"ASSALAMUALAIKUM; Tuan-tuan,puan-puan,rakan-rakan sekelian boleh mendapatkan produk istimewa CNI di mana-mana cawangan dan stokis CNI di seluruh Malaysia dengan menggunakan nombor keahlian ini 1436554 atau HUBUNGI : 013-8546275. Terima Kasih."

Thursday, September 24, 2009

Dilema mati pucuk, ejakulasi pra-matang


Soalan:

SAYA berumur 41 tahun dan memiliki tiga anak. Sejak akhir-akhir ini, ada sedikit masalah terhadap alat sulit saya. Ia tidak boleh menegang keras seperti biasa. Jika tegang pun, cepat sampai klimaks dan terus terpancut dalam keadaan yang tidak tegang 100 peratus.

Adakah ini salah satu keadaan dipanggil mati pucuk atau ada penyakit lain? Bolehkah saya mengambil ubat PDE5 untuk mengatasi masalan ini?

Bapa Anak Tiga

Jawapan:

SAYA dapati anda mempunyai dua masalah.

Masalah pertama ialah zakar tidak boleh menegang keras seperti biasa. Masalah ini dikenali sebagai erectile dysfunction atau mati pucuk.

Masalah kedua saudara ialah cepat sampai klimaks. Masalah ini dikenali sebagai ejakulasi pra-matang atau premature ejaculation.

Kedua-dua masalah ini boleh berlaku secara berasingan atau serentak (bersama-sama). Masalah ini kerap berlaku terutama apabila seseorang mencecah usia 40-an.

Untuk merawat masalah mati pucuk, saudara boleh mengambil ubat-ubatan dari jenis PDE5-inhibitors seperti Levitra, Viagra atau Cialis. Bagaimanapun, ubat ini adalah ubat-ubatan terkawal. Oleh itu, saudara perlu berjumpa dengan doktor atau pakar urologi untuk mendapat preskripsi.


PDE5-inhibitors dapat membantu anda mendapatkan semula ereksi tegang dan keras dengan kaedah meningkatkan aliran darah kepada zakar. Bagaimanapun, jika saudara mengambil ubat jantung dari kumpulan nitrates, anda tidak boleh mengambil PDE5-inhibitors. Selain PDE5-inhibitors, ada kaedah lain untuk merawat masalah mati pucuk.

Ini termasuk penggunaan pam vakum dan suntikan intracavernosal. Untuk makluman saudara, masalah mati pucuk boleh berpunca dari pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit kencing manis dan darah tinggi. Ia juga mempunyai kaitan rapat dengan penyakit jantung. Jika saudara masih belum menjalani pemeriksaan kesihatan yang lengkap, saya ingin menasihatkan anda berjumpa doktor untuk melakukan saringan penyakit yang dinyatakan tadi.


Ada pelbagai cara merawat masalah ejakulasi pra-matang. Teknik seperti squeeze technique, start stop technique dan sensate focus boleh saudara pelajari dan amalkan bersama pasangan. Selain itu, saudara boleh menggunakan krim atau gel anestetik seperti Lignocaine. Gel ini perlu disapu pada kepala zakar dan dibiarkan selama tiga hingga lima minit.

Selepas itu, saudara perlu membasuh kepala zakar sebelum melakukan penetrasi. Saudara juga boleh meletakkan gel ini dalam sarung kondom sekiranya menggunakan kondom. Gel ini bertindak mengurangkan sensasi kepada kepala zakar. Ini adalah salah satu cara melambatkan proses ejakulasi.

Ini kerana, salah satu punca masalah ejakulasi pra-matang adalah disebabkan kepala zakar yang terlalu sensitif kepada rangsangan dan sentuhan. Lignocaine gel boleh didapati di farmasi tanpa memerlukan preskripsi doktor. Saudara juga boleh mengamalkan senaman kegel untuk menguatkan otot pelvis dan membantu melambatkan proses ejakulasi.

Selain itu, ubat-ubatan dari kumpulan SSRI seperti Prozac dan Zoloft juga boleh digunakan untuk merawat masalah ini. Tetapi ubat-ubatan dari kumpulan SSRI ini mempunyai banyak kesan sampingan dan saudara perlu berbincang dengan doktor sebelum menggunakannya.


http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Tanyadoktor/20090822100658/Article/

Wednesday, September 23, 2009

Diabetes bukan halangan puasa


Penghidap bijak kawal pemakanan, pengambilan ubat teratur mampu teruskan ibadat

MENGAWAL kadar gula dalam darah, terutama pada Ramadan sememangnya cabaran paling besar untuk mereka yang disahkan menghidap diabetes atau kencing manis. Malah, ada kalanya jika kandungan gula terlalu tinggi atau terlalu rendah, pesakit dinasihatkan tidak meneruskan puasa. Namun, kata Pakar Runding Endrokologi, Hospital Putrajaya, Dr Zanariah Hussein, jika pesakit bijak mengawal kadar gula dalam darah, berpuasa bukanlah halangan besar. Malah dengan nasihat doktor dan ubah suai dos yang perlu diambil, pesakit sebenarnya masih mampu menjalani ibadat puasa.

Malah, tidak ramai yang menyedari, bagi pesakit yang sudah lama didiagnos dengan diabetes, bulan puasa adalah waktu yang dinanti-nantikan kerana lebih mudah sebenarnya bagi mereka mengawal tahap gula dalam darah. “Pesakit yang sudah lama didiagnos dengan diabetes, mereka sudah tahu perubahan pengambilan dos insulin selain pemakanan. Bagaimanapun, pesakit kanak-kanak yang baru didiagnos dengan diabetes, Ramadan memang bulan yang mencabar,” katanya. Lebih 1.2 juta warga Malaysia ialah pesakit diabetes dengan anggaran kes baru sekitar 650,000 setiap tahun, manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan menjelang 2030, ada seramai 180 juta pesakit diabetes di seluruh dunia.

Di Malaysia, 95 peratus pesakit diabetes adalah daripada Jenis Dua. Namun, kebanyakan pesakit diabetes Jenis Satu pula ialah kanak-kanak dan remaja. “Diabetes Jenis Satu paling sukar kerana pesakit langsung tiada insulin dalam badan, jadi jika kurang menerima suntikan, mereka berisiko berdepan masalah gula naik secara mendadak. “Lazimnya pesakit diabetes Jenis Satu ialah mereka yang sudah disahkan menghidap diabetes sejak bertahun-tahun lamanya. Jadi mereka sudah tahu melakukan perubahan terhadap pemakanan. Mereka tidak sukar menempuh Ramadan melainkan ubat-ubatan mereka sudah bertukar atau baru mendapat suntikan insulin, mereka secara khusus perlu dinasihatkan dan dimaklumkan bagaimana mengelak gula turun atau naik secara mendadak,” katanya. Dr Zanariah berkata, selain itu pemakanan juga antara faktor penting bagi menguruskan diabetes ketika Ramadan.

Lebih mudah katanya, diet pesakit diabetes tidak sama, selain keperluan ubat-ubatan juga tidak sama. Namun, secara umum kebanyakan pesakit akan makan lebih ketika berbuka puasa dan sahur pula ringan, justeru pemberian dos juga perlu diterbalikkan.


Panduan bagi pesakit diabetes yang dibenarkan berpuasa
· Diet - Elak makan berlebihan ketika berbuka puasa dan pada waktu malam. Karbohidrat dan makanan berlemak boleh menambahkan berat badan serta menyukarkan kawalan diabetes.
· Senaman - Melakukan aktiviti fizikal yang ringan ketika berpuasa tidak akan mendatangkan kemudaratan. Perubahan diet dan ubat-ubatan ketika bersahur harus dibuat (mengikut nasihat doktor) bagi mengelakkan kadar gula dalam darah turun mendadak.
· Ubat - Dapatkan nasihat doktor mengenai pengubahsuaian dos serta waktu pengambilan ubat. Sebagai panduan, dos ubat-ubatan yang diambil pada sebelah pagi pada hari tidak berpuasa ditukar masa pengambilannya ke waktu berbuka puasa. Dos yang diambil sebelum makan malam sewaktu tidak berpuasa, pula perlu diambil sebelum bersahur. Pengurangan dos yang diambil mungkin perlu untuk mengelakkan kadar gula dalam darah turun atau naik mendadak.
· Insulin - Dos dan waktu insulin disuntik harus diubahsuai mengikut arahan doktor berdasarkan ujian tahap gula dalam darah yang dilakukan pada permulaan bulan puasa, seperti berikut:
· Tiga kali suntikan insulin: Dua dos insulin yang bertindak segera (short-acting insulin) ketika berbuka dan sebelum bersahur. Ini diikuti dengan satu dos insulin yang bertindak lama (intermediate acting insulin) sebelum tidur.
· Dua kali suntikan insulin: Satu dos insulin yang sudah dicampur (premixed insulin) ketika berbuka puasa. Dos yang diperlukan ialah sama seperti dos yang diberikan pada waktu pagi pada hari tidak berpuasa. Satu dos insulin yang bertindak segera pula diberi sebelum bersahur (0.1 - 0.2 unit insulin/kg berat badan) Bagaimana pula dengan pesakit yang berdepan dengan masalah diabetes ketika hamil? Kata Dr Zanariah, umumnya wanita hamil tidak digalakkan berpuasa, namun jika pengurusan diabetesnya baik wanita itu masih boleh berpuasa. “Bagi wanita yang didiagnos dengan diabetes sebelum hamil, apabila sudah berbadan dua, dia perlu mengambil insulin berbanding ubat biji. Penggunaan insulin berisiko tinggi untuk berdepan dengan masalah gula rendah. Jadi sewaktu mengandung, risikonya lebih ketara. Pada tempoh kehamilan, kawalan gula sangat penting untuk memastikan perkembangan janin,” katanya. Bagi mereka yang menghidap diabetes ketika hamil, biasanya diabetes yang dialami tidak teruk dan mereka hanya perlu mengawal diet untuk terus berpuasa. “Jika kawalan gula yang baik dan mengikut garis panduan mereka boleh puasa,” katanya.

Fakta: Peringatan umum pesakit diabetes berpuasa

1) Jangan melengahkan berbuka tetapi melambatkan bersahur.

2) Bagi pesakit yang baru berpuasa digalakkan mengukur gula dalam darah supaya mereka boleh nilai tindak balas kadar gula dalam darah waktu berpuasa. Tahap gula diuji pada, sebelum bersahur antara dua ke empat jam selepas bersahur, sebelum berbuka puasa dan antara dua ke empat jam selepas berbuka.

3) Makan ubat/menyuntik insulin mengikut nasihat doktor.

4) Makan berpada-pada ketika berbuka serta kurangkan hidangan yang manis.

5) Mengawasi penyakit diabetes dan kesihatan mereka secara umumnya.

6) Mengenali tanda-tanda hipoglesemia (kekurangan gula dalam darah), hiperglisemia (gula berlebihan dalam darah) dan dehidrasi.

7) Segera berbuka apabila mengalami masalah sama ada hipoglesemia, hiperglisemia atau dehidrasi. Haram untuk pesakit meneruskan puasa kerana ia boleh memudaratkan mereka.

8) Mengubahsuai dos ubat atau insulin dan waktu ia harus dimakan /disuntik mengikut syor doktor. Simptom hipoglisemia, hiperglisemia dan dehidrasi:

Tanda-tanda hipoglisemia:
· Menggigil
· Terlalu lemah
· Amat lapar
· Berpeluh
· Pucat
· Berdebar-debar
· Gelisah
· Koma (tak sedarkan diri)

Tanda-tanda hiperglisemia:
· Kerap buang air kecil
· Terlalu dahaga
· Sangat letih

Tanda-tanda dehidrasi:
· Amat dahaga
· Kulit dan lidah yang terlalu kering
· Fikiran terganggu


Pesakit diabetes tidak dibenarkan berpuasa sekiranya:
· Penyakit diabetes yang dihidapi tidak stabil. Bimbang ia akan mengakibatkan pelbagai komplikasi seperti dehidrasi (kekurangan air), jangkitan kuman dan koma.
· Tidak mematuhi nasihat penjagaan diet, pengambilan ubat-ubatan dan insulin.
· Mengalami komplikasi diabetes yang serius seperti penyakit jantung koronari dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal.
· Kerap mengalami koma diabetik ketoasidosis.
· Kerap mengalami koma hipoglisemia (kekurangan gula dalam darah).
· Mengalami jangkitan kuman.
· Warga tua dan tinggal bersendirian.
· Wanita hamil yang memerlukan suntikan insulin.
· Berusia bawah 12 tahun.

Monday, September 21, 2009

Risiko makan banyak di musim raya

SIAPA mampu menolak juadah pagi raya apabila lemang, ketupat dan rendang yang penuh menyelerakan terhidang di atas meja makan menunggu untuk dijamah.


Sementara menanti makan tengah hari, mulut mengunyah biskut raya dan kerepek sambil menonton rancangan menarik sempena raya di kaca televisyen.


Hampir semua hidangan mengandungi kadar lemak, gula, garam serta kolesterol yang tinggi. Itu belum dengan pelbagai jenis minuman manis yang sentiasa tersedia di dalam bekas air.


Begitulah lumrah pemakanan bagi kebanyakan individu setiap kali menjelang 1 Syawal. Puasa sebulan terus dibalas dengan makan dalam sehari.


Namun apakah risiko yang mungkin terjadi pada sistem perut dan penghadaman yang tiba-tiba dikejutkan dengan pemakanan mendadak ini?


Pakar pemakanan dari Iree Touch Sdn. Bhd., Ida Rafidah El-Emin memberitahu, dalam keadaan berpuasa, kadar metabolik turun kerana tidak banyak makanan untuk diproses.


Namun apabila hari raya individu yang makan terlalu banyak boleh mengakibatkan kadar metabolik mereka semakin tidak stabil.


"Kerana keadaan ini, individu yang makan berterusan akan mengalami penambahan berat badan secara mendadak, segala makanan yang masuk secara banyak itu tidak boleh dibakar oleh sistem metabolisme kerana keadaannya yang lemah selepas sebulan berpuasa," ujar Ida ketika ditemui di spanya yang terletak di Bandar Puteri, Puchong, Selangor.


Menurut Ida, apa yang sepatutnya dilakukan oleh individu pada pagi raya ialah makan alas perut seperti buah-buahan dan sayuran sebelum menikmati juadah sinonim pada hari raya
seperti lemang dan rendang.


"Memang sesiapa pun tak boleh menolak juadah di pagi raya. Alas perut memang penting kerana apabila kita mengambil buah dan sayur yang kaya dengan serat, akan memberi lapisan kepada usus supaya lemak tidak diserap dengan banyak ke dalam darah. Antara buah yang baik dimakan ialah buah limau, epal hijau, kiwi dan salad," jelas Ida.Tambahnya, seperkara lagi yang perlu dielak pada musim raya ialah pengambilan minuman yang mengandungi kafein.


"Kita perlu tahu bukan kopi dan teh sahaja yang mengandungi kafein, air bikarbonat juga mengandungi kafein.


"Pengambilan minuman berkafein bersama lemang, rendang dan sebagainya memang memudaratkan usus. Sebaiknya, apabila kita makan makanan berlemak, minumlah air suam dan jus buah sebagai alternatif.


"Salah satu cara penyerapan lemak terbaik untuk tubuh ialah pengambilan soy lecithin sebelum makan makanan berlemak.


"Makanan tambahan ini berfungsi sebagai penyerap lemak yang akan dikeluarkan melalui najis ketika membuang air besar," jelas Ida yang turut aktif memberi ceramah pemakanan sihat di hospital swasta sekitar Lembah Klang.
I

da menambah, kerepek adalah makanan yang perlu dielak kerana ia mengandungi oksida yang tinggi.


Bahan makanan bergoreng dan mengandungi oksida tinggi ini boleh menyebabkan badan dipenuhi dengan toksin dan sebagai penyelesaiannya mereka disarankan mengambil bahan anti oksida seperti vitamin A, C dan E.


"Jika mahu makan kerepek, pilihlah kerepek daripada jenis dipanggang seperti emping jagung. Jika suka makan kekacang pula pilihlah kacang parang atau kacang kuda yang mempunyai kandungan lemak baik atau omega yang tinggi.


Jangan makan makanan mengandungi protein sekali gus. Sebagai contoh, makan ayam, daging, sotong dan ikan dalam satu masa, ini kerana usus hanya akan menghadamkan protein yang paling ringkas sahaja seperti ikan.


"Protein lain seperti daging dan sotong akan terus menjadi toksin yang sekiranya tidak dibuang akan menjadi penyebab penyakit seperti migrin dan masalah-masalah lain," katanya.


Risiko makan banyak


Menurut Ida, antara risiko yang boleh terjadi pada individu yang tidak mengawal pemakanan mereka pada musim raya ialah sembelit.


"Apabila sembelit berlaku, masalah seperti buasir akan timbul. Selain itu, usus juga boleh mengalami kecederaan dan sekali gus mengakibatkan sistem penghadaman kacau bilau.


"Ketika bulan puasa, pesakit darah tinggi atau kencing manis akan turun kadar glukos dan kolesterol tetapi naik mendadak pada musim raya. Kita tidak mahu bulan raya diserang penyakit berbahaya, sebab itu kena kawal makan.


"Sebaiknya buang air besar sekurang-kurangnya sekali sehari. Selain menikmati makanan yang sedap pada hari raya, pastikan juga minum air kosong lapan gelas sehari demi kesihatan yang optimum," pesannya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

Thursday, September 17, 2009

Tingkat sistem imun

SISTEM ketahanan (imun) tubuh mungkin kurang diberi perhatian oleh sesetengah orang, sedangkan ia penting untuk membantu seseorang itu menjauhkan diri daripada pelbagai penyakit khususnya dalam situasi penularan wabak Influenza A (H1N1) kini.Sekiranya ragu-ragu dengan pelbagai jenis ubat berkaitan, pakar perubatan di seluruh dunia menyarankan pelbagai kaedah mudah yang boleh diamalkan seharian. Antaranya :

· Pengambilan minuman teh yang boleh membantu merangsang ketahanan tubuh. Bahan kimia dalam teh iaitu L-theanine, ditukar kepada ethylamine di dalam hati yang membantu dalam proses pertahanan tubuh daripada jangkitan.



· Pastikan minum air dengan banyak sama ada air sejuk atau suam, sekurang-kurangnya tujuh gelas setiap hari.

· Pengambilan makanan berkhasiat tidak seharusnya dipandang mudah. Antara yang baik untuk kesihatan termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, cendawan (perlu dimasak terlebih dulu), bijian penuh, kekacang dan ikan.Tambahkan herba dan rempah ratus dalam makanan kerana bahan terbabit boleh membunuh mikrob.Lebihkan makanan mengandungi sumber semula jadi antioksidan yang boleh meningkatkan ketahanan tubuh termasuk buah kiwi.Buah kiwi mengandungi lebih vitamin C berbanding oren. Pilihan lain termasuk kobis Cina yang menyediakan sumber vitamin A yang tinggi serta buah avokado yang menyediakan karbohidrat, protein dan vitamin E. Makanan kaya dengan vitamin B6 yang merangsang pengeluaran antibodi untuk melawan jangkitan juga pilihan yang baik. Antara makanan berkenaan termasuk pisang, lobak merah, tuna dan biji bunga matahari.


· Pengambilan dadih boleh membantu dari segi kesihatan sistem penghadaman serta tahap kesihatan secara keseluruhan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengambilan bakteria baik yang ada dalam dadih membantu merangsang sistem ketahanan tubuh selain membekalkan lebih kalsium.


· Utamakan tidur kerana kajian mendapati kurang tidur boleh menjejaskan sistem ketahanan tubuh sekali gus berisiko untuk dijangkiti pelbagai penyakit termasuk selesema. Sekurang-kurangnya, dapatkan tujuh jam tidur setiap malam.Tidur mencukupi boleh mengurangkan tekanan dan kemurungan malah kurang tidur boleh mendedahkan seseorang dijangkiti penyakit.


· Bertenang, usah terlalu tertekan. Pelbagai kesan negatif dikenal pasti apabila seseorang itu tertekan termasuk menjejaskan sistem ketahanan tubuh. Cara mudah untuk menangani rasa tertekan adalah dengan menarik nafas yang panjang.Jika gemar melukis, berkebun atau mendengar muzik, luangkan waktu untuk melakukan perkara digemari untuk membuatkan diri tenang dan gembira.Jangan lupa ketawa. Ketawa bukan sekadar penawar duka kerana fakta sains mendapati, setiap sel di dalam tubuh dipengaruhi perasaan kita.


· Jika masih malas bersenam, tiba masa untuk melakukan sesuatu. Mulakan senaman mudah seperti berjalan 10 minit setiap hari dan perlahan-lahan, tingkatkan tempoh berjalan itu.Senaman boleh meningkatkan hormon yang merangsang fungsi ketahanan tubuh

Obes punca kanser prostat berulang?

SATU kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat (AS) mendapati, lelaki yang obes lebih cenderung mendapat penyakit kanser prostat berulang.

Seorang profesor madya dari Pusat Prostat, Pusat Perubatan Universiti Duke, AS, Dr. Stephen Freedland berkata, seramai 1,415 pesakit kanser prostat terlibat dalam kajian tersebut.
Rekod mereka yang telah menjalani prosedur prostektomi radikal itu turut dikaji. Hasilnya, faktor bangsa didapati tidak mempengaruhi sifat agresif sesuatu kanser, sebaliknya kadar indeks jisim tubuh (BMI).

"Kami mendapati kadar BMI yang lebih tinggi berkait rapat dengan peningkatan risiko penyakit kanser berulang. Lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat kulit putih dan kulit hitam," jelas Dr. Jayakrishnan Jayachandran, seorang pakar urologi onkologi.
Biarpun begitu, punca utama peningkatan risiko kanser prostat dalam kalangan masyarakat obes masih tidak diketahui. Saintis turut percaya bahawa perubahan paras hormon mungkin menjadi punca.


"Obesiti ada kaitan dengan lebihan estrogen dan kandungan testosteron yang kurang. Boleh jadi, paras testosteron yang rendah mendorong penghasilan lebih banyak tumor kanser yang agresif," tambahnya. - HealthDay


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0904&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_04.htm