tetapi berdepan dengan masalah kolesterol tinggi mungkin meninggal dunia pada usia 50 tahun kerana serangan jantung.

Sebaliknya, mereka yang berdepan masalah Familial Hypertriglyceridemia berkemungkinan meninggal dunia akibat serangan jantung pada usia yang lebih muda, iaitu mungkin sekitar 20 ke 30 tahun.


“Pemendapan kolesterol dalam salur darah sebenarnya bermula seawal usia dua tahun. Jika mereka yang mengalami Familial Hypertriglyceridemia, jumlah pemendapan yang terkumpul lebih banyak dan cepat berbanding orang lain,” katanya.


Bagaimanapun Familial Hypertriglyceridemia bukanlah faktor dominan dalam keseluruhan kes pemendapan kolesterol yang tinggi. Jumlah mereka yang berhadapan dengan keadaan ini lebih rendah berbanding mereka yang obes, tidak bersenam dan tidak menjaga pemakanan.


Dr Mohd Rafik berkata, masalah utama kolesterol yang tinggi ia tidak menunjukkan sebarang simptom. Komplikasi kolesterol tetap muncul dan lazimnya kemunculan itu sudah pun menggambarkan tahap yang teruk. Komplikasi paling biasa adalah serangan jantung.
Justeru, ini sekali gus turut menjelaskan mengapa 50 peratus pesakit jantung meninggal dunia sebelum sempat mendapat rawatan di hospital. Kata Dr Mohd Rafik, kolesterol hanya boleh dikesan melalui pemeriksaan darah. Secara umumnya, jika seseorang itu berlatar belakang keluarga yang berisiko, ujian darah perlu dibuat pada usia 20 tahun. Jika seseorang itu sihat dan keluarga juga bebas sebarang masalah kesihatan berkaitan, ujian darah perlu dibuat pada usia 25 tahun. Seterusnya, ujian darah perlu dibuat sekali dalam dua tahun atau sekali dalam tiga tahun.


“Sedikit sebanyak kita perlu mengakui, kesan urbanisasi itu atau gaya hidup moden memberi impak pada kesihatan. Tidak bersenam, makan makanan yang tinggi kandungan garam, lemak dan berminyak menyebabkan peningkatan pemendapan kolesterol. Bukan saja mereka yang obes, malah mereka yang bertubuh kurus juga tinggi kolesterolnya,” katanya.


Risiko itu menjadi berlipat ganda jika seseorang itu merokok yang hanya mempercepatkan kadar pemendapan kolesterol dalam pembuluh darah.


Dr Mohd Rafik berkata, di sebalik keburukannya, kolesterol ada juga gunanya iaitu menolong menghasilkan sel baru dan sesetengah jenis hormon. Namun jumlah yang berlebihan boleh mengundang masalah dan seterusnya padah.


“Secara umum, jumlah keseluruhan kolesterol seseorang yang dianggap sihat adalah 5.0 mmol/L iaitu kolesterol tidak baik (Low-density lipoprotein - LDL) mesti kurang daripada 2.58 mmol/L,” katanya.

Namun jika seseorang memiliki kadar LDL hingga 3.0 mmol/L tetapi bebas daripada faktor risiko lain seperti tiada tekanan darah tinggi, masalah diabetes atau ginjal, angka itu dianggap normal.


Untuk kolesterol baik (High-density lipoprotein - HDL) pula, ia mesti melebihi 1.03 mmol/L manakala kolesterol jenis triglyceride pula mesti kurang 1.68 mmol/L.

Kata Dr Mohd Rafik, jumlah LDL yang tinggi boleh menyekat arteri, meningkatkan risiko serangan jantung dan angin ahmar. HDL pula melekat dengan LDL dan membawanya ke hati. Ia berfungsi mengurangkan jumlah LDL dalam sistem tubuh. Manakala, Triglycerides bukan sejenis kolesterol, tetapi lemak yang terapung dalam darah. Bagaimanapun, jika jumlahnya tinggi ia juga berupaya meningkatkan risiko kardiovaskular.


Malah, jika tahap kolesterol dalam darah dan triglyceride tinggi, risiko berlaku masalah jantung koronari adalah lebih ketara.

Info

Kompliksi kolesterol tinggi


· Atherosclerosis - Masalah penyempitan arteri


· Risiko penyakit jantung koronari - Abnormaliti atau kerosakan pada arteri yang membekalkan darah dan oksigen ke jantung.


· Serangan jantung - Ia berlaku apabila bekalan darah dan oksigen di otot jantung tersekat selalunya oleh darah beku dalam koronari arteri. Ia menyebabkan otot jantung mati.


· Angina - Sakit dada atau rasa tidak selesa yang disebabkan otot jantung tidak mendapat bekalan darah yang mencukupi.


· Masalah kardiovaskular seperti sakit jantung dan salur darah.


· Angin ahmar - Ia berlaku terjadi apabila darah beku menyekat arteri atau vena mengganggu aliran darah ke otak. Ia juga mungkin terjadi apabila salur darah pecah dan sel otak mula mati

Punca kolesterol tinggi

Risiko yang tidak boleh diubah

· Genetik - lebih berisiko jika mereka yang pernah berdepan dengan masalah koronari jantung atau tahap kolesterol dalam darah yang tinggi adalah ibu bapa atau adik beradik atau ibu saudara.

· Lelaki lebih terdedah dengan pembentukan atherosclerosis

· Usia yang meningkat

· Putus haid - perempuan putus haid (50 tahun ke atas) lebih banyak berhadapan dengan serangan jantung berbanding lelaki yang sebaya Risiko boleh ubah

· Nutrisi - Ada sesetengah makanan mengandungi kolesterol tinggi seperti telur, organ dalaman haiwan, sesetengah jenis makanan laut dan makanan yang dijeruk. Daging merah, sosej, pai, sesetengah jenis keju, pastri, kek dan krim.

· Gaya hidup - tidak bersenam dan merokok (mempercepatkan serangan jantung)

· Berat badan - obesiti

· Pengambilan alkohol


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Sihat/20090809105209/Article/

Alternatif merawat masalah kolesterol


BERDASARKAN pengalaman lalu, tahap kolesterol darah saya boleh meningkat dengan ketara selepas sebulan perayaan. Bagaimanakah saya boleh mengawal peningkatan ini?

Jawapan,

Peningkatan paras kolesterol akan berlaku apabila kita mengambil makanan berkolesterol tinggi.
Pengambilan lemak trans akan meningkatkan kolesterol berbahaya (LDL) dan merendahkan kolesterol baik (HDL), seterusnya meningkatkan risiko penyakit jantung.

Lemak tepu banyak dijumpai dalam makanan berasaskan haiwan seperti lembu, kambing, lemak ayam, mentega, susu, keju dan produk tenusu yang lain. Oleh yang demikian, hadkan pengambilan makanan tersebut.

Bagi mereka yang mempunyai masalah kolesterol tinggi, pengambilan red yeast rice (beras yis merah) dan minyak ikan boleh membantu.

Red yeast rice diperolehi daripada penapaian beras dengan yis merah (Monascus purpures).

Red yeast rice mengandungi statin semula jadi yang menghalang penghasilan kolesterol dalam hati (sekitar 80 peratus kolesterol dihasilkan oleh hati) dengan merencatkan aktiviti enzim hydroxymethylglutaryl coenzyme A (HMG-CoA) reductase.

Minyak ikan laut pula kaya dengan asid lemak omega-3 dan bermanfaat untuk merendahkan paras trigliserida.

Selain itu, minyak ikan juga bermanfaat untuk:

1. Mengurangkan risiko aritmia yang boleh membawa kepada kematian mengejut

2. Mengurangkan risiko trombosis yang membawa kepada serangan jantung dan strok

3. Mengurangkan trigliserida dan paras kolesterol

4. Mengurangkan kadar pertumbuhan plak aterosklerotik

5. Merendahkan tekanan darah

6. Mengurangkan tindak balas keradangan

Hasil penyelidikan juga mendapati gabungan minyak ikan dan Red Yeast Rice ini berkesan untuk menangani peningkatan kolesterol dan kesannya menyamai ubat rawatan kolesterol.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0927&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_06.htm