"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Friday, September 25, 2009

35 juta hidap Alzheimer

WASHINGTON 21 Sept. - Lebih 35 juta penduduk di seluruh dunia dijangka menghidap penyakit Alzheimer atau bentuk demensia (kemerosotan keupayaan mental) yang lain pada 2010, dan hanya sebilangan kecil akan mendapat sebarang jenis rawatan.

Masalah itu bertambah buruk, terutamanya di negara berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak memiliki banyak kemudahan untuk mendiagnosis atau membantu pesakit demensia, menurut Alzheimer's Disease International, sebuah pertubuhan yang menaungi persatuan Alzheimer di seluruh dunia, dalam satu laporan hari ini.


"Laporan ini dan semua kajian terdahulu menunjukkan bilangan penduduk yang menghidapi demensia dijangka bertambah pada kadar yang mencemaskan.


"Kira-kira 35.6 juta penduduk di seluruh dunia akan menghidap demensia pada 2010. Bilangan ini dianggarkan bertambah hampir sekali ganda setiap 20 tahun, kepada 65.7 juta pada 2030 dan 115.4 juta pada 2050," menurut pertubuhan tersebut.


Sebahagian besar pertambahan itu jelas berpunca daripada peningkatan bilangan penghidap demensia di negara berpendapatan rendah dan sederhana.


Tidak banyak rawatan disediakan untuk penyakit Alzheimer yang menjadi punca utama demensia, dan demensia bentuk lain seperti demensia vaskular yang disebabkan saluran darah tersumbat di dalam otak.


Ubat-ubatan boleh meredakan sebahagian simptom buat beberapa waktu tetapi pesakit hilang daya ingatan, keupayaan untuk mengharungi dan memahami dunia ini, dan untuk menjaga diri sendiri. Tidak ada ubat untuk menyembuhkan penyakit ini.


"Kos penjagaan pesakit demensia semakin meningkat di negara berpendapatan rendah dan sederhana," menurut laporan itu.


Ia memetik satu kajian oleh Institut Karolinska pada 2005 yang menganggarkan demensia menyebabkan ekonomi global menanggung kos sebanyak AS$315 bilion (RM1.10 trilion) setahun, iaitu sebanyak AS$227 bilion (RM795 bilion) bagi negara-negara kaya dan AS$88 bilion (RM308 bilion) bagi negara berpendapatan rendah dan sederhana. - Reuters


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm

Thursday, September 24, 2009

Saiz bukan ukuran nikmat


SAYA ingin bertanya mengenai jawapan doktor berhubung isu mikropenis pada kolum ini, tidak lama dulu. Untuk makluman Prof, umur saya 20 tahun dan tidak pernah berpasangan. Ini kerana saya agak risau dengan diri ini.

Daripada pemahaman saya melalui jawapan yang diberikan doktor, saya mendapati saiz zakar saya di bawah panjang purata - baik dalam keadaan lembik atau keras. Ini membuatkan terkilan dan amat takut berpasangan.

Tidak adakah cara bagi saya menambah saiz zakar tanpa melalui pembedahan yang boleh menyebabkan mati pucuk? Ini kerana saya fikir, diri ini tidak memiliki keberanian mencari pasangan hidup dengan keadaan saya ini.



Dalam Keresahan


UNTUK makluman saudara, saiz zakar yang saya maksudkan dalam beberapa keluaran yang lalu adalah saiz zakar secara purata. Ia adalah ukuran yang dibuat untuk orang Caucasian yang berbeza dari segi saiz badan orang Asia. Secara umum, saiz zakar orang Asia mempunyai ukuran berbeza dari orang Caucasian. Sehubungan itu, saudara tidak perlu risau mengenai saiz zakar anda yang kamu fikir di bawah ukuran purata.


Untuk makluman saudara, saiz zakar bukanlah faktor utama dalam hubungan seks. Malah penetrasi memainkan peranan kecil saja dalam kepuasan pasangan anda. Jika saudara mempunyai ereksi tegang, libido yang baik dan tidak mempunyai masalah seperti ejakulasi pra matang, saudara tidak perlu bimbang.

Selain dari itu, saudara perlu mengetahui cara-cara memuaskan pasangan saudara seperti melalui teknik cumbuan (foreplay), mengenali tempat erotik pasangan saudara (G spots) dan tumpukan lebih masa ke arah ini. Mikropenis hanya akan terjadi kepada lelaki yang mempunyai masalah kekurangan hormone testosterone ketika proses baligh.


Selain dari masalah mikropenis, lelaki ini menghadapi masalah kekurangan sifat seksual lelaki sekunder. Ini termasuk suara yang tidak pecah/garau; tidak mengalami pertumbuhan misai, janggut atau bulu pada badan; tidak berlaku kekejalan pada otot dan kerap kali mengalami masalah obesiti.


Jadi, jika saudara mempunyai ciri-ciri seksual lelaki sekunder, saudara tidak mempunyai masalah mikropenis. Untuk pengetahuan saudara juga, masalah mikropenis adalah masalah yang jarang berlaku. Masalah kegemukan juga boleh memberi ilusi bahawa seseorang mempunyai batang zakar pendek. Ini kerana pengumpulan lemak pada bahagian ari-ari akan 'menenggelamkan' zakar. Sehubungan itu, zakar akan kelihatan pendek dan kecil terutama ketika lembik.

Lelaki yang mengalami masalah ini boleh mengatasinya dengan mengurangkan berat badan secara bersenam. Apabila lemak pada bahagian ari-ari mula hilang, zakar akan kelihatan normal semula. Saudara tidak perlu menjalani apa-apa rawatan untuk memanjangkan batang zakar anda. Ini kerana kebanyakan produk yang ada di pasaran tidak terbukti keberkesanannya dari segi kajian saintifik untuk membesarkan batang zakar.

Malah kita tidak tahu apa kesan sampingan jika digunakan berpanjangan. Saya menasihatkan saudara tidak menjalani rawatan secara urutan kepada batang zakar kerana ia amat memudaratkan. Urutan pada zakar juga boleh menimbulkan kecederaan pada batang zakar.


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Tanyadoktor/20090912082128/Article

Dilema mati pucuk, ejakulasi pra-matang


Soalan:

SAYA berumur 41 tahun dan memiliki tiga anak. Sejak akhir-akhir ini, ada sedikit masalah terhadap alat sulit saya. Ia tidak boleh menegang keras seperti biasa. Jika tegang pun, cepat sampai klimaks dan terus terpancut dalam keadaan yang tidak tegang 100 peratus.

Adakah ini salah satu keadaan dipanggil mati pucuk atau ada penyakit lain? Bolehkah saya mengambil ubat PDE5 untuk mengatasi masalan ini?

Bapa Anak Tiga

Jawapan:

SAYA dapati anda mempunyai dua masalah.

Masalah pertama ialah zakar tidak boleh menegang keras seperti biasa. Masalah ini dikenali sebagai erectile dysfunction atau mati pucuk.

Masalah kedua saudara ialah cepat sampai klimaks. Masalah ini dikenali sebagai ejakulasi pra-matang atau premature ejaculation.

Kedua-dua masalah ini boleh berlaku secara berasingan atau serentak (bersama-sama). Masalah ini kerap berlaku terutama apabila seseorang mencecah usia 40-an.

Untuk merawat masalah mati pucuk, saudara boleh mengambil ubat-ubatan dari jenis PDE5-inhibitors seperti Levitra, Viagra atau Cialis. Bagaimanapun, ubat ini adalah ubat-ubatan terkawal. Oleh itu, saudara perlu berjumpa dengan doktor atau pakar urologi untuk mendapat preskripsi.


PDE5-inhibitors dapat membantu anda mendapatkan semula ereksi tegang dan keras dengan kaedah meningkatkan aliran darah kepada zakar. Bagaimanapun, jika saudara mengambil ubat jantung dari kumpulan nitrates, anda tidak boleh mengambil PDE5-inhibitors. Selain PDE5-inhibitors, ada kaedah lain untuk merawat masalah mati pucuk.

Ini termasuk penggunaan pam vakum dan suntikan intracavernosal. Untuk makluman saudara, masalah mati pucuk boleh berpunca dari pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit kencing manis dan darah tinggi. Ia juga mempunyai kaitan rapat dengan penyakit jantung. Jika saudara masih belum menjalani pemeriksaan kesihatan yang lengkap, saya ingin menasihatkan anda berjumpa doktor untuk melakukan saringan penyakit yang dinyatakan tadi.


Ada pelbagai cara merawat masalah ejakulasi pra-matang. Teknik seperti squeeze technique, start stop technique dan sensate focus boleh saudara pelajari dan amalkan bersama pasangan. Selain itu, saudara boleh menggunakan krim atau gel anestetik seperti Lignocaine. Gel ini perlu disapu pada kepala zakar dan dibiarkan selama tiga hingga lima minit.

Selepas itu, saudara perlu membasuh kepala zakar sebelum melakukan penetrasi. Saudara juga boleh meletakkan gel ini dalam sarung kondom sekiranya menggunakan kondom. Gel ini bertindak mengurangkan sensasi kepada kepala zakar. Ini adalah salah satu cara melambatkan proses ejakulasi.

Ini kerana, salah satu punca masalah ejakulasi pra-matang adalah disebabkan kepala zakar yang terlalu sensitif kepada rangsangan dan sentuhan. Lignocaine gel boleh didapati di farmasi tanpa memerlukan preskripsi doktor. Saudara juga boleh mengamalkan senaman kegel untuk menguatkan otot pelvis dan membantu melambatkan proses ejakulasi.

Selain itu, ubat-ubatan dari kumpulan SSRI seperti Prozac dan Zoloft juga boleh digunakan untuk merawat masalah ini. Tetapi ubat-ubatan dari kumpulan SSRI ini mempunyai banyak kesan sampingan dan saudara perlu berbincang dengan doktor sebelum menggunakannya.


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Tanyadoktor/20090822100658/Article/

Wednesday, September 23, 2009

Diabetes bukan halangan puasa


Penghidap bijak kawal pemakanan, pengambilan ubat teratur mampu teruskan ibadat

MENGAWAL kadar gula dalam darah, terutama pada Ramadan sememangnya cabaran paling besar untuk mereka yang disahkan menghidap diabetes atau kencing manis. Malah, ada kalanya jika kandungan gula terlalu tinggi atau terlalu rendah, pesakit dinasihatkan tidak meneruskan puasa. Namun, kata Pakar Runding Endrokologi, Hospital Putrajaya, Dr Zanariah Hussein, jika pesakit bijak mengawal kadar gula dalam darah, berpuasa bukanlah halangan besar. Malah dengan nasihat doktor dan ubah suai dos yang perlu diambil, pesakit sebenarnya masih mampu menjalani ibadat puasa.

Malah, tidak ramai yang menyedari, bagi pesakit yang sudah lama didiagnos dengan diabetes, bulan puasa adalah waktu yang dinanti-nantikan kerana lebih mudah sebenarnya bagi mereka mengawal tahap gula dalam darah. “Pesakit yang sudah lama didiagnos dengan diabetes, mereka sudah tahu perubahan pengambilan dos insulin selain pemakanan. Bagaimanapun, pesakit kanak-kanak yang baru didiagnos dengan diabetes, Ramadan memang bulan yang mencabar,” katanya. Lebih 1.2 juta warga Malaysia ialah pesakit diabetes dengan anggaran kes baru sekitar 650,000 setiap tahun, manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan menjelang 2030, ada seramai 180 juta pesakit diabetes di seluruh dunia.

Di Malaysia, 95 peratus pesakit diabetes adalah daripada Jenis Dua. Namun, kebanyakan pesakit diabetes Jenis Satu pula ialah kanak-kanak dan remaja. “Diabetes Jenis Satu paling sukar kerana pesakit langsung tiada insulin dalam badan, jadi jika kurang menerima suntikan, mereka berisiko berdepan masalah gula naik secara mendadak. “Lazimnya pesakit diabetes Jenis Satu ialah mereka yang sudah disahkan menghidap diabetes sejak bertahun-tahun lamanya. Jadi mereka sudah tahu melakukan perubahan terhadap pemakanan. Mereka tidak sukar menempuh Ramadan melainkan ubat-ubatan mereka sudah bertukar atau baru mendapat suntikan insulin, mereka secara khusus perlu dinasihatkan dan dimaklumkan bagaimana mengelak gula turun atau naik secara mendadak,” katanya. Dr Zanariah berkata, selain itu pemakanan juga antara faktor penting bagi menguruskan diabetes ketika Ramadan.

Lebih mudah katanya, diet pesakit diabetes tidak sama, selain keperluan ubat-ubatan juga tidak sama. Namun, secara umum kebanyakan pesakit akan makan lebih ketika berbuka puasa dan sahur pula ringan, justeru pemberian dos juga perlu diterbalikkan.


Panduan bagi pesakit diabetes yang dibenarkan berpuasa
· Diet - Elak makan berlebihan ketika berbuka puasa dan pada waktu malam. Karbohidrat dan makanan berlemak boleh menambahkan berat badan serta menyukarkan kawalan diabetes.
· Senaman - Melakukan aktiviti fizikal yang ringan ketika berpuasa tidak akan mendatangkan kemudaratan. Perubahan diet dan ubat-ubatan ketika bersahur harus dibuat (mengikut nasihat doktor) bagi mengelakkan kadar gula dalam darah turun mendadak.
· Ubat - Dapatkan nasihat doktor mengenai pengubahsuaian dos serta waktu pengambilan ubat. Sebagai panduan, dos ubat-ubatan yang diambil pada sebelah pagi pada hari tidak berpuasa ditukar masa pengambilannya ke waktu berbuka puasa. Dos yang diambil sebelum makan malam sewaktu tidak berpuasa, pula perlu diambil sebelum bersahur. Pengurangan dos yang diambil mungkin perlu untuk mengelakkan kadar gula dalam darah turun atau naik mendadak.
· Insulin - Dos dan waktu insulin disuntik harus diubahsuai mengikut arahan doktor berdasarkan ujian tahap gula dalam darah yang dilakukan pada permulaan bulan puasa, seperti berikut:
· Tiga kali suntikan insulin: Dua dos insulin yang bertindak segera (short-acting insulin) ketika berbuka dan sebelum bersahur. Ini diikuti dengan satu dos insulin yang bertindak lama (intermediate acting insulin) sebelum tidur.
· Dua kali suntikan insulin: Satu dos insulin yang sudah dicampur (premixed insulin) ketika berbuka puasa. Dos yang diperlukan ialah sama seperti dos yang diberikan pada waktu pagi pada hari tidak berpuasa. Satu dos insulin yang bertindak segera pula diberi sebelum bersahur (0.1 - 0.2 unit insulin/kg berat badan) Bagaimana pula dengan pesakit yang berdepan dengan masalah diabetes ketika hamil? Kata Dr Zanariah, umumnya wanita hamil tidak digalakkan berpuasa, namun jika pengurusan diabetesnya baik wanita itu masih boleh berpuasa. “Bagi wanita yang didiagnos dengan diabetes sebelum hamil, apabila sudah berbadan dua, dia perlu mengambil insulin berbanding ubat biji. Penggunaan insulin berisiko tinggi untuk berdepan dengan masalah gula rendah. Jadi sewaktu mengandung, risikonya lebih ketara. Pada tempoh kehamilan, kawalan gula sangat penting untuk memastikan perkembangan janin,” katanya. Bagi mereka yang menghidap diabetes ketika hamil, biasanya diabetes yang dialami tidak teruk dan mereka hanya perlu mengawal diet untuk terus berpuasa. “Jika kawalan gula yang baik dan mengikut garis panduan mereka boleh puasa,” katanya.

Fakta: Peringatan umum pesakit diabetes berpuasa

1) Jangan melengahkan berbuka tetapi melambatkan bersahur.

2) Bagi pesakit yang baru berpuasa digalakkan mengukur gula dalam darah supaya mereka boleh nilai tindak balas kadar gula dalam darah waktu berpuasa. Tahap gula diuji pada, sebelum bersahur antara dua ke empat jam selepas bersahur, sebelum berbuka puasa dan antara dua ke empat jam selepas berbuka.

3) Makan ubat/menyuntik insulin mengikut nasihat doktor.

4) Makan berpada-pada ketika berbuka serta kurangkan hidangan yang manis.

5) Mengawasi penyakit diabetes dan kesihatan mereka secara umumnya.

6) Mengenali tanda-tanda hipoglesemia (kekurangan gula dalam darah), hiperglisemia (gula berlebihan dalam darah) dan dehidrasi.

7) Segera berbuka apabila mengalami masalah sama ada hipoglesemia, hiperglisemia atau dehidrasi. Haram untuk pesakit meneruskan puasa kerana ia boleh memudaratkan mereka.

8) Mengubahsuai dos ubat atau insulin dan waktu ia harus dimakan /disuntik mengikut syor doktor. Simptom hipoglisemia, hiperglisemia dan dehidrasi:

Tanda-tanda hipoglisemia:
· Menggigil
· Terlalu lemah
· Amat lapar
· Berpeluh
· Pucat
· Berdebar-debar
· Gelisah
· Koma (tak sedarkan diri)

Tanda-tanda hiperglisemia:
· Kerap buang air kecil
· Terlalu dahaga
· Sangat letih

Tanda-tanda dehidrasi:
· Amat dahaga
· Kulit dan lidah yang terlalu kering
· Fikiran terganggu


Pesakit diabetes tidak dibenarkan berpuasa sekiranya:
· Penyakit diabetes yang dihidapi tidak stabil. Bimbang ia akan mengakibatkan pelbagai komplikasi seperti dehidrasi (kekurangan air), jangkitan kuman dan koma.
· Tidak mematuhi nasihat penjagaan diet, pengambilan ubat-ubatan dan insulin.
· Mengalami komplikasi diabetes yang serius seperti penyakit jantung koronari dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal.
· Kerap mengalami koma diabetik ketoasidosis.
· Kerap mengalami koma hipoglisemia (kekurangan gula dalam darah).
· Mengalami jangkitan kuman.
· Warga tua dan tinggal bersendirian.
· Wanita hamil yang memerlukan suntikan insulin.
· Berusia bawah 12 tahun.

Monday, September 21, 2009

Risiko makan banyak di musim raya

SIAPA mampu menolak juadah pagi raya apabila lemang, ketupat dan rendang yang penuh menyelerakan terhidang di atas meja makan menunggu untuk dijamah.


Sementara menanti makan tengah hari, mulut mengunyah biskut raya dan kerepek sambil menonton rancangan menarik sempena raya di kaca televisyen.


Hampir semua hidangan mengandungi kadar lemak, gula, garam serta kolesterol yang tinggi. Itu belum dengan pelbagai jenis minuman manis yang sentiasa tersedia di dalam bekas air.


Begitulah lumrah pemakanan bagi kebanyakan individu setiap kali menjelang 1 Syawal. Puasa sebulan terus dibalas dengan makan dalam sehari.


Namun apakah risiko yang mungkin terjadi pada sistem perut dan penghadaman yang tiba-tiba dikejutkan dengan pemakanan mendadak ini?


Pakar pemakanan dari Iree Touch Sdn. Bhd., Ida Rafidah El-Emin memberitahu, dalam keadaan berpuasa, kadar metabolik turun kerana tidak banyak makanan untuk diproses.


Namun apabila hari raya individu yang makan terlalu banyak boleh mengakibatkan kadar metabolik mereka semakin tidak stabil.


"Kerana keadaan ini, individu yang makan berterusan akan mengalami penambahan berat badan secara mendadak, segala makanan yang masuk secara banyak itu tidak boleh dibakar oleh sistem metabolisme kerana keadaannya yang lemah selepas sebulan berpuasa," ujar Ida ketika ditemui di spanya yang terletak di Bandar Puteri, Puchong, Selangor.


Menurut Ida, apa yang sepatutnya dilakukan oleh individu pada pagi raya ialah makan alas perut seperti buah-buahan dan sayuran sebelum menikmati juadah sinonim pada hari raya
seperti lemang dan rendang.


"Memang sesiapa pun tak boleh menolak juadah di pagi raya. Alas perut memang penting kerana apabila kita mengambil buah dan sayur yang kaya dengan serat, akan memberi lapisan kepada usus supaya lemak tidak diserap dengan banyak ke dalam darah. Antara buah yang baik dimakan ialah buah limau, epal hijau, kiwi dan salad," jelas Ida.Tambahnya, seperkara lagi yang perlu dielak pada musim raya ialah pengambilan minuman yang mengandungi kafein.


"Kita perlu tahu bukan kopi dan teh sahaja yang mengandungi kafein, air bikarbonat juga mengandungi kafein.


"Pengambilan minuman berkafein bersama lemang, rendang dan sebagainya memang memudaratkan usus. Sebaiknya, apabila kita makan makanan berlemak, minumlah air suam dan jus buah sebagai alternatif.


"Salah satu cara penyerapan lemak terbaik untuk tubuh ialah pengambilan soy lecithin sebelum makan makanan berlemak.


"Makanan tambahan ini berfungsi sebagai penyerap lemak yang akan dikeluarkan melalui najis ketika membuang air besar," jelas Ida yang turut aktif memberi ceramah pemakanan sihat di hospital swasta sekitar Lembah Klang.
I

da menambah, kerepek adalah makanan yang perlu dielak kerana ia mengandungi oksida yang tinggi.


Bahan makanan bergoreng dan mengandungi oksida tinggi ini boleh menyebabkan badan dipenuhi dengan toksin dan sebagai penyelesaiannya mereka disarankan mengambil bahan anti oksida seperti vitamin A, C dan E.


"Jika mahu makan kerepek, pilihlah kerepek daripada jenis dipanggang seperti emping jagung. Jika suka makan kekacang pula pilihlah kacang parang atau kacang kuda yang mempunyai kandungan lemak baik atau omega yang tinggi.


Jangan makan makanan mengandungi protein sekali gus. Sebagai contoh, makan ayam, daging, sotong dan ikan dalam satu masa, ini kerana usus hanya akan menghadamkan protein yang paling ringkas sahaja seperti ikan.


"Protein lain seperti daging dan sotong akan terus menjadi toksin yang sekiranya tidak dibuang akan menjadi penyebab penyakit seperti migrin dan masalah-masalah lain," katanya.


Risiko makan banyak


Menurut Ida, antara risiko yang boleh terjadi pada individu yang tidak mengawal pemakanan mereka pada musim raya ialah sembelit.


"Apabila sembelit berlaku, masalah seperti buasir akan timbul. Selain itu, usus juga boleh mengalami kecederaan dan sekali gus mengakibatkan sistem penghadaman kacau bilau.


"Ketika bulan puasa, pesakit darah tinggi atau kencing manis akan turun kadar glukos dan kolesterol tetapi naik mendadak pada musim raya. Kita tidak mahu bulan raya diserang penyakit berbahaya, sebab itu kena kawal makan.


"Sebaiknya buang air besar sekurang-kurangnya sekali sehari. Selain menikmati makanan yang sedap pada hari raya, pastikan juga minum air kosong lapan gelas sehari demi kesihatan yang optimum," pesannya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm